Monday, April 15, 2019

Oh! Media

Oh! Media


Sultan Johor Ingatkan Agar Orang Luar Tidak Campuri Urusan Tadbir Johor

Posted: 14 Apr 2019 07:25 AM PDT


Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar bertitah negeri Johor tidak memerlukan orang lain mencampuri urusan pentadbiran negeri Johor kerana ia mempunyai adat dan cara pemerintahan tersendiri.

"Kedaulatan Johor, kesucian agama Islam dan keistimewaan orang Melayu hendaklah sentiasa dipelihara daripada diganggu-gugat oleh pihak luar yang berselindung disebalik perjuangan hak asasi manusia," titah Sultan Ibrahim.

Titah Sultan Ibrahim, pihak terbabit tidak perlu membuang masa dengan bercakap mengenai perkara yang tidak berfaedah dengan menabur fitnah dan mereka-reka cerita hanya untuk menarik perhatian atau mengelirukan rakyat.

Sebaliknya, titah baginda, mereka seharusnya menumpukan perhatian untuk membantu kehidupan "rakyat yang susah" dan meningkatkan kemajuan ekonomi negara.

"Saya harap beliau akan dapat memikul tanggungjawab dengan jujur, ikhlas dan amanah, serta mengutamakan kepentingan negeri berbanding kepentingan diri atau politik, demi kesejahteraan hidup rakyat dan kemakmuran ekonomi Johor," titah baginda.

+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media.

Citylink Malaysia Akan Mulakan Penerbangan Tambang Rendah

Posted: 14 Apr 2019 05:03 AM PDT


Selain dari syarikat penerbangan Air Asia, kini akan ada sebuah lagi syarikat penerbangan tambang rendah Malaysia yang akan ditubuhkan.

Syarikat terbabit itu adalah menerusi penubuhan Citilink Malaysia Aviation Sdn Bhd dan dijangka akan memulakan operasinya dalam setahun dua lagi.




Kini pihak Citilink sedang giat mendapatkan Sijil Pengendali Udara (AOC) dari Lembaga Penerbangan Awan Malaysia.

Namun, sekarang mereka telahpun memulakan operasi dan menggunakan AOC milik Citilink Indonesia yang akan melakukan penerbangan dari Kuala Lumpur ke Phnom Penh, Kemboja suku kedua ini.

Citylink juga hanya bercadang untuk melakukan penerbangan antarabangsa dan masih belum merancang untuk melakukan penerbangan di laluan domestik.

+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media.

Jihan Muse Syukur Sakit Pinggang Yang Dialami Hanya Akibat Terseliuh

Posted: 14 Apr 2019 01:39 AM PDT


Jihan Muse yang sebelum ini dilaporkan sering mengalamai sakit pinggang akhirnya menarik nafas lega apabila doktor mengesahkan bahawa ia hanyalah akibat terseliuh dan bukannya akbibat masalah kesihatan lain.

Jihan yang membuat pemeriksaan pengimejan resonans magnet di pusat perubatan pada Selasa lalu.

"Sakit pada bahagian pinggang itu sudah lama iaitu selepas saya melahirkan anak. Tetapi, saya biarkan saja sehingga pergerakan saya terbatas. Apabila sakit itu berlanjutan, saya cuma terfikir apakah saya mengalami slip disc.




"Tetapi, seingat saya, tidak pernah pula saya terjatuh. Disebabkan tidak tahan sakit, saya terus membuat pemeriksaan. Mujur doktor memaklumkan, kecederaan yang saya alami itu tidak serius.

Jihan juga telah memuat naik gambarnya yang sedang menjalani pemeriksaan agar semua pihak yang berusan dengannya tahu akan dirinya yang sedang kurang sihat.



+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media.

Lapangan Terbang Tercanggih Singapura Jewel Changi Mula Dibuka

Posted: 14 Apr 2019 01:39 AM PDT


Lapangan terbang terbaru dan tercanggih Singapura akhirnya telah dibuka kepada pengunjung. Namun hanya 500,000 pengunjung berdaftar sahaja yang dibenarkan untuk menjadi yang terawal untuk melihat projek mega ini.

Lapangan Terbang Jewel Changi Singapura ini telah menelan kos sebanyak $1.7 bilion (RM5.17 bilion) dan dibuka 11 April hinga 16 April 2019.




Di media sosial juga telah tersebar perkongsian mereka yang telah berkunjung ke Lapangan Terbang Jewel Changi dengan menunjukkan rekaan dalaman ia sangat menarik perhatian. Paling menarik perhatian, ia seperti mengetengahkan gabungan Marina Bay Sands dan Garden By The Bay dimana dipenuhi dengan pokok dan air terjun pada bahagian dalam.

Lapangan terbang ini juga mempunyai lebih 280 buah kedai dan turut menyediakan tempat penyimpanan beg, kaunter check-in dan tempat duduk yang banyak untuk keselesaan penumpang dan pengunjung dan 130 kabin hotel.



+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media.





Google dan Facebook Bakal Buka Cawangan di Kulim Kedah

Posted: 14 Apr 2019 12:37 AM PDT


Pejabat operasi Google dan Facebook Malaysia kini bakal dibuka di Kulim Kedah dan bukannya di sekitar Lembah Klang.

