Saturday, April 13, 2019

Oh! Media

Oh! Media


Proton Iriz dan Persona Baharu Dipamerkan Buat Pertama Kali

Posted: 12 Apr 2019 06:49 AM PDT


Sempena Pemeran Auto Malaysia 2019, Proton telah memperkenalkan Iriz dan Persona baharu buat pertama kalinya. Ia juga akan dirasmikan tidak lama lagi oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Kedua-dua kereta itu mendapat rekaan baharu, hasil dari kerjasama antara kumpulan Reka Bentuk PROTON dan pereka dari studio reka bentuk Geely lain di seluruh dunia.


Ciri baharu lain termasuklah 'ethereal bow' serta corak 'infinite weave' yang dipadankan pada gril hadapan serta bampar hadapan dan belakang baharu di samping reka bentuk rodanya.

Proton juga telah menambah beberapa ciri lain, seperti menggunakan kad eSIM untuk memastikan kereta berkenaan kekal bersambung ke Internet.




Untuk pengetahuan korang, Proton Iriz kini juga telah menerima 367 penambahbaikan dan Persona pula telah menerima 303 penambahbaikan. Setakat ini sebanyak 8,000 tempahan telah diterima Proton.


+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media.


Pasangan Selebriti Khai dan Rosma Timang Anak Ketiga

Posted: 12 Apr 2019 05:23 AM PDT


Semalam, penyanyi Khai atau namanya Mohammad Khairul Nizam Mohammad Wahi telah berkongsi di akaun Instagramnya yang isterinya Rosma telah selamat melahirkan anak ketiganya di sebuah pusat perubatan di Bangi.

Khai dan Rosma menerima bayi perempuan yang diberi nama Nur Alya Dhania dan dilahirkan secara normal dengan berat 2.48 kilogram.

"Alhamdulillah, senang kali ini proses melahirkan anak ketiga kami. Semuanya dipermudahkan.

"Terima kasih atas layanan baik doktor dan stafnya. Juga atas doa semua ahli keluarga, sanak saudara dan peminat," kata Khai.




Khai juga berkongsi rasa gembiranya yang menganggap bulan April ini banyak peristiwa penting berlaku dalam hidupnya.

"Bulan ini banyak peristiwa penting berlaku dalam hidup saya. Pada 11 April, anak ketiga kami dilahirkan, 16 April pula hari lahir isteri saya. Manakala 26 April adalah tarikh ulang tahun perkahwinan kami," katanya.

Dengan hadirnya anak ketiga ini, Khai dan Rosma kini dikurniakan tiga cahaya mata, iaitu Muhammad Amzar Danish, 9, Nur Amani Damia, 4 dan Alya.



+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media.

RON97 Naik 5 Sen Manakala Kekal Untuk RON95 dan Diesel

Posted: 12 Apr 2019 05:22 AM PDT


Netizen memang gemar untuk mengaitkan sesuatu perkara dengan sesuatu perkara. Contohnya jika harga minyak turun hari ini, pasti akan ada orang yang mengatakan bahawa ia gula-gula politik.

Namun, esok akan berlangsung PRK DUN Rantau, tapi tetap tidak dapat menghalang kenaikan harga runcit petrol bagi RON97 yang akan naik  5 sen kepada RM2.68 seliter malam ini.




Bagi RON95 dan diesel pula ia tetap kekal pada harga maksimum pada kadar RM2.08 dan RM2.18 seliter.

Kementerian Kewangan dalam kenyataan hari ini, berkata harga bahan api berkenaan ditetapkan bagi tempoh 13 hingga 19 April ini berdasarkan penetapan harga runcit produk petroleum secara mingguan menggunakan formula Mekanisme Harga Automatik (APM).

"Berdasarkan pengiraan di bawah formula APM, harga runcit produk petrol RON95 dan diesel bagi tempoh 13 Mac hingga 19 April ini masing-masing sepatutnya RM2.38 seliter dan RM2.39 seliter.

+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media.

