Monday, April 1, 2019

Oh! Media

Oh! Media


Sekuel Winter Sonata Dalam Perancangan - Bakal Menemui Peminat

Posted: 31 Mar 2019 06:12 AM PDT


Sebelum bermulanya hallyu atau Korean Wave di Malaysia, siri drama Winter Sonata telah menjadi satu fenomena dan kini drama dari Korea Selatan itu dikatakan bakal kembali untuk siri sekuelnya.

Namun, pengarah asal Yoon Suk Ho dikatakan telah menolak untuk mengarah sekuel ini kerana ketiadaan salah seorang pelakon utama iaitu Park Yong Ha yang mati akibat bunuh diri pada tahun 2010.

Oleh itu, Kim Yong-soo disebut bakal dipertanggungjawab sebagai pengarah, manakala Yoon Eun-kying dan Kim Eun-hee akan meneruskan kerjasama sebagai penulis skrip.

Bagaimanapun belum ada sebarang maklumat mengenai barisan pelakon, sama ada mengekalkan pelakon asal atau akan mengetengahkan pelakon baharu.

+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media.

Sebanyak 222 Buah Cawangan Hopemart Bakal Dibuka Di Seluruh Negara

Posted: 31 Mar 2019 04:51 AM PDT


Selepas Pakatan Harapan memegang negara, kebanyakan nama sesuatu program yang dilakukan kerajaan terdulu telah diubah dan ditambah baik. Sebagai contoh, kini Hopemart pula bakal diperkenalkan.

Berdasarkan kenyataan Dewan Ekonomi Usahawan Malaysia (DEUM), sebanyak 222 buat kedai Hopemart bakal dibuka di seluruh negara yang bakal menawarkan keperluan asas pada harga yang lebih murah.

Hopemart juga bakal dibuka disetiap kawasan parlimen dan menawarkan harga 10 peratus lebih murah berbanding harga pasaran.

Nampaknya ia mempunyai objektif yang sama seperti kewujudan KR1M dibawah Barisan Nasional dahulu dan harapnya ia dapat meringankan eban rakyat, malah membantu golongan pengusaha industri kecil dan sederhana (IKS) kerana 70 peratus barangan yang dijual adalah produk IKS.

+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media.

Pahang Rampas Kedudukan Pendahulu Liga JDT

Posted: 31 Mar 2019 02:20 AM PDT


Nampaknya pasukan Pahang berjaya merampas kedudukan pendahulu Liga Super, JDT apabila berjaya menewaskan FELDA United 3-1 malam tadi.

Perlawanan yang berlangsung di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka itu menyaksikan pasukan Tok Gajah berjaya membuka jaringan pertama menerusi rembatan leret Norshahrul Idlan Talaha pada mini ke-44.

Namun, tuan rumah berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-48 hasil jaringan pemain import dari Brazil, Thiago Junio de Aquino.

Skuad kendalian Dollah Salleh bagaimanapun kembali mendahului sebelum mengesahkan tiga mata menerusi jaringan sepakan penalti pemain import dari Brazil, Jose Eduardo Bischofe de Almeida pada minit ke-63 dan Mohd Faisal Abdul Halim pada minit ke-90.

Pasukan Pahang kini berkongsi mata bersama JDT dengan kutipan 17 mata dengan hanya dibezakan jumlah jaringan.


+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media.

Tonton: Ejen Ali The Movie Official Teaser Trailer Kedua

Posted: 31 Mar 2019 12:16 AM PDT


Seperti apa yang kami lihat, tahun 2019 akan menjadi tahun kebangkitan filem animasi Malaysia apabila Upin Ipin, Boboiboy dan Ejen Ali hadir dengan filem mereka.

Selepas Upin Ipin: Keris Siamang Tunggal yang kini ditayangkan di pawagam dan Boboiboy The Movie 2 mengeluarkan trailer mereka. Kini hadir pula teaser trailer terbaru dari Ejen Ali The Movie yang membuatkan ramai terpegun dan tak sabar menantikan animasi ini muncul di pawagam.

Dengan hanya melihat pada teaser Ejen Ali, kita sudah dapat menilai kualiti grafik animasinya yang ternyata lebih baik dan lancar berbanding Upin Ipin dan Boboiboy.

Berdasarkan teaser kedua Ejen Ali The Movie kali ini, ia menimbulkan lebih banyak persoalan apabila hadir beberapa watak seperti Datuk Bandar, Othman dan penampakan seorang lagi ejen yang dilihat memakai sepek mata kuasa sama seperti Ali.

