Sunday, December 2, 2018

Oh! Media

Oh! Media


Aplikasi Bayaran Tanpa Tunai WeChat Pay Kini Boleh Digunakan di Petron

Posted: 01 Dec 2018 03:46 AM PST


Penggunaan aplikasi WeChat Pay yang membolehkan penggunanya membuat abayaran secara tunai dilihat semakin mendapat sambutan di Malaysia. Sebelum ini, pengguna WeChat Malaysia boleh melakukan pembayaran di Starbuck dan kini, pengguna juga boleh menggunakan aplikasi ini untuk lakukan transaksi di stesen minyak Petron.

Kerjasama di antara WeChat Pay dan Petron ini membolehkan pengguna untuk melakukan pembayaran dan memudahkan transaksi. Setakat ini, Petron hanya memulakan penggunaan WeChat Pay di 200 stesen terpilih sahaja seluruh negara sebelum memperluaskan di semua cawangan peringkat demi peringkat.

Pengguna boleh menggunakan servis ini di stesen Petron yang memaparkan papan tanda kecil di luar kaunter pembayaran. Aplikasi ini dilihat mampu terus berkembang kerana ciri keselamatan WeChat Pay yang tinggi dan dipercayai.

 + Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media.

Enam Cedera Apabila Tayar Pesawat Hilang Ketika Mendarat

Posted: 30 Nov 2018 11:35 PM PST


Sekarang, sering kali kita mendengar kemalangan mahupun nahas yang melibatkan kapal terbang sehingga menyebabkan kehilangan banyak nyawa. Terkini, dilaporkan enam penumpang cedera apabila tayar sebuah pesawat Vietjet Airbus yang baru sampai tercabut ketika ia melakukan pendaratan cemas di tengah Vietnam.

Pesawat itu hilang tayar depan ketika melakukan pendaratan di Buon Ma Thuot dari Ho Chi Minh City, menurut Kementerian Pengangkutan.


Penerbangan itu berhadapan kejadian serius ketika mendarat, iaitu dua tayar depannya hilang, menurut laporan yang dilihat AFP ditulis kementerian kepada Perdana Menteri.

Imej yang disiarkan penerbitan industri itu, FlightGlobal menunjukkan tayar depan tercabut dan gelungsur kecemasan dikeluarkan.

Pesawat terbabit membawa seramai 207 penumpang penerbangan itu selamat dipindahkan tetapi enam daripada mereka dimasukkan ke hospital kerana mengalami kecederaan ringan, kata Pihak Berkuasa Penerbangan Sivil Vietnam.

 + Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media.

George Bush Telah Hembuskan Nafas Terakhirnya Di Dunia Ini

Posted: 30 Nov 2018 10:13 PM PST


Hari ini kita diberitakan dari Amerika Syarikat bahawa bekas Presiden Amerika iaitu
George Herbert Walker Bush, yang merupakan presiden ke-41 membimbing Amerika Syarikat telah menghembuskan nafas terakhirnya di dunia ini pada usia 94 tahun.

Ini diumumkan oleh ahli keluarganya, "Jeb, Neil, Marvin, Doro dan saya dengan dukacita mengumumkan bahawa selepas mengharungi 94 tahun yang luar biasa, ayah kami sudah meninggal dunia," kata anaknya, bekas presiden George W. Bush dalam satu kenyataan yang disiarkan menerusi Twitter oleh jurucakap keluarganya.

"George H.W Bush ialah seorang lelaki yang mempunyai watak dikagumi selain seorang ayah terbaik kepada anak lelaki dan perempuan," katanya.

Bush adalah juruterbang tentera laut Perang Dunia II yang terselamat ditembak jatuh di atas Pasifik, memimpin CIA dan menghabiskan lapan tahun sebagai naib presiden sebelum mengambil Pejabat Oval. Beliau adalah bapa kepada presiden ke-43, George W. Bush.

 + Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media.

