Friday, April 12, 2019

Oh! Media

Oh! Media


Animasi Upin Ipin Keris Siamang Tunggal Kutip RM25 Juta Walaupun Belum Memasuki Negara Lain

Posted: 11 Apr 2019 05:35 AM PDT


Selepas 21 hari tayangan filem animasi Upin Ipin: Keris Siamang Tunggal di pawagam, kini pihak Les' Copaque telah mengumumkan mereka berjaya mengutip RM25 juta dengan jumlah dua juta penonton seluruh Malaysia.

Kejayaan ini sekaligus meletakkan filem animasi ini sebagai filem animasi kutipan tertinggi di pawagam tempatan dengan menewaskan filem animasi antarabangsa Incredibles 2.




Kutipan filem animasi tertinggi sebelum ini diraih Incredibles 2. Jumlah pungutan adalah sama tetapi selepas filem berkenaan ditayangkan tiga bulan. Sebaliknya, kita berjaya meraih kutipan RM25 juta dalam tempoh 21 hari.

"Pasti saya berbangga kerana kami dapat menghasilkan karya yang bagus dan digemari setiap peringkat umur.

"Bukan hanya kanak-kanak, malah ibu bapa menontonnya berulang kali. Saya dapat tahu ada yang pergi menonton antara empat hingga lima kali," kata Penerbit dan Pengarah Urusan Les' Copaque Production Sdn Bhd, Burhanuddin Md Radzi.

Namun harus diingat bahawa kos bagi pembikinan animasi kali ini mencecah RM20 juta dan tayangan di pawagam masih berbaki serta bakal ditayangkan di Vietnam pada 26 April, disusuli Indonesia mulai 9 Mei depan.



+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media.


Penerbangan Ke Luar Negara Akan Dikenakan Levi Pelepasan

Posted: 11 Apr 2019 05:35 AM PDT


Rakyat Malaysia yang kini sedang merancang untuk pergi bercuti ke luar negara nampaknya bakal dikenakan cuki baharu apabila Rang Undang-undang Levi Pelepasan 2019 telah diluluskan di Dewan Rakyat semalam.

Levi pelepasan adalah caj yang dikenakan kepada semua penerbangan ke luar negara pada nilai RM20 bagi negara Asean dan RM40 bagi negara lain.




Kutipan levi pelepasan ini juga akan bermula pada 1 Jun ini dan hanya dikenakan kepada pengangkutan penerbangan sahaja setakat ini.

Jika ia memberi kesan yang baik, ketipan levi pelepasan ini akan diperluas untuk pengangkutan lain.

+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media.


UPSI Bakal Tawarkan Program Tahfiz Al-Quran dan Qiraat Sehingga Ijazah

Posted: 11 Apr 2019 02:11 AM PDT


Universiti Pendidikan Sultan Idris, UPSI dilihat bakal menjadi universiti awam pertama di Malaysia yang menawarkan program Ijazah Sarjana Muda Tahfiz al-Quran dan Qiraat dengan pendidikan untuk pelajar dalam dan luar negara.

Program berkenaan akan mula ditawarkan pada September nanti dan program ini diwujudkan untuk melahirkan guru terlatih dalam bidang tahfiz untuk memenuhi permintaan di institusi tahfiz seperti Darul Quran serta sekolah tahfiz kerajaan negeri dan swasta.




Dekan Fakulti Sains Kemanusiaan UPSI, Dr Ibrahim Hashim, berkata melalui program pengajian berkenaan, lepasan tahfiz UPSI akan dapat menguasai hafazan al-Quran dan bacaan al-Quran dengan baik, mampu menguasai bentuk bacaan al-Quran yang pelbagai serta mantap dari aspek pedagogi pengajaran tahfiz dan qiraat.

Katanya, mereka juga akan diberi pendedahan pedagogi tahfiz yang istimewa dan unik seperti talaqqi musyafahah, tasmi' dan muraja`ah.

+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media.

Siri Terakhir Game Of Thrones Musim Ke-8 Akan Bermula Pada 14 April

Posted: 11 Apr 2019 02:02 AM PDT


Siapa yang mengikuti siri Game of Thrones teribitan HBO ini, pasti tidak sabar menantikan pengakhiran siri yang akan menutup tirai dengan tayangan musim kelapan pada 14 April 2019.

