Saturday, December 8, 2018

Oh! Media

Oh! Media


PAS Kelantan Jangkakan Lebih 100,000 Akan Bergerak Demi ICERD

Posted: 07 Dec 2018 05:17 AM PST


Orang ramai sudah mula bergerak ke ibu kota Kuala Lumpur untuk menyertai perhimpunan aman atas tanda kesyukuran berkenaan penolakan ICERD. PAS Kelantan turut menjangkakan antara 100,000 hingga 200,00 orang dari Kelantan akan hadir ke himpunan esok.

Setiausahanya, Datuk Che Abdullah Mat Nawi, berkata kehadiran penyokong itu adalah atas kesedaran sendiri bagi memartabatkan dan menjamin maruah agama Islam.

"Peserta akan dibawa ke ibu negara dengan menggunakan lebih 100 bas dan kenderaan persendirian bermula esok. Bas disediakan oleh badan bukan kerajaan (NGO), individu dan inisiatif penyokong sendiri.

"Rakyat Kelantan dijangka paling ramai kerana himpunan itu membabitkan maruah agama Islam dan Melayu. PAS tidak menaja bas untuk peserta, namun kehadiran mereka atas inisiatif sendiri, orang perseorangan dan NGO yang mengutip dana untuk menyediakan bas.

"PAS menyeru penyokong hadir ke perhimpunan dalam keadaan banyak janji manifesto yang tidak ditunaikan oleh Kerajaan Pusat termasuk menurunkan harga minyak dan melaksanakan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST)," katanya.

Kawalan keselamatan diberi perhatian serius oleh Unit Amal PAS, NGO dan polis.

Katanya, perhimpunan berkenaan akan berjalan secara aman dan minta semua penyokong mengikut segala arahan.

+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media.

PUBG Sudah Mula Dibuka Untuk Jutaan Pemain PlayStation 4

Posted: 07 Dec 2018 04:32 AM PST


PUBG Corporation (PUBG Corp.) hari ini melancarkan PLAYERUNKNOWN'S BATTLEGROUNDS (PUBG) untuk sistem hiburan komputer PlayStation®4 (PS4™). PUBG merupakan sebuah pengalaman battle royale yang padat dengan aksi di mana 100 orang pejuang bermain merentasi pelbagai jenis lokasi. Dengan permulaan yang hanya dibekalkan kecerdasan masing-masing, para pemain harus mencari senjata, barang-barang keperluan dan kenderaan sambil bertempur untuk mengatasi pihak lawan untuk menjadi pemain atau skuad terakhir yang bertahan. PUBG boleh didapati di kedai-kedai yang mengambil bahagian dan di PlayStation®Store bermula pada harga RM111.00.

"Mulai hari ini, PUBG terbuka kepada puluhan jutaan pemain PlayStation 4, dan ini merupakan peristiwa penting buat kumpulan global kami," kata Richard Kwon, Ketua Pegawai Pemasaran, PUBG Corp. "Di samping mengalami permainan kami buat kali pertama, komuniti PlayStation turut dapat menantikan kandungan-kandungan akan datang, seperti peta Vikendi baru kami."

PUBG di PS4 mengetengahkan permainan Battle Royale ke pelantar Sony, lengkap dengan barisan peta-peta terkenal ketika waktu pelancaran: Erangel, Miramar dan Sanhok, diikuti dengan Vikendi tidak lama lagi. PUBG telah ditambahbaikkan bagi sistem-sistem PlayStation®4 Pro, yang membolehkan peningkatan prestasi, seperti kualiti grafik yang lebih baik. Selain itu, para pemain boleh juga menyambut pelancaran ini dengan melog masuk ke dalam permainan tersebut untuk menerima sebuah skin payung terjun "Pixel Art" yang eksklusif kepada PS4.

