Friday, April 19, 2019

Oh! Media

Oh! Media


Aplikasi TikTok Dipadam Dari Google Play dan App Store

Posted: 18 Apr 2019 06:08 AM PDT


Permainan video PUBG Mobile kini telah mula diharamkan di beberapa negara. Namun, di Malaysia ramai yang tidak berpuas hati dan mempertikai tindakan itu dan merasakan aplikasi seperti TikTok, Bigo dan aplikasi yang lebih sia-sia perlu diharamkan di Malaysia.

Untuk pengetahuan korang juga, penggunaan aplikasi TikTok di Malaysia juga semakin meningkat apabila institusi pengajian tinggi menganjurkan pertandingan pencari bakat menggunakannya.

Tapi, lain pula ceritanya di India, apabila setelah mengharamkan permainan PUBG dan Fortnite, kini mereka mengharamkan pula penggunaan aplikasi TikTok selepas dikatakan ia menggalakkan pornografi serta dan dijadikan alat untuk mencari mangsa kanak-kanak.

Ini diumumkan selepas Mahkamah Tamil Nadu mengharamkan aplikasi ini pada hari Selasa dan meminta pengharamannya juga dilakukan di seluruh India. Apple dan Google segera menghalang aplikasi dari dimuat turun menerusi App Store dan Google Play sejurus selepas menerima arahan dari kementerian teknologi maklumat.

Tidak hairanlah perkara ini dilakukan di India kerana kini aplikasi itu telah mencapai lebih 240 juta pengguna dan ia perlu dikawal dari terus disalah guna.

+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media.

Golongan Bujang dan Bekerja di Kuala Lumpur Boleh Memohon Bilik Sewa RM100

Posted: 18 Apr 2019 06:09 AM PDT


Ini mungkin berita baik untuk korang yang bujang dan menetap di Kuala Lumpur. Datuk Bandar Kuala Lumpur sebelum ini ada menyatakan tentang projek bagi menawarkan bilik sewa serendah RM100 sebulan bagi golongan bujang yang berpendapatan rendah.

Permohonan yang dibuka mulai bulan Ogos ini dilihat dapat membantu meringankan kos sara hidup orang muda yang baru nak menaikkan ekonomi di ibu kita.

Bagi fasa pertama ini juga, sebanyak 188 buah bilik akan diberikan kepada pemohon dan 135 bilik lagi akan diberikan pada fasa kedua.

Syarat-syarat pemohonan pula adalah rakyat Malaysia, berumur 18 hingga 35 tahun, bekerja di Kuala Lumpur, berpendapatan bawah dari RM2,000 dan tidak memiliki rumah atau kereta.



+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media.

Bekas Presiden Peru Tembak Diri Sendiri di Kepala Setelah Disabit Rasuah

Posted: 18 Apr 2019 03:17 AM PDT


Dunia - Situasi mengejutkan berlaku apabila bekas Presiden Peru, Alan Garcia bertindak untuk menembak dirinya sendiri pagi semalam apabila pihak polis memberkasnya yang berdepan tuduhan rasuah.

Alan Garcia kini dilaporkan telah meninggal dunia di sebuah hospital di Lima pada hari rabu selepas pihak hospital telah mencuba untuk mengeluarkan peluru di kepalanya.

Alan Garcia didakwa atas menerima rasuah daripada syarikat pembinaan Brazil, Odebrecht namun tidak mengaku bersalah.

Garcia berkhidmat sebagai presiden pada 1985 hingga 1990 dan kemudian menyambung penggal pemerintahannya pada 2006 hingga 2011.

Penyiasat mendakwa beliau menerima suapan daripada Odebrecht ketika penggal kedua perkhidmatannya yang dikaitkan dengan projek pembinaan kereta api bawah tanah di ibu negara.

+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media.

Jokowi Disebut Bakal Meneruskan Pentadbirannya Untuk 5 Tahun Lagi

Posted: 18 Apr 2019 01:12 AM PDT


Terlalu banyak berita keputusan tidak rasmi yang dikeluarkan mengenai keputusan pemilihan presiden Indonesia di antara Presiden Joko Widodo dan pesaingnya Probowo Subianto.

Walaubagaimanapun, keputusan tidak rasmi telah menunjukkan bahawa Jokowi bakal menyambung pentadbirannya untuk lima tahun lagi. Kiraan undi tidak rasmi menunjukkan Jokowi mendahului selepas meraih sekurang-kurangnya 54 peratus undi popular, berbanding bekas jeneral Probowo Subianto yang ketinggalan lapan peratus undi.




Jika keputusan tidak rasmi ini tepat, Subianto terpaksa akur untuk kalah tipis sekali lagi seperti dalam pilihan raya pada tahun 2014.

