Thursday, April 11, 2019

Oh! Media

Oh! Media


Saman Merokok di Kawasan Kedai Makan Bermula Ogos Ini

Posted: 10 Apr 2019 06:13 AM PDT


Setelah ia mula dilaksanakan pada Januari lalu, Kementerian Kedihatan telah mengumumkan bulan Ogos sebagai permulaan kepada kutipan denda kepada individu yang merokok di kawasan larangan merokok termasuk kawasan sekitar restoran.

Selama enam bulan diberikan sebagai tempoh penguatkuasaan pendidikan dan ia akan berakhir pada Julai ini.

Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye berkata, selepas tempoh itu kementerian akan meningkatkan penguatkuasaan termasuk mengeluarkan saman kepada perokok yang masih berdegil.




"Setakat ini kita belum mengeluarkan saman kepada mereka yang melanggar peraturan itu tetapi mulai Julai ini kita ambil tindakan tegas. Dalam tempoh itu juga penguatkuasaan ditingkatkan.

"Kita menyeru orang ramai supaya dapat bekerjasama dengan kami kerana perkara ini berkaitan dengan isu kesihatan selain kita berharap perokok mengubah sikap mereka," katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menasihatkan perokok di negara ini mengurangkan seterusnya menghentikan tabiat berkenaan.

"Merokok di luar kawasan larangan merokok atau lebih tepat kurangkan merokok.

"Jika mereka nekad untuk berhenti merokok, 731 Klinik Kesihatan dan 46 hospital menyediakan khidmat untuk berhenti merokok secara percuma," katanya.

+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media.

Pemasangan RFID Secara Percuma dan Tanpa Temujanji di Sekitar Lembah Klang

Posted: 10 Apr 2019 05:17 AM PDT


Touch 'n Go Malaysia dalam satu kemaskini terbaru di laman Fecebook rasmi mereka telah mengumumkan berita baik buat pengguna jalan raya di sekitar Lembah Klang bagi memberikan pemasangan RFID percuma tanpa perlu melakukan sebarang temujanji dan pendaftaran.

Ini dilihat akan memudahkan lagi pengguna melakukan pemasangan kerana sebelum ini, kita dikehendaki untuk berdaftar serta melakukan temujanji kerana pemasangan yang agak terhad.




RFID merupakan satu teknologi tol terkini yang tidak memerlukan pengguna mengeluarkan sebarang kad untuk disentuh dan hanya menggunakan pelekat khas yang dilekatkan pada bahagian hadapan kenderaan.

Pelekat ini akan dihubungkan dengan e-wallet TNG yang hanya memerlukan pengguna untuk tambah nilai melalui aplikasi terbabit.



9 lokasi sekitar Lembah Klang telah dipilih iaitu AEON Big Bukit Rimau, AEON Big Kepong, Berjaya Times Square, Empire Shopping Gallery, Sunway Velocity Mall, Tesco Pusat Bandar Puchong, Tesco Extra Cheras, Tesco Setia Alam dan Tesco Bukit Tinggi Klang pada jam 10 pagi hingga 10 malam.

Jadi, bagi mereka yang berminat untuk memasang RFID, korang hanya perlu membawa dokumen seperti kad pengenalan, lesen memandu dan geran kenderaan. Pemasangan percuma ini juga akan berterusan bagi bulan April 2019 ini sahaja.

+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media.

Pelumba Moto2 Pasukan ONEXOX Berjaya Duduki Tangga Keempat Keseluruhan

Posted: 10 Apr 2019 04:27 AM PDT


Pelumba Moto2 ONEXOX TKKR SAG, Ramdan Rosli kini berjaya menduduki tangga keempat keseluruhan setelah berjaya mengumpul 25 mata.

Ramdan yang sebelum ini berjaya mendapatkan kedudukan ketujuh dalam Perlumbaan 2 Kejuaraan Moto2 Eropah (CEV) di Litar Estoril, Portugal itu masih mengekalkan semangat perlumbaan sewaktu berjaya naik podium pada Perlumbaan 1.




Pelumba Finland, Niki Tuuli yang menamatkan Perlumbaan 2 di tempat kedua selepas mengungguli Perlumbaan 1 mendahului carta keseluruhan dengan 45 mata manakala Alessandro Zaccone (Itali) - pemenang Perlumbaan 2 - kedua, 36 mata.

