Thursday, December 13, 2018

Oh! Media

Oh! Media


Waktu Operasi UTC Hanya Akan Dibuka Hingga 7 Petang

Posted: 12 Dec 2018 05:22 AM PST


Bermula dari 1 Januari 2019, waktu operasi Pusat Transformasi Bandar (UTC) hanya akan beroperasi bermula dari jam 8 pagi sehingga 7 petang sahaja dan hari beroperasi kekal dari Isnin hingga Ahad.

Ketua Setiausaha Perbendaharaan berkata, kerajaan komited dalam memastikan rakyat dapat menikmati perkhidmatan yang pelbagai disediakan di UTC dan pertukaran waktu itu seharusnya tidak mengganggu penyampaian perkhidmatan di UTC.

Pengurangan itu juga dijelaskan kerana kehadiran pelanggan hanya 11% selepas pukul 7 malam dan bagi memastikan perbelanjaan kerajaan adalah efisien bagi UTC iaitu menyampaikan perkhidmatan cekap tanpa pembaziran waktu dan tenaga.


Siasat Punca Penyokong Harimau Malaya Terlalu Ramai

Posted: 12 Dec 2018 02:44 AM PST


Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) akan bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyiasat dakwaan kebanjiran penyokong melebihi kapasiti pada aksi final pertama Piala AFF Suzuki 2018 antara Malaysia dan Vietnam di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam tadi.

Setiausaha Agung FAM, Stuart Michael Ramalingam berkata badan induk berkenaan sudah berbincang dengan wakil Ibu Pejabat Polis Daerah Cheras berhubung dakwaan itu dianggap mencalarkan reputasi FAM, malah boleh mengancam nyawa penyokong yang membeli tiket untuk menyaksikan perlawanan tersebut.

"Justeru, FAM mengambil maklum perkara tersebut dan akan memastikan insiden itu tidak akan berulang pada masa akan datang," katanya seperti dipetik menerusi kenyataan ringkas dalam laman Facebook FAM, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas dakwaan segelintir netizen di laman sosial mendakwa lebih 88,000 penyokong membanjiri stadium berkenaan walaupun FAM hanya memperuntukkan 80,000 tiket untuk aksi final berkenaan berkesudahan Malaysia dan Vietnam seri 2-2.

Final kedua akan berlangsung di Stadium My Dinh, Hanoi pada Sabtu ini (15 Disember).

Sumber: Sinar

Malaysia Berada Pada Landasan Yang Betul Untuk Mencapai Negara Berpendapatan Tinggi - Bank Dunia

Posted: 12 Dec 2018 02:25 AM PST


Naib presiden Asia Timur dan Pasifik Bank Dunia, Victoria Kwakwa menyatakan Malaysia berada di kududukan yang baik untuk ke arah era baharu dan mencapai status negara maju dan berpendapatan tinggi.

"Kami mengalu-alukan usaha kerajaan, sebagai sebahagian proses ini, untuk memperkukuh institusi, membangunkan modal insan dan melindungi aspek yang mudah terjejas dalam masyarakat. World Bank Group bersedia untuk menyokong Malaysia semasa proses peralihan penting ini," katanya.

Kwakwa melakukan lawatannya di Malaysia Isnin lalu dan telah berjumpa secara terus dengan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, Menteri Kewangan Lim Guan Eng dan Gabenor Bank Negara Malaysia Datuk Nor Shamsiah Mohd Yunus.

Pegawai kanan Bank Dunia dan delegasinya turut mengadap Timbalan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bagi bertukar pandangan dan idea mengenai aliran pembangunan di Malaysia dan rantau ini amnya.

Aliran ini termasuk peningkatan kepentingan ekonomi digital dan pembangunan kemahiran untuk daya saing masa depan di semua negara di rantau ini.

Datuk Yusof Haslam Lega Selesai Semua Hutang

Posted: 12 Dec 2018 01:29 AM PST


Datuk Yusof Haslam berkongsi rasa syukurnya kerana dapat menyelesaikan hutang sebelum usia 55 tahun. Yusof atau nama lengkapnya, Mohd Yusof Md Haslam Khan berkata, azam itu dibuat sejak usia muda kerana bimbang dibebani hutang yang mungkin menjejaskan orang sekelilingnya.