Jakarta Post juga telah menaikkan berita bertajuk 'Five More Years' dengan menunjukkan gambar Jokowi dan ini sekaligus memperlihatkan lagi bahawa pentadbiran akan tetap menjadi milik Jokowi.

+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media.

Samsung Galaxy S10 5G Cantas Markah Huawei P30 Pro

Posted: 18 Apr 2019 01:11 AM PDT


Korea Selatan akan menjadi negara pertama yang akan menerima kemasukan Samsung Galaxy S10 5G berikutan kebanyakan negara lain masih belum menyokong sepenuhnya telnologi Generasi Ke-5 ini.

Samsung yang akan melancarkan Samsung Galaxy S10, S10+ dan S10 5G hadir dengan pelbagai ciri yang menarik dan ia dapat dilihat dengan kejayaan model S10 5G yang dilengkapi dengan empat kamera belakang yang mampu memberikan tangkapan imeh yang terbaik.






Model 5G ini juga telah menjadi telefon pintar dengan kamera terbaik mengalahkan Huawei P30 Pro. Menurut DxoMark, masing-masing berjaya menerima 112 markah dari aspek kamera belakang.

Namun bagi kamera hadapan pula, Samunsung Galaxy S10 5G memastikan markah terbaik miliknya apabila memperoleh 97 markah berbanding P30 Pro dengan hanya 89 markah.

Tapi sedia maklum, Huawei P30 Pro tetap menang dalam aspek zoom yang mampu menangkap imej pada jarak yang sangat jauh dan jelas. Bagi S10 5G pula, kameranya menang dalam aspek gambar yang lebih dinamik dan cerah pada jarak yang dekat.

Oh! Media: Untuk kami, kami pastinya akan menantikan kehadiran Samsung Galaxy Note 10 yang pastinya akan hadir dalam model yang serba lengkap dan dipertingkat.


+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media.

Perdana Menteri Malaysia Tersenarai 100 Individu Paling Berpengaruh Dunia

Posted: 18 Apr 2019 01:11 AM PDT


Setiap tahun, majalah TIME akan mengeluarkan 100 individu paling berpengaruh di dunia dan kini telah dikeluarkan senarai bagi tahun 2019.

Apa yang menarik, nama Tun Dr Mahathir, Perdana Menteri terus tersenarai dalam '100 Most Influentiol People 2019' yang dinilai daripada latar belakang dalam semua bidang.




Antara bidang yang dinilai adalah seperti politik, sukan, perfileman dan nyanyian dan semua ini merupakan penganugerahan kepada mereka yang telah memberikan komitmen dan berbakti pada negara masing-masing.

Tun Mahathir turut bersama rakan-rakan politik dunia yang lain seperti Presiden Donald Trump, pemimpin China Xi Jinping, Perdana Menteri New Zealand Jacinda Ardern, ahli kongres wanita Amerika Syarikat yang paling muda, Alexandria Ocasio-Cortez dan beberapa ramai lagi.

+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media.

Liverpool Pesta Gol Tewaskan Porto Dengan Agregat 6-1

Posted: 18 Apr 2019 01:11 AM PDT


Pasukan Liverpool nampaknya dapat bergembira apabila berjaya melakukan pesta gol menentang Porto. Saingan awal pagi tadi menyaksikan kemenangan 4-1 yang menunjukkan kemenangan agregat 6-1.

Sadio Mane membuka jaringan di Estadio do Dragao pada minit ke-26, namun terpaksa menunggu lama untuk pengesahan gol oleh ulang tayang VAR.

Mohamed Salah, pemain gantian Roberto Firmino dan Virgil van Dijk menambah jaringan selepas rehat.






Eder Militao menjaringkan gol tunggal tuan rumah ketika perlawanan berbaki 21 minit, namun ia ibarat ulangan kekalahan 5-0 kepada lawan sama setahun lalu di gelanggang itu.

Dengan ini, Liverpool akan bertemu Barca yang diperkuat Lionel Messi, pertemuan pertama antara kedua-dua kelab berkenaan sejak musim 2006-07 di mana Liverpool menang aksi 16 terakhir itu berdasarkan gol di tempat lawan.

+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media.

Tidak Solat Secara Qasar Ketika Bermusafir

Posted: 17 Apr 2019 04:50 PM PDT


Soalan:
Bolehkah ketika musafir seorang melakukan solat secara tamam tanpa mengqasarkannya. Sebab setahu saya kalau musafir ni kena qasar. Mohon pencerahan ustaz. Terima kasih.

