Wednesday, December 5, 2018

Oh! Media

Oh! Media


Tumblr Akan Hentikan Semua Penyebaran dan Kandungan Bahan Lucah

Posted: 04 Dec 2018 03:12 AM PST


17 Disember ini, platform media sosial yang dikenali sebagai Tumblr akan menghentikan penyebaran kandungan orang dewasa atau kandungan lucah.

Dasar baharu itu diumumkan pihak Tumblr selepas aplikasinya di iOS telah ditarik semula kerana dilaporkan terbabit dengan kes pornografi kanak-kanak.

Ini merupakan perubahan yang amat dramatik selepas platform ini dikatakan telah menggalakkan penghasilan kandungan yang pelbagai termasuklah kandungan pornografi.

Jadi, bermula 17 Disember ini, semua kandungan berkaitan bahan lucah di Tumblr akan dikeluarkan.

Pada masa sama, pihak Tumblr juga mendefinisikan semula kandungan berkaitan orang dewasa termasuklah foto, video, GIF yang menunjukkan ilustrasi aktiviti seksual.

Bagi laman yang sememangnya mengandungi bahan lucah semata-mata, ia samada akan diberikan notis amaran atau akan diubah tetapannya menjadi private mode.

Gempar - Letupan Mengejut City One Megamall Kuching Korbankan 3 Mangsa

Posted: 04 Dec 2018 02:55 AM PST


Tiga mangsa dilaporkan terkorban dalam insiden letupan gas di sebuah pusat beli belah di Kuching petang tadi.

letupan yang berlaku di CityONE Megamall di Kuching kira-kira jam 3.30 petang Selasa itu turut mencederakan 19 yang lain, petik laporan Astro Awani.

Mangsa dipercayai pekerja pembinaan yang sedang mengubah suai ruang medan selera yang masih belum dibuka serta kakitangan kompleks tersebut.

Saksi kejadian, George Sting, 39, berkata letupan itu berlaku di dalam sebuah kedai yang sedang diubah suai.

"Ketika kejadian saya sedang membeli pizza di hadapan kedai itu, tiba-tiba satu letupan kuat berlaku.

"Pekerja yang berada di dalam kedai tersebut lari bertempiaran keluar premis berkenaaan, ada di antara mereka yang cedera teruk seperti melecur," katanya kepada Bernama ketika ditemui di lokasi kejadian.

Grace Lee, 23, pembantu jurujual di sebuah telco di tempat kejadian berkata semasa kejadian dia sedang melayan pelanggan, tiba-tiba terdengar letupan dari sebuah kedai yang sedang disiapkan.

"Pihak pengurusan shopping mall terus membuat pengumuman kecemasan agar semua pengunjung keluar dari pusat beli belah itu," katanya.

Wina Simion, 46, berkata dia ketika itu sedang menikmati pizza di sebuah restoran bersama keluarga di hadapan kedai berkenaan, tiba-tiba berlaku letupan daripada kedai di hadapan menyebabkan meja terbang ke siling premis berkenaan.

 + Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media.




Najib Ajak Rakyat Turun Berhimpun 8 Disember Ini

Posted: 04 Dec 2018 02:19 AM PST


Kini, Datuk Seri Najib Razak yang merupakan bekas Perdana Menteri turut menyeru dan mengajak rakyat untuk berhimpun bersama-sama dan berharap  agar ia dapat dilakukan secara aman 8 Disember ini.

Himpunan tersebut dilihat wajar diberikan sokongan oleh semua pihak dalam menunjukkan kesatuan dan kesungguhan rakyat mempertahankan Perlembagaan negara.

"Perhimpunan aman pada 8 Disember ini dianjurkan Sekretariat Kedaulatan Negara ini wajar diberi sokongan tak berbelah bahagi.

"Ini hak kita untuk berhimpun dalam menunjukkan kesatuan kita, kesungguhan kita, betapa kedaulatan perlembagaan tak usahlah dicabar," katanya dalam Facebook miliknya, hari ini.

"Saya harap perhimpunan aman ini bertunjangkan kepada keharmonian dan aman serta sentiasa patuh kepada undang-undang dan usahlah kita terikut perasaan dalam kita memperdengarkan suara kita.

"Tunjukkan kepada mereka, kita adalah kumpulan berhemah dan kukuh dalam menyatakan kesatuan kita. Berhimpunlah secara aman, berhemah namun terpahat sebagai satu perhimpunan ummah yang gemilang," katanya lagi.

 + Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media.

Wajarkan Isu PTPTN Dijadikan Modal Kempen Politik Lagi?

Posted: 04 Dec 2018 12:38 AM PST


Kerajaan Malaysia seharusnya mempertimbangkan untuk mengambil langkah drastik bagi menangani isu berkaitan pinjaman pendidikan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang sering menjadi permainan politik dan pastinya terdapat pelbagai reaksi dari orang ramai mengenai isu terbabit.

Sedia maklum, pindaan boleh dilakukan ke atas mana-mana peruntukan sedia ada dalam negara kita seperti Akta Kesalahan Pilihanraya 1954 (Akta 5) dengan menjadi isu ini sebagai salah satu kesalahan pilihan raya dan melarang mana-mana pihak untuk terus mengunakan isu pinjaman pendidikan sebagai modal politik untuk meraih undi. Pastinya jika pindaan ini dilakukan, isu terbabit tidak akan menjadi bahan kempen politik setiap kali tibanya musim pilihan raya yang pastinya tidak akan berkesudahan.

Jika peruntukkan khusus ini wujud,pastinya tiada mana-mana ahli politik atau parti politik yang boleh menjadikan isu pinjaman pendidikan dalam manifesto politik pilihan raya mereka. Hukuman atau denda boleh dikenakan jika ahli politik atau parti yang masih ingin menjadikan isu tersebut sebagai modal kempen mereka.

Perkara ini harus dilihat sebagai perkara yang serius kerana kita tidak ingin melihat golongan pelajar terasa tertipu dengan janji-janji manis yang diberikan kepada mereka.

Kementerian Pendidikan Jamin Tiada Lagi Murid OKU Ditolak Masuk Sekolah

Posted: 04 Dec 2018 02:19 AM PST


Kementerian Pendidikan dalam satu kenyataan menegaskan bermula tahun depan tiada pelajar orang kelainan upaya (OKU) yang ditolak daripada memasuki alam persekolahan.

Ini dilihat bertujuan bagi memastikan golongan itu mendapat hak pendidikan yang sama seperti pelajar normal dan mengelakkan keciciran pendidikan dalam kalangan OKU kata menterinya Dr Maszlee Malik.

"Kami akan laksanakan zero reject policy bermula tahun depan yang mana kami akan pastikan selepas ini tiada lagi pendaftaran pelajar OKU yang ditolak daripada mengikuti pembelajaran di sekolah arus perdana," katanya ketika sesi soal jawab lisan di Dewan Negara, hari ini.


Kementerian Pendidikan turut akan menyediakan 'laluan khas' untuk golongan OKU melanjutkan pengajian di kesemua Universiti Awam (UA) di negara ini.

"Menerusi laluan khas ini, mereka (golongan OKU) akan diberikan ruang mudah untuk masuk (melanjutkan pengajian) ke UA walau macam mana pun keadaan (fizikal) mereka.

"Bagaimanapun, mereka perlu memenuhi syarat kemasukan bagi kursus yang dipohon," katanya.

Chong Wei Bakal Kembali Lakukan Latihan

Posted: 04 Dec 2018 12:06 AM PST


Jaguh sukan badminton negara, Datuk Lee Chong Wei yang kini sedang berehat kerana penyakit kanser hidungnya, dilaporkan akan dijadualkan kembali menjalani latihan di gelanggang Akademi Badminton Malaysia (ABM) dalam masa dua minggu lagi.

Perkara itu disahkan oleh Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria yang berkata, "Saya difahamkan Chong Wei ada berjumpa jurulatihnya, Hendrawan dan menyatakan hasratnya untuk kembali ke gelanggang secepat mungkin, namun beliau perlu mendapat kebenaran daripada doktornya terlebih dahulu.

"Buat masa sekarang, Chong Wei hanya melakukan latihan fizikal dan ada juga menjenguk pemain lain ketika sesi latihan. Bagi BAM, kita mahu biar beliau melalui proses pemulihan terlebih dahulu seperti saranan doktor," katanya.

Mohamad Norza berkata, secara peribadi beliau percaya dan yakin pemain kelahiran Bagan Serai, Pulau Pinang itu dapat bersedia sepenuhnya untuk berdepan dengan kelayakan Sukan Olimpik 2020 yang dijadualkan bermula Mei depan.

 + Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media.