Vikendi, peta musim sejuk 6x6 baru kami, telah diumumkan pada The Game Awards 2018. Peta tersebut menggabungkan keterujaan peta Santok dan ketegangan peta Erangel. Tapak kaki para pemain boleh meninggalkan kesan yang boleh dijejaki si pemburu. Para pemain juga boleh menewaskan pasukan lawan dengan senapang G36C baru atau menerokai landskap sejuk beku dengan menggunakan kereta salji. Pelayan-pelayan Ujian PC Vikendi kini boleh digunakan, membolehkan para pemain untuk mengalami peta tersebut sebelum pelancaran rasmi pada 19hb Disember. Para pemain PS4 dan Xbox One akan dapat mengakses Vikendi pada pelantar masing-masing mulai Januari nanti.

Untuk maklumat lanjut, sila layari www.pubg.com.

+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media.



Singapura Nasihat Tangguhkan Urusan Tidak Perlu Jika Ke Kuala Lumpur Esok

Posted: 07 Dec 2018 04:15 AM PST


Berikutan dengan perhimpunan ICERD yang akan diadakan pada esok, Singapura telah mengeluarkan nasihat kepada rakyatnya untuk menangguhkan urusan yang tidak perlu jika berhasrat ke Kuala Lumpur.

Kementerian Luar Republik itu yang memetik laporan media, berkata, himpunan besar-besaran akan berlangsung di Kuala Lumpur, Malaysia, di Dataran Merdeka pada 8 Dis 2018.

"Petunjuk semasa ialah jumlah hadirin ke himpunan itu mungkin mencecah puluhan ribu. Terdapat juga laporan media mengenai satu lagi perhimpunan besar akan diadakan di Petaling Jaya iaitu di Padang Timur pada hari yang sama.

"Memandangkan himpunan besar atau demonstrasi itu, ada kemungkinan insiden terpencil dan pergaduhan kecil berlaku. Gangguan lalu lintas dan gangguan lain mungkin juga berlaku yang akan memberi impak kepada pelancong," kata kementerian.

Perhimpunan "kesyukuran" meraikan kejayaan menolak ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Me­ngenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) dijangka bermula 6 pagi Sabtu ini.

+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media.




Awie Tidak Sanggup Melihat Cermin

Posted: 07 Dec 2018 04:15 AM PST


Datuk Awie yang merupakan penyanyi dan pelakon popular tidak sanggup melihat cermin selama hampir dua hari kerana dia telah membotakkan kepalanya. Awie berkata, dia tidak pernah membotakkan kepalanya sepanjang hidupnya.

Awie mengambil keputusan untuk membotakkan kepala buat pertama kali dalam hidupnya ketika menunaikan umrah hujung bulan lepas, dia berasa terkejut dan enggan melihat wajah sendiri hampir dua hari.

"Ketika proses mencukur kepala, saya pejamkan mata dan berzikir. Saya tak nak tengok, apabila sudah habis, saya angkat plastik dan tutup muka sendiri.

"Sehari setengah jugalah saya tak tengok cermin. Belakang kepala pun rasa ringan je.

"Keesokan harinya, semasa hendak mandi bagi menunaikan solat subuh, barulah saya lihat perlahan-lahan," kongsinya.

Sementara itu, dalam perkembangan lain Awie bakal muncul dengan filem televisyen terbaharu Berani Jadi Papa bergandingan dengan Ungku Hariz dan pelakon kanak-kanak Rykarl.

Membawakan watak artis veteran bernama Sani Joned, Berani Jadi Papa akan mula menemui penonton pada 6 Disember 2018.

Sumber: Astro Gempak

+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media.

Sasar 60,000 Pemegang Ijazah Doktor Falsafah Menjelang 2023

Posted: 07 Dec 2018 04:17 AM PST


Kementerian Pendidikan mensasarkan untuk mencapai jumlah 60,000 pemegang Ijazah Doktor Falsadah (PhD) menjelang tahun 2023 berdasarkan Pelan Pendidikan Malaysia 2015-2025.

