Wednesday, April 17, 2019

Oh! Media

Oh! Media


Jabatan Siasatan Jenayah Komersil, PDRM Lancar Infoline Whatsapp

Posted: 16 Apr 2019 05:50 AM PDT



Menerusi siaran media pada 16 April 2019, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil, Polis Diraja Malaysia telah mengambil satu langkah inisiatif baru untuk melancarkan sistem pesanan ringkas (sms) dan aplikasi Whatsapp. Platform ini akan membolehkan warganegara Malaysia khususnya, menyalurkan maklumat / aduan / pertanyaan yang melibatkan jenayah komersil.

Tujuan pelancaran ini dilihat sebagai satu langkah menambah baik sistem penyampaian melalui perkhidmatan yang cepat dan tepat kepada masyarakat. Ia juga akan digunakan sebagai medium untuk menyemak dan mendapatkan pengesahan berkenaan kes-kes jenayah komersil serta semakkan perkembangan kes yang dilaporkan.

Kaedah dan cara penggunaan infoline :

  • ·         Nombor talian yang digunakan adalah : 013-211 1222
  • ·         Hanya beroperasi melalui SMS dan Whatsapp
  • ·         Waktu Operasi Infoline : 8.00Pagi hingga 12.00Tengah Malam (setiap hari)

Pawagam Indonesia Mulakan Tayangan Avengers Jam 5 Pagi - Penonton Malaysia Bukan Terawal di Dunia

Posted: 16 Apr 2019 05:17 AM PDT


Nampaknya negara jiran dan sahabat kita Indonesia tidak mahu kalah apabila mereka juga bakal lakukan tayangan filem Avengers Endgame seawal jam 5 pagi pada 24 April 2019.

Jadi nampaknya kita ternyata telah tewas sekali lagi untuk menjadi yang terawal. Untuk pengetahuan korang, sebelum ini pihak GSC dan TGV juga telah berlumba sesama mereka apabila TGV umumkan akan mulakan tayangan seawal jam 7:30 pagi dan dilawan GSC yang akan mulakan tayangan pada jam 7:00 pagi.




Info berkenaan perkara ini dikongsi terus dari Cinemaxx Theater di laman Facebok mereka di mana tayangan jam 5.00 pagi ini akan berlangsung di 12 lokasi pawagam Cinemaxx terpilih di Indonesia.

Adakah pawagam tempatan TGV, MBO atau GSC lakukan 'comeback' di saat akhir? Sama-sama kita nantikan.



+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media.

Dunia - Gereja Besar Perancis Terbakar

Posted: 16 Apr 2019 05:18 AM PDT


Gereja Besar di Perancis yang dikatakan dibangunkan sejak Zaman Pertengahan hangus terbakar malam tadi dan seorang anggotan bomba juga dilaporkan cedera.

Namun, pihak bomba berjaya menyelamatkan beberapa bahan bersejarah termasuk Crown of Thorns dan Tunic of St Louis serta memadamkan api di dua buat menara jam daripada runtuh.




Macron berkata Perancis akan melancarkan kempen untuk membina semula katedral yang juga Tapak Warisan Dunia UNESCO berkenaan, termasuk melalui usaha mengutip dana dan menarik penderma dari luar negara untuk menyumbang.

Ketua bomba Paris, Jean-Claude Gallet berkata struktur utama katedral itu berjaya diselamatkan dari musnah sepenuhnya.

+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media.



Lan Pet Pet Mahu Bersemuka Dengan Pakcik Yahya Dan Keluarga

Posted: 16 Apr 2019 05:18 AM PDT


Setelah didenda RM2,000 oleh pihak Mahkamah, pelawak Mazlan Ahmad atau Lan Pet Pet mahu berjumpa terus dan bersemuka dengan pengawal keselamatan, pakcik Yahya Manap bagi memohon maaf atas kelakuan kasarnya.

"Saya dengan rendah diri memohon maaf daripada Yahya dan keluarga. Saya ikhlas dan sanggup berhadapan apa sahaja... Saya silap dan bodoh ketika itu.