Namun, tarikh tayangan belum dikongsikan oleh Wau Animation, tetapi ianya pasti ditayangkan pada tahun ini. Sama-sama kita nantikan.


+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media.

Aksi Penyeluk Saku Profesional Di Paris Terakam Oleh Kamera Pelancong Malaysia. Unbelievable!!

Posted: 31 Mar 2019 01:12 AM PDT


Penyeluk saku atau 'picked pocket' memang berlaku di banyak tempat, terutama tempat yang menjadi tarikan pelancong dan ramai orang.

Ini apa yang terjadi kepada Naufal Bakhudin bersama kumpulannya semasa di kota Paris di mana berdasarkan video yang dikongsikan di laman Facebook miliknya menunjukkan mereka dalam satu kumpulan sedang berjalan-jalan di kota Paris dan terdapat dua orang wanita berkulit putih melakukan 'picked pocket'.

Naufal yang masa itu kebetulan sedang merakam menggunakan kamera mode 360 berjaya merakam aktiviti berkenaan, namun mereka sekumpulan tidak menyedari perlakuan dua orang wanita terbabit.

Naufal juga mengakui aktiviti mereka sangat licik dan berharap agar perkongsiannya dapat menjadi tauladan dan menasihatkan mereka yang berhajat untuk ke eropah terutama Paris untuk lebih berhati-hati dan berwaspada.

Berikut merupakan rakaman yang dikongsikan Naufal:




Kredit: Naufal Bakhudin

+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media.

Najib Razak Sokong Penuh Perbicaraan Disiar Siaran Langsung

Posted: 30 Mar 2019 11:36 PM PDT


Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang akan memulakan pendegaran di Mahkamah Tinggi pada 3 Apri ini telah menyokong penuh untuk mengadakan siaran langsung bagi perbicaraannya.

Najib Razak yang akan berdepan 7 pertuduhan berkaitan SRC International itu memaklumkan pada media FMT bahawa dia menyokong penuh siaran langsung dan berpendapat rakyat mempunyai hak untuk mengetahui kebenaran dan membantu ketelusan dirinya.

Antara pertuduhan yang dikenakan terhadap bekas PM ini adalah pengubahan wang, pecah amanah dan salah guna kuasa berhubung dana mencecah RM42 juta milik SRC International yang berada di bawah 1MDB.

Walaubagaimanapun, sebelum ini, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo telah menolak cadangan menyiarkan perbicaraan Najib dan beberapa pengamal undang-undang memberi amaran siaran langsung boleh menjejaskan integriti prosiding.

+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media.





Filem One Two Jaga Filem Terbaik FFM30

Posted: 30 Mar 2019 10:38 PM PDT


Filem One Two Jaga dinobat sebagai Filem Terbaik pada Festival Filem Malaysia Ke-30 (FFM30) yang berlangsung di Dewan Plenari, Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), malam tadi.

Selain pengiktirafan tertinggi terbabit, karya terbitan Pixel Play Entertainment arahan Namron itu turut mencipta kegemilangan dengan membawa pulang lima lagi anugerah lain.

Bintang utamanya, Rosdeen Suboh, diumumkan sebagai Pelakon Lelaki Terbaik, manakala Namron sendiri berjaya menjulang trofi Pengarah Terbaik.

Filem itu juga memenangi kategori Lakon Layar Terbaik, Cerita Asal Terbaik dan Poster Terbaik.

+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media.

Berkahwin Atau Bayar Hutang Bapa

Posted: 30 Mar 2019 04:55 PM PDT


Soalan:
Mana lebih utama, antara berkahwin ataupun membayar hutang yang dipinjam oleh bapa? Mohon pencerahan.

