Saturday, October 6, 2018

Oh! Media

Oh! Media


Lahirnya Cahaya Mata, Apa Patut Dilakukan?

Posted: 05 Oct 2018 12:53 PM PDT


Apabila lahir cahaya mata, maka lakukanlah perkara berikut:

1. Azan / iqamat pada telinga bayi

2. Tahnik / beri rasa makanan manis pada lelangit bayi

3. Doakan keberkatan pada bayi

4. Cukur rambut bayi keseluruhannya pada hari ke tujuh dan timbang berat rambut tersebut dan nilaikan dengan nilai perak, lalu disedekahkan kepada fakir atau yg memerlukan

5. Aqiqahkan pada hari ke tujuh, empat belas, dua puluh satu atau bila-bila masa yang mampu. Bayi lelaki dua ekor kambing, bayi perempuan seekor kambing

6. Beri nama kepada bayi pada hari ke tujuh, paling baik adalah nama Abdullah dan Abdurrahman, kemudian nama para Nabi

7. Khitan bayi lelaki sunnah, khitan bayi perempuan kemuliaan

8. Menyusukan bayi dua tahun penuh


9. Memelihara, menjaga, mendidik dengan akhlak, adab serta agama

Wallahua'lam

Gadis Yang Tinggi Tawakkalnya Pada Allah

Posted: 05 Oct 2018 12:44 PM PDT


Syah bin Syuja' adalah seorang sufi yang berasal dari keluarga bangsawan di kota Kirmani, sebuah kota di Parsi. Beliau biasa dipanggil sebagai Syah Kirmani. Beliau memiliki dua orang anak, laki-laki dan perempuan.

Meskipun masih remaja keduanya mempunyai kecerdasan kerohanian yang luar biasa. Barangkali mereka memang mewarisi sifat ayahanda mereka melalui tarbiah dan didikan agama yang begitu baik sekali.

Seorang puteri Syah bin Syuja' telah dipingitnya (tidak boleh keluar rumah) selama 20 tahun. Apabila usianya sudah sampai 20 tahun maka para anak-anak menteri di kota Kirmani ramai yang datang untuk melamarnya. Sebagai orang tua, tentu saja Syah bin Syuja' merasa senang ramai yang meminang puterinya.

Tetapi, di sisi lain Syah bin Syuja' merasa sedih dan bimbang, siapa jodoh puterinya itu yang sebenarnya? Maka kepada para anak-anak menteri yang melamar puterinya itu Syah bin Syuja' meminta waktu 3 hari untuk memutuskannya.

Setelah Syah bin Syuja' pergi menjelajah dari masjid ke masjid tibalah dia di salah satu masjid yang sedang solat salah seorang guru sufi didalamnya. Guru sufi itu ternyata bukan lain adalah anak murid kepada Syah Kirmani sendiri. Syah bin Syuja' kemudian segera menemuinya.

"Apakah engkau telah berkeluarga?"
"Belum, wahai Syeikh" jawab guru sufi tersebut. 

"Mahukah engkau seorang isteri yang solehah?" tanya Syah bin Syuja'. 
"Siapa yang kamu mahu menikahkan puterinya kepadaku? Hartaku hanyalah tiga dirham", jawab guru sufi tersebut.

"Akan kuserahkan puteriku kepadamu", jawab Syah bin Syuja'.
"Layakkah saya untuk bernikah dengan anak perempuanmu sedangkan saya adalah seorang lelaki yang miskin", kata guru sufi itu seolah tidak percaya dirinya ingin dinikahkan dengan anak perempuan syeikhnya sendiri.

"Dari tiga dirham yang engkau miliki itu, belanjakanlah satu dirham untuk roti, satu dirham untuk minyak mawar, dan satu dirham untuk pengikat tali perkawinan", lanjut Syah bin Syuja'.

Akhirnya mereka bersepakat. Malam itu juga Syah bin Syuja' menghantar puterinya ke rumah guru sufi itu. Keduanya pun dinikahkan. Kini keduanya telah menjadi suami isteri.

Ketika memasuki rumah sang suami buat pertama kali, puteri Syah bin Syuja' melihat sepotong roti kering di sebuah kendi berisi air.

"Roti apakah ini?" tanya dia kepada suaminya. 
"Roti kelmarin yang ku simpan untuk buka puasa hari ini", jawab guru sufi yang memang terbiasa dengan amalan puasa sunat.