"Saya sanggup berhadapan Yahya dan keluarganya. Apa yang lebih penting, saya dapat bertemu, meleraikan kekusutan dan memohon maaf.

"Selebihnya terserahlah kepada Yahya... Saya terima dengan hati terbuka," katanya kepada BH Online.

Lan Pet Pet juga mengakui kesilapannya dan menatakan bahawa tindakannya itu adalah diluar kawalan dan tidak sengaja bertindak demikian.

Yahya Manap juga sebelum ini telah menyatakan hasratnya untuk memfailkan saman malu terhadap dirinya dan ingin meminta RM3 juta sebagai tanda ketidakpuasan hati dengan denda yanng dikenakan pihak mahkamah.

+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media.

Jangan Terpengaruh Dakwaan Teknologi 5G Bahayakan Kesihatan

Posted: 16 Apr 2019 02:04 AM PDT


Malaysia kini dilihat menuju ke arah teknologi Generasi Kelima (5G) yang sedang dilakukan ujiannya di Cyberjaya dan Putrajaya.

Walaubagaimanapun, terdapat berita yang tersebar di media sosial mengatakan bahawa teknologi 5G ini akan menjejaskan kesihatan penggunanya.

Kesan dari itu, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia mengingatkan agar orang ramai tidak terpengaruh dengan maklumat itu kerana sehingga kita tiada keputusan penyelidikan konklusif bagi buktikan teknologi ini memudaratkat kesihatan.




Ini kerana kesan Medan Elektromagnet Frakuensi Radio (EMF) adalah di bawah had yang disyorkan dan ia tidak akan mengakibatkan sakit kepala, kemurungan, kebimbangan dan keletihan, kata Prof. Dr. Thareq Abdul Rahman.

Dalam perkembangan berkaitan, Dr. Thareq turut menggesa agar kempen pendidikan atau kesedaran dapat dipertingkatkan bagi memberi penerangan lebih jelas kepada orang ramai mengenai teknologi 5G.

Kita memang tidak mampu menghalang perkembangan teknologi dan bagi kami perkara ini perlu dilihat dari sudut positif juga yang akan memberi manfaat kepada pelbagai aspek kehidupan manusia dalam bidang kesihatan, keselamatan awam, pertanian, pendidikan dan sebagainya.

+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media.

Rakyat Malaysia Tersenarai Sebagai Negara Ketiga Paling Malas di Dunia

Posted: 16 Apr 2019 02:04 AM PDT


Sikap malas memang ada dalam diri setiap individu dan hanya kita sahaja yang perlu bijak melawan rasa malas yang dilihat hanya perkara biasa, tapi ia boleh mengakibatkan pelbagai masalah jika tidak ditangani.

Untuk pengetahuan korang, Malaysia adalah negara yang rakyatnya paling tinggi menghidap penyakit obesiti dan ini bersangkut dengan rekod negara ketiga paling malas di dunia.

Mengikut kajian University Stanford Amerika Syarikat, mereka telah megeluarkan kiraan purata bahawa rakyat Malaysia hanya berjalan sebanyak 3,963 langkah ataupun bergerak sehari.




Memetik dari laporan Harian Metro juga, kajian terbabit telah menggunakan aplikasi khas yang terdapat pada telefon pintar dan merekodkan kira-kira 700,000 pergerakan yang melibatkan sebanyak 46 buah negara di serata dunia.


Jadi, negara mana pula yang memegang rekod paling rajin? 

Penduduk Hong Kong telah diiktiraf sebagai negara paling rajin di dunia apabila kajian menunjukkan penduduknya berjalan dan bergerak sebanyak 6,880 langkah sehari manakala diikuti dengan negara China di tempat kedua yang merekodkan jumlah 6,189 langkah sehari.

Negara Singapura merupakan negara palng rapat dengan kita, tetapi Singapura berada di tangga ke 9 dengan rekod purata melangkah sebanyak 5.674 sehari. Negara yang sentiasa maju ke depan ialah negara Jepun yang berada di tangga ke 4 dan purata melangkah dalam sehari sebanyak 6,010.