Malaysia Bercadang Untuk Meneruskan Semula Misi Pencarian MH370 Setelah 4 Tahun

Posted: 30 Nov 2018 09:04 PM PST


Setelah 4 tahun kita melakukan pelbagai usaha dengan bantuan pelbagai pihak dari peringkat antarabangsa, tarikh 8 March dilihat menjadi memori pahit buat semua rakyat Malaysia dan kejutan buat dunia.

Ini apabila hilangnya pesawat MH370 dan telah kehilangan 239 nyawa yang telah pergi tanpa kabar berita hingga kini.

Walaubagaimanapun, banyak petunjuk yang menunjukkan pelbagai cerita tentang di mana MH370 berada. Terbaru, didapati terdapat keluarga mangsa berjaya menemui sebanyak 27 serpihan daripada pesawat MH370. Difahamkan lokasi serpihan yang dijumpai adalah di Lautan Hindi.


Menteri Pengangkutan, YB Anthony Loke Siew Fook turut menerima laporan dimana terdapat serpihan lain yang dijumpai di Madagaskar sekitar Ogos lalu.

Oleh itu, melihat kepada beberapa serpihan yang dijumpai, Menteri Pengangkutan telah mengumumkan dimana Malaysia kemungkinan besar bakal meneruskan kembali misi pencarian pesawat MH370 bersama mangsa.

 + Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media.

Makan Atau Solat Dahulu?

Posted: 30 Nov 2018 05:33 PM PST


Soalan:
Benarkah terdapat hadith tentang diutamakan makan dahulu sebelum didirikan solat apabila makanan sudah tersedia?

Jawapan:
Solat merupakan salah satu rukun daripada rukun Islam dan ia juga merupakan penanda dalam membezakan antara orang yang beriman dan juga orang yang kafir sebagaimana yang dinyatakan di dalam hadith. Untuk itu, setiap orang yang beriman perlulah mengetahui dan mempelajari hukum-hakam berkaitan solat.

Berdasarkan soalan di atas, memang terdapat riwayat yang menyatakan hal sedemikian. Maka, di sini kami sertakan beberapa riwayat yang menunjukkan akan hal tersebut:

Daripada Anas bin Malik RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

إِذَا وُضِعَ العَشَاءُ وَأُقِيمَتِ الصَّلاَةُ، فَابْدَءُوا بِالعَشَاءِ
"Apabila dihidangkan makanan (makan malam) dalam keadaan solat didirikan maka mulakanlah dengan makanan." [Riwayat al-Bukhari (5643)]

Di dalam riwayat yang lain, juga daripada Anas bin Malik RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

إِذَا حَضَرَ الْعَشَاءُ، وَأُقِيمَتِ الصَّلَاةُ، فَابْدَءُوا بِالْعَشَاءِ
"Apabila telah datang makanan (makan malam) dalam keadaan solat didirikan maka mulakanlah dengan makanan." [Riwayat Muslim (557)]

Melihat kepada dua hadith yang sahih di atas, maka jelas menunjukkan kepada terdapat perintah daripada Nabi SAW untuk mendahulukan makan sebelum solat. Di samping itu, terdapat sebuah lagi hadith yang umum menunjukkan larangan solat ketika terhidangnya makanan:

Daripada Aisyah RA, aku mendengar Rasulullah SAW bersabda:

لَا صَلَاةَ بِحَضْرَةِ الطَّعَامِ، وَلَا هُوَ يُدَافِعُهُ الْأَخْبَثَانِ
"Tidak sempurna solat apabila makanan telah dihidangkan ataupun ketika seseorang itu menahan daripada dua benda kotor (buang air kecil dan besar)." [Riwayat Muslim (560)]

Selain itu, Imam al-Tirmizi telah berkata di dalam Jami'nya:

وَعَلَيْهِ العَمَلُ عِنْدَ بَعْضِ أَهْلِ العِلْمِ مِنْ أَصْحَابِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مِنْهُمْ: أَبُو بَكْرٍ، وَعُمَرُ، وَابْنُ عُمَرَ، وَبِهِ يَقُولُ أَحْمَدُ، وَإِسْحَاقُ يَقُولَانِ: يَبْدَأُ بِالعَشَاءِ وَإِنْ فَاتَتْهُ الصَّلَاةُ فِي الجَمَاعَةِ
"Hadith ini diamalkan oleh sebahagian ahli ilmu daripada kalangan sahabat Nabi SAW. Antaranya ialah Abu Bakar, Umar dan Ibn Umar. Ini juga merupakan pendapat Imam Ahmad dan Ishak. Mereka berdua berkata: Mulakanlah dengan makanan walaupun kamu terlepas melaksanakan solat secara berjemaah." [Lihat: Jami' al-Tirmizi, 184/2]

Kata al-Imam al-Nawawi ketika mensyarahkan hadith di atas di dalam Sahih Muslim adalah:

فِي هَذِهِ الْأَحَادِيثِ كَرَاهَةُ الصَّلَاةِ بِحَضْرَةِ الطَّعَامِ الَّذِي يُرِيدُ أَكْلَهُ لِمَا فِيهِ مِنِ اشْتِغَالِ الْقَلْبِ بِهِ وَذَهَابِ كَمَالِ الْخُشُوعِ وَكَرَاهَتِهَا مَعَ مُدَافَعَةِ الْأَخْبَثَيْنِ وَهُمَا الْبَوْلُ وَالْغَائِطُ وَيَلْحَقُ بِهَذَا مَا كان في معناه مما يَشْغَلُ الْقَلْبَ وَيُذْهِبُ كَمَالَ الْخُشُوعِ وَهَذِهِ الْكَرَاهَةُ عِنْدَ جُمْهُورِ أَصْحَابِنَا وَغَيْرِهِمِ
"Pada hadith-hadith ini menunjukkan kemakruhan solat ketika terhidangnya makanan yang ingin dimakannya kerana perbuatan ini akan menyibukkan hati dengannya (makanan) dan menghilangkan kesempurnaan khusyuk. Makruh juga bagi orang yang solat dalam keadaan menahan dua perkara yang kotor, iaitu membuang air kecil dan besar. Maka dengan itu, apa yang boleh difahami adalah (solat ketika makanan terhidang) hal ini akan menyibukkan hati dan menghilang kesempurnaan khusyuk. Kemakruhan ini adalah di sisi jumhur ashab kami (ulama' al-Syafi'eyyah) dan selain daripada mereka." [Lihat: al-Minhaj, 46/5]

Tambahan pula, Imam Ibn Qudamah berkata bahawa pentingnya khusyuk dan juga melapangkan hati di dalam solat sebagaimana yang dinyatakan ini:

إِذَا حَضَرَ الْعَشَاءُ فِي وَقْتِ الصَّلاَةِ فَالْمُسْتَحَبُّ أَنْ يَبْدَأَ بِالْعَشَاءِ قَبْل الصَّلاَةِ؛ لِيَكُونَ أَفْرَغَ لِقَلْبِهِ وَأَحْضَرَ لِبَالِهِ، وَلاَ يُسْتَحَبُّ أَنْ يَعْجَل عَنْ عَشَائِهِ أَوْ غَدَائِهِ
"Apabila telah tersedia makan ketika waktu solat, maka sunat dimakan terlebih dahulu sebelum daripada solat. Ini kerana, ia akan melapangkan hati dan menghadirkan khusyuk. Selain itu, tidak disunatkan bersegera ketika makan malam atau makan tengahari." [Lihat: al-Mausu'ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 189/27]

Hukum Solat Ketika Makanan Telah Tersedia

Kami berpendapat bahawa hukum orang yang solat dalam keadaan makanan telah tersedia hukumnya adalah makruh jika didirikan solat dalam keadaan waktu solat itu masih lama berbaki dan dalam keadaan ini maka sunat untuk dia makan terlebih sebagaimana yang dinyatakan oleh Imam al-Nawawi di atas. Akan tetapi, jika waktu solat itu sudah hampir tamat, maka pada waktu ini hendaklah ditunaikan solat terlebih dahulu sebelum memakan makanan yang telah tersedia itu. Selain itu, Imam Ibn Qudamah berkata:

قَال أَصْحَابُنَا: إِنَّمَا يُقَدِّمُ الْعَشَاءَ عَلَى الْجَمَاعَةِ إِذَا كَانَتْ نَفْسُهُ تَتُوقُ إِلَى الطَّعَامِ كَثِيرًا، وَنَحْوَهُ قَال الشَّافِعِيُّ
"Telah berkata ashab kami (ulama' bermazhab Hanabilah): Sesungguhnya didahulukan makan daripada solat berjemaah jika dirinya cenderung kepada makanan (lebih daripada solat) dan Imam al-Syafie berkata seperti itu juga." [Lihat: al-Mausu'ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 190/27]

Status Riwayat Ini

Sebelum kami mengakhiri perbahasan ini, di sini kami sertakan satu riwayat yang Masyhur dan ia juga membawa maksud yang sama dengan hadith-hadith di atas:

إِذَا حَضَرَ الْعَشَاءُ وَالْعِشَاءُ فابدؤوا بِالْعَشَاءِ
"Apabila datangnya makan (malam) dan isyak maka mulakanlah dengan makan (malam)."

Hadith ini dihukum oleh para ulama' seperti Imam al-Iraqi bahawa tiada asal di dalam kitab hadith dengan lafaz seperti ini. [Lihat: al-Asrar al-Marfu'ah, 89/1]

Selain itu juga, Imam al-Suyuthi juga mengkhabarkan yang sedemikian iaitu tiada asal di dalam kitab hadith dengan lafaz seperti ini. [Lihat: al-Durar al-Muntathirah, 67/1]

Dengan itu, kami cenderung untuk mengatakan bahawa riwayat dengan lafaz ini (lafaz di atas) adalah tidak sahih. Akan tetapi, riwayat dengan lafaz di atas iaitu daripada al-Bukhari dan Muslim adalah sahih. Maka, kita tidak boleh meriwayatkan berkaitan hal ini dengan menggunakan riwayat di atas ini serta menyandarkannya kepada Nabi SAW.

Penutup

Kesimpulannya, terdapat nas atau hadith yang menceritakan agar didahulukan makan berbanding solat jika masih mempunyai waktu untuk didirikan solat tersebut. Ini kerana, seseorang itu perlu mendirikan solat dalam keadaan penuh khusyuk dan hati yang tenang. Akhirnya, semoga Allah SWT menerima solat-solat kita serta menjadikan kita dalam kalangan hamba-hamba-Nya yang sentiasa bangun untuk melaksanakan solat kepada-Nya. Amin.

Wallahua'lam


+ Mufti Wilayah Persekutuan

Bolehkah Tidur Selepas Asar?

Posted: 30 Nov 2018 05:23 PM PST


Soalan:
Apakah status hadith ini?

مَنْ نَامَ بَعْدَ الْعَصْرِ، فَاخْتُلِسَ عَقْلُهُ، فلا يَلُومَنَّ إِلَّا نَفْسَهُ
"Sesiapa yang tidur selepas Asar lalu hilang akalnya, maka janganlah dia mencela melainkan dirinya sendiri."

Jawapan:
Sesungguhnya Allah SWT menjadikan setiap insan atau tubuh badan manusia itu memerlukan kepada rehat secukupnya. Tidur merupakan salah satu cara untuk seseorang itu merehatkan tubuh badannya. Hal ini telah dikhabarkan oleh Allah SWT di dalam kitab-Nya yang suci:

Firman Allah SWT:

وَجَعَلْنَا نَوْمَكُمْ سُبَاتًا
"Dan Kami telah menjadikan tidur kamu untuk berehat. [al-Naba' : 9]

Kata Imam Ibn Kathir ketika menafsirkan ayat ini, tidur itu adalah memutuskan pergerakan bagi tujuan merehatkan diri daripada banyak bergerak dan berjalan pada urusan kehidupan bagi menempuh waktu siang. [Lihat: Tafir Ibn Kathir, 307/8]

Berdasarkan soalan di atas, di sini kami sertakan beberapa pendapat para ulama' dalam menentukan status hadith ini:

• Imam Ibn Hibban mengatakan di dalam sanad hadith ini terdapat Khalid bin al-Qasim dan dia menyambung riwayat-riwayat yang terputus, menrafa'kan riwayat-riwayat yang mursal dan juga menyambung riwayat-riwayat yang mawquf maka tidak boleh menulis riwayatnya. [Lihat: al-Majruhin, 334/1]

• Imam Ibn al-Jauzi menghukum hadith ini sebagai tidak sahih. [Lihat: al-Mawdhu'at, 252/2]

• Imam al-Zahabi mengatakan di dalam sanad hadith ini terdapat Khalid bin al-Qasim yang dituduh berdusta. [Lihat: Tartib al-Mawdhua'at, 239]

• Imam al-Haithami mengatakan perawi bernama Amr bin al-Husain seorang yang matruk. [Majma' al-Zawaid, 119/5]

• Imam al-Syaukani mengatakan bahawa di dalam sanad hadith ini terdapat perawi yang berdusta. [Lihat: al-Fawaid al-Majmu'ah, 216]

Berdasarkan beberapa pendapat para ulama' di atas, kita memahami bahawa sebahagian pendapat ulama' mengdhaifkan hadith ini dan sebahagian yang lain memalsukan hadith ini. Maka dengan itu, kami berpandangan bahawa hadith tersebut adalah teramat lemah kerana di dalam sanadnya terdapat perawi yang dituduh berdusta. Maka dengan itu, kami nyatakan bahawa tiada hadith sahih yang melarang tidur selepas asar.

Akan tetapi, jika dikatakan tidur pada waktu ini boleh menghilangkan akal berdasarkan kepada tajrubah dan ia boleh membawa kepada mudharat maka ia sebaiknya perbuatan ini mestilahlah dijauhi kerana setiap insan itu mesti mejauhkan dirinya daripada perkara yang boleh memudharatkan dirinya. Di samping itu, jika seseorang itu memerlukan atau berhajat untuk tidur pada waktu tersebut maka ia dibolehkan.

Penutup

Kesimpulannya, Allah SWT menjadikan tidur untuk kita berehat kerana pada waktu siang manusia sibuk bekerja untuk mencari rezeki. Maka tidur pada waktu malam dapat mengembalikan tenaga untuk bekerja pada keesokan harinya dan begitulah sebaliknya bagi yang bekerja pada waktu malam. Ini kerana, tanpa tidur yang secukupnya maka akan tergendalalah segala usaha yang ingin dilakukan pada hari-hari yang berikutnya. Berkaitan hukum tidur selepas waktu subuh, kami telah menjawabnya di dalam Irsyad al-Fatwa siri ke 149. Akhirnya, semoga Allah SWT menjadikan kita daripada kalangan hamba-hamba-Nya sihat rohani dan jasmani agar kehidupan dapat diteruskan. Amin.

Wallahua'lam.


+ Mufti Wilayah Persekutuan

Dahulukan Buah Ketika Makan

Posted: 30 Nov 2018 05:14 PM PST


Soalan:
Apakah terdapat hadith menceritakan perlu didahulukan buah-buahan ketika makan?

Jawapan:

Berdasarkan soalan di atas, kami tidak mendapati hadith sahih dan jelas yang menuntut agar didahulukan memakan buah-buahan sebelum memakan makanan yang lain. Akan tetapi, perkara ini ada dinyatakan oleh para ulama' terdahulu antaranya:

Imam al-Ghazali Rahimahullah:

تَرْتِيبُ الْأَطْعِمَةِ بِتَقْدِيمِ الْفَاكِهَةِ أَوَّلًا إِنْ كَانَتْ فَذَلِكَ أَوْفَقُ فِي الطِّبِّ فَإِنَّهَا أَسْرَعُ اسْتِحَالَةً فَيَنْبَغِي أَنْ تَقَعَ فِي أَسْفَلِ الْمَعِدَةِ وَفِي الْقُرْآنِ تَنْبِيهٌ عَلَى تَقْدِيمِ الْفَاكِهَةِ
"Turutan cara makan yang dianjurkan adalah dengan mendahulukan memakan buah kerana itu sesuai dengan ilmu kedoktoran. Tambahan pula, ia (buah) lebih cepat dicerna maka lebih baik buah berada di bahagian bawah perut (berbanding makanan yang lain). Di dalam al-Qur'an terdapat peringatan agar mendahulukan memakan buah." [Lihat: Ihya' 'Ulum al-Din, 16/2]

