Monday, December 10, 2018

Oh! Media

Oh! Media


Orang Melayu Perlu Diberi Peluang Yang Lebih Berbanding Kaum Lain - PM Tun Dr Mahathir Mohamad

Posted: 08 Dec 2018 09:23 PM PST


Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, kerajaan tidak meratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD), kerana tidak diberikan hak membezakan layanan di antara kaum, walaupun taraf mereka tidak sama.

Perdana Menteri berkata, dalam konteks negara ini, jika orang Melayu tidak diberi peluang yang lebih berbanding kaum lain, mereka akan terus ketinggalan berbanding kaum lain yang sudah cekap dan berjaya.

"Jika tidak bagi orang Melayu peluang lebih daripada kaum lain, maka yang sudah cekap akan terus berjaya manakala yang tidak cekap akan mundur.

"Sebab itu, kita tolak ratifikasi (ICERD) kerana ia tidak membezakan taraf kaum di Malaysia. Kita tidak akan memindanya," katanya

Dr Mahathir mahu orang Melayu dan Bumiputera berusaha lebih kuat memajukan diri bagi mengelak terus ketinggalan dengan kaum lain serta miskin di negara ini.

Perdana Menteri melahirkan rasa malu melihat keadaan masyarakat Melayu yang masih ketinggalan di negara sendiri walaupun memiliki kuasa dalam pentadbiran.

"Kaum Melayu kini tertinggal dan kedudukan kita tidak menyenangkan. Jangan kata tidak, kerana itulah hakikat sebenarnya, kita (orang Melayu) tergolong dalam rakyat termiskin.

"Jika terus tinggal di luar bandar, kita tidak akan dapat menikmati kehidupan yang lebih selesa di bandar. Kita tidak bermusuh dengan kaum lain dan tidak mahu kaum lain sahaja duduk di bandar.

"Andai tiada kuasa politik dan keistimewaan, kita akan jadi lebih susah dari sekarang walaupun ada bantuan disalurkan termasuk biasiswa pendidikan sehingga ke luar negara.

"Bagi menjaga diri dan bangsa Melayu, kita kena usaha lebih dari orang lain. Jika berada di belakang, kita perlu berlari lebih kuat daripada orang lain di hadapan. Kita ini cekap dan pintar," katanya.

+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media.

Kerajaan Kaji Semula Kaedah Bayaran Baharu Pinjaman PTPTN

Posted: 08 Dec 2018 09:13 PM PST


Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik hari ini mengumumkan penangguhan pelaksanaan kaedah bayaran balik baharu bagi pinjaman pendidikan menerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

Dalam catatan di laman Facebook, beliau berkata: "Mekanisme pembayaran baharu PTPTN akan ditangguhkan dahulu mengambil kira keperluan untuk diadakan sesi libat urus dengan pelbagai pemegang taruh bagi mendengar pandangan dan saranan mereka."

PTPTN pada Rabu mengumumkan untuk melaksanakan Potongan Gaji Berjadual (PGB) bermula Januari depan untuk peminjam yang gajinya mencecah RM2,000 sebulan.

Berdasarkan PGB, peminjam berpendapatan RM2,000-RM2,499.99 perlu membayar dua peratus iaitu RM40 hingga RM49.99 dan bagi yang berpendapatan RM2,500-RM2,999.99 sebanyak tiga peratus (RM75-RM89.99).

Peminjam berpendapatan RM3,000-RM3,999.99 pula dikenakan lima peratus (RM150-RM199.99); RM4,000-RM5,999.99 (lapan peratus iaitu RM320-RM479.99); RM6,000-RM7,999.99 (10 peratus iaitu RM600-RM799.99) dan bagi yang berpendapatan RM8,000 ke atas perlu membayar 15 peratus iaitu RM1,200 dan ke atas.

Pengumuman PTPTN itu mendapat pelbagai reaksi pelbagai pihak termasuk ahli politik yang mahu kaedah itu dipertimbangkan semula supaya tidak membebankan peminjam.

Sumber : BERNAMA

ICERD - Mufti Perlis Puji Ucapan Presiden PAS

Posted: 08 Dec 2018 09:01 PM PST


Dr Mohd Asri Zainul Abidin, Mufti Perlis dalam satu perkongsian di Facebook miliknya menyifatkan ucapan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang semasa Himpunan ICERD sebagai ucapan yang baik.

"Saya mendengar ucapan Presiden Pas di perhimpunan aman mengenai ICERD (Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum) tadi. Ia satu ucapan yang baik dan jelas.

