Ramai usahawan baru yang sedang berada dalam fasa memajukan dan mengembangkan lagi bisnes mereka akan merasakan satu keperluan untuk set up sebuah pejabat induk atau headquarter (HQ). Semua atas dasar – mudah untuk pelanggan berurusan bagi hal-hal yang penting, menempatkan staf yang semakin bertambah, mengadakan sebuah suasana kerja yang lebih tersusun dan sistematik, atau untuk kelihatan lebih profesional. Namun adakah lokasi HQ boleh dipilih secara suka-suka atau perlu juga melalui satu set penelitian kriteria yang tertentu?
Lokasi kadang kala memang memainkan peranan besar bagi usahawan, lagi-lagi jika ianya berkaitan industri fesyen. Tidak mengecualikan industri lain, tapi itulah realitinya. Sebagai contoh jika di bahagian tengah Malaysia sendiri, jenama yang mampu hidup di tengah bandaraya Kuala Lumpur akan nampak gah dan besar. Shah Alam dan Bangi contohnya, turut semakin galak mengumpulkan pesaing-pesaing industri fesyen. Fokusnya tentulah – banyak nama besar, jadi tumpuan pelanggan dan aliran trafik pasaran yang deras meninggikan peluang bagi pengusaha. Tutup cerita mengenai fesyen. Artikel ini bakal memberi input penting buat semua usahawan baru terutamanya, yang masih lagi berkira-kira untuk memilih lokasi paling tepat untuk dijadikan HQ.
Lokasi kurang popular buat anda kelihatan kecil dan tak pro?
Bandar yang kecil, atau 'sunyi' dan tersembunyi tak semestinya memberikan pulangan rendah pada anda. Kenapa? Jika anda rimas dengan kesibukan di bandar besar, tak termasuk lagi dengan kos sewaan, dan kos sara hidup yang lebih tinggi di bandar besar, kenapa tak cuba untuk pilih tempat yang lebih praktikal dan efektif kos? Jika anda masih lagi baru, dengan kedudukan kewangan yang belum lagi kukuh, telitikan soal kos kedai terlebih dahulu. Dan jika anda sudah 'besar' sekalipun, anda perlu bijak mengurangkan kos di bahagian yang tidak menjadi keperluan!
Antara soalan yang perlu anda tanyakan pada diri dan team anda ialah;
1) Apa dan berapa yang aku mampu?
Kirakan dahulu berapa kos sewaan atau belian yang anda mampu bagi pejabat, stor simpanan, pengangkutan, sumber manusia (staff) dan lain-lain kos tersembunyi jika anda mahu bertapak di lokasi seperti bandar besar atau lokasi popular yang ada 'nama'. Makin popular sesuatu tempat itu, kos yang berkaitan dengannya turut ikutan 'naik', termasuklah bayaran gaji untuk staff anda.
2) Apa kedudukan industri aku di lokasi tersebut?
Industri apa yang anda sedang usahakan? Adakah ianya berkaitan makanan, pengangkutan, fesyen, sewa beli, khidmat profesional, atau bidang pembuatan? Kenalpasti dahulu industri anda dan adalah lebih baik jika anda berada berdekatan dengan sumber dan sasaran pasaran anda. Industri makanan contohnya, pilih lokasi yang 'mudah nampak' oleh target anda. Takkan nak jual makanan di kawasan yang tiada orang bukan? Industri sewa kereta misalnya, mungkin boleh sesuaikan dengan siapa target pasaran anda, lokasi pelajar, pekerja, kawasan kampong atau orang berkeluarga?
3) Apa kekurangan yang mungkin ada bagi setiap lokasi pilihan?
Senaraikan pro dan kontra bagi setiap lokasi yang ada dalam pilihan anda. Trafik selalu sesak? Kawasan untuk stor simpanan masa depan yang mungkin mahal atau tiada? Ketiadaan sumber manusia yang tepat untuk jawatan yang anda sediakan? Kos pengangkutan atau sara hidup yang tinggi?
Biar anda sedikit lama untuk buat keputusan, dan tanyakan banyak soalan sekarang daripada anda menyesal di kemudian hari kerana salah pilih lokasi HQ anda. Ianya melibatkan kos kewangan yang sudah pastinya perlukan lebih pemerhatian.
Tips dan soalan ini bukan saja untuk anda yang mahu memilih lokasi HQ, tapi juga untuk anda yang berfikir-fikir untuk membuka kedai fizikal bagi bisnes anda.
Satu lagi tips yang mungkin membantu, bagi usahawan baru, tak semestinya anda perlukan HQ yang benar-benar wujud. Jika anda hanya perlukan alamat pejabat untuk kelihatan profesional, sewa sahaja 'virtual office' yang pasti akan jimatkan lebih banyak wang!
Buat pilihan yang bijak!
The post HQ Syarikat – 3 Soalan Yang Perlu Anda Tanya Sebelum Pilih Lokasi Tepat appeared first on Azizan Osman International.