Untuk pengetahuan korang jugam Game of Thrones yang dikeluarkan pada tahun 2011 ini telah melepasi populariti siri The Sopranos pada tahun 2014.




Pada siri akhir ini, HBO telah membelanjakan pada kos yang paling mahal pada AS $15 juta (RM61.6 juta) setiap episod, yang menjadikan jumlah keseluruhannya sebanyak AS 90 juta (RM370 juta).

Selain penggambaran di lokasi mewah serta menggunakan pelbagai kesan khas, dua episod terakhir akan disiarkan selama satu jam 20 minit iaitu hampir sama dengan durasi sebuah filem Hollywood.

Nampaknya HBO betul-betul ingin memberikan satu siri yang memberikan kesan terbaik kepada penonton yang kini telah mengutip lebih AS $1 bilion (RM4.1 bilion) menerusi siri francais itu selain meraih kejayaan besar dengan membawa pulang 47 Anugerah Emmy daripada 128 pencalonan.


+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media.

TMJ Koyakkan Tisu - Netizen Anggap Itu Syed Saddiq

Posted: 10 Apr 2019 11:07 PM PDT


Bermacam-macam situasi yang kita dapat lihat sekarang apabila rakyat melihat Syed Saddiq seakan ingin memulakan perang bersama Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

Terbaru, Tunku Ismail telah memuat naik satu video yang menunjukkan TMJ sedang membaca buku dan mengoyakkan tisu serta mencampakkan tisu itu ke belakang telah mencetuskan pelbagai reaksi netizen yang mengaitkan ia ada kena mengena dengan Syed Saddiq.




Boleh dikatakan ramai yang berkongsi video selama 23 saat itu memetik nama Syed Saddiq.

Syed Saddiq pernah dilaporkan mengalami kecederaan tisu badan setelah dikatakan dipegang bahunya oleh Wan Muhammad Azri Wan Deris atau dikenali sebagai Papagomo semasa hari penamaan calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih pada 16 Februari lalu.


+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media.

Kaka Anggap Ia Sebagai Eksperimental Fesyen

Posted: 10 Apr 2019 10:11 PM PDT


Kerana suka meneroka dan mencuba sesuatu yang baru dalam dunia fesyen, penyanyi dan pelakon Kaka Azraff berharap orang tidak membuat penilaian mudah terhadap gambarnya.

Sebelum ini telah tersebar gambar Kaka yang menggayakan serkup rambut berwarna biru yang dikatakan diambil sewaktu sesi fotografi bersama majalah.




"Apa boleh dikata, saya suka meneroka sesuatu yang baru dan mencuba. Apatah lagi, berkaitan fesyen."

"Jika foto itu tular, ia di luar kawalan saya. Namun, saya berharap janganlah membuat penilaian mudah.

"Saya juga tidak melihat diri sebagai mangsa eksploitasi fesyen menerusi foto itu. Ia kerana, tiada had dalam fesyen," katanya.

Kaka yang kini telah mendirikan rumah tangga bersama Adam Azriff, hanya menyerahkan ia kepada orang diluar untuk menerima atau tidak dan akan terus berkarya.

+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media.

United Pilih Jalan Sukar Hadapi Bercelona di Liga Juara-Juara

Posted: 10 Apr 2019 07:27 PM PDT


Pasukan Manchester United bakal berdepan tugasan yang lebih berat apabila gagal mendapatkan kelebihan di tempat sendiri selepas tewas 1-0 pada aksi suku akhir pertama Liga Juara-Juara menentang Barcelona.

Namun, pengendali United Ole Gunnar mengakui Barcelona berbeza daripada apa yang mereka hadapi bagi singkirkan Paris Saint-Germain (PSG).

"Sudah tentu persembahan kami di PSG memberikan harapan dan kepercayaan yang kami boleh melakukannya, tetapi kami sedar yang kami mungkin menentang pasukan pilihan dalam kejohanan ini," kata Solskjaer.

"Ia akan menjadi kejayaan yang lebih besar dengan memenanginya jika berdasarkan sejarah dimiliki Barcelona. Mereka tidak biasa tewas di gelanggang sendiri."

Jaringan sendiri pertahanan United, Luke Shaw di awal permainan memisahkan kedua-dua pasukan dan ia memberi Barca kelebihan untuk mara ke peringkat empat terbaik dalam tempoh empat tahun ketika United gagal melakukan sebarang percubaan tepat ke gawang.