Ini setelah Kedah bakal menempatkan beberapa jenama besar di Kulim Hi-Tech dan telah mengajak syarikat Google dan Facebook untuk membuka cawangan mereka di sana bagi menjayakan pembangunan Kedah Digital yang diusahakan kerajaan negeri.





Namun, rancangan pembukaan pejabat baru ini masih di peringkat perbincangan dan penelitian jelas Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Komunikasi dan Multimedia, Badan-Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Mohd Firdaus Ahmad.

Selain daripada menarik syarikat-sayarikat besar dalam digital, kerajaan negeri juga merancang untuk membangunkan 40 menara di kawasan pedalaman melibatkan Baling, Kubang Pasu dan beberapa tempat yang lain dalam menawarkan internet dengan kelajuan pantas buat para pengguna.

+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media.

Dr Sahruddin ADUN Bukit Kepong MB Baharu Negeri Johor

Posted: 13 Apr 2019 10:26 PM PDT


Akhirnya teka teki siapakah bakal pengganti Menteri Besar baharu untuk Negeri Johor terjawab apabila hari ini telah berlangsung istiadat mengangkat sumpah sebagai MB di hadapan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.

MB yang dipilih adalah dari ADUN Bukit Kepong, Dr Sahruddin Jamal yang dilantik sebagai MB ke-17 berkuat kuasa hari ini.




Sahruddin yang sebelum ini Exco Kesihatan, Alam Sekitar dan Pertanian negeri dilantik menggalas tanggungjawab itu selepas mendapat perkenan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.

Istiadat Penyerahan Surat Tauliah dan Pengisytiharan Pelantikan MB itu diadakan pada jam 9.30 pagi tadi di Bali Mengadap Istana Bukit Serene.

+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media.

Bank Rakyat Agih 13 Peratus Dividen Tahun 2018

Posted: 13 Apr 2019 10:26 PM PDT


Bank Rakyat telah mengumumkan agihan dividen sebanyak 13 peratus bagi tahun kewangan 31 Disember 2018.

Menteri Pembangunan Usahawan, Mohd. Redzuan Md. Yusof berkata, pembayaran dividen itu melibatkan jumlah sebanyak RM379 juta kepada semua anggota.




"Saya berasa gembira dengan perkembangan ini meskipun dengan keadaan ekonomi, masalah, cabaran serta peralihan tanggungjawab pengurusan Bank Rakyat.

Untuk rekod, pada tahun kewangan berakhir 31 Disember 2017, Bank Rakyat telah mengumumkan agihan dividen sebanyak 16 peratus.

+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media.

Hati Berasa Gelisah Walaupun Sudah Bertaubat Daripada Zina

Posted: 13 Apr 2019 04:52 PM PDT


Soalan:
Saya berumur 18 tahun, belum berkahwin dan telah melakukan zina. Saya amat kesal dengan perbuatan tersebut, serta saya telah pun melakukan solat sunat taubat. Walau bagaimanapun, saya tidak merasa tenang dan saya sering merasakan saya masih hamba Allah yang berdosa besar. Saya merasa jijik terhadap diri sendiri. Adakah jalan penyelesaian terbaik untuk saya dengan mengambil hukuman sebatan? Jikalau ya, bagaimana saya boleh mendapatkan sebatan tersebut?

Jawapan:
Pengertian zina adalah persetubuhan haram di!antara lelaki dan wanita yang tidak memiliki ikatan perkawinan yang sah. Agama Islam melarang kepada umatnya daripada melakukan zina bahkan percubaan untuk mendekatinya juga dilarang. Perbuatan ini merupakan satu dosa besar bahkan kemudaratannya akan menyebabkan kepincangan institusi masyarakat terutamanya keluarga sendiri.

Dalam erti kata yang lain, perzinaan merupakan suatu yang sangat keji, kerana ia adalah punca-punca nasab (keturunan) menjadi kacau-bilau dan manusia saling bunuh-membunuh, sembelih-menyembelih, kerana mempertahankan kehormatan. (Rujuk Tafsir al-Maraghi, 8/3941-3942).

Allah SWT berfirman:

وَلَا تَقْرَبُوا الزِّنَىٰ ۖ إِنَّهُ كَانَ فَاحِشَةً وَسَاءَ سَبِيلًا
"Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat (yang membawa kerosakan)." (Surah al-Isra': 32)

Merujuk kepada persoalan yang diajukan, isu ini kelihatan mirip sepertimana kisah yang pernah berlaku di zaman Baginda Nabi SAW. Kisah diantara Maiz bin Malik yang datang bertemu Nabi SAW untuk dihukum.

