Wednesday, December 12, 2018

Oh! Media

Oh! Media


Minyak RON95 Patut Hadapi Penurunan 10 Sen

Posted: 11 Dec 2018 02:48 AM PST


Kerajaan disaran menurunkan harga RON95 kepada RM2.10 sesuai dengan gambaran harga semasa minyak mentah dunia.

Bekas Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli berkata, semakan kembali harga RON95 wajar kerana harga minyak mentah kekal sekitar USD60 setong.

"Walaupun Kerajaan Persekutuan telah membelanjakan sehingga RM3.4 bilion dalam bentuk subsidi semasa harga minyak mentah melonjak tinggi dahulu untuk kekalkan harga, pada dasarnya harga yang ditetapkan mestilah sama atau kurang daripada harga formula untuk mengelakkan rakyat daripada membayar cukai itu atas pemberlian RON95.

Oleh yang demikian, saya menyeru supaya kerajaan Persekutuan menyemak kembali harga RON95 yang ditetapkan dalam keadaan harga minyak mentah yang kekal sekitar USD60 setong.

"Adalah lebih wajar jika harga RON95 diturunkan 10 sen supaya harga yang ditetapkan itu menggambarkan harga semasa minyak mentah dunia," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Katanya, sehingga kini kerajaan menanggung subsidi mingguan antara RM70 juta hingga RM220 juta seminggu untuk mengekalkan harga RON95 pada RM2.20, dalam keadaan harga minyak mentah dunia naik melambung.

"Namun sejak beberapa minggu lalu, harga minyak mentah Brent telah jatuh mendadak ekoran daripada lambakan minyak mentah dari Amerika Syarikat.

"Mengikut kiraan saya harga RON95 mengikut formula yang digunakan kerajaan telah jatuh di bawah paras RM2.20 seliter sejak tiga minggu yang lepas apabila harga minyak mentah Brent jatuh di bawah paras USD67 setong.

"Mengambil kira keadaan pasaran minyak mentah dunia yang dijangkakan akan kekal sekitar USD60 setong, ini bermakna harga RON95 mengikut formula berkemungkinan akan terus kekal di bawah RM2.20 seliter," katanya.

Tun Dr Mahathir Jangkakan Skuad Harimau Malaya Peroleh Dua Gol Malam Ini

Posted: 11 Dec 2018 02:39 AM PST


Untuk perlawanan Final AFF Suzuki Pusingan pertama malam ini, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pasti ingin melihat kemenangan Harimau Malaya dan menjangkakan skuad Harimau Malaya memperoleh satu atau dua gol untuk malam ini.

"Saya harap Malaysia menang, mungkin satu, dua gol pun cukuplah," katanya apabila ditanya mengenai ramalan keputusan perlawanan berkenaan semasa ditemu bual dalam program Bicara Khas Bersama Perdana Menteri di RTM pada Isnin malam.

Dr Mahathir juga melihat bidang sukan sebagai faktor yang berjaya menyatupadukan rakyat Malaysia berbilang kaum, agama dan latar belakang.

Mengambil contoh jaguh badminton tersohor negara Datuk Lee Chong Wei, beliau berkata, apabila Chong Wei memenangi sesuatu perlawanan, ia menjadi kebanggaan semua rakyat Malaysia.

"Di Malaysia, kita terdiri daripada pelbagai kaum, sudah tentu ada perbezaan antara kaum. Tapi dalam bidang sukan kita bersama, yang nak kita lihat ialah kemenangan kepada Malaysia.

"Sebab itu sukan adalah satu acara yang baik bagi kita. Pada masa itu kita lupa tentang keturunan, suku kaum apa dan kita sedar itu adalah pasukan Malaysia dan kita orang Malaysia, kita nak pasukan Malaysia menang," kata Dr Mahathir.

Pendaftaran Pelajar Pondok Tok Guru Niz Aziz Tanpa Izin Lembaga

Posted: 11 Dec 2018 02:23 AM PST


Urusan pendaftaran pelajar baharu Mahaad Darul Anuar (Mada) yang dibuat tanpa izin pihaknya dianggap sebagai pencerobohan bertentangan dengan syarak dan moral.