Kementerian di ketuai oleh Dr Maszlee Malik ini berkata, pihak mereka sentiasa mengambil langkah proaktif dan inovatif dalam memastikannya berjaya dicapai menerusi penawaran pelbagai Skim Geran Penyelidikan yang dapat menyumbang kepada pembangunan modal insan.

"Skim Geran Penyelidikan yang ditawarkan ini merangkumi penyelidikan dalam pelbagai bidang sekaligus berupaya menghasilkan penemuan baharu yang akhirnya dapat dimanfaatkan terus kepada komuniti.

"Pada masa kini, kementerian juga menawarkan program tajaan biasiswa dan hadiah latihan persekutuan di mana fokus utama tajaan ini adalah kepada tenaga pengajar di institut pengajian tinggi awam (IPTA). Antaranya Skim Latihan Akademik Bumiputera iaitu skim latihan yang diberikan kepada pensyarah untuk menyambung pelajaran ke peringkat PhD," katanya.

Beliau berkata melalui usaha yang telah dijalankan kementerian sebelum ini, statistik menunjukkan pada 2017, seramai 22,342 pemegang PhD warganegara dari institut pengajian tinggi telah berjaya dilahirkan. Bagaimanapun katanya jumlah tersebut tidak termasuk pemegang PhD warganegara yang melanjutkan pengajian di luar negara.

"Jika diambil keseluruhan enrolmen pelajar di peringkat PhD, sasaran 60,000 itu berjaya dicapai menjelang 2030 sekiranya semua pelajar berjaya menamatkan pengajian dalam tempoh yang ditetapkan," katanya.

Sumber: Sinar Harian

+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media.


Pedal Kokpit Terputus Jadi Punca Helikopter Pemilik LCFC Terhempas

Posted: 07 Dec 2018 04:17 AM PST


Berikutan nahas helikopter yang mengorbankan pemilik kelab bola sepak Leicester City, Vichai Srivaddhanaprabha pada 28 Oktober lalu, menurut hasil siasatan kerajaan Britain mengesahkan pedal kokpit yang terputus adalah punca nahas helikopter.

Cawangan Penyiasatan Kemalangan Udara Britain (AAIB) berkata, beberapa pedal kokpit terputus daripada rotor di ekor helikopter itu, menyebabkan ia hilang kawalan dan terhempas sejurus selepas meninggalkan stadium.


"Helikopter berkenaan hilang kawalan akibat alat kawalan rotor terputus.

Pesawat berkenaan mula berpusing ke bahagian kanan sebelum terhempas," kata laporan setebal lapan muka surat itu.

Menurut AAIB, mereka sedang menyiasat dengan lebih terperinci untuk melihat punca kerosakan.

Sumber: Sinar

+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media.

Rabbani Ambil Langkah Berani Tubuh Akademi Nasyid Malaysia

Posted: 07 Dec 2018 04:18 AM PST


Ramai yang merendukan suara nyanyian kumpulan Rabbani yang dulu selalu menemani kita dengan kata-kata dan nasihat yang baik. Tapi sekarang, mereka masih tetap aktif dan terkini, Rabbani mengambil langkah berani dengan menubuhkan Akademi Nasyid Malaysia (ASIM) dengan bekerjasama Yayasan SAMDE (Sekolah Agama Menengah Darul Ehsan).

Berkongsi penubuhan ASIM, anggota kumpulan Rabbani, Azadan Abdul Aziz berkata, ia bagi membuka ruang kepada penggiat seni Islam di negara ini untuk terus berkembang sekali gus memartabatkan semula industri nasyid di Malaysia dan melahirkan generasi baru pencinta nasyid.

"Secara rasminya ASIM akan ditubuhkan awal tahun depan dengan visi untuk menyatukan industri nasyid dan membawa nasyid ke peringkat tertinggi.

"ASIM akan menyediakan khidmat latihan nasyid merangkumi vokal, muzik dan pengurusan acara," katanya.


