Friday, December 7, 2018

Oh! Media

Oh! Media


Disebalik Kejayaan Harimau Malaya - TMJ Sentiasa Membantu

Posted: 06 Dec 2018 04:31 AM PST


Disebalik kejayaan pasukan Harimau Malaya Menentang Thailand semalam, bekas Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Tunku Ismail Sultan Ibrahim berkata, kebangkitan skuad bola sepak negara adalah hasil daripada perancangannya ketika memimpin badan induk itu sebelum ini.

Kejayaan ini turut adalah kemuncak kepada prestasi membanggakan keseluruhan pasukan kebangsaan yang di bawah FAM termasuk skuad bawah 23 (B-23) dan B-19 tahun negara.

Tunku Ismail di laman sosial Twitternya, beliau mengucapkan tahniah kepada skuad kendalian Tan Cheng Hoe (TCH) yang beraksi di perlawanan akhir pada 11 dan 15 Disember ini dengan final pertama akan berlangsung di Bukit Jalil terlebih dulu.

"Yarghhh... siapa yang letak TCH di situ, OKS (Datuk Ong Kim Swee) dalam pasukan B-23 dan Bojan Hodak B-19. Semua perancangan berjalan dengan baik. 'Claim' jangan tak 'claim'. Tahniah Malaysia dan FAM. Cinta, TMJ (Tunku Mahkota Johor)," katanya.

Sebelum ini, TMJ turut sempat merombak sistem kejurulatihan membabitkan tiga pasukan kebangsaan dengan melantik Bojan Hodak untuk membimbing skuad B-19, Kim Swee skuad B-23 dan memilih Nelo Vingada sebagai pengendali skuad senior sambil Cheng Hoe sebagai penolong jurulatih.

Namun selepas membimbing Malaysia dalam tujuh perlawanan sejak tiba di negara ini pada Mei 2017, Vingada masih belum mencatat sebarang kemenangan dan beliau mengambil keputusan melepaskan jawatan sebelum diserahkan kepada Cheng Hoe pada penghujung tahun lalu.

DJI Osmo Pocket Sudah Sedia Untuk Ditempah Bagi Pasaran Malaysia

Posted: 06 Dec 2018 04:45 AM PST


DJI Osmo Pocket yang membuatkan ramai pembuat vlogger di Malaysia tidak sabar untuk memiliki dan akhirnya, kini anda sudah boleh membuat pra-tempah. DJI Osmo Pocket mempunyai  rekaannya yang moden serta mudah di bawa ke mana sahaja.

DJI Osmo sudah dilancarkan pada minggu lepas dan kini ditawarkan pada harga RM1,550.00 untuk pasaran Malaysia pada Januari hadapan.

DJI Osmo Pocket turut dilengkapkan dengan kamera bersensor 12-Megapixel f/2.0 dengan kemampuan rakaman video 4K 60fps. Sokongan mikroSD sehingga 256GB antara yang tersedia. Lebih menarik, disebalik saiznya yang kecil, DJI Osmo Pocket turut menawarkan skrin bersaiz 1-inci bagi memudahkan pengguna melihatnya secara terus daripada gimbal ini.

+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media.

Anwar Jamin Isu PTPTN Akan Terus Dibawa Ke Pengetahuan Kerajaan

Posted: 06 Dec 2018 02:26 AM PST


Ramai yang masih tidak berpuas hati dengan tindakan yang diambil pihak kerajaan baharu terhadap isu PTPTN. Oleh itu, perkara ini membuatkan Presiden PKR iaitu ahli Parlimen Port Dickson iaitu, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjamin perkara itu akan terus di bawa ke pengetahuan kerajaan.

Anwar yakin kerajaan akan mempertimbangkan kebimbangan sebahagian besar peminjam berhubung potongan gaji yang terlalu tinggi dan bakal membebankan.

"Saya akan kemukakan keresahan beberapa peminjam PTPTN untuk pertimbangan Menteri Pendidikan dan Pengerusi PTPTN. Saya akan beri nota segera pada mereka.

"Jika ada pandangan dan sebagainya, saya pasti Maszlee dan Wan Saiful akan teliti semula.

"Saya sedar dengan semua kebimbangan. Ramai yang hantar mesej pada saya, dari Permatang Pauh, Port Dickson yang antaranya ahli PKR sendiri," katanya.

Antara kadar bayaran balik yang dipertikaikan membabitkan peminjam berpendapatan RM4,000 ke atas yang akan dipotong gaji antara lapan hingga 15 peratus, atau RM320 hingga RM1,200 ke atas.

+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media.


Zul Ariffin Dedahkan Berat Badan Cecah 102 Kilogram - Akan Kembali Bersenam

Posted: 06 Dec 2018 12:59 AM PST


Pelakon lelaki popular, Zul Ariffin dilihat semakin berisi dan ia diakui sendiri oleh Zul. Akibat terlalu sibuk bekerja dan tidak mengamalkan gaya hidup sihat, sekarang berat badannya telah meningkat kepada 102 kilogram.