Jika Malaysia ditangga ketiga paling malas, negara mana pula di bawah kita?

Menurut kajian Malaysia berada di ranking 44 dan di bawah kita adalah Arab Saudi yang hanya mengumpul purata 3,807 langkah sehari dan negara jiran kita Indonesia pula telah menjadi negara paling malas di dunia apabila hanya mengumpul purata 3,513 langkah sehari.

Walaubagaimanapun, menurut Penulis Timbalan Pengarang Kumpulan Harian Metro, Ahmad Salim Bachok bahawa tidak dijamin manusia yang banyak bergerak dan berjalan itu adalah yang lebih rajin dan produktif berbanding yang kurang berjalan.


Manusia banyak bergerak tidak jamin lebih rajin.

Ini kerana, negara-negara yang lebih maju seperti Hong Kong, Jepun dan Singapura telah mempunyai banyak kemudahan awam bagi kemudahan rakyat mereka dan menjadikan rakyat di negara tersebut perlu lebih bergerak dan berjalan.

Lain pula di Malaysia dan Indonesia yang masih bergantung dengan kenderaan sendiri seperti kereta, motorsikal untuk bergerak terus ke tempat kerja.

Apa yang kita dapat lihat, tidak kiralah negara mana yang lebih maju atau mundur, kerana apa yang mengukur sesuatu kejayaan negara itu adalah dari sikap penduduknya yang perlu lebih maju dan menjauhi dari sikap negatif bagi menjamin masa hadapan yang lebih baik.

+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media.

Perodua Dilancarkan di Singapura dan Dijual Pada Harga RM212,301

Posted: 16 Apr 2019 02:05 AM PDT

Sumber Gambar: pandulaju

Perodua Myvi generasi baharu nampaknya akan mula dipasarkan ke Singapura selepas lebih setahun ia dilancarkan di Malaysia.

Antara variasi yang ditawarkan di bawa masuk ke Singapura adalah 1.3X AT dan 1.5H AT dan dengan perlancaran ini juga, Perodua telah berjaya menarik lebih 250 pelanggan.





Majlis perlancaran yang diadakan di Perocom Auto di Ubi, Singapura itu juga telah memperlihatkan harga yang sangat berbeza berbanding pasaran Malaysia.

Bagi model 1.3X AT, harga bermula dari S$64,800 (RM197,093) dan 1.5H AT pula, pada harga S$69,800 (RM212,301). Harga yang dinyatakan termasuk GST serta cukai yang diletakkan Singapura.

Untuk pengetahuan korang, sejak model terbaru Myvi ini dilancarkan, Perodua telah berjaya menjual sebanyak 110,000 unit di pasaran Malaysia dan harap dapat terus dieksport ke negara lain.

+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media.

Badal Haji Atau Infaq Untuk Arwah Lebih Utama?

Posted: 15 Apr 2019 04:50 PM PDT


Soalan:
Datuk dan nenek saya sudah meninggal dunia dan mereka belum sempat untuk melakukan ibadat haji. Kami anak-anak dan cucu mereka ingin bertanya, mana lebih afdhal antara melakukan badal haji untuk kedua-dua arwah atau wang itu kami infaqkan atas nama mereka? Mohon penjelasan.

Jawapan:
Menjawab persoalan di atas, melakukan badal haji adalah lebih afdhal. Hal ini berdasarkan hadis Syubrumah, di mana diriwayatkan daripada Ibn `Abbas R.Anhuma, katanya:

أَنَّ النَّبِيَّ صلى الله عليه وسلم سَمِعَ رَجُلاً يَقُولُ : لَبَّيْكَ عَنْ شُبْرُمَةَ ، قَالَ : مَنْ شُبْرُمَةُ ؟ قَالَ : أَخٌ لِي - أَوْ قَرِيبٌ لِي - قَالَ : حَجَجْتَ عَنْ نَفْسِكَ ؟ قَالَ : لاَ ، قَالَ : حُجَّ عَنْ نَفْسِكَ ثُمَّ حُجَّ عَنْ شُبْرُمَةَ
Nabi SAW mendengar seorang lelaki berkata: "Aku menyahut seruan-Mu bagi pihak Syubrumah (لَبَّيْكَ عَنْ شُبْرُمَةَ)." Lalu Nabi SAW bertanya: "Siapa Syubrumah?" Dia menjawab: "Saudara lelakiku atau kerabatku." Rasulullah SAW bertanya: "Sudahkah engkau menunaikan haji untuk dirimu?" Dia menjawab: "Belum." Lalu Nabi SAW berkata: "Tunaikanlah haji untuk dirimu dahulu. Kemudian barulah tunaikan haji untuk Syubrumah." [Riwayat Abu Daud (1811) dan Ibn Majah (2903)]