Tempat ketiga, dihuni Edgar Pon Ramon dari Sepanyol yang meraih penamat kedua dan ketiga untuk perlumbaan hari ini berada di tangga ketiga, berkongsi mata bersama Zaccone.

Pusingan kedua CEV selepas ini dijadual berlangsung di Litar Ricardo Tormo, Sepanyol pada 28 April ini.

+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media.

'Sultan Melaka' Bebas Daripada Pertuduhan di Mahkamah Tinggi Melaka

Posted: 10 Apr 2019 03:47 AM PDT


Noor Jan Tuah seorang ahli perniagaan atau lebih dikenali dengan 'Sultan Melaka' dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi Melaka apabila keputusan itu dikekalkan seperti apa yang diputuskan Mahkaah Sesyen tahun lalu.

Ini juga menunjukkan kegagalan pihak pendakwaan menimbulkan keraguan munasabah terhadap tertuduh berhubung empat tuduhan menipu dan menyamar sebagai Sultan Melaka, lima tahun lalu.




Sepanjang perbicaraan, Noor Jan diwakili peguam Datuk Shaharudin Ali, manakala pihak pendakwaan memanggil seramai 16 saksi dan empat mangsa.

Hakim Datuk Ahmad Nasfy Yasin, pada akhir penghakimannya hari ini, berkata pihak pendakwaan yang diwakili tiga Timbalan Pendakwa Raya, Badius Zaman Ahmad, Nabilalif Mohd Rosli dan Mazuin Hashim gagal menimbulkan kes prima facie terhadap Noor Jan, malah empat saksi yang ditampilkan pihak pendakwa juga menolak bahawa mereka ditipu.

+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media.

Saya Maafkan Mereka dan Paling Mustahak, Minta Maaf Pada Rakyat - Rosmah Mansor

Posted: 10 Apr 2019 03:46 AM PDT


Berikutan dengan isu cincin merah jambu yang sebelum ini menggemparkan negara yang dikatakan dibeli oleh Rosmah Mansor kini terjawab apabila Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ir. Amiruddin Hamzah mengakui cincin merah jambu yang sebelum ini didakwa berharga kira-kira RM24 juta tidak dibeli oleh seorang isteri VVIP dan telah dibawa keluar dari negara ini oleh ejen jualannya.

Dengan pendedahan ini, kelihatan Rosmah Mansor begitu gembira dan bersyukur serta memaafkan mereka yang datang bertemunya untuk memohon maaf.




"Saya maafkan tapi apa yang mustahak minta maaf pada rakyat," katanya.

"Mereka hendak gunakan isu itu sebagai bahan kempen pilihan raya, malangnya orang percaya kepada fitnah itu tapi kini alhamdulillah benda yang betul sudah keluar.

"Ini baru salah satu je, saya sabar, saya reda, saya faham suami saya merupakan seorang pemimpin negara dan apa yang dia alami, tempiasnya kena kepada saya kerana saya isterinya," katanya lagi.

+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media.


Kerajaan Setuju Berikan Suntikan Kepada FELDA Sebanyak RM6b

Posted: 10 Apr 2019 12:40 AM PDT


Demi membantu FELDA, kerajaan kini telah bersetuju untuk memberi suntikan wang berbentuk geran, pinjaman dan jaminan kerajaan sebanyak RM6.23 dan akan diberikan mengikut keperluan.

Azmin Ali sebentar tadi telah membentang Kertas Putih FELDA di Dewan Rakyat dan berkata model baharu akan digunakan bagi menyuntik tenaga baharu dan mengoptimumkan potensi untuk maju serta memodenkan industri pertanian FELDA.




"Wahai peneroka FELDA, Kerajaan Pakatan Harapan mempunyai keyakinan kepada kalian. Sama-samalah kita bangkit, bersatu dan maju bersama demi kegemilangan FELDA, rakyat dan negara. Saya yakin FELDA mampu bangkit semula.

"Saya berharap usaha kerajaan ini akan mendapat sokongan dan dukungan peneroka untuk mengembalikan FELDA sebagai agensi yang mampu mengangkat martabat peneroka FELDA dan menjamin kelestarian FELDA," katanya.

+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media.

4 Tentera AS Terkorban Terkena Letupan

Posted: 09 Apr 2019 10:15 PM PDT


Kelmarin telah berlaku satu serangan yang dianggap terburuk dihadapi oleh tenteras AS pada tahun ini apabila satu letupan telah berlaku dan mengorbankan tiga anggota tentera dan seorang kontrak tentera AS.