Mahkamah Tentera Gaza Hukum Mati Kepada Mereka Yang Bersekongkol Dengan Israel

Posted: 03 Dec 2018 09:16 PM PST


Mahkamah tentera Gaza yang dipimpin Hamas menjatuhkan hukuman mati ke atas enam pesalah termasuk seorang wanita kerana bersekongkol dengan rejim Israel.

wanita bernama Amal menerima hukuman mati tersebut kerana didakwa menggalakkan anak saudaranya di Gaza bersubahat dengan pasukan risikan Israel.

Menurut kementerian dalam negeri, secara keseluruhan, 14 orang dijatuhi hukuman atas tuduhan bekerjasama dengan Israel, namun hanya enam dihukum gantung.

"Para pesalah harus sedar pihak rejim tidak dapat melindungi mereka," kata jurucakap kementerian terbabit, Iyad al-Bozum.

Keputusan dibuat tiga minggu selepas lapan orang terbunuh apabila sel didakwa milik tentera rejim ditemui di Gaza, ia kemudian berlanjutan kepada insiden tembak menembak.

Kutipan Polis Evo 2 Mencecah RM17 Juta Hanya Dalam 11 Hari

Posted: 03 Dec 2018 08:09 PM PST


Filem Polis Evo 2 yang sedang ditayangkan di pawagam telah mendapat jumlah kutipan sebanyak RM17 juta hanya dalam 11 hari.

Jumlah kutipan ini dikongsi oleh perlakon utama filem PE2 iaitu, Shaheizy Sam melalui instagram miliknya. Polis Evo 2 yang diarahkan Joel Soh dan Andre Chiew ini ditayangkan di 146 buah pawagam seluruh Malaysia dan Brunei.

"Alhamdulillah hasil sokongan anda semua, Polis Evo 2 meraih kutipan RM17 juta dalam tempoh 11 hari tayangan. Jom kita buktikan yang filem tempatan juga mampu bersaing dengan filem antarabangsa.

"Terima kasih boh! Jom kita ke balai pawagam yang berdekatan dan semarakkan semangat Polis Evo 2," tulisnya.

Filem ini menyaksikan gandingan kali kedua Sam bersama Zizan Razak dan turut dijayakan oleh pelakon dari Malaysia dan Indonesia seperti Hairul Azreen, Hasnul Rahmat, Shafie Naswip, Riz Amin, Erra Fazira, Raline Shah dan ramai lagi.


Najib Razak Ucap Terima Kasih Kepada Jabatan Audit Negara

Posted: 03 Dec 2018 08:10 PM PST


Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, beliau berterima kasih kepada Jabatan Audit Negara kerana akhirnya kebenaran terbukti jua.

Dakwaan yang mengatakan kerajaan BN sebelum ini merompak RM19.2 bilion wang tuntutan balik GST adalah tidak benar berdasarkan laporan Ketua Audit Negara 2017 Siri 2 yang dikeluarkan.

"Terima kasih kepada Jabatan Audit Negara untuk mengesahkan bahawa (Menteri Kewangan) Lim Guan Eng sebenarnya seorang penipu bersiri dan cuba tai-chi kelemahan dan kedangkalan sendiri untuk menyalahkan kerajaan BN.

"Laporan Audit ini juga menunjukkan bahawa ada jumlah yang sangat besar bagi tuntutan bayaran balik yang mungkin tidak sah atau menunjukkan percubaan untuk menipu Kastam iaitu RM3.90 bilion untuk mereka yang tiada pembekalan bercukai (no output tax) dan sejumlah RM3.52 bilion yang masih dalam siasatan.

"Oleh itu, saya hairan mengapa Guan Eng tergesa-gesa untuk menjarah wang Petronas berpuluh-puluh bilion untuk tahun depan dengan alasan mahu membayar balik tuntutan-tuntutan ini," katanya dalam satu kenyataan di Facebooknya hari ini.

Laporan Ketua Audit Negara 2017 Siri 2, menunjukkan jumlah wang input GST yang belum dibayar balik setakat 5 Jun 2018 sebenarnya ialah RM19.47 bilion manakala jumlah yang telah diluluskan tetapi belum dibayar hanya RM1.45 bilion dan ini kerana pelbagai masalah seperti akaun penerima ditutup, dibeku ataupun kurang dari 30 hari.