Pengerusi Lembaga Pengarahnya, Nik Omar Nik Abdul Aziz berkata, sebagai pewaris wasiat, lembaga pengarah akan mempertahankan hak pemegang amanah ke atas Mada sebagai legasi pendidikan arwah bapanya, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

"Amat dikesali apabila ada pihak tidak bertanggung jawab telah menguruskan pendaftaran terbuka pelajar baharu di dalam kawasan Darul Anuar tanpa izin lembaga pengarah.

"Lembaga pengarah akan terus beroperasi dan mengendalikan pendaftaran pelajar baharu bagi sesi 2019," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Setakat hari ini lembaga pengarah berpandangan bahawa pihaknya mempunyai kuasa sepenuhnya terhadap Mada.

"Sekiranya terdapat mana-mana pihak berpandangan sebaliknya, dinasihatkan merujuk perkara ini kepada pihak berautoriti dan jika masih tidak berpuashati dengan dapatan diperolehi, pihak tersebut dinasihatkan merujuk perkara ini kepada mahkamah di dalam menentukan pemilikannya," katanya.

Baru-baru ini juga dimaklumkan YIK sudah melantik pengetua baharu bagi menguruskan Mada yang ditubuhkan Tok Ku Nik Mat Alim, ayahanda kepada arwah Nik Aziz pada 1963 setelah kepulangannya dari luar negara.

Terbaharu, semalam Keluarga Besar Nikmatillah membuat pendaftaran terbuka pelajar baharu biarpun pihak Mada mengeluarkan kenyataan tidak mengiktiraf perkara itu.

Luxembourg Menjadi Negara Pertama Dunia Berikan Pengangkutan Awam Percuma

Posted: 10 Dec 2018 11:21 PM PST


Kerajaan Negara Luxembourg, melakukan langkah yang lebih drastik dengan mengumumkan kesemua pengangkutan awam adalah percuma bermula pertengahan 2019.

Langkah diambil bukan sahaja untuk mengurangkan kesesakan lalulintas di negara tersebut malah untuk mengurangkan pencemaran alam sekitar. Kesemua bas, trem dan kereta api di negara dengan populasi sekitar 600,000 ini boleh dinaiki percuma.

Pada musim panas tahun ini, hanya individu di bawah umur 20 tahun dibenarkan menggunakannya secara percuma. Selain ini kerajaan negara yang sedikit lebih besar berbanding negeri Melaka ini turut menawarkan perkhidmatan bas sekolah percuma. Langkah yang diambil ini pastinya merugikan kerajaan kerana menanggung kos pengangkutan tetapi menguntungkan rakyat dan alam sekitar.

Viral Budak Lelaki Menangis Tidak Dapat Tiket - Ini Tindakan Kapten Harimau Malaya

Posted: 10 Dec 2018 09:31 PM PST


Kehangatan aksi Final pusingan pertama di antara Malaysia menentang Vietnam malam ini telah membawa kepada pelbagai isu, antara isu yang menjadi hangat adalah munculnya ulat tiket dan perkara ini sudah dijangkakan.

Melalui pemerhatian kami, ramai diantaran ulat tiket telah membuka harga tiket sehingga mencecah RM250 yang asalnya hanya dijual RM40 untuk tempat duduk terbuka, RM50 bagi grandstand dan RM5 untuk kanak-kanak.

Oleh itu, ia menyebabkan ramai peminat yang berasa kecewa kerana tidak berjaya mendapatkan tiket perlawanan ini, sehingga tersebar satu video menunjukkan seorang budak lelaki menangis teresak-esak kerana tidak sempat membeli tiket.


Video yang dikongsikan oleh halaman Facebook HarimauMalaya ini telah mendapat 108,000 tontonan, 2,300 likes, 1,058 comments dan 601 shares.

Walaubagaimanapun, skuad Harimau Malaya yang dibawa oleh ERA telah mencari adik Aqeef ini dan telah memberikan tiket perlawanan akhir malam ini. Ia diberikan secara terus oleh kapten Harimau Malaya @zaqone_08.

Tok Mat Cadangkan Untuk Tubuh RCI Siasat Isu TH

Posted: 10 Dec 2018 10:22 PM PST


Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan mencadangkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) ditubuhkan bagi menjalankan siasatan terhadap isu kedudukan kewangan Tabung Haji (TH).