Menurut Setiausaha Yayasan SAMDE, Datuk Abu Backer Sidek pula, "Berserta pengalaman yang mereka ada, yayasan yakin segala perancangan akan berjalan lancar. Yayasan juga akan bekerjasama dengan kumpulan nasyid lain seperti Raihan dan Hijjaz untuk 'meminjam' kepakaran mereka bagi melatih peserta akademi nanti.

"Pada peringkat awal ini, ASIM akan mencungkil bakat penyanyi nasyid di kalangan pelajar sekolah agama swasta, sekolah rendah dan kebangsaan, seterusnya barulah kita pergi ke peringkat lebih tinggi iaitu Institut Pengajian Tinggi Awam dan Swasta.

"Kami akan mengadakan pertandingan nasyid pada peringkat sekolah terlebih dulu dan barulah akan pergi ke peringkat daerah, negeri dan antarabangsa," katanya.

"Mungkin sampai pada satu peringkat, ASIM akan menjadi tempat rujuan industri tanah air untuk perkembangan nasyid di Malaysia," jelasnya lagi.

Oh! Media: Sudah tiba masanya untuk kita kembali menaikkan semula suara alunan nyanyian nasyid agar ia dapat diteruskan oleh generasi mendatang.


+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media.


Semangat Ukhuwah Di Kalangan Melayu Semakin Lemah - Sultan Nazrin

Posted: 06 Dec 2018 11:53 PM PST


Melayu kini dilihat semakin hanyut dek kerana mengejar dan berlumba untuk mendapatkan kebendaan. Jati diri semakin lemah dan semangat ukhuwah dalam kalangan umat Melayu hari ini turut semakin terhakis.

Ini merupakan apa yang dilihat sendiri oleh Timbalan Yang di-Pertuan Agong Sultan Nazrin Shah bertitah, selama ini agama Islam berjaya menyatukan umat Melayu dan membina ukhuwah sehingga muncul sebagai umat yang kuat, namun hari ini ia sedang mabuk dilambung gelombang persaingan kuasa.

Tintah baginda, budaya berpolitik yang berlaku di bumi warisan bangsa ini telah menjelmakan ketaksuban baharu, menghidupkan budaya asabiah, menganjurkan pemikiran yang lebih mengutamakan kesetiaan kepada kumpulan, daripada kepentingan menerima kebenaran.

"Umat Melayu Islam sedang terperangkap dalam perlumbaan menconteng arang sesama sendiri, masing-masing ghairah menepuk air di dulang, dan airnya semakin terpercik ke muka sendiri.

"Ibnu Khaldun, meninggalkan catatan mengenai peristiwa perpecahan politik dan perebutan kuasa yang amat dahsyat berlaku di Afrika Utara dan Andalusia, hingga mengakibatkan kejatuhan tamadun dan pemerintahan Islam," tintah baginda.

Tambah baginda, aspek-aspek kejayaan dan keagungan Kesultanan Melaka pada zaman silam sebagai pusat perdagangan, kebudayaan dan penyebaran agama Islam haruslah dijadikan sebagai unsur penggalak untuk mencapai kecemerlangan masa hadapan.

"Bagaimanapun terdapat titik-titik hitam dalam sejarah Melaka yang harus direnungi bersama agar ia tidak berulang," katanya.

+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media.

Harimau Malaya Berpeluang Membalas Dendam, Bertemu Vietnam di Final Piala AFF Suzuki

Posted: 06 Dec 2018 07:41 PM PST


Skuad Malaysia akan bertemu Vietnam di Final dan berpeluang membalas dendam tumpas 0-2 di tangan Vietnam pada aksi peringkat kumpulan sebelum ini apabila bertemu skuad The Golden Dragons itu pada perlawanan akhir Piala AFF Suzuki 2018.

Skuad Vietnam kendalian jurulatih dari Korea Selatan, Park Hang-Seo itu mara ke pentas final selepas mencatat kemenangan dengan agregat 4-2 ke atas Filipina.

