Tuesday, December 4, 2018

Oh! Media

Oh! Media


Pemandu Grab Hilang Ditemui Sudah Tidak Bernyawa

Posted: 03 Dec 2018 03:27 AM PST


Pemandu Grab yang dilaporkan hilang sejak kelmarin, ditemui meninggal dunia dalam kereta miliknya lewat petang semalam.

Mangsa, Ahmad Nasip@Nor Ahmad Nasib, 54, dijumpai dalam keadaan tidak sedarkan diri oleh anak lelaki mangsa di tempat letak kereta belakang kedai di Lintas Jaya, Kepayan, pada jam 4.45 petang.

Memetik laporan Berita Harian, Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, anak mangsa yang juga pemandu Grab pergi lokasi berkenaan selepas mendapat maklumat daripada rakan pemandu Grab yang lain berkaitan tempat ayahnya sering berehat.


"Setibanya di tempat dimaklumkan, anak mangsa mendapati ayahnya berada di tempat duduk pemandu dalam kereta Proton Saga FLX yang sering digunakan dalam keadaan enjin kereta dimatikan namun tidak sedarkan diri.

"Selepas menyedari mangsa tidak sedarkan diri, anak mangsa terus menghubungi talian kecemasan 999 bagi mendapatkan bantuan.

"Setibanya pegawai perubatan Hopistal Queen Elizabeth (QEH) d lokasi kejadian, mangsa disahkan sudah meninggal dunia namun punca kematian tidak diketahui," katanya.

Habibi berkata, pihak polis juga melakukan siasatan luaran badan mangsa tetapi tidak menjumpai sebarang unsur jenayah selain tiada kecederaan pada badan mangsa.

Rafiq Cipta Sejarah Di Kejohanan Dunia Hong Kong

Posted: 03 Dec 2018 02:22 AM PST


Pemain tenpin boling negara iaitu Muhammad Rafiq Ismail yang baru sahaja berumur 19 tahun berjaya melakar sejarah apabila menjadi pemain pertama negara sejak 1979 setelah meraih pingat emas dalam acara perseorangan Boling Lelaki Dunia 2018, di Hong Kong malam semalam.

Rafiq yang merupakan pemenang pingat emas Sukan Asia tahun ini, menewaskan Dan MacLelland dari Kanada 217-204 pada final.

Terdahulu dalam perlawanan separuh akhir, Muhammad Rafiq berhadapan saingan getir semasa menentang pemain Amerika Syarikat, Kyle Troup sebelum memenanginya dengan 171-170.

Untuk rekod, kali terakhir Malaysia memenangi pingat emas di Kejohanan Boling Lelaki Dunia ialah pada 1979 menerusi acara trio yang diwakili Allan Hooi, Edward Lim dan J.B. Koo. - Bernama

Azizulhasni Berjaya Raih Gangsa di Piala Dunia Jerman

Posted: 03 Dec 2018 02:15 AM PST


Mohd Azizulhasni Awang yang merupakan jaguh berbasikal trek negara akhirnya berjaya menamatkan kemarau pingat apabila meraih gangsa pada pusingan ketiga kejohanan Piala Dunia Berbasikal Trek UCI 2018 di Jerman pada Ahad.

Pemenang pingat emas Sukan Asia 2018 itu yang gagal memenangi sebarang pingat dalam dua edisi Piala Dunia sebelum ini, di Perancis dan Kanada, membuktikan kemampuannya apabila menamatkan saingan di tempat ketiga dalam acara keirin lelaki pada kejohanan berlangsung di Velodrom Berlin.


Pingat emas dimenangi pelumba Belanda Matthijs Buchli manakala Matthew Glaetzer dari Australia di tempat kedua. Mohd Azizulhasni yang bergandingan dengan Muhammad Shah Firdaus Sahrom dan Muhammad Fadhil Mohd Zonis gagal mara ke separuh akhir acara pecut lelaki berpasukan apabila menduduki tempat ke-13 daripada 15 pasukan dalam saingan pada Jumaat (Sabtu di Malaysia).

Saingan Piala Dunia Berbasikal Trek UCI adalah kejohanan bagi pelumba mengumpul mata untuk layak beraksi pada Sukan Olimpik 2020 di Tokyo.

 + Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media.

DBKL Sepakat Benarkan Himpunan ICERD Sabtu Ini

Posted: 03 Dec 2018 02:16 AM PST


DBKL hari ini meluluskan perhimpunan kesyukuran terhadap penolakan ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kamu, ICERD yang akan diadakan pada sabtu ini.