"Sejak usia 30-an lagi saya sudah menetapkan azam untuk menyelesaikan semua hutang sebelum usia mencecah 55 tahun.

"Alhamdulillah, ia menjadi kenyataan apabila rezeki saya murah. Saya paling takut apabila muda senang, tetapi susah ketika tua," katanya.

Yusof ditemui pada majlis doa kesyukuran dan pemberian bonus kepada artis, kru dan pekerja yang terbabit dengan filem Munafik 2 terbitan syarikatnya, Skop Productions Sdn Bhd.

Filem arahan dan dibintangi Syamsul Yusof bersama Maya Karin, Datuk Fizz Fairuz dan Mawi itu mencatat kutipan mencecah RM43 juta apabila ditayangkan di negara ini pada 30 Ogos lalu, selain meraih RM4 juta di Indonesia.

"Sejak dahulu lagi, saya mengamalkan konsep untuk berkongsi rezeki dengan pekerja dan barisan artis yang bertungkus-lumus menjayakan karya kita.

"Tidak perlu saya kongsi berapa jumlah yang diberikan, nanti orang kita riak pula.

"Apa yang dapat saya katakan, jumlah yang diberikan itu berbaloi dengan hasil kerja masing-masing," katanya.

+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media.

Jodoh Dipertemukan Dari Bantuan Bomoh?

Posted: 12 Dec 2018 12:04 AM PST


SOALAN : Assalamualaikum ustaz. Saya ini andartu (anak dara tua) sudah berumur mencecah lebih 40 tahun.Namun belum juga mendapat jodoh sehingga sekarang. Ibu saya menjadi risau dan ambil keputusan untuk jumpa bomoh, dengan tujuan membuang sial yang ada pada saya. Apa betul tindakan ibu saya itu?

JAWAPAN : Satu perkara yang perlu kita ketahui, bahawa apabila kita merancang sesungguhnya ALLAH sebaik-baik Perancang.Segala apa yang melibatkan jodoh, rezeki, kematian dan lain-lain telah ditentukan oleh ALLAH SWT. Ini berdasarkan kepada sabda Nabi SAW daripada Abdullah Bin Mas'ud yang bermaksud:

"Sesungguhnya setiap dari kalian akan dihimpunkan kejadiannya di dalam perut ibunya selama 40 hari kemudian menjadi segumpal darah dalam tempoh yang sama. Kemudian menjadi segumpal daging dalam tempoh yang sama. Kemudian ALLAH mengutuskan malaikat dan diperintahkan (malaikat tersebut) dengan empat kalimat. Dikatakan kepada malaikat : tuliskan amalannya, rezekinya, ajalnya, adakah dia bahagia atau derita.." Riwayat al-Bukhari ( 3208)

Perbuatan pergi menemui bomoh semata-mata untuk membuang sial bagi memudahkan mendapat jodoh adalah salah sama sekali. Perkara ini telah dijelaskan oleh Nabi SAW yang diriwayatkan oleh Safiah daripada beberapa isteri Nabi SAW. Sabda Baginda :

"Sesiapa yang pergi berjumpa tukang tilik lalu dia meminta kepadanya sesuatu, maka solatnya tidak diterima selama 40 malam." Riwayat Muslim (5957)

Imam al-Nawawi menyatakan maksud tidak diterima solatnya adalah solat yang dilakukan tidak mendapatkan pahala. Rujuk Syarh al-Nawawi 'ala Muslim (14/227)

Di dalam riwayat yang lain, Nabi SAW menyebut : "Sesiapa yang datang berjumpa dengan dukun atau tukang tilik lalu dia membenarkan apa yang dikatakan olehnya. Sesungguhnya dia telah mengingkari dengan apa yang telah diturunkan kepada Muhammad SAW." Riwayat Ahmad (9667)

Jelas di dalam hadis tersebut ancaman yang diberikan oleh Nabi SAW bagi sesiapa yang berjumpa dengan bomoh, dukun atau yang semisal dengannya.

Menerusi hadis-hadis ini, maka kami nasihatkan agar jangan pergi berjumpa dengan dukun atau bomoh atau apa sahaja yang semisal dengannya. Mereka tidak terlepas dari menggunakan sihir. Ketahuilah bahawa dosanya sungguh besar.