Mendengar jawapan itu, tiba-tiba si gadis hendak meninggalkan rumah guru sufi tersebut. Guru sufi pun pasrah seraya berkata:
"Sudah ku sedari bahawa puteri Syah Kirmani tidak akan sanggup hidup bersamaku yang miskin ini."

Puteri Syah bin Syuja' menjawab:
"Aku meninggalkanmu bukan kerana sedikit hartamu, tetapi kerana lemahnya iman dan kepercayaanmu sehingga engkau menyimpan roti kelmarin dan tidak percaya bahawa Allah akan memberi kamu rezeki setiap hari", kata puteri Syah bin Syuja' dengan serius.

Guru sufi tersebut sangat terkejut mendengar jawapan isterinya. Ada seorang perempuan yang jauh lebih tinggi berserah diri dan tawakkalnya kepada Allah.

Setelah terdiam sejenak dia melanjutkan perkataannya, "Aku jadi hairan kepada ayahku, 20 tahun lamanya dia memingitku dan mengatakan akan kunikahkan engkau dengan orang lelaki yang bertakwa kepada Allah, tetapi nyatanya dia menyerahkanku kepada seseorang yang tidak pasrah kepada Allah untuk makanannya sehari-hari."

"Apakah kesalahanku ini dapat diperbaiki?" guru sufi bertanya. 
"Boleh" jawab puteri Syah bin Syuja'. "Pilihlah satu di antara dua, aku atau roti kering itu!".

Akhirnya suaminya memilih isterinya dan memberi roti itu sebagai sedekah kepada fakir miskin.

Inilah natijah didikan yang sempurna yang telah diberikan oleh seorang ayah kepada anak perempuannya sehingga seorang gadis memiliki keyakinan dan tawakkal yang tinggi terhadap rezeki Allah. Sedikit pun tidak ragu-ragu dari mana rezeki akan datang kerana ia sesuatu yang telah dijamin keatas setiap manusia oleh Allah.

Mudah-mudahan kisah ini memberi kita kekuatan untuk menghilangkan kekhuatiran kita terhadap hilangnya atau berkurangnya harta dunia dari tangan kita bersama keyakinan bahawa khazanah yang berada disisi Allah adalah lebih baik dan lebih mulia.


Amiin Allahumma Amiin..

Kematian di Rumah, Apa Patut Buat?

Posted: 05 Oct 2018 12:31 PM PDT


Apa yang perlu dilakukan apabila seseorang baru meninggal dunia (di rumah)?

1. Tempatkan mayat di atas katil atau tilam. Sebaiknya ada tempat khas buat jenazah seperti di dalam bilik. 

2. Sunat meletakkan mayat dalam keadaan kakinya melunjur ke arah kiblat, kepalanya ditinggikan sedikit supaya wajahnya menghadap ke kiblat. 

3. Tanggalkan pakaian berjahit darinya, terutamanya jika pakaian itu kotor atau terkena najis. Pastikan aurat mayat dijaga. Tutup dengan kain yg tidak menampakkan warna kulit. 

4. Jika mata mayat terbuka, maka tutuplah ia. Jika mulutnya ternganga, cari sehelai kain untuk ikat rahang bawah ke atas kepala supaya mulut tertutup. 

5. Letakkan kedua-dua tangan mayat seperti keadaan qiam ketika solat. Tangan kanan di atas tangan kiri. 

6. Letakkan sesuatu yg sederhana berat di atas perut mayat bagi mengelakkan kembung atau buncit. 

7. Gerakkan lipatan sendi-sendi  tangan dan kaki supaya sentiasa lembut. Cara lain, boleh sapukan minyak di kawasan sendi-sendi tersebut. Ini bagi memudahkan urusan mandi mayat. 

8. Harus membakar setanggi atau kemenyan bagi mengharumkan ruang yang diletakkan jenazah. 


9. Sunat bagi yang hidup mengziarahi si mati dan menciumnya (yang mahram sahaja). Sebutkan hanya kebaikannya dan berdoa mohon keampunan buatnya. Elakkan dari menceritakan keburukannya atau mencercanya. 

Wallahua'lam. 

Polis Evo 2 Bakal Menyerang Pawagam November Ini

Posted: 05 Oct 2018 06:10 AM PDT


Selepas kejayaan Hantu Kak Limah, Munafik 2 dan Paskal The Movie, kini telah sekian lama dinanti, filem Polis Evo 2 pula dilihat akan memeriahkan lagi industri filem negara tahun ini.

Ini dilihat selepas teaser poster Polis Evo 2 dikeluarkan yang bakal menemui peminat pada November ini.