Letupan yang dikatakan berlaku berhampiran Pangkalan Udara Bagram itu berlaku ditengah rundingan damai berterusan di Afghanistan.




Menurut misi Resolute Support diketuai Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO), konvoi itu melanggar bom tepi jalan yang turut mencederakan tiga lagi anggota tentera AS.

Terdahulu, Taliban mendakwa melakukan serangan apabila pengebom nekad meletupkan kenderaan dipenuhi bahan letupan, berkata 'ramai penceroboh' dibunuh.

+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media.

Perlukah Mengganti Puasa Sunat Yang Dibatalkan?

Posted: 09 Apr 2019 04:51 PM PDT


Soalan:
Saya sentiasa iltizam dengan puasa sunat pada hari Isnin sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Namun begitu, pada hari Isnin yang lepas, seorang kawan saya telah mengajak saya keluar makan tengah hari di sebuah restoran. Untuk tidak menghampakannya, saya telah menerima jemputannya dan membatalkan puasa sunat saya pada hari tersebut. Adakah perlu untuk saya qadha puasa sunat yang saya telah batalkan?

Jawapan:
Amalan berpuasa pada hari Isnin adalah satu amalan sunat yang sangat dituntut untuk diamalkan. Ini berdasarkan hadith-hadith Nabi SAW, antaranya daripada Aisyah RA telah berkata:

كَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَتَحَرَّى صَوْمَ الِاثْنَيْنِ وَالخَمِيسِ
"Nabi SAW sentiasa berpuasa pada hari Isnin dan Khamis." [Riwayat at-Tirmidzi (745)]

Begitu juga dengan hadis daripada Abi Qatadah al-Ansari R.A berkata:

أنَّ رَسولَ اللهِ صَلَّى اللَّهُ عليه وسلَّمَ سُئِلَ عن صَوْمِ الاثْنَيْنِ فَقالَ: فيه وُلِدْتُ وَفِيهِ أُنْزِلَ عَلَيَّ
Bahawa sesungguhnya Rasulullah SAW telah ditanya mengenai amalan berpuasa pada hari Isnin, maka Baginda SAW bersabda: "Pada hari itu aku telah dilahirkan dan pada hari itu diturunkan ke atasku (al-Quran)." [Riwayat Muslim (1162)]

Imam al-Nawawi menukilkan pendapat al-Qadhi Iyadh dengan berkata: "Ditanggung kesahihan riwayat Syu'bah dan dikembalikan sifat puasa pada hari Isnin kerana kelahiran atau maulidnya dan juga diturunkan al-Quran al-Karim kepadanya tanpa menyebut hari Khamis. Inilah yang telah dinyatakan oleh al-Qadhi dengan jelas. Wallahu a'lam." (Lihat Syarh al-Nawawi 'ala Sahih Muslim, 7/145)

Mengenai hukum qadha (menggantikan) puasa sunat yang dibatalkan, para ulama' berbeza pandangan kepada dua pendapat:

Pendapat pertama: Tidak wajib untuk menggantikan puasa sunat secara mutlak, sama ada membatalkannya kerana mempunyai keuzuran ataupun tidak. Ini kerana puasa sunat tidak wajib pada permulaannya, maka tidak wajib untuk menggantikannya jika membatalkan puasa tersebut. Ini adalah pendapat majoriti fuqaha' dalam mazhab Syafi'e, Maliki dan Hanbali. [Rujuk al-Majmu' Syarh al-Muhazzab (6/396-398), Mawahib al-Jalil fi Syarh Mukhtasar al-Khalil (2/427), Syarh az-Zarkasyi 'ala Mukhtasar al-Khiraqi (2/617)]

Para fuqaha' berhujah dengan hadith Nabi SAW:

Daripada Aisyah R.Anha, beliau berkata:

دَخَلَ عَلَيَّ النبيُّ صَلَّى اللَّهُ عليه وسلَّمَ ذَاتَ يَومٍ فَقالَ: هلْ عِنْدَكُمْ شيءٌ؟ فَقُلْنَا: لَا، قالَ: فإنِّي إذَنْ صَائِمٌ ثُمَّ أَتَانَا يَوْمًا آخَرَ فَقُلْنَا: يا رَسولَ اللهِ، أُهْدِيَ لَنَا حَيْسٌ فَقالَ: أَرِينِيهِ، فَلقَدْ أَصْبَحْتُ صَائِمًا فأكَلَ
Nabi SAW telah datang kepadaku pada suatu hari, lalu bertanya: "Adakah di sisimu sesuatu (makanan)?" Aku menjawab: "Tidak", Nabi SAW berkata: "Jika begitu, aku berpuasa." Kemudian Baginda mendatangi aku pada hari yang lain, maka aku berkata: "Ya Rasulullah, aku telah menerima hadiah hais (sejenis makanan Arab yang terdiri daripada campuran kurma, keju dan minyak)", maka Baginda bersabda: "Bawakan kepadaku, sesungguhnya aku telah berpuasa pada waktu pagi, maka sekarang aku akan makan." [Riwayat Muslim (1154)]

Hadith yang hampir sama lafaznya turut diriwayatkan oleh Imam an-Nasa'ie Rahimahullah dalam kitab sunannya (no.2322) dan Imam ibn Hibban Rahimahullah dalam kitab sahihnya (no.3628).




Pendapat kedua: Wajib untuk menggantikan puasa sunat yang dibatalkan kecuali jika seseorang itu berpuasa pada 5 hari yang diharamkan untuk berpuasa, iaitu; hari raya puasa, hari raya korban dan tiga hari tasyriq. Maka tidak wajib menggantikan puasa sunat yang dibatalkan jika berpuasa pada 5 hari tersebut. Ini adalah pendapat para fuqaha' dalam mazhab Hanafi. [Rujuk Majma' al-Anhar fi Syarh Multaqa al-Abhar (1/252)]

Para fuqaha' dalam mazhab Hanafi berhujah berdasarkan hadith daripada Aisyah RA, beliau berkata:

أُهْدِيَ لِي وَلِحَفْصَةَ طَعَامٌ، وَكُنَّا صَائِمَتَيْنِ فَأَفْطَرْنَا، ثُمَّ دَخَلَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فَقُلْنَا لَهُ: يَا رَسُولَ اللَّهِ، إِنَّا أُهْدِيَتْ لَنَا هَدِيَّةٌ، فَاشْتَهَيْنَاهَا فَأَفْطَرْنَا، فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: لَا عَلَيْكُمَا صُومَا مَكَانَهُ يَوْمًا آخَرَ
"Aku dan Hafsah telah diberikan hadiah makanan dan kami berdua berpuasa, maka kami membuka puasa." Kemudian Rasulullah SAW datang kepada kami, lalu kami berkata: "Ya Rasulullah, sesungguhnya kami telah diberikan hadiah, kemudian kami berasa lapar lalu kami membuka puasa." Maka Rasulullah SAW bersabda: "Tidak mengapa, ke atas kamu berdua menggantikannya pada hari lain." [Riwayat Abu Daud (2457), Imam an-Nawawi Rahimahullah telah menilai hadith ini sebagai lemah di dalam kitabnya al-Majmu' Syarh al-Muhazzab (6/396)]

Kesimpulan

Dalam masalah ini, kami berpendapat bahawa pandangan majoriti ulama', iaitu tidak wajib menggantikan puasa sunat yang dibatalkan adalah lebih tepat berdasarkan dua perkara:

  • Hadith yang dijadikan hujah oleh para fuqaha' mazhab Hanafi (hadith riwayat Imam Abu Daud) adalah hadith yang lemah berbanding dengan hadith yang dijadikan sandaran majoriti ulama' (hadith riwayat Imam Muslim) yang merupakan hadith sahih.
  • Lafaz hadith riwayat Abu Daud ((لا عليكما)) membawa maksud tidak mengapa atau tiada masalah. Oleh sebab itu, asal kepada tidak mengapa adalah tidak wajib qadha. [Rujuk al-Majmu' Syarh al-Muhazzab (6/397), al-Mughni (3/159)]
Walaupun begitu, menghimpunkan hadis Aisyah dan Hafsah yang diperintahkan oleh Nabi untuk berpuasa ganti sunat, menjadikan hukumnya adalah sunat. Justeru, kaedah usul menyebut, jika luput yang sunat maka ia boleh diqadha secara mutlak sepertimana kata ulama:

إنَّ قَضَاءَ السُّنَّةِ سُنَّةٌ كَمَا أَنَّ قَضَاءَ الوَاجِبِ وَاجِبٌ
"Sesungguhnya, mengqadha yang sunat itu hukumnya sunat sebagaimana mengqadha yang wajib itu hukumnya wajib." (Lihat Ithaf Zawi al-Basa'ir bi Syarh Raudhah al-Nazir, 2/264)

Semoga Allah SWT memberikan kita kebaikan dan kefahaman yang sahih dalam memahami syariat-Nya seterusnya memberikan kekuatan kepada kita untuk mengamalkannya. Amin.