Selain daripada itu, tiada konsep sial di dalam Islam. Sabda Nabi SAW : "Tidak ada penyakit yang berjangkit,tidak ada kepercayaan bahawa haiwan memberi manfaat dan mudarat, tidak ada kesialan dalam bulan Safar dan tidak ada juga kepercayaan datangnya malapetaka disebabkan burung hantu." Riwayat al-Bukhari (5770), Muslim(2220), Abu Daud (3913) di dalam al-Sunan & Ahmad(3031) di dalam Musnad.

Bergantunglah hanya kepada ALLAH SWT. Sentiasalah berdoa, mengharap, memohon dan bermunajat hanya kepada ALLAH SWT. Mintalah hanya kepada Allah. Jangan pergi kepada selain Allah SWT apatah lagi jika yang ditemui adalah tukang tilik,dukun, bomoh atau apa sahaja namanya. Sebagai seorang mukmin, kita digalakkan untuk berdoa kepada ALLAH. Firman ALLAH SWT dalam Surah Ghafir :60.

+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media.

Six Flags Dan Universal Dikatakan Bakal Ganti Fox Genting?

Posted: 12 Dec 2018 12:04 AM PST


Akibat pembatalan taman tema jenama 20th Century Fox di Genting, kini dikatakan dua syarkat baharu akan mengambil alih projek itu. Dua nama besar iaitum Universal dan Six Flags dikhabarkan akan mengambil alih untuk mengwujudkan taman tema ikonik di Genting.

Akan tetapi, perkara tersebut belum diketahui kebenarannya dan jika Universal mengambil alih projek tersebut, ianya bukan sesuatu yang mengejutkan. Untuk pengetahuan anda, Universal Studios Singapore dimiliki dan dikendalikan oleh Genting.

Malah, sekiranya Genting mahu bekerjasama dengan Six Flags, ia juga mungkin bukan satu perkara yang mengejutkan kerana kredibiliti yang Six Flags dalam membawa masuk permainan yang laju dan mencabar ke Malaysia. Six Flags merupakan syarikat taman tema dari Amerika Syarikat dan merupakan syarikat taman tema terbesar di dunia.

Sememangnya projek ini telah lama dinantikan oleh semua rakyat Malaysia kerana ia telah lama terbengkalai. Apa agaknya penyudah kepadda masalah ini? Harap ia tidak mendecewakan kali ini.


+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media.

Lima Sahabat Rentung Akan Dikebumikan Dalam Satu Liang Lahad

Posted: 11 Dec 2018 09:57 PM PST


Lima sahabat daripada enam mangsa ditemui rentung di sebuah rumah kedai di kawasan perindustrian Jelapang Maju, Jelapang semalam. Ke semua jenazah akan dikebumikan di dalam satu liang lahad dan telah dipersetujui oleh ahli keluarga masing-masing memandangkan persahabatan semua mangsa yang terjalin sejak kecil.

Bapa mangsa, Abdul Rahman Bahak, 45, berkata, hubungan mereka juga tidak ubah seperti adik beradik.

"Kemana saja mereka pergi atau ada aktiviti mesti buat sama-sama, jadi semalam kami dah bincang dan ambil keputusan untuk kebumikan bersama dalam satu liang lahad," katanya.

Semua jenazah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Kuala Pari, hari ini.

Bapa mangsa, Mohamad Kamari Talib, 53, berkata, mereka dipanggil untuk menjalani ujian DNA, pagi ini selepas proses pengecaman sukar dilakukan berikutan keadaan mangsa yang rentung.

"Ada mereka minta kami bawa laporan perubatan dan pergigian, tetapi manalah ada, tak pernah buat pun.

"Saya sendiri tak dapat nak cam anak saya, jalan paling selamat buat DNA," katanya.

Dalam kejadian sekitar jam 1.50 petang, semalam Mohammad Nor Ikram Mohd Husni, 15; Mohamad Ekmal Izzuddin Mohamad Kamari, 16; Mohammad Nuraiman Abdul Rahman, 16; Ahmad Faizal Aminuddin, 16, masing-masing pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Menglembu dan Muhamad Azhar Shah Rosli, 19, ditemui rentung.

Turut terkorban, P Thiagarajan, 40, yang merupakan pemilik syarikat.

+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media.

