Wednesday, October 17, 2018

Oh! Media

Oh! Media


Dari Meniaga Cekodok Untung RM15 Sehari, Kini Lelaki Ini Memiliki 9 Bisnes Food Truck!!

Posted: 16 Oct 2018 12:00 PM PDT


ORANGNYA cukup sederhana dan merendah diri. Di awal perbualan lagi anak kelahiran Felda Jengka 12 ini memberitahu, dirinya cuma lepasan sekolah aliran vokasional. Ketika berusia 18 tahun sama seperti kebanyakan anak muda lain, beliau berhijrah ke Kuala Lumpur dengan niat mencari peluang kehidupan yang lebih baik.

Tak betah bekerja setempat seperti kebanyakan pekerja "makan gaji", Mohd Rezuan Kihi, 39, memutuskan untuk memulakan langkah pertama di ibu kota dengan membantu bapa saudara berniaga buah buahan.

"Masa mula sampai KL saya berambut panjang jadi orang nampak macam rock je.. terus lekat panggilan Mat Rock sampai sekarang," ujarnya.

Selepas dua bulan menimba pengalaman, Mat Rock mula mengatur langkah sendiri. Beliau memohon lesen seterusnya menyewa tapak niaga di sebuah medan selera. Menggunakan wang hasil kerja keras yang jarang sekali dibelanjakan kecuali bila benar-benar perlu sebanyak RM1,500 beliau berniaga pisang goreng, cekodok, donat dan minuman secara kecil kecilan.

"Hasil jualan sehari dapatlah RM65 tapi lepas itu kena bayar gaji RM25 seorang pada dua pekerja," imbaunya sambil tersenyum.


Rasanya jika untung kecil sebegitu, tak ramai peniaga yang mahu mempertahankan bisnes mereka. Namun bagi seseorang yang berpandangan jauh seperti Mat Rock, meraih untung besar dalam masa segera bukan sesuatu yang paling dikejar. Strategi perniagaan lebih diutamakan. Atas sebab itulah tapak niaga di medan selera terbabit yang pernah menjadi tempatnya memasak makanan yang dijual di lokasi lain ketika baru bertatih dulu, dikekalkan sampai ke hari ini.

Pada sebelah malam Mat Rock berniaga pula burger berhampiran rumah di Keramat. Meskipun ketika ini untung tak sebesar mana namun ia tidak melunturkan rasa percayanya terhadap potensi untuk terus maju.

Masak Berbelas Jenis Lauk Setiap Hari


Akhirnya hasil kerja keras disertai sikap berjimat cermat, Mat Rock naik setahap lagi apabila mula berniaga menggunakan caravan pada 2011. Hasil pengamatannya berniaga menggunakan kenderaan mempunyai kelebihan besar bila mana lokasi boleh diubah mengikut sambutan pelanggan.

Sejak itu bermulalah rutin berniaga nasi campur Mat Rock di Jalan Tengah, Kuala Lumpur mulai jam 11 pagi hingga 2 petang, seterusnya bertukar kepada menu nasi lemak pada sebelah malam di Keramat Permai. Kegigihannya terserlah apabila memasak sendiri berbelas-belas jenis lauk untuk dijual setiap hari.

Nasib Mat Rock sebagai peniaga makanan di ibu kota tampak kian cerah apabila peluang demi peluang yang datang diraihnya. Selain menambah tapak niaga di medan selera Bukit Bintang, beliau menceburkan diri dalam bidang katering dan membuka restoran.

Pada 2014 Mat Rock memulakan evolusi penting dalam perniagaannya apabila mengambil keputusan unuk fokus kepada menu jualannya yang paling laris, ayam goreng kunyit. Panggilan namanya turut dikomersialkan lantas Mat Rock Ayam Goreng Kunyit mula meniti di bibir para pelanggan tetap terutama mereka yang gemarkan makanan pedas. Ini kerana set nasi ayam goreng kunyit Mat Rock turut menyertakan sambal dengan tahap kepedasan yang amat tinggi hinggakan sesiapa pun pasti akan sentiasa terkenang kepedasan yang dirasai ketika pertama kali menjamahnya.


Pada 2015, Mat Rock tak menoleh ke belakang lagi apabila mendengar tentang peluang yang dibuka Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bagi para peniaga yang mahu mendapatkan lesen berniaga "food truck". Pada tahun sama, tiga buah trak makanan berjaya dikeluarkan apabila permohonannya mendapat kelulusan.

