Bilik Sewa Lelaki @ Rantau Panjang KLang

RM220 sebulan, ada tilam, bantal, parking, bilik air

Bilik Sewa @ Kg Melayu Panchor, Seremban

RM200 sebulan, ada tilam, bantal, parking, bilik air

RumahSewa Semi-D, 3 bilik, 2 bilik air @ Gambang, Kuantan

Dekat #UMP / Waterpark / Sekolah Sukan Mokhtar Dahari

Thursday, April 25, 2019

faizalyusup

faizalyusup


BELAJAR SAHAM DENGAN FAIZAL YUSUP JADUAL JUN-OGOS 2019

Posted: 24 Apr 2019 09:15 AM PDT

JADUAL TERKINI SEMINAR SAHAM FROM ZERO TO HERO

Seminar saham dengan pengisian yang paling lengkap dan menyeluruh di Malaysia! Tiada seminar saham lain yang selengkap seminar ini namun dengan yuran yang amat berpatutan.

Seminar yang diiktiraf oleh Bursa Malaysia i sebagai salah satu seminar Invest Syariah.

Disampaikan oleh Haji Faizal Yusup Top Performing Remisier Kenanga Investment Bank Berhad juga subject matter expert InvestSmart anjuran Suruhanjaya Sekuriti. SC dengan Zuhri Zain MSTA hos rancangan Nadi Ekuiti di Bernama TV.

2 hari seminar anda akan belajar semua sekali berkenaan pelaburan di Bursa Malaysia jadi tak perlu ke kelas dan seminar tambahan lagi.

Jangan risau anda berada di tempat yang betul!

Seminar FZTH seterusnya :

29 & 30 Jun -
*BANGI*
di Dewan Dato Mohd Fadzilah Kamsah (DIFKA)

13 & 14 Julai - 
*PULAU PINANG*
di HOTEL IXORA Bandar Perai Jaya
Pulau Pinang

3 & 4 Ogos :
*KUCHING*
di GRAND MARGHERITA HOTEL

Yuran masih RM1490 untuk seminar lengkap 2 hari.

Seminar From Zero to Hero ini adalah seminar 2 hari dengan pengisian saham yang lengkap yang mana anda boleh menjadi Investor yang berhemah dan Trader yang bijak bila pulang dari seminar tersebut.

Ia menggabungkan 3 segmen
⁃ Basic - Seminar Basic Super Investors
⁃ Intermediate - Woksyop Technical Analysis 
⁃ Advance - Personal Coaching

Ini bermakna sesi PC ada dalam FZTH. Jadi anda tak perlu hadiri PC lagi selepas itu.

######################

SEMINAR INI SESUAI UNTUK SIAPA?
⁃ Pelabur zero atau Newbie
⁃ Pelabur yang dah pergi kelas atau seminar lain tapi masih blur
⁃ Pelabur yang masih rugi walaupun sudah lama melabur di Bursa Malaysia
⁃ Sesipa sahaja yang inginkan pendapatan tambahan

Sila bawa lap top dan kalau boleh bawa broadband sekali kerana dikhuatiri wifi di lokasi perlahan. Lap top window based dan punya Software Internet Explorer disarankan. Lap top Apple selalunya tak sesuai.

Jumlah peserta terhad kepada maksima 50 orang sahaja setiap sesi

Anda juga akan mendapat ;
secara percuma 
⁃ Kit program
⁃ Khidmat nasihat FY seumur hidup
⁃ Group WhatsApp Ekslusif SuperTrader
⁃ Tip tip pelaburan saham
⁃ Pembukaan akaun CDS, Trading dan Online percuma. 
⁃ 3 Ebook percuma.
⁃ 3 kali jamuan makan.

Semua ini dengan harga promosi RM1490.00 sahaja. Kemungkinan besar ia akan dinaikkan tak lama lagi. Percayalah seminar FZTH dua hari ini sudah memadai untuk menjadikan anda hero dalam pasaran saham Bursa Malaysia.

######################

DAFTAR SEGERA SEBELUM IA PENUH!

Pendaftaran dibuka sekarang!
Cara mendaftar ;

Bayar yuran anda ke akaun Maybank
ADVANCE FORWARD TRAINING AND CONSULTANTS

*505103405396*

WhatsAppkan bukti pembayaran kepada Hajah Azila 0166641755 bagi menempah tempat duduk anda kerana tempat adalah terhad!

First come First Serve basis!

• Bawa ic dan penyata bank kalau berhasrat untuk buka akaun CDS bersama FY.
• Yuran CDS RM10.00 dikecualikan bagi semua peserta seminar.

Anda juga akan dapat menjadi ahli eksklusif Supertrader di WhatsApp dimana banyak tip saham yang terkini serta khidmat nasihat berterusan disampaikan.

#################

Apa lagi? Kosongkan jadual anda dan ajak keluarga, kawan-kawan, saudara mara semua datang!

WhatsApp 0166667430 kalau nak masuk group saham FY!

Perkhidmatan FY di Wasap! Kasi wasap jer!!!

http://personalcoachingsaham.wasap.my/
http://ebooksaham.wasap.my/
http://seminarsaham.wasap.my/
http://videosaham.wasap.my/

Pasti berbaloi!

Sensasi Selebriti

Oh! Media

Oh! Media


Adakah Terdapat Hadith Kelebihan Memotong Kuku Pada Hari Tertentu?

Posted: 23 Apr 2019 04:52 PM PDT


Soalan:
Adakah terdapat nas hadis sahih berkenaan memotong kuku pada hari tertentu dan kelebihan jika melakukannya pada hari tersebut?

Jawapan:
Kami mulakan dengan nas hadis yang menyebut bahawa perbuatan memotong kuku adalah salah satu daripada perkara fitrah yang dianjurkan oleh Islam. Rasulullah SAW bersabda:

خَمْسٌ مِنَ الْفِطْرَةِ: الْخِتَانُ، وَالاِسْتِحْدَادُ، وَنَتْفُ الإِبْطِ، وَتَقْلِيمُ الأَظْفَارِ، وَقَصُّ الشَّارِبِ
"Lima perkara daripada fitrah ialah berkhitan, mencukur bulu ari-ari, mencabut bulu ketiak, memotong kuku dan menggunting misai." [Riwayat al-Bukhari (5550) dan Muslim (257)]

Al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani menjelaskan bahawa bilangan (lima perkara) yang disebutkan itu tidak terbatas sebanyak itu sahaja, kerana datang dalam hadis lain bilangan yang lain. (Lihat Fath al-Bari, 10/337)

Menjawab persoalan di atas, secara khususnya, tidak ada nas hadith sahih yang khas menyebut berkenaan dengan memotong kuku pada hari tertentu dan kelebihan-kelebihannya yang khusus.