Harimau Malaya Perlu Mengaum Lebih Garang di Hanoi

Posted: 11 Dec 2018 09:57 PM PST


Berikutan dengan keputusan seri 2-2 di antara Malaysia menentang Vietnam malam tadi, ketua jurulatih Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe percaya pasukannya mampu menebus kekecewaan pada perlawanan akhir kedua Piala AFF Suzuki 2018 di Hanoi, Sabtu depan.

"Secara keseluruhan kita bermain dengan baik tetapi kita membenarkan dua jaringan mudah pasukan lawan. Kita bermula baik sebelum pemain hilang tumpuan. Namun kita masih mempunyai 90 minit dan saya positif dan optimis untuk perlawanan di Hanoi," katanya pada sidang media selepas perlawanan itu.

Harimau Malaya bangkit daripada ketinggalan dua gol, sebelum pemain pertahanan Shahrul Mohd Saad menanduk masuk bola untuk gol pertama diikuti jaringan menerusi sepakan percuma menarik diambil Muammad Safawi Rasid untuk menyamakan kedudukan 2-2.

Dalam pada itu, Muhammad Safawi mengakui perlawanan berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil itu merupakan aksi paling berintensiti tinggi bagi skuad negara sepanjang kempen Piala AFF Suzuki edisi kali ini.

"Saya merasakan perlawanan ini sengit dan kita juga bolos awal, jadi itu memberi sedikit tekanan.

"Tetapi kami berjaya menyamakan kedudukan dan saya gembira menjaringkan gol kedua hasil bantuan rakan sepasukan. Kita ada 90 minit lagi untuk cuba melakukan yang terbaik dan dapatkan keputusan positif," katanya.

Sumber: Sinar

+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media.

Kerajaan China Lakukan Sekatan Penjualan Produk iPhone

Posted: 11 Dec 2018 08:34 PM PST


Kerajaan China nampaknya telah mengesahkan untuk menghalang sebarang penjualan Apple iPhone di negara berkenaan. Ini menunjukkan peperangan barangan dagangan di antara  China dan Amerika Syarikat semakin hangat.

Dalam masa yang sama, China turut mendenda pekerja yang mendapatkan iPhone dan difahamkan halangan ini dibuat kerana Apple telah melanggar paten milik pencabar mereka iaitu pengeluar cip Qualcomm. Berdasarkan sekatan yang dikenakan, iPhone 6S, 6S Plus, 7, 7 Plus, 8, 8 Plus dan X telah dihalang untuk dijual di China. Namun tiga model terbaru iaitu iPhone XS, XS Max dan XR dibenarkan untuk dijual seperti biasa.

Nampaknya, sedikit sebanyak, ia pasti memberi kesan kepada penualan Apple yang bakal menurun kerana jumlah pembeli di China sangat tinggi.

+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media.

Ketua Jurulatih Vietnam Kecewa Harimau Malaya Berjaya Ikat Vietnam

Posted: 11 Dec 2018 08:34 PM PST


Pada perlawanan Final pertama di antara Malaysia menentang Vietnam, meskipun memiliki kelebihan bagi aksi final kedua Piala AFF 2018,  namun Vietnam jelas kecewa selepas membenarkan Malaysia mengikat kedudukan 2-2 pada aksi final pertama di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Vietnam yang berjaya mendapatkan dua gol pendahuluan ternyata kecewa apabila berjaya diikat semula oleh skuad Harimau Malaya.

Bagaimanapun, jurulatih skuad Naga Emas itu, Park Hang Seo mengakui berpuas hati dengan keputusan 2-2 yang dilakar anak buahnya sebagai bekalan untuk aksi kedua di Hanoi, Sabtu ini.

"Pemain beraksi dengan baik dan menunjukkan semangat juang tinggi apabila dapat menjaringkan dua gol pada aksi malam ini.

"Memang saya kecewa dengan dua gol yang dibolosi namun secara keseluruhannya, kami tidak tewas pada perlawanan di tempat lawan.

"Kini saya perlu mempersiapkan pasukan bagi aksi kedua di tempat sendiri," katanya.

+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media.

Dunia Penjara Bagi Orang Mukmin

Posted: 11 Dec 2018 04:11 PM PST


Soalan:
Apakah status hadith dunia merupakan penjara bagi orang mukmin?