Jawapan:
Rasulullah SAW bersabda:

إِنَّ أَعْظَمَ الذُّنُوبِ عِنْدَ اللهِ أَنْ يَلْقَاهُ بِهَا عَبْدٌ بَعْدَ الْكَبَائِرِ الَّتِي نَهَى اللَّهُ عَنْهَا ، أَنْ يَمُوتَ رَجُلٌ وَعَلَيْهِ دَيْنٌ ، لاَ يَدَعُ لَهُ قَضَاءً
"Sebesar-besar dosa di sisi Allah ketika seseorang hamba berjumpa dengan Allah -selepas dosa-dosa besar lain yang dilarang keras oleh Allah SWT- ialah seseorang yang mati dalam keadaan mempunyai hutang yang belum dijelaskan sedangkan dia tidak mempunyai apa-apa perancangan untuk melunaskan hutangnya tersebut." [Riwayat Abu Daud (3342)]

Hal hutang ini turut ditegaskan melalui sabda Baginda SAW yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA:

نَفْسُ الْمُؤمِنِ مُعَلَّقَةٌ بِدَيْنِهِ حَتَّى يُقْضَى عَنْهُ
"Jiwa orang yang beriman itu tergantung disebabkan hutang, sehingga dibayarkan untuknya (hutang tersebut)." [Riwayat Ibnu Majah (2413), al-Tirmizi (1079) dan al-Baihaqi (6891)]

Imam al-Suyuti berkata: "Maksud hadis ini bahawa jiwa atau roh orang yang beriman akan terhalang dari kedudukannya yang mulia." (Lihat Tuhfah al-Ahwazi, 4/193 dan Mir'at al-Mafatih, 8/152)

Daripada Maimunah binti al-Harith, Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ اسْتَدَانَ دَيْنًا يَعْلَمُ اللَّهُ عَزَّ وَجَلَّ مِنْهُ أَنَّهُ يُرِيدُ أَدَاءَهُ أَدَّاهُ اللَّهُ عَنْهُ
"Sesiapa yang berhutang dan Allah tahu bahawa dia ingin menunai dan melangsaikannya, nescaya Allah memudahkan baginya." [Riwayat Ahmad (25840)]

Dalam isu persoalan di atas, oleh kerana dia adalah ayah kita dan beliau dalam keadaan sukar untuk menyelesaikan kesulitannya sedangkan kita mempunyai kemampuan, maka sewajar dan sepatutnya untuk kita membayarnya bagi pihak bapa kita kerana ia termasuk dalam bir al-walidain.

Daripada Ibn Abbas R.Anhuma, katanya:

أَنَّ امْرَأَةً جَاءَتْ إِلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَتْ إِنَّ أُمِّي نَذَرَتْ أَنْ تَحُجَّ فَمَاتَتْ قَبْلَ أَنْ تَحُجَّ أَفَأَحُجَّ عَنْهَا قَالَ نَعَمْ حُجِّي عَنْهَا أَرَأَيْتِ لَوْ كَانَ عَلَى أُمِّكِ دَيْنٌ أَكُنْتِ قَاضِيَتَهُ قَالَتْ نَعَمْ فَقَالَ اقْضُوا اللَّهَ الَّذِي لَهُ فَإِنَّ اللَّهَ أَحَقُّ بِالْوَفَاءِ
Bahawa seorang wanita telah datang kepada Nabi SAW seraya bertanya: "Sesungguhnya ibuku telah bernazar untuk melaksanakan ibadat haji sedangkan dia mati sebelum menunaikannya. Adakah aku perlu berhaji untuknya?" Jawab Nabi SAW: "Ya. Lakukanlah haji untuknya. Apa pandanganmu jika kamu dapati ibu kamu ada hutang, adakah kamu melangsaikannya?" Jawab perempuan tersebut: "Ya." Maka sabda Nabi: "Tunailah hutang Allah kerana Allah lebih berhak hutangnya dilangsaikan." [Riwayat al-Bukhari (7315)]

Imam al-Munawi berkata: "Hak Allah yang mesti bagi kamu terdiri daripada perkara yang fardhu dan lainnya. Maka Allah lebih berhak kita tunaikan termasuk masalah iman, taat dan menunaikan kewajipan." (Lihat Faidh al-Qadir, 2/70)

Ia juga termasuk dalam bab menggembirakan hatinya yang membawa kepada keredhaan. Semoga ia juga termasuk nas sepertimana  yang diriwayatkan daripada Ibn Umar R.Anhuma, bahawa Nabi SAW bersabda:

رِضَا اَللَّهِ فِي رِضَا اَلْوَالِدَيْنِ ، وَسَخَطُ اَللَّهِ فِي سَخَطِ اَلْوَالِدَيْنِ
"Keredhaan Allah pada keredhaan kedua ibu bapa, kemurkaan Allah pada kemurkaan kedua ibu bapa." [Riwayat al-Tirmidzi (1900) dan Ibn Hibban (2026)]

Kami berpendapat, jika sekiranya anak mempunyai kemampuan, maka membayar hutang bapanya seharusnya menjadi keutamaan. Walaupun begitu, kami syorkan jika anaknya ramai, seperti lima orang, maka anak-anak perlu berbincang untuk meringankan beban bapa dan juga beban anak-anak itu sendiri. Jika sekiranya masing-masing menyumbang dalam jumlah yang tertentu serta mengikut kadar kemampuan masing-masing, maka ia sudah tentu akan membawa sikap kebersamaan dan memupuk kasih sayang sesama keluarga dan hilang perasaan tidak puas hati dan terbeban kepada satu-satu anak.