Mat Rock semestinya layak untuk berbangga kerana daripada peniaga cekodok pisang yang untung jualan cuma RM15 sehari, hari ini beliau memiliki sembilan "food truck" yang tertera logo wajahnya.

Ayam goreng kunyitnya juga sudah popular dan jadi sebutan ramai terutama bagi mereka yang biasa menelusuri Jalan Bulan, Wisma Jakel, Lebuh Ampang, Jalan Tengah, Wisma Sentral, Jalan Tun Perak, Jalan Yap Kwan Seng, sekitar Maluri dan Jalan Raja Chulan.

Mat Rock turut memiliki dapur sentral di Pandan Indah selain turut memasarkan produknya menggunakan khidmat penghantaran makanan. Terbaharu, beliau sedang menanti kelulusan bagi menjalankan perniagaan secara francais sekaligus tercapailah cita-cita mahu melihat cawangan jenamanya ada di setiap pelosok negeri dan tak hanya di Lembah Klang sahaja.

Rahsia Kejayaan


Mengenang kembali faktor yang membuatkan perniagaan "food truck" miliknya berkembang dengan sangat pantas Mat Rock berkata, selain berusaha keras dan sanggup berkorban untuk bersusah sebelum berjaya, peniaga mesti bijak mengatur strategi dan menggunakan segala peluang yang boleh membantu perniagaan mereka selangkah ke hadapan.

Antara contoh terbaik yang dilakukan beliau ialah memohon dan mendapatkan pensijilan BeSS (BERSIH, SIHAT dan SELAMAT) yang dikeluarkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menerusi Bahagian Kualiti dan Keselamatan Makanan (BKKM). Logo ini ternyata amat membantu dalam merebut tempat terhad di tapak-tapak acara atau karnival mega yang menjadi rebutan ramai peniaga "food truck" tak kira di dalam mahupun luar negara.

Malah peluang yang diterima Mat Rock untuk menyertai Malaysia Fest 2018 di Singapura yang berlangsung pada Mei, Ogos dan seterusnya November tahun ini turut dibantu pensijilan BeSS kerana ianya diterima pakai bagi mengiktiraf seseorang peniaga itu benar-benar menyajikan makanan yang bersih, sihat dan selamat.


"Nak dapatkan BeSS pun taklah sesusah mana sebenarnya sebab trak yang dibeli khas untuk perniagaan makanan biasanya dilengkapi ciri-ciri yang diperlukan untuk lulus pensijilan ini termasuk sinki yang sempurna," kata Mat Rock.

Tambah beliau, peniaga tidak rugi apa-apa pun untuk memohonnya kerana mereka bukan sahaja tidak perlu keluarkan wang kocek sendiri malah kakitangan BKKM sedia membantu untuk membetulkan kekurangan yang ada selain memberi bimbingan dan khidmat nasihat sehingga pensijilan terbabit dapat diperoleh.

"Pengguna memang dapat manfaat besar daripada pensijilan BeSS kerana mereka tak perlu lagi bersusah payah untuk mengenal tempat makan yang bersih. Bagaimanapun para peniaga makanan sendiri amat rugi kalau tak ambil peluang mendapatkan logo BeSS kerana ia juga boleh meningkatkan kepercayaan pengguna untuk membeli produk kita," ujar Mat Rock yang sempat menyematkan pesanan berguna buat peniaga makanan di luar sana yang ingin berjaya sepertinya, sebelum mengakhiri perbualan kami malam itu.

Mendakwa Pelajar Palestin Membaling Batu, Israel Arah Tutup Sekolah

Posted: 16 Oct 2018 03:21 AM PDT


Pertempuran semalam tercetus apabila sekumpulan pelajar dan pemimpin tempatan cuba memasuki sebuah sekolah di bandar Sawiyah, utara Nablus yang diarahkan tutup oleh tentera rejim.

ertempuran berlaku antara penunjuk perasaan Palestin dan tentera Israel selepas rejim Tel Aviv mengarahkan penutupan sebuah sekolah di Tebing Barat.

Tentera rejim mendakwa, penutupan sekolah itu yang terletak di sebuah jalan utama di Tebing Barat dibuat kerana tindakan pelajar membaling batu ke arah tentera dan penduduk Israel yang menggunakan jalan itu.

"Kami menentang keputusan ini, kanak- kanak berhak mendapat pendidikan, mereka berhak pergi ke sekolah sepertimana kanak-kanak di negara lain," kata seorang pemimpin tempatan, Samer Ewass.