Filem lakonan Zizan Razak, Shaheizy Sam, Erra Fazira, Hairul Azreen dan pelakon Indonesia iaitu Raline Shah ini ternyata amat ditunggu-tunggu oleh penonton selepas kejayaan filem pertama Polis Evo yang mendapat kutipan sebanyak RM17.74 juta pada tahun 2015.

Apa Yang Paling Best Sepanjang Ulangtahun Ke-3 Mitsui Outlet Park KLIA Sepang Ni?

Posted: 05 Oct 2018 05:56 AM PDT


Baru-baru ini, Mitsui Outlet Park di KLIA Sepang telah menyambut ulangtahun ke-3 mereka
dengan meraikan pelbagai jenama popular di sana melalui pelbagai promosi secara besar-besaran. Oh! Media sendiri melalui Facebook ada membuat lintas langsung semasa sambutan ulangtahun tersebut diadakan.

Nampaknya ianya tidak berakhir di situ sahaja kerana lebih dari 20 jenama baru akan mula dibuka di Mitsui Outlet Park bermula dari 28 September 2018 nanti!

Berita ni sekaligus memberikan berita gembira kepada rakyat Malaysia yang kaki shopping
sakan barangan berjenama populr ni kerana kini lebih banyak lagi pilihan lagi setiap kami
datang berkunjung ke Mitsui Outlet Park.

Untuk yang tak tahu, Mitsui Oulet Park ini cuma bersebelahan sahaja dengan KLIA dan KLIA2.
Biasanya memang korang akan nampak tiap kali nak ke airport. Kat sini macam-macam barang
berjenama yang confirm original boleh korang beli pada harga cukup murah.

Bersempena dengan itu, Mitsui Outlet Park turut mengumumkan yang mereka akan membuat
promosi sehingga 80% diseluruh mall! Pelbagai aktiviti menarik juga akan dianjurkan untuk
semua shopper yang datang antaranya korang boleh dapat cash back dari 28 hingga 30
September, dan juga pada 6, 7, 13, 14, 20, dan 21 Oktober 2018 dengan berbelanja sekurangnya
RM200 di dalam 2 resit.

Korang juga boleh pusing Garapon dan terus menang pelbagai hadiah misteri pada tarikh yang sama juga. Ada Petron Miles Card? Jangan lupa dari 28 hingga 30 September 2018 yang korang boleh redeem RM30 di Petron dengan berbelanja RM300 dalam sekurangnya 2 resit.

Oh ya, ingat dari 28 September hingga 9 Oktober, Mitsui Outlet Park ada menganjurkan minggu
fasyen yang memberikan reward RM10 melalui baucer F&B bila korang membuat 2 pembelian jenama fasyen di sana dan akan bersambung pula dengan minggu sukan pada 10 hingga 21 Oktober pula yang turut memberikan ganjaran yang sama bila korang membuat pembelian sekurangnya 2 jenama sukan di Mitsui Outlet Park.

Tapi tak cukup syarat lagi kalau tak ada artis sekali kan? So pada 29 dan 30 September ni dari
jam 3 hingga 4 petang, pastikan korang datang untuk meet & greet bersama Stacy dan Sufian Suhaimi di sana.


Jadi bagi yang belum pernah sampai ke Mitsui Oulet Park KLIA tu, ini masa yang sesuai la untuk korang datang dan berbelanja pelbagai barangan jenama popular di sana pada harga yang super murah. Selamat bershopping!!

Mesin Pengering Baju Dobi Meletup, 2 Cedera

Posted: 05 Oct 2018 05:15 AM PDT


Dua beranak dilaporkan cedera apabila pengering baju di sebuah dobi layan diri Johan Setia, Klang meletup secara tiba-tiba semalam. 

Mangsa yang cedera dilaporkan dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) dan ia juga didapati mungkin berpunca dari tong gas pemanas mesin.






Bro Saddiq Lakukan Lawatan Mengejut Ke Akademi Mokhtar Dahari Gambang

Posted: 05 Oct 2018 04:41 AM PDT


Menerusi laman facebook milik Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman tadi telah mengemas kini bahawa dia telah melakukan lawatan mengejut ke Akademi Mokhtar Dahari di Gambang hari ini.

Lawatan ini dilihat dilakukannya bagi melihat sendiri sejauh mana kemudahan yang telah disediakan di sana. Syed Saddiq dilihat kecewa dengan apa yang dilihatnya.