Netanyahu Terus Berkuasa - Pencerobohan Ke Atas Palestin Terus Berjalan

Posted: 12 Apr 2019 02:57 AM PDT


Pilihan raya Israel yang diadakan tempoh hari telah menyaksikan Benjamin Netanyahu telah menang dan akan teruskan agenda Yahudinya.

Pertubuhan Pembebasan Palestin juga berkata, kemenangan itu telah menyebabkan harapan rakyat Palestin untuk memiliki negara sendiri akan terus tertutup.




Ini kerana, Netanyahu telah berjanji dalam manifestonya untuk terus merampas kawasan penempatan Yahudi di wilayah Tebing Barat jika dia masih dipilih.

Ini juga membuktikan bahawa rakyat Israel terus menyokong sebulat suara "tidak kepada keamanan" kata Hanan Ashrawi, ahli PLO.

"Kami kesal kerana rakyat Israel mengunci mereka yang mahu mengekalkan status quo dan mereka telah menyatakan tidak kepada keamanan dan ya kepada pencerobohan". katanya lagi.

+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media.

Sepakan Cantik Safawi Tercalon Dalam Allianz Goal Of The Week

Posted: 12 Apr 2019 01:08 AM PDT


Nampaknya Allianz Goal Of The Week telah menyenaraikan jaringan gol terbaik mingguan dan pemain Johor Darul Ta'zim iaitu Safawi Rasid berjaya tersenarai apabila menjadi pemain Malaysia pertama yang berjaya menjaringkan gol dalam saingan Liga Juara-Juara Asia (ACL).

Sepakan gol melencong dari tepi telah dijaringkan pada aksi perlawanan menentang Shandong Luneng pada minit ke 60'.



Tiga lagi jaringan daripada pemain Persepolis, Shojae Khalilzadeh, pemain Pakhtakor Taskent, Khojiakbar Alijonov dan ketua pasukan Al-Sadd, Xavi Hernandez turut tersenarai dalam calon untuk anugerah gol mingguan terbaik.



Jadi seperti biasa, anugerah gol terbaik mingguan ini akan ditentukan oleh peminat yang boleh diundi di Allianz Goal OF the Week. Undian semasa sekarang juga menunjukkan Safawi Rasid masih ketinggalan di belakang Shojae Khalilzadeh yang kini mendapat 141,170 undian manakala Safawi ditempat kedua dengan 41,975 undian.


+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media.


'Manusia Kalkulator' Yaashwin Cipta Nama di Tempat Kedua Asia's Got Talent 2019

Posted: 12 Apr 2019 12:11 AM PDT


Malam tadi, telah diumumkan pemenang bagi program realiti Asia's Got Talent dan wakil Malaysia Yaashwin Sarawanan yang digelar 'Manusia Kalkulator' berjaya menduduki tempat kedua sekaligus mengharumkan nama Malaysia.

Yaashwin yang kini baru sahaja berusia 15 tahun dan merupakan pelajar tingkatan 3 dari Sekolah Menengah Kebangsaan SMK Bandar Tun Hussein Onn itu merupakan rakyat Malaysia pertama yang berjaya dalam rancangan ini.




Juara AGT untuk musim kali ini menjadi milik ahli silap mata dari Taiwan, Eric Chien yang berjaya memukau penonton dengan muslihatnya.

Satu lagi penyertaan Malaysia ke peringkat akhir iaitu kumpulan Nama, kandas dalam kelompok awal finalis bersembilan.

Semua pemenang bagaimanapun ditentukan oleh undian sepenuhnya oleh penonton sepanjang seminggu dari pentas akhir bermula sehinggalah pengumuman pemenang malam tadi.

Saksikan persembahan Yaashwin di pentas akhir:



+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media.


Cili Merah Vietnam Kandungi Peratusan Racun Yang Tinggi

Posted: 11 Apr 2019 08:30 PM PDT


FAMA kini telah bertindak tegas menghalang kemasukan cili merah dari Vietnam yang didapati mengandungi peratusan racun melebihi kadar ditetapkan kerajaan.