Vietnam berjaya menewaskan pasukan Filipina yang dibimbing bekas jurulatih England, Sven-Goran Eriksson 2-1 di laman sendiri dalam aksi separuh akhir kedua malam semalam.

Pada perlawanan separuh akhir pertama, Vietnam menewaskan pasukan 'The Azkals' 2-1 di Stadium Panaad, Bacolod, Filipina.

Malaysia pula mara ke perlawanan akhir selepas mengikat juara bertahan Thailand 2-2 pada aksi separuh akhir kedua di Bangkok, semalam.

Keputusan itu sudah mencukupi untuk skuad Harimau Malaya kendalian Tan Cheng Hoe layak ke final menerusi peraturan gol di tempat lawan selepas kedua-dua pasukan seri tanpa jaringan pada aksi separuh akhir pertama di Stadium Nasional Bukit Jalil, 1 Disember lepas.

Perlawanan akhir Piala AFF Suzuki 2018 akan menggunakan format timbal balik dengan skuad negara bakal melayan kunjungan Vietnam pada 11 Disember, sebelum aksi final kedua di Hanoi, 15 Disember ini.

Saya Pun Tidak Setuju - Rafizi Ramli

Posted: 06 Dec 2018 07:43 PM PST


Ramai orang tidak berpuas hati dan mengkritik langkah yang diambil kerajaan baru dalam isu PTPTN. Ia turut mendapat perhatian dari bekas ahli parlimen PKR, Rafizi Ramli yang dilihat ramai menyatakan rasa kecewa kepada beliau.

Rafizi dalam satu kenyataan berkata, beliau turut tidak bersetuju dengan kaedah Potongan Gaji Berjadual (PBG) yang diumumkan kerajaan itu.

"Saya faham maklum balas ramai peminjam PTPTN mengenai peraturan potongan gaji. Saya pun tak setuju,".

"Insya-ALLAH perkara ini dibawa ke peringkat dalaman dan ada penyelesaiannya nanti.

"Saya serahkan kepada kawan-kawan dalam kerajaan untuk kaji balik. Kalau tak ada perubahan saya bersuara," katanya.

Semalam, Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan pihaknya akan mengemukakan nota segera kepada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad agar Kementerian Pendidikan mengkaji semula kaedah berkenaan.

+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media.



Orang Tuamu Pintu Tengah Syurga

Posted: 06 Dec 2018 04:55 PM PST


Soalan:
Adakah sahih hadith berkaitan orang tua sebagai pintu tengah syurga?

Jawapan :
Berdasarkan soalan di atas, kami mendapati hadith di atas diriwayatkan di dalam beberapa buah kitab hadith. Antaranya:

Daripada Abu Darda' RA, bahawa beliau mendengar Rasulullah SAW bersabda:

الوَالِدُ أَوْسَطُ أَبْوَابِ الجَنَّةِ، فَإِنْ شِئْتَ فَأَضِعْ ذَلِكَ البَابَ أَوْ احْفَظْهُ
"Ibubapa (orang tua) merupakan pintu tengah syurga, Jika kamu mahu letakkanlah pintu itu atau jagalah ia." [Riwayat al-Tirmidzi (1900)]

الْوَالِدُ أَوْسَطُ أَبْوَابِ الْجَنَّةِ، فَحَافِظْ عَلَى وَالِدَيْكَ أَوِ اتْرُكْ
"Ibubapa (orang tua) merupakan pintu tengah syurga, maka jagalah kedua ibubapa kamu atau tinggalkan." [Riwayat Ibn Majah (2089)]

الْوَالِدُ أَوْسَطُ أَبْوَابِ الْجَنَّةِ، فَأَضِعْ ذَلِكَ الْبَابَ أَوِ احْفَظْهُ
"Ibubapa (orang tua) merupakan pintu tengah syurga, maka letakkanlah pintu itu atau jagalah ia." [Riwayat Ibn Majah (3663)]

Hukum Hadith

Hadith ini adalah sahih sebagaimana yang dinyatakan oleh para ulama' hadith. Antara ulama' hadith yang menilai hukum hadith ini ialah:

  • Imam al-Tirmidzi menghukum hadith ini sebagai sahih di dalam al-Jami'nya.
  • Imam Ibn Hibban meriwayatkan hadith ini di dalam sahihnya. [Lihat: Sahih Ibn Hibban, 167/2]
  • Imam al-Hakim mengatakan hadith ini sanadnya sahih tetapi tidak ditakhrijkan oleh Imam al-Bukhari dan Imam Muslim. [Lihat: al-Mustadrak, 215/2]

Makna Hadith

Syeikh al-Mubarakfuri ketika mensyarahkan hadith ini berkata bahawa kemurkaan Allah terletak pada kemurkaan orang tua (ibubapa). Kemurkaan Allah itu berlawanan dengan redha pada kemurkaan orang tua kerana Allah SWT memerintahkan kita agar mentaati ibubapa serta memuliakan sesiapa yang mentaati mereka. Barangsiapa yang mentaati orang tua maka dia telah mentaati Allah dan barangsiapa yang memurkai mereka sesungguhnya mereka dimurkai Allah. [Lihat: Tuhfah al-Ahwazi, 21,23/6]

Hadith ini juga menjelaskan berkaitan kewajipan kita berbuat baik kepada ibubapa serta mentaati perintahnya dalam perkara-perkara yang ma'ruf (perkara yang tidak bertentangan dengan agama). Di samping itu juga, hadith ini menunjukkan bahawa ibubapa merupakan jalan atau wasilah untuk seseorang yang bergelar anak itu memasuki syurga Allah SWT.

Penutup

Kesimpulannya, berbakti atau berbuat kepada ibubapa adalah satu tuntutan untuk setiap insan. Antara dalil yang diwajibkan untuk kita berbakti kepada ibubapa adalah berdasarkan firman Allah SWT:

وَقَضَىٰ رَبُّكَ أَلَّا تَعْبُدُوا إِلَّا إِيَّاهُ وَبِالْوَالِدَيْنِ إِحْسَانًا ۚ إِمَّا يَبْلُغَنَّ عِندَكَ الْكِبَرَ أَحَدُهُمَا أَوْ كِلَاهُمَا فَلَا تَقُل لَّهُمَا أُفٍّ وَلَا تَنْهَرْهُمَا وَقُل لَّهُمَا قَوْلًا كَرِيمًا
"Dan Tuhanmu telah perintahkan supaya kamu tidak menyembah melainkan-Nya semata-mata dan hendaklah kamu berbuat baik kepada ibubapa. Jika salah seorang daripada keduanya atau kedua-duanya sekali sampai kepada umur tua (dalam jagaan dan peliharaan) maka janganlah kamu berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan "ahh" serta janganlah kamu menengking mereka tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan santun)." [al-Isra':23]

Akhirnya, semoga Allah SWT menggolongkan kita dalam kalangan hamba-hamba-Nya yang sentiasa mentaati dan berbakti kepada kedua ibubapa serta memasukkan kita ke dalam syurga-Nya yang kekal abadi di akhirat kelak. Amin.

Wallahua'lam.

+ Mufti Wilayah Persekutuan

Azab Kubur Diangkat 40 Hari?

Posted: 06 Dec 2018 04:47 PM PST


Soalan:
Apakah kesahihan hadith apabila seorang ulama' melalui sebuah perkuburan maka diangkat azab selama 40 hari?

Jawapan :
Merujuk kepada soalan di atas, kita perlulah memastikan kesahihan sesebuah hadith sebelum menyandarkannya kepada Nabi SAW dan menyebarkannya kepada orang lain. Ini kerana, menyandarkan sesuatu yang tidak sahih kepada Rasulullah SAW adalah termasuk di dalam pendustaan di atas nama Baginda SAW yang mulia dan perbuatan tersebut boleh menyebabkan seseorang itu dimasukkan ke dalam neraka .