Sabda Nabi SAW:

جَاءَ مَاعِزُ بْنُ مَالِكٍ إِلَى النَّبِيِّ صلى الله عليه وسلم فَقَالَ يَا رَسُولَ اللَّهِ طَهِّرْنِي ‏.‏ فَقَالَ ‏"‏ وَيْحَكَ ارْجِعْ فَاسْتَغْفِرِ اللَّهَ وَتُبْ إِلَيْهِ ‏"‏ ‏قَالَ فَرَجَعَ غَيْرَ بَعِيدٍ ثُمَّ جَاءَ فَقَالَ يَا رَسُولَ اللَّهِ طَهِّرْنِي ‏.‏ فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم ‏"‏ وَيْحَكَ ارْجِعْ فَاسْتَغْفِرِ اللَّهَ وَتُبْ إِلَيْهِ ‏"‏ ‏.‏ قَالَ فَرَجَعَ غَيْرَ بَعِيدٍ ثُمَّ جَاءَ فَقَالَ يَا رَسُولَ اللَّهِ طَهِّرْنِي ‏.‏ فَقَالَ النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم مِثْلَ ذَلِكَ حَتَّى إِذَا كَانَتِ الرَّابِعَةُ قَالَ لَهُ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم ‏"‏ فِيمَ أُطَهِّرُكَ ‏"‏ ‏.‏ فَقَالَ مِنَ الزِّنَى ‏.‏
Ma'iz telah mendatangi dan menemui Rasulullah SAW lalu berkata: "Ya Rasulullah, sucikanlah aku." Rasulullah menjawab: "Celakalah engkau, pulanglah, dan bertaubatlah kepada Allah SWT." Ma'iz pun bergerak pulang tetapi tidak lama daripada itu, dia datang semula dan berkata: "Ya Rasulullah, sucikanlah aku", maka Rasulullah SAW menjawab: "Celakalah engkau, pulanglah, pohonlah keampunan Allah SWT, dan bertaubatlah kepada-Nya." Ma'iz pun bergerak tetapi kemudian dia datang semula: "Ya Rasulullah, sucikanlah aku." Rasulullah SAW pun menjawab seperti sebelumnya sehinggalah kali yang keempat. Lalu Rasulullah bertanya: "Untuk hal apa aku perlu sucikan diri mu?" Ma'iz menjawab: "Daripada dosa zina."

فَسَأَلَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم ‏"‏ أَبِهِ جُنُونٌ ‏"‏ ‏.‏ فَأُخْبِرَ أَنَّهُ لَيْسَ بِمَجْنُونٍ ‏.‏ فَقَالَ ‏"‏ أَشَرِبَ خَمْرًا ‏"‏ ‏.‏ فَقَامَ رَجُلٌ فَاسْتَنْكَهَهُ فَلَمْ يَجِدْ مِنْهُ رِيحَ خَمْرٍ ‏.‏ قَالَ فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم ‏"‏ أَزَنَيْتَ ‏"‏ ‏.‏ فَقَالَ نَعَمْ ‏.‏ فَأَمَرَ بِهِ فَرُجِمَ فَكَانَ النَّاسُ فِيهِ فِرْقَتَيْنِ قَائِلٌ يَقُولُ لَقَدْ هَلَكَ لَقَدْ أَحَاطَتْ بِهِ خَطِيئَتُهُ وَقَائِلٌ يَقُولُ مَا تَوْبَةٌ أَفْضَلَ مِنْ تَوْبَةِ مَاعِزٍ أَنَّهُ جَاءَ إِلَى النَّبِيِّ صلى الله عليه وسلم فَوَضَعَ يَدَهُ فِي يَدِهِ ثُمَّ قَالَ اقْتُلْنِي بِالْحِجَارَةِ - قَالَ - فَلَبِثُوا بِذَلِكَ يَوْمَيْنِ أَوْ ثَلاَثَةً
Lalu Rasulullah bertanya kepada orang yang berada disekelilingnya: "Adakah dia seorang yang gila?" Sahabat itu menjawab bahawa Ma'iz seorang yang waras. Rasulullah bertanya lagi: "Adakah dia minum arak?", lalu seorang lelaki bangun dan menghidu bau mulut Ma'iz dan mendapati tiadanya bau arak. Lalu Rasulullah SAW bertanya kepada Ma'iz: "Adakah engkau telah berzina?" Ma'iz pun menjawab: "Ya." Lalu Rasulullah SAW menyuruh agar dia direjam. Ketika itu para sahabat menjadi dua kelompok. Seorang sahabat berkata: "Habislah dia, dosa-dosanya telah menyelubungi dirinya." Sahabat yang lain pula berkata: "Tidak ada taubat yang lebih afdhal daripada taubat Ma'iz." Dia datang kepada Nabi SAW, lalu meletakkan tangannya di atas tangan baginda, kemudian berkata: "Bunuhlah aku dengan rejaman batu." Kemudian hal itu ditangguhkan sehinga dua atau tiga hari.