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan, berkata melalui kelulusan itu, pihak penganjur dibenarkan berhimpun di Jalan Raja di antara Dataran Merdeka dan Bangunan Sultan Abdul Samad bermula jam 2 hingga 6 petang.

"Kami menerima permohonan pada 27 November daripada pihak penganjur perhimpunan berkenaan yang bercadang membuat perhimpunan di Dataran Merdeka pada 8 Disember.

"Selepas berbincang dengan lebih mendalam, pihak kami memutuskan perhimpunan ICERD boleh diadakan di Jalan Raja saja pada tarikh berkenaan," katanya.

Nor Hisham berkata, keputusan itu dibuat memandangkan perhimpunan berkenaan adalah satu perhimpunan kesyukuran.

"Kami bersetuju dan berharap perhimpunan itu diadakan secara aman damai, sejahtera dan memberi kebaikan kepada semua pihak.

"Saya juga berharap kebenaran ini dapat dilaksanakan dengan baik. Saya percaya PDRM akan memantau perkara ini mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang sedia ada," katanya.

Menurutnya, susulan itu, Dataran Merdeka dan Jalan Raja akan ditutup bermula Jumaat selain beberapa jalan berhampiran lokasi itu.

 + Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media.

Kelantan Ingin Pastikan Budaya Tutup Gerai 15 Minit Terus Subur

Posted: 02 Dec 2018 11:10 PM PST


Baru-baru ini, Kerajaan Negeri Terengganu akan memberikan waktu rehat untuk solat magrib kepada semua peniaga pasar malam. Tetapi, amalan menutup premis jualan selama 15 minit ini, bukanlah perkara asing dalam kalangan peniaga pasar malam di Kelantan.

Perkara ini dilihat kerana, Kelantan sudahpun melaksanakannya sejak 24 tahun dahulu ketika di bawah pentadbiran Menteri Besar, Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang merupakan sebahagian daripada Dasar Membangun Bersama Islam.

Oleh itu, Setiausaha Majlis Daerah Pasir Mas, Mohammad Zaidi Jusoh berkata, walaupun ia sudah sebati dengan peniaga pasar malam di jajahan ini, pihaknya sentiasa memberikan peringatan berhubung perkara berkenaan.

"Peringatan ini bagi memastikan budaya itu terus subur dalam kalangan peniaga dan rakyat.

"Ini merupakan sebahagian daripada bentuk pendidikan kerajaan negeri supaya peniaga dan rakyat menitikberatkan soal penjagaan solat dalam kehidupan harian," katanya.

Tujuan utama perlaksanaan itu untuk memberi ruang kepada peniaga menunaikan solat fardu Maghrib seterusnya memudahkan urusan jual beli dilakukan selepas itu.

 + Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media.

Proton X70 Bakal Dilancarkan Disember Ini

Posted: 02 Dec 2018 11:11 PM PST


Tarikh 12 Disember 2018 dipilih oleh Proton untuk mengadakan pelancaran model sulung kenderaan utiliti sukan, SUV iaitu Proton X70 yang dilaporkan akan dibuat di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.

Ia dilihat akan menjadi tahun penutup yang terbaik buat Proton sebelum memasuki tahun 2019. Pengumuman tarikh pelancaran itu bertepatan dengan dua pengumuman terbaharu berkaitan Proton X70.

Minggu lalu, Proton mengumumkan syarikat telah memperoleh pengiktirafan lima bintang dalam ujian penilaian kenderaan Asean NCAP, diikuti dengan pengesahan baharu Proton X70 yang diklasifikasikan sebagai kenderaan Cekap Tenaga (EEV) oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).


Ketua Pegawai Eksekutif Proton, Dr Li Chunrong berkata, "Kami ingin memastikan segalanya berjalan lancar bagi membuktikan kepada rakyat Malaysia bahawa model baharu kami akan memberikan titik perubahan besar kepada syarikat.

"Kami juga akan mula menyerahkan kereta kepada pelanggan sejurus selepas pelancaran diadakan agar mereka yang telah memberikan kepercayaan kepada kami dengan membuat tempahan awal, akan diberi ganjaran,"

 + Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media.





Presiden Baharu Mexico Mulakan Langkahnya Setelah 89 Tahun Diperintah Dua Parti

Posted: 02 Dec 2018 09:16 PM PST


Mexico kini telah memperoleh seorang presiden baharu dan antara langkah pertama yang dilakukan presiden baharu tersebut adalah dengan menjual pesawat besar mewah yang selalu digunakan untuk membawa bekas presiden Mexico tersebut.