+ Ustaz Dr. Zulkifli Mohamad Al Bakri | Mufti Wilayah Persekutuan
+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media

Adakah Berhibur Dan Melancong Boleh Dianggap Rukhsah Untuk Jamak Dan Qasar?

Posted: 09 Apr 2019 04:42 PM PDT


Soalan:
Adakah melancong dan berhibur bersama keluarga dan rakan-rakan boleh dikira sebagai rukhsah untuk solat secara Qasar?

Jawapan:
Terdapat beberapa syarat yang perlu dipenuhi bagi membolehkan solat Qasar dan Jamak dilakukan. Antara yang disebutkan oleh para fuqaha :

  • Solat yang diqasarkan adalah solat fardu yang empat rakaat.
  • Ada tujuan walaupun dengan mana-mana arah.
  • Permusafirannya adalah permusafiran yang diharuskan bukan kerana maksiat.
  • Mempunyai tujuan yang baik seperti pergi kerana urusan perniagaan dan lain-lain.
  • Jarak perjalanan adalah sejauh dua marhalah iaitu dianggarkan sejauh 82 kilometer.
  • Melepasi negeri atau kawasan tempat bermukim.
  • Ada pengetahuan berkenaan hukum hakam solat Qasar dan Jamak. (Rujuk Al-Taqrirat Al-Sadidah Fi Al-Masail Al-Mufidah, hlm 314-315)

Berkenaan dengan persoalan sama ada perjalanan dengan tujuan melancong dan rekreasi diberikan rukhsah untuk solat secara Qasar, kami kemukakan pandangan empat mazhab seperti berikut:

Mazhab Hanafi:
Diriwayatkan bahawa Imam Abu Hanifah mengharuskan seseorang yang sedang dalam apa jua bentuk permusafiran untuk melakukan solat secara Qasar, hatta musafir untuk melakukan maksiat sekalipun, dan pandangan ini dipersetujui oleh Syeikhul Islam Ibn Taimiyyah dan Ibn Hazm al-Andalusi. (Rujuk Majmu'ah al-Rasa'il li Ibn Taimiyyah 2/60 dan Al-Syarh al-Mumti' Syarh Zad al-Mustaqni' 4/349)

Mazhab Maliki:
Syeikh Muhammad 'Alisy menyatakan bahawa menurut mazhab Maliki, Qasar solat sewaktu sedang melancong adalah tidak disunatkan, bahkan hukumnya makruh. (Rujuk Minah al-Jalil 1/401)




Mazhab Syafi'e:
Menurut mazhab Syafi'e, salah satu syarat yang perlu dipenuhi bagi membolehkan seseorang itu memperoleh rukhsah Jamak dan Qasar sewaktu bermusafir juga ialah dia mesti mempunyai tujuan perjalanan yang jelas.

Al-Imam al-Mawardi, Al-Imam Muhyiddin al-Nawawi, Imam al-Ramli dan Imam Ibn Hajar al-Haitami menyatakan dengan jelas bahawa al-tanazzuh iaitu rekreasi dan melancong merupakan satu tujuan perjalanan yang jelas, kerana ia adalah untuk mengubati diri sendiri daripada lemahnya semangat, kebosanan jiwa dan meningkatkan semangat. Maka dengan itu, perjalanan untuk melancong dan berekreasi diharuskan untuk solat jamak dan qasar. (Rujuk Al-Hawi al-Kabir 2/880, Al-Majmu' Syarh al-Muhazzab 4/33, Mughni al-Muhtaj 1/268 dan Al-Fatawa al-Fiqhiyyah al-Kubra 1/231)

Mazhab Hanbali:
Imam Ibn Qudamah pula meriwayatkan dua pandangan dalam mazhab Hanbali. Pandangan pertama yang diriwayatkan daripada Imam al-Khiraqi mengharuskannya, manakala pandangan kedua pula merupakan riwayat daripada Imam Ahmad bin Hanbal yang tidak mengharuskannya. Hal ini kerana melancong bukan maslahah yang diiktiraf oleh syara'. Imam Ibn Qudamah memilih dan mentarjihkan pandangan pertama, iaitu harus untuk qasar. (Rujuk Al-Mughni 2/100)