Yakin dan percayalah, membantu ibubapa merupakan salah satu punca kebahagiaan seseorang anak dan membuka pintu rezeki. Kami titipkan sebuah kisah yang pernah kami baca yang berlaku di Arab Saudi, di mana seorang anak yang sangat berbakti kepada orang tuanya. Anak tersebut telah membayar hutang bapanya yang berjumlah lebih 1 juta Riyal Saudi. Dia menjual rumah yang dimilikinya bagi tujuan melunaskan hutang tersebut. Akhirnya pemiutang tersebut mengetahui usaha dan inisiatifnya untuk membantu bapanya. Beliau sangat tersentuh dengan tindakan anak tersebut lantas memulangkan kembali kesemua wang tersebut sebagai hadiah kepadanya.

Mudah-mudahan kita termasuk dalam kalangan mereka yang berbakti kepada kedua ibubapa dan dikurniakan ganjaran yang besar daripada Allah SWT. Amin.


+ Ustaz Dr. Zulkifli Mohamad Al Bakri | Mufti Wilayah Persekutuan

Adakah Membunuh Cicak Dibenarkan Syarak?

Posted: 30 Mar 2019 04:45 PM PDT


Soalan:
Mohon pencerahan kesahihan hadis tentang membunuh cicak yang rasanya dari dulu hingga sekarang menjadi pegangan kebanyakan kita bahawa adalah sunat membunuh cicak.

Jawapan:

Pengenalan

(الوزغة) bermaksud cicak dan dikenali sebagai binatang yang melata. Badannya berbintik-bintik seperti penyakit kusta dan merupakan binatang fawahish (perosak). (Lihat: Hayat al-Hayawan al-Kubra, 2/544)

Dalil Disyariat Membunuh Cicak

Cicak merupakan binatang yang boleh dibunuh dan kerana termasuk di dalam binatang Fawasiq (perosak). Terdapat pelbagai hadis SAW yang memerintahkan supaya membunuh cicak di antaranya hadis yang diriwayatkan oleh Ummu Syarik RAnha:

‏أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم أَمَرَ بِقَتْلِ الْوَزَغِ وَقَالَ كَانَ يَنْفُخُ عَلَى إِبْرَاهِيمَ عَلَيْهِ السَّلاَم‏‏‏
Sesungguhnya Rasullullah SAW memerintahkan supaya membunuh cicak. Dan Baginda bersabda: "Sesungguhnya cicak itu meniup (menyemarakkan) api yang membakar Ibrahim AS." [Sahih al-Bukhari (3359)]

Terdapat juga hadis yang lain menceritakan berkenaan perintah membunuh cicak, ini seperti hadis yang diriwayatkan daripada Saad bin Abi Waqaz:

أَنَّ النَّبِيَّ صلى الله عليه وسلم أَمَرَ بِقَتْلِ الْوَزَغِ وَسَمَّاهُ فُوَيْسِقًا
"Sesungguhnya Nabi SAW memerintahkan supaya membunuh cicak, Dan disebutnya sebagai Fuwaisiq (binatang kecil yang mendatangkan kerosakan)." [Hadis riwayat Muslim (2238)]

Selain itu ganjaran bagi siapa yang membunuh cicak seperti hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA:

مَنْ قَتَلَ وَزَغَةً فِي أَوَّلِ ضَرْبَةٍ فَلَهُ كَذَا وَكَذَا حَسَنَةً وَمَنْ قَتَلَهَا فِي الضَّرْبَةِ الثَّانِيَةِ فَلَهُ كَذَا وَكَذَا حَسَنَةً لِدُونِ الأُولَى وَإِنْ قَتَلَهَا فِي الضَّرْبَةِ الثَّالِثَةِ فَلَهُ كَذَا وَكَذَا حَسَنَةً لِدُونِ الثَّانِيَةِ
"Barangsiapa yang membunuh cicak dengan pukulan yang pertama, baginya sekian pahala, barangsiapa yang membunuhnya pada pukulan kedua, baginya sekian pahala yang kurang daripada pukulan pertama, barangsiapa yang membunuhnya pada pukulan ketiga, baginya sekian pahala yang kurang daripada pukulan kedua." [Hadis riwayat Muslim (2240)]