Tunggakan yang terbesar pula ialah jumlah RM9.65 bilion yang dikategorikan sebagai wang dalam siasatan bagaimanapun laporan tersebut juga mengesahkan bahagian terbesar tunggakan ini ialah dari 90 hari ke bawah.

"Tuntutan untuk bulan April dibayar pada bulan Mei manakala tuntutan untuk bulan Mei dibayar pada bulan Jun.

"Ini bermaksud bahawa jikalau wang input GST lambat dibayar balik, ianya ialah kesalahan kerajaan PH sendiri. Yang tidak semak dan tidak bayar ialah PH sendiri," katanya lagi.

Ketiadaan Sumareh? Pengendali Skuad Harimau Malaya Percaya Kesediaan Semua Pemain

Posted: 03 Dec 2018 08:08 PM PST


Pertembungan kedua di antara Malaysia menentang Thailand Rabu ini akan memperlihatkan Malaysia kekurangan dua tonggak utama apabila Mohamadou Sumareh dan Syazwan Andik menghadapi kecederaan.

Walaubagaimanapun, perlawanan yang akan diadakan di Stadium Rajamangala, Bangkok itu langsung tidak menggusarkan pengendali skuad Harimau Malaya, Tan Chen Hoe dan yakin skuad kendaliannya bakal memberikan sepenuh tenaga untuk perlawanan penting itu.

"Untuk perkembangan pemain saya rasa semua nampak 'OK', cuma Sumareh dan Syazwan masih lagi mengalami kecederaan.

"Saya harap dalam dua hari ini pemain akan dapat pulih 100 peratus dan saya akan dapatkan pengesahan daripada Doktor perubatan pasukan tentang tahap kecederaan mereka sebelum membuat apa-apa perubahan.

"Tapi yang penting walau siapa pun diturunkan semua pemain kena bersedia dan saya percaya mereka boleh menggalas tugas untuk menggantikan mana-mana yang cedera," katanya ketika ditemui beberapa jam sebelum skuad negara bertolak ke Bangkok di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), di sini, hari ini.

Tegasnya, Akhyar kini berada pada tahap terbaik untuk diturunkan bagi mengucar-kacirkan pertahanan lawan yang bakal dipimpin ketua pasukan skuad Gajah Perang, Chalermpong Kerdkaew.

"Kita tahu Akhyar mempunyai satu potensi yang besar dan boleh memberi sesuatu dan mengancam pertahanan Thailand. Tapi yang penting, saya mahu semua pemain bersedia apabila diperlukan," katanya.

Bagaimanapun, segala kemungkinan itu hanya akan diputuskan selepas meneliti laporan doktor pasukan sama ada perlu menukarkan Sumareh serta Syazwan dengan beliau bersedia menyenaraikan penyerang muda Kedah, Akhyar Rashid dan tonggak pertahanan Perak, Nazirul Naim Che Hashim.


Larangan Mandi Pada Waktu Malam?

Posted: 03 Dec 2018 04:42 PM PST


Soalan:
Adakah terdapat dalil daripada al-Quran, hadith atau athar tentang larangan mandi pada waktu malam?

Jawapan:
Islam merupakan satu agama yang amat menitikberatkan akan kebersihan dan Allah SWT amat suka akan hamba-hamba-Nya yang bersih. Mandi juga merupakan salah satu daripada cara-cara untuk membersihkan diri. Tambahan pula, Allah SWT juga memerintahkan kita untuk mandi sebagaimana terdapat di dalam al-Quran:

Firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تَقْرَبُوا الصَّلَاةَ وَأَنتُمْ سُكَارَىٰ حَتَّىٰ تَعْلَمُوا مَا تَقُولُونَ وَلَا جُنُبًا إِلَّا عَابِرِي سَبِيلٍ حَتَّىٰ تَغْتَسِلُوا
"Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu hampiri (mengerjakannya) solat sedang kamu dalam keadaan mabuk, hingga kamu sedar dan mengetahui akan apa yang kamu katakan. Dan janganlah pula (hampiri masjid) sedang kamu dalam keadaan berjunub (berhadas besar) - kecuali kamu hendak melintas sahaja - hingga kamu mandi (bersuci)." [al-Nisa':43]

