Saturday, December 1, 2018

Oh! Media

Oh! Media


Mampukah Thailand Senyapkan 80,000 Penyokong Harimau Malaya?

Posted: 30 Nov 2018 06:17 AM PST


Korrakot Wiriyaudomsiri yang merupakan tonggak pertahanan pasukan Thailanf menyatakan pasukannya sudah bersedia untuk berdepan segala tekanan daripada puluhan ribu penyokong Harimau Malaya pada aksi separuh akhir pertama Piala AFF di Stadium Nasional Bukit Jalil, esok.

Pertahanan kiri kelab Buriram United itu berkata, persiapan lengkap yang dilakukan skuad Gajah Perang bakal diterjemahkan di atas padang dalam usaha mendapatkan keputusan positif berdepan Harimau Malaya.

"Kami 100 peratus bersedia untuk perlawanan esok dan kami sudah melakukan persiapan rapi untuk perlawanan ini. Saya harap esok akan menjadi hari yang baik untuk kami.

"Kami juga fikir stadium akan dipenuhi dengan penyokong tuan rumah, tapi saya yakin semuanya akan berjalan dengan baik.

"Malaysia antara pasukan terbaik di Asia Tenggara, jadi kami perlu lebih fokus dan sekarang ini masa untuk berehat secukupnya sebelum perlawanan esok," katanya pada sidang media di Stadium Nasional, hari ini.

 + Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media.

Tahun 2018 Menjadi Tahun Keempat Terpanas Berturut-turut

Posted: 30 Nov 2018 04:01 AM PST


Menerusi laporan yang dikeluarkan menjelang Sidang Kemuncak Iklim COP 24 di Poland, data Pertubuhan Meteorologi Sedunia menunjukkan 20 tahun paling panas sejak 22 tahun lalu dan mendapati 2018 menjadi tahun keempat paling panas dalam rekod.

Agensi antarabangsa iaitu PBB turut menekankan keperluan mendesak untuk menghentikan kegiatan pemanasan bumi.

"Ini bermakna empat tahun lalu, 2015, 2016, 2017 dan 2018 adalah tahun paling panas secara berturut-turut," menurut laporan sementara tentang iklim pada tahun ini.

Laporan itu juga menunjukkan purata suhu global untuk tempoh 10 bulan pertama tahun ini adalah hampir 1.0 darjah Celsius di atas era praindustri (1850-1900).

Delegasi dari hampir 200 negara dijangka bertemu di Poland pada minggu depan untuk menghadiri sidang kemuncak tersebut yang bertujuan untuk memperbaharui dan mengukuhkan perjanjian Paris serta mengehadkan pemanasan global.

Difahamkan, ia akan berkuatkuasa pada 2020 dan menggesa semua pihak mengehadkan pemanasan global kepada kurang daripada 1.5 darjah Celsius di atas paras praindustri.

 + Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media.

Pusat Hiburan Hanya Dibenarkan Beroperasi Sehingga Jam 1 Pagi

Posted: 30 Nov 2018 03:22 AM PST


Khalid Samad yang merupakan Menteri Wilayah Persekutuan berkata, mereka telah menetapkan peraturan baru yang perlu diikuti semua pusat hiburan di mana pusat-pusat hiburan yang ada di pusat bandar tidak lagi dibenarkan untuk beroperasi selepas jam 1 pagi.

Peraturan ini ditetapkan kerana kebanyakan pusat hiburan yang beroperasi selepas waktu 1 pagi seringkali dikunjungi oleh penduduk tempatan bukannya pelancong asing yang datang ke Malaysia.

Walaupun begitu, pusat hiburan yang sering dikunjungi pelancong asing akan diberikan kebenaran untuk beroperasi sehingga jam 5 pagi dengan syarat setiap pusat hiburan tersebut mempunyai kebenaran khas oleh pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Namun, pihak DBKL perlu menyemak semula premis-premis yang akan diberikan kebenaran khas untuk beroperasi sehingga 5 pagi kerana pihak mereka tidak mahu ia disalahgunakan dan mendapat aduan orang ramai kemudian hari.

 + Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media.