Selain itu terdapat juga hadis riwayat yang lain daripada Abu Hurairah RA sabda Nabi SAW:

‏ ‏ مَنْ قَتَلَ وَزَغًا فِي أَوَّلِ ضَرْبَةٍ كُتِبَتْ لَهُ مِائَةُ حَسَنَةٍ وَفِي الثَّانِيَةِ دُونَ ذَلِكَ وَفِي الثَّالِثَةِ دُونَ ذَلِكَ
"Barangsiapa yang membunuh cicak dengan satu pukulan diganjarkan kepadanya seratus kebaikan, dan sekiranya pada pukulan kedua, ganjarannya kurang daripada yang pertama dan sekiranya pada pukulan ketiga, ganjarannya kurang daripada yang kedua." [Hadis riwayat Muslim (2240)]

Imam Nawawi dalam mensyarakan hadis ini menyatakan: "Di dalam riwayat yang lain menyebut sebanyak tujuh puluh ganjaran sekiranya membunuhnya dengan satu pukulan dan ini disebabkan kerana tidak menyeksanya. Cicak dikelaskan dalam golongan haiwan perosak kerana terdapat ciri-ciri daripada golongan haiwan Fawahish al-Khams (lima haiwan perosak) yang mendatangkan kemudharatan seperti kala jengking dan tikus."

Kesimpulan

Berbalik kepada persoalan di atas perintah membunuh cicak merupakan satu perkara yang disunatkan. Ini seperti yang dinyatakan di dalam Mausua'h Fiqhiyah di bawah tajuk sunat membunuh binatang perosak dengan menyatakan sunat membunuh cicak walaupun dalam keadaan ia tidak memberi sebarang kerosakan ini seperti yang di perintahkan Nabi SAW dalam hadis yang di atas. (Lihat: al-Muasua'h al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 17/282)

Adapun cara membunuhnya lebih utama dengan memukulnya sekali sahaja supaya mengurangkan keseksaannya. Imam Izzuddin Ibnu Salam menyatakan ini termasuk di dalam sifat ihsan kepada binatang (Lihat: Hayat al-Hayawan al-Kubra, hlm 923).

Ini seperti yang di ajar Baginda SAW di dalam hadis yang diriwayatkan oleh Abi Ya'la bin A'us RA, sabda Nabi SAW:

إِذَا قَتَلْتُمْ فَأَحْسِنُوا الْقِتْلَةَ
"Apabila kamu membunuh maka bunuhlah dengan baik." [Hadis Riwayat Muslim (1955)]

Wallahualam.


+ Ustaz Dr. Zulkifli Mohamad Al Bakri | Mufti Wilayah Persekutuan

Maksud Dua Marhalah Dalam Jamak & Qasar

Posted: 30 Mar 2019 04:35 PM PDT


Soalan:
Apakah yang dimaksudkan 2 marhalah di dalam solat Qasar?

Jawapan:
Firman Allah Taala:

وَإِذَا ضَرَبْتُمْ فِي الْأَرْضِ فَلَيْسَ عَلَيْكُمْ جُنَاحٌ أَن تَقْصُرُوا مِنَ الصَّلَاةِ
"Dan jika kamu bermusafir di muka bumi ini, maka tidak berdosa ke atas kamu untuk memendekkan solat (solat empat rakaat dijadikan kepada dua rakaat)". (Surah An-Nisa':101)

Nas di atas ini menunjukkan dalil dibolehkan solat qasar ( iatu solat empat rakaat dipendekkan kepada 2 rakaat) hal keadaan alkhauf ( ketakutan) seperti berperang bukan keadaan aman. Namun terdapat Hadis Sohihah dan Ijmak membolehkan solat Qasar hal keadaan aman.