Pengerusinya, Ishak Ismail, berkata usaha berkenaan mendapat sokongan sepenuhnya Kementerian Pertanian Industri Asas Tani yang memandang serius kes berkenaan kerana boleh menjejaskan kesihatan penduduk.

"Kita sudah memaklumkan peniaga sayuran di semua pasar tani seluruh negara supaya tidak menjual cili merah Vietnam bagi mengelak barang jualan mereka dirampas.

"Cili merah berkenaan dijual pada harga lebih rendah berbanding cili tempatan namun ia membahayakan kesihatan pengguna," katanya selepas mengadakan lawatan kerja ke Pasar Tani Kekal Pekan, di sini, semalam.

Katanya, sekatan terhadap kemasukan cili merah Vietnam itu menyebabkan bekalan cili di pasaran tempatan terutama di pasar tani, pasar borong dan pasar besar berkurangan, namun FAMA sudah mengambil langkah sewajarnya untuk mengatasi masalah itu.

Gosok Gigi Sebelum Mandi Wajib

Posted: 11 Apr 2019 04:55 PM PDT


Soalan:
Adakah sah mandi wajib jika gosok gigi terlebih dahulu? Terima kasih ustaz.

Jawapan :
Mandi merupakan salah satu cara untuk mengangkat hadas dan membersihkan diri. Ini berdasarkan kepada firman Allah di dalam Al-Quran:

إِنَّ ٱللَّـهَ يُحِبُّ ٱلتَّوَّٰبِينَ وَيُحِبُّ ٱلْمُتَطَهِّرِينَ
"Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang banyak bertaubat, dan mengasihi orang-orang yang sentiasa mensucikan diri." (Surah Al-Baqarah: 222)

Mandi ada dua jenis. Salah satunya adalah mandi wajib. Mandi wajib merupakan syarat sah bagi satu-satu ibadat. Ada beberapa keadaan yang diwajibkan untuk mandi. Antaranya haid, nifas, berjimak, keluar air mani dan sebagainya. Ada beberapa riwayat yang menunjukkan jika seseorang melakukan atau berada di dalam keadaan tertentu maka diwajibkan untuk mandi. Di antaranya sabda Nabi SAW:

إِذَا جَلَسَ بَيْنَ شُعَبِهَا الْأَرْبَعِ ثُمَّ جَهَدَهَا فَقَدْ وَجَبَ الْغَسْلُ
"Jika seseorang duduk di antara kedua-dua betis dan peha (perempuan) kemudian dia menyetubuhinya maka wajib mandi (baginya)." [Riwayat Al-Bukhari (291)]




Tanpa mandi wajib maka tidak sahlah mana-mana ibadat yang dilakukan. Berbalik kepada persoalan yang dikemukakan, perlu diketahui bahawa sah atau tidak mandi wajib tertakluk kepada dua rukun. Iaitu niat dan meratakan air ke seluruh badan.

Sheikh Salim Bin Sumair Al-Hadrami, pengarang kitab Safinah Al-Naja menyebut: "Rukun mandi ada dua. Iaitu niat dan meratakan air keseluruhan badan." (Rujuk Safinah Al-Naja Fi Ma Yajibu Al-Abdi Li Maulahu, hlm 2)

Jika dua rukun ini dipenuhi maka mandi tersebut dianggap sah. Adapun selain daripada itu ianya adalah sunat sahaja. Sunat-sunat ketika mandi terlalu banyak untuk disebutkan. Di antaranya ialah membaca bismillah, bersiwak, menghadap kiblat dan lain-lain lagi. Al-Khatib Al-Syarbini menyebut bahawa sunat-sunat mandi terlalu banyak untuk disebutkan. Lima daripadanya ialah membaca Bismillah, berwuduk sebelum mandi, meratakan air dengan tangan, mualat dan mendahulukan bahagian kanan. (Rujuk Al-Iqna' Fi Hilli Alfaz Abi Syuja', 1/63)

Kesimpulannya, sah mandi wajib seseorang jika dia mengosok gigi atau melakukan apa sahaja sebelum mandi. Ini kerana di antara rukun mandi yang wajib untuk dilakukan ialah niat dan meratakan air keseluruhan. Selain daripada dua perkara ini adalah sunat sahaja.