Zul menerusi perkongsiannya di Instagram berkata, dia kini berusaha mendapatkan semula berat badan ideal dengan menjalani rutin senaman.


"Setahun lalu, saya hanya menumpukan fokus kepada kerjaya dan tidak menghiraukan soal pemakanan. Tidur juga tidak betul dan saya tidak lagi ke gimnasium.

"Tiada siapa yang perlu disalahkan, kecuali diri sendiri. Semua tabiat negatif itu sudah dihentikan dan saya kini kembali menjalani rutin senaman setiap hari," katanya.

"Ia lebih kepada membuat persediaan untuk segala perkara yang akan datang. Saya mahu menjadi lebih sihat dengan melakukan perkara yang disukai,"

Baru-baru ini, Zul mendapat perhatian netizen apabila memuat naik foto yang memperlihatkan perubahan susuk tubuhnya yang jauh lebih berisi. Zul yang lebih dikenali sebagai seorang pelakon yang mempunyai bentuk badan yang cantik dan sasa itu mengakui, berat badannya sudah mencecah 102 kilogram membuatkan peminat terkejut.

+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media.


Malaysia Diiktiraf Sebagai ePassport Terbaik Serantau Bagi Tahun 2018

Posted: 06 Dec 2018 12:33 AM PST


Jabatan Imigresen Malaysia menerima Anugerah Dokumen Pengenalanan Diri Serantau Terbaik bagi tahun 2018, satu pengiktirafan bagi ePassport Malaysia yang berinovatif dan terulung dalam kelasnya tersendiri.

Penganugerahan yang diadakan di Hanoi, Vietnam itu telah diterima oleh Ketua Pengarah Jabatan Imigresen, Datuk Seri Mustafar Ali dan Pengarah Eksekutif, Datasonic Steven Ng pada Persidangan Pencetakan Keselamatan Tinggi Global Asia 2018, dari 3 hingga 5 Dis, menurut kenyataan yang dikeluarkan pada Rabu bagi pihak Datasonic Group Berhad.

Sebagai negara pertama di dunia yang membangun dan memperkenalkan ePassport pada 1998, versi baharu ePassport Malaysia dilancarkan pada November 2017 telah mempertingkatkan ciri keselamatan, termasuk cip yang tertanam dalam halaman butiran peribadi polikarbonat.

Kedudukan cip baharu ini, berbanding dengan kedudukan sebelum ini di kulit belakang, menyukarkan pemalsuan maklumat dan membolehkan data dibaca dengan lebih mudah.

+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media.

MB Terengganu Seru Peserta Himpunan ICERD Elak Cetus Provokasi

Posted: 05 Dec 2018 11:03 PM PST


Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar meminta rakyat negeri ini yang menyertai perhimpunan membantah Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) menghindarkan diri daripada tindakan yang boleh mencetuskan kekacauan, provokasi dan rusuhan.

Ia bagi memastikan perhimpunan itu diadakan secara aman, rakyat terutama dari negeri ini diminta mengelak daripada perlakuan negatif dan sentiasa mematuhi undang-undang.

Kerajaa Negeri Terengganu turut menyeru dan meminta rakyat Terengganu yang cintakan keamanan dan keharmonian untuk bersama hadir pada perhimpunan ICERD di Dataran Merdeka, Sabtu ini.

"Saya dan beberapa pemimpin politik negeri ini termasuk Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang akan hadir menyertai perhimpunan ICERD.

"Saya meminta seluruh rakyat negeri ini yang akan bergerak menyertai perhimpunan ICERD supaya mematuhi peraturan lalu lintas dan berhimpun dalam keadaan aman, tenteram serta elakkan sebarang bentuk provokasi yang mungkin ditimbulkan pihak tidak bertanggungjawab," katanya melalui kenyataan yang dimuatnaik melalui laman Facebook rasminya hari ini.

+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media.

Cheng Hoe Anggap Kemenangan Pemainnya Suatu Yang Menakjubkan

Posted: 05 Dec 2018 09:23 PM PST


Tan Cheng Hoe, yang merupakan jurulatih buat skuad Harimau Malaya tidak mahu pemainnya hilang fokus dengan kemenangan menentang Thailand semalam dan mahu pemainnya untuk terus kerja kuat untuk memburu gelaran Juara Piala AFF.

Malaysia berada di landasan terbaik memburu gelaran pertama sejak 2010, selepas mara ke perlawanan akhir buat kali keempat menerusi peraturan gol di tempat lawan, apabila seri 2-2 pada separuh akhir kedua di Stadium Nasional Rajamangala.

Harimau Malaya akan bertemu Vietnam atau Filipina di Final yang akan berentap dalam aksi kedua hari ini.

Menurut Cheng Hoe, kejayaan itu adalah hasil kerja keras anak buahnya yang bermain mengikut taktikal.


"Selepas seri 1-1 pada babak pertama, kami perlu kekal tenang dalam permainan, mengekalkan penguasaan bola dan cuba melakukan serangan balas. Kita juga perlu berhati-hati dengan gerakan 'set piece' Thailand.