Berdasarkan soalan di atas, kami tidak mendapati ayat al-Quran, hadith dan juga athar daripada para sahabat berkaitan larangan mandi pada waktu malam. Untuk itu, kita dibolehkan untuk mandi pada bila-bila sahaja yang kita kehendaki kerana tidak ada dalil berkaitan larangan mandi pada waktu malam. Walaupun begitu, terdapat beberapa pendapat daripada kalangan ahli ilmu tentang kemakruhan mandi ketika matahari hampir terbenam dan di antara dua isyak (antara maghrib dan isyak). Hal ini ada dinyatakan di dalam kitab Mughni al-Muhtaj:

وَيُكْرَهُ دُخُولُهُ قُبَيْلَ الْغُرُوبِ وَبَيْنَ الْعِشَاءَيْنِ لِأَنَّهُ وَقْتُ انْتِشَارِ الشَّيَاطِينِ
"Dan adalah makruh memasukinya (tandas) ketika matahari hampir terbenam dan di antara dua isyak (antara maghrib dan isyak) kerana pada waktu itu syaitan berkeliaran".
[Lihat: Mughni al-Muhtaj, 224/1]

Melihat kepada nukilan di atas, sebaik-baiknya kita cuba untuk menjauhi dan tidak memasuki tandas pada dua waktu tersebut melainkan ketika berhajat kepadanya. Tambahan pula, tandas atau mandi telah menjadi satu keperluan bagi setiap manusia contohnya apabila hendak membuang air dan melakukan mandi wajib.

Hikmah Pensyariatan Mandi

Di sini kami sertakan beberapa hikmah pensyariatan mandi berdasarkan kitab fiqh al-Manhaji. Mandi mempunyai hikmah dan faedah yang banyak, antaranya ialah:

1. Mendapat pahala

Mandi mengikut pengertian syara' adalah ibadat. Hal ini kerana melaksanakan perintah syara' dan beramal dengan hukumnya. Ia diberikan pahala yang besar. Sebab itulah Rasulullah SAW bersabda:

الطُّهُورُ شَطْرُ الإِيمَانِ 
"Bersuci adalah sebahagian daripada iman". [Riwayat Muslim (222)]

Bersuci ini pula termasuk wudhu' dan mandi.

2. Menghasilkan kebersihan

Apabila seseorang muslim itu mandi, dia dapat membersihkan kotoran yang melekat pada badan atau peluh yang keluar daripada tubuh. Tubuh badan yang bersih ini boleh menghindarinya daripada kuman-kuman yang menyebabkan penyakit. Bau tubuh badannya pula menimbulkan kemesraan dan kasih sayang sesama manusia.

Ini berdasarkan hadith, daripada Aisyah RA, katanya:

كَانَ النَّاسُ أَهْلَ عَمَلٍ وَلَمْ يَكُنْ لَهُمْ كُفَاةٌ فَكَانُوا يَكُونُ لَهُمْ تَفَلٌ فَقِيلَ لَهُمْ لَوِ اغْتَسَلْتُمْ يَوْمَ الْجُمُعَةِ. وَفِي رِوَايَةٍ لَهُمَا: فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: لَوْ أَنَّكُمْ تَطَهَّرْتُمْ لِيَوْمِكُمْ هَذَا 
"Orang ramai yang sibuk bekerja dan tidak mempunyai pembantu, badan mereka berbau busuk, lalu dikatakan kepada mereka, elok kamu mandi pada hari Jumaat". Dalam riwayat yang lain bagi al-Bukhari dan Muslim bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Eloklah kamu bersuci pada hari ini (Jumaat)." [Riwayat al-Bukhari (861) dan Muslim (847)]

3. Menghasilkan Kecergasan

Mandi boleh menjadikan tubuh badan cergas dan aktif, hilang rasa lesu dan malas terutamanya selepas berlaku sebab-sebab yang mewajibkannya mandi seperti jima'.

Penutup

Kesimpulannya, kami nyatakan sekali lagi bahawa tiada dalil daripada al-Quran dan Sunnah berkaitan larangan mandi pada waktu malam. Akhirnya, semoga Allah SWT menjadikan kita dalam kalangan hamba-hamba-Nya yang sentiasa menjaga kebersihan. Amin.

Wallahua'lam.

+ Mufti Wilayah Persekutuan

Pahala Bersedekah Kepada Isteri

Posted: 03 Dec 2018 04:33 PM PST


Soalan:
Apakah benar terdapat hadith yang mengatakan bahawa sedekah kepada isteri pahalanya lebih besar berbanding bersedekah kepada orang lain?