"Kita mesti melihat isu ini dalam konteks yang besar, bukan saja berkaitan soal pemberian hibah yang tidak mengikut prosedur dan peruntukan TH, tetapi yang lebih mendasar ialah ia menggambarkan kewujudan krisis tadbir urus korporat dan pengurusan yang tidak mengikut amalan terbaik.

"TH adalah institusi milik orang Melayu dan Islam, masyarakat awam secara umum berhak mengetahui kedudukan sebenar institusi ini dan kebenaran hanya akan terbit daripada siasatan yang telus, tidak berpihak dan menyeluruh," katanya

Tok Mat berkata, cara terbaik membela kepentingan Melayu dan Islam adalah dengan memastikan institusi berkenaan diuruskan dengan sebaiknya dan tidak dibiarkan susut nilai serta dipergunakan.

"UMNO sangat serius dalam apa jua usaha memelihara kewibawaan institusi yang berkaitan dengan orang Melayu dan agama Islam. Sebarang usaha untuk memperkuat institusi ini dan menghapuskan ketirisan, pecah amanah serta salah tadbir urus mesti disokong oleh semua pihak.

Isu ini bangkit apabila ia didakwa, pemberian hibah kepada pendeposit TH sejak 2014 bercanggah dengan Akta Lembaga Tabung Haji 1995 sehingga menyebabkan agensi itu mengalami defisit RM4.1 bilion.

+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media.

3,000 Tiket Final Kedua AFF Suzuki Sudah Mula Dijual

Posted: 10 Dec 2018 09:32 PM PST


Penyokong Harimau Malaya sudah boleh membuat pembelian tiket untuk Final kedua Piala AFF Suzuki di antara Malaysia menentang Vietnam. Tiket perlawanan yang berlangsung di Hanoi pada Sabtu ini telah mula dijual pada harga RM43.

Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Stuart Michael Ramalingam berkata, sebanyak 3,000 keping tiket pada harga RM43 sekeping disediakan untuk ekor Harimau Malaya menyaksikan perlawanan yang akan berlangsung di Stadium My Dinh itu.

Katanya, peminat tempatan yang mahu membeli tiket perlawanaan itu perlu memilih jumlah tiket yang ingin dibeli dan membuat pembayaran penuh ke akaun Bank Islam - FOOTBALL ASSOCIATION OF MALAYSIA dengan nombor akaun 12131010006121 serta menyimpan slip pembayaran.

Tambahnya, penyokong yang sudah membeli tiket berkenaan perlu menghantar e-mel butiran peribadi iaitu Nama Penuh, Nombor MyKad, Nombor Telefon, Jumlah Tiket dan melampirkan bersama slip pembayaran ke e-mel tiket@fam.org.my.

"FAM akan membalas e-mel berkenaan bagi mengesahkan penerimaan wang pembelian tiket tersebut.

"Penyokong boleh menebus tiket berkenaan di Hanoi pada Jumaat dan Sabtu dan mereka akan dihubungi oleh wakil FAM di sana bagi urusan penebusan tiket.

"Penebusan tiket itu hanyalah untuk penyokong Malaysia yang membeli tiket menerusi FAM.

"Sebarang pembelian tiket melalui FAM bagi perlawanan ini selepas 11.59 malam pada Rabu, 12 Disember tidak akan diproses," tegas Stuart dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, FAM berharap inisiatif yang dilakukan sejak aksi sulung di tempat lawan bertemu Kemboja di Phnom Penh dan diteruskan sehingga ke final kedua itu dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh penyokong Harimau Malaya yang akan terbang ke Hanoi nanti.

+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media.

Vietnam Akui Sukar Untuk Hadapi Pemain Ke-12 Negara

Posted: 10 Dec 2018 11:28 PM PST


Berikutan aksi Final pertama di antara Malaysia menentang Vietnam malam ini, ketua jurulatih Vietnam, Park Hang-Seo mengakui sokongan padu penyokong Malaysia memberikan kesukaran buat anak didiknya untuk berkomunikasi pada aksi final pertama di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam ini.

Sambil mengharapkan pemainnya mampu mengatasi tekanan, Hang Seo tetap percaya saingan mampu diberikan pemainnya.

"Kami akui kehadiran penyokong memberi sedikit kesukaran, apa pun pemain diingatkan agar fokus dan tenang," jelasnya.

Memandangkan aksi timbal balik memberikan kelebihan jaringan tempat lawan, Hang Seo enggan meletakkan sebarang sasaran tinggi pada aksi malam ini.