Begitu juga dengan beberapa hadith yang lain sepertimana hadith yang turut diriwayatkan daripada Ibn 'Abbas R.Anhuma, katanya:

أَنَّ امْرَأَةً مِنْ جُهَيْنَةَ جَاءَتْ إِلَى النَّبِيِّ -صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ- فَقَالَتْ: إِنَّ أُمِّي نَذَرَتْ أَنْ تَحُجَّ فَلَمْ تَحُجَّ حَتَّى مَاتَتْ، أَفَأَحُجُّ عَنْهَا؟ قَالَ: نَعَمْ حُجِّي عَنْهَا، أَرَأَيْتِ لَوْ كَانَ عَلَى أُمِّكِ دَيْنٌ أَكُنْتِ قَاضِيَةً؟ اقْضُوا اللَّهَ، فَاللَّهُ أَحَقُّ بِالْوَفَاءِ
Seorang wanita dari Juhainah datang menemui Rasulullah SAW dan berkata: "Sesungguhnya ibuku telah bernazar untuk menunaikan haji, namun dia tidak sempat menunaikan haji sehinggalah dia meninggal dunia. Apakah aku perlu menunaikan haji bagi pihaknya?" Jawab Baginda : "Ya, tunaikanlah haji untuknya. Apa pandangan kamu kalau ibu kamu berhutang, apakah kamu perlu melunaskannya?" Jawabnya: "Ya." Sabda Baginda: "Tunaikanlah hutang Allah dan hutang Allah lebih berhak untuk dilunaskan." [Riwayat al-Bukhari (1754)]

Al-Mubarakfuri menyebut: "Ungkapan "حُجِّي عَنْهَا" menunjukkan akan keharusan menunaikan haji bagi pihak si mati." (Lihat Tuhfah al-Ahwazi, 3/580)

Kami berpendapat, hendaklah dibadalkan haji untuk datuk dan nenek yang telah meninggal dunia apabila belum sempat melakukannya sebagai haji fardhu. Ini kerana Baginda SAW menyebut bahawa haji merupakan hak Allah SWT. Maka ia lebih utama untuk ditunaikan.




Jawapan di atas jelas menunjukkan betapa hutang Allah seperti haji hendaklah dilaksanakan oleh waris jika berkemampuan. Nas hadis menunjukkan apa yang kami maksudkan, antaranya daripada Abdillah bin Buraidah, daripada bapanya R.A, katanya:

بَيْنَا أَنَا جَالِسٌ عِنْدَ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذْ أَتَتْهُ امْرَأَةٌ فَقَالَتْ : إِنِّي تَصَدَّقْتُ عَلَى أُمِّي بِجَارِيَةٍ وَإِنَّهَا مَاتَتْ فَقَالَ : وَجَبَ أَجْرُكِ ، وَرَدَّهَا عَلَيْكِ الْمِيرَاثُ ، قَالَتْ : يَا رَسُولَ اللَّهِ ، إِنَّهُ كَانَ عَلَيْهَا صَوْمُ شَهْرٍ أَفَأَصُومُ عَنْهَا ؟ قَالَ : صُومِي عَنْهَا ، قَالَتْ : إِنَّهَا لَمْ تَحُجَّ قَطُّ أَفَأَحُجُّ عَنْهَا ؟ قَالَ : حُجِّي عَنْهَا
Ketika kami duduk di sisi Rasulullah SAW, tiba-tiba ada seorang wanita datang dan berkata: "Saya telah sedekahkan hamba untuk ibuku yang telah meninggal." Baginda bersabda: "Engkau mendapat pahala dan dikembalikan kepada engkau mirathnya." Dia kemudian bertanya: "Wahai Rasulullah, sesungguhnya dia ada (tanggungan) puasa sebulan, apakah saya perlu tunaikan puasa untuknya?" Beliau menjawab: "Tunaikanlah puasa untuknya." Dia bertanya lagi: "Sesungguhnya beliau belum pernah melaksanakan haji sama sekali. Apakah perlu saya hajikan untuknya?" Baginda menjawab: "Laksanakanlah haji untuknya." [Riwayat Muslim (1149)]