Jawapan:
Berdasarkan soalan di atas, seorang suami yang bersedekah kepada isterinya atau ahli keluarganya merupakan satu perbuatan yang terpuji dan mendapat pahala. Walaubagimanapun, sudah menjadi tanggungjawab seorang suami atau ayah untuk memberi nafkah kepada orang yang berada di bawah tanggungannya. Ini difahami berdasarkan firman Allah SWT:

وَعَلَى الْمَوْلُودِ لَهُ رِزْقُهُنَّ وَكِسْوَتُهُنَّ بِالْمَعْرُوفِ
"Dan kewajipan suami pula ialah memberi makan dan pakaian kepada isteri itu menurut cara yang sepatutnya." [al-Baqarah:233]

Imam Ibn Kathir berkata ketika menafsirkan ayat ini bahawa wajib ke atas ayah kepada anak untuk memberi nafkah kepada ibu-ibu dari sudut pakaiannya dengan cara yang sepatutnya iaitu apa-apa pakaian yang diterima oleh adat atau seumpama dengannya di negara tersebut tanpa berlaku pembaziran dan tidak menyusahkan. Ia sekadar apa yang termampu ketika dia (ayah atau suami) dalam keadaan senang dan bersederhana serta apa yang melaziminya.
[Lihat: Tafsir Ibn Kathir, 479/1]

Kembali kepada soalan di atas, nafkah dan sedekah adalah dua perkara yang berbeza. Ini kerana, nafkah bersifat wajib manakala sedekah bersifat sunat. Untuk itu, jika seorang suami itu tidak memberi nafkah kepada isterinya maka suami tersebut telah melakukan dosa. Selain itu, jika seorang suami itu tidak memberi sedekah kepada isterinya maka dia tidak berdosa kerana perbuatan memberi sedekah itu bukannya wajib. Adapun ganjaran atau pahala bagi seorang suami yang memberi sedekah kepada isteri atau keluarganya ada dinyatakan di dalam sebuah hadith yang sahih:

Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

دِينَارٌ أَنْفَقْتَهُ فِي سَبِيلِ اللهِ وَدِينَارٌ أَنْفَقْتَهُ فِي رَقَبَةٍ، وَدِينَارٌ تَصَدَّقْتَ بِهِ عَلَى مِسْكِينٍ، وَدِينَارٌ أَنْفَقْتَهُ عَلَى أَهْلِكَ، أَعْظَمُهَا أَجْرًا الَّذِي أَنْفَقْتَهُ عَلَى أَهْلِكَ
"Dan dinar (harta) yang kamu belanjakan di jalan Allah dan dinar yang kamu berikan kepada hamba (untuk membebaskan) dan dinar yang kamu sedekahkan kepada orang miskin serta dinar yang kamu sedekahkan kepada keluargamu. Maka yang paling besar ganjaran pahalanya adalah yang kamu sedekahkan kepada keluargamu." [Riwayat Muslim (995)]

Imam al-Nawawi RA berkata bahawa memberi sedekah kepada ahli keluarga adalah lebih afdhal (lebih baik) berbanding memberi kepada orang asing (yang tidak mempunyai pertalian keluarga) jika mereka (ahli keluarga) berhajat kepadanya. Tambahan pula, ahli keluarga perlu diraikan hak mereka berdasarkan pertalian silaturrahim walaupun pertalian tersebut jauh. Ini kerana, Nabi SAW memerintahkan kepada Abu Talhah untuk memberikan sedekahnya kepada ahli keluarganya maka beliau memberikannya kepada Ubaiy bin Ka'ab dan Hassan bin Thabit. Kedua sahabat ini berhimpun pada nasab datuk yang ke-7.
[Lihat: al-Minhaj, 86/7]

Walaupun begitu, ini tidak bermaksud memberi kita juga dituntut untuk memberi sedekah kepada selain daripada ahli keluarga melainkan jika ahli keluarga itu amat memerlukannya. Ini berdasarkan firman Allah SWT:

مَّثَلُ الَّذِينَ يُنفِقُونَ أَمْوَالَهُمْ فِي سَبِيلِ اللَّـهِ كَمَثَلِ حَبَّةٍ أَنبَتَتْ سَبْعَ سَنَابِلَ فِي كُلِّ سُنبُلَةٍ مِّائَةُ حَبَّةٍ ۗ وَاللَّـهُ يُضَاعِفُ لِمَن يَشَاءُ ۗ وَاللَّـهُ وَاسِعٌ عَلِيمٌ
"Perbandingan orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah sama seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai dan tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji. Dan (ingatlah), Allah akan melipat gandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya dan Allah Maha Luas kurniaan-Nya lagi meliputi ilmu pengetahuan-Nya." [al-Baqarah:261]

Ayat ini jelas menunjukkan akan kelebihan seseorang itu apabila dia menyedekahkan sebahagian hartanya di jalan Allah SWT. Di samping itu juga, keikhlasan amat penting agar apa yang kita sedekahkan atau belanjakan diterima oleh Allah SWT dan bukannya untuk menunjuk-nunjuk kepada orang lain supaya kita dikenali atau digelar sebagai seorang yang kuat bersedekah.