Persatuan Palang Merah Palestin berkata, sekurang-kurangnya empat orang terkena tembakan peluru getah, manakala beberapa penunjuk perasaan terkena gas pemedih mata yang dilepaskan tentera rejim.

Sebelum ini, berpuluh pelajar Palestin cedera setelah tentera dan penduduk Israel yang bersenjata menyerbu sebuah sekolah di Tebing Barat pada 11 Oktober lalu.

Sumber: Sinar

+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media.

Pas Minta Untuk Kaji Semula Hukuman Mati Mandatori

Posted: 16 Oct 2018 03:19 AM PDT


Berikutan dengan pemansuhan hukuman mati terhadap kes jenayah, Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang turut menegaskan beliau tidak bersetuju sekirannya ia dilaksanakan dan berharap kerajaan untuk mengkaji semula.

Beliau berkata, dalam Islam, terdapat hukum takzir iaitu didahulukan dengan hukuman ringan terlebih dahulu, manakala hukuman mati merupakan pilihan terakhir.

"Jadi kita minta kaji semula...walaupun hukum mati mandatori bagi dadah, dalam islam dadah termasuk dalam kesalahan takzir. Mesti ada mati mandatori, tapi mesti didahulukan dengan yang lain dulu," katanya.

+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media.


Harga Rokok Akan Terus Dinaikkan Hujung Bulan Ini

Posted: 16 Oct 2018 02:45 AM PDT


Pada hujung bulan ini, dijangkakan harga runcit rokok akan trus dinaikkan. Menteri Kesihatan, Dr Dzulkefly Ahmad berkata, harga produk tembakau termasuk rokok perlu dinaikkan apabila terdapat mana-mana cukai dinaikkan berdasarkan Peraturan 8A Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004.

Harga rokok akan dinaikkan berikutan dengan pelaksanaan SST yang turut dikenakan pada semua produk berasaskan tembakau.

Filem Aksi dan Patriotik Pertama Berjaya Kutip Lebih RM20 Juta

Posted: 16 Oct 2018 02:16 AM PDT


Filem Paskal The Movie yang pada mulanya orang ramai merasakan agak ragu-ragu untuk pergi menonton di pawagam kerana bimbang akan kualiti filem ini bertukar kepada sambutan yang amat mengejutkan apabila menerima banyak komen positif.

Terkini, setelah 18 hari tayangan di pawagam, Paskal The Movie telah berjaya mengutip RM22 juta. Kutipan ini sekaligus menjadikan Paskal The Movie sebagai filem aksi pertama dan filem patriotik pertama dapat mengutip kutipan melebihi RM20 juta.


+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media.

Hukuman Mati Untuk Kes Jenayah Bakal Dimansuhkan

Posted: 16 Oct 2018 12:24 AM PDT


Cadangan untuk memansuhkan hukuman mati teradap kes jenayah berat telah mendapat pelbagai respon dan komen.

Terkini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang). Liew Vui Keong mengumumkan akan dilaksanakan pemansuhan hukuman mati di negara ini membabitkan semua kes jenayah.

"Saya dapat memahami perasaan mangsa, sangat memilukan. Tetapi jika kerajaan mahu menghapuskan (hukuman mati), kita tidak boleh hapuskan separuh saja.

"Kami mahu menghapuskan semua hukuman mati bagi setiap kesalahan jenayah," katanya.

Jika Parlimen meluluskan cadangan ini, hukuman penjara minimum 30 tahun akan menggantikan hukuman mati. Sebanyak 18 kesalahan jenayah yang memperuntukkan hukuman mati, termasuk mengedar dadah, melancarkan perang terhadap Yang di-Pertuan Agong, keganasan, membunuh, membunuh mangsa ketika penculikan, memiliki dan menggunakan senjata api, merogol sehingga menyebabkan kematian dan merogol kanak-kanak.

Dalam pada itu, seramai 1,267 banduan berdepan hukuman mati di bawah Seksyen 39 (B) Akta Dadah Berbahaya 1952 sehingga kini, tetapi hukuman itu tidak dilaksanakan sejak 2014.

Sumber: BH Online

+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media.

Airasia Menawarkan Potongan Sehinga 70 Peratus

Posted: 15 Oct 2018 11:00 PM PDT


Syarikat AirAsia yang menawarka penerbangan kos rendah sedang menawarkan diskaun sehingga 70 peratus bagi semua destinasi mulai hari ini sehingga 28 Oktober 2018.