"Pemain mengikut taktikal dengan penuh disiplin pada babak kedua dan ini adalah keputusan yang menakjubkan," katanya dalam sidang media selepas perlawanan.

Cheng Hoe mengakui tetap tenang walaupun Thailand yang dibimbing Milovan Rajevac mendapat sepakan penalti pada masa kecederaan di babak kedua yang gagal disempurnakan oleh Adisak Kraisorn.

"Saya masih tenang dan yakin mungkin penjaga gol Farizal Marlias boleh menyelamatkan sepakan penalti itu.

"Kami ada mengkaji video sepakan penalti Adisak dan saya yakin Farizal boleh melakukan sesuatu," katanya.

Perlawanan akhir akan berlangsung pada 11 dan 15 Disember ini.

+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media.


Myanmar Bimbang Orang Islam Jadi Penduduk Majoriti

Posted: 05 Dec 2018 08:08 PM PST


Myanmar dilihat bimbang dengan penyebaran agama Islam di negara itu. Ini dinyatakan sendiri oleh Menteri Agama Myanmar, Thura Aung Ko yang melihat etnik Islam Rohingya akan menjadi penduduk majoriti di negara mereka satu hari nanti.

Beliau juga menuduh masyarakat yang menjadi pelarian di Bangladesh itu dikenakan 'tekanan minda' oleh Bangladesh supaya berarak masuk ke negaranya.

Aung Ko juga menghina etnik yang menganuti ajaran Islam itu dengan menyifatkan agama mereka sebagai ekstrem serta menggelar mereka sebagai 'keturunan Bengali'.

"Ketika orang kami yang beragama Buddha mengamalkan monogami dan mempunyai seorang atau dua orang anak, satu ajaran agama ekstrem menggalakkan penganutnya beristeri tiga atau empat hingga melahirkan 15, 20 anak.

"Selepas tiga, empat atau lima dekad lagi di negara Buddha ini, komuniti agama itu pasti akan menjadi minoriti di negara sendiri," kata Aung Ko dalam satu video yang disiarkan oleh Radio Free Asia.

Lebih 730,000 etnik Rohingya lari dari negeri Rakhine di Myanmar selepas tentera negara itu mengganas sejak Ogos tahun lalu dan kini berada di khemah perlindungan di Bangladesh.

+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media.





Che Ta Jawab Isu Mengenai Fail Cerai

Posted: 05 Dec 2018 07:06 PM PST


Rozita Che Wan atau lebih selesa dipanggil Che Ta dilihat terkejut apabila ditanya mengenai status rumah tangganya yang dikaitkan dengan isu memfailkan penceraian baru-baru ini. Oleh itu, ini adalah reaksi Che ta berhubung perkara berkenaan.

"Saya terkejut bila ditanya oleh pengurus saya berkaitan perkara itu. Informasi itu tidak benar atau salah artis.

"Lagipun, fakta-fakta yang mungkin diberikan tentang artis itu bukannya saya seorang sahaja yang ada anak menerusi perkahwinan terdahulu.

"Saya tidak ke mahkamah syariah, tetapi akan ke mahkamah tinggi atas urusan tuntutan berkaitan bines," jelas Che Ta.

Jadi perkara itu sama sekali tidak betul dan untuk pengetahuan korang, pasangan selebriti Che Ta dan suami Zain Saidin selamat diijabkabulkan awal Disember 2013 dan hasil perkahwinan mereka dikurniakan seorang anak perempuan, Aaisyah Dhia Rana, 4 tahun.

+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media.

Gajah Berdiri Dipaksa Duduk Dengan Harimau Malaya

Posted: 05 Dec 2018 06:18 PM PST


Kemenangan bergaya 2-2 skuad Harimau Malaya menentang Thailand berjaya membawa Malaysia ke pentas akhir Piala AFF Suzuki. Aksi yang penuh drama pada saat-saat akhir itu, telah membuatkan kita rasa sugguh mendebarkan.

Anak didik Tan Cheng Hoe bangkit dua kali menyamakan kedudukan melalui jaringan Syahmi Safari dan Norshahrul Idlan Talaha pada setiap babak.

Hanya melakukan satu pertukaran dalam kesebelasan utama dengan memasukkan Nazirul Naim Che Hashim menggantikan Syazwan Andik yang mengalami kecederaan anak didik Tan Cheng Hoe berjaya menghadapi tekanan awal dari Thailand.

Pada minit ke 21, Thailand memperolehi gol pertama melalui Thitiphan Puangjan yang menanduk masuk menewaskan penjaga gol Malaysia, Farizal Marlias.

Rembatan kencang Syahmi Safari dari luar kotak penalti pada minit ke 29 memastikan Malaysia berjaya menyamakan kedudukan 1-1.

Gol tersebut nyata menaikkan semangat dan keyakinan Harimau Malaya yang berjaya mengekang asakan tuan rumah sehinggalah kedua pasukan beredar ke bilik persalinan dengan keputusan seri 1-1.