"Tahniah. Semoga Allah memelihara keamanan dan jati diri negara ini," katanya.

Abdul Hadi dalam ucapannya memberi amaran kepada Kerajaan PH supaya tidak membawa ICERD ke Parlimen untuk diluluskan

Katanya, jika perkara tersebut berlaku, pihaknya akan mengerahkan jutaan rakyat di jalan raya untuk menentangnya.

Keadaan Terkawal - FAM Nasihat Untuk Lupakan Hasrat Ke Stadium

Posted: 08 Dec 2018 08:47 PM PST


FAM hari ini meminta penyokong Harimau Malaya yang berhasrat ke Stadium Nasional Bukit Jalil, di sini bagi membeli tiket final pertama Piala AFF Suzuki 2018 di antara Malaysia dan Vietnam, agar melupakan hasrat mereka.

Ini kerana kata Setiausaha Agung FAM Stuart Michael Ramalingam, selepas mengambil kira barisan penyokong yang beratur sejak malam tadi di kaunter tiket A dan E di stadium itu sudah mengelilingi stadium, kesemua 40,000 tiket yang diperuntukkan hari ini akan habis dijual dalam masa singkat.

"Justeru, FAM sekali lagi berharap tiada lagi tambahan penyokong yang akan hadir ke Stadium Nasional, pagi ini kerana ia hanya akan menyebabkan anda pulang dengan rasa kecewa," katanya dalam kenyataan di sini.


Katanya FAM amat menghargai sokongan peminat tempatan terhadap Harimau Malaya pada aksi pertama final berkenaan namun hanya 80,000 keping tiket disediakan.

Untuk rekod, sebanyak 40,000 tiket yang dijual dalam talian pada Jumaat dan semalam, habis dalam masa singkat.

"Bagi penyokong yang sedang beratur di Stadium Nasional ketika ini, saya sedang berbincang dengan pihak polis untuk penyediaan bantuan keselamatan apabila proses penjualan tiket bermula nanti supaya tidak berlaku kekecohan atau sebarang kejadian yang tidak diingini," katanya.

Beliau memaklumkan kaunter jualan tiket yang sepatutnya dibuka 10 pagi akan diawalkan kerana FAM prihatin dengan keadaan penyokong yang telah berbaris sejak malam tadi.

+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media.

Isteri Dapat Payung Emas?

Posted: 08 Dec 2018 04:30 PM PST


Soalan:
Apakah sahih berkenaan wanita mendapat payung emas apabila membenarkan suami kahwin lagi?

Jawapan :
Berkenaan dengan payung emas, tidak terdapat di dalam al-Qur'an ataupun al-Hadith tentang payung emas. Ini bermakna, payung emas adalah satu rekaan semata-mata dan ia hanyalah satu perspektif yang tidak benar.

Di dalam al-Qur'an memang terdapat ayat-ayat yang menyentuh tentang alam perkahwinan atau hubungan sesama suami dan isteri tetapi payung emas tidak disebut sama sekali. Begitu juga dalam al-Hadith, ada disebut tentang kelebihan seorang isteri yang mentaati suaminya dan sabar dalam menghadapi alam rumah tangga. Contoh ayat al-Qur'an yang bercerita tentang hubungan sesama suami dan isteri adalah :

Firman Allah SWT:

فَالصَّالِحَاتُ قَانِتَاتٌ حَافِظَاتٌ لِلْغَيْبِ بِمَا حَفِظَ اللَّهُ
"Wanita (isteri) solehah adalah yang taat lagi memelihara diri ketika suaminya tidak ada kerana Allah telah memelihara mereka". [An-Nisa:34]

Di dalam sebuah hadith, daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

إِذَا صَلَّتِ الْمَرْأَةُ خُمُسَهَا، وَصَامَتْ شَهْرَهَا، وَحَصَّنَتْ فَرْجَهَا، وَأَطَاعَتْ بَعْلَهَا، دَخَلَتْ مِنْ أَيِّ أَبْوَابِ الجَنَّةِ شِئْتِ
"Jika seorang wanita menunaikan solat lima waktu, puasa pada bulannya (Ramadhan), mengawal kemaluannya dan taat kepada suaminya, masuklah dia ke dalam Syurga dari mana-mana pintu yang anda kehendaki". [Riwayat Ibn Hibban, 9/471]

Penutup

Kesimpulannya, terdapat banyak lagi ayat al-Quran dan al-Hadith yang menceritakan tentang kelebihan hidup berumah tangga dan juga hubungan sesama suami dan isteri tetapi tidak terdapat sepotong ayat al-Qur'an atau al-Hadith yang menceritakan tentang payung emas sebagaimana yang didakwa.