"Kecewa. Akademi yang sepatutnya menjadi pemacu pembangunan bola sepak negara indah khabar dari rupa. Dengan banyak kerosakan dan fasiliti yang tidak boleh digunakan, saya hanya boleh gambarkan kekecewaan saya."

"Kemudahan asas pun tidak sempurna. Para pemain sendiri complain kepada saya, bilik mereka macam oven. Makanan di sekolah lama mereka, lebih baik dari makanan di sini. Sampai mereka terpaksa seludup makanan, sebab kelaparan."


"Bukan itu saja, dengan bola tidak cukup, baju latihan yang sudah singkat, kasut bola lusuh, masalah kebocoran, gym yang kosong, bilik hydrotheraphy yang tak boleh diguna, performance analysis room yang bocor dan tidak lengkap di mana staff perlu menggunakan laptop sendiri, projek RM 85 juta ini amatlah mengecewakan."

Syed Saddiq juga telah menyatakan akan mengambil serius masalah ini demi masa depan bola sepak negara.









Baju Kebaya Pramugari MAS Antara Tercantik Di Dunia

Posted: 05 Oct 2018 04:24 AM PDT


Baju kebaya pramugari Malaysia Airlines kini tersenarai sebagai seragam paling cantik di dunia. Ketua Pengajar Sekolah Hospitaliti Akademi MAB, Chang Chin Kwan memaklumkan bahawa pemilihan kebaya sebagai seragam penerbangan tersebut amat praktikal untuk pergerakan setiap masa pada waktu bekerja dan ia juga mempunyai keunikan corak yang melambangkan identiti Malaysia.

Fakulti Fesyen dari Institut Teknologi MARA (ITM) telah mereka batik berkenaan pada 1 Mac 1986 menampilkan motif batik Sarawak dan bunga-bunga tempatan seperti bunga cempaka, melur dan bunga raya.

Kerajaan Indonesia Kini Terpaksa Menghalang Penyebaran Berita Palsu di Palu

Posted: 05 Oct 2018 02:32 AM PDT


Nampaknya tidak cukup dengan tragedi gempa, tsunami, mencari dan menyelamat dan masalah kecurian yang berlaku di Palu, Indonesia, kini pihak berkuasa terpaksa berhadapan dengan satu lagi masalah iaitu penyebaran berita palsu yang telah menyebabkan penduduk di sana dalam keadaan panik dan ketakutan.

Antara berita palsu yang disebarkan ialah mendakwa akan berlakunya gempa dan tsunami susulan yang lebih kuat, Datuk Bandar Palu terbunuh, Empangan Bili Bili akan pecah dan penerbangan percuma buat mangsa.

Bagaimanapun, pihak kerajaan telah memaklumkan bahawa hanya Agensi Mitigasi Bencana Nasional (BNBP) yang akan bertanggungjawab menyebarkan info-info terkini.

Polis telah mengenal pasti identiti empat orang yang disyaki menyebarkan berita palsu itu dan mereka berasal dari daerah Majene, Sulawesi Barat.


Pesawat Pengangkutan Tentera Bertembung, 8 Cedera

Posted: 05 Oct 2018 02:14 AM PDT


Insiden pesawat pengangkutan tentera bertembung yang berlaku di Sudan menyebabkan lapangan terbang Khartoum ditutup.

Pesawat Antonov 26 dan 32 bertembung ketika ingin mendarat di lapangan terbang Khartoum selepas menamatkan sesi latihan pada pagi Rabu.

Walaubagaimanapun, hanya 8 anggota mengalami kecederaaan dan tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan siasatan turut telah dilakukan bagi mengenal pasti punca insiden.


Sharnaaz Ahmad Turut Kongsikan Pengalaman Bekerja Bersama Hero Negara

Posted: 05 Oct 2018 01:43 AM PDT


Sharnaaz Ahmad Basir Ahmad telah membuat satu perkongsian di instagram miliknya merujuk kepada kematian enam anggota Bomba dan Penyelamat ketika menjalankan operasi SAR seorang remaja terjatuh ke dalam lombong di Taman Putra Perdana, Puchong pada 9.15 malam tadi.

"Saya pernah bekerja, bergurau, bergelak dgn mereka, dan mereka adalah yg terbaik dalam unit di air malaysia, mereka adalah unit elit khas.. dan kehilangan yg sgt terasa buat unit di air bomba malaysia.. dan mereka sgt terlatih dan mahir dalam misi menyelamat.. banyak kes mereka bersabung nyawa dan berjaya selamatkan."