Adapun berkenaan hadith-hadith yang menetapkan hari-hari tertentu dan kelebihan-kelebihan yang diperolehi sekiranya memotong pada hari tersebut, ia sebenarnya adalah tidak sahih. Imam al-Sakhawi menjelaskan: "Tidak ada satu pun hadis yang sahih daripada Nabi SAW yang menerangkan tentang tatacara dan penetapan hari-hari tertentu untuk memotong kuku." (Lihat al-Maqasid al-Hasanah, hlm. 489)

Walaupun begitu, terdapat beberapa riwayat daripada para sahabat dan tabi'in yang menunjukkan mereka memiliki kebiasaan memotong kuku pada hari Jumaat. Antaranya:
  • Ibnu Umar Anhuma biasanya memotong kuku dan merapikan misai pada hari Jumaat. (Lihat al-Sunan Al-Kubra oleh al-Baihaqi, 3/244)
  • Daripada Ibrahim bahawa beliau menceritakan, "Orang ramai memotong kuku mereka pada hari Jumaat." (Lihat al-Musannaf oleh Ibn Abi Syaibah, 2/65)
  • Muhammad bin Ibrahim al-Taimi (salah seorang tabi'in) berkata, "Sesiapa yang memotong kukunya pada hari Jumaat dan memendekkan misainya maka dia telah menyempurnakan hari Jumaatnya." (Lihat al-Musannaf oleh Abd al-Razzaq, 3/197)
  • Berdasarkan riwayat-riwayat di atas, para ulama fiqh dari kalangan Syafi'iyyah dan Hanabilah, menyebut galakan dan anjuran memotong kuku pada setiap hari Jumaat. Imam Nawawi berkata: "Al-Syafi'e dan ashabnya dengan tegas (secara nas) menyebut anjuran memotong kuku pada hari Jumaat." (Lihat al-Majmu', 1/340)


Oleh itu, perbuatan memotong kuku sangat digalakkan untuk dilakukan pada hari Jumaat. Islam sangat menganjurkan penganutnya supaya merapikan diri antaranya dengan memotong kuku kerana agama Islam sentiasa mengutamakan kebersihan. Tambahan pula hari Jumaat merupakan hari bagi kaum Muslimin berkumpul di masjid untuk mendengar khutbah. Disebabkan itulah, sebahagian sahabat Nabi SAW dan sebahagian tabi'in memotong kuku mereka pada hari Jumaat. (Lihat Fath al-Bari oleh Ibn Rajab, 8/104)

Namun, sekiranya tidak sempat, seseorang boleh melakukannya pada bila-bila masa yang dirasakan sesuai. Akan tetapi, ia hendaklah tidak dibiarkan sehingga melebihi 40 hari. Hal ini berdasarkan hadis daripada Anas bin Malik R.A, kata beliau:

وُقِّتَ لَنَا رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَصَّ الشَّارِبِ ، وَتَقْلِيمَ الأَظْفَارِ ، وَحَلْقَ الْعَانَةِ ، وَنَتْفَ الْإِبْطِ ، لاَ يُتْرَكُ أَكْثَرَ مِنْ أَرْبَعِينَ يَوْمًا
"Rasulullah SAW memberikan batasan waktu kepada kami untuk memotong misai, memotong kuku, mencabut bulu ketiak, dan mencukur bulu kemaluan, agar tidak dibiarkan lebih dari empat puluh hari." [Riwayat Muslim (520), al-Tirmizi (2759) dan al-Nasa'ie (15)]

Imam al-Nawawi menyebut bahawa hadis ini memberi penjelasan berkenaan para sahabat tidak pernah melewatkan untuk melakukan perkara-perkara ini apabila sampai masanya, dan kalaupun melewatkannya, tidak pernah sampai melebihi 40 hari. Ia juga bukan dengan maksud Nabi memberi keizinan untuk melewatkan sehingga 40 hari secara mutlak. (Lihat al-Majmu', 1/287)

Semoga kita diberikan ilmu dan kefahaman yang tepat dalam melaksanakan setiap apa yang diperintahkan oleh-Nya. Amin.

+ Ustaz Dr. Zulkifli Mohamad Al Bakri | Mufti Wilayah Persekutuan
+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media

Rasuah Sudah Menjadi Budaya Rakyat Malaysia?

Posted: 23 Apr 2019 04:45 PM PDT


Soalan:
Mohon nasihat dan pandangan berkenaan rasuah yang saya lihat, pada hari ini semakin menjadi budaya dalam kalangan rakyat Malaysia sama ada secara sedar atau tidak sedar. Terima kasih.

Jawapan:

Memahami Makna Rasuah

Kami mulakan terlebih dahulu dengan menjelaskan makna rasuah. Perkataan rasuah berasal daripada bahasa Arab al-risywah (الرِّشْوَةُ). Al-Fayyumi berkata: "Al-Risywah (الرِّشْوَةُ) adalah sesuatu yang diberikan oleh seseorang kepada hakim atau orang lain, agar hakim itu memenangkannya, atau agar hakim itu memutuskan hukum sesuai dengan apa yang diinginkannya." (Lihat al-Misbah al-Munir fi Gharib al-Syarh al-Kabir, 3/411)

Ibn al-Athir pula menyebut: "Al-Risywah (الرِّشْوَةُ) adalah sesuatu yang menghubungkan kepada keperluan/hajat dengan cara pujukan." (Lihat al-Nihayah fi Gharib al-Hadith wa al-Athr, 2/226)

Dari segi istilah, al-Risywah merupakan sesuatu yang diberikan untuk membatalkan kebenaran atau untuk menegakkan kebatilan. (Lihat al-Mausu'ah al-Fiqhiyyah, 22/219)

Dr Yusuf al-Qaradhawi menyebut: "Termasuk memakan harta orang lain dengan cara yang batil ialah menerima rasuah. Iaitu wang yang diberikan kepada penguasa atau pegawai, supaya penguasa atau pegawai tersebut menjatuhkan hukuman yang menguntungkannya, atau hukum yang merugikan lawannya menurut kemahuannya, atau supaya didahulukan urusannya atau ditunda kerana ada suatu kepentingan dan sebagainya." (Lihat al-Halal wa al-Haram fi al-Islam, hlm. 627)

Istilah rasuah telah digunapakai dalam bahasa Melayu yang bermaksud pemberian untuk menumbuk rusuk iaitu menyogok, menyuap. (Lihat Kamus Dewan Edisi Keempat)

Syed Hussein Alattas dalam buku Rasuah, Sifat Sebab dan Fungsi, menyatakan rasuah merupakan penyalahgunaan kepercayaan untuk kepentingan peribadi.