Matan Hadith

Setelah kami melihat dan meneliti berkaitan hadith yang dimaksudkan, kami menemui matan hadith tersebut seperti berikut:

إِنَّ الْعَالِمَ وَالْمُتَعَلِّمَ إِذَا مَرَّا عَلَى قَرْيَةٍ فَإِنَّ اللَّهَ تَعَالَى يَرْفَعُ الْعَذَابَ عَنْ مَقْبَرَةِ تِلْكَ الْقَرْيَةِ أَرْبَعِينَ يَوْمًا
"Sesungguhnya orang alim dan orang yang belajar apabila mereka berjalan di sebuah kampung maka Allah SWT akan mengangkat azab daripada perkuburan yang terletak di kampung itu selama 40 hari."

Hukum Hadith

Setelah kami menekuni berkaitan hadith ini, kami mendapati hadith ini sebagai palsu dan tiada asal baginya. Antara ulama' yang mengatakan bahawa hadith ini adalah palsu adalah:

  • Imam al-Suyuthi mengatakan hadith ini tiada asal baginya sebagaimana yang disebut oleh Syeikh Mulla Ali al-Qari. [Lihat: dan al-Mashnu' fi Ma'rifah al-Hadith al-Maudhu', 65]
  • Syeikh al-Qauqaji menilai hadith ini sebagai palsu. [Lihat: al-Lu'lu' al-Marshu', 53/1]
  • Syeikh al-'Ajlouni mengatakan bahawa hadith ini tiada asal baginya (palsu). [Lihat: Kasyf al-Khafa', 221/1]
  • Syeikh Mulla Ali al-Qari menghukum hadith ini sebagai palsu. [Lihat: Asrar al-Marfu'ah, 123/1]

Penutup

Kesimpulannya, mengenalpasti akan kesahihan status sebuah hadith adalah penting kerana Nabi SAW telah mengancam terhadap orang-orang yang melakukan pendustaan terhadapnya dan juga hadithnya. Daripada Anas bin Malik RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

مَنْ تَعَمَّدَ عَلَيَّ كَذِبًا، فَلْيَتَبَوَّأْ مَقْعَدَهُ مِنَ النَّارِ
"Barangsiapa yang sengaja berkata-kata dusta di atas namaku, maka siaplah tempatnya di neraka." [Muttafaqun 'Alaih, al-Bukhari (108) dan Muslim (2)]

Akhirnya, semoga Allah SWT memberi kita kefahaman di dalam agama ini serta memelihara lidah kita daripada melakukan kesalahan dalam menyandarkan sesuatu kepada Nabi SAW. Amin.

Wallahua'alam.

+ Mufti Wilayah Persekutuan

Status Hadith: “Ulama’ Umatku Seperti Nabi Bani Israil”

Posted: 06 Dec 2018 04:42 PM PST


Soalan:
Apakah status hadith ini?

عُلَمَاءُ أُمَّتِي كَأَنْبِيَاءِ بَنِي إِسْرَائِيلَ
"Ulama' umatku seperti Nabi-Nabi Bani Israil."

Jawapan :
Ulama' merupakan insan yang mulia kerana mereka meneruskan kerja nabi-nabi iaitu dakwah dan mengajak manusia kembali ke jalan Allah SWT. Untuk itu, Allah SWT membezakan antara orang yang berilmu dan orang yang tidak berilmu sebagaimana firman-Nya di dalam al-Quran:

يَرْفَعِ اللَّـهُ الَّذِينَ آمَنُوا مِنكُمْ وَالَّذِينَ أُوتُوا الْعِلْمَ دَرَجَاتٍ
"Allah meninggikan darjat orang-orang yang beriman di antara kamu, dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan agama (daripada kalangan kamu) dengan beberapa darjat". [Al-Mujadalah: 11]