Penutup

Kesimpulannya, bersedekah merupakan satu amalan yang mulia dan amat dituntut bagi sesiapa yang berkemampuan dan sedekah ini tidak hanya tertumpu kepada ahli keluarga terdekat atau jauh sahaja, bahkan ia melibatkan orang-orang yang berada di sekeliling kita. Akhirnya, marilah sama-sama kita menanam sifat gemar bersedekah walaupan apa yang disedekahkan itu sedikit tetapi moga-moga dengan yang sedikit itu mampu membantu kita untuk masuk ke syurga Allah SWT. Semoga Allah SWT menjadikan kita semua dalam kalangan hamba-hamba-Nya yang sentiasa menginfaqkan atau menyedekahkan harta di jalan Allah SWT. Amin.

Wallahua'lam.

+ Mufti Wilayah Persekutuan

Kisah Imam Ahmad dan Syiah

Posted: 03 Dec 2018 04:25 PM PST


Soalan:
Apakah status kisah ini?

Para ulama' Syiah telah menghadiri satu persidangan bagi membincangkan isu-isu berkaitan Sunni dan Syiah. Akan tetapi, hanya seorang sahaja ulama' Sunni yang hadir iaitu Imam Ahmad bin Hanbal. Beliau telah berjalan sambil meletakkan seliparnya di bawah ketiaknya dalam keadaan tergesa-gesa. 

Ulama' Syiah bertanya kepada Imam Ahmad: "Kenapa kamu datang ke sini dalam keadaan kamu meletakkan selipar di bawah ketiak?"

Imam Ahmad menjawab: "Aku mendengar Syiah pada zaman Nabi SAW suka mencuri selipar."

Setelah mendengar jawapan Imam Ahmad, para ulama' Syiah melihat antara satu sama lain lalu berkata: "Tidak ada Syiah pada zaman Nabi SAW."

Imam Ahmad berkata lagi: "Untuk itu, kita hentikan persidangan ini."

Jawapan:
Berdasarkan kisah di atas, kisah tersebut masyhur dan sering disebutkan oleh para penceramah. Walaubagaimanapun, kami cuba untuk mencari akan status atau asal bagi kisah ini, namun kami tidak menemui asalnya di dalam mana-mana kitab yang dikarang oleh para ulama' hatta di dalam kitab yang dikaryakan oleh Imam Ahmad sendiri. Untuk itu, kami simpulkan bahawa kisah ini tiada asalnya. Disebabkan itu, seorang tabi'in yang agung Imam Abdullah bin al-Mubarak berkata:

إِنَّ الإِسْنَادَ مِنَ الدِّيْنِ، وَلَوْلَا الإِسْنَاد لَقَالَ مَنْ شَاءَ مَا شَاءَ
"Sesungguhnya sanad itu sebahagian daripada agama, jika tanpa sanad maka sesiapa sahaja boleh berkata apa yang mereka ingin katakan."

Penutup

Kesimpulannya, sebaik-baiknya setiap kisah yang diceritakan perlulah disemak serta mempunyai sandarannya tersendiri agar tidak berlaku pendustaan di atas nama para ulama', apatah lagi jika ia melibatkan tokoh-tokoh yang banyak berjasa di dalam Islam. Akhirnya, marilah sama-sama kita memupuk semangat minat membaca kisah-kisah para ulama' agar daripada kisah itu dapat kita mengambil sedikit manfaat daripadanya untuk diamalkan dan dipraktikkan dalam kehidupan seharian. Semoga Allah SWT menjadikan dalam kalangan hamba-hamba-Nya yang mempunyai akhlak-akhlak yang terpuji sepertimana ulama'-ulama' terdahulu. Amin,

Wallahua'lam.

+ Mufti Wilayah Persekutuan