Manakala menurut Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), rasuah ialah penerimaan atau pemberian suapan sebagai upah atau dorongan untuk seseorang individu kerana melakukan atau tidak melakukan sesuatu perbuatan yang berkaitan dengan tugas rasmi. Suapan terdiri daripada wang, hadiah, bonus, undi, perkhidmatan, jawatan upah, diskaun.[1]

Menurut undang -undang Malaysia yang terkandung dalam Seksyen 3(a), (b) dan 4(a)(b), Akta Pencegahan Rasuah 1961 (Pindaan 1971) mentafsirkan rasuah sebagai: "Menerima atau memberi apa-apa suapan sebagai dorongan, upah atau galakkan kepada seseorang untuk melakukan sesuatu perbuatan atau untuk tidak melakukan sesuatu perbuatan yang ada hubungan dengan prinsipalnya." Manakala suapan pula, menurut Seksyen 2, Akta Pencegahan Rasuah 1997 ialah: "Wang, derma, pinjaman, hadiah, cagaran beharga, harta atau kepentingan mengenai harta, iaitu apa-apa jenis harta sama ada alih atau tidak alih atau apa-apa manfaat seumpamanya."

Dalil Pengharaman Rasuah

Pengharaman rasuah adalah jelas sama ada di dalam al-Quran dan al-Sunnah. Larangan rasuah dalam al-Quran diambil daripada celaan Allah SWT terhadap kaum Yahudi yang biasa mengambil rasuah. Allah SWT berfirman:

سَمَّاعُونَ لِلْكَذِبِ أَكَّالُونَ لِلسُّحْتِ
"Mereka sangat suka mendengar berita-berita dusta, sangat suka memakan segala yang haram (rasuah dan sebagainya)." [Surah al-Maidah (42)]

Imam al-Baghawi menjelaskan ayat ini dengan mengatakan: "(Ayat) ini turun berkenaan para hakim Yahudi, Ka'ab al-Asyraf dan yang sepertinya. Mereka menerima rasuah dan memutuskan hukum untuk memenangkan orang yang merasuah mereka." (Lihat Ma'alim al-Tanzil, 3/58)




Begitu juga dengan firman Allah SWT:

وَلَا تَأْكُلُوا أَمْوَالَكُم بَيْنَكُم بِالْبَاطِلِ وَتُدْلُوا بِهَا إِلَى الْحُكَّامِ لِتَأْكُلُوا فَرِيقًا مِّنْ أَمْوَالِ النَّاسِ بِالْإِثْمِ وَأَنتُمْ تَعْلَمُونَ
"Dan janganlah kamu makan (atau mengambil) harta (orang-orang lain) di antara kamu dengan jalan yang salah, dan jangan pula kamu menghulurkan harta kamu (memberi rasuah) kepada hakim-hakim kerana hendak memakan (atau mengambil) sebahagian dari harta manusia dengan (berbuat) dosa, padahal kamu mengetahui (salahnya)." (Surah al-Baqarah: 188)

Al-Sobuni berkata: "Janganlah sebahagian kamu memakan sebahagian harta yang lain dengan cara yang tidak dihalalkan oleh Allah seperti kamu memberi rasuah kepada hakim-hakim." (Lihat Sofwah al-Tafasir, 1/112)

Manakala dalam sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Abdullah bin 'Amr R.Anhuma, Rasulullah SAW bersabda:

لَعْنَةُ اللَّهِ عَلَى الرَّاشِي وَالْمُرْتَشِي
"Laknat Allah kepada pemberi rasuah dan penerima rasuah." [Riwayat Ahmad (6984) dan Ibnu Majah (2313)]

Dalam hadis lain yang turut diriwayatkan daripada Abdullah bin 'Amr R.Anhuma, beliau berkata:

لَعَنَ رَسُولُ اللَّهِ -صلى الله عليه وسلم- الرَّاشِىَ وَالْمُرْتَشِىَ
"Rasulullah SAW melaknat pemberi rasuah dan penerima rasuah." [Riwayat Ahmad (6532, 6778, 6830), Abu Daud (3582) dan al-Tirmidzi (1337)]

Menjawab soalan di atas, suka untuk kami memetik kenyataan Dato' Sri Haji Zakaria Bin Haji Jaffar, Presiden Yayasan Anti Rasuah Malaysia (YARM) antara lain menyebut: "Rasuah telah menjadi sebahagian dari kehidupan masyarakat sama ada kita sedar atau tidak. Kehadirannya dikaburi kerana pemberi dan penerima saling setuju dan menyetujui serta berkompromi akan perbuatan mungkar ini. Bahaya rasuah teramat dahsyat." (Lihat buku beliau bertajuk Man Ana Perjuangan Menentang Rasuah, hlm. 42)

Amalan rasuah akan menatijahkan kesan dan kesudahan yang sangat buruk. Kami nukilkan di sini daripada buku Rasuah: Punca, Kesan dan Penyelesaiannya, menyebut antara kesannya ialah:

  • Menghancurkan keadilan dalam sesebuah negara.
  • Melahirkan masyarakat yang tiada kemahiran.
  • Muncul masyarakat yang pentingkan diri sendiri.
  • Menatijahkan hasil kerja yang buruk.
  • Kos pengurusan akan meningkat.
  • Pengurusan pentadbiran menjadi lambat dan kucar-kacir.
  • Muncul orang jahat yang bertambah jahat.
  • Menyebabkan pembahagian kekayaan yang tidak seimbang.

Akhir kalam, marilah sama-sama kita bertekad untuk menghindarkan dari sebarang bentuk rasuah tetapi sebaliknya membina jati diri dengan integriti dan keamanahan yang unggul. Semoga negara kita bebas dari sebarang bentuk rasuah. Amin.

[1] Lihat portal rasmi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di pautan berikut: http://www.sprm.gov.my/index.php/pendidikan/kenali-rasuah . Diakses pada 24 April 2019.

+ Ustaz Dr. Zulkifli Mohamad Al Bakri | Mufti Wilayah Persekutuan
+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media

Khidir: Seorang Nabi Atau Wali Allah

Posted: 23 Apr 2019 04:34 PM PDT


Soalan:
Adakah Khidir seorang Nabi atau wali Allah? Mohon penjelasan.

Jawapan:
Khidir merupakan seorang lelaki soleh yang hidup di zaman Nabi Musa AS. Kisah Khidir telah diceritakan di dalam al-Quran sepertimana yang dirakamkan dalam surah al-Kahfi, daripada ayat ke-60 sehingga ayat ke-82.

Khidir adalah nama yang diberikan kepadanya disebabkan peristiwa ajaib yang telah berlaku dengan izin Allah ke atasnya sebagaimana sabda Nabi SAW:

إِنَّمَا سُمِّيَ الخَضِرَ أَنَّهُ جَلَسَ عَلَى فَرْوَةٍ بَيْضَاءَ، فَإِذَا هِيَ تَهْتَزُّ مِنْ خَلْفِهِ خَضْرَاءَ
"Sesungguhnya dinamakan Khidir kerana dia telah duduk di atas tanah putih (tanah yang kering tanpa tumbuhan), lalu bergoncang di belakangnya dan menjadi berwarna hijau (subur dengan tumbuhan)." [Riwayat al-Bukhari (3402)]

Persoalan yang sering berlegar dalam masyarakat kita mengenai lelaki yang bernama Khidir adalah mengenai statusnya, sama ada Khidir merupakan seorang Nabi ataupun wali Allah. Kami akan menjawab persoalan ini berdasarkan pandangan para ulama'.