Syeikh al-Maraghi menjelaskan bahawa makna daripada ayat tersebut adalah Allah SWT akan meninggikan orang-orang yang diberikan ilmu mengikut imannya kepada Allah SWT dari sudut ketaatannya kepada perintah Allah dan Rasul-Nya atau meninggikan orang-orang yang berilmu daripada kalangan mereka (orang-orang beriman) secara khusus dengan banyak tingkatan ganjaran serta martabat-martabat terpuji. [Lihat: Tafsir al-Maraghi, 17/28]

Melihat kepada soalan di atas, hadith tersebut telah dinilai dan dihukum oleh beberapa orang ulama' dan ia ada dinyatakan di dalam kitab-kitab mereka. Antaranya:

  • Imam al-Sakhawi mengatakan hadith ini tiada asal baginya. [Lihat: al-Maqasid al-Hasanah, 459]
  • Imam al-Suyuthi juga menilai hadith ini tiada asal baginya. [Lihat: al-Durar al-Muntathirah, 148]
  • Imam al-Zarkasyi menghukum hadith ini sebagai tidak diketahui akan asalnya. [Lihat: al-La'aali al-Manthurah, 167]
  • Imam Ibn Muflih mengatakan bahawa hadith ini aku tidak temui asalnya dan ia tidak disebutkan di dalam kitab-kitab masyhur yang dikenali. [Lihat: al-Adab al-Syar'iyyah, 38/2]
  • Syeikh Mulla Ali al-Qari berkata bahawa hadith ini tiada asal baginya. [Lihat: Al-Asrar al-Marfu'ah, 247]

Setelah kami melihat dan menekuni beberapa pendapat di atas, maka kami mengatakan bahawa hadith di atas adalah tidak sahih kerana tidak diketahui akan asalnya. Tambahan pula, Syeikh Mulla Ali al-Qari mengatakan Syeikh al-Damiri dan Imam Ibn Hajar al-Asqalani juga mengatakan bahawa hadith tersebut tidak mempunyai asal baginya. [Lihat: Al-Asrar al-Marfu'ah, 247]

Penutup

Kesimpulannya, hadith ini tidak sahih kerana tidak ditemui asalnya. Walaupun begitu, ulama' merupakan pewaris Nabi SAW sebagaimana di dalam hadith:

Daripada Abi al-Darda' RA berkata, aku mendengar Nabi SAW bersabda:

وَإِنَّ الْعُلَمَاءَ وَرَثَةُ الْأَنْبِيَاءِ، وَإِنَّ الْأَنْبِيَاءَ لَمْ يُوَرِّثُوا دِينَارًا، وَلَا دِرْهَمًا وَرَّثُوا الْعِلْمَ، فَمَنْ أَخَذَهُ أَخَذَ بِحَظٍّ وَافِرٍ
"Sesungguhnya ulama' adalah pewaris para Nabi. Sesungguhnya para Nabi tidak mewariskan dinar atau dirham. Akan tetapi mereka mewariskan ilmu, maka barangsiapa yang mengambil warisan tersebut, maka dia telah mengambil bahagian yang banyak." [Riwayat Abu Daud (3641), Syeikh al-Arna'out menghukum hadith ini sebagai hasan dengan syawahidnya]

Akhirnya, mengenalpasti akan kesahihan status sebuah hadith adalah penting kerana Nabi SAW mengancam terhadap orang-orang yang melakukan pendustaan di atas nama Baginda SAW dan juga ucapannya.

Daripada Anas bin Malik RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

مَنْ تَعَمَّدَ عَلَيَّ كَذِبًا، فَلْيَتَبَوَّأْ مَقْعَدَهُ مِنَ النَّارِ
"Barangsiapa yang sengaja berkata-kata dusta di atas namaku, maka siaplah tempatnya di neraka." [Riwayat al-Bukhari (108) dan Muslim (2)]

Semoga Allah SWT memberi kita kefahaman di dalam agama ini serta memelihara kita daripada melakukan kesalahan dalam menyandarkan sesebuah hadith kepada Nabi SAW. Amin.

Wallahua'alam.

+ Mufti Wilayah Persekutuan