Memasuki babak kedua Malaysia memiliki peluang menjaringkan gol namun Mat Yo merembat bola deras melepasi palang gol.

Pemain tuan rumah, Pansa Hemviboon meletakkan pasukan dihadapan apabila menjaringkan gol kedua pada minit 64 sebelum Mat Yo menyamakan kedudukan selang tujuh minit kemudian.

Ketika perlawanan hampir ditamatkan, tuan rumah memiliki peluang menjaringkan gol selepas dihadiahkan sepakan penalti namun penyerang tuan rumah Adisak Kraisorm merembat bola melepasi palang sebelum pengadil perlawanan dari Jordan, Adham Mohamad Tumah meniupkan wisel penamat.

Malaysia bakal membuat perhitungan terakhir pada 11 dan 15 Disember nanti menentang sama ada Vietnam mahupun Filipina yang bakal beraksi malam esok.

+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media.

Doa Untuk Melunasi Hutang

Posted: 05 Dec 2018 04:23 PM PST


Soalan:
Apakah doa agar mudah melangsaikan hutang?

Jawapan:
Para fuqaha' telah mendefinisikan hutang pada istilah syara' sebagai 'pemberian hak milik sesuatu barangan kepada orang lain dengan syarat orang tersebut memulangkan semula gantinya tanpa sebarang tambahan.'
[Lihat: Mustafa al-Khin, Mustafa al-Bugha, Ali Syarbaji, al-Fiqh al-Manhaji. jil. 6. hlm. 101]

Berbalik kepada soalan di atas, berkenaan dengan amalan agar mudah melangsaikan hutang. Terdapat beberapa hadis yang baik untuk diamalkan kepada setiap orang yang terbeban dengan hutang.

Di sini kami bawakan hadis berkenaan dengan doa agar dimudahkan melangsaikan hutang, antaranya:

1. Hadis Abu Said al-Khudri RA. Daripada Abu Said al-Khudri RA katanya: "Rasulullah SAW telah masuki masjid. Tiba-tiba terdapat seorang sahabat bernama Abu Umamah RA sedang duduk di sana. Beliau bertanya: "Wahai Abu Umamah, kenapa aku melihat kau sedang duduk di dalam masjid sedangkan bukan luar waktu solat?" Abu Umamah menjawab: "Dukacita dan hutang menyelubungiku wahai Rasulullah!" Rasulullah menjawab: "Mahukah kamu aku ajarkan kepada kamu satu doa jika kamu membacanya Allah akan menghilangkan rasa dukacitamu dan melangsaikan hutangmu." Abu Umamah menjawab: "Sudah tentu, wahai Rasulullah." Maka Baginda bersabda: "Ucapkanlah pada tiba waktu pada pagi dan petang bacaan ini:

اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنْ الْهَمِّ وَالْحَزَنِ وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ الْعَجْزِ وَالْكَسَلِ وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ الْجُبْنِ وَالْبُخْلِ وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ غَلَبَةِ الدَّيْنِ وَقَهْرِ الرِّجَالِ
"Ya Allah, sesungguhnya aku berlindung kepada Engkau dari kedukaan dan kesedihan. Aku berlindung kepada Engkau dari sifat lemah dan malas. Aku berlindung kepada Engkau dari sifat pengecut dan bakhil. Dan aku berlindung kepada Engkau dari bebanan hutang dan penindasan manusia."

Abu Umamah RA berkata: "Setelah membaca doa tersebut, Allah menghilangkan kedukaanku dan melunaskan hutangku." [Riwayat Abu Daud (4/353)]

2. Hadis 'Aisyah R.Anha. Bahawa 'Aisyah R.Anha memberitahu, bahawa Nabi SAW berdoa dalam solat sebelum salam:

اللهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنْ عَذَابِ الْقَبْرِ، وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ فِتْنَةِ الْمَسِيحِ الدَّجَّالِ، وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ فِتْنَةِ الْمَحْيَا وَالْمَمَاتِ، اللهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنَ الْمَأْثَمِ وَالْمَغْرَمِ
"Ya Allah! Sesungguhnya aku berlindung dengan Engkau dari azab kubur, dan aku berlindung dengan Engkau dari fitnah Dajjal, dan aku berlindung dengan Engkau dari fitnah semasa hidup dan saat kematian. Ya Allah! Sesungguhnya aku berlindung dengan Engkau dari dari perbuatan dosa dan kesusahan hutang." [Riwayat al-Bukhari (832) dan Muslim (129)]

Imam al-Hafiz Ibn Hajar menyebut bahawa makna bagi kalimah maghram ialah dain iaitu hutang. Dikatakan yang dikehendaki dengan al-Maghram ialah apa yang diperhutangkan sama ada perkara harus atau tidak, kemudia orang yang berhutang tidak mampu untuk membayarnya."
[Lihat: Ibn Hajar al-Asqalani. Fath al-Bari. jil 2. hlm. 371]

3. Daripada Suhail, beliau berkata: "Abu Soleh memerintahkan kepada kami apabila salah seorang di antara kami hendak tidur, hendaklah berbaring sebelah kanan kemudian mengucapkan:

اَللَّهُمَّ رَبَّ السَّمَاوَاتِ السَّبْعِ وَرَبَّ الْعَرْشِ الْعَظِيْمِ، رَبَّنَا وَرَبَّ كُلِّ شَيْءٍ، فَالِقَ الْحَبِّ وَالنَّوَى، وَمُنْزِلَ التَّوْرَاةِ وَاْلإِنْجِيْلِ وَالْفُرْقَانِ، أَعُوْذُ بِكَ مِنْ شَرِّ كُلِّ شَيْءٍ أَنْتَ آخِذٌ بِنَاصِيَتِهِ. اَللَّهُمَّ أَنْتَ اْلأَوَّلُ فَلَيْسَ قَبْلَكَ شَيْءٌ، وَأَنْتَ اْلآخِرُ فَلَيْسَ بَعْدَكَ شَيْءٌ، وَأَنْتَ الظَّاهِرُ فَلَيْسَ فَوْقَكَ شَيْءٌ، وَأَنْتَ الْبَاطِنُ فَلَيْسَ دُوْنَكَ شَيْءٌ، اِقْضِ عَنَّا الدَّيْنَ وَأَغْنِنَا مِنَ الْفَقْرِ
"Ya Allah! Tuhan yang menguasai langit ketujuh-tujuh langit, Tuhan yang menguasai 'Arsy yang agung, Tuhan kami dan Tuhan kepada segala sesuatu. Tuhan yang membelah butir tumbuh-tumbuhan dan biji benih, Tuhan yang menurunkan Taurat, Injil dan Furqan (Al-Quran). Aku memohon perlindungan dengan-Mu daripada segala kejahatan sesuatu yang Engkau memegang rambut hadapannya (yakni semua makhluk dibawah kekuasaan Allah). Ya Allah! Engkau-lah yang awal, sebelum-Mu tidak ada sesuatu. Engkaulah yang terakhir, setelah-Mu tidak ada sesuatu. Engkau-lah yang Zahir, tidak ada sesuatu di atas-Mu. Engkau-lah yang Batin, tidak ada sesuatu yang terlepas daripada-Mu. Langsaikanlah hutang kami dan berilah kepada kami kekayaan hingga terlepas daripada kefakiran." [Riwayat Muslim (2713)]

Imam Nawawi rahimahullah menyebut: "Yang dikehendaki dengan maksud hutang adalah kewajiban pada Allah SWT dan kewajiban terhadap hamba seluruhnya, ianya merangkumi segala macam jenis kewajiban."
[Lihat: Abu Zakaria Muhyiddin Yahya bin Syarf al-Nawawi. Syarh al-Nawawi 'ala Muslim. juz. 17. hlm. 36, Beirut. Dar Ihya' al-Turath al-'Arabi]

4. Daripada Ali RA, bahawa seorang hamba mukatab telah datang menemuinya dan berkata: "Sesungguhnya aku tidak mampu untuk melangsaikan hutang perjanjian dengan tuan aku (perjanjian kitabah iaitu antara hamba dengan tuannya untuk pembebasan dirinya), maka tolonglah aku! Maka Sayyidina Ali RA berkata: "Mahukah kamu aku ajarkan kepadamu doa yang telah Rasulullah SAW ajarkan kepada mereka. (Iaitu) Jika kamu dibebani hutang yang setinggi bukit, Allah akan selesaikanya untuk kamu? Sayyidina Ali berkata: "Katakanlah:

اللَّهُمَّ اكْفِنِى بِحَلاَلِكَ عَنْ حَرَامِكَ وَأَغْنِنِى بِفَضْلِكَ عَمَّنْ سِوَاكَ
"Ya Allah! Cukupkanlah aku dengan dengan yang halal dan jauhkanlah aku daripada yang haram, dan cukupkanlah aku dengan kurniaan-Mu daripada bergantung kepada selain-Mu." [Riwayat al-Tirmidzi, hadis hasan sahih]

Semoga dengan sedikit perkongsian ini dapat memberikan kita kefahaman dan keyakinan kepada Allah SWT. Amiin.

+ Mufti Wilayah Persekutuan

Adakah Tahnik Bayi Itu Wajib?

Posted: 05 Dec 2018 04:16 PM PST


Soalan :
Apakah tahnik bayi itu sesuatu yang wajib? Kalau tak buat berdosa ke?

Jawapan:
Berkenaan dengan tahnik telah disebut di dalam satu riwayat daripada Saidatina Aisyah. Kata beliau:

أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ -صلى الله عليه وسلم- كَانَ يُؤْتَى بِالصِّبْيَانِ فَيُبَرِّكُ عَلَيْهِمْ وَيُحَنِّكُهُمْ فَأُتِىَ بِصَبِىٍّ فَبَالَ عَلَيْهِ فَدَعَا بِمَاءٍ فَأَتْبَعَهُ بَوْلَهُ وَلَمْ يَغْسِلْهُ
"Sesungguhnya Rasulullah SAW pernah didatangi dengan kanak-kanak. Lalu Baginda memberkati mereka dan mentahnikkan mereka. Kemudian Baginda didatangi dengan seorang kanak-kanak lalu kanak-kanak itu kencing di atas Baginda. Lantas Baginda meminta air dan memercikkan air tersebut ke atas kencing itu. Baginda tidak membasuhnya." [Riwayat Muslim (688)]

Yang dimaksudkan dengan tahnik adalah mengunyah tamar atau selainnya kemudian disapukan kepada lelangit bayi.