"Tetapi kali ini mereka dijemput oleh Allah atas tugas mereka.. sy sangat terkesan dengan kehilangan unit di air bomba malaysia.. mereka telah gugur dan syahid ketika melakukan kebaikan.. semoga Allah luaskan kubur mereka, dan jadikan kematian ini syahid yg paling indah buat ke enam enam hero sebenar malaysia.. @jabatanbombadanpenyelamat telah kehilangan asst paling besar negara," katanya.

Seluruh rakyat Malaysia merasai ini satu kehilangan dan  amat menyedihkan. Semoga roh penyelamat-penyelamat ini tenang di sana. Al Fatihah.



A post shared by Sharnaaz Ahmad Basir Ahmad ™ (@sharnaazahmad) on

Kejayaan Filem PASKAL Dipuji Pelakon Popular Hong Kong, Eric Tsang

Posted: 05 Oct 2018 01:18 AM PDT


PASKAL The Movie meneruskan kejayaannya setelah memasuki minggu pertama ditayangkan dan berjaya mengutip RM10.2 Juta dalam tempoh 7 hari tayangan.

"Terima kasih di atas sokongan anda semua pada kami seluruh team production Paskal The Movie dan juga percaya pada kami pelakon filem ini," tulisnya beserta tanda pagar #ThisIsAlphaLeader. - kongsi Hairul di Instagramnya.

PASKAL The Movie turut mendapat pujian dari pelakon popular Hong Kong, iaitu Eric Tsang apabila ia datang ke Malaysia dan menonton filem PASKAL bersama pengarah Adrian Teh dan pelakon-pelakon.

"Pelakon popular Hong Kong Eric Tsang tengok filem Paskal, dia tengok filem Bahasa Melayu. Dia puji filem ini.

"By the way, semalam tengok Paskal di Gold Class, Pavilion, serius sound dia best! Rasa macam peluru lalu depan-depan kita. Puas hati.

"InsyaALLAH, Paskal The Movie akan ditayangkan di luar negara tak lama lagi, bermula dengan Singapura," tulis Hairul.

Eric merupakan pelakon, pengarah, penerbit dan pengacara popular Hong Kong.




Juara GV 4 Aishah Tuntut Hadiah Dari DSV

Posted: 05 Oct 2018 12:56 AM PDT


Juara Gegar Vaganza 4, Aishah hari ini menunjukkan surat tuntutan kepada Datuk Seri Vida berhubung hadiah miliknya seperti yang dijanjikan.

Aisyah bersama peguamnya memberikan tempoh 7 hari untuk DSV memberikan jawapan dan mengharapkan agar DSV memenuhi tuntutan terbabit.
Sementara itu, berhubung tempoh tuntutan, andai tiada respon balas daripada DSV selepas tujuh hari, Aishah atau Wan Aishah Wan Ariffin, akan berbincang semula dengan peguamnya, Mohammad Izwan Azmi.

Ditanya mengenai tanah lot seperti yang dijanjikan oleh penaja lain, Aishah bercakap kepada Sinar Harian, ia masih dalam fasa menunggu.

Sebelum ini Aishah mendedahkan tanah lot berkeluasan banglo itu akhirnya difahamkan lebih kecil tambahan pula ukurannya tidak sesuai untuk sebuah rumah.

Anak Sulung Bob Lokman, Adam Meninggal Dunia

Posted: 05 Oct 2018 12:30 AM PDT


Hari ini dimaklumkan anak sulung kepada pelakon dan penulis lirik, Bob Lokman telah meninggal dunia pada jam 1 pagi tadi. Mohamad Adam, 25 tahun merupakan anak sulung kepada abang Bob Lokman.

Bob Lokman berkata Adam mempunyai sejarah ketumbuhan dalam otak dan pernah beberapa kali pengsan. Menurut Bob, kali terakhir dia bercakap dengan Adam pada 11 malam tadi kerana dikejutkan arwah bagi bertanya mengenai barang niaga pagi ini.

"Meski Adam sudah menjalani kimoterapi, doktor maklumkan ketumbuhan ini boleh datang lagi. Disebabkan itu, Adam selalu pengsan.

"Malam tadi, dia kejutkan saya dan bertanya nak gunakan berapa ekor ayam untuk berniaga pagi ini. Itu kali terakhir saya bercakap dengan Adam sebelum dia pengsan dan nazak pada 1 pagi," katanya.