Kesimpulan

Tuntasnya, kami mentarjihkan pandangan majoriti ulama iaitu pandangan mazhab Hanafi, Syafi'e dan pandangan yang dipilih Ibn Qudamah dalam mazhab Hanbali yang mengharuskan Qasar solat bagi mereka yang sedang dalam bermusafir untuk melancong dan berekreasi bersama keluarga dan rakan-rakan. Namun demikian, jika perjalanan tersebut adalah dengan bertujuan untuk bermaksiat, seperti untuk berjudi dan berhibur di kelab-kelab malam, maka tidak diharuskan untuk Qasar solat.

Pandangan ini lebih meraikan suasana semasa, dan lebih memberikan keselesaan kepada umat Islam, terutamanya yang telah bekeluarga dan mempunyai anak-anak kecil, dan perjalanan yang jauh adalah memenatkan, meskipun dengan menaiki kapal terbang.

Wallahu a'lam.

+ Ustaz Dr. Zulkifli Mohamad Al Bakri | Mufti Wilayah Persekutuan
+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media

Hukum Membaca Kitab Agama Lain Atau Buku Karangan Non-Muslim

Posted: 09 Apr 2019 04:36 PM PDT


Soalan:
Apakah hukum kita membaca kitab-kitab agama lain seperti New Testament atau kitab Veda? Bagaimana pula jika kita membaca buku-buku karangan penulis yang bukan beragama Islam?

Jawapan:
Dalam isu ini terdapat dua isu:

1. Membaca kitab agama lain seperti New Testament, Veda dan Talmud.

Para ulama banyak membahaskan pandangan mereka berkenaan isu ini.

Kata al-Imam al-Nawawi, kitab Taurat dan Injil merupakan antara yang haram untuk diambil manfaat daripadanya, kerana ia telah diubah dan dipesongkan oleh para penganutnya. (Rujuk Raudh al-Tolibin 10/259)

Al-Imam Ibn Hajar al-'Asqalani pula menyebut bahawa hanya mereka yang pakar sahaja yang dibenarkan untuk mengkaji Taurat dan Injil, lebih-lebih lagi untuk menyanggah pandangan-pandangan mereka yang menyeleweng. (Rujuk Fath al-Bari Syarh Sahih al-Bukhari 13/525)

Sementara Imam al-Rahibani al-Hanbali mengharamkan bacaan kitab Kristian dan Yahudi, dan tidak juga buku-buku yang bercampur antara yang haq dan yang batil. (Rujuk Syarh al-Sunnah 1/270)

Ini berdasarkan hadith Nabawi yang diriwayatkan oleh Jabir ibn Abdillah RA:

أَنَّ عُمَرَ بْنَ الْخَطَّابِ أَتَى النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِكِتَابٍ أَصَابَهُ مِنْ بَعْضِ أَهْلِ الْكُتُبِ ، فَقَرَأَهُ على النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَغَضِبَ وَقَالَ : أَمُتَهَوِّكُونَ فِيهَا يَا ابْنَ الْخَطَّابِ ، وَالَّذِي نَفْسِي بِيَدِهِ ، لَقَدْ جِئْتُكُمْ بِهَا بَيْضَاءَ نَقِيَّةً ، لَا تَسْأَلُوهُمْ عَنْ شَيْءٍ فَيُخْبِرُوكُمْ بِحَقٍّ فَتُكَذِّبُوا بِهِ ، أَوْ بِبَاطِلٍ فَتُصَدِّقُوا بِهِ ، وَالَّذِي نَفْسِي بِيَدِهِ ، لَوْ أَنَّ مُوسَى كَانَ حَيًّا ، مَا وَسِعَهُ إِلَّا أَنْ يَتْبَعَنِي‏
Suatu hari Umar al-Khattab R.A datang kepada Nabi SAW dengan satu tulisan yang diperoleh daripada ahli kitab, dan beliau membacanya kepada Baginda SAW, lalu Baginda murka dan bersabda: "Adakah kamu masih keliru tentangnya wahai anak al-Khattab? Demi jiwaku yang berada pada tangan-Nya, sesungguhnya aku telah datang kepada kalian dengan suatu agama yang suci lagi bersih. Usahlah kamu bertanya kepada ahli kitab tentang satu perkara yang jika diberitahu kepada kamu tentang suatu kebenaran, kamu mendustakannya, atau diberitahu kepadamu tentang suatu kebatilan, kamu membenarkannya. Demi jiwaku yang berada pada tangan-Nya, jika sesungguhnya Nabi Musa AS masih hidup, nescaya tidak dibenarkan baginya melainkan perlu beliau perlu mengikutiku." [Musnad Ahmad (15156). Syeikh Syu'aib al-Arna'uth menyatakan bahawa hadith ini bertaraf hasan]