Hukum mentahnik bayi merupakan satu sunnah. Perkara ini telah dijelaskan oleh Imam al-Nawawi. Kata beliau:

"Adapun berkaitan hukum hakam yang terdapat di dalam hadis ini, terdapatnya hukum sunat mentahnikkan anak yang baru lahir. Juga berkaitan keharusan mengambil berkat daripada orang yang soleh dan baik. Di dalam hadis itu juga terdapat hukum sunatnya membawa kanak-kanak menemui orang yang soleh untuk bertabarruk dengan mereka. [Rujuk Syarh Sahih Muslim (14/143)]

Bahkan tahnik ini juga merupakan sesuatu yang masyhur dan makruf di kalangan para sahabat. Di dalam satu kisah yang diceritakan oleh Asma' ketika mana beliau mengandungkan Abdullah Bin Zubair. Kata beliau :

فَخَرَجْتُ وَأَنَا مُتِمٌّ فَأَتَيْتُ الْمَدِينَةَ فَنَزَلْتُ بِقُبَاءٍ فَوَلَدْتُهُ بِقُبَاءٍ ثُمَّ أَتَيْتُ بِهِ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَوَضَعْتُهُ فِي حَجْرِهِ ثُمَّ دَعَا بِتَمْرَةٍ فَمَضَغَهَا ثُمَّ تَفَلَ فِي فِيهِ فَكَانَ أَوَّلَ شَيْءٍ دَخَلَ جَوْفَهُ رِيقُ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ثُمَّ حَنَّكَهُ بِتَمْرَةٍ ثُمَّ دَعَا لَهُ وَبَرَّكَ عَلَيْهِ وَكَانَ أَوَّلَ مَوْلُودٍ وُلِدَ فِي الْإِسْلَامِ
"Aku keluar dan pada ketika aku dah hampir melahirkan. Aku singgah di Quba dan aku telah melahirkan anak di Quba. Kemudian aku pergi menemui Rasulullah SAW. Lalu aku meletakkan anakku di bilik Baginda. Kemudian Baginda memohon untuk dibawakan tamar. Lantas Baginda mengunyah tamar tersebut kemudian meludah kunyahan tersebut di mulutnya. Benda pertama yang masuk ke tubuhnya ialah air liur Rasulullah SAW. Baginda kemudiannya mentahnikkan dengan sebiji tamar dan memberkatinya. Anak aku adalah bayi yang pertama yang dilahirkan pada zaman Islam (iaitu anak kaum muhajirin yang pertama dilahirkan selepas hijrah)." [Riwayat al-Bukhari ( 3909) & Muslim (5741)]

Pengarang Al-Fiqh Al-Manhaji menyatakan bahawa disunatkan untuk membawa anak yang baru lahir kepada orang yang soleh untuk ditahnikkan. Dan supaya bayi tersebut boleh didoakan dengan doa yang baik dan berkat. [Rujuk Al-Fiqh Al-Manhaji (3/62)]

Kesimpulannya, tahnik bayi adalah satu sunnah. Ia tidaklah sampai ke tahap wajib. Dan jika seseorang itu meninggalkan perkara tersebut tidaklah dikira berdosa. Seelok-eloknya yang mentahnikkan bayi itu adalah dari kalangan orang yang berilmu dan soleh seperti mana yang dijelaskan oleh Imam al-Nawawi. Semoga Allah memberikan kita kefahaman di dalam agama-Nya. Wallahu'alam.

+ Mufti Wilayah Persekutuan

Tempat Solat Terbaik Bagi Wanita

Posted: 05 Dec 2018 04:08 PM PST


Soalan:
Saya ingin bertanya berhubung dengan solat bagi wanita yang menjadi perbahasan dikalangan kami tanpa mendapat satu jawapan yang tepat dan memuaskan. Soalannya adalah:

  • Dimana lebih baik wanita bersembahyang di rumah atau di masjid / surau?
  • Betul ke pahala sembahyang di masjid / surau lebih (27×) daripada sembahyang di rumah?
  • Berdosa ke jika wanita tersebut memilih untuk sembahyang di rumah sahaja?

Semoga saya mendapat satu jawapan yang boleh menyelesaikan perasaan ingin tahu selama ini. Terima kasih.

Jawapan:
Isu berkenaan tempat solat yang terbaik dalam kalangan wanita merupakan isu yang selalu berlegar dalam benak fikiran wanita. Menjadi keraguan dan tanda tanya bagi wanita untuk memilih tempat yang terbaik untuk menunaikan solat. Kami cuba memberikan jawapan yang setuntas mungkin, moga-moga jawapan ini dapat memberikan pencerahan terhadap isu ini.