"Kami menjual semua pesawat dan helikopter yang digunakan pemimpin korup terdahulu," kata Presiden Andres Manuel Lopez Obrador.

Pesawat Boeing 787 Dreamliner telah diumumkan untuk penjualan pesawat itu dalam waktu terdekat, kata Menteri Kewangan, Carlos Urzua.


Urzua berkata, pesawat presiden berharga AS$218 juta (RM911 juta) dibeli pada penghujung 2012 adalah salah sebuah 60 buah pesawat milik kerajaan yang bakal dijual, termasuk 70 buah helikopter.

Selain itu, bagi menghapuskan amalan pembaziran kerajaan terdahulu, mereka turut mengumumkan beberapa janji kempen, termasuk menamatkan bayaran pencen bekas presiden dan memotong bayaran pencen pegawai kanan kerajaan sebagai satu langkah penjimatan.

Presiden baharu Mexico itu juga mengarahkan agar kediaman rasmi presiden di Los Pinos yang berusia lebih lapan dekad itu, dijadikan pusat budaya kerana beliau memilih untuk tidak tinggal di kediaman itu.

Kemenangan besar Lopez Obrador pada pilihan raya Julai lalu memberi nafas baharu kepada rakyat Mexico yang diperintah dua parti yang sama selama 89 tahun.

 + Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media.

Pengurus Ladang Kesan Pencuri Kelapa Sawit

Posted: 02 Dec 2018 08:11 PM PST


Kejadian yang sememangnya selalu dihadapi oleh peneroka Felda di mana berlakunya kecurian buah sawit. Tetapi, lain pula ceritanya di kawasan ladang Felda Kemahang 1 apabila cubaan tiga lelaki mencuri 80 tandan kelapa sawit berjaya dikesan selepas pergerakan mereka dilihat mencurigakan.

Dua suspek dikatakan menaiki lori Isuzu, manakala seorang lagi mununggang motosikal dilihat selepas pengurus ladang ­berkenaan melihat ketiga-tiga suspek ­keluar dari ladang dalam keadaan ­tergesa-gesa.

Pengurus ladang kemudian bertindak menyekat laluan keluar di kawasan itu dan menyoal siasat suspek.

Suspek yang ketakutan cuba melarikan diri dan salah seorang yang menunggang motosikal ­terjatuh ketika meloloskan diri ­menyebabkan dia cedera di ­bahagian muka.

Ketua Polis Daerah Tanah Merah, Deputi Superintendan Suzaimi Mohamad berkata, ketiga-tiga suspek ditahan dan turut didapati ­positif dadah.

"Ketiga-tiga suspek berusia antara 30 hingga 40 tahun telah didakwa di mahkamah di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan," katanya.

 + Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media.

Pekerja Dipaksa Untuk Berjalan 180,000 Langkah Sebulan

Posted: 02 Dec 2018 08:12 PM PST


Banyak syarikat yang mengenakan pelbagai syarat dan arahan bagi menilai prestasi kakitangan mereka. Tetapi lain pula ceritanya untuk sebuah syarikat di China.

Sebuah syarikat firma hartanah yang terletak di bandar Guangzhou China ini telah dikecam apabila mendenda pekerja mereka yang tidak berjalan sekurang-kurangnya 180,000 langkah sebulan.

Syarikat ini mendenda dengan bayaran 0.001 tuan (60 sen) untuk setiap langkah yang gagal mereka capai. Menurut pekerja dikenali sebagai Little C, kerja lebih masa menyukarkan mereka untuk berjalan kira-kira 6,000 langkah sehari di luar waktu bekerja.

"Saya faham, syarikat mahu menggalakkan kami supaya lebih bergerak secara aktif. Tetapi, saya sendiri tidak mempunyai masa untuk tidur kerana perlu berjalan untuk mencapai sasaran ditetapkan," ujarnya.

Sementara itu, wakil firma peguam tempatan, Liu Fengmao berkata, syarikat terbabit tidak mempunyai alasan undang-undang untuk mengukur prestasi pekerja berdasarkan jumlah langkah mereka dan peraturan seumpama itu hanya mendatangkan komplikasi kepada pekerja.

Sumber: Information Times

 + Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media.

Perdana Menteri Israel Bersama Isteri Terus Didakwa Atas Kesalahan Rasuah

Posted: 02 Dec 2018 08:10 PM PST


Benjamin Netanyahu yang merupakan Perdana Menteri Israel bersama isterinya, Sara terus didakwa atas kesalahan penipuan dan rasuah.