Namun larangan ini terkecuali kepada mereka yang benar-benar mantap kefahaman agamanya, luas penguasaannya terhadap al-Qur'an dan al-Hadith dan mampu membezakan yang haq daripada yang batil. (Rujuk Matolib Uli al-Nuha 1/607-608)




2. Membaca buku karangan penulis non-Muslim.

Secara umumnya, membaca buku karangan penulis non-Muslim yang tidak berkait dengan agama mereka, atau yang tidak mempunyai unsur-unsur yang menyalahi agama, maka hukumnya adalah diharuskan. Contohnya adalah buku-buku sastera, motivasi, kepimpinan dan teori pengurusan ekonomi.

Diriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda:

الْكَلِمَةُ الْحِكْمَةُ ضَالَّةُ الْمُؤْمِنِ حَيْثُمَا وَجَدَهَا فَهُوَ أَحَقُّ بِهَا
"Perkataan yang bijak itu asalnya merupakan barangan milik orang mukmin yang hilang. Di mana sahaja dia dapati, maka dia lebih berhak ke atasnya." [Riwayat Ibn Majah (4169) dan al-Tirmidzi (2687)]

Adapun buku-buku keagamaan seperti teori agama Kristian, pengenalan terhadap agama Hindu dan sebagainya, atau buku-buku fahaman yang menyeleweng daripada ajaran Islam seperti pluralisme agama, maka hukumnya adalah haram bagi yang tidak mempunyai kefahaman agama yang mantap dan bimbingan guru yang dipercayai.

Kami tegaskan sekali lagi, jika ingin membaca buku-buku berkenaan muqaranah al-adyan atau agama-agama lain, maka hendaklah seseorang itu:

  • Sudah mengetahui dan mendalami agama Islam.
  • Mempelajari dan berguru dengan guru yang thiqah dan dipercayai.
  • Adanya keperluan untuk menangkis sebarang bentuk syubhah.
  • Untuk memberi kefahaman yang jelas kepada umat Islam.
  • Mempelajari untuk menjauhkan dari terpesong sepertinya.
  • Tidak mengambil faedah yang bertentangan dengan apa yang diperintahkan oleh Islam sepertimana sabda Nabi SAW kepada Saidina Umar R.A.
  • Sentiasa mengutamakan kitab-kitab yang dikaryakan oleh ulama' Islam yang thiqah dan masyhur seperti Imam al-Syahrastani, Syeikh Abu Zahrah dan lain-lain.
  • Mempunyai asas akidah yang kukuh, makrifah serta kefahaman yang jelas berkenaan Islam dan perkara yang boleh membatalkannya.

Kesimpulan

Tuntasnya, kami menyimpulkan bahawa seseorang itu tidak boleh membaca dan mengkaji kitab-kitab agama lain dan buku-buku yang mengandungi fahaman yang sesat dan menyeleweng daripada ajaran Islam yang sebenar, melainkan setelah dia mempunyai fahaman agama yang mantap dan mendapat daripada bimbingan guru yang mursyid.

Satu kaedah menyebut:

عَرَفْتُ الشَّرَّ لَا لِلشَّرِّ ولَكِن لِلتَّوَقِّي
"Aku mengetahui kejahatan bukan untuk melakukan kejahatan tetapi untuk memelihara dari melakukan kejahatan." (Lihat Tafsir al-Kasysyaf, 1/172)

Adapun bagi buku-buku yang tidak mempunyai unsur-unsur agama lain, atau fahaman sesat seperti novel, buku motivasi dan ekonomi, maka tiada masalah untuk membaca dan mengambil manfaat daripadanya. Wallahu a'lam.

+ Ustaz Dr. Zulkifli Mohamad Al Bakri | Mufti Wilayah Persekutuan
+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media