Ini dikatakan sendiri oleh Ketua Pemasaran Kumpulan AirAsia, Amanda Woo, terdapat lebih 130 destinasi di seluruh rangkaian mereka akan dapat dinikmati dengan harga yang lebih rendah.

Pelanggan boleh menikmati tambang yang sangat rendah dari Kuala Lumpur ke Changsha, Tokyo, Kolkata, Bali, Phuket, Siem Reap, Yangon, Manila, Singapura, Kota Kinabalu dan banyak lagi destinasi.

+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media.

Tiada Musim Ketiga Untuk Siri Marvel Netflix Iron Fist

Posted: 15 Oct 2018 10:12 PM PDT


Siri Marvel Netflix Iron Fist untuk mesim ketiga dilaporkan akan dibatalkan setelah musim kedua telah ditayangkan sebulan yang lalu. Ini dimaklumkan sendiri Disney dan Netflix yang mengatakan telah membatalkan siri ini.

Walaubagaimanapun,  Superhero Iron Fist yang dilakonkan oleh Finn Jones tidak akan ditamatkan dan akan bergabung dalam Marvel Netflix lain dalam siri The Defender iaitu Luke Cage, Daredevil, Jessica Jones dan The Pusnisher.

+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media.

Kumpulan Elite Tersingkir GV Minggu Ketiga, Namun Dilihat Gembira

Posted: 15 Oct 2018 10:00 PM PDT


Membawakan lagu popular pada  konsert Gegar Vaganza iaitu lagu Tamparan Wanita, akhirnya tersingkir juga. Memang sudah ramai yang menjangkakan GV pada minggu ketiga ini bakal menyingkirkan kumpulan Elite.

Menurut komen dari Datuk Ramli MS (Tok Ram), walaupun teknik nyanyian hancur, tetapi keakraban kumpulan itu menjadikan persembahan mereka kelihatan menari.

"Teknikal memang maut, tetapi the feels nyanyian kamu sangat jujur. Lupa lirik pun kawan dia bantu.

"Saya perasan benda tu...Pun begitu, mereka happy dengan keakraban mereka," komen jujur Tok Ram.

+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media.

Empat Golongan Wanita Syurga & Neraka

Posted: 15 Oct 2018 06:03 PM PDT


Menyebut oleh Imam Az-Zahabi Rahimahullahu Taala : "Dan telah datang dari Rasulullah saw sabdanya : Empat golongan dari wanita di dalam syurga dan empat golongan di dalam neraka.

Maka empat golongan yang yang di dalam syurga ialah :

1. Wanita yang baik dan taat kepada perintah Allah dan taat kepada suaminya. 

2. Sangat menyayangi lagi sabar dan sentiasa merasa cukup  dengan pemberian suaminya walau pun sedikit. 

3. Sangat pemalu yang jika suaminya keluar rumah maka sangat ia menjaga dirinya dan menjaga harta benda suami. Dan jika suaminya ada di rumah maka ia menjaga tutur katanya daripada menyakiti suami.

4. Jika suaminya mati dan ada baginya anak-anak yang masih kecil maka bersusah payah dia menjaga kebajikan anak-anaknya dan mengelokkan sehabis elok menjaga mereka.  Dan tiada ia berkahwin lagi kerana takut tersia-siakan anak-anaknya itu.

Dan adapun empat wanita yang di dalam neraka ialah :

1. Wanita yang jahat lidahnya atas suaminya yakni mulutnya sentiasa berleter ke atas suaminya dan mengeluarkan perkataan yang jahat. Jika suami tiada di rumah maka ia tidak menjaga akan dirinya manakala jika suaminya pulang maka disakiti akan suaminya dengan perkataan.

2. Wanita yang suka membebankan suaminya dengan perkara atau permintaan yang suaminya tidak mampu.

3. Wanita yang tidak menutup dirinya dari pandangan lelaki-lelaki diluar rumah. Dan keluar rumah dalam keadaan bergaya serta berhias cantik.

4. Wanita yang tiadalah cita-citanya dalam hidup melainkan makan dan minum dan tidur. Tiada ia gemar pada sembahyang dan pada taatkan Allah dan Rasulnya dan tiada mahu ia taat pada suaminya.