Harimau Malaya Naik Dua Anak Tangga Dalam Ranking FIFA

Posted: 30 Nov 2018 03:02 AM PST


Kedudukan pasukan bola sepak negara meningkat naik sebanyak dua anak tangga seperti yang dikeluarkan oleh badan induk bola sepak dunia, FIFA pada hari ini.

Sebelum ini, Harimau Malaya berada pada kedudukan tangga ke-169 dunia. Peningkatan ini bermakna pasukan negara menduduki tangga ke-167 dunia, sekaligus meneruskan rentak positif pasukan negara di dalam kedudukan tersebut sejak beberapa bulan yang lalu.

Pasukan negara yang berada di bawah bimbingan Ketua Jurulatih, Tan Cheng Hoe berada di kedudukan ke-175 dunia pada Januari lalu, merekodkan peningkatan ke kedudukan ke-171 dunia pada Mei sebelum terus melakar peningkatan pada Oktober dan November.

Malaysia yang kini mengumpul 984 mata terkumpul setakat ini turut mengumpul 10 mata sepanjang tempoh tersebut hasil keputusan positif dalam beberapa perlawanan antarabangsa sepanjang bulan ini.

Manakala Indonesia dan Singapura kekal di kedudukan ke-160 dan ke-165, walaupun prestasi kedua-dua negara di kejohanan serantau baru-baru ini agak mengecewakan.

 + Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media.

Adib Sudah Mula Sedar Dan Faham Arahan

Posted: 29 Nov 2018 11:59 PM PST


Ketua Pegawai Eksekutif Institut Jantung Negara (IJN), Datuk Seri Dr Azhari Yaakub, berkata keadaan Muhammad Adib masih dikategorikan sebagai kritikal namun stabil.

"Pagi tadi beliau mula sedar dan faham arahan yang diberikan. Itu adalah tanda positif yang menunjukkan otak berfungsi.

"Bagi kecederaan organ, Muhammad Adib masih menggunakan mesin Extracorporeal Membrane Oxygenation (ECMO) yang membantu fungsi paru-paru," katanya pada sidang media di IJN, disini hari ini.

Muhammad Adib Mohd Kassim, 24, yang parah dipukul dalam rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman, Subang Jaya, Selasa lalu dan pemeriksaan tekanan darah masih rendah bermaksud buah pinggang beliau rosak dan memerlukan rawatan dialisis.

Dr Azhari berkata, "Kami menjangkakan beliau memerlukan penggunaan mesin ECMO kira-kira beberapa hari lagi.

"Kita harap masyarakat di luar terus berdoa supaya keadaan Muhammad Adib terus bertambah baik,".

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, dilaporkan berkata pihaknya yakin laporan kesihatan dapat dikeluarkan dalam masa terdekat kerana ianya penting bagi mengetahui tahap dan punca kecederaan dialami mangsa.

 + Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media.

Kerajaan Bercadang Untuk Mansuhkan Akta Pampasan Pekerja 1952

Posted: 29 Nov 2018 11:41 PM PST


Akta Pampasan Pekerja 1952 yang telah lama diguna di negara ini bakal dimansuhkan untuk memberi perlindungan sama rata kepada pekerja tempatan dan asing yang bekerja.

Ini dimaklumkan sendiri oleh Menteri Sumber Manusia, M.Kula Segaran yang berkata pemansuhan akta itu adalah supaya penggantian perlindungan keselamatan pekerja asing daripada skim di bawah Akta Pampasan Pekerja 1952 sebelum ini kepada di bawah Perkeso dapat dilaksanakan dan kerajaan mempunyai sistem kawalan perlindungan yang lebih efisyen.

Perlindungan pekerja asing di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) bakal di kuatkuasakan mulai 1 Januari tahun hadapan dan proses pemansuhan akta ini sedang dijalankan dan juga skim pampasa pekerja asing tidak perlu lagi diaktifkan untuk pembaharuan atau pendaftaran baharu mulai Januari ini.