+ Mufti Wilayah Persekutuan

Tuntut Ilmu Dari Buaian Hingga Ke Liang Lahad?

Posted: 08 Dec 2018 04:17 PM PST


Matan Hadis:

اطْلُبُوا العِلمَ مِنَ المَهدِ إِلى اللّحْدِ
"Carilah (tuntutlah) ilmu daripada buaian hingga ke liang lahad".

Keterangan:

Kita sering mendengar orang menggunakan hadis ini dan menyandarkan kepada Nabi SAW. Untuk itu, kami datangkan pendapat salah seorang pakar hadis kontemporari :

Pendapat Syeikh 'Abdul Fattah Abu Ghuddah berkaitan hadis ini

Telah berkata al-Syeikh 'Abdul Fattah Abu Ghuddah: Perkataan "Menuntut ilmu daripada buaian hingga ke liang lahad" dan dikatakan juga dengan lafaz "Carilah (tuntutlah) ilmu daripada buaian hingga ke liang lahad" bukan hadis Nabi SAW. Bahkan ia adalah perkataan yang direka oleh manusia dan tidak boleh menyandarkannya kepada Nabi SAW sebagaimana dilakukan oleh sebahagian orang. Ini adalah hadis palsu yang masyhur di lidah-lidah manusia, yang menghairankan adalah apabila karya-karya yang disusun berkaitan hadis-hadis yang masyhur tidak menukilkan hadis ini." [Qimah al-Zaman , 30]

Kesimpulan:

Setelah kami meneliti tentang status hadis ini, maka kami tidak menjumpainya di dalam kitab-kitab hadis. Untuk itu, kami sependapat dengan syeikh 'Abdul Fattah Abu Ghuddah yang mengatakan bahawa ia bukanlah hadis Nabi SAW dan kita tidak boleh sesekali menyandarkannya kepada Nabi SAW, tetapi ia adalah kalam ulama' atau mutiara kata yang indah daripada ahli hikmah. Antara makna hadis ini ialah, kita mengambil berat dalam menuntut ilmu sejak kecil lagi hingga nyawa dikandung badan.

Akhirnya, semoga Allah SWT menjaga lidah kita daripada menutur dan menyandarkan sesuatu yang tidak disabdakan oleh Nabi SAW. Amin.


+ Mufti Wilayah Persekutuan

Benarkah Kisah Tha’labah Tidak Mahu Mengeluarkan Zakat?

Posted: 08 Dec 2018 04:10 PM PST


Soalan :
Apakah status kisah Tha'labah enggan membayar zakat?

Jawapan :
Mutakhir ini, kita mendengar banyak kisah yang masyhur sehinggakan sebahagian kisah yang didengar itu mencarik maruah individu yang digelar sebagai sahabat Nabi SAW. Antaranya ialah kisah Tha'labah dan kisah ini dikatakan merupakan antara sebab turunnya salah satu ayat di dalam surah al-Taubah.

Sebelum kita melihat lebih jauh lagi, di sana juga terdapat ramai lagi para sahabat Nabi SAW yang bernama Tha'labah. Oleh itu, siapakah Tha'labah yang dimaksudkan di dalam kisah ini? Al-Hafiz Ibn Hajar telah menyenaraikan nama-nama sahabat yang bernama Tha'labah di dalam karyanya, antaranya ialah :

• Tha'labah bin Aus
• Tha'labah bin Abi Balta'ah
• Tha'labah bin Thabit
• Tha'labah bin al-Harith
• Tha'labah bin Hatib bin al-Aus al-Ansari (syahid dalam peperangan Uhud)
• Tha'labah bin Harram
• Tha'labah bin al-Hakam
• Tha'labah bin Khaddam al-Ansari
• Tha'labah bin Sa'idah (wafat dalam peperangan Uhud)
• Tha'labah bin Salam
• Tha'labah bin Suwaid al-Ansari
• Tha'labah bin Abd al-Rahman al-Ansari
• Tha'labah bin Qais