Perlukah Memberi Salam Di Rumah Yang Kosong?

Posted: 10 Apr 2019 11:38 PM PDT


Soalan:
Adakah perlu untuk kita memberi salam ketika masuk ke dalam rumah yang kosong?

Jawapan:
Islam adalah agama yang sangat menyeluruh, sehinggakan bab memberi salam ketika hendak masuk ke dalam rumah juga disebutkan di dalam al-Quran seperti mana yang difirmankan oleh Allah SWT:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تَدْخُلُوا بُيُوتًا غَيْرَ بُيُوتِكُمْ حَتَّىٰ تَسْتَأْنِسُوا وَتُسَلِّمُوا عَلَىٰ أَهْلِهَا ۚ ذَٰلِكُمْ خَيْرٌ لَّكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُونَ
"Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu masuk ke dalam mana-mana rumah yang bukan rumah kamu, sehingga kamu lebih dahulu meminta izin serta memberi salam kepada penduduknya; yang demikian adalah lebih baik bagi kamu, supaya kamu beringat (mematuhi cara dan peraturan yang sopan itu)." [Surah al-Nur: 27]

Memberi salam juga adalah suatu sunnah yang melambangkan identiti seorang Muslim. Salam yang mengandungi ucapan beserta doa itu melambangkan betapa eratnya hubungan di antara seorang Muslim dengan Muslim yang lain itu, serta betapa prihatinnya dia terhadap saudaranya. Begitulah besarnya hikmah di sebalik seruan Nabi SAW terhadap umatnya melalui hadith yang diriwayatkan al-Bara' RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

أَفْشُوا السَّلامَ تَسْلَمُوا‏
"Sebarkan (jadikan kebiasaan) salam, (maka) kamu akan sejahtera." [Riwayat al-Bukhari dalam Adab al-Mufrad (979)]

Persoalan yang diajukan di atas turut dibincangkan di dalam beberapa nas yang lain, tentang salam ketika masuk ke dalam rumah yang kosong. Antaranya hadith yang diriwayatkan Ibn Umar R.Anhuma bahawa Baginda SAW bersabda:

إِذَا دَخَلَ الْبَيْتَ غَيْرَ الْمَسْكُونِ فَلْيَقُلِ‏:‏ السَّلاَمُ عَلَيْنَا وَعَلَى عِبَادِ اللهِ الصَّالِحِينَ‏.‏
Sekiranya seseorang itu masuk ke dalam rumah yang tidak berpenghuni, maka ucapkanlah: "Assalamu 'alaina wa 'ala 'ibadillah al-Solihin (salam sejahtera ke atas kami dan ke atas hamba-hamba Allah yang soleh)." [Riwayat al-Bukhari dalam Adab al-Mufrad (1055)]

Syeikh Zakaria al-Kandahlawi dalam mensyarahkan hadith ini telah menukilkan beberapa pandangan ulama' yang berkaitan hadith ini. Dinukilkan daripada Ibn 'Abbas mengatakan bahawa rumah yang tidak berpenghuni adalah termasuk rumah yang berpenghuni namun tidak ada orang di dalamnya. [Lihat Awjaz al-Masalik ila al-Muwatta' Malik, 17/206]




Imam al-Suyuthi pula menukilkan bahawa sekiranya masuk ke dalam sesebuah rumah yang di dalamnya terdapat orang Islam, maka ucapkanlah salam, sekiranya masuk ke dalam rumah yang didiami oleh orang bukan Islam atau tiada orang di dalamnya, maka ucapkanlah: "Assalamu 'alaina wa 'ala 'ibadillah al-Solihin." [Lihat al-Dur al-Mansur (6/208)]

Imam al-Nawawi dalam mensyarahkan hal ini membawakan firman Allah SWT:

فَإِذَا دَخَلْتُم بُيُوتًا فَسَلِّمُوا عَلَىٰ أَنفُسِكُمْ تَحِيَّةً مِّنْ عِندِ اللَّـهِ مُبَارَكَةً طَيِّبَةً
"Maka apabila kamu masuk ke mana-mana rumah, hendaklah kamu memberi salam kepada (sesiapa yang seperti) kamu dengan memohon kepada Allah cara hidup yang berkat lagi baik." [Surah al-Nur: 61]