ثُمَّ جَاءَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم وَهُمْ جُلُوسٌ فَسَلَّمَ ثُمَّ جَلَسَ فَقَالَ ‏"‏ اسْتَغْفِرُوا لِمَاعِزِ بْنِ مَالِكٍ ‏"‏ ‏.‏ قَالَ فَقَالُوا غَفَرَ اللَّهُ لِمَاعِزِ بْنِ مَالِكٍ ‏.‏ - قَالَ - فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم ‏"‏ لَقَدْ تَابَ تَوْبَةً لَوْ قُسِمَتْ بَيْنَ أُمَّةٍ لَوَسِعَتْهُمْ ‏"‏
Kemudian Rasulullah SAW datang kepada para sahabat yang sedang duduk lalu memberikan salam kepada mereka seraya berkata: "Mohonlah keampunan untuk Ma'iz bin Malik." Lalu para sahabat pun menyebut: "Semoga Allah SWT mengampuni Ma'iz bin Malik." Lalu Rasulullah SAW bersabda: "Sesungguhnya dia telah bertaubat, yang mana jika taubat itu dibahagi-bahagikan kepada seluruh umat, ia cukup untuk mereka semua."




Melalui kisah tersebut, walaupun diri merasa berdosa dan berasa takut akan taubat yang dipohon tidak akan diterima, tetapi keutamaannya adalah, Nabi SAW menyuruh mereka yang melakukan zina untuk bertaubat secara bersungguh-sungguh kerana ingatlah bahawa sifat Rahman dan Rahim Allah SWT itu Maha Agung.

Firman Allah SWT:

قُلْ يَا عِبَادِيَ الَّذِينَ أَسْرَفُوا عَلَىٰ أَنفُسِهِمْ لَا تَقْنَطُوا مِن رَّحْمَةِ اللَّهِ ۚ إِنَّ اللَّهَ يَغْفِرُ الذُّنُوبَ جَمِيعًا ۚ إِنَّهُ هُوَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ
"Wahai hamba-hamba-Ku yang telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri (dengan perbuatan-perbuatan maksiat), janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah, kerana sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa; sesungguhnya Dia lah jua Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani."

Sebagai kesimpulan, taubat yang dilakukan tersebut hendaklah benar-benar dilakukan dengan sepenuh hati dan perasaan juga keinsafan yang sesungguhnya. Bukan hanya menyebut istighfar semata-mata sedangkan hati masih ingin berterusan melakukan maksiat. Taubat nasuha dan bertekad untuk meninggalkan dosa dan menyesali dosa-dosa yang telah lalu, dan kemudian berazam bersungguh-sungguh untuk tidak mengerjakannya kembali pada masa hadapan.

Firman Allah SWT:

وَمَن يَعْمَلْ سُوءًا أَوْ يَظْلِمْ نَفْسَهُ ثُمَّ يَسْتَغْفِرِ اللَّـهَ يَجِدِ اللَّـهَ غَفُورًا رَّحِيمًا
"Dan sesiapa yang melakukan kejahatan atau menganiaya dirinya sendiri (dengan melakukan maksiat) kemudian ia memohon ampun kepada Allah, nescaya ia akan mendapati Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani." (Surah al-Nisa': 110)

Wallahua'lam.

+ Ustaz Dr. Zulkifli Mohamad Al Bakri | Mufti Wilayah Persekutuan

Hukum Bermain Permainan Mesin Claw

Posted: 13 Apr 2019 04:46 PM PDT


Soalan:
Saya melihat terdapat banyak mesin-mesin claw yang diusahakan di dalam pasaraya secara berleluasa. Persoalan saya ialah, apakah hukum bermain dengan mesin Claw? Mohon penjelasan. Terima kasih.

Jawapan:
Setiap muslim yang mengaku beriman serta berpegang dengan syariat Islam wajib mengawasi serta memastikan setiap perkara-perkara yang berlaku dalam kehidupan seharian mereka adalah selari dengan tuntutan syariat Islam. Ianya merangkumi setiap setiap amalan zahir dan juga batin. Dalam satu hadis yang diriwayatkan oleh al-Nu'man Bin Bashir R.A, Nabi SAW bersabda:

إِنَّ الْحَلاَلَ بَيِّنٌ وَإِنَّ الْحَرَامَ بَيِّنٌ وَبَيْنَهُمَا أُمُورٌ مُشْتَبِهَاتٌ
"Sesungguhnya perkara yang halal dan haram itu jelas, manakala antara kedua-duanya ada perkara-perkara yang syubhah, yang tidak jelas hukumnya." [Sunan Abi Daud (3329)]

Mesin claw adalah sejenis permainan arked yang menggunakan cakar besi dalam memperolehi barangan-barangan yang dipertaruhkan di dalam mesin tersebut. Secara khususnya, praktikal dalam permainan ini mempunyai unsur perjudian yang diharamkan oleh syariat agama Islam. Firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِنَّمَا الْخَمْرُ وَالْمَيْسِرُ وَالْأَنصَابُ وَالْأَزْلَامُ رِجْسٌ مِّنْ عَمَلِ الشَّيْطَانِ فَاجْتَنِبُوهُ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ
"Wahai orang-orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak, dan judi, dan pemujaan berhala, dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah (semuanya) kotor (keji) dari perbuatan Syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya." (Surah al-Maidah: 90)

Syeikh al-Maraghi menyebut, amalan judi adalah antara punca timbul permusuhan dan kebencian dalam kalangan orang yang berjudi. Kebiasaannya, mereka memusuhi orang yang menang dan bergembira di atas kedukaan orang lain. Perbuatan ini akan menjurus kepada pelanggaran hak kedua-dua orang tua, isteri dan anak-anak. Pada akhirnya, mereka akan menjadi bahan cemuhan dan kebencian.