Jawapan :
Berdasarkan soalan di atas, hadith yang dimaksudkan adalah:

Daripada Abu Hurairah RA berkata, bahawa Nabi SAW bersabda:
الدُّنْيَا سِجْنُ الْمُؤْمِنِ، وَجَنَّةُ الْكَافِرِ
"Dunia merupakan penjara bagi orang yang beriman dan syurga bagi orang yang kafir."

Sumber Hadith

Hadith ini diriwayatkan oleh Imam Ahmad di dalam Musnad-nya (8289), Imam Muslim di dalam Sahih-nya (2956), Imam al-Tirmidzi di dalam Jami'-nya (2324) dan Imam Ibn Majah di dalam Sunan-nya (4113).

Hukum Hadith

  • Imam Muslim meletakkan hadith ini di dalam Sahihnya maka ini bermakna hadith ini adalah sahih.
  • Imam al-Tirmizi mengatakan hadith ini hasan sahih.
  • Imam Ibn Hibban meletakkan hadith ini di dalam sahihnya.
  • Syeikh al-Arna'outh mengatakan hadith ini sanadnya sahih mengikut syarat Imam Muslim ketika mentaqiqkan Musnad Ahmad.

Makna Hadith

Imam al-Nawawi berkata makna hadith ini bahawa setiap orang mukmin dipenjara dan dihalang di dunia ini daripada syahwat yang haram dan makruh. Orang mukmin itu juga mukallaf (dituntut) untuk melakukan perbuatan ketaatan yang berat. Namun begitu, apabila dia meninggal maka dia akan berehat daripada semua ini. Dan semua itu akan berubah sebagaimana yang dijanjikan oleh Allah SWT kepadanya daripada nikmat-nikmat yang berkekalan dan juga kerehatan yang sebenarnya tanpa berkurang apa pun. Adapun orang yang kafir, mereka juga memperoleh apa yang mereka lakukan di dunia dalam keadaan sedikit dan kehidupan yang tidak sempurna atau samar-samar. Apabila dia meninggal, dia akan diazab buat selama-lamanya dan akan berada di dalam kepayahan yang abadi. [Lihat al-Minhaj (93/18)]

Imam al-Munawi dalam mensyarahkan hadis ini dalam Faid al-Qadir (3/546), telah menyebut sebuah kisah yang diambil daripada para ulama: "al-Hafiz Ibn Hajar (al-Asqalani) Ketika dia menjadi Ketua Qadi berjalan pada suatu hari melintasi sebuah pasar. Ketika itu beliau dalam sebuah rombongan penunggang haiwan kenderaan yang besar, cantik lagi mengagumkan. Tiba-tiba meluru ke arahnya seorang lelaki Yahudi, penjual minyak biji rami. Pakaiannya kotor dengan minyak, dan kelihatan semakin lusuh dan buruk. Dia lantas memegang kekang baghal Imam Ibn Hajar dan berkata: "Wahai Syeikh al-Islam! Engkau mendakwa bahawa Nabi kalian berkata: "Dunia itu penjara bagi orang beriman dan syurga bagi orang kafir," lantas, penjara mana yang engkau berada sekarang? Dan syurga mana yang aku berada sekarang?" Jawab Ibn Hajar: "Aku jika dibandingkan apa yang Allah janjikan bagiku di akhirat nanti daripada kenikmatan syurga, seakan aku sekarang berada di penjara, manakala engkau pula, jika dibandingkan dengan apa yang Allah janjikan bagi engkau di Akhirat, seolah-olah sekarang engkau berada dalam syurga." Lalu Yahudi itu masuk Islam.

Berkaitan taklif (tanggungjawab), Imam al-Marwazi pernah menceritakan bahawa: Aku pernah bertanya kepada Imam Ahmad: "Bagaimana keadaan anda pagi hari ini?". Beliau menjawab: "Bagaimana kira-kira keadaan seorang hamba pada pagi hari, di mana Rabbnya menuntut dirinya untuk melaksanakan berbagai kewajipan, Nabinya menuntut dirinya untuk menjalankan al-Sunnah, sementara dua malaikat menuntut dirinya untuk beramal dengan benar, di sisi yang lain, jiwanya menuntut dirinya untuk menurut hawa nafsu dan iblis pula menuntutnya untuk melakukan perbuatan keji, malaikat maut pula melihat dirinya untuk mencabut rohnya, sementara keluarganya menuntut daripadanya untuk mencari nafkah".