Kebanyakan ulama' berpendapat bahawa Khidir adalah salah seorang Nabi daripada Nabi-nabi Allah. Pendapat ini dipegang oleh al-Hafiz ibn Hajar al-'Asqalani, Imam ibn Hajar al-Haitami, Imam ibn Hazm al-Andalusi, Imam Syihabuddin ar-Ramli, Imam asy-Syatibi, Imam al-Qurtubi, Imam ibn 'Atiyyah al-Andalusi, Sheikh Muhammad al-Amin al-Syanqiti, Sheikh Abdul Razzaq al-'Afifi Rahimahumullah, Sheikh Yusof al-Qaradhawi Hafizahullah dan ulama'-ulama' selain daripada mereka.
[Rujuk Fath al-Bari Syarh Sahih al-Bukhari (1/221), Fatawa al-Hadithiyyah (hlm.93), al-Muhalla bi al-Athar (1/71), Fatawa ar-Ramli (4/222), al-Muwafaqat (2/507), Adwa' al-Bayan fi Idhoh al-Qur'an bi al-Qur'an (3/322-323), al-Jami' li Ahkam al-Qur'an (11/16), al-Muharrar al-Wajiz fi Tafsir al-Kitab al-'Aziz (3/537), Fatawa al-Mu'asirah (1/161-163)]

Ini adalah pendapat yang kuat berdasarkan dalil-dalil berikut:

1. Firman Allah SWT:

فَوَجَدَا عَبْدًا مِنْ عِبَادِنَا آتَيْنَاهُ رَحْمَةً مِنْ عِنْدِنَا وَعَلَّمْنَاهُ مِنْ لَدُنَّا عِلْمًا
"Lalu mereka (Nabi Musa AS dan pembantunya) mendapati seorang hamba (Khidir) dari hamba-hamba Kami yang telah kami kurniakan kepadanya rahmat dari Kami, dan Kami telah mengajarnya sejenis ilmu dari sisi Kami." [Surah al-Kahfi: 65]

Telah berkata Sheikh Muhammad al-Amin al-Syanqiti Rahimahullah: "Ulama berbeza pandangan adakah Khidir seorang Nabi, atau wali, atau Malaikat, tetapi dapat difahami daripada ayat-ayat tersebut bahawa rahmat yang dimaksudkan adalah rahmat kenabian dan ilmu ladunni adalah wahyu yang diberikan kepada Khidir."
[Rujuk Adwa' al-Bayan fi Idhoh al-Qur'an bi al-Qur'an (3/323)]

Telah berkata Imam al-Qurtubi Rahimahullah ketika menafsirkan ayat di atas: "Khidir adalah Nabi di sisi majoriti ulama'. Dikatakan (pendapat kedua) bahawa dia adalah lelaki soleh, bukannya seorang Nabi. Ayat al-Quran menunjukkan bahawa Khidir adalah seorang Nabi kerana perbuatan-perbuatannya tidak boleh dilakukan melainkan dengan panduan wahyu.

Seorang manusia juga tidak menuntut ilmu atau mengikuti seseorang itu kecuali kepada mereka yang lebih tinggi kedudukannya (dari sudut ilmu), dan tidak harus bagi seorang yang bukan berstatus Nabi untuk memiliki kedudukan yang lebih tinggi daripada Nabi. Dikatakan (pendapat ketiga) Khidir adalah seorang Malaikat yang diperintahkan oleh Allah untuk Nabi Musa AS mengambil daripadanya ilmu batin. Pendapat yang sahih adalah pendapat yang pertama. Wallahu'alam."
[Rujuk al-Jami' li Ahkam al-Qur'an (11/16)]




2. Firman Allah SWT:

وَمَا فَعَلْتُهُ عَنْ أَمْرِي ذَلِكَ
"Dan (ingatlah) aku tidak melakukannya menurut akal fikiranku sendiri." [Surah al-Kahfi: 82]

Ayat ini menunjukkan bahawa Khidir tidak melakukan semua perkara seperti yang dirakamkan dalam surah al-Kahfi mengikut kehendaknya sendiri, tetapi bertindak mengikut wahyu yang diterimanya daripada Allah SWT. Imam al-Qurtubi Rahimahullah telah berkata: "Ayat ini menunjukkan sesungguhnya Khidir adalah seorang Nabi."
[Rujuk al-Jami' li Ahkam al-Qur'an (11/39)]

Telah berkata Imam ibn 'Atiyyah al-Andalusi Rahimahullah: "Kata-kata Khidir (وَما فَعَلْتُهُ عَنْ أَمْرِي) menunjukkan bahawa Khidir adalah seorang Nabi."
[Rujuk al-Muharrar al-Wajiz fi Tafsir al-Kitab al-'Aziz (3/537)]

Pendapat Lain

Pendapat-pendapat lain pula mengatakan bahawa Khidir adalah seorang wali Allah atau lelaki soleh. Ada juga pendapat yang mengatakan Khidir adalah seorang Malaikat yang diutuskan oleh Allah kepada Nabi Musa AS.
[Rujuk Tafsir al-Qur'an al-'Azim (5/187), al-Jami' li Ahkam al-Qur'an (11/16), an-Nukat wa al-'Uyun (3/325)]

Telah berkata Sheikh Abdur Rahman bin Nasir as-Sa'adi Rahimahullah: "Sesungguhnya hamba Allah yang ditemui oleh Nabi Musa AS bukanlah seorang Nabi, tetapi dia adalah seorang lelaki soleh kerana dia telah disifatkan sebagai seorang hamba Allah yang dikurniakan dengan rahmat serta ilmu, dan tidak disebut bahawa dia dikurniakan risalah kenabian. Jika dia adalah seorang Nabi, nescaya perkara tersebut akan disebut sepertimana halnya ke atas Nabi-nabi lain."
[Rujuk Taisir al-Karim ar-Rahman fi Tafsir Kalam al-Manan (hlm.482)]

Imam al-Mawardi Rahimahullah telah berkata: "Pendapat kedua: Sesungguhnya Khidir bukanlah seorang Nabi. Dia adalah seorang lelaki soleh yang telah dikurniakan oleh Allah SWT ilmu batin yang mana tidak dikurniakan kepada orang lain. Ini kerana seorang Nabi sifatnya menyampaikan dan pergi kepada mad'u (orang yang hendak disampaikan), tetapi berbeza keadaannya dengan Khidir yang mana Nabi Musa AS telah pergi kepadanya untuk menuntut ilmu darinya."
[Rujuk an-Nukat wa al-'Uyun (3/325)]

Kesimpulan

Kami berpandangan bahawa pendapat yang kuat dalam perkara ini adalah Khidir merupakan salah seorang Nabi daripada Nabi-nabi Allah berdasarkan dalil daripada ayat-ayat al-Quran dan tafsiran kebanyakan ahli tafsir mengenai ayat-ayat tersebut. Imam ibn Kathir dan Imam al-Mawardi Rahimahumullah pula telah menukilkan pendapat-pendapat lain mengenai status Nabi Khidir AS, tetapi mereka hanya sekadar menyebutnya tanpa memberikan apa-apa tarjih ke atas mana-mana pandangan.