Beliau mengatakan berdasarkan ayat di atas, sekiranya masuk ke dalam rumah yang didiami oleh manusia atau tidak, maka disunatkan untuk menuturkan, bismillah, memperbanyakkan zikir kepada Allah SWT dan memberi salam. [Lihat kitab al-Azkar, hlm. 49]

Kesimpulan

Berdasarkan nas dan hujah di atas, kami katakan bahawa apabila masuk ke dalam rumah yang kosong maka ucapkanlah:

السَّلاَمُ عَلَيْنَا وَعَلَى عِبَادِ اللهِ الصَّالِحِينَ

Hal ini sebagaimana yang dianjurkan di dalam al-Quran dan hadith-hadith yang disebutkan di atas. Ini bagi menghormati makhluk-makhluk Allah SWT selain daripada manusia yang berkemungkinan tinggal di tempat tersebut.

Semoga Allah memberi taufik untuk memahami syariat-Nya. Amin

+ Ustaz Dr. Zulkifli Mohamad Al Bakri | Mufti Wilayah Persekutuan
+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media

Cerai Isteri Dengan Tambahan Lafaz “InsyaAllah”

Posted: 10 Apr 2019 04:40 PM PDT


Soalan:
Apakah hukum seorang suami mengatakan kepada isterinya dengan lafaz: "InsyaAllah aku ceraikan kamu." Mohon penjelasan.

Jawapan:
Dalam Islam, penceraian adalah penyelesaian terakhir dalam rumah tangga jika sudah tidak dapat diselamatkan dengan cara yang lain. Perceraian pada kebiasaanya memberi kesan yang buruk bukan hanya kepada pasangan suami isteri sahaja, bahkan ia turut memberi kesan yang buruk kepada anak-anak, keluarga terdekat dan masyarakat secara umumnya.

Berhubung dengan soalan diajukan kepada kami, jumhur (majoriti) ulama' dalam mazhab Imam asy-Syafi'e, Imam Abu Hanifah dan satu riwayat dalam mazhab Imam Ahmad berpendapat bahawa tidak jatuh talak bagi lafaz cerai yang dilafazkan bersama dengan lafaz insyaAllah jika suami yang melafazkan talak tersebut menyebut perkataan insyaAllah dengan niat bahawa talak akan jatuh dengan kekuasaan Allah dan kehendak-Nya. Ini kerana kekuasaan Allah dan kehendak-Nya adalah di luar kawalan manusia. Hukumnya seperti melafazkan talak dengan ta'liq ke atas perkara yang mustahil. [Rujuk Mughni al-Muhtaj (3/302), Hasyiyah Ibn 'Abidin (2/513-514), al-Mughni (7/216)]

Para ulama' berhujah mengenai masalah ini berdasarkan sabda Nabi SAW yang berkaitan dengan sumpah:

مَنْ حَلَفَ على يَمِينٍ فقال : إنْ شاءَ اللهُ ، فلا حِنْثَ عليهِ
"Sesiapa yang bersumpah, kemudian menyebut insyaAllah, maka tidak ada dosa ke atasnya (tidak perlu menyempurnakan sumpahnya)." [Riwayat at-Tirmidzi (1531)]

Namun begitu, jika suami menyebut lafaz talak bersama-sama dengan perkataan insyaAllah dengan niat untuk mendapatkan keberkatan daripada perkataan tersebut atau ia merupakan satu kebiasaan baginya melafazkan perkataan insyaAllah, maka jatuh talak ke atasnya. [Rujuk Raudhah at-Tolibin (8/96), Mughni al-Muhtaj (3/302)]

Pendapat kedua dalam masalah ini adalah jatuh talak jika seseorang menyebut lafaz cerai bersama dengan lafaz insyaAllah, tidak mengira apa jua niatnya. Ini adalah pendapat dalam mazhab Imam Malik dan Imam Ahmad. [Rujuk al-Mughni (7/216), Hasyiyah ad-Dasuki 'ala al-Syarh al-Kabir (2/392)]

Mereka berhujah dengan athar daripada Abdullah bin Abbas RA, Abdullah bin Umar RA dan Abu Sa'id al-Khudri RA, Abdullah bin Abbas RA telah berkata:

إِذَا قَال الرَّجُل لاِمْرَأَتِهِ أَنْتِ طَالِقٌ إِنْ شَاءَ اللَّهُ تَعَالَى فَهِيَ طَالِقٌ
Jika seorang lelaki mengatakan kepada isterinya: "Kamu diceraikan, insyaAllah." Maka dia (isteri) telah diceraikan oleh lelaki tersebut.