Penutup

Huraian dan syarah hadis di atas menunjukkan bahawa orang beriman itu di dunia diperintahkan untuk taat kepada perintah dan meninggalkan larangan Allah, sebagai ujian untuk mendapatkan rahmat Allah berupa kebahagiaan di akhirat. Ini tidak menafikan peluang bagi seorang manusia, sama ada Islam atau bukan, untuk mendapatkan kekayaan dunia denga usaha dan peluang. Hadis ini juga tidak menjadi halangan untuk orang Islam untuk berbuat baik dengan orang bukan Islam dan membawa mereka untuk masuk Islam seperti mana yang diungkapkan dalam kisah Ibn Hajar di atas.

Kesimpulannya, kita perlulah berusaha dan beramal dengan bersungguh-sungguh di dunia ini kerana dunia ini bersifat sementara. Selain itu, kita juga perlulah menjadikan dunia ini sebagai lading untuk kite beramal. Berdasarkan firman Allah SWT:

مَن كَانَ يُرِيدُ حَرْثَ الْآخِرَةِ نَزِدْ لَهُ فِي حَرْثِهِ ۖ وَمَن كَانَ يُرِيدُ حَرْثَ الدُّنْيَا نُؤْتِهِ مِنْهَا وَمَا لَهُ فِي الْآخِرَةِ مِن نَّصِيبٍ
"Sesiapa yang menghendaki (dengan amal usahanya) faedah di akhirat, maka Kami akan memberinya serta kami tambahkan pada faedah yang dikehendakinya. Dan sesiapa yang menghendaki (dengan amal usahanya) kebaikan di dunia semata-mata, maka Kami akan beri kepadanya dari kebaikan dunia itu (sekadar yang Kami tentukan). Dan dia tidak akan beroleh sesuatu bahagian pun (di akhirat kelak)". [al-Syura:20]

Akhirnya, semoga Allah SWT menjadikan kita orang yang cintakan ilmu serta memberi kita kefahaman di dalam agama ini dan memelihara kita daripada melakukan kesalahan dalam menyampaikan hadith Nabi SAW. Amin.

Wallahua'lam.

+ Mufti Wilayah Persekutuan

Orang Syahid Dikahwinkan Dengan 72 Bidadari

Posted: 11 Dec 2018 04:05 PM PST


Soalan:
Apakah status hadith orang syahid dikahwinkan dengan 72 bidadari?

Jawapan :
Berdasarkan soalan di atas, hadith yang menceritakan berkaitan orang yang syahid dikahwinkan dengan 72 bidadari ada diriwayatkan oleh Imam al-Tirmizi di dalam Jami'nya iaitu Jami' al-Tirmizi.

Daripada al-Miqdam RA berkata, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

لِلشَّهِيدِ عِنْدَ اللَّهِ سِتُّ خِصَالٍ: يُغْفَرُ لَهُ فِي أَوَّلِ دَفْعَةٍ، وَيَرَى مَقْعَدَهُ مِنَ الجَنَّةِ، وَيُجَارُ مِنْ عَذَابِ القَبْرِ، وَيَأْمَنُ مِنَ الفَزَعِ الأَكْبَرِ، وَيُوضَعُ عَلَى رَأْسِهِ تَاجُ الوَقَارِ، اليَاقُوتَةُ مِنْهَا خَيْرٌ مِنَ الدُّنْيَا وَمَا فِيهَا، وَيُزَوَّجُ اثْنَتَيْنِ وَسَبْعِينَ زَوْجَةً مِنَ الحُورِ العِينِ، وَيُشَفَّعُ فِي سَبْعِينَ مِنْ أَقَارِبِهِ
"Orang yang mati syahid di sisi Allah SWT mempunyai enam keutamaan; diampunkan dosanya ketika darahnya tertumpah untuk pertama kalinya (pertempuran), diperlihatkan tempatnya di dalam Syurga, diselamatkan daripada azab kubur, diberi ketenangan daripada ketakutan ketika dibangkitkan dari kubur, diletakkan di atas kepalanya makhkota daripada permata yang mana permata itu lebih baik daripada dunia dan isinya, dikahwinkan dengan 72 isteri daripada bidadari dan diberi hak untuk memberi syafaat kepada 70 orang daripada ahli keluarganya". [Riwayat al-Tarmizi (1663), Imam al-Tirmizi menilai hadith ini sebagai sahih gharib]

Makna Hadith

Melihat pada hadith di atas, kita mengetahui bahawa orang yang gugur syahid di jalan Allah SWT mempunyai kelebihan dan keistimewaan di sisi Allah SWT. Di dalam hadith ini, dinyatakan enam kelebihan yang dimiliki oleh orang yang mati syahid di jalan Allah SWT. Antaranya ialah, mereka akan dikahwinkan dengan 72 bidadari di akhirat kelak.