Maka kaum wanita apabila ada padanya sifat-sifat ini dan keluar rumah pula tanpa meminta kebenaran dari suaminya adalah ia dilaknat dan termasuk dari golongan ahli neraka melainkan bahawa ia bertaubat kepada Allah."

Sumber : Kitab Al-Kabaair m.s. 175

Imam Muhammad bin Ahmad Az-Zahabi  (673-788 Hijrah)

Adakah Wanita Pakai Wangian Penzina?

Posted: 15 Oct 2018 05:42 PM PDT


Soalan:
Apakah hukumnya bagi wanita memakai minyak wangi kemudian keluar ke rumah untuk bekerja, ke pasar dan sebagainya?

Jawapan:
Terdapat sebuah hadis yang boleh dijadikan perbincangan di dalam isu ini. Ia adalah sebuah hadis daripada Abu Musa al-Asy`ari RA bahawa Nabi SAW telah bersabda:

أَيُّمَا امْرَأَةٍ اسْتَعْطَرَتْ فَمَرَّتْ عَلَى قَوْمٍ لِيَجِدُوا مِنْ رِيحِهَا فَهِيَ زَانِيَةٌ
Mana-mana perempuan yang mengenakan wangian dan berjalan melewati satu kaum dan didapati bau darinya maka perempuan itu adalah penzina. [Riwayat Abu Daud (4173) & Al-Nasa'ie (5126). Hadis ini dinilai sebagai hasan]

Al-Imam al-Munawi Rahimahullah menyebutkan bahawa yang dimaksudkan dengan hadis di atas adalah perempuan yang memakai minyak wangi yang terzahir dan kuat baunya kemudian keluar dari rumah lalu melewati satu kaum iaitu lelaki-lelaki ajanib dan memang itu tujuannya, maka perempuan itu adalah penzina dari sudut mendapatkan dosanya. [Lihat Faydh al-Qadir. Maktabah al-Tijariyyah al-Kubra, 3/147]

Seterusnya al-Imam al-Munawi Rahimahullah menyebutkan:

والمرأة إذا استعطرت فمرت بالمجلس فقد هيجت شهوة الرجال بعطرها وحملتهم على النظر إليها، فكل من ينظر ‏إليها فقد زنا بعينه، ويحصل لها إثمٌ لأنها حملته على النظر إليها وشوشت قلبه، فإذن هي سببُ زناه بالعين، فهي أيضاً زانية
Dan perempuan jika mengenakan wangian lalu melewati satu majlis (yang padanya terdapat lelaki-lelaki) maka ia mampu menaikkan syahwat lelaki-lelaki dan mendorong untuk memandang kearahnya, maka setiap yang memandang kearahnya, maka matanya telah melakukan zina. Perempuan itu mendapat dosa kerana telah memancing pandangan kearahnya dan menjadikan hati lelaki tidak tenang. Makanya, ia adalah sebab berlakunya zina mata dan ia termasuk penzina. [Lihat Faydh al-Qadir. Maktabah al-Tijariyyah al-Kubra, 5/27]

Dalam sebuah hadis yang lain, daripada Abu Hurairah RA yang mana pada satu ketika dia telah bertemu dengan seorang perempuan yang ingin pergi ke masjid dalam keadaan mengenakan wangi-wangian. Lalu Abu Hurairah RA berkata: "Kamu ke masjid dalam keadaan berwangi-wangian? Sesungguhnya aku telah mendengar Nabi SAW telah bersabda:

أَيُّمَا امْرَأَةٍ تَطَيَّبَتْ، ثُمَّ خَرَجَتْ إِلَى الْمَسْجِدِ، لَمْ تُقْبَلْ لَهَا صَلَاةٌ حَتَّى تَغْتَسِلَ
Mana-mana wanita yang mengenakan wangian kemudian keluar menuju ke masjid, tidak diterima solatnya sehinggalah dia mandi (bagi menghilangkan bau wangi tersebut). [Riwayat Ibn Majah (4002). Syeikh Syu'aib mengatakan bahawa sanadnya lemah kerana terdapat padanya `Asim bin Ubaidullah]

Begitu juga apabila melihat athar para sahabat yang mana mereka amat menitikberatkan mengenai isu ini sepertimana yang diriwayatkan ketika zaman pemerintahan Umar al-Khattab RA, telah keluar seorang wanita dalam keadaan mengenakan bau-bauan sehingga dicium baunya lalu Umar memukulnya dengan tongkat miliknya lalu berkata:

تَخْرُجْنَ مُتَطَيِّبَاتٍ، فَيَجِدُ الرِّجَالُ رِيحَكُنَّ، وَإِنَّمَا قُلُوبُ الرِّجَالِ عِنْدَ أُنُوفِهِمْ، اخْرُجْنَ تَفِلَاتٍ
Kalian, para wanita keluar rumah dengan memakai wangi-wangian sehingga para lelaki mencium bau harum kalian?! Sesungguhnya hati lelaki itu ditentukan oleh bau yang dicium oleh hidungnya. Keluarlah kalian dari rumah dengan tidak memakai wangi-wangian." [Riwayat Abdul Razak di dalam Musannafnya (8107)]

Adakah Tidak Boleh Langsung Wanita Memakai Wangi-Wangian?

Apabila melihat kepada hadis-hadis serta riwayat-riwayat yang disebutkan di atas, jelas menunjukkan akan keharaman wanita untuk mengenakan wangian apabila keluar di rumah. Adapun jenis wangian yang disebutkan di sini adalah dari jenis yang zahir, kuat baunya sehingga mengalihkan pandangan ajnabi tertempu kepadanya. Ini boleh menggerakkan syahwat lelaki-lelaki yang mana hati mereka telahpun sakit dan boleh membawa kepada berlakunya perkara yang lebih buruk.

Jika begini keadaannya, maka perbuatan tersebut adalah haram dan al-Imam Ibn Hajar al-Haithami Rahimahullah menyebutkan bahawa ia termasuk di dalam dosa besar meskipun si suami mengizinkan berpenampilan sedemikian. [Lihat al-Zawajir. Dar al-Fikr, 2/71]

Adapun mengenakan sedikit wangian-wangian bagi tujuan menghilangkan bau badan seperti memakai deodorant, bedak talkum, sabun dan sebagainya, ini tidaklah termasuk di dalam kategori yang disebutkan di dalam hadis Nabi SAW sebelum ini.

 Ini kerana di dalam sebuah hadis, Nabi SAW telah bersabda:

إِنَّ خَيْرَ طِيبِ الرَّجُلِ مَا ظَهَرَ رِيحُهُ وَخَفِيَ لَوْنُهُ وَخَيْرَ طِيبِ النِّسَاءِ مَا ظَهَرَ لَوْنُهُ وَخَفِيَ رِيحُهُ
Sesungguhnya wangian yang baik bagi lelaki adalah yang terzahir baunya dan tidak jelas warnanya dan wangian yang baik bagi wanita adalah yang terzahir warnanya dan tidak begitu kuat baunya. [Riwayat Al-Tirmizi (2788)]

Al-Hasan mengatakan kemungkinan yang dimaksudkan dengan wangian wanita itu adalah wangian ketika keluarnya mereka dari rumah iaitu wangian yang jelas warnanya seperti za`faran dan baunya tidak pula kuat dan jelas. Adapun apabila bersama suaminya (tidak dikhalayak) maka berwangi-wangianlah dengan apa yang disukai olehnya.

Begitu juga yang disebutkan oleh al-Imam Badruddin al-`Aini Rahimahullah:

وإنما كان خير طيب النساء هو اللون دون الريح لأن اللون يجعل الزينة لهن وأما الريح فإنه إذا فاح منهن يتأتى منه فساد، ويخاف عليهن من الفتنة
Adapun sebaik-baik wangian bagi wanita adalah pada warnanya dan bukan pada baunya kerana pada warna itu dijadikan perhiasan bagi mereka manakala bau sesungguhnya jika tersebar baunya (kuat sehingga dapat dihidu baunya) akan datang padanya kerosakan dan takut keatasnya tertimpa fitnah. [Lihat Nukhabu al-Afkar fi Tanqih Mabani al-Akhbar, 9/97]

Kesimpulan

Kami berpendapat bahawa wanita boleh mengenakan sedikit wangi-wangian yang tidak terzahir baunya. Ini juga bagi menjaga penampilan wanita tersebut apabila berada dikhalayak. Begitu juga dibolehkan bagi pemakaian bedak, deodorant, sabun dan sebagainya.

Elakkan dari menggunakan wangian yang kuat baunya sehingga boleh menarik perhatian lelaki ajanib yang boleh menyebabkan fitnah dan juga boleh mengheret kepada lembah maksiat yang lain. Ini seperti mana yang terdapat di dalam hadis-hadis yang menyamakan perempuan sebegini sebagai penzina. Wallahu a'lam.