Imam Nawawi berkata: "Jumhur berpandangan bahawa menggantikan haji adalah dibolehkan ke atas mayat serta orang sakit yang tidak ada harapan untuk sembuh. Al-Qadhi Iyadh juga telah memberi pendapat yang berlainan dalam mazhabnya iaitu mazhab Maliki." (Lihat Syarh al-Nawawi 'ala Sahih Muslim, 8/27)

Al-Hafiz Ibn Hajar pula menyebut: "Mereka yang menyebut keharusan mengganti haji bersepakat bahawa tidak memadai pada haji fardu kecuali bagi yang mati atau sakit terlantar kerana lumpuh. Oleh itu, perkara ini terkecuali kepada orang sakit kerana adanya harapan untuk sembuh, tidak juga orang gila kerana ada harapan untuk pulih, tidak juga orang yang dipenjara kerana ada peluang dibebaskan serta tidak juga orang miskin kerana boleh jadi dia akan kaya." (Lihat Fath al-Bari, 4/70)

Kesimpulan

Berdasarkan persoalan di atas, melakukan badal haji adalah lebih afdhal berbanding melakukan infaq untuk kedua-dua arwah. Hal ini sepertimana kata ulama:

إنَّ قَضَاءَ السُّنَّةِ سُنَّةٌ كَمَا أَنَّ قَضَاءَ الوَاجِبِ وَاجِبٌ
"Sesungguhnya, mengqadha yang sunat itu hukumnya sunat sebagaimana mengqadha yang wajib itu hukumnya wajib." (Lihat Ithaf Zawi al-Basa'ir bi Syarh Raudhah al-Nazir, 2/264)

Walaubagaimanapun, infaq juga mempunyai kelebihan dan keutamaannya tersendiri. Kami syorkan agar laksanakan badal haji dan jika mempunyai lebihan harta, bolehlah sedekah atau wakaf bagi pihak si mati.

+ Ustaz Dr. Zulkifli Mohamad Al Bakri | Mufti Wilayah Persekutuan
+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media

Bolehkah Solat Ba’diyah Selepas Tempoh Yang Lama Selepas Solat Fardhu?

Posted: 15 Apr 2019 04:44 PM PDT


Soalan:
Bolehkah solat sunat ba'diyah Isyak dilakukan selepas zikir dan majlis tahlil? Adakah masih dikatakan sunat ba'diyah?

Jawapan:
Solat ba'diyah Isyak ini merupakan sebahagian dari solat rawatib yang mu'akkad. Daripada Ibnu Umar R.Anhuma, dia berkata:

حَفِظْتُ مِنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَشْرَ رَكَعَاتٍ رَكْعَتَيْنِ قَبْلَ الظُّهْرِ وَرَكْعَتَيْنِ بَعْدَهَا وَرَكْعَتَيْنِ بَعْدَ الْمَغْرِبِ فِي بَيْتِهِ وَرَكْعَتَيْنِ بَعْدَ الْعِشَاءِ فِي بَيْتِهِ وَرَكْعَتَيْنِ قَبْلَ صَلاَةِ الصُّبْحِ.
"Aku telah menghafaz (menjaga) daripada Nabi SAW tentang sepuluh rakaat (solat sunat) iaitu dua rakaat sebelum solat Zohor dan dua rakaat sesudahnya, dua rakaat setelah solat Maghrib di rumahnya, dua rakaat setelah solat Isyak di rumahnya dan dua rakaat sebelum solat Subuh." [Riwayat al-Bukhari (1180)]

Berkenaan waktu pelaksanaannya, ia didirikan setelah mengerjakan solat Isyak dengan bilangan sebanyak dua rakaat. Rasulullah SAW mengerjakan solat ini di rumah.