Pihak polis dan Pihak Berkuasa Sekuriti Israel berkata, terdapat cukup bukti untuk mendakwa mereka atas kesalahan rasuah, penipuan dan pecah amanah.

Kedua-dua mereka disyaki campur tangan dalam keputusan pengawalseliaan yang memihak kepada firma telekomunikasi Bezeq dan pemegang saham utamanya, Shaul Elovitch.

Ia dilakukan sebagai balasan untuk mendapatkan liputan positif dalam laman berita Walla! yang dimiliki Bezeq.

"Cadangan pendakwaan telah ditentukan dan dibocorkan sebelum siasatan bermula.

"Saya pasti setelah menjalankan siasatan, pihak berkuasa akan membuat kesimpulan bahawa tiada apa yang berlaku," kata perdana menteri berusia 69 tahun itu menerusi Twitter.

Elovitch setakat ini masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi berhubung isu berkenaan.

Sumber: BBC

Sebelah Kaki di Syurga dan Sebelah di Neraka?

Posted: 02 Dec 2018 04:04 PM PST


Soalan:
Benarkah sebelah kaki kita di syurga dan sebelah lagi di neraka jika kita mempelajari atau memasuki bidang undang-undang?

Jawapan :
Bagi menjawab persoalan di atas, kami tidak menemui matan hadith seperti yang disebutkan di atas iaitu sebelah kaki di syurga dan sebelah kaki lagi di neraka bagi seorang peguam atau hakim setelah ditekuni dan diteliti. Akan tetapi, terdapat sebuah hadith yang maknanya hampir sama seperti yang dimaksudkan di atas iaitu:

Daripada Buraidah bin al-Hashib RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

الْقُضَاةُ ثَلَاثَةٌ: وَاحِدٌ فِي الْجَنَّةِ، وَاثْنَانِ فِي النَّارِ، فَأَمَّا الَّذِي فِي الْجَنَّةِ فَرَجُلٌ عَرَفَ الْحَقَّ فَقَضَى بِهِ، وَرَجُلٌ عَرَفَ الْحَقَّ فَجَارَ فِي الْحُكْمِ، فَهُوَ فِي النَّارِ، وَرَجُلٌ قَضَى لِلنَّاسِ عَلَى جَهْلٍ فَهُوَ فِي النَّارِ
"Para qadhi terbahagi kepada tiga golongan; satu dalam syurga dan dua dalam neraka. Qadhi di dalam syurga ialah yang mengetahui kebenaran lalu menghukum dengannya. Qadhi mengetahui kebenaran lalu menzalimi dalam menghukum maka dia dalam neraka. Qadhi yang menghukum antara manusia dalam keadaan jahil pula, dia juga dalam neraka".
[Riwayat Abu Daud 3573, Syeikh Syuaib al-Arnaouth menghukum hadith ini sebagai sahih dengan syawahid-syawahid dan jalur-jalurnya]

Hadith ini menunjukkan bahawa qadhi (hakim) tidak akan berjaya daripada api neraka melainkan mereka yang mengetahui kebenaran dan beramal dengannya. Beramal (dengan kebenaran yang diketahui) adalah utama kerana sesiapa yang mengetahui kebenaran tetapi tidak beramal dengannya dan barangsiapa yang berhukum dalam keadaan yang jahil keduanya akan ke neraka. Zahirnya, sesiapa yang berhukum dengan kejahilan walaupun hukumannya itu bertepatan dengan kebenaran tetapi ia tetap juga di neraka kerana dia telah menjatuhkan hukuman tersebut. Telah berkata jika dia berhukum kepada manusia dalam keadaan jahil dan hukuman tersebut bertepatan dengan kebenaran sedangkan dia seorang yang jahil dalam berhukum, padanya terdapat ancaman pada berhukum dengan kejahilan atau bertentangan dengan kebenaran yang diketahuinya.
[Lihat: 'Aun al-Ma'bud, 353/9]

Penutup

Kesimpulannya, menghukum sesuatu perkara merupakan satu tugas yang amat berat, lebih-lebih lagi jika ia melibat maruah dan diri seorang insan. Walaubagaimanapun, seseorang yang telah berijtihad mengikut kemampuannya walaupun keputusannya tidak tepat akan diberikan ganjaran oleh Allah SWT dengan satu ganjaran disebabkan usahanya. Jika seseorang itu telah berijtihad dan ijtihadnya tepat akan diberikan dua ganjaran oleh Allah SWT. Akhirnya, semoga Allah SWT menjadikan kita dalam kalangan hamba-hamba-Nya yang bertakwa kerana keadilan itu lebih hampir kepada takwa sebagaimana firman Allah SWT. Amin.