Demikian adalah beberapa orang sahabat Nabi SAW yang bernama Tha'labah, tetapi yang Tha'labah yang dimaksudkan di dalam kisah ini ialah Tha'labah bin Hatib al-Ansari.  Beliau telah menyertai peperangan Badar dan Uhud bersama Rasulullah SAW. Di samping itu, beliau telah wafat ketika zaman pemerintahan Umar dan ada juga berkata bahawa beliau wafat ketika zaman pemerintahan Uthman. Selain itu, beliau dikatakan telah enggan membayar zakat ketika diperintahkan oleh Nabi SAW  sebagaimana yang diceritakan oleh Sa'id bin Jubair dan Abi Qatadah ketika menafsirkan ayat ke 75 di dalam surah al-Taubah. 
[Lihat  al-Isti'ab fi Ma'rifah al-Sahabah (1/20)]

Ringkasan kisah Tha'labah

Telah datang Tha'labah bin Hatib al-Ansari kepada Rasulullah SAW, beliau berkata: Wahai Rasulullah SAW, doakan aku agar Allah SWT mengurniakan aku harta, maka Rasulullah SAW menjawab: "Celakalah engkau wahai Tha'labah, sedikit membawa kepada kesyukuran kepada Allah lebih baik daripada banyak yang engkau tidak mampu". Setelah beberapa tempoh, beliau datang lagi kepada Rasulullah SAW dan mengulang benda yang sama. Maka Rasulullah SAW mendoakan baginya agar Allah SWT memberinya harta. Setelah itu, turunnya ayat al-Qur'an :

خُذْ مِنْ أَمْوَالِهِمْ صَدَقَةً تُطَهِّرُهُمْ وَتُزَكِّيهِم بِهَا وَصَلِّ عَلَيْهِمْ ۖ إِنَّ صَلَاتَكَ سَكَنٌ لَّهُمْ ۗ وَاللَّـهُ سَمِيعٌ عَلِيمٌ
"Ambilah (sebahagian) dari harta mereka menjadi sedekah (zakat), supaya dengannya engkau membersihkan mereka (dari dosa) dan mensucikan mereka (dari akhlak yang buruk); dan doakanlah untuk mereka, kerana sesungguhnya doamu itu menjadi ketenteraman bagi mereka. Dan (ingatlah) Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui." (Surah al-Taubah, 9:103)

Lalu Rasulullah SAW mengarahkan seorang lelaki dari al-Ansar dan seorang lagi daripada Bani Sulaim dan Nabi SAW memberikan catatan berkaitan zakat ini kepada mereka. Di samping itu, Nabi SAW meminta dua lelaki tersebut untuk meminta daripada Tha'labah sebahagian hartanya untuk disedekahkan. Kedua lelaki tersebut terus melaksanakan apa yang diperintahkan oleh Nabi SAW dan mereka bertemu dengan Tha'labah lalu membaca apa yang ditulis oleh Nabi SAW di dalam catatan tersebut. Setelah dibacakan apa yang terkandung di dalam catatan tersebut, Tha'labah enggan mengeluarkan sebahagian hartanya untuk dizakatkan dan mengatakan bahawa ini adalah jizyah. Kedua lelaki tersebut bertemu dengan Rasulullah SAW dan menceritakan kepada Baginda SAW berkenaan peristiwa tersebut. Maka Allah SWT menurunkan ayat :

وَمِنْهُم مَّنْ عَاهَدَ اللَّـهَ لَئِنْ آتَانَا مِن فَضْلِهِ لَنَصَّدَّقَنَّ وَلَنَكُونَنَّ مِنَ الصَّالِحِينَ
"Dan di antara mereka ada yang membuat janji dengan Allah dengan berkata: "Sesungguhnya jika Allah memberi kepada kami dari limpah kurniaNya, tentulah kami akan bersedekah, dan tentulah kami akan menjadi dari orang-orang yang soleh." (Surah al-Taubah, 9:75)

Apabila turunnya ayat tersebut, salah seorang daripada lelaki tersebut telah bertemu dengan Tha'labah dan memberitahu beliau bahawa: Allah SWT telah menurunkan ayat di atas keengganan engkau membayar zakat maka celakalah engkau wahai Tha'labah. Apabila mendengar kata-kata tersebut, Tha'labah terus bertemu dengan rasulullah SAW dan ingin membayar zakat tetapi Rasulullah enggan menerimanya kerana Allah SWT telah menghalangku daripada menerima apa-apa daripada engkau. Setelah Rasulullah SAW wafat, Tha'labah bertemu dengan Abu Bakar RA yang pada waktu sebagai khalifah tetapi Abu Bakar menolaknya. Kemudian di zaman khilafah Umar bin al-Khattab RA, Umar RA juga menolak untuk menerima harta daripada Tha'labah, sehingga tiba zaman Uthman RA menjadi khalifah, Uthman RA juga melakukan perkara yang sama. Akhirnya, Tha'labah wafat di zaman Uthman bin Affan RA dalam keadaan tidak membayar zakat setelah mencubanya berkali-kali. 
[Lihat Tafsir al-Thabari (no. 16987) al-Mu'jam al-Kabir Thabarani, (no. 7873) dan Asbab al-Nuzul oleh al-Wahidi hal. 252]