"Saya enggan menjawab persoalan ini, " tegasnya.

Pelbagai tekanan dahsyat daripada puluhan ribu penyokong Malaysia pastinya dirasai pemain Vietnam melihat jualan tiket 80,000 yang habis dijual.

+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media.

2 Pemain Negara Berjaya Ungguli Kejohanan Boling The Masters

Posted: 10 Dec 2018 06:53 PM PST


Pemain professional negara, Ahmad Aidil Abdul Halim, 22 mempamerkan aksi membanggakan selepas muncul naib juara acara Masters pada Kejohanan Boling 'The Masters' di Sunway Megalanes, Petaling Jaya, semalam.

Anak jati Kuala Lumpur berusia 22 tahun yang menguasai pusingan kelayakan, tewas 193-203 dan 187-257 kepada bekas juara dunia, Cho Young-Seon dari Korea Selatan pada aksi final stepladder.

Pemain elit negara, Muhammad Rafiq Ismail yang masih segar dengan kejayaan meraih kejuaraan dunia di Hong Kong, baru-baru ini, menamatkan saingan di tangga ketiga selepas tewas pada aksi separuh akhir kepada Young-Seon.

Selaku juara, Young-Seon membawa pulang RM40,000 dan trofi kejohanan, manakala Ahmad Aidil dan Muhammad Rafiq masing-masing meraih RM20,000 dan RM15,000 selaku naib juara dan pemenang tempat ketiga.

Ahmad Aidil ternyata gembira dengan kejayaan tersebut walaupun gagal dalam misinya untuk meraih kejuaraan pada kejohanan tersebut yang turut melibatkan peserta wanita.

Kejohanan Boling 'The Masters' turut disertai beberapa peserta dari luar negara seperti Amerika Syarikat, Singapura, Hong Kong, Australia dan Indonesia.

Sumber: Sinar

+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media.

Sebarang Unsur LGBT Tidak Dibenarkan Dalam Tayangan Filem dan Drama

Posted: 10 Dec 2018 06:34 PM PST


Dewan Rakyat memutuskan bahawa unsur-unsur dan adegan yang mempamerkan atau mempromosikan budaya hidup songsang seperti Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender (LGBT) tidak akan diluluskan dan akan dipotong untuk tayangan umum.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Mohd Azis Jamman menegaskan perkara tersebut diputuskan berdasarkan garis panduan yang telah ditetapkan oleh Lembaga Penapisan Filem di Kementerian Dalam Negeri (KDN) di bawah Akta 620 Penapisan Filem 2002, di mana pihak mereka tidak akan membenarkan sebarang tayangan songsang untuk tontonan umum.

KDN sangat menitik beratkan empat aspek utama dalam proses penapisan filem dan drama iaitu dari segi aspek keselematan dan kesejahteraan awam, keagamaan, sosiobudaya serta ketertiban dan ketatasusilaan dan sekaligus perkara tersebut telah menjawab persoalan mengenai langkah kerajaan untuk menyekat budaya songsang dalam penerbitan filem dan drama di negara ini.

Dalam masa yang sama, ketika menjawab soalan berkaitan status lakonan pelakon yang mempamerkan budaya songsang, pihak Lembaga Penapisan Filem KDN mempunyai sebab yang kukuh untuk berbuat demikian kerana mereka juga tidak akan memotong mana-mana adegan sekiranya mendapati terdapat pengajaran yang boleh diambil daripada adegan dan lakonan tersebut.

Doa Seorang Muslim Buat Saudaranya

Posted: 10 Dec 2018 05:17 PM PST


Soalan:
Apakah sahih hadith berdoa kepada sahabat tanpa pengetahuannya adalah mustajab?

Jawapan:
Berdasarkan soalan di atas, doa merupakan satu anugerah yang sangat istimewa dikurniakan oleh Allah SWT kepada kita sebagai hamba-Nya. Sebelum kami menjawab persoalan di atas, di sini kami ingin nyatakan makna doa terlebih dahulu.