Wallahua'lam.

+ Mufti Wilayah Persekutuan

Kelebihan Solat Sunat Fajar

Posted: 02 Dec 2018 03:57 PM PST


Soalan:
Adakah terdapat perbezaan antara solat sunat fajar dan solat sunat subuh?

Jawapan :
Berdasarkan soalan di atas, tiada perbezaan antara solat sunat fajar dan solat sunat subuh melainkan pada nama sahaja. Perkataan fajar dan subuh digunakan oleh Nabi SAW sebagaimana di dalam hadith-hadith Baginda SAW. Waktu bermulanya waktu fajar atau subuh adalah setelah terbitnya fajar yang benar (fajar sodiq) dan berakhir apabila terbitnya matahari.

Tambahan pula, solat sunat yang paling dituntut antara solat-solat sunat rawatib yang lain adalah dua rakaat solat sunat fajar. Ini kerana, padanya terdapat banyak kelebihan-kelebihan bagi sesiapa yang melaziminya. Hal ini berdasarkan sebuah hadith:

Daripada Aisyah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

لَمْ يَكُنِ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَلَى شَيْءٍ مِنَ النَّوَافِلِ أَشَدَّ مِنْهُ تَعَاهُدًا عَلَى رَكْعَتَيِ الفَجْرِ
"Tidak pernah dilihat Nabi SAW begitu mengambil berat berkaitan solat-solat sunat sebagaimana Baginda SAW mengambil berat tentang dua rakaat fajar". [Riwayat al-Bukhari (1116)]

Daripada Aisyah RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

رَكْعَتَا الْفَجْرِ خَيْرٌ مِنَ الدُّنْيَا وَمَا فِيهَا
"Dua rakaat fajar adalah lebih baik daripada dunia dan seisinya". [Riwayat Muslim (725)]

Imam al-Nawawi berkata yang dimaksudkan dengan "وَمَا فِيهَا" adalah kesenangan dunia. Selain itu juga, antara surah atau ayat yang disunatkan untuk kita membaca ketika solat sunat al-Fajar adalah surah al-Kafirun pada rakaat pertama dan al-Ikhlas pada rakaat kedua. Di dalam riwayat yang lain pula, disunatkan kita membaca ayat "قُولُوا آمَنَّا بِاللَّـهِ وَمَا أُنزِلَ إِلَيْنَا" [al-Baqarah:136] pada rakaat pertama dan pada rakaat kedua "قُلْ يَا أَهْلَ الْكِتَابِ تَعَالَوْا إِلَىٰ كَلِمَةٍ سَوَاءٍ" [ali-Imran:64]. Ini merupakan dalil bagi mazhab kami (al-Syafie) dan juga mazhab jumhur bahawa digalakkan membaca surah pada kedua rakaat selepas daripada surah al-Fatihah. Digalakkan juga untuk menjadikan dua surah atau ayat ini (sebagai bacaan selepas daripada al-Fatihah) kerana ia adalah sunnah. Adapun Imam Malik dan juga ashabnya mengatakan tidak dibaca di dalam solat sunat al-Fajar melainkan al-Fatihah sahaja. Begitu juga sebahagian salaf mengatakan tidak dibacakan sesuatu sebagaimana yang telah lalu. Akan tetapi keduanya adalah khilaf (percanggahan) bagi sunnah sahih yang tidak mempunyai tentangan padanya.
[Lihat: al-Minhaj, 6/6]

Penutup

Kesimpulannya, solat sunat fajar atau subuh mempunyai banyak kelebihan serta amat rugi bagi sesiapa yang tidak berusaha untuk mengamalkannya. Untuk itu, kita sebagai umat Baginda SAW seharusnya mencontohi setiap yang dilakukan oleh Baginda SAW. Akhirnya, semoga Allah SWT menggolongkan kita dalam kalangan hamba-hamba-Nya yang mencintai dan mengikuti Nabi SAW. Amin.

Wallahua'lam.

+ Mufti Wilayah Persekutuan

Imam Berpaling Kepada Makmum Selepas Solat

Posted: 02 Dec 2018 03:51 PM PST


Soalan:
Apakah terdapat dalil berkaitan imam yang berpaling selepas solat?