+ Mufti Wilayah Persekutuan

Benarkah Suami Tanggung Dosa Isteri?

Posted: 15 Oct 2018 05:25 PM PDT


Soalan:
Adakah sahih suami akan menanggung segala dosa isterinya?

Jawapan:
Di dalam al-Quran banyak ayat yang memerintahkan agar setiap daripada manusia itu menjaga diri mereka dan juga orang-orang yang berada di sekitar mereka daripada melakukan maksiat atau dosa. Antara firman Allah SWT yang menceritakan perkara tersebut adalah:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا قُوا أَنفُسَكُمْ وَأَهْلِيكُمْ نَارًا
"Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu serta ahli keluarga kamu dari api neraka." (al-Tahrim:6)

Syeikh Muhammad Sayyid Thanthawi dalam tafsirnya menyatakan makna ayat ini ditujukan kepada setiap insan yang mengaku beriman kepada Allah SWT agar mereka menjauhi diri mereka daripada api neraka dengan melakukan perkara kebaikan serta menjauhi diri daripada melakukan perkara maksiat dan ahli keluarga mereka dengan cara menasihati mereka, menunjukkan jalan yang benar kepada mereka dan menyuruh mereka melakukan perkara yang ma'ruf serta mencegah diri daripada melakukan perkara munkar. 

Di samping itu, Imam al-Qurthubi menukilkan daripada pendapat Qatadah dan Mujahid bahawa maksud memelihara diri adalah memelihara diri dengan menjaga tingkahlaku dan memelihara ahli keluarga pula adalah dengan menasihati mereka. [Lihat: Tafsir al-Wasith, 476/14]

 Berdasarkan soalan di atas, secara asalnya di dalam syara' setiap insan itu tidak akan menanggung dosa orang lain.  Ini berdasarkan firman Allah SWT:

وَلَا تَكْسِبُ كُلُّ نَفْسٍ إِلَّا عَلَيْهَا
"Dan tiadalah (kejahatan) yang diusahakan oleh setiap orang itu melainkan orang itu sahaja yang akan menanggung dosanya." (al-An'am:164)

 Imam al-Hafiz Ibn Kathir mengatakan ketika menafsirkan ayat ini bahawa ayat ini menceritakan perihal hari Kiamat ketika berlakunya pembalasan, hukuman dan pengadilan daripada Allah SWT. Selain itu, setiap jiwa itu akan diberi ganjaran berdasarkan setiap amalannya. 

Jika baik amalannya, maka baiklah pembalasannya. Dan jika buruk amalannya, maka buruklah pembalasannya. Ini kerana, setiap jiwa (manusia) itu tidak akan memikul kesalahan (dosa) orang lain. Hal ini membuktikan akan keadilan Allah SWT sepertimana firman Allah SWT: [Lihat: Tafsir Ibn Kathir, 383-384/3]

وَلَا تَزِرُ وَازِرَةٌ وِزْرَ أُخْرَىٰ ۚ وَإِن تَدْعُ مُثْقَلَةٌ إِلَىٰ حِمْلِهَا لَا يُحْمَلْ مِنْهُ شَيْءٌ وَلَوْ كَانَ ذَا قُرْبَىٰ
"Dan (ketahuilah) bahawa seorang pemikul itu tidak akan memikul dosa perbuatan orang lain dan jika berat tanggungannya (dengan dosa), lalu memanggil (orang lain) untuk menolong agar dipikul sama bebanan tersebut, maka tidak akan dapat dipikul sedikitpun daripadanya walaupun orang yang meminta pertolongannya itu daripada kaum kerabatnya sendiri." (Fatir:18)

Melihat kepada ayat dan kenyataan daripada Imam Ibn Kathir di atas, jelas menunjukkan di dalam syara' bahawa setiap insan yang sempurna akal fikirannya dan telah baligh (mukallaf), dosanya itu akan ditanggung oleh dirinya sendiri tidak kira apa statusnya sama ada dia seorang suami, isteri, ayah, ibu, anak atau selain daripadanya. 