Kami juga ingin menukilkan apa yang ditulis oleh Syeikh Syu'aib al-Arna'outh Rahimahullah dalam tahfiq beliau ke atas kitab Sahih ibn Hibban berdasarkan apa yang dinukilkannya daripada al-Hafiz ibn Hajar al-'Asqalani Rahimahullah:

وَكَانَ بَعْضُ أَكَابِر العُلَماءِ يَقُولُ: أَوَّل عَقْدٍ يُحِلُّ مِنْ الزَّنْدَقَةِ اِعْتِقَاد كُونِ الخضر نَبِيًّا لِأَنَّ الزَّنَادِقَةَ يَتَزَرَعُونَ بِكَوْنِهِ غَيْرَ نَبِيٍّ إِلَى أَنَّ الوَلِيَّ أَفْضَلُ مِنْ النَّبِيِّ
"Sebahagian ulama'-ulama' besar mengatakan: Ikatan pertama yang dirosakkan oleh orang-orang zindik (orang yang sesat) adalah mengenai status Khidir sebagai seorang Nabi. Ini kerana orang-orang zindik memanfaatkan status Khidir sebagai seorang yang bukan Nabi untuk beralasan bahawa wali lebih baik daripada Nabi."
[Rujuk al-Isobah fi Tamyiz as-Sohabah (2/248), Tahqiq Sahih Ibnu Hibban (14/110)]

Semoga Allah SWT memberikan kita kebaikan dan kefahaman yang sahih dalam memahami syariat-Nya seterusnya memberikan kekuatan kepada kita untuk mengamalkannya. Amiin.

+ Ustaz Dr. Zulkifli Mohamad Al Bakri | Mufti Wilayah Persekutuan
+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media

Wednesday, April 24, 2019

Sensasi Selebriti

Oh! Media

Oh! Media


Avengers Berjaya Kutip RM10 Juta Bagi Jualan Tiket Awal di Malaysia

Posted: 23 Apr 2019 07:56 AM PDT


Esok merupakan hari yang dinanti-nantikan oleh kami dan semua peminat filem Marvels' Studio di mana filem Avengers: Endgame akan mula ditayangkan di seluruh pawagam.

Endgame merupakan filem keempat Avengers, di mana ia adalah kesinambungan kepada Avengers: Infinity War dan mengumpulkan kesemua watak superhero MCU dalam satu filem.

Untuk pengetahuan korang, penjualan tiket Marvels' Studio Avengers: Endgame di Malaysia telah berjaya mengumpul sebanyak RM10 juta sejak ia mula dijual kepada umum pada 2 April lalu.

Bersempena menyambut kejayaan ini juga, pihak Disney telah melakukan pertunjukan khas buat peminat Malaysia apabila mereka menerbangkan 300 unit Intel Shooting Star Drone dan membentuk logo-logo ikonik Avengers termasuk Iron Man, Captain Amerika, Thor dan Hulk.

Petunjukan yang diadakan di Menara Kuala Lumpur itu disaksikan orang ramai dan bagi mereka yang tidak berkesempatan, jangan risau kerana pertunjukan yang sama akan dilakukan sekali lagi pada 26 April di lokasi yang sama.

Polis Sahkan Serpihan Tulang Yang Ditemui Milik Manusia

Posted: 23 Apr 2019 02:58 AM PDT


Berikutan dengan penemuan serpihan tulang seperti tulang paha oleh orang awam Sabtu lepas, pihak polis mengesahkan bahawa ianya sah milik tulang manusia.

Tulang yang dijumpai di Gua Kandu, Gopeng itu disahkan setelah bedah siasat dilakukan oleh Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh.

Namun, pihak forensik tidak menafikan bahawa keadaan serpihan tulang itu adalah tulang lama. Buat masa sekarang, kita perlu menunggu untuk tempoh dua bulan atau lebih bagi melalu proses asid deoksiribonukleik (DNA).

Dalam pada itu, Hasron Nazri berkata spesimen darah seorang daripada abang Mohammad Ashraf atau dikenali sebagai Acap dilakukan semalam di Hospital Kampar dan telah dihantar ke Jabatan Kimia Petaling Jaya bagi tujuan perbandingan DNA dengan serpihan tulang tersebut.

Mohammad Ashraf, 29, hilang semasa menyertai larian GUT 2019 kategori 25km pada 23 Mac lepas.

Sri Lanka 'Bermandi Darah' - Kematian Meningkat Kepada 290 Orang

Posted: 23 Apr 2019 02:39 AM PDT


Jumlah korban serangan bom di beberapa kawasan Sri Lanka semalam meningkat kepada 290 orang manakala 500 yang lain cedera. Pihak berkuasa turut menemui 87 bahan peledek lain di sebuah stesen bas di Bastian Mawatha.

Terdahulu, pasukan keselamatan turut menemukan bahan letupan yang diubah suai (IED) di jalan raya menuju ke terminal utama lapangan terbang dekat sini lewat malam semalam.

Namun, hal ini menjadi tanda tanya kerana ada dokumen menunjukkan Ketua Polis Sri Landa, Pujuth Jayasundara telahpun mengeluarkan amaran risikan kepada pegawai sejak 10 hari yang lalu, tetapi dilihat gagal mengesan dan menghalang daripada berlaku.

Dokumen itu menyebut mengenai rancangan serangan pengebom bunuh diri di gereja-gereja utama di negara ini.

Perdana Menteri, Ranil Wickremesinghe mengakui 'adanya maklumat' mengenai kemungkinan serangan dan siasatan lanjut akan meneliti 'mengapa tindakan pencegahan yang mencukupi tidak diambil'.

Ekoran itu, kerajaan meng­arahkan perintah berkurung baharu dikuatkuasakan pada pukul 8 malam ini sehingga 4 pagi esok.

+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media.



Tersebar Ura-Ura Huawei P30 Pro Mengambil Data Pengguna Secara Senyap Untuk Kerajaan China

Posted: 22 Apr 2019 11:24 PM PDT


Huawei P30 Pro merupakan smartphones flagship terbaru dari Huawei yang baru sahaja memasuki pasaran Malaysia dan juga dunia.

Hari ini, tersebarnya ura-ura yang Huawei turut turut meletakkan sesuatu 'script' pada smartphones P30 Pro mereka yang menghubungkan smartphones tersebut terus kepada kerajaan China. Ini sebenarnya bukanlah suatu perkara yang baru kerana pada smartphones mereka yang lain juga pernah dikaitkan dengan hal seperti ini dan tiada jawapan yang kukuh dari pihak mereka kepada pengguna.