Keputusan yang diambil ini dipandang serius oleh kerajaan dan Kabinet untuk di sama-ratakan antara pekerja dalaman dan asing supaya kerajaan dapat mengetahui dengan lebih luas data-data penting pekerja asing dan juga caruman yang dibuat oleh majikan supaya kerajaan dapat mengambil tindakan dengan lebih cepat dan boleh membuat laporan terus ke Imigresen dan pihak polis.

 + Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media.

Bermula Tahun Hadapan, Starbucks Akan Menghalang Pelanggan Menonton Bahan Lucah

Posted: 29 Nov 2018 11:19 PM PST


Kebanyakan pelanggan yang memilih untuk melakukan perbincangan atau lepak di premis Starbucks adalah kerana ingin menikmati secawan kopi kegemaran dengan suasana yang santai dan juga kerana kemudahan Wi-Fi yang disediakan secara percuma.

Tetapi disebalik pemberian Wi-Fi percuma itu, ada juga diantara mereka yang menyalahgunakan perkhidmatan itu dengan membuka atau menonton bahan pornografi.

Oleh itu, bermula tahun hadapan Starbucks akan menggunakan satu sistem penapisan kandungan laman web yang boleh dilawati menggunakan sambungan internet di premis berkenaan.

Keputusan untuk menggunakan sistem tersebut dibuat setelah Starbucks menerima desakan dan petisyen yang ditandatangani oleh lebih 26,000 pengguna lain yang diawasi oleh pihak keselamatan pengguna internet, Enough is Enough. Menurut pengumuman yang dilakukan oleh pihak Starbucks, sistem tersebut akan mula dilaksanakan di Amerika Syarikat terlebih dahulu tahun hadapan.

 + Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media.

Tiket Perlawanan Separuh Akhir Malaysia Tentang Thailand Habis Terjual

Posted: 29 Nov 2018 10:59 PM PST


Tiket perlawanan separuh akhir pertama Piala AFF Suzuki 2018 antara Malaysia dan Thailand pada Sabtu ini, habis terjual di kaunter tiket Stadium Nasional Bukit Jalil, hari ini.

Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dalam entri terbaharu melalui laman Facebooknya, memaklumkan tiket dijual secara fizikal di kaunter tiket Stadium Nasional itu yang dibuka seawal 10 pagi habis terjual dalam tempoh tiga jam.

FAM juga memaklumkan tiket yang dijual di cawangan terpilih Al-Ikhsan Sports dan Football Republic turut habis, sekali gus bermakna 80,000 keping tiket yang diperuntukkan termasuk 40,000 keping tiket perlawanan dijual secara dalam talian pada Isnin dan Selasa lepas, telahpun habis terjual.

Untuk rekod, skuad Harimau Malaya tewas dengan agregat 3-4 kepada skuad Gajah Perang yang muncul juara Piala AFF Suzuki 2014 dan mengekalkan kejuaraan pada edisi berikutnya pada 2016.

Mengislamkan Seseorang Wajib Baginya Syurga?

Posted: 29 Nov 2018 04:45 PM PST


Soalan:
Apakah status hadith ini?

Daripada Uqbah bin 'Amir, dikatakan bahawa Nabi SAW pernah bersabda:
مَنْ أَسْلَمَ عَلَى يَدَيْهِ رَجْلٌ وَجَبَتْ لَهُ الْجَنَّةُ
"Barangsiapa yang tangannya mengislamkan seseorang maka wajib baginya untuk mendapat syurga."

Jawapan:
Mengislamkan seseorang merupakan satu pekerjaan yang mulia kerana ia juga merupakan pekerjaan para Nabi dan Rasul iaitu membawa manusia ke jalan hidayah. Antara firman Allah SWT yang menceritakan sebab diutuskan Nabi Musa AS kepada kaumnya:

Firman Allah SWT:

وَلَقَدْ أَرْسَلْنَا مُوسَىٰ بِآيَاتِنَا أَنْ أَخْرِجْ قَوْمَكَ مِنَ الظُّلُمَاتِ إِلَى النُّورِ وَذَكِّرْهُم بِأَيَّامِ اللَّـهِ ۚ إِنَّ فِي ذَٰلِكَ لَآيَاتٍ لِّكُلِّ صَبَّارٍ شَكُورٍ
"Dan sesungguhnya Kami telah mengutuskan Nabi Musa (pada masa yang lalu) dengan membawa mukjizat-mukjizat Kami sambil Kami berfirman: "Hendaklah engkau mengeluarkan kaummu dari gelap-gelita kufur kepada cahaya iman; dan ingatkanlah mereka dengan Hari-hari Allah. "Sesungguhnya yang demikian itu, mengandungi tanda-tanda yang menunjukkan kekuasaan Allah bagi tiap-tiap seorang yang kuat bersabar, lagi kuat bersyukur." (Ibrahim: 5)

Ayat di atas menunjukkan bahawa tujuan Nabi atau Rasul diutuskan adalah untuk membawa manusia daripada jalan kesesatan kepada jalan hidayah atau petunjuk. Untuk itu, sesiapa yang telah mengislamkan seseorang maka dia telah mengeluarkan seseorang itu daripada kegelapan kepada nur atau cahaya hidayah.

Berkaitan soalan di atas, hadith atau riwayat di atas dinukilkan oleh Imam al-Thabarani di dalam kitabnya al-Mu'jam al-Awsath. [Lihat: al-Mu'jam al-Awsath, 36/4]

Namun, apakah benar dakwaan yang menyatakan bahawa sesiapa yang berjaya mengislamkan seseorang maka dia pasti akan mendapat syurga Allah SWT di akhirat kelak. Di sini kami nyatakan hukum hadith di atas terlebih dahulu.

Hukum Hadith

Berikut adalah beberapa pendapat para ulama' dalam menilai hadith di atas:

  • Imam al-Zahabi menghukum riwayat ini sebagai terlalu munkar disebabkan salah seorang perawi iaitu Ibn Mu'awiyyah bertafarrud (bersendiri) dalam meriwayatkan hadith ini. [Lihat: Mizan al-'Itidal, 45/4]
  • Imam Ibn al-Jauzi mengatakan hadith ini adalah palsu. [Lihat: al-Mawdhu'at, 137/1]
  • Imam al-Suyuthi menilai hadith ini sebagai palsu. [Lihat: al-La'ali al-Masnu'ah, 48/1]
  • Syeikh Mulla Ali al-Qari menghukum hadith ini sebagai palsu dan begitu juga Imam al-Saghani. [Lihat: al-Asrar al-Marfu'ah, 327/1 dan juga di dalam al-Masnu' fi Ma'rifah al-Hadith al-Mawdhu', 177/1]
  • Imam al-Syaukani menilai hadith ini sebagai mawdhu'. [Lihat: al-Fawaid al-Majmu'ah, 455/1]
  • Syeikh Ibn 'Arraq juga menghukum hadith ini sebagai palsu. [Lihat: Kasyf al-Khafa', 226/2]

Setelah melihat sebahagian pendapat para ulama' berkaitan hukum hadith ini, maka kami cederung untuk mengatakan bahawa hadith ini tidak mempunyai asal atau maudhu'. Ini kerana, terdapat perawi di dalam sanad hadith ini dihukum sebagai kazzab (pendusta) oleh tokoh besar hadith seperti Yahya bin Ma'in dan al-Daraquthni. Untuk itu, kita tidak boleh sesekali menyandarkannya kepada Nabi SAW dan juga meriwayatkan kepada orang lain melainkan untuk menyatakan akan kepalsuannya.

Walaubagaimanapun, tidak dinafikan bahawa menyeru manusia ke jalan hidayah merupakan satu perbuatan yang mulia kerana dia telah melaksanakan salah satu daripada sifat wajib bagi Nabi atau Rasul iaitu menyampaikan.