Menurut Imam al-Khattabi, makna doa adalah pemohonan  hamba kepada Tuhannya dengan mengharapkan  pertolongan-Nya dan juga bantuan daripada-Nya. [Lihat: Sya'n al-Du'a, 1/4]

Selain itu, Allah SWT sangat suka hamba-hamba-Nya berdoa kepada-Nya sebagaimana yang disebut di dalam nas-nas ilahi. Antaranya, Firman Allah SWT:

وَإِذَا سَأَلَكَ عِبَادِي عَنِّي فَإِنِّي قَرِيبٌ ۖ أُجِيبُ دَعْوَةَ الدَّاعِ إِذَا دَعَانِ ۖ فَلْيَسْتَجِيبُوا لِي وَلْيُؤْمِنُوا بِي لَعَلَّهُمْ يَرْشُدُونَ
"Dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu mengenai Aku maka (beritahu kepada mereka): sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa hampir (kepada mereka); Aku perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila ia berdoa kepadaKu. Maka hendaklah mereka menyahut seruanku (dengan mematuhi perintahKu), dan hendaklah mereka beriman kepadaKu supaya mereka menjadi baik serta betul". [al-Baqarah:186]

Berkaitan soalan di atas, hadith berkaitan doa kepada sahabatnya tanpa pengetahuannya adalah mustajab adalah hadith yang sahih sebagaimana yang dinyatakan oleh Imam Muslim di dalam kitabnya (Sahih Muslim).

Matan Hadith

Daripada Abi Darda' RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَا مِنْ عَبْدٍ مُسْلِمٍ يَدْعُو لِأَخِيهِ بِظَهْرِ الْغَيْبِ، إِلَّا قَالَ الْمَلَكُ: وَلَكَ بِمِثْلٍ
"Tidak ada seorang hamba yang muslim apabila berdoa kepada saudaranya yang berjauhan (tanpa pengetahuannya), melainkan malaikat berkata kepadanya: dan bagi kamu sepertinya (seperti yang didoakan)". [Riwayat Muslim (4912)]

Daripada Safwan bin Abdillah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

دَعْوَةُ الْمَرْءِ الْمُسْلِمِ لأَخِيهِ بِظَهْرِ الْغَيْبِ مُسْتَجَابَةٌ، عِنْدَ رَأْسِهِ مَلَكٌ مُوَكَّلٌ كُلَّمَا دَعَا لأَخِيهِ بِخَيْرٍ، قَالَ الْمَلَكُ الْمُوَكَّلُ بِهِ: آمِينَ وَلَكَ بِمِثْلٍ
"Doa seseorang muslim untuk saudaranya secara berjauhan (tanpa pengetahuannya) adalah mustajab. Di kepalanya (yang berdoa) terdapat malaikat yang diwakilkan kepadanya, setiap kali dia berdoa kepada saudaranya dengan kebaikan maka malaikat yang diwakilkan itu akan berkata: Amin dan bagi engkau seperti itu juga (sama seperti apa yang didoakan itu)". [Riwayat Muslim (4914)]

Makna Hadith

Adapun yang dimaksudkan oleh Rasulullah SAW dengan "ظهر الغيب" adalah ketika orang yang didoakan itu tiada ataupun berdoa kepadanya secara diam-diam (tanpa pengetahuannya). Ini kerana, dengan cara itu akan menimbulkan atau meningkat tahap keikhlasan kita ketika berdoa. Selain itu, yang dimaksudkan dengan "مثل"  adalah seperti yang didoakannya. Tambahan pula, ini menunjukkan akan kelebihan berdoa kepada saudaranya muslim secara diam atau sembunyi. Walaupun yang didoakan itu adalah sekumpulan kaum muslimin maka dia akan memperoleh kelebihan ini (kemustajaban doa). Jika yang didoakan itu adalah sebahagian daripada kaum muslimin, zahirnya dia juga mendapat kelebihan ini. (iaitu Allah SWT memakbulkan doanya). Disebabkan itu, sebahagian salaf, jika mereka ingin mendoakan kepada dirinya, mereka akan berdoa kepada saudaranya muslim secara sembunyi kerana ia adalah mustajab dan mereka akan memperolehi yang sama seperti yang didoakan itu. [Lihat: al-Minhaj Syarh Muslim, 17/49]

Fiqh al-Hadith

Antara fiqh al-Hadith yang boleh diambil daripada hadith ini adalah:

Islam sangat menggalakkan setiap umatnya agar sentiasa berdoa kepada saudaranya.
Kita dituntut untuk mendoakan perkara-perkara kebaikan kepada saudara kita.
Doa seorang hamba tanpa pengetahuan saudaranya adalah mustajab di sisi Allah SWT.
Setiap apa yang kita doakan, Allah SWT juga akan mengurniakan kepada kita sama seperti yang kita doakan.