Jawapan:
Berdasarkan soalan di atas, memang terdapat hadith yang menunjukkan bahawa Nabi SAW melakukan hal yang sedemikian selepas daripada solat.

Daripada Samurah bin Jundub RA berkata:

كَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا صَلَّى صَلاَةً أَقْبَلَ عَلَيْنَا بِوَجْهِهِ
"Adapun Nabi SAW apabila selesai menunaikan solat, Baginda SAW akan berpaling dengan wajahnya ke arah kami". [Riwayat al-Bukhari (845)]

Daripada al-Barra' RA berkata:

كُنَّا إِذَا صَلَّيْنَا خَلْفَ رَسُولِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، أَحْبَبْنَا أَنْ نَكُونَ عَنْ يَمِينِهِ، يُقْبِلُ عَلَيْنَا بِوَجْهِهِ
"Adapun kami telah solat di belakang Rasulullah SAW, kami amat suka untuk berada di sebelah kanannya kerana Baginda SAW akan berpaling kepada kami dengan wajahnya". [Riwayat Muslim (709)]

Imam al-Hafiz Ibn Hajar mengatakan hadith Samurah ini zahirnya menunjukkan bahawa Nabi SAW melazimi hal tersebut. Dikatakan antara hikmah mengadap ke arah makmum adalah untuk mengajar mereka apa yang mereka perlukan kepadanya. Maka hal ini dikhususkan bagi sesiapa yang berada pada keadaan Rasulullah SAW iaitu bagi tujuan mengajar dan memberi peringatan. Selain itu, dikatakan lagi antara hikmahnya adalah agar orang yang berada di dalam masjid mengetahui bahawa solat telah selesai. Jika imam itu kekal dengan kedudukannya (mengadap ke arah kiblat) maka ini akan memberi gambaran (gambaran salah kepada makmum) seakan-akan dia (imam masih lagi di dalam solat) berada di dalam kedudukan tasyahhud.
[Lihat: Fath al-Bari, 334/2]

Nabi SAW apabila selesai daripada solat lalu Baginda SAW akan duduk selepas daripada itu. Di samping itu, Baginda SAW menyegerakan berpaling daripadanya dan membaca apa yang telah syariatkan kepada umatnya daripada zikir-zikir dan bacaan selepas daripada solat. Nabi SAW membaca istighfar sebanyak tiga kali apabila selesai daripada memberi salam. Setelah itu Baginda SAW membaca:

اللَّهُمَّ أَنْتَ السَّلَامُ، وَمِنْكَ السَّلَامُ، تَبَارَكْتَ يَا ذَا الْجَلَالِ وَالْإِكْرَامِ
"Ya Allah, Engkau sejahtera (daripada segala keaiban) dan daripada Engkau datangnya kesejahteraan, bertambah-tambah berkat-Mu, Tuhan Yang  Maha Kuasa lagi Maha Mulia."

Baginda SAW tidak akan duduk secara mengadap kiblat melainkan dengan kadar yang disebutkan iaitu kadar zikir di atas. Bahkan Baginda SAW akan segera berpaling kepada makmum dan kadang-kadang Baginda SAW akan berpaling ke kanan dan juga ke kiri Baginda SAW.
[Lihat: Zad al-Ma'ad, 285/1]

Untuk itu, kami katakan bahawa disunatkan bagi seorang imam itu untuk berpaling kepada makmumnya samada ke kanan, kiri atau mengadap kepada muka-muka makmumnya selepas daripada membaca sebahagian zikir sejurus selepas daripada solat.

Tambahan pula, dinyatakan di dalam kitab al-Muktamad bahawa perkara ini penting untuk dilakukan terutamanya pada solat fardhu kerana dibimbangi datang seseorang lalu duduk bersama imam kerana menyangka imam masih lagi di dalam solat. Untuk itu, hal ini akan tercapai apabila imam memalingkan wajahnya ke arah makmum atau dengan berpalingnya imam dan juga berpalingnya seseorang itu daripada kiblat.
[Lihat: al-Muktamad fi Fiqh al-Syafie, 316/1]

Penutup

Kesimpulannya, bagi imam perlulah dia berpaling selepas daripada solat kerana ia merupakan satu perkara yang sunat dan Nabi SAW sentiasa melaziminya. Akhirnya, semoga Allah SWT memberi kita kekuatan dan kefahaman dalam beramal dengan sunnah-sunnah yang dilakukan oleh Rasulullah SAW. Amin.

Wallahua'lam.

+ Mufti Wilayah Persekutuan