Berdasarkan kepada nas di atas menunjukkan terdapat tempoh antara solat Isyak dengan solat ba'diyah Isyak. Ini kerana solat sunat tersebut dilakukan di rumah Baginda SAW sekalipun kita mengetahui rumah Baginda amat berhampiran dengan masjid.

Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Aisyah R.Anha, katanya:

..وَيُصَلِّي بِالنَّاسِ الْعِشَاءَ وَيَدْخُلُ بَيْتِي فَيُصَلِّي رَكْعَتَيْنِ..
"..Baginda SAW melakukan solat Isyak dengan orang ramai, kemudian Baginda masuk ke dalam rumahku lalu melakukan solat dua rakaat.." [Riwayat Muslim (730)]




Kesimpulan

Menjawab persoalan di atas, boleh dan tiada masalah. Yang pentingnya adalah dilakukan selepas waktu solat Isyak. Namun, amat disyorkan ia dilakukan sejurus selepas sembahyang, iaitu selepas berdoa maka boleh terus dilakukan solat sunat ba'diyah. Ini dengan makna supaya tempoh tersebut tidaklah terlalu lama selaras dengan maksud solat-solat tersebut sebagai solat rawatib yang memberi makna mengiringi solat. Justeru, diharapkan ia menepati dengan makna rawatib itu apabila dilakukan dalam tempoh tertentu iaitu selepas solat atau sebelum solat.

Akhir kalam, marilah sama-sama kita melazimi solat-solat rawatib termasuklah solat ba'diyah Isyak. Allah SWT telah menjanjikan bagi mereka yang mengerjakannya dengan sebuah rumah di Syurga. Hal ini sepertimana dalam hadis yang diriwayatkan daripada Ummu Habibah R.Anha, Rasulullah SAW bersabda:

مَا مِنْ عَبْدٍ مُسْلِمٍ يُصَلِّي لِلَّهِ كُلَّ يَوْمٍ ثِنْتَيْ عَشْرَةَ رَكْعَةً تَطَوُّعًا غَيْرَ فَرِيضَةٍ إِلاَّ بَنَى اللَّهُ لَهُ بَيْتًا فِي الْجَنَّةِ.
"Tidaklah seorang hamba Muslim mengerjakan solat kerana Allah dalam satu hari dua belas rakaat sebagai tathawwu' dan bukan fardu, melainkan Allah akan mendirikan untuknya sebuah rumah di syurga." [Riwayat Muslim (728)]

Kami akhiri perbincangan ini dengan doa:

رَبِّ اجْعَلْنِي مُقِيمَ الصَّلَاةِ وَمِن ذُرِّيَّتِي ۚ رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاءِ ﴿٤٠﴾ رَبَّنَا اغْفِرْ لِي وَلِوَالِدَيَّ وَلِلْمُؤْمِنِينَ يَوْمَ يَقُومُ الْحِسَابُ
"Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku. Wahai Tuhan kami! Berilah ampun bagiku dan bagi kedua ibu bapaku serta bagi orang-orang yang beriman, pada masa berlakunya hitungan amal dan pembalasan." [Surah Ibrahim (40-41)]

+ Ustaz Dr. Zulkifli Mohamad Al Bakri | Mufti Wilayah Persekutuan
+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media

Stan Lee bakal Muncul di Avengers Endgame Buat Kali Terakhir

Posted: 16 Apr 2019 02:05 AM PDT


Ramai peminat Marvel tidak sabar menantikan bagaimana pengakhiran siri filem ini dalam Avengers End Game yang ingin melihat penjahat utama iaitu Thanos dikalahkan.

Tapi, untuk pengetahuan korang, pihak Marvel Studios juga telah mengesahkan bahawa penampilan Stan Lee di dalam filem ini adalah buat kali terakhir.