Tambahan pula, terdapat hadith-hadith lain yang menceritakan galakan menyeru kepada kebaikan dan ganjaran yang akan diperolehi apabila seseorang itu melakukan kebaikan yang diseru itu. Antaranya adalah:

Daripada Sahl bin Sa'ad, beliau mendengar Nabi SAW bersabda:

فَوَاللَّهِ لَأَنْ يُهْدَى بِكَ رَجُلٌ وَاحِدٌ خَيْرٌ لَكَ مِنْ حُمْرِ النَّعَمِ
"Demi Allah, apabila ada seorang sahaja yang mendapat petunjuk melalui dirimu, maka itu adalah lebih baik bagimu daripada unta merah (jenis unta yang paling baik)." [Riwayat al-Bukhari (2942)]

Daripada Abi Mas'ud al-Ansari RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

مَنْ دَلَّ عَلَى خَيْرٍ فَلَهُ مِثْلُ أَجْرِ فَاعِلِهِ
"Barangsiapa yang menunjukkan sesuatu kebaikan maka dia mendapat pahala sama seperti yang melakukannya." [Riwayat Muslim (1893)]

Daripada Abi Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

مَنْ دَعَا إِلَى هُدًى، كَانَ لَهُ مِنَ الْأَجْرِ مِثْلُ أُجُورِ مَنْ تَبِعَهُ، لَا يَنْقُصُ ذَلِكَ مِنْ أُجُورِهِمْ شَيْئًا
"Barangsiapa yang menyeru (seseorang) kepada hidayah, baginya ganjaran sepertimana ganjaran orang yang mengikutinya tanpa mengurangi sedikitpun daripada ganjaran mereka (yang melakukan)." [Riwayat Muslim (2674)]

Hadith-hadith di atas, jelas menunjukkan kepada kita akan ganjaran yang hebat akan diterima oleh seseorang yang telah menyeru manusia ke jalan hidayah dan pahala tersebut akan diperolehi selagimana orang yang diseru itu melakukan serta mengamalkannya.

Penutup

Kesimpulannya, kita perlulah sentiasa menyeru manusia tidak kira warna kulit, bangsa dan agama kepada hidayah atau kebaikan. Ini kerana, ganjaran yang disediakan oleh Allah SWT kepada sesiapa yang membawa saudaranya ke jalan hidayah adalah amat besar. Akhirnya, semoga Allah SWT memberi kita kekuatan dan hikmah dalam menyeru manusia ke jalan hidayah yang mana jalan hidayah inilah yang akan membawa manusia ke dalam syurga yang kekal abadi buat selamanya. Amin.

Wallahua'lam.

+ Mufti Wilayah Persekutuan

Amalan Dibentang Kepada Allah Pada Isnin & Khamis

Posted: 29 Nov 2018 04:30 PM PST


Soalan:
Apakah hadith yang menunjukkan bahawa amalan dibentang pada hari Isnin dan Khamis?

Jawapan :
Allah SWT mencipta manusia agar mereka mengabdikan diri mereka kepada Allah SWT. Di samping itu juga, Allah SWT memerintahkan hamba-hamba-Nya agar sentiasa melaksanakan setiap tuntutan dan suruhan-Nya serta menjauhi segala larangan-Nya.

Firman Allah SWT:

وَمَا خَلَقْتُ الْجِنَّ وَالْإِنسَ إِلَّا لِيَعْبُدُونِ
"Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepada-Ku." (Al-Zariyat: 56)

Firman Allah SWT lagi:

مَّا يَلْفِظُ مِن قَوْلٍ إِلَّا لَدَيْهِ رَقِيبٌ عَتِيدٌ
"Tidak ada sebarang perkataan yang dilafazkannya (atau perbuatan yang dilakukannya) melainkan ada di sisinya malaikat pengawas yang sentiasa sedia (menerima dan menulisnya)." (Al-Qaaf: 18)

Ayat di atas ini menunjukkan bahawa setiap apa yang dilakukan oleh manusia atau insan ini akan dicatat oleh malaikat dan ia juga akan dibentangkan di hadapan Allah SWT. Berdasarkan persoalan di atas, terdapat beberapa buah hadith sahih yang menceritakan akan hal sedemikian. Antaranya ialah:

Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

تُعْرَضُ الأَعْمَالُ يَوْمَ الِاثْنَيْنِ وَالخَمِيسِ، فَأُحِبُّ أَنْ يُعْرَضَ عَمَلِي وَأَنَا صَائِمٌ
"Amalan dibentangkan pada hari Isnin dan Khamis, maka aku kebih suka amalanku dibentangkan ketika aku sedang berpuasa." [Riwayat al-Tirmidzi (747), Imam al-Tirmidzi menilai hadith ini sebagai hasan gharib] 