Memang judi boleh menjadikan orang yang memerlukan menjadi kaya. Akan tetapi, amalan ini juga boleh memeras orang yang berharta kerana orang yang kalah buat kali pertama kali akan berasa tercabar untuk melakukannya buat kali kedua dengan harapan akan menang pada kesempatan-kesempatan yang lain. Kadang-kadang, kemenangan itu tidak pernah diperolehi hingga hartanya habis sama sekali. Pada saat itu, dia akan menjadi orang yang fakir lagi miskin, kemudian menjadi musuh ketat kepada mereka yang mengalahkannya. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 4/1691)




Setiap permainan yang berdasarkan nasib dan yang membantutkan akal fikiran seperti permainan dadu, daun terup (yang mempunyai unsur pertaruhan) dan sebagainya adalah haram. Ini kerana permainan ini membiasakan diri untuk bergantung kepada nasib dalam setiap perkara yang dilakukan. Ini menjadikan mereka menyangka bahawa nasib adalah penentu segala-galanya dalam dunia ini. Permainan jenis ini sebenarnya memberi banyak kesan negatif kepada diri manusia. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 8/146)

Menjawab kepada isu ini, konsep yang diketengahkan dalam permainan mesin claw ini adalah menafikan hak pembeli dalam memilih barangan yang dikehendakinya dan disukainya dengan harga yang setimpal dengan apa yang telah dibayar. Justeru, situasi ini adalah melanggar prinsip-prinsip jual-beli yang sepatutnya ada seperti khiar (pilihan). Dalam mengklasifikasikan sesuatu permainan sebagai judi, para ulama telah mensyaratkan ciri-ciri berikut:

• Ia disertai oleh dua orang atau lebih atau dua kumpulan manusia atau lebih.

• Setiap pihak mempertaruhkan sesuatu harta atau manfaat.

• Mana-mana pihak yang menang akan memperolehi harta atau manfaat dari pihak yang kalah di samping menyimpan harta dan mafaat yang ia pertaruhkan. (Lihat Halal Dan Haram Dalam Islam, hlm. 427)

Kesimpulan

Kami cenderung mengatakan bahawa hukum permainan mesin claw ini adalah haram dan dilarang. Ini kerana, permainan tersebut secara langsung dilihat sebagai menafikan serta mengabaikan hak pemain selaku pembeli untuk memilih barangan yang dikehendakinya setimpal dengan harga yang dibayar. Di samping itu, permainan seperti ini adalah lebih kepada keberuntungan nasib pemain dimana permainan seperti ini tidak dibenarkan di dalam Islam.

Semoga penjelasan yang diberikan ini membuka minda dan menjarakkan diri kita semua dari melakukan perkara-perkara yang dilarang oleh syariat Islam. Amin.

+ Ustaz Dr. Zulkifli Mohamad Al Bakri | Mufti Wilayah Persekutuan

Benarkah Wanita Tua Tidak Diwajibkan Memakai Tudung?

Posted: 13 Apr 2019 04:34 PM PDT


Salah Faham

Terdapat sesetengah pihak yang mendakwa bahawa perempuan yang sudah tua tidak perlu memakai tudung yang menutupi rambut dan kepalanya. Adakah benar dakwaan ini?

Pencerahan

Aurat adalah angggota badan yang tidak boleh dinampakkan dan diperlihatkan oleh lelaki atau perempuan kepada orang lain. [Rujuk al-Mausu'ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah (31/44)]

Wanita Muslimah diwajibkan untuk menutup aurat mereka sepertimana yang telah disepakati oleh para ulama' berdasarkan dalil-dalil daripada al-Quran dan as-Sunnah, di antaranya ialah:

وَلْيَضْرِبْنَ بِخُمُرِهِنَّ عَلَىٰ جُيُوبِهِنَّ ۖ وَلَا يُبْدِينَ زِينَتَهُنَّ إِلَّا لِبُعُولَتِهِنَّ أَوْ آبَائِهِنَّ أَوْ آبَاءِ بُعُولَتِهِنَّ أَوْ أَبْنَائِهِنَّ أَوْ أَبْنَاءِ بُعُولَتِهِنَّ أَوْ إِخْوَانِهِنَّ أَوْ بَنِي إِخْوَانِهِنَّ أَوْ بَنِي أَخَوَاتِهِنَّ أَوْ نِسَائِهِنَّ أَوْ مَا مَلَكَتْ أَيْمَانُهُنَّ أَوِ التَّابِعِينَ غَيْرِ أُولِي الْإِرْبَةِ مِنَ الرِّجَالِ أَوِ الطِّفْلِ الَّذِينَ لَمْ يَظْهَرُوا عَلَىٰ عَوْرَاتِ النِّسَاءِ ۖ
"Dan hendaklah mereka menutupkan kain yang dipakai untuk menutup kepala (tudung) ke dadanya, dan janganlah menampakkan perhiasannya, kecuali kepada suami mereka, atau ayah mereka, atau ayah suami mereka, atau anak-anak lelaki mereka, atau anak-anak lelaki suami mereka, atau saudara-saudara lelaki mereka, atau anak-anak lelaki kepada saudara-saudara lelaki mereka, atau anak-anak lelaki kepada saudara-saudara perempuan mereka, atau wanita-wanita islam, atau budak-budak suruhan yang mereka miliki, atau pelayan-pelayan lelaki yang tidak mempunyai keinginan (terhadap wanita) atau anak-anak yang belum mengerti tentang aurat wanita." [Surah an-Nur: 31]