Wallahua'alam.

+ Ustaz Dr. Zulkifli Mohamad Al Bakri | Mufti Wilayah Persekutuan
+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media

Mengapa Didahulukan Berbuat Baik Kepada Ibu Sebanyak Tiga Kali?

Posted: 11 Apr 2019 04:40 PM PDT


Soalan:
Mengapakah kedudukan seorang ibu diutamakan sebanyak tiga kali melebihi kedudukan seorang bapa dari sudut anjuran berbuat kebaikan kepada keduanya?

Jawapan:
Islam adalah sebuah agama yang sangat menitik beratkan soal berbuat baik kepada kedua ibubapa. Bahkan amalan birr al-walidayn (berbuat baik kepada kedua ibubapa) merupakan antara ibadah yang paling besar selepas tauhid kepada Allah S.W.T. Ini seperti yang ditunjukkan oleh firman Allah S.W.T:

وَاعْبُدُوا اللَّهَ وَلَا تُشْرِكُوا بِهِ شَيْئًا ۖ وَبِالْوَالِدَيْنِ إِحْسَانًا
"Dan bertauhidlah kamu kepada Allah dan jangan sesekali kamu mensyirikkan Allah dengan sesuatu pun. Dan hendaklah kamu berbuat baik kepada kedua ibubapa." [Surah Al-Nisa' (36)]

Justeru, apabila kita melihat kepada konteks ayat di atas, Allah S.W.T meletakkan anjuran dan tuntutan berbuat baik kepada kedua ibubapa sebaik sahaja memerintahkan kepada umat Islam untuk mentauhidkan-Nya serta tidak mensyirikkan Allah dengan sesuatu.

Meskipun kita dituntut untuk berbuat baik dengan kedua ibubapa, namun di sana terdapatnya sebuah riwayat yang melebihkan kedudukan seorang ibu berbanding bapa dalam isu berbuat kebaikan kepadanya. Ini dapat kita lihat berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.A bahawa seorang lelaki telah bertanya kepada Rasulullah S.A.W: "Wahai Rasulullah, siapakah manusia yang paling berhak untuk aku berbuat baik kepadanya?" Maka Rasulullah S.A.W. menjawab:

أُمُّكَ ثُمَّ أُمُّكَ ثُمَّ أُمُّكَ ثُمَّ أَبُوكَ
"Ibu kamu (adalah manusia yang paling berhak untuk kamu berbuat baik kepadanya), kemudian ibu kamu, kemudian ibu kamu, kemudian bapa kamu." [Riwayat Muslim (2548)]

Maka diambil manfaat daripada hadis ini bahawa seorang ibu didahulukan dalam proses berbuat baiknya seorang anak itu kepada kedua ibubapanya sebanyak tiga kali ke atas bapanya. Bahkan telah disebutkan ijma' para ulama seperti yang dinyatakan oleh Imam al-Haris al-Muhasibi dalam mentafdhilkan (mengutamakan) berbuat baik kepada ibu ke atas bapa disebabkan sarihnya madlul (isi yang ditunjukkan) oleh hadis di atas ini.

Manakalah perkataan حُسْنِ الصُّحْبَةِ di dalam hadis di atas membawa maksud berbuat baik, berlemah lembut, merendahkan diri di hadapan mereka, mengasihi, memuliakan, serta mentaati mereka dalam hal-hal yang makruf. Ini dibuktikan dengan beberapa firman Allah S.W.T, antaranya:

وَاخْفِضْ لَهُمَا جَنَاحَ الذُّلِّ مِنَ الرَّحْمَةِ
"Dan rendahkanlah kepada kedua ibubapa kamu sayap kehinaan (rendahkan diri kamu) disebabkan perasaan kasih sayang (kepada mereka)." [Surah al-Isra' (24)]

Berikut kami kongsikan beberapa kelebihan berbuat baik kepada ibu menerusi nas dari al-Quran dan al-Sunnah. Antaranya:

Pertama: Peribadi Akan Menjadi Santun dan Bahagia

Ini merupakan mafhum dari firman Allah S.W.T:

وَبَرًّا بِوَالِدَتِي وَلَمْ يَجْعَلْنِي جَبَّارًا شَقِيًّا
"Dan aku (Nabi Isa) berbuat baik kepada ibuku dan Allah tidak menjadikan aku ini bersikap keras dan derita." [Surah Maryam (32)]

Maka difahami daripada ayat di atas bahawa Allah S.W.T tidak menjadikan Nabi Isa A.S sebagai seorang yang keras (sombong dan bongkak) dan juga orang yang menderita, sebaliknya baginda menjadi individu yang santun dan bahagia disebabkan ketaatan baginda kepada ibunya Maryam.




Kedua: Memperoleh Kemustajaban Doa

Dalam sebuah hadis yang panjang, daripada Umar bin al-Khattab R.A beliau berkata bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:

فَإِنِ اسْتَطَعْتَ أَنْ يَسْتَغْفِرَ لَكَ فَافْعَلْ
"Sekiranya kamu mampu untuk meminta supaya dia (Uwais al-Qarani) memohon keampunan Allah buat kamu, maka lakukanlah."

Ini adalah saranan dari Rasulullah S.A.W, iaitu untuk meminta Uwais al-Qarani yang merupakan seorang tabiin memohon keampunan Allah untuk Umar. Sedangkan Umar berada pada kedudukan yang jauh lebih tinggi dan afdhal berbanding Uwais. Hal ini tidak lain tidak bukan adalah disebabkan amalan mulia yang dilakukan oleh Uwais al-Qarani, seperti yang dikatakan oleh Nabi S.A.W:

لَهُ وَالِدَةٌ هُوَ بِهَا بَرٌّ
"Dia (Uwais) mempunyai seorang ibu yang dia amat taat kepadanya."

Justeru, dapat diambil isyarat daripada hadis di atas bahawa perbuatan berbuat baik dan mentaati ibu akan menjadikan seseorang itu memperoleh doa yang mustajab.

Dalam menjawab persoalan yang dikemukakan, berikut kami kongsikan kata-kata Imam al-Nawawi yang menukilkan pendapat para ulama yang menjelaskan sebab-sebab didahulukan seorang ibu dengan kata mereka: "Sebab didahulukan seorang ibu (dalam berbuat baik) adalah kerana banyaknya kepenatan yang ditanggung oleh seorang ibu disebabkan anaknya. Demikian juga kerana sifat kasih dan sayangnya ibu kepada anak, serta berterusannya kepayahan yang ditanggungnya sepanjang proses mengandungkan anak, kemudian melahirkannya, kemudian menyusukannya, kemudian mendidik dan membesarkan anak serta sakit yang ditanggungnya sepanjang proses tersebut." [Rujuk Al-Minhaj Syarah Sahih Muslim, Al-Nawawi (16/79)]

Manakala Syeikh Mulla 'Ali al-Qari dalam syarahan beliau ke atas hadis ini berkata: "Sebab didahulukan ibu sebanyak tiga kali ada diisyaratkan melalui firman Allah S.W.T:

حَمَلَتْهُ أُمُّهُ كُرْهًا وَوَضَعَتْهُ كُرْهًا ۖ وَحَمْلُهُ وَفِصَالُهُ ثَلَاثُونَ شَهْرًا
"Seorang manusia itu, dia telah dikandungkan oleh ibunya dalam keadaan yang penuh kesukaran dan begitu juga dia dilahirkan oleh ibunya dalam keadaan yang penuh kepayahan. Dan kandungan serta susuan (kepada anak) adalah selama tiga puluh bulan." [Surah Al-Ahqaf (15)]

Maka didahulukan ibu sebanyak tiga kali adalah disebabkan tiga perkara yang terkhusus dengan seorang ibu iaitu kepenatan dalam mengandungkan bayi, kesukaran dalam proses melahirkan anak, serta ujian yang dihadapi semasa menyusukan bayi." [Rujuk Mirqaat al-Mafatiih, Mulla Ali al-Qari (7/3079)]

Penutup

Sebagai kesimpulan, marilah kita sama-sama mempertingkatkan amalan berbuat baik kepada kedua ibubapa kita, lebih-lebih lagi kepada seorang ibu yang telah mengandungkan, melahirkan kita ke dunia dengan penuh jerih perih, serta menyusukan kita dengan penuh kesabaran.