Jelas pada gambar di atas, ianya menghubungkan smartphones dengan beberapa domain kerajaan China. Hal seperti ini antara sebab yang telah menyebabkan semua produk Huawei disekat dari memasuki pasaran US. Adakah anda pengguna Huawei? Adakah perkara berkaitan privacy seperti ini merisaukan kalian?

Sumber: https://github.com/pe3zx/huawei-block-list & AndroidMalaya

Potongan Cukai Jalan Sehingga 50% Bagi Kenderaan Hibrid dan Elektrik

Posted: 22 Apr 2019 11:17 PM PDT


Datuk Kaaruddin Jaffa, Timbalan Menteri Pengangkutan hari ini mengumumkan pengurangan cukai 50 peratus bagi kenderaan jenis elektrik dan 'hybrid plug in charging' dan usaha ini bagi menggalakkan penggunaan kenderaan teknologi hijau ini.

Untuk pengetahuan korang, setakat ini sebanyak 5,403 kereta elektrik dan 46,981 kereta jenis hibrid telah berdaftar dan ini dilihat bakal menerima lebih banyak lagi pendaftaran untuk masa depan.

Selangor mendapat jumlah penggunaan tertinggi dengan 2,791 buah bagi kenderaan elektrik dan 25,360 bagi kenderaan jenis hibrid.

+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media.

Tenaga Pengajar Kelas Memandu Didapati Tidur dan Merokok

Posted: 22 Apr 2019 08:54 PM PDT


Pihak JPJ hari ini telah menjalan pemeriksaan ke atas tenaga pengajar dan didapati ada diantara mereka yang tidur, tidak memakai tali pinggang, merokok ketika mengajar dan membiarkan pelatih memandu tanpa pengawasan.

Itu antara kesalahan yang dikesan dalam Ops Khas Institut Memandu (OKIM) yang dijalankan di sebuah institut memandu di Kapar tempoh hari.




Timbalan Ketua Pengarah (Operasi), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Zamakshari Hanipah, berkata kesalahan itu dikesan hasil risikan serta penyamaran beberapa anggota JPJ sebagai pemandu pelatih.

Terdapat juga kesalahan lain dimana lesen memandu tenaga pengajar tamat tempoh dan insuran kenderaan juga didapati telah tamat.

Dalam pada itu, beliau berkata, sebanyak 38 institut memandu di seluruh negara di periksa antara 2016 sehingga 2018, dengan 721 notis saman dikeluarkan.

+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media.

Memakai Kasut Ketika Solat

Posted: 22 Apr 2019 04:58 PM PDT


Soalan:
Bolehkah memakai kasut ketika solat?

Jawapan:
Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, kasut ditakrifkan sebagai alas kaki seperti sepatu, selipar, dan lain-lain.

Di dalam sebuah hadis daripada Syaddad bin Aus R.A, Nabi SAW bersabda:

خَالِفُوا الْيَهُودَ فَإِنَّهُمْ لاَ يُصَلُّونَ فِي نِعَالِهِمْ ، وَلاَ خِفَافِهِمْ
"Berbezalah dengan orang Yahudi. Sesungguhnya mereka tidak bersolat sambil memakai kasut atau khuf." [Riwayat Abu Daud (652)]

Imam al-Munawi dalam Faidh al-Qadir berkata: "Sesungguhnya mereka tidak solat dalam keadaan memakai selipar, maka solatlah kamu jika sekiranya bersih tanpa najis. Diambil dengan zahirnya bahawa sebahagian ulama salaf berkata, sesiapa yang terkena najis pada seliparnya dan apabila bertempuh dengan tanah atau bumi, maka jadilah ia suci dan harus solat padanya. Inilah qaul qadim bagi Imam Syafie manakala qaul jadid menyalahinya." (Lihat Faidh al-Qadir, 3/431)

Imam Badruddin al-`Aini dalam 'Umdah al-Qari menyebut: "Maka jadilah ia sunat dari segi qasad untuk mukhalafah (menyelisihi) perbuatan orang Yahudi dan bukanlah sunnah. Ini kerana, solat dengan bersepatu atau memakai selipar bukanlah mempunyai maksud itu sahaja." (Lihat 'Umdah al-Qari, 4/119)

Syeikh Syams al-Haq al-'Azim Abadi dalam 'Aun al-Ma'bud menyebut: Hadis ini sekurang-kurangnya menunjukkan hukumnya sunat. Begitu juga hadis Abi Said al-Khudri dan beberapa hadis yang lain yang menunjukkan sunat solat dengan bersepatu. Istidlal dengan tidak harus pula adalah berdasarkan hadis Amru bin Syu'aib daripada bapanya, daripada datuknya dan hadis daripada Abi Hurairah. Justeru, Abd al-Rahman bin Abi Laila pernah berkata: "Rasulullah SAW telah solat dengan dua sepatunya. Maka orang ramai pun bersolat dengan sepatu masing-masing. Kemudian Baginda menanggalkannya, dan orang ramai pun menanggalkannya. Maka sesiapa yang mahu untuk solat dengan dua sepatunya, maka solatlah dan siapa yang mahu menanggalkannya, maka tanggalkanlah." (Lihat 'Aun al-Ma'bud, 2/354)

Walaubagaimanapun, kasut yang dipakai tersebut hendaklah bersih dan suci daripada najis. Nabi SAW bersabda:

إِذَا جَاءَ أَحَدُكُمْ إِلَى الْمَسْجِدِ فَلْيَنْظُرْ : فَإِنْ رَأَى فِي نَعْلَيْهِ قَذَرًا أَوْ أَذًى فَلْيَمْسَحْهُ وَلْيُصَلِّ فِيهِمَا
"Apabila seseorang daripada kamu datang ke masjid, maka lihatlah jika ada kotoran atau najis pada kasutnya. Jika ada, maka hendaklah disapunya (dibersihkannya) dan dibolehkan bersolat dengan memakai kasut itu." [Riwayat Abu Daud (650) dan al-Baihaqi dalam al-Sunan al-Kubra (3889)]




Ibn Ruslan berkata: "Perkataan 'الْأَذَى' pada bahasa iaitu yang keji dan kotor sama ada ia bersih atau najis." (Lihat Syarh Sunan Abi Daud, 3/72)

Disebut dalam kitab Subul al-Salam: "Hadis tersebut menunjukkan pensyariatan solat dengan memakai selipar atau sepatu. Begitu juga sapuan selipar atau sepatu pada tanah boleh menyucikannya daripada kotoran. Dan yang zahir pada kedua-duanya adalah dengan maksud najis, sama ada najis bersifat basah atau kering." (Lihat Subul al-Salam, 1/137)

Kesimpulan

Kami berpandangan dengan melihat kepada suasana dan uruf di Malaysia, keadaannya adalah berbeza. Justeru, tidak memakai kasut semasa berada di dalam masjid dan untuk solat adalah perkara yang biasa bahkan di rumah sendiri pun ditanggalkan kasut ketika mahu memasukinya. Inilah yang lebih aula dan utama daripada memakai kasut yang dibawa masuk ke dalam masjid untuk solat dengannya.