Penutup

Kesimpulannya, marilah sama-sama kita berdoa kepada sahabat atau saudara kita dalam setiap doa yang kita panjatkan kepada Allah SWT. Ini kerana, doa memiliki kuasa atau kelebihannya yang tersendiri dan Allah SWT pasti akan memakbulkan setiap permintaan hamba-Nya tapi dengan cara yang berlainan. Akhirnya, semoga Allah SWT memakbulkan setiap doa kita serta menggolongkan kita daripada kalangan hamba-Nya yang menerima taufik dan hidayah-Nya. Amin,

Wallahua'lam.


+ Mufti Wilayah Persekutuan

Tumit Yang Dibakar Api Neraka

Posted: 10 Dec 2018 05:05 PM PST


Soalan:
Apakah sebab wurud hadith "Celakalah tumit-tumit dengan azab api neraka" ?

Jawapan :

Matan Hadith

Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

وَيْلٌ لِلْأَعْقَابِ مِنَ النَّارِ
"Celakalah tumit-tumit dengan azab api neraka".  [Riwayat al-Bukhari, no. Hadith 58, 94, 158 dan 160. Muslim, no. Hadith 353, 354, 355, 356 dan 358. Abu Daud, no. Hadith 89. Al-Tirmizi, no. Hadith 39. Al-Nasa'ie, no. Hadith 110 dan Ibn Majah, no. Hadith 444, 446 dan 448]

Sebab Wurud Hadith

Direkodkan oleh al-Bukhari dan Muslim daripada Abdullah bin Umar RA, beliau berkata:

Nabi SAW telah terlambat daripada kami di dalam salah satu permusafiran. Baginda SAW mendapati kami ketika solat Subuh sudah hampir habis dan ketika itu juga kami sedang berwudhuk. Kami hanya mengusap-usap atau menyapu sahaja di atas kaki kami, lalu Beginda SAW bersabda dengan suara yang tinggi: "celakah tumit-tumit dengan azab api neraka", sebanyak dua atau tiga kali.

Direkodkan oleh Imam Ahmad, daripada Jabir bin Abdillah RA, beliau berkata yang bermaksud:

Rasulullah SAW melihat kepada satu kaum yang berwudhuk dengan tidak menyapu (dengan air) tumit-tumit mereka, maka Baginda SAW bersabda: "celakah tumit-tumit dengan azab api neraka".

[Lihat: al-Luma' fi Abab Wurud al-Hadith, 66]

Makna Hadith

Di dalam hadith menunjukkan akan kewajipan membasuh kedua kaki ketika berwudhuk dan wudhuk tidak sah dengan sekadar menyapu tanpa membasuh. Ini dapat difahami daripada perkataan Nabi SAW apabila Baginda SAW menegur para sahabat RA yang menyapu sahaja kaki mereka tanpa membasuhnya dengan rata menggunakan air. Imam al-Tirmizi menyatakan antara fiqh hadith ini adalah tidak dibolehkan menyapu kedua kaki melainkan dengan adanya khuf (sarung kaki yang diperbuat daripada kulit) atau sarung kaki (stoking).
[Lihat: Sunan al-Tirmizi, 1/96]

Selain itu juga, kita memahami bahawa kewajipan membasuh kaki bukannya sekadar menyapu adalah berdasarkan bab-bab yang diletakkan oleh para imam. Antaranya Imam al-Bukhari meletakkan bab pada hadith ini adalah "bab membasuh kedua kaki dan bukan menyapu keduanya".

Tambahan pula, difahami daripada hadith ini adalah kewajipan meratakan anggota-anggota wudhuk dengan membasuhnya menggunakan air. Dengan itu, kita hendaklah menyampaikan air keseluruh anggota wudhuk tanpa mengabaikan mana-mana tempat daripadanya. Disebabkan itu, Rasulullah SAW mengkhususkan dengan tumit kerana tumit terletak di akhir atau penghujung kaki. Imam al-Nawawi RA ketika meletakkan bab di dalam Sahih Muslim, beliau meletakkan hadith ini di dalam "bab kewajipan membasuh kedua kaki dengan sempurna".