Marilah kita sentiasa memperbanyakkan bacaan doa:

رَّبِّ ارْحَمْهُمَا كَمَا رَبَّيَانِي صَغِيرًا
"Wahai Tuhan, kasihilah keduanya (ibubapa ku) sebagaimana mereka mendidik aku semasa aku kecil." [Surah Al-Isra' (24)]

Akhir kalam, semoga Allah S.W.T memberikan kefahaman yang tepat kepada kita semua dalam beragama. Ameen.

+ Ustaz Dr. Zulkifli Mohamad Al Bakri | Mufti Wilayah Persekutuan
+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media

Mengeluarkan Zakat Secara Persendirian Tanpa Melalui Baitulmal

Posted: 11 Apr 2019 04:29 PM PDT


Soalan:
Bolehkah saya memberikan zakat kepada sekolah tahfiz tanpa melalui Baitulmal?

Jawapan:
Allah SWT telah mensyariatkan zakat sebagai salah satu ibadah utama daripada lima rukun Islam. Daripada Abdullah Ibn 'Umar meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda:

بُنِيَ الإِسْلاَمُ عَلَى خَمْسٍ شَهَادَةِ أَنْ لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَأَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ وَإِقَامِ الصَّلاَةِ وَإِيتَاءِ الزَّكَاةِ وَحَجِّ الْبَيْتِ وَصَوْمِ رَمَضَانَ
"Islam itu dibangunkan di atas lima perkara iaitu bersaksi bahawa tiada Tuhan melainkan Allah SWT dan bahawa Nabi Muhammad SAW itu hamba-Nya dan pesuruh-Nya, mendirikan sembahyang, mengeluarkan zakat, menunaikan haji di Mekah dan berpuasa di bulan Ramadhan." [Hadith riwayat Muslim (1/21)]

Zakat merupakan satu ibadah yang istimewa dalam syariat Islam kerana ia memangkin pertumbuhan ekonomi dan menjaga kebajikan golongan yang kurang bernasib baik. Terdapat begitu banyak hikmah pensyariatan zakat. Antaranya ialah mengagihkan kekayaan daripada golongan yang kaya kepada golongan yang memerlukan bantuan supaya harta tidak kaku atau berlegar dalam kalangan golongan tertentu sahaja serta membersihkan harta bagi pembayar zakat. Firman Allah SWT:

كَيْ لَا يَكُونَ دُولَةً بَيْنَ الْأَغْنِيَاءِ مِنكُمْ ۚ
"..(Ketetapan yang demikian) supaya harta itu tidak hanya beredar di antara orang-orang kaya dari kalangan kamu." [Surah al-Hasyr: 7]

Zakat pula hendaklah diberikan kepada asnaf yang berhak untuk menerimanya seperti firman Allah SWT dalam al-Quran al-Karim:

إِنَّمَا الصَّدَقَاتُ لِلْفُقَرَاءِ وَالْمَسَاكِينِ وَالْعَامِلِينَ عَلَيْهَا وَالْمُؤَلَّفَةِ قُلُوبُهُمْ وَفِي الرِّقَابِ وَالْغَارِمِينَ وَفِي سَبِيلِ اللَّهِ وَابْنِ السَّبِيلِ فَرِيضَةً مِّنَ اللَّهِ وَاللَّهُ عَلِيمٌ حَكِيمٌ
"Sesungguhnya sedekah-sedekah (zakat) itu hanyalah untuk orang-orang fakir, dan orang-orang miskin, dan amil-amil yang mengurusnya, dan orang-orang mualaf yang dijinakkan hatinya, dan untuk hamba-hamba yang hendak memerdekakan dirinya, dan orang-orang yang berhutang, dan untuk (dibelanjakan pada) jalan Allah, dan orang-orang musafir (yang keputusan) dalam perjalanan. (Ketetapan hukum yang demikian itu ialah) sebagai satu ketetapan (yang datangnya) dari Allah. Dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana." [Surah al-Taubah: 60]