Pendapat ulama berkaitan kisah ini

Kisah ini adalah tidak sahih berdasarkan apa yang dinyatakan pendapatnya oleh para ulama, antaranya ialah:

• Imam al-Qurthubi berkata: "Tha'labah ialah salah seorang yang menyertai peperangan Badar dan beliau juga antara orang yang telah diakui keimanannya sebagaimana yang termaktub di dalam hadith. Untuk itu, apa yang diriwayatkan ini adalah tidak sahih."
• Imam Ibn Hazim berkata: "Tha'labah seorang ahli badar dan hal ini umum mengetahuinya, maka riwayat ini adalah bathil."
• Imam al-Iraqi mengatakan bahawa: "Thabarani telah mengtahkrijkan hadis ini dengan menggunakan sanad yang lemah."
Imam al-Qurthubi menyatakan: "Apa yang diriwayatkan berkaitan Tha'labah adalah tidak benar."
• Imam al-Hafiz Ibn Hajar mengatakan: "Aku tidak merasakan bahawa khabar ini benar."

Tarjih

Setelah melihat kepada pendapat-pendapat yang dikemukan oleh para ulama berkaitan riwayat atau kisah ini, kami juga memilih untuk menyatakan bahawa kisah ini adalah tidak benar (sahih) dan ia tidak boleh disebarkan kepada masyarakat melainkan untuk menyatakan bahawa kisah ini tidak benar (sahih). Ini juga selari dengan pendapat ulama hadith yang muktabar. Antara sebab-sebab kami mengatakan bahawa kisah ini tidak benar ialah:

Tha'labah merupakan seorang sahabat nabi SAW. Kita sebagai umat Islam perlu berpegang dan percaya bahawa sahabat bersifat dengan 'adalah (adil), dalam erti kata lain bahawa mereka tidak menipu, apatah lagi untuk melakukan perkara yang bertentangan dengan rukun Islam seperti tidak membayar zakat.
Tha'labah merupakan salah seorang sahabat yang menyertai peperangan badar. Sebagaimana kita ketahui bahawa. Ahli badar mempunyai keistimewaannya tersendiri. Antaranya Allah SWT telah bersaksi di atas keimana mereka dan Allah SWT mengampunkan dosa mereka yang lalu dan akan datang. Berdasarkan hadith Nabi SAW:

اعْمَلُوا مَا شِئْتُمْ فَقَدْ وَجَبَتْ لَكُمُ الْجَنَّةُ
"Buatlah apa yang kalian suka kerana Allah SWT telah meletakkan kalian di dalam syurga". [Riwayat al-Bukhari (3684) dalam Kitab Peperangan, Bab Keutamaan Orang yang Menyertai Perang Badar]

Setelah melihat kepada sebab turunnya ayat tersebut, kami mendapati bahawa pendapat yang rajih (kuat) adalah ayat tersebut diturunkan kepada golongan munafik kerana mereka begitu bakhil dan kedekut untuk mengeluarkan sebahagian daripada harta mereka sebagaimana dinyatakan oleh al-Hafiz Ibn Hajar di dalam Tahzib al-Tahzib.

Kesimpulan

Marilah sama-sama kita menunaikan salah satu daripada rukun Islam ini iaitu mengeluarkan zakat. Ini kerana, harta kita bukanlah milik kita sepenuhnya, bahkan ia adalah milik Allah SWT dan juga milik saudara-saudara kita yang kurang bernasib baik seperti kita. Akhirnya, semoga Allah SWT menggolongkan kita dalam kalangan orang-orang yang sentiasa menyucikan hartanya iaitu berzakat dan semoga Allah SWT menerima amalan kita dan meletakkannya di neraca kebaikan kelak. Amin.

Wallahua'lam.

+ Mufti Wilayah Persekutuan