Sebelum ini, ada berita menyatakan Stan Lee akan lakukan kemunculan di Spider-Man Far From Home, namun dinafikan oleh pengarah Endgame, Joe Russo.

Kemunculan terakhir Stan Lee di Endgame juga akan menjadi suatu yang lebih sentimental dan diingat oleh semua, kata Presiden Marvel Studis, Kevin Feige.



+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media.

Beza Antara Istidraj Dengan Kurniaan Allah

Posted: 15 Apr 2019 04:28 PM PDT


Soalan:
Bagaimana hendak membezakan antara istidraj dengan kurniaan Allah SWT?

Jawapan:
Di dalam Mu'jam al-Lughah al-'Arabiyah (1/734), disebut maksud istidraj secara bahasa adalah diambil daripada perkataan da-ra-ja (درج) yang ertinya adalah naik dari satu tingkatan ke tingkatan selanjutnya. Manakala istidraj daripada Allah SWT terhadap hamba difahami sebagai 'hukuman' yang diberikan sedikit demi sedikit dan tidak diberikan langsung. Allah SWT membiarkan seseorang dan tidak disegerakan azabnya. Firman-Nya:

سَنَسْتَدْرِجُهُم مِّنْ حَيْثُ لَا يَعْلَمُونَ
"Kami akan menarik mereka sedikit demi sedikit (ke jurang kebinasaan), dari arah yang mereka tidak mengetahuinya." [Surah al-Qalam (44)]

Al-Hasan berkata: "Betapa ramai orang yang terkena fitnah dengan cara dipuji dan betapa ramai orang yang terpedaya dengan cara ditutupi aibnya." (Lihat al-Jami' li Ahkam al-Quran, 18/251 dan Tafsir al-Siraj al-Munir, 4/264)

Sahl bin Abdullah mentafsirkan ayat di atas dengan maksud: "Nikmat-nikmat yang diberikan akan menyebabkan mereka lupa bersyukur." (Lihat al-Bahr al-Madid, 2/581)

Al-Razi berkata: "Istidraj ialah dengan meminta kurnia turun kepadanya satu darjat kepada darjat yang lain sehingga mereka terpedaya. Tatkala mereka melakukan dosa, Allah SWT menambahkan lagi nikmat sehingga melupakan mereka daripada istighfar." (Lihat al-Tafsir al-Kabir, 15/77)

Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan daripada 'Uqbah bin 'Amir R.A, Rasulullah SAW bersabda:

إِذَا رَأَيْتَ اللهَ تَعَالَى يُعْطِي الْعَبْدَ مِنَ الدُّنْيَا مَا يُحِبُّ وَهُوَ مُقِيمٌ عَلَى مَعَاصِيْهِ فَإِنَّمَا ذَلِكَ مِنهُ اسْتِدْرَاجٌ
"Apabila kamu melihat Allah SWT memberi kepada hamba daripada (perkara) dunia yang diinginkannya, sedangkan dia terus melakukan maksiat kepada-Nya, maka (ketahuilah) bahawa perkara itu adalah istidraj dari Allah SWT." [Riwayat Ahmad (17311), al-Baihaqi dalam Syu'ab al-Iman (4220) dan al-Tabarani dalam al-Ausat (8/110)]

Mulla Ali al-Qari berkata: Apabila kamu melihat Allah SWT mengurniakan kepada seorang hamba dari kekayaan dunia, sedangkan dia melakukan maksiat, maka asbab yang didapati melalui kurniaan tersebut adalah sebagai istidraj dan tipudaya. Benarlah firman Allah SWT: "سَنَسْتَدْرِجُهُم مِّنْ حَيْثُ لَا يَعْلَمُونَ" yang membawa maksud "Kami akan menarik mereka sedikit demi sedikit (ke jurang kebinasaan), dari arah yang mereka tidak mengetahuinya." (Lihat Mirqat al-Mafatih Syarh Misykat al-Masabih, 9/396)

Allah SWT berfirman:

فَلَمَّا نَسُوا مَا ذُكِّرُوا بِهِ فَتَحْنَا عَلَيْهِمْ أَبْوَابَ كُلِّ شَيْءٍ حَتَّىٰ إِذَا فَرِحُوا بِمَا أُوتُوا أَخَذْنَاهُم بَغْتَةً فَإِذَا هُم مُّبْلِسُونَ
"Ketika mereka tidak mengambil pelajaran dari kemiskinan dan sakit yang Kami timpakan kepada mereka, Kami uji mereka dengan rezeki yang banyak. Kami bukakan semua pintu untuk memperoleh rezeki tersebut. Hingga, pada saat mereka senang dan tidak bersyukur dengan apa yang Kami berikan kepada mereka, datanglah azab dengan tiba-tiba. Maka mereka lalu bingung, putus asa, dan tidak mendapatkan jalan keselamatan." [Surah al-An'am (44)]




Di dalam Tafsir al-Jalalain disebut: "Ketika mereka meninggalkan peringatan yang diberikan kepada mereka, tidak mahu mengendahkan peringatan tersebut, Allah SWT membuka kepada mereka segala pintu nikmat sebagai bentuk istidraj kepada mereka. Sehinggalah mereka berbangga berkenaan hal itu dengan sombongnya. Kemudian kami seksa mereka dengan tiba-tiba. Lantas mereka pun terdiam dari segala kebaikan." (Lihat Tafsir al-Jalalain, 2/340)

Ibnu 'Athaillah al-Sakandari dalam kitab al-Hikam berkata bahawa hendaklah seseorang merasa takut jika dia selalu mendapat kurniaan dan kebaikan daripada Allah SWT, sedangkan dia masih tetap melakukan maksiat kepada-Nya. Kata beliau:

خَفْ مِنْ وُجُودِ إِحْسَانِهِ إِلَيْكَ، وَدَوَامِ إِسَاءَتِكَ مَعَهُ أَن يَكُونَ ذَلِكَ إِسْتِدْرَاجًا لَكَ، سَنَسْتَدْرِجُهُمْ مِنْ حَيْثُ لَا يَعْلَمُونَ
Hendaklah kamu berasa takut jika kamu terus memperoleh kurniaan Allah SWT sedangkan kamu masih berterusan melakukan maksiat kepada-Nya. Ini kerana, ia boleh jadi satu istidraj (pesona dan tipudaya) sepertimana firman-Nya: "Kami akan menarik mereka sedikit demi sedikit (ke jurang kebinasaan), dari arah yang mereka tidak mengetahuinya." (Surah al-Qalam, ayat 44)

Syekh Zarruq berkata: "Wahai para murid, takutlah terhadap kurniaan-Nya kepadamu dalam bentuk kesihatan, kelapangan, rezeki yang melimpah ruah, di tengah-tengah kederhakaanmu terhadap-Nya berupa kelalaian dan kecuaian." (Lihat Iqaz al-Himam fi Syarh al-Hikam, hlm. 101)

Kesimpulan

Kurniaan Allah biasanya diisi sebelum dan selepasnya dengan ketaqwaan, kebaikan dan ketaatan. Hal ini sepertimana seseorang yang rajin melakukan solat malam, rajin bersedekah, rajin melakukan Solat Dhuha, kemudian Allah SWT melimpah ruahkan rezekinya. Maka itu kita namakan sebagai kurniaan atau karamah.

Namun orang yang tidak mengerjakan sembahyang lima waktu, berterusan melakukan maksiat dan derhaka kepada-Nya, namun dia kelihatan kaya dan rezekinya juga mudah, maka inilah yang dinamakan istidraj.

Justeru, marilah sama-sama kita sentiasa meningkatkan ketakwaan kepada Allah SWT selaras dengan firman-Nya:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اتَّقُوا اللَّـهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلَا تَمُوتُنَّ إِلَّا وَأَنتُم مُّسْلِمُونَ
"Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa, dan jangan sekali-kali kamu mati melainkan dalam keadaan Islam." [Surah Ali Imran (102)]

+ Ustaz Dr. Zulkifli Mohamad Al Bakri | Mufti Wilayah Persekutuan
+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media