Perkara seperti ini sudah makruf hatta di Masjidil Haram dan Masjid al-Nabawi kecuali bagi mereka yang memakai khuf. Adapun khuf, maka tiada khilaf berkenaan kebolehannya dan telah diterima pakai berdasarkan nas yang sahih serta amalan salafussoleh sehingga ke zaman kini.

Semoga pencerahan ini memberi manfaat kepada kita semua dalam berinteraksi dengan nas dan hadis Nabi SAW. Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ أَرِنَا الْحَقَّ حَقًّا، وَارْزُقْنَا اتِّبَاعَهُ، وَأَرِنَا الْبَاطِلَ بَاطِلًا، وَارْزُقْنَا اجْتنِاَبَهُ، وَلَا تَجْعَلْهُ مُلْتَبِسًا عَلَيْنَا فَنَضِلَّ، وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا
"Ya Allah, tunjukkanlah kepada kami kebenaran itu sebagai kebenaran, dan rezekikanlah kepada kami untuk mengikutinya. Dan tunjukkanlah kepada kami kebatilan itu sebagai kebatilan dan rezekikanlah kepada kami untuk menjauhinya, dan jangan jadikannya terkeliru atas kami sehingga kami sesat. Dan jadikanlah kami bagi orang yang bertaqwa sebagai pemimpin."

+ Ustaz Dr. Zulkifli Mohamad Al Bakri | Mufti Wilayah Persekutuan
+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media

Adakah Doa Perempuan Hamil Itu Mustajab?

Posted: 22 Apr 2019 04:43 PM PDT


Soalan:
Adakah doa seorang ibu yang sedang mengandung itu mustajab?

Jawapan:
Secara asasnya, sesiapa sahaja yang berdoa telah diberikan jaminan oleh Allah S.W.T akan kemustajaban doa tersebut. Ini seperti yang dinyatakan oleh Allah S.W.T melalui firman-Nya yang berikut:

وَقَالَ رَبُّكُمُ ادْعُونِي أَسْتَجِبْ لَكُمْ
"Berdoalah kamu semua kepada-Ku nescaya Aku akan mustajab kan doa kamu semua." [Surah Ghafir (60)]

Berdasarkan ayat di atas kita dapat menyimpulkan bahawa berdoa itu merupakan suatu ibadah kepada Allah. Ini kerana, setiap suruhan daripada Allah S.W.T kepada para hamba-Nya untuk melakukan sesuatu perkara itu menunjukkan bahawa ia merupakan perbuatan ibadah.

Demikian juga ayat di atas menunjukkan bahawa Allah S.W.T bukan sahaja memerintahkan kepada para hamba-Nya untuk beribadah bahkan Dia juga memberikan jaminan bahawa doa tersebut akan dimustajabkan. Kata Khalid Al-Rib'ie: "Sangat ajaib buat umat ini, dikatakan kepada mereka: Berdoalah kepada-Ku nescaya Aku akan mustajabkan. Allah memerintahkan kepada mereka untuk berdoa, serta menjanjikan kepada mereka kemustajaban tanpa ada sebarang syarat antara keduanya." [Rujuk Al-Jami' li Ahkam al-Quran, Al-Qurthubi (15/292)]

Meskipun begitu, seseorang yang berdoa itu hendaklah sentiasa optimis dan yakin dalam berdoa. Dari sudut dia berdoa dalam jiwa yang penuh hadir, khusyuk, serta tunduk kepada Allah S.W.T. Ini berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.A bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:

ادْعُوا اللَّهَ وَأَنْتُمْ مُوقِنُونَ بِالإِجَابَةِ وَاعْلَمُوا أَنَّ اللَّهَ لاَ يَسْتَجِيبُ دُعَاءً مِنْ قَلْبٍ غَافِلٍ لاَهٍ
"Berdoalah kamu semua kepada Allah dalam keadaan kamu yakin ia akan dimustajabkan. Dan ketahuilah bahawa sesungguhnya Allah tidak akan memustajabkan doa dari jiwa yang lalai lagi alpa." [Riwayat al-Tirmizi (3479)]

Manakala berbalik kepada persoalan yang dikemukakan, kami menyatakan bahawa setelah kami mengadakan pencarian terhadap riwayat-riwayat yang menceritakan tentang sebab-sebab kemustajaban doa, kami tidak menjumpai riwayat yang menyebutkan tentang kemustajaban doa wanita yang hamil secara khusus.

Meskipun begitu, secara umumnya Allah S.W.T menyatakan bahawa antara sebab kemustajaban doa seseorang itu adalah apabila dia berada dalam keadaan yang penuh kesukaran dan kesulitan. Ini berdasarkan firman Allah S.W.T:

أَمَّنْ يُجِيبُ الْمُضْطَرَّ إِذَا دَعَاهُ
"Atau siapakah yang memperkenankan (doa) orang yang dalam kesulitan apabila dia berdoa kepada-Nya (melainkan Allah)." [Surah Al-Naml (62)]




Imam al-Hafiz Ibn Katsir dalam tafsiran beliau ke atas ayat ini berkata: "Siapakah lagi yang menjadi fokus dan tumpuan bagi mereka yang berada dalam kesulitan melainkan kepada-Nya (Allah). Serta siapakah lagi yang menghilangkan kemudaratan dari mereka yang tertimpa mudarat selain Allah?" [Rujuk Tafsir al-Quran Al-'Azhim, Ibn Katsir (6/206)]

Beliau juga menukilkan sebuah kisah yang berlaku kepada para salafussoleh terdahulu seperti yang disebutkan oleh 'Ubaidullah bin Abi Soleh beliau berkata: Suatu hari Thawus (Ibn Kaisan) datang menziarahi aku yang sedang sakit di rumahku. Lalu aku berkata kepadanya: "Berdoalah kepada Allah untuk aku wahai Abu Abd al-Rahman." Maka beliau membalas: "Berdoalah kamu sendiri untuk diri kamu, kerana Allah menjawab mereka yang dalam kesulitan apabila dia berdoa kepada-Nya." [Rujuk Tafsir al-Quran Al-'Azhim, Ibn Katsir (6/206)]

Kesimpulan

Sebagai penutup, kami menyatakan bahawa menjadi lumrah wanita yang sedang hamil itu untuk berhadapan dengan kesukaran dan kesulitan, dari sudut kesakitan mengandungkan bayi selama beberapa bulan dan juga kesakitan dalam proses melahirkan bayi. Maka doa wanita hamil yang sedang berada dalam kesukaran ini adalah mustajab kerana termasuk dalam kategori الْمُضْطَرَّ iaitu mereka yang berada dalam kesulitan.