Adapun, suami itu atau sesiapa sahaja akan berdosa bila mana dia tidak melaksanakan tanggungjawab yang telah diamanahkan kepadanya seperti menasihati isteri dalam perkara yang ma'ruf dan menghalangnya daripada melakukan perkara yang munkar. Perkara ini ada dinyatakan di dalam sebuah hadith iaitu:

Daripada Abdullah bin Umar RA, bahawa Nabi SAW bersabda:
أَلَا كُلُّكُمْ رَاعٍ، وَكُلُّكُمْ مَسْئُولٌ عَنْ رَعِيَّتِهِ، فَالْأَمِيرُ الَّذِي عَلَى النَّاسِ رَاعٍ، وَهُوَ مَسْئُولٌ عَنْ رَعِيَّتِهِ، وَالرَّجُلُ رَاعٍ عَلَى أَهْلِ بَيْتِهِ، وَهُوَ مَسْئُولٌ عَنْهُمْ
"Ketahuilah bahawa setiap daripada kamu adalah pemimpin, dan kamu akan ditanya berkaitan orang dibawahnya. Seorang Imam (ketua atau pemimpin) ke atas manusia adalah pemimpin dan dia akan ditanya mengenai kepimpinannya. Dan seorang lelaki adalah pemimpin kepada keluarganya dan dia akan ditanya berkaitan perihal mereka (ahli keluarganya)." [Riwayat Muslim (1829)]

Imam al-Nawawi berkata yang dimaksudkan dengan pemimpin di dalam hadith ini sebagaimana yang dikatakan oleh ulama' adalah seorang penjaga yang telah diamanahkan dan beriltizam dalam memperbaikkan setiap perkara yang dilakukan terutama orang yang berada dibawah penjagaannya. 

Jika terdapat kekurangan terhadap orang berada dibawah penjagaannya, maka dia dipertanggungjawabkan untuk mengadilinya (jika berlaku kezaliman) serta menguruskan keperluan yang diperlukannya (orang yang berada di bawah) sama ada perkara itu melibatkan agama, dunia atau mana-mana perkara yang berkaitannya. [Lihat: al-Minhaj Syarah Sahih Muslim, 213/12]

Selain itu juga, di dalam al-Quran terdapat firman Allah SWT yang menunjukkan bahawa lelaki merupakan pemimpin buat wanita. Antaranya:

Firman Allah SWT:
الرِّجَالُ قَوَّامُونَ عَلَى النِّسَاءِ
"Kaum lelaki itu adalah pemimpin dan pengawal yang bertanggungjawab terhadap kaum perempuan." (al-Nisa':34)

Kata Syeikh al-Sa'di, maksud lelaki adalah pemimpin di dalam ayat ini adalah kaum lelaki wajib menyuruh wanita (isteri) menunaikan hak-hak Allah seperti menjaga perkara-perkara yang fardhu dan mengahalang mereka daripada melakukan perkara maksiat. Ayat ini menunjukkan tanggungjawab kaum lelaki (suami) terhadap wanita (isteri) dalam memastikan mereka menjalankannya hak-hak tersebut. [Lihat: Taysir al-Karim, 177]

Bagi menjawab persoalan di atas, kami katakan bahawa si suami sama sekali tidak akan menanggung dosa isterinya jika si suami itu telah melaksanakan tanggungjawabnya dengan sebaik mungkin. Adapun, jika si isteri masih melakukan perkara maksiat setelah ditegur (dinasihati) atau si isteri melakukan maksiat di belakang suami (tanpa pengetahuan suami) maka si isteri itu tetap berdosa dan suami tidak akan sama sekali menanggung dosa-dosa tersebut. 

Ini kerana, tanggungjawab adalah untuk menasihati isteri kerana ia merupakan satu kewajipan yang perlu dilakukan dan perkara itulah yang akan dipersoalkan di hadapan Allah SWT di Akhirat kelak jika si suami cuai dalam mendirikan hal tersebut. Untuk itu, kami tegaskan bahawa kenyataan bahawa suami akan menanggung segala dosa isteri adalah tidak benar kerana ia bertentangan dengan dalil-dalil yang telah kami sebutkan di atas.

Kesimpulannya, setiap insan (mukallaf) akan menanggung dosanya sendiri di hadapan Allah SWT apabila tiba hari pengadilan dan setiap insan itu sama sekali tidak akan membawa atau menanggung dosa orang lain apabila dia telah melaksanakan tanggungjawabnya dengan sebaik mungkin. Akhirnya, semoga Allah SWT mengurniakan kita isteri-isteri yang solehah dan menjadikan keluarga yang terbina itu penuh dengan sakinah (ketenangan), rahmah (rahmat) dan mawaddah (kasih sayang). Amin.

Wallahua'lam


+ Mufti Wilayah Persekutuan