Sajak Sakaratulmaut: Kisah Orang Fasiq Meninggal Dunia

Posted: 04 Oct 2018 06:01 PM PDT



Ini kisah seorang kaya yang digelar OB menghadapi sakaratul maut dan kematian yang buruk asbab cara hidupnya di dunia.

---------------

Sakarat…! Sakarat…! Sakaratul maut…!

Di hari itu, seorang OB rebah di kamar mandi, diserang lemah jantungnya yang menggugat nyawanya. Tengah malam pulang dari sebuah hotel di KL Bersama puan mudanya, bersama mulut dan lidahnya yang dinajisi alkohol dan banglonya di atas bukit.

Puan muda menelefon doktor peribadi OB dan doktor berkejaran bersama beg perubatannya dan sebatang jarum injection dibenamkan ke urat OB. Dan berombak-ombaklah nafasnya bergelombang dadanya dilambung nazak hempas-menghempas. Tujuh hari tujuh malam OB bergeletekan, golek gelentang di pembaringan dan seluruh dunia dan isinya berkumpul di dalam kepalanya.

(OB): "Bangloku! Mercedesku! Wangku dalam bank! Saham-sahamku di syarikat-syarikat! Rumah-rumah sewaku! Pengarah-pengarah, kuda-kudaku di padang lumba! Padang golfku! Anak-anakku di luar negeri! Dan isteri mudaku!"

Nazak hempas-menghempas, pulas-memulas dan pintal-memintal.

"Makan?" Geleng kepala! "Minum?" Geleng kepala! "Arak?" Geleng kepala! "Isteri muda?" Geleng kepala! "Mahu ke padang lumba kuda?" Geleng kepala! "Mahu pergi ke Genting Highland?" Geleng kepala! "Melancong ke Eropah?" Geleng kepala! "Ke Makkah naik Haji?" Geleng kepala! "Apa yang kau mahu?"

(OB): "Oh Tuhan, panjangkan umurku."
"Panjang umur? Berapa tahun kau mahu? Seratus tahun, cukup?"

(OB): "Ya, seratus tahun!"
"Enam puluh tiga tahun tidak cukup? Tak puas hidup? Tidak kenyang makan maksiat? Belum bosan mengumpul dosa kau mahu panjang umur lagi!"

Sedetik lagi sakaratul maut datang. Sedetik lagi Izrail datang. Sedetik lagi malaikatul maut datang. Kau diambang sakaratul maut. Kau nazak sekarang, wahai OB.

(OB): "Aku makin tegang dan makin sendat nafas di dada. Kedinginan mulai mulai memanjat dan merayap kaki. Perlahan-lahan menjalar ke seluruh jasad dan tubuhku. Aku dilambung resah, gelisah, keluh kesah. Keluhan dan rintihan: Panas! Dahaga! Haus! Panas! Air tujuh lautan mahu di teguk. Sebesar tujuh dunia kelaparan merobek usus-usus."

(OB): "Syaitan-syaitan datang berbondong-bondong menginjak-injak aku, menggoda aku, mahu memurtadkan aku."

(OB): "Nenekku datang, Nenek!!"
(Syaitan 1): "Kau dahaga cucu? Kau lapar cucu? Mahu air? Ini bejana penuh air madu! Kalau cucu mahu masuk syurga minum air ini."

(OB): "Ibu!!! Ibuku menggoyangkan buah susunya."
(Syaitan 2): "Ini ibumu! Air susu ini membesarkan kau, nak! Buangkan Islam! Matilah dalam agama Yahudi."

(OB): "Ayah!!! Kau datang ayah."
(Syaitan 3): "Matilah dalam agama Yahudi, wahai anakku, matilah dalam agama Kristian, itulah agama yang membawa kau ke syurga, katanya!"

"Ucaplah Laa ilaaha illallaah!"
(OB): "Tidak! Tidak! Tidak…!"

"Ucaplah Laa ilaaha illallaah!"
(OB): "Tidak! Tidak! Tidak…!"

(OB): "Rumahku! Mercedesku! Wangku dalam bank! Saham-sahamku! Kuda-kudaku! Kolam mandiku! Padang golfku! Isteri-isteriku! Dan duniaku!"

(OB): "Sakaratul maut pun datang. Pak lebai dari rumah setinggan dipanggil oleh pemandu dengan mercedes dan memanjat bukit ke bangloku di puncak desir angin, tapi lidahku telah kelu dan sakaratul maut kian detik tiba."