يَا أَيُّهَا النَّبِيُّ قُلْ لِأَزْوَاجِكَ وَبَنَاتِكَ وَنِسَاءِ الْمُؤْمِنِينَ يُدْنِينَ عَلَيْهِنَّ مِنْ جَلَابِيبِهِنَّ ۚ ذَٰلِكَ أَدْنَىٰ أَنْ يُعْرَفْنَ فَلَا يُؤْذَيْنَ
"Wahai Nabi, katakanlah kepada isteri-isterimu, anak-anak perempuanmu dan perempuan-perempuan yang beriman bahawa hendaklah mereka melabuhkan jilbab (pakaian yang dipakai di atas baju dan tudung) mereka ke seluruh tubuh mereka, Yang demikian itu supaya mereka lebih mudah untuk dikenali, maka mereka tidak akan diganggu." [Surah al-Ahzab: 59]

Nabi SAW telah bersabda:

المرأةُ عورةٌ وإنَّها إذا خرَجتْ استشرَفها الشَّيطانُ
"Wanita itu adalah aurat, jika ia keluar rumah, maka syaitan akan menghiasinya." [Riwayat ibn Hibban (5598), Syeikh Syuaib al-Arna'outh mengatakan perawi-perawi hadith ini thiqah (dipercayai)]

Sebelum menjawab persoalan ini, kita harus meneliti beberapa istilah pakaian wanita dari segi bahasa dan syarak agar kita lebih memahami maksud sebenar disebalik ayat al-Quran yang diturunkan mengenai masalah ini.

1. Al-Khimar (الخِمَار)

Imam Ibnu Kathir Rahimahullah mengatakan bahawa al-khimar bermaksud apa-apa yang dipakai untuk menutup kepala. Ia membawa makna yang sama sepertimana takrifan al-khimar dari sudut bahasa, iaitu kain yang dipakai oleh wanita untuk menutupi kepalanya. [Rujuk Tafsir al-Qur'an al-'Azim (6/46), Lisan al-'Arab (4/254)]

Dalam masyarakat kita, al-Khimar dikenali sebagai tudung yang mana dipakai oleh para wanita untuk menutup rambut dan kepala mereka tanpa mengira apa jua jenisnya.

2. Al-Jilbab (الجِلْبَاب )

Al-Jilbab dari segi bahasa bermaksud baju dan pakaian lebar yang dipakai oleh wanita yang terdapat di bawahnya kain atau apa-apa yang dipakai untuk menutupi pakaiannya dari atas. [Rujuk al-Qamus al-Muhit (hlm.68)]

Imam Ibnu Kathir Rahimahullah telah berkata, "Al-Jilbab adalah ar-rida' (kain atau pakaian lebar) yang dipakai di atas al-khimar (tudung). Inilah yang dikatakan oleh Ibnu Mas'ud RA, 'Ubaidah, Qatadah, al-Hasan al-Basri, Said bin Jubair, Ibrahim an-Nakha'i, Atha' al-Khurasani dan selain daripada mereka". [Rujuk Tafsir al-Qur'an al-'Azim (6/481)]

Asas kepada perbincangan dalam masalah ini adalah berdasarkan firman Allah SWT:

وَالْقَوَاعِدُ مِنَ النِّسَاءِ اللَّاتِي لَا يَرْجُونَ نِكَاحًا فَلَيْسَ عَلَيْهِنَّ جُنَاحٌ أَنْ يَضَعْنَ ثِيَابَهُنَّ غَيْرَ مُتَبَرِّجَاتٍ بِزِينَةٍ ۖ وَأَنْ يَسْتَعْفِفْنَ خَيْرٌ لَهُنَّ ۗ وَاللَّهُ سَمِيعٌ عَلِيمٌ
"Dan mana-mana wanita tua yang duduk (terhenti dari datangnya haid dan tidak lagi mengandung), yang tidak mempunyai keinginan untuk berkahwin (lagi), maka tidak ada dosa bagi mereka untuk menanggalkan pakaian mereka, dengan tidak bertujuan untuk mendedahkan perhiasan mereka; dan perbuatan mereka dengan menjaga kehormatan (dengan tidak menanggalkan pakaian luar mereka) adalah lebih baik bagi mereka; dan Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui." [Surah an-Nur: 60]

Makna al-Qawa'id (الْقَوَاعِد)