Imam al-Nawawi Rahimahullah ketika mensyarahkan sebuah hadith di dalam sahih Muslim iaitu hadith yang menceritakan ketika Nabi SAW, Abu Bakar dan Umar keluar pada waktu malam untuk mencari makan lalu mereka telah bertandang ke rumah Abi Haitham. Lalu Abu Haitham memberi mereka makan kurma terlebih dahulu. Kata Imam al-Nawawi Rahimahullah:

وَفِيهِ دَلِيلٌ عَلَى اسْتِحْبَابِ تَقْدِيمِ الْفَاكِهَةِ عَلَى الْخُبْزِ وَاللَّحْمِ وَغَيْرِهِمَا
"Hadith ini sebagai dalil dianjurkannya mendahulukan makan buah-buahan sebelum memakan roti, daging dan selain daripada keduanya." [Lihat: al-Minhaj Syarah Sahih Muslim, 213/13]

Di samping itu, sebahagian ulama' menggunakan ayat al-Qur'an sebagai dalil dianjurkan didahulukan memakan buah-buahan berbanding yang lain, iaitu:

Firman Allah SWT:

(وَفَاكِهَةٍ مِّمَّا يَتَخَيَّرُونَ ﴿٢٠﴾ وَلَحْمِ طَيْرٍ مِّمَّا يَشْتَهُونَ ﴿٢١
"Dan juga (dibawakan kepada mereka) buah-buahan daripada jenis-jenis yang mereka pilih. Serta daging burung daripada jenis-jenis yang mereka ingini." (Al-Waqiah : 20-21)

Para ahli tafsir seperti Imam al-Qurthubi menafsirkan ayat ini dengan mengatakan di dalam syurga terdapat banyak buah-buahan  dan setiap ahli syurga itu bebas untuk memilih buah apa yang diingininya. [Lihat: Tafsir al-Qurthubi, 204/17] 

Selain itu, ayat ini menunjukkan bahawa Allah SWT mendahulukan ayat buah-buahan berbanding ayat yang menceritakan berkaitan daging burung.

Antara hikmah mengapa didahulukan buah di dalam ayat ini ada dinyatakan oleh Syeikh Wahbah al-Zuhaili di dalam tafsirnya bahawa susunan ayat seperti itu lebih sesuai, lebih cepat turun (ke perut), cepat untuk dihadam, lebih baik dari sudut kesihatan, lebih banyak menggerakkan syahwat makan dan juga agar tubuh manusia itu bersedia untuk menerima makanan. [Lihat: Tafsir al-Munir, 249/27]

Kami berpandangan, memakan buah-buahan sebelum daripada makanan yang lain adalah digalakkan kerana secara sainsnya terbukti bahawa buah-buahan itu lebih mudah dicernakan oleh perut dan ia juga baik penghadaman. Tambahan pula, perkara ini ada dinyatakan oleh para ulama' seperti kenyataan Imam al-Ghazali dan Imam al-Nawawi di atas.

Penutup

Kesimpulannya, kami tegaskan sekali lagi bahawa tiada hadith yang menunjukkan bahawa Nabi SAW menyarankan agar dimulakan dengan buah-buahan ketika makan. Untuk itu, kita tidak boleh sama sekali mengatakan bahawa ianya adalah sunnah kerana tidak ada hadith yang menyatakan sedemikian. Akhirnya, semoga Allah SWT memberi kita kefahaman di dalam agama serta mengurniakan kita ilmu yang bermanfaat. Amin.

Wallahua'lam. 


+ Mufti Wilayah Persekutuan