Manusia-manusia berjubah hitam datang, "Mari ikut kami!" Manusia-manusia berjubah hijau datang membawa payung hijau, katanya, "Mari ikut kami!" Cahaya putih datang. Datang sinar kuning. Datang kilatan hitam. Cahaya merah datang.

(OB): "Apa ini…? Apa ini!"
"Aku sakaratul maut!"

(OB): "Kedinginan menjalar merayap perlahan-lahan dari hujung kaki ke hujung rambut, dan kini seluruh jasadku diselimuti sejuk. Dan dingin singgah di tenggorokan, kemudian datanglah malaikat maut dihujung kepalaku."

(Malaikat Maut): "Hai, jiwa yang keji! Keluarlah kepada kemurkaan Allah!"
(OB): "Rohku berselerak ke seluruh tubuhku", lalu Inna lillaahi wainnaa ilayhi raaji'uun.

Malaikat-malaikat yang menunggu sesayup mata memandang, dan menghamburlah bau bangkai sebusuk-busuknya. Tuliskan suratannya dalam Sijjin pada bumi yang terbawah.

(OB): "Roh aku dicampakkan, dikembalikan ke dalam jasad lalu datang dua orang malaikat dan didudukinya aku."

(Munkar & Nakir): "Siapa Tuhanmu?"
(OB): "Ah! Ah! Ah! Aku tidak tahu!"

(Munkar & Nakir): "Apa agamamu?"
(OB): "Ah! Ah! Ah! Aku tidak tahu!"

(Munkar & Nakir): "Siapa lelaki ini yang diutus kepadamu?"
(OB): "Ah! Ah! Ah! Aku tidak tahu!"

(OB): "Datanglah kepadaku seorang lelaki yang hodoh wajahnya, buruk pakaiannya, busuk baunya! Siapa engkau?"

"Akulah amalanmu yang keji!"

(OB): "Kini aku diazab dan disiksa di dalam kubur. Menunggu! Menunggu doa anak yang soleh. Mana doa anakku seorang peguam? Mana doa anakku seorang doktor? Mana doa anakku seorang jurutera? Mana doa anakku seorang arkitek? Mana doa anakku seorang professor? Mana…? Mana…? Mana…?"

Hanzhalah Telah Menjadi Munafik?

Posted: 04 Oct 2018 05:38 PM PDT


Dari Hanzhalah Al-Usayyidi (salah seorang juru tulis Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam) dia berkata: "Saya pernah berjumpa dengan Abu Bakar dan dia berkata kepada saya: 'Bagaimanakah keadaanmu ya Hanzhalah?' Saya (Hanzhalah) menjawab: 'Hanzhalah telah menjadi orang munafik.' Abu Bakar terperanjat seraya berkata: 'Subhanallah, apa maksud ucapanmu tadi hai Hanzhalah?'

Saya menjawab: 'Ketahuilah olehmu hai Abu Bakar, ketika kami berada di sisi Rasulullah, beliau sering mengingatkan kami tentang siksa neraka dan nikmat syurga hingga seolah-olah kami melihatnya dengan mata kepala kami sendiri. Akan tetapi, ketika kami keluar dari sisi Rasulullah, maka kami pun berlaku kasar dan jahat kepada isteri dan anak-anak kami serta sering melakukan perbuatan yang tidak berguna. Jadi, kami ini sering lengah.' Abu Bakar berkata: 'Demi Allah, kami juga sering berbuat seperti itu hai Hanzhalah.'

Kemudian saya dan Abu Bakar pergi menuju ke rumah Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam. Sesampainya di sana, saya berkata: 'Ya Rasulullah, Hanzhalah telah menjadi munafik.' Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bertanya: 'Apa maksudmu hai Hanzhalah?'

Saya meneruskan ucapan saya: 'Ya Rasulullah, ketika saya berada di sisi engkau, kemudian engkau menerangkan kepada saya tentang siksa neraka dan nikmat syurga, seolah-olah saya melihatnya dengan mata kepala saya sendiri. Akan tetapi, ketika saya telah keluar dari sisi engkau, maka saya pun berlaku kasar kepada isteri dan anak-anak saya serta sering melakukan perbuatan yang tidak berguna. Jadi saya sering bersikap Iengah.'

Mendengar pernyataan tersebut, Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda: 'Demi Zat yang jiwaku ditangan-Nya, sungguh jika kamu sentiasa menetapi apa yang kamu lakukan ketika kamu berada di sisiku dan ketika kamu berzikir, nescaya para malaikat akan berjabat tanganmu dalam setiap langkah dan perjalananmu. Tetapi, tentunya yang demikian itu dilakukan sedikit demi sedikit (dari waktu ke waktu, secara berkala, tidak spontan).' Beliau mengulangi kata-kata itu tiga kali."