Al-Qawa'id (الْقَوَاعِد) berasal daripada perkataan al-qa'id (القاعد) yang membawa maksud orang yang duduk. Ibn Qutaibah Rahimahullah telah berkata: "Dinamakan wanita yang sudah tua sebagai orang yang duduk adalah kerana mereka banyak duduk di rumah pada usia tersebut". [Rujuk Tafsir al-Baghawi (3/429)]

Para ulama berbeza pendapat mengenai makna sebenar al-Qawa'id (الْقَوَاعِد) dalam ayat ke-60 surah an-Nur kepada tiga pendapat:

• Wanita tua yang sudah tidak mampu melakukan banyak perkara kerana umurnya yang telah lanjut serta sudah terhenti haid dan tidak mampu untuk mengandung lagi. Ini adalah pendapat sebahagian besar ahli ilmu termasuklah Sa'id bin Jubair, Qatadah dan ad-Dhahhak

• Wanita tua yang tidak menyebabkan orang berminat kepadanya jika melihatnya disebabkan umurnya yang telah berusia. Jika wanita tersebut masih mempunyai kecantikan yang boleh menaikkan syahwat bagi sesiapa yan melihatnya, maka dia tidak termasuk dalam makna ayat ini.

• Wanita tua yang sudah tidak mampu untuk mengandung lagi.

Imam al-Qurtubi Rahimahullah telah melemahkan pendapat yang ketiga kerana wanita yang sudah tidak mampu mengandung masih lagi berkemungkinan bagi lelaki untuk bersenang-senang dengannya, berbeza dengan wanita tua yang sudah tidak mampu melakukan banyak perkara dan tidak ada keinginan terhadapnya jika melihatnya. [Rujuk al-Jami' li Ahkam al-Qur'an (12/309), Ma'alim al-Tanzil fi Tafsir al-Qur'an (3/429), Tafsir al-Qur'an al-'Azim (6/83)]

Oleh itu, wanita tua yang dimaksudkan dalam ayat di atas adalah merujuk kepada wanita yang sudah tidak mampu melakukan banyak perkara kerana umurnya yang telah lanjut, sudah terhenti haid dan tidak mampu untuk mengandung lagi, serta tiada lagi keinginan terhadapnya jika melihatnya.

Makna Thiyab (ثِيَاب)

Ulama' berbeza pendapat mengenai makna sebenar perkataan thiyab (ثِيَاب) dalam ayat ke-60 surah an-Nur:

فَلَيْسَ عَلَيْهِنَّ جُنَاحٌ أَنْ يَضَعْنَ ثِيَابَهُنَّ
"Maka tidak ada dosa bagi mereka untuk menanggalkan pakaian mereka."

Pendapat Pertama: Perkataan thiyab dalam ayat ini membawa maksud al-jilbab (pakaian luar yang dipakai oleh wanita di atas tudung dan pakaian lain). Maka tidak berdosa bagi wanita tua untuk menanggalkan jilbab yang dipakainya. Ini adalah pendapat majoriti ahli tafsir di kalangan para Sahabat dan generasi awal di kalangan ahli tafsir seperti ibn 'Abbas RA, ibn Mas'ud RA, ibn Umar RA, Mujahid, Sa'id bin Jubair, Muqatil bin Hayyan, Ibrahim an-Nakha'ie, al-Hasan al-Basri, Qatadah, az-Zuhri, al-Auza'ie Rahimahumullah dan selain daripada mereka. Pendapat ini juga dipegang oleh majoriti ahli tafsir yang datang selepasnya seperti Imam ibn Jarir at-Tobari, Imam ibn Kathir, Imam al-Qartubi, Imam al-Baghawi Rahimahumullah. [Rujuk Tafsir al-Qur'an al-'Azim (6/84), al-Jami' li Ahkam al-Qur'an (12/309), Ma'alim al-Tanzil fi Tafsir al-Qur'an (3/429), Jami' al-Bayan fi Ta'wil al-Qur'an (19/216)]

Pendapat kedua: Perkataan thiyab dalam ayat ini membawa maksud al-khimar (yang dikenali sebagai tudung oleh masyarakat zaman ini) dan al-jilbab (pakaian luar yang dipakai oleh wanita di atas tudung dan pakaian lain). Maka tidak berdosa bagi wanita tua untuk menanggalkan jilbab dan khimar (tudung) yang dipakainya. Ini adalah pendapat ibn Umar RA, 'Ikrimah, Sulaiman bin Yasar dan Abdurrahman bin Zaid bin Aslam Rahimahumullah. [Rujuk Tafsir al-Qur'an al-'Azim li ibn Abi Hatim (8/2641), Jami' al-Bayan fi Ta'wil al-Qur'an (19/217)]




Kesimpulan

Kami berpandangan bahawa pendapat yang kuat dan tepat dalam masalah ini adalah wajib ke atas wanita yang sudah berusia untuk memakai tudung yang menutupi rambut dan kepalanya seperti wanita-wanita lain berdasarkan dalil-dalil daripada al-Quran dan hadith Nabi SAW.