Syeikh Mulla Ali al-Qari ketika mensyarahkan hadith ini berkata, dikurniakan bagi orang syahid dengan cara perkahwinan seramai 72 bidadari. Bilangan tersebut menunjukkan kepada bilangan yang ditentukan (تحديد) bukannya menunjukkan bilangan yang banyak (تكثير). Ia juga difahami bahawa 72 bidadari adalah pemberian yang paling sedikit dan tidak menjadi masalah jika mereka itu dikurniakan lebih daripada itu iaitu lebih daripada 72 bidadari.

Bidadari adalah wanita daripada syurga dan maksud (حور) daripada (حوراء) iaitu teramat putih (kulitnya) dan matanya kehitaman. Manakala (العين) jama'nya adalah (عيناء) yang bermaksud mata yang luas (besar). [Lihat: Mirqah al-Mafatih, 2483/6]

Penutup

Kesimpulannya, hadith tersebut menceritakan ganjaran yang besar bagi orang yang terkorban syahid di jalan Allah SWT. Untuk itu, para sahabat RA dan para solihin sentiasa mengimpikan untuk gugur syahid di jalan Allah SWT. Akhirnya, semoga Allah SWT mengurniakan kita pengakhiran yang baik serta memasukkan kita ke dalam syurga-Nya yang kekal abadi di dalamnya. Amin.

Wallahua'lam.

+ Mufti Wilayah Persekutuan

Ilmu Hilang di Peha Wanita

Posted: 11 Dec 2018 04:00 PM PST


Soalan:
Apakah status hadith ini?

ضَاعَ الْعِلْمُ فِي أَفْخَاذِ النِّسَاءِ
"Hilangnya ilmu di peha-peha wanita".

Jawapan :
Berdasarkan soalan di atas, hadith ini dinukilkan oleh para ulama' hadith di dalam kitab mereka yang mengumpulkan hadith-hadith palsu. Hadith di atas ini juga disebut dengan lafaz yang sedikit berlainan iaitu:

ضَاعَ الْعِلْمُ بَيْنَ أَفْخَاذِ النِّسَاءِ
"Hilangnya ilmu di antara peha-peha wanita".

Hadith di atas bukan daripada Nabi SAW dan ia merupakan perkataan daripada Bisyr al-Hafi sebagaimana yang dinyatakan oleh Imam al-Sakhawi dan juga Syeikh Mulla Ali al-Qari. Antara ulama' hadith yang menilai hadith ini sebagai palsu di dalam kitab mereka ialah:

  • Imam al-Sakhawi. [Lihat: al-Maqasid al-Hasanah, 640]
  • Syeikh al-Zurqani. [Lihat: Mukhtasar al-Maqasid, 597]
  • Syeikh al-Ajlouni. [Lihat: Kasyf al-Khafa', 34/2]
  • Syeikh Mulla Ali al-Qari. [Lihat: al-Asrar al-Marfu'ah, 237/1][Lihat: al-Mashnu' Fi Ma'rifah al-Hadith al-Maudhu', 120]
  • Syeikh al-Qauqaji. [Lihat: al-Lu'lu' al-Marshu', 112/1]

Penutup

Kesimpulannya, hadith di atas adalah tidak sahih dan kita sesekali tidak dibenarkan menyebarkannya kepada orang lain. Apatah lagi, menyandarkannya kepada Nabi SAW. Ini kerana, hukuman bagi orang yang berdusta di atas nama Rasulullah SAW adalah neraka merupakan tempatnya. Akhirnya, semoga Allah SWT memelihara lidah-lidah kita daripada menyampaikan dan menyebarkan hadith-hadith yang tidak sahih. Amin.

Wallahua'lam.

+ Mufti Wilayah Persekutuan