(Sahih Muslim, no. 4937, Sunan Ibnu Majah, no. 4229, Musnad Ahmad, no. 16949)

Sunnah Sebelum Solat Jumaat Yang Patut Diamalkan

Posted: 04 Oct 2018 05:23 PM PDT


Jumaat  penghulu bagi sekalian hari tiba lagi. Maka berbondong-bondong umat Islam seluruh dunia hadir ke masjid bagi menunaikan solat fardhu Jumaat. Sebelum ke masjid, mari kita telusuri beberapa ilmu sunnah yang dapat diamalkan pada hari Jumaat. Semoga bermanfaat.

MANDI SUNAT & DATANG AWAL SEBELUM KHATIB BERI KHUTBAH

Dari Abu Hurairah bahawa Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda: "Barangsiapa mandi pada hari Jumaat sebagaimana mandi janabah, lalu berangkat menuju masjid, maka dia seolah-olah berkorban seekor unta. Dan barangsiapa datang pada kesempatan (waktu) kedua maka dia seolah-olah berkorban seekor lembu. Dan barangsiapa datang pada kesempatan (waktu) ketiga maka dia seolah-olah berkorban seekor kambing yang bertanduk.

Dan barangiapa datang pada kesempatan (waktu) keempat maka dia seolah-olah berkorban seekor ayam. Dan barangiapa datang pada kesempatan (waktu) kelima maka dia seolah-olah berkorban sebutir telur. Dan apabila imam sudah keluar (untuk memberi khutbah), maka para Malaikat masuk mendengarkan khutbah tersebut (dan berhenti mencatat pahala)." (Sahih Bukhari, no. 832, Sahih Muslim, no. 1403)

SEMPURNAKAN WUDHU' DAN DIAM

Dari Abu Hurairah bahawa Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda: "Barangsiapa yang berwudhu', lalu dia menyempurnakan wudhu'nya, kemudian mendatangi (solat) Jumaat, mendengarkan (khutbah) tanpa berkata-kata, maka akan diampuni (dosa-dosa yang dilakukannya) antara hari itu dengan hari Jumaat yang lain, ditambah tiga hari." (Sahih Muslim, no. 1419, Sunan Abu Daud, no. 886)

JANGAN LANGKAH ORANG, SEBALIKNYA MINTA IZIN BERI LALUAN JIKA ADA KOSONG

Dari Jabir bin Abdullah, dia berkata: "Seorang laki-laki masuk masjid pada hari Jumaat sementara Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam sedang berkhutbah. Laki-laki itu melangkahi pundak (bahu) orang-orang hingga Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda: "Duduklah! Sungguh engkau telah terlambat dan menyakiti (orang lain)." (Sunan Abu Daud, no. 943, Sunan An-Nasa'i, no. 1382, Sunan Ibnu Majah, no. 1105)

SOLAT SUNAT SEBELUM DENGAR KHUTBAH

Dari Jabir bin Abdullah dia berkata: "Sulaik Al-Ghatafani datang pada hari Jumaat ketika Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam sedang berkhutbah, lalu dia pun duduk. Maka beliau pun bertanya padanya: "Wahai Sulaik, bangun dan solatlah dua rakaat, kerjakanlah dengan ringkas." Kemudian beliau bersabda: "Jika salah seorang dari kalian datang pada hari Jumaat, sedangkan imam sedang berkhutbah, maka hendaklah dia solat dua rakaat dengan ringkas." (Sahih Muslim, no. 1449)

DIAM! ATAU SIA-SIA PAHALA JUMAATMU

Dari Abu Hurairah bahawa Nabi Shallahu 'alaihi wasallam bersabda: "Barangsiapa yang berkata "diamlah" kepada temannya pada hari Jumaat padahal imam sedang berkhutbah, maka dia telah melakukan perbuatan sia-sia (tidak mendapat pahala)." (Sahih Bukhari, no. 882, Sahih Muslim, no. 1404)

Dalam riwayat lain disebut: "Dan barangsiapa yang memegang-megang (bermain) batu kerikil, maka dia telah berbuat (sesuatu) yang sia-sia." (Sahih Muslim, no. 1419, Sunan Abu Daud, no. 886)

Selamat menunaikan solat Jumaat. Jangan lupa share pada kawan-kawan korang.