Imam an-Nawawi Rahimahullah telah berkata: "Adapun aurat perempuan tua, Imam al-Ghazali menyamakan hukumnya dengan perempuan muda. Ini kerana nafsu syahwat adalah suatu perkara yang tidak dapat ditentukan dan perempuan tua masih lagi boleh dijadikan tempat untuk bersenang-senang dengannya." Telah berkata al-Qadi ar-Rauyani: "Jika mencapai usia yang selamat daripada fitnah dengan melihat kepadanya, harus untuk melihat wajahnya dan dua tapak tangannya berdasarkan firman Allah dalam surah an-Nur ayat yang ke-60." [Rujuk Raudhah at-Tolibin (7/24)]

Mengenai ayat ke-60 dalam surah an-Nur, tafsiran yang tepat mengikut pendapat majoriti ulama' adalah ia ditujukan kepada wanita tua yang sudah tidak mampu melakukan banyak perkara kerana umurnya yang telah lanjut, sudah terhenti haid dan tidak mampu untuk mengandung lagi, serta tiada lagi keinginan terhadapnya jika melihatnya.

Adapun pakaian yang dibenarkan untuk ditanggalkan oleh wanita tua yang memenuhi kriteria-kriteria di atas adalah al-jilbab (pakaian luar yang dipakai oleh wanita di atas tudung dan pakaian lain), bukannya al-khimar (tudung yang dipakai untuk menutup rambut dan kepala) seperti dakwaan sesetengah pihak.

Pendapat yang mengatakan bahawa perempuan tua tidak perlu memakai tudung tertolak berdasarkan beberapa perkara:

• Bercanggah dengan tafsiran majoriti para Sahabat, Tabi'in dan ahli tafsir.

• Bercanggah dengan amalan Sahabiyyat dan wanita-wanita salafussoleh.

• Terdapat riwayat lain daripada ibn 'Umar RA dan Sulaiman bin Yasar Rahimahullah yang mengatakan bahawa perempuan tua hanya dibenarkan untuk menanggalkan jilbab mereka sahaja seperti yang dinukilkan dalam Tafsir ibn Abi Hatim. Ini bertentangan dengan riwayat mereka berdua yang membenarkan perempuan tua untuk membuka jilbab.

• Keadaan zaman ini yang mana perempuan yang sudah berumur namun masih lagi mampu mengekalkan kecantikan dan nampak seperti lebih muda daripada usianya yang sebenar kerana kecanggihan teknologi dan barangan kosmetik yang digunakan, serta cara pemakaian mereka. Faktor-faktor ini boleh menyebabkan mereka masih mampu menarik perhatian lelaki walaupun sudah berusia.

Kami ingin menasihati kepada semua agar tidak menafsirkan mana-mana ayat al-Quran, hadith Nabi SAW, kata-kata para Sahabat, para ulama' dan sebagainya dengan sewenang-wenangnya tanpa merujuk kepada ahli yang mempunyai kepakaran dalam bidang-bidang tersebut. Allah SWT telah berfirman:

فَاسْأَلُوا أَهْلَ الذِّكْرِ إِن كُنتُمْ لَا تَعْلَمُونَ
"Maka bertanyalah kepada orang yang mempunyai pengetahuan (tentang sesuatu perkara) jika kamu tidak mengetahui." [Surah an-Nahl: 43]

Marilah kita mencontohi akhlak para muslimah yang hidup di zaman salaf. Mereka sangat menjaga kehormatan diri walaupun mereka sangat memahami apa yang dimaksudkan di dalam al-Qur'an. Mereka memilih untuk menjaga kesucian mereka dengan cara yang terbaik di saat mereka mempunyai pilihan lain untuk berbuat demikian. Ini sebagaimana kisah Hafsah binti Sirin Rahimahallah yang direkodkan oleh Imam al-Baihaqi Rahimahullah di dalam kitabnya, al-Sunan al-Kubra:

'Asim al-Ahwal telah berkata: "Kami pernah masuk ke rumah Hafsah binti Sirin (yang telah berusia pada ketika itu), lalu dia segera menutupi dirinya dengan jilbab. Kami pun berkata kepadanya: "Semoga Allah merahmatimu, bukankah Allah SWT telah berfirman (surah an-Nur: 60) "Dan mana-mana wanita tua yang duduk (terhenti dari datangnya haid dan tidak lagi mengandung), yang tidak mempunyai keinginan untuk berkahwin (lagi), maka tidak ada dosa bagi mereka untuk menanggalkan pakaian (jilbab) mereka, dengan tidak bertujuan untuk mendedahkan perhiasan mereka." Maka Hafsah pun berkata kepada kami: "Apakah sambungan daripada ayat tersebut?" Lalu kami membaca: "Dan menjaga kesucian diri mereka (dengan tidak menanggalkan pakaian luarnya itu adalah) lebih baik bagi mereka." Hafsah pun berkata: "Ia bermakna tetaplah dengan pemakaian jilbab (kerana itu lebih baik)." [al-Sunan al-Kubra (13534)]

Semoga Allah SWT memberikan kita kebaikan dan kefahaman yang sahih dalam memahami syariat-Nya seterusnya memberikan kekuatan kepada kita untuk mengamalkannya. Amiin.

+ Ustaz Dr. Zulkifli Mohamad Al Bakri | Mufti Wilayah Persekutuan