Berkenaan isu ini, terdapat beberapa hadis yang boleh dirujuk bagi menerangkan perbincangan terhadap masalah ini. Antaranya adalah hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu Mas'ud yang menyatakan bahawa Nabi SAW telah bersabda:

صَلاَةُ الْمَرْأَةِ فِي بَيْتِهَا أَفْضَلُ مِنْ صَلاَتِهَا فِي حُجْرَتِهَا وَصَلاَتُهَا فِي مَخْدَعِهَا أَفْضَلُ مِنْ صَلاَتِهَا فِي بَيْتِهَا
"Solat seorang wanita di rumahnya adalah lebih baik daripada solat di halaman rumahnya dan solat di bilik tidur / bilik persendirian adalah lebih baik daripada solat di rumahnya." (Hadis riwayat Sunan Abi Daud, No. 570, Imam Nawawi menilai sanad hadis ini adalah sahih mengikut syarat imam Muslim)

Begitu juga hadis yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad bahawa Ummu Humaid Al-Sai'idi iaitu isteri kepada Abu Humaid datang bertemu Nabi SAW dan berkata:

يَا رَسُول اللَّهِ إِنِّي أُحِبُّ الصَّلاَةَ مَعَكَ، فَقَال صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: قَدْ عَلِمْتُ. وَصَلاَتُكِ فِي بَيْتِكِ خَيْرٌ لَكِ مِنْ صَلاَتِكِ فِي حُجْرَتِكِ، وَصَلاَةٌ فِي حُجْرَتِكِ خَيْرٌ لَكِ مِنْ صَلاَتِكِ فِي دَارِكِ، وَصَلاَتُكِ فِي دَارِكِ خَيْرٌ لَكِ مِنْ صَلاَتِكِ فِي مَسْجِدِ قَوْمِكِ، وَصَلاَتُكِ فِي مَسْجِدِ قَوْمِكِ خَيْرٌ لَكِ مِنْ صَلاَتِكِ فِي مَسْجِدِ الْجَمَاعَةِ. قَالَ : فَأَمَرَتْ فَبُنِيَ لَهَا مَسْجِدٌ فِي أَقْصَى شَيْءٍ مِنْ بَيْتِهَا وَأَظْلَمِه ، فَكَانَتْ تُصَلِّي فِيهِ حَتَّى لَقِيَتْ اللَّهَ عَزَّ وَجَلَّ
"Wahai Rasulullah SAW, sesungguhnya aku suka solat bersamamu. Baginda menjawab: "Sungguh aku mengetahui bahawa engkau suka menunaikan solat bersamaku, akan tetapi solatmu di bilik tidurmu adalah lebih baik dibandingkan solatmu di bilikmu, dan solatmu di bilikmu adalah lebih baik dibandingkan solatmu di rumahmu, dan solatmu di rumahmu adalah lebih baik dibandingkan solatmu di masjid kaummu, dan solatmu di masjid kaummu lebih baik dibandingkan solatmu di masjidku." Kemudian Ummu Humaid meminta didirikan masjid (tempat solat) di tempat paling tersorok dan paling gelap di bilik tidurnya. Maka, beliau solat di sana sehingga bertemu dengan Allah Azza Wa Jalla. (Hadis riwayat Imam Ahmad, No. 26550, hadis ini dinilai sahih oleh Imam Ibnu Hibban)

Kedua-dua hadis ini menunjukkan bahawa tempat yang terbaik bagi seorang wanita untuk menunaikan solat adalah di rumah. Maka jelas menerusi hadis ini, tidak berdosa jika wanita tersebut memilih untuk solat di rumah sahaja.

Berkenaan soalan adakah benar pahala solat di masjid dan surau mendapat 27 kali ganda lebih daripada mereka yang solat di rumah. Sebenarnya, ganjaran tersebut dikurniakan kepada mereka yang menunaikan solat secara berjemaah walaupun bukan di masjid atau di surau. Hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu Umar menyatakan bahawa Nabi SAW telah bersabda:

صَلاَةُ الْجَمَاعَةِ تَفْضُلُ صَلاَةَ الْفَذِّ بِسَبْعٍ وَعِشْرِينَ دَرَجَةً
"Solat berjemaah itu lebih baik (afdhal) daripada solat bersendirian dengan dua puluh tujuh kali ganda." (Hadis riwayat Bukhari, No. 645)

Namun begitu, adakah berdosa bagi seorang wanita atau isteri keluar dari rumah untuk berjemaah di masjid tanpa meminta izin suaminya? Isu ini ada dinukilkan oleh penulis kitab Mausuah Fiqhiyah Kuwaitiyah yang menyatakan bahawa hukum bagi wanita yang meninggalkan rumah dan pergi menunaikan solat jemaah di masjid adalah seperti berikut:

أَنَّهُ يُكْرَهُ لِلْمَرْأَةِ حُضُورُ جَمَاعَةِ الْمَسْجِدِ إِذَا تَرَتَّبَ عَلَى خُرُوجِهَا مِنَ الْبَيْتِ وَحُضُورِهَا الْجَمَاعَةَ فِتْنَةٌ، وَلِلزَّوْجِ مَنْعُهَا مِنْ ذَلِكَ، وَلاَ يَأْثَمُ. وَحُمِل النَّهْيُ فِي الْحَدِيثِ عَلَى نَهْيِ التَّنْزِيهِ؛ لأِنَّ حَقَّ الزَّوْجِ فِي مُلاَزَمَةِ الْبَيْتِ وَاجِبٌ، فَلاَ تَتْرُكُهُ لِلْفَضِيلَةِ
Walaubagaimanapun, adalah makruh bagi seorang wanita untuk menghadiri solat berjemaah di masjid jika meninggalkan rumah dan menghadiri solat jemaah itu akan menimbulkan fitnah dan suami berhak melarang isteri daripada menghadiri solat jemaah / keluar rumah dan perbuatan suami itu tidak dikira berdosa. Larangan yang terdapat di dalam hadis adalah bersifat makruh tanzih. Ini kerana hak bagi seorang isteri untuk berada di dalam rumah adalah sesuatu yang wajib. Maka tidak boleh meninggalkan rumah dengan tujuan mencari fadhilat.

Menerusi petikan tersebut, hukum bagi seseorang isteri meninggalkan rumah untuk berjemaah di masjid / surau adalah makruh jika ia akan mendatangkan fitnah. Walaupun solat itu merupakan ibadah yang dilakukan kerana Allah SWT dan ia adalah ibadah yang wajib dilakukan, tidaklah berdosa bagi suami untuk melarang isterinya menunaikan solat di masjid / surau. Manakala berdosa bagi seorang isteri yang keluar daripada rumah tanpa izin suaminya.

Namun begitu, pendapat daripada kalangan ulama' mazhab Syafie menyatakan bahawa Sunat bagi suami itu untuk mengizinkan isterinya menunaikan solat jemaah di masjid. Sepertimana yang dinyatakan oleh Imam Nawawi:

يُسْتَحَبُّ لِلزَّوْجِ أَنْ يَأْذَنَ لِزَوْجَتِهِ فِي شُهُودِ الْجَمَاعَةِ فِي الْمَسْجِدِ
Sunat bagi suami mengizinkan isterinya untuk hadir berjemaah di masjid. (Mausuah Fiqhiyah Kuwaitiyah, jld. 8 m/s 232)

Begitu juga hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu Umar, Nabi SAW bersabda:

تَمْنَعُوا إِمَاءَ اللَّهِ مَسَاجِدَ اللَّهِ، وَلَكِنْ لِيَخْرُجْنَ وَهُنَّ تَفِلاَتٌلاَ
"Janganlah kamu melarang hamba-hamba Allah dari kalangan wanita untuk pergi ke masjid, tetapi mereka boleh keluar dalam keadaan tidak memakai wangi-wangian." (Hadis Riwayat Abu Daud, No. 565)

Kesimpulan daripada isu ini, rumah adalah tempat terbaik bagi wanita untuk bersolat. Akan tetapi tidak menjadi kesalahan untuk mereka menunaikan solat secara berjemaah di masjid. Kami berpandangan bahawa sunat dan digalakkan bagi seseorang wanita atau isteri itu menunaikan solat di masjid atau surau. Namun begitu, perlu diingatkan terdapat beberapa syarat yang perlu dipenuhi oleh wanita atau isteri tersebut. Antaranya adalah;

  • Mendapat keizinan suami;
  • Menjaga aurat, tidak berhias-hias (tabarruj) dan memelihara pandangan;
  • Tidak memakai wangi-wangian;
  • Tiada percampuran lelaki dan perempuan serta segera pulang ke rumah setelah selesai solat.

Sabda Nabi SAW:

مَنْ غَدَا إِلَى الْمَسْجِدِ وَرَاحَ أَعَدَّ اللَّهُ لَهُ نُزُلَهُ مِنَ الْجَنَّةِ كُلَّمَا غَدَا أَوْ رَاحَ
"Sesiapa yang pergi ke masjid dan balik (dari masjid), Allah sediakan baginya hidangan dari syurga setiap kali dia pergi dan balik." (Hadis Riwayat Bukhari, No. 662, Imam Nawawi menilai sanad hadis ini adalah sahih mengikut syarat imam Muslim)

Memang tidak dinafikan lagi bahawa solat di masjid mempunyai fadhilat yang amat besar dan tersendiri. Dengan itu, marilah sama-sama berusaha dan berazam untuk berlumba-lumba menunaikan solat-solat fardhu di masjid. Semoga Allah SWT menjadikan kita dalam kalangan hamba-hamba-Nya yang sentiasa menjaga solat agar dengannya kita akan digolongankan dalam kalangan hamba-hamba-Nya yang berjaya, Amin. Wallahu a'lam.

+ Mufti Wilayah Persekutuan