Penutup

Kesimpulannya, tidak semua hadith mempunyai asbab wurud sesebuah hadith. Ini kerana, sebahagian hadith diungkapkan atau diucapkan disebabkan soalan yang ditanya atau peristiwa dan situasi yang sedang berlaku. Akhirnya, semoga dengan pencerahan yang ringkas ini dapat menambahkan ilmu pengetahuan kita dalam agama ini. Amin.

Wallahua'lam.


+ Mufti Wilayah Persekutuan

Anak Belum Baligh Memberi Syafaat Kepada Ibubapa

Posted: 10 Dec 2018 04:50 PM PST


Soalan:
Apakah status anak-anak yang belum baligh akan memberi syafaat dan menunggu ibubapa mereka di pintu syurga?

Jawapan :
Tidak terdapat ayat al-Qur'an yang menceritakan tentang syafaat seorang kanak-kanak yang belum baligh kepada ibubapa mereka dan menunggu mereka di pintu syurga secara jelas tetapi terdapat beberapa ayat yang menceritakan  tentang keadaan di dalam syurga kelak, bahawa Allah SWT akan mengumpulkan anak dan ibubapa mereka jika mereka berlainan darjat di dalam syurga. Antaranya:

Firman Allah SWT:

وَالَّذِينَ آمَنُوا وَاتَّبَعَتْهُمْ ذُرِّيَّتُهُم بِإِيمَانٍ أَلْحَقْنَا بِهِمْ ذُرِّيَّتَهُمْ وَمَا أَلَتْنَاهُم مِّنْ عَمَلِهِم مِّن شَيْءٍ كُلُّ امْرِئٍ بِمَا كَسَبَ رَهِينٌ
"Dan orang-orang yang beriman yang diturut oleh zuriat keturunannya dengan keadaan beriman, Kami hubungkan (himpunkan) zuriat keturunannya itu dengan mereka (di dalam Syurga); dan Kami (dengan itu) tidak mengurangi sedikitpun dari pahala amal-amal mereka; tiap-tiap seorang manusia terikat dengan amal yang dikerjakannyaa". [Al-Thur:21]

Di dalam hadith pula, terdapat beberapa hadith yang menceritakan tentang syafaat seorang kanak-kanak atau bayi belum baligh kepada ibubapa mereka. Antaranya:

Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW telah bersabda kepada salah seorang wanita ansar:

لَا يَمُوتُ لِإِحْدَاكُنَّ ثَلَاثَةٌ مِنَ الْوَلَدِ فَتَحْتَسِبَهُ، إِلَّا دَخَلَتِ الْجَنَّةَ» فَقَالَتِ امْرَأَةٌ مِنْهُنَّ: أَوِ اثْنَيْنِ يَا رَسُولَ اللهِ؟ قَالَ: أَوِ اثْنَيْنِ
"Tidaklah ada daripada kamu seorang perempuan yang mati tiga orang anaknya, maka kamu mengharapkan keampunan ke atas anaknya serta menghadapinya dengan sabar. Demikian itu, kamu akan memasuki syurga. Seorang perempuan telah bertanya: "Sekiranya dua orang?" Sabda Rasulullah SAW lagi: "Walaupun dua orang". [Riwayat Muslim, no. 151]

Berdasarkan ayat al-Qur'an dan al-Hadith yang diberikan, ini menunujukkan bahawa kanak-kanak yang meninggal sebelum baligh mampu memberi syafaat kepada kedua ibubapanya tetapi apa yang kita perlu faham bahawa Allah SWT mampu memberi syafaat kepada sesiapa sahaja yang Dia kehendaki. Manakala berkaitan hadith yang menceritakan tentang kanak-kanak yang belum baligh akan menunggu ibubapa mereka di pintu syurga disebut oleh Imam al-Thabarani di dalam mu'jamnya yang diriwayatkan oleh Habibah RA, beliau berkata:

حَدَّثَتْنِي حَبِيبَةُ، أَنَّهَا: كَانَتْ عِنْدَ عَائِشَةَ، فَجَاءَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ حَتَّى دَخَلَ عَلَيْهَا فَقَالَ: «مَا مَا مِنْ مُسْلِمَيْنِ يَمُوتُ لَهُمَا ثَلَاثَةٌ مِنَ الْوَلَدِ لَمْ يَبْلُغُوا الْحِنْثَ إِلَّا جِيءَ بِهِمْ يَوْمَ الْقِيَامَةِ حَتَّى يُوقَفُوا عَلَى بَابِ الْجَنَّةِ فَيُقَالُ لَهُمُ ادْخُلُوا الْجَنَّةَ فَيَقُولُونَ حَتَّى يَدْخُلَ آبَاؤُنَا فَيُقَالُ لَهُمِ ادْخُلُوا أَنْتُمْ وَآبَاؤُكُمُ الْجَنَّةَ
"Aku berada bersama Aisyah RA maka telah datang Nabi SAW sehingga baginda SAW masuk lalu bersabda: Tidaklah dua orang muslim meninggal dunia, di antara keduanya ada tiga orang anak (mereka adalah tiga bersaudara) yang belum berusia dewasa (baligh) kecuali Allah akan datangkan mereka pada hari Kiamat sehingga didirikan pada pintu-pintu syurga lalu dikatakan kepada mereka: Masuklah kamu ke dalam Syurga. Mereka menjawab: Sehingga dimasukkan ibubapa kami. Maka dikatakan kepada mereka: Masuklah kamu dan juga ibubapa kamu ke dalam Syurga". [Lihat: Mu'jam al-Kabir, no. hadith 571, 24/225, Imam al-Haithami mengatakan perawi-perawinya thiqah di dalam Majma' al-Zawaid]

Definisi Syafaat

Syafaat dari sudut bahasa adalah lawan bagi witir iaitu menjadikan sesuatu yang ganjil kepada genap. Manakala dari sudut istilah pula adalah menjadi perantara bagi orang lain dengan memberikan manfaat kepadanya atau menolak mudharat iaitu pemberi syafaat akan memberikan manfaat kepada orang yang diberi syafaat atau menolak mudharat untuknya. Dalam erti kata lain, syafaat juga bermaksud memohon perlindungan bagi orang lain. [Lihat: Mukhtasar al-fiqh al-Islami, 1/767]

Pembahagian Syafaat

Syafaat pada hari Kiamat terbahagi kepada dua secara umumnya:

• Syafaat khusus

Syafaat khusus yang diberikan kepada Nabi Muhammad SAW dan ia termasuk syafaat al-'Uzhma (terbesar) yang terjadi pada hari Kiamat kelak. Hal ini, dinyatakan oleh Allah SWT di dalam al-Qur'an:

وَمِنَ اللَّيْلِ فَتَهَجَّدْ بِهِ نَافِلَةً لَّكَ عَسَىٰ أَن يَبْعَثَكَ رَبُّكَ مَقَامًا مَّحْمُودًا
"Dan bangunlah pada sebahagian daripada waktu malam serta kerjakanlah solat tahajjud padanya, sebagai tambahan bagimu. Semoga Tuhanmu membangkit dan menempatkanmu pada hari akhirat di tempat yang terpuji". [al-Isra':79]

• Syafaat umum

Allah mengizinkan kepada hamba-hamba-Nya yang soleh untuk memberikan syafaat kepada orang-orang yang diperkenankan untuk diberikan syafaat. Syafaat ini diberikan kepada Nabi Muhammad SAW, nabi-nabi yang lain, orang-orang yang jujur, para syuhada' serta orang-orang soleh. Contohnya mereka akan memberikan syafaat kepada penghuni Neraka daripada kalangan orang-orang beriman agar mereka keluar dari Neraka.

Penutup

Kesimpulannya, kita sebagai seorang insan dan manusia biasa perlulah sentiasa memohon dan berdoa kepada Allah SWT agar dikurniakan syafaat di hari Akhirat kelak kerana kita tidak akan terselamat daripada melakukan dosa dan maksiat kepada Allah SWT. Kita juga sebagai seorang yang beriman, perlulah mengakui akan wujudnya syafaat di hari akhirat kelak yang akan diberikan oleh Allah SWT kepada sesiapa sahaja daripada kalangan hamba-hamba-Nya yang dikehendaki-Nya. Semoga kita termasuk dalam kalangan orang-orang yang diizinkan oleh Allah SWT untuk memperolehi syafaat dan juga seterusnya mendapat syafaat Nabi SAW di hari Akhirat nanti. Amin.

Wallahua'lam.


+ Mufti Wilayah Persekutuan