Hukum menunaikan zakat bagi orang Islam yang mencukupi syaratnya adalah wajib secara nas dan ijma' sepertimana yang termaktub dalam surat yang ditulis oleh Sayyidina Abu Bakar RA:

هَذِهِ فَرِيضَةُ الصَّدَقَةِ الَّتِي فَرَضَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَلَى المُسْلِمِينَ
"Kefarduan sedekah (yakni zakat) ini ialah seperti mana yang difardukan oleh Rasulullah SAW ke atas kaum Muslimin." [Hadith riwayat Bukhari: 1454]




Para fuqaha' bersepakat bahawa pemerintah mempunyai hak untuk mengutip dan mengagihkan zakat, serta pemerintah hendaklah mengurusnya secara sistematik dan tersusun. Ini supaya zakat tersebut dapat diuruskan dengan efisyen serta memastikan ia disalurkan kepada golongan asnaf yang benar-benar memerlukan. (Rujuk Fiqh al-Zakat al-Qaradawi, 2/208)

Justeru, pemerintah wajib untuk melantik amil untuk memungut zakat. Rasulullah SAW dan para khalifah selepas Baginda telah menghantar wakil-wakil untuk memungut zakat. Ini kerana dalam kalangan masyarakat ada yang tidak mengetahui kewajiban untuk mengeluarkan zakat atau bakhil, maka wajib atas pemimpin untuk melantik wakil bagi memungutnya. (Rujuk Kitab Al-Majmu' Syarh Muhazzab 6/168)

Mengikut undang-undang di Malaysia, kuasa memungut dan mengagihkan zakat diletakkan di bawah kuasa negeri. Tugas tersebut dijalankan oleh Majlis Agama Islam Negeri (MAIN). Justeru, tindakan mengagihkan sendiri zakat tanpa melalui wakil yang dilantik pemerintah adalah melanggar undang-undang di bawah Seksyen 16(b) Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah Persekutuan) 1997 (Akta 559) dan boleh dikenakan hukuman jika sabit kesalahan.

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan kali ke-76 yang berlangsung pada tahun 2006 telah menetapkan bahawa mengagihkan zakat secara persendirian tanpa melalui Baitulmal adalah sah sekiranya diagihkan kepada asnaf yang layak. Walaubagaimanapun, perbuatan melanggar peraturan dan undang-undang dalam perkara kebaikan seperti ini adalah berdosa. Ini kerana Islam mewajibkan umatnya untuk patuh dan taat kepada pemerintah (ulil amri) pada perkara kebaikan.

Kesimpulan

Berdasarkan hujah dan perbincangan di atas, kami berpandangan bahawa sebaiknya zakat tersebut diserahkan kepada pihak berwajib yang telah dilantik oleh pemerintah (ulil amri) seperti di Pusat Pungutan Zakat, Majlis Agama Islam Negeri atau pihak-pihak yang dilantik oleh pemerintah. Ini kerana mentaati pemerintah (ulil amri) dalam perkara kebaikan merupakan kewajipan seorang Muslim.

Manakala jika ingin memberikan bantuan persendirian kepada pihak yang memerlukan seperti sekolah tahfiz, rumah anak yatim dan sebagainya, maka kami berpandangan perkara tersebut sangat dialu-alukan dihulurkan sebagai sedekah atau sumbangan peribadi, dan bukan zakat.

Semoga Allah SWT sentiasa memberi taufiq dan hidayah kepada kita untuk terus melaksanakan amal soleh dan ketaatan kepada-Nya. Amin. Wallahu a'lam.

+ Ustaz Dr. Zulkifli Mohamad Al Bakri | Mufti Wilayah Persekutuan
+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media