Daripada Usamah bin Zaid, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

ذَانِكَ يَوْمَانِ تُعْرَضُ فِيهِمَا الْأَعْمَالُ عَلَى رَبِّ الْعَالَمِينَ، فَأُحِبُّ أَنْ يُعْرَضَ عَمَلِي وَأَنَا صَائِمٌ
"Dua hari tersebut akan dibentangkan amalan-amalan kepada Tuhan sekalian alam. Maka aku lebih suka jika amalanku dibentangkan ketika aku sedang berpuasa." [Riwayat al-Nasa'ie (2358)]

Hadith ini tidak menafikan sabda Nabi SAW bahawa diangkat amalan malam sebelum amalan siang dan diangkat amalan siang sebelum amalan malam. Hal ini bagi membezakan antara diangkat dan juga dibentangkan. Ini kerana, amalan-amalan dihimpunkan selama seminggu dan dibentangkan pada dua hari ini (Isnin dan Khamis).

Kata Ibn Hajar bahawa tidak dinafikan bahawa diangkatnya amalan pada bulan Sya'ban berdasarkan hadith Nabi SAW bahawa sesungguhnya ia (bulan Sya'ban) adalah bulan yang diangkat padanya amalan dan aku lebih suka amalanku diangkat dalam keadaan aku sedang berpuasa bagi menunjukkan amalan itu terangkat iaitu amalan mingguan berbentuk terperinci dan manakala amalan tahunan pula berbentuk umum.
[Lihat: Tuhfah al-Ahwazi, 375/3]

Antara makna hadith di atas adalah setiap amalan akan diangkat dan dibentangkan kepada Allah SWT, sama ada amalan tahunan yang diangkat pada bulan Sya'ban sebagaimana dikhabarkan oleh Baginda SAW dan juga amalan mingguan yang akan diangkat pada hari Isnin dan Khamis.
[Lihat: Hasyiah Ibn al-Qayyim bagi Sunan Abu Daud, 12:313]

Antara faedah lain yang boleh diambil daripada hadith di atas adalah kelebihan berpuasa pada hari Isnin dan Khamis. Oleh sebab itu, kita disunatkan untuk berpuasa pada hari Isnin dan Khamis sebagaimana dinyatakan di dalam mazhab kita iaitu mazhab al-Syafie Rahimahullah berdasarkan apa yang diceritakan oleh isteri Baginda SAW yang tercinta:

Daripada Aisyah RA, berkata:

كَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَتَحَرَّى صَوْمَ الِاثْنَيْنِ وَالخَمِيسِ
"Adapun Nabi SAW sentiasa berpuasa pada hari Isnin dan Khamis." [Riwayat al-Tirmidzi (745)]

Penutup

Kesimpulannya, kita dituntut untuk berpuasa pada hari Isnin dan Khamis berdasarkan hadith yang kami nyatakan di atas. Antara hikmah kita diminta untuk banyak berpuasa pada hari-hari ini adalah berdasarkan hadith yang kami nyatakan di atas iaitu pada hari-hari ini amalan dibentangkan oleh Malaikat kepada Allah SWT. Akhirnya, semoga Allah SWT menempatkan kita dalam kalangan orang yang beriman dan juga orang-orang yang sentiasa melakukan ketaatan kepada-Nya. Amin. Wallahua'lam.

+ Mufti Wilayah Persekutuan

Hasil Gaji Dari Syarikat Penerbangan Yang Menghidangkan Arak

Posted: 29 Nov 2018 04:17 PM PST


Soalan:
Saya ingin mendapatkan penjelasan dari segi hukum syarak berkaitan hukum pendapatan yang kami dapat dengan bekerja di syarikat penerbangan tetapi bukan krew penerbangan tapi sekadar staff di bahagian audit. Ini kerana, pendapatan syarikat adalah dari hasil penerbangan dan di dalam penerbangan terdapat penjualan arak. Jadi bagaimana dengan status pendapatan kami? Apa tindakan kami sekiranya pendapatan itu tidak halal?