Ya'la bin Umaiyah r.a. telah berkata kepada Sayyidina Umar r.a: "Mengapa kita mengerjakan solat secara Qasar sedangkan kita di dalam keadaan yang aman?" Lalu Sayyidina Umar r.a. menjawab: "Aku telah bertanya kepada Rasulullah s.a.w., Baginda s.a.w. bersabda, solat Qasar itu sebagai satu sedekah (pemberian) yang Allah s.w.t sedekahkan dengannya ke atas kamu maka hendaklah kamu menerimanya atau ambillah sedekah itu. (Hadis Riwayat Imam Muslim 686)

Ulama telah bersepakat pada pensyariatan solat Qasar.

(Rujukan Kitab fiqh Mazahib Arbaa' Juzuk 1 hlmn 362-363)

Solat Qasar ialah solat empat rakaat (zohor, asar dan isyak) dipendekkan kepada dua rakaat dengan syarat-syarat yang tertentu.

Hukum Safar ada lima:

Wajib : Seperti perjalanan untuk menggugurkan yang kewajipan fardhu haji dan umrah, menuntut ilmu yang wajib dan lain-lain.
Sunat : Seperti menziarahi Nabi dan menyambung silaturrahim
Harus : Seperti perjalanan dengan tujuan untuk berniaga.
Makruh : Seperti perjalanan berniaga kain kafan atau menjual alat muzik dan      permainan yang tidak diharamkan.
Haram : Seperti bermusafir tanpa keizinan suami      

(Rujukan Kitab At-Taqrirat As-Sadidah hlmn 313)

Marhalah bermaksud perhentian rehat bagi satu perjalanan seharian. Dua Marhalah ialah ukuran perjalanan yang dibolehkan seseorang itu melaksanakan solat Qasar dan Jamak. 

Maksud ukuran 2 marhalah itu ialah:

"Jauh perjalanan sekira-kira dua hari perjalanan atau dua malam atau sehari dan semalam perjalanan unta yang membawa barang-barang dagangan ( barat-barat dagangan yangberat di atasnya)." (Rujukan Kitab Matlak Al-Badrain hlmn 92)

"Perjalanan selama dua hari (dua siang) atau dua malam atau sehari semalam dengan unta yang membawa barang dagangan yang berat." (Rujukan Idaman Penuntut 1/90)

"Perjalanan dua hari atau dua malam atau sehari semalam jika menunggang unta." (Rujukan Zain ATH-Tholib 1/209)

Manakala jika dirujuk pada Kamus Dewan Bahasa Edisi Keempat hlmn 999, marhalah bermaksud ukuran jarak yang lebih kurang 28 batu atau 45.06 km.

Adapun dua marhalah mengikut ukuran zaman sekarang adalah antara 85km – 90km atau bersamaan 56 batu.

Secara amnya, ukuran 1 marhalah = 2 barid = 24 mil hasyimi (8 farsakh). 1 mil = 1000 depa. Satu depa = empat hasta. Satu hasta = 46.656 cm. Ini bermakna satu depa = 186.624cm (46.656 x 4). Maka 1 mil = 6000 ribu hasta bersamaan 186.624cm (1866.24 meter atau 1.866km) atau 24 jari melintang. Oleh itu, satu marhalah = 24 mil = 44789.76 meter atau bersamaan 44.790km. maka dua marhalah = 89580 meter ( lebih kurang 89 atau 90km).

Adapun menurut Almarhum Syeikh Wahbah az-Zuhaili, dua marhalah itu bersamaan 88.704 km. (Rujukan kitab al-Wajiz 1/266).

Syeikh Muhammad 'Ali as-Shabuni menganggarkan 84 km. (Rujukan Kitab Al-Fiqh Al-Syarie al-Muyassar hlmn 131)

Menurut Syeikh Hasan bin Ahmad bin Muhammad al-Kaff, dua marhalah itu bersamaan lebih kurang 82 km dan lebih. (Rujukan Kitab Taqrirat As-Sadidah hlmn 315).

Kesimpulannya, jarak dua marhalah di dalam ukuran sekarang disebutkan oleh para ulama di dalam kitab merupakan anggaran. Berkenaan dengan ukuran ini lebih kepada Taqribi (anggaran), bukannya Tahdidi (ketepatan), maka seseorang diharuskan solat Qasar jika sudah mencapai dua marhalah (seperti mana yang telah dijelaskan di atas).

Semoga pencerahan ini memberikan kefahaman dan penghayatan bersama.


+ Ustaz Dr. Zulkifli Mohamad Al Bakri | Mufti Wilayah Persekutuan