Abdullah bin Umar R.Anhuma dan Abu Sa'id al-Khudri RA pula telah berkata:

كُنَّا مَعَاشِرَ أَصْحَابِ رَسُول اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ نَرَى الاِسْتِثْنَاءَ جَائِزًا فِي كُل شَيْءٍ إِلاَّ فِي الْعِتَاقِ وَالطَّلاَقِ
"Kami para sahabat Rasulullah SAW berpandangan bahawa istisna' (pengecualian) harus dalam semua perkara kecuali pada hal pembebasan hamba dan penceraian."




Kesimpulan

Dalam masalah ini, kami cenderung untuk memilih pendapat majoriti ulama' termasuk pendapat dalam mazhab Imam al-Syafi'e bahawa tidak jatuh talak jika seseorang itu melafazkannya dengan niat untuk menyandarkannya kepada kekuasaan dan kehendak Allah.

Adapun athar daripada Abdullah bin Abbas RA, Abdullah bin Umar RA dan Abu Sa'id al-Khudri RA, ia telah dinukilkan oleh Imam ibn Qudamah Rahimahullah dalam kitab karangannya, al-Mughni (7/216), namun tidak dijumpai jalan periwayatannya. [Rujuk al-Mausu'ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyah (37/345)]

Namun begitu, kami ingin menasihatkan agar dirujuk perkara ini kepada pihak Mahkamah Syariah bagi proses pengesahan, terutamanya berkenaan dengan niat suami ketika melafazkan lafaz talak berserta dengan perkataan insyaAllah.

Kami juga ingin menasihati pasangan suami isteri, terutamanya para suami agar tidak bermudah-mudah dalam hal yang berkaitan dengan lafaz penceraian. Ini kerana lafaz cerai adalah satu perkara yang amat mudah untuk dilafazkan, tetapi mempunyai implikasi yang sangat besar.

Semoga Allah SWT memberikan kita kebaikan dan kefahaman yang sahih dalam memahami syariat-Nya seterusnya memberikan kekuatan kepada kita untuk mengamalkannya. Amin.

+ Ustaz Dr. Zulkifli Mohamad Al Bakri | Mufti Wilayah Persekutuan
+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media

Tanda Allah Menerima Taubat Seseorang

Posted: 10 Apr 2019 11:39 PM PDT


Soalan:
Adakah boleh dipastikan bahawa Allah SWT telah menerima taubat yang telah dilakukan dengan bersungguh-sungguh? Dan apakah tanda-tanda Allah SWT menerima taubat seseorang? Mohon penjelasan.

Jawapan:
Kami mulakan dengan perintah Allah SWT kepada kita supaya bertaubat:

وَتُوبُوا إِلَى اللَّـهِ جَمِيعًا أَيُّهَ الْمُؤْمِنُونَ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ
"..dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya." [Surah al-Nur (31)]

Ibn Kathir berkata: "Lakukanlah apa yang aku perintahkan kamu dengannya, dan semua sifat-sifat yang mulia dan akhlak yang terpuji. Pada saat yang sama, tinggalkanlah perangai ahli jahiliyyah dan sifat buruk mereka. Ini kerana kejayaan dan kemenangan yang sebenar dengan melaksanakan perintah Allah dan Rasul serta meninggalkan larangan-Nya." (Lihat Tafsir al-Quran al-'Azim, 6/50)

Untuk menjawab persoalan di atas, kami kemukakan seperti berikut:

Pertama, adakah boleh dipastikan bahawa Allah SWT telah menerima taubat seseorang? Pendapat majoriti ulama' menyebut bahawa orang yang benar-benar bertaubat dengan memenuhi segala rukun dan syarat taubat, maka dapat dipastikan penerimaan taubatnya di sisi Allah SWT. Hal ini sepertimana disebut oleh Ibn Rajab:

أَنَّ مَنْ تَابَ إِلَى اللَّهِ تَوْبَةً نَصُوحًا، وَاجْتَمَعَتْ شُرُوطُ التَّوْبَةِ فِي حَقِّهِ، فَإِنَّهُ يُقْطَعُ بِقَبُولِ اللَّهِ تَوْبَتَهُ، كَمَا يُقْطَعُ بِقَبُولِ إِسْلَامِ الْكَافِرِ إِذَا أَسْلَمَ إِسْلَامًا صَحِيحًا، وَهَذَا قَوْلُ الْجُمْهُورِ، وَكَلَامُ ابْنِ عَبْدِ الْبَرِّ يَدُلُّ عَلَى أَنَّهُ إِجْمَاعٌ
"Orang yang bertaubat kepada Allah SWT dengan taubat nasuha, memenuhi semua syarat taubat bagi dirinya, maka boleh dipastikan Allah SWT menerima taubat dirinya. Ini sepertimana boleh dipastikan orang kafir yang masuk Islam dengan benar. Inilah pendapat majoriti ulama'. Keterangan Ibn Abd al-Bar menunjukkan bahawa perkara tersebut telah menjadi kesepakatan ulama'." (Lihat Jami' al-'Ulum wa al-Hikam, 1/418)

Antara dalil mereka ialah firman Allah SWT:

إِنَّ اللَّـهَ لَا يَغْفِرُ أَن يُشْرَكَ بِهِ وَيَغْفِرُ مَا دُونَ ذَٰلِكَ لِمَن يَشَاءُ
"Sesungguhnya Allah tidak akan mengampunkan dosa syirik mempersekutukan-Nya (dengan sesuatu apa jua), dan akan mengampunkan dosa yang lain dari itu bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya (menurut aturan SyariatNya)." [Surah al-Nisa' (48)]

Ibn Kathir berkata: "Allah SWT memberitahu bahawa Dia tidak mengampuni perbuatan syirik dengan maksud Dia tidak mengampuni seseorang hamba yang menemui-Nya (mati) dalam keadaan musyrik. Sebaliknya Allah SWT mengampuni dosa yang selain itu bagi mereka yang dikehendaki-Nya daripada kalangan hamba-Nya." (Lihat Tafsir al-Quran al-'Azim, 2/327)

Begitu juga dalam sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Aisyah R.Anha, Nabi SAW bersabda:

إِنَّ الْعَبْدَ إِذَا اعْتَرَفَ بِذَنْبِهِ ثُمَّ تَابَ تَابَ اللَّهُ عَلَيْهِ
"Sesungguhnya hamba, jika dia mengakui dosanya dan kemudian dia bertaubat, nescaya Allah SWT menerima taubatnya." [Riwayat al-Bukhari (2661)]

Mulla Ali al-Qari dalam Mirqat al-Mafatih (4/1616) menyebut: "Iaitu seseorang yang menyedari keadaan dirinya yang berdosa, kemudian dia bertaubat dengan memenuhi segala rukun dan syarat-syaratnya seperti menyesal, meninggalkannya, berazam dan berusaha memperbaiki diri maka Allah SWT akan menerima taubatnya berdasarkan firman-Nya:

وَهُوَ الَّذِي يَقْبَلُ التَّوْبَةَ عَنْ عِبَادِهِ
"Dan Dia lah Tuhan yang menerima taubat dari hamba-hamba-Nya (yang bertaubat)." [Surah al-Syura (25)]

Al-Qurtubi berkata: "Allah pasti mengampunkan sebarang bentuk dosa iaitu dari perlakuan syirik sebelum mereka Islam. Dan Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan dari kebaikan dan kejahatan." (Lihat al-Jami' li Ahkam al-Quran, 7/27)




Kedua, berkenaan tanda-tanda Allah SWT menerima taubat seseorang ialah antaranya apabila sikap dan akhlaknya berubah, jiwanya menjadi dekat dan kasih dengan masjid, akhlak dan bahasanya baik, dia merasa seronok untuk melakukan ibadat serta dia tetap berterusan memohon keampunan kepada Allah SWT. Maka itu adalah merupakan antara tanda Allah SWT menerima ibadatnya.