Jawapan:
Suka untuk kami tegaskan disini bahawa mencari yang halal adalah satu tuntutan dan menjadi kewajipan dalam agama Islam. Firman Allah SWT:

وَيُحِلُّ لَهُمُ الطَّيِّبَاتِ وَيُحَرِّمُ عَلَيْهِمُ الْخَبَائِثَ
"Dan ia menghalalkan bagi mereka segala benda yang baik, dan mengharamkan kepada mereka segala benda yang buruk." (Surah al-A'raf : 157)

Prof. Dr. Wahbah al-Zuhaili menyatakan, benda yang baik adalah perkara yang disukai jiwa dan fitrah yang murni. Sementara sesuatu yang buruk dari sudut harta adalah segala sesuatu yang diambil dengan cara yang tidak sah seperti riba, suap, mencuri, merampas dan cara-cara keji yang lain. [Rujuk Tafsir al-Munir, 5/124]

Isu-isu yang berkaitan dengan persoalan di atas telah dijawab dalam artikel-artikel yang terdapat dalam laman web kami seperti berikut:

Al-Kafi #441: Hukum Pendapatan Yang Diperoleh Ketika Solat Jumaat
Sila lihat di pautan berikut: https://bit.ly/2FGdtv9

Al-Kafi #509: Hukum Bekerja Di Kedai Serbaneka Yang Menjual Arak
Sila lihat di pautan berikut: https://bit.ly/2DIER92

Al-Kafi #681: Hukum Pendapatan Yang Dijana Daripada Syarikat Yang Tidak Berstatus Sijil Halal
Sila lihat di pautan berikut: https://bit.ly/2Kze28w

Menjawab kepada isu di atas, hukum hasil pendapatan dari pekerjaan sebagai staf di syarikat penerbangan yang terdapat padanya penjualan arak adalah harus dan boleh diambil. Ini kerana, kami melihat keuntungan utama syarikat adalah melalui aktiviti utamanya iaitu perkhidmatan penerbangan yang disediakan yang merupakan mualamah yang harus di sisi syarak. Manakala hidangan arak yang terdapat semasa penerbangan adalah sebagai satu sampingan. Justeru nisbah peratusan keuntungan melalui hidangan arak adalah terlalu kecil jika dinisbahkan dengan keuntungan utama syarikat.

Namun begitu, sebagai satu langkah berjaga-jaga, sebaiknya kita meninggalkan segala perkara yang tidak diyakini kehalalannya dalam menjaga agama Islam itu sendiri. Sabda Nabi SAW:

فَمَنْ اتَّقَى الشُّبُهَاتِ فَقْد اسْتَبْرَأَ لِدِينِهِ وَعِرْضِهِ
"Maka barangsiapa yang memelihara dirinya daripada perkara yang  syubhah (samar-samar), itu bererti dia telah menyelamatkan agamanya dan maruah dirinya. [Riwayat al-Bukhari (52) dan Muslim (1599)]

Kesimpulan

Kami berpandangan bahawa harus untuk mengambil dan menggunakan hasil gaji dari pekerjaan sebagai staf di syarikat penerbangan yang terdapat di dalamnya hidangan arak. Hal ini kerana, keuntungan utama syarikat adalah melalui perkhidmatan penerbangan dan bukanlah melalui hidangan arak yang merupakan sejuzuk kecil dari keuntungan syarikat. Namun begitu, sebaiknya dan afdhal untuk kita mengambil pendekatan yang warak dengan meninggalkan pekerjaan tersebut dan mencari pekerjaan yang tidak terdapat keraguan padanya. Ini sebagaimana sabda Nabi SAW:

دَعْ مَا يَرِيبُكَ إِلَى مَا لاَ يَرِيبُكَ
"Tinggalkan apa yang kamu ragui kepada apa yang tidak kamu ragui." [Riwayat al-Tirmidzi (2442) dan al-Nasa'i (5711)]

Semoga dengan penjelasan ini, memberikan kefahaman dan kekuatan kepada kita semua untuk mempelajari serta memahami ilmu agama Islam dengan lebih baik. Amin.

+ Mufti Wilayah Persekutuan