Akhir kalam, kami berdoa kepada Allah S.W.T agar pencerahan ini dapat memberikan kefahaman yang baik kepada kita semua dalam beragama. Ameen.

+ Ustaz Dr. Zulkifli Mohamad Al Bakri | Mufti Wilayah Persekutuan
+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media

Hukum Solat Tanpa Menutup Kepala Bagi Lelaki

Posted: 22 Apr 2019 04:31 PM PDT


Soalan:
Benarkah solat tanpa memakai kopiah, songkok atau serban itu makruh bagi orang lelaki? Mohon penjelasan.

Jawapan:
Menurut hukum asal, sah solat seorang lelaki yang tidak menutup kepalanya sebagaimana yang disebut oleh para ulama seperti Imam al-Nawawi. (Rujuk Al-Majmu' Syarh al-Muhazzab 2/51)

Namun tidak dinafikan, memang terdapat ulama yang memakruhkan solat orang lelaki tanpa menutup kepala. Menurut Syeikh Abu Bakar al-Dimyathi -salah seorang ulama mazhab Syafi'e-, mendedahkan kepala dan bahu ketika solat bagi lelaki adalah makruh, kerana ia bertentangan dengan anjuran sunnah agar memperelokkan pakaian sewaktu dalam solat dengan menutup kepala dan bahu. (Rujuk I'anatu al-Tolibin 1/194).

Begitu juga dengan al-Imam Ibn Nujaim al-Hanafi dan al-Imam Burhanuddin ibn Mazzah yang menghukumkan makruh solat tanpa menutup kepala kerana malas, sedangkan ada padanya penutup kepala. (Rujuk Al-Bahr al-Ra'iq 2/27, Al-Muhith al-Burhani 5/137)

Namun demikian, pandangan beliau ini perlu juga dilihat dan diperhalusi menurut konteks zaman dan juga konteks setempat.

Menurut majlis fatwa negara Jordan, tiada satupun hadith yang sahih yang boleh dijadikan sandaran untuk menghukumkan sunat menutup kepala ketika solat, mahupun ketika keluar dari rumah bagi orang lelaki. Namun di sebahagian negara, menutup kepala ketika solat merupakan satu adat kebiasaan yang dianggap baik dan dianjurkan, maka ia boleh menjadi satu perkara sunat menurut syara', berdasarkan keumuman firman Allah SWT:

يَا بَنِي آدَمَ خُذُوا زِينَتَكُمْ عِندَ كُلِّ مَسْجِدٍ وَكُلُوا وَاشْرَبُوا وَلَا تُسْرِفُوا ۚ إِنَّهُ لَا يُحِبُّ الْمُسْرِفِينَ
"Wahai anak-anak Adam! Pakailah pakaian kamu yang indah berhias pada tiap-tiap kali kamu ke tempat ibadat (atau mengerjakan sembahyang), dan makanlah serta minumlah, dan jangan pula kamu melampau; sesungguhnya Allah tidak suka akan orang-orang yang melampaui batas." [Surah al-A'raf (31)]

Maka hukum dalam isu ini kembali kepada perbezaan adat masyarakat dan cara pemakaian mereka. Jika masyarakat tersebut menganggap menutup kepala merupakan satu bentuk perhiasan, maka ia menjadi sunat. (Rujuk laman rasmi majlis fatwa Jordan pada pautan https://bit.ly/2FTDfdq)

Al-Imam Abu Ishaq al-Syatibi juga turut menyebut bahawa menutup kepala berbeza dari satu tempat dengan tempat yang lain. Di sesetengah negara, tidak menutup kepala merupakan satu perkara yang mencacatkan maruah dan air muka serta menjejaskan 'adalah (kredibiliti sebagai muslim yang soleh), sedangkan di sebahagian negara lain, ia tidak demikian. (Rujuk Al-Muwafaqat 2/489)




Kesimpulan

Tuntasnya, kami nyatakan bahawa kopiah, serban dan songkok merupakan antara contoh pakaian yang baik yang sering dilazimi oleh umat Islam ketika solat, dan ia merupakan satu perkara sunat.

Satu qaedah fiqhiyyah yang masyhur ada menyebut:

العادَةُ مُحَكَّمَةٌ
"Adat dan uruf itu boleh dijadikan sandaran hukum (pada perkara yang tiada dalil padanya)."

Banyak hadis yang menunjukkan keadaan Nabi SAW memakai serban atau berimamah sehingga riwayat yang masyhur, Rasulullah SAW memakai 'imamah hitam ketika pembukaan Kota Mekah. Begitu juga, ada yang menisbahkan serban Rasulullah SAW yang dipamerkan di muzium Topkapi di Turki. Justeru, kami nyatakan bahawa serban tanpa khilaf sebagai sunnah al-'adah, tetapi dalam isu ibadah, jika ada pun hadisnya adalah amat dhaif. Antaranya hadis daripada Ibn 'Umar R.Anhuma, Rasulullah SAW bersabda:

عَلَيْكُمْ بِالْعَمَائِمِ ، فَإِنَّهَا سِيمَا الْمَلَائِكَةِ ، وَأَرْخُوهَا خَلْفَ ظُهْورِكُمْ
"Hendaklah kamu memakai 'imamah kerana ia merupakan tanda para malaikat dan labuhkannya di belakang kamu." [Riwayat al-Tabarani dalam al-Mu'jam al-Kabir (13248)]

Maka kami nyatakan bahawa berdasarkan adat setempat, solat dengan tidak menutup kepala dengan songkok, serban atau kopiah hanyalah bersifat khilaf al-aula (menyelisihi perkara yang lebih utama), dan tidaklah dihukumkan sebagai haram atau makruh.

Semoga pencerahan ini memberikan kita kefahaman dalam agama kita terutamanya dalam isu-isu yang menjadi pakaian harian kita. Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ أَرِنَا الْحَقَّ حَقًّا، وَارْزُقْنَا اتِّبَاعَهُ، وَأَرِنَا الْبَاطِلَ بَاطِلًا، وَارْزُقْنَا اجْتنِاَبَهُ، وَلَا تَجْعَلْهُ مُلْتَبِسًا عَلَيْنَا فَنَضِلَّ، وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا
"Ya Allah, tunjukkanlah kepada kami kebenaran itu sebagai kebenaran, dan rezekikanlah kepada kami untuk mengikutinya. Dan tunjukkanlah kepada kami kebatilan itu sebagai kebatilan dan rezekikanlah kepada kami untuk menjauhinya, dan jangan jadikannya terkeliru atas kami sehingga kami sesat. Dan jadikanlah kami bagi orang yang bertaqwa sebagai pemimpin."

+ Ustaz Dr. Zulkifli Mohamad Al Bakri | Mufti Wilayah Persekutuan
+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media