Abu al-Laith al-Samarqandi dalam kitabnya Tanbih al-Ghafilin menyatakan bahawa sebahagian hukama' menyebut: "Taubat seseorang dapat diketahui pada empat perkara:
  • Jika dia sudah dapat mengawal lidahnya daripada berkata dusta, ghibah dan kata-kata yang tidak penting baginya.
  • Jika sudah tidak ada rasa hasad, dengki, iri hati terhadap semua manusia.
  • Jika telah menjauhi rakan taulan yang jahat.
  • Sentiasa bersiap sedia menghadapi mati dan selalu beristighfar menyesali dosa-dosanya yang lalu serta bersungguh-sungguh dalam melakukan ibadah kepada Tuhannya." (Lihat Tanbih al-Ghafilin bi Ahadith Sayyid al-Anbiya' wa al-Mursalin, hlm. 109)

Sebahagian ahli hikmah telah ditanya: "Adakah ada tanda bahawa taubat seseorang itu telah diterima?" Mereka menjawab: "Ya, empat tanda taubatnya diterima, iaitu:
  • Memutuskan hubungan dengan kawan-kawannya yang tidak baik dan bergaul dengan orang-orang yang soleh.
  • Menghentikan semua jenis maksiat dan rajin melakukan ibadat.
  • Hilang rasa bersenang-senangan dengan dunia daripada hatinya, dan selalu mengingati kesusahan hari akhirat.
  • Percaya dan yakin dengan jaminan Allah SWT dalam soal rezeki, lalu dia menyibukkan dirinya dengan melakukan apa yang diperintahkan oleh Allah SWT." (Lihat Tanbih al-Ghafilin, 110)
Justeru, mereka menyebut apabila terdapat semua sifat tersebut, maka termasuklah dia dari kalangan mereka yang disebut oleh Allah SWT:

إِنَّ اللَّـهَ يُحِبُّ التَّوَّابِينَ وَيُحِبُّ الْمُتَطَهِّرِينَ
"SesungguhNya Allah mengasihi orang-orang yang banyak bertaubat, dan mengasihi orang-orang yang sentiasa mensucikan diri." [Surah al-Baqarah (222)]

Atha', Muqatil bin Sulaiman dan al-Kalbi mentafsirkan ayat ini bahawa Allah suka kepada mereka yang sentiasa bertaubat dari dosa dan suka mensucikan diri dengan air daripada sebarang hadas dan najis. (Lihat Ma'alim al-Tanzil, 1/259)

Sebagai kesimpulan, bukanlah bermakna seseorang yang telah mempunyai tanda-tanda taubatnya diterima Allah itu supaya berhenti memohon taubat. Malah sejelas-jelas tanda seseorang itu insaf akan dirinya adalah dia sentiasa istiqamah dan berterusan dalam memohon taubat kepada Allah SWT sepanjang hayatnya sebagaimana yang digambarkan oleh Nabi SAW sendiri yang diriwayatkan beristighfar dalam sehari sebanyak 100 kali.

Ini sebagaimana yang disebutkan oleh Baginda SAW dalam hadith yang diriwayatkan daripada al-Aghar al-Muzani:

إِنَّهُ لَيُغَانُ عَلَى قَلْبِى وَإِنِّى لأَسْتَغْفِرُ اللَّهَ فِى الْيَوْمِ مِائَةَ مَرَّةٍ
"Sesungguhnya dilitupi pada hatiku (dengan kelalaian daripada berzikir) dan aku memohon ampun kepada Allah SWT, sehari seratus kali." [Riwayat Muslim (7033) dan Abu Daud (1517)]

Imam Nawawi menyebut dengan menukilkan pendapat ahli bahasa: "Perkataan 'ليغان' bermaksud apa-apa yang melitupi hati." Al-Qadhi 'Iyadh pula berkata: "Dikatakan maksudnya ialah waktu-waktu lemah dan lalai daripada zikir yang sepatutnya berterusan. Apabila hal ini berlaku, dia mengira sebagai dosa, justeru dia beristighfar. Ada pendapat berkata, dikatakan kerana Rasulullah SAW amat prihatin dan runsing terhadap umatnya." (Lihat Syarh al-Nawawi 'ala Sahih Muslim, 17/23)

Semoga kita termasuk dalam kalangan mereka yang sentiasa bertaubat dan diterima taubatnya di sisi Allah SWT. Amin. Kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا ظَلَمْنَا أَنفُسَنَا وَإِن لَّمْ تَغْفِرْ لَنَا وَتَرْحَمْنَا لَنَكُونَنَّ مِنَ الْخَاسِرِينَ
"Wahai Tuhan kami, kami telah menganiaya diri kami sendiri, dan kalau Engkau tidak mengampunkan kami dan memberi rahmat kepada kami, nescaya menjadilah kami dari orang-orang yang rugi." [Surah al-A'raf (23)]

+ Ustaz Dr. Zulkifli Mohamad Al Bakri | Mufti Wilayah Persekutuan
+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media