Jawapan:
Solat qasar merupakan rukhsah yang diberikan ketika mana musafir. Ini berdasarkan kepada pertanyaan yang diajukan oleh Umar Bin Al-Khattab kepada Rasulullah SAW. Kata Ya'la Bin Umayyah kepada Umar R.A:

لَيْسَ عَلَيْكُمْ جُنَاحٌ أَنْ تَقْصُرُوا مِنَ الصَّلاَةِ إِنْ خِفْتُمْ أَنْ يَفْتِنَكُمُ الَّذِينَ كَفَرُوا فَقَدْ أَمِنَ النَّاسُ فَقَالَ عَجِبْتُ مِمَّا عَجِبْتَ مِنْهُ فَسَأَلْتُ رَسُولَ اللَّهِ -صلى الله عليه وسلم- عَنْ ذَلِكَ. فَقَالَ صَدَقَةٌ تَصَدَّقَ اللَّهُ بِهَا عَلَيْكُمْ فَاقْبَلُوا صَدَقَتَهُ
Firman Allah SWT: "Dan apabila kamu musafir di muka, maka kamu tidaklah berdosa 'mengqasarkan' (memendekkan) sembahyang jika kamu takut diserang oleh orang-orang kafir. Sesungguhnya manusia telah berasa aman." Maka Umar berkata: "Aku pun pernah hairan sebagaimana kamu lalu aku bertanya kepada Rasulullah SAW berkenaan ayat tersebut." Rasulullah SAW bersabda: "Ia adalah sedekah yang diberikan oleh Allah kepada kalian. Maka terimalah pemberiannya." [Riwayat Muslim (1605)]

Sheikh Muhsin Al-'Abbad berkata: "Maka harus bagi musafir untuk memendekkan solat yang empat rakaat kepada dua rakaat dan juga menjamakkan di antara solat zohor dengan asar dan maghrib dengan isyak. Ini adalah sedekah yang diberikan kepada kita semua." (Rujuk Syarh Sunan Abi Daud, 149/1)

Sheikh Dr Wahbah Al-Zuhaili ketika mengulas berkenaan hikmah diberikan rukhsah qasar dan jamak ialah menolak kepayahan yang ada ketika permusafiran dan memberi kemudahan untuk menunaikan kewajipan yang telah difardukan. (Rujuk Al-Fiqh Al-Islami Wa Adillatuhu,2/319)




Kembali kepada persoalan yang dikemukakan, tidak mengapa jika seseorang ingin melakukan solat secara tamam tanpa mengqasarkannya. Ini kerana ia adalah rukhsah yang diberikan pilihan sama ada mahu melakukannya ataupun tidak.

Imam Al-Nawawi menyebut bahawa rukhsah yang diberikan oleh syara' ada tiga jenis. Pertama, ialah rukhsah yang wajib dilakukan. Contohnya jika seseorang sedang mengunyah makanan kemudian tiada air yang boleh membantunya untuk menelan makanan tersebut melainkan ada arak maka wajib untuk dia gunakan bagi membolehkannya menelan makanan tersebut. Kedua, rukhsah yang lebih baik untuk ditinggalkan seperti menyapu di atas khuf. Ketiga, rukhsah yang harus untuk dilakukan seperti solat qasar." (Rujuk Al-Majmu' Syarh Al-Muhazzab, 4/336)

Akan tetapi, lebih elok untuk dia mengqasarkan solat. Inilah pandangan majoriti ulama. Imam Al-Nawawi menyebut: "Berkenaan isu sama ada mahu mengqasarkan solat atau melakukannya secara tamam, para ulama ada beberapa pandangan. Telah kami sebutkan bahawa mazhab kami (mazhab Al-Syafi'i) harus bagi seseorang untuk melakukan solat secara tamam atau mengqasarkannya. Akan tetapi, lebih baik untuk dia melakukan solat secara qasar. Inilah pandangan yang dikemukakan oleh kebanyakan para sahabat seperti Uthman Bin 'Affan, Sa'ad Bin Abi Waqas, Aisyah dan para sahabat yang lain." (Rujuk Al-Majmu' Syarh Al-Muhazzab,4/337)

Kesimpulannya, ketika musafir seseorang diberikan pilihan sama ada mahu melakukan solat secara qasar ataupun tamam (sempurna). Akan tetapi, lebih elok untuk dia mengqasarkan solat tersebut. Ini kerana ia merupakan rukhsah dan hadiah daripada Allah SWT kepada umat ini bagi memudahkan mereka menunaikan ibadat yang telah diwajibkan.

Semoga Allah memberikan kita kefahaman di dalam agama-Nya. Wallahu'alam.

+ Ustaz Dr. Zulkifli Mohamad Al Bakri | Mufti Wilayah Persekutuan
+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media

Hukum Pengambilan Pil Minda

Posted: 17 Apr 2019 04:37 PM PDT


Soalan:
Apakah hukum pengambilan pil minda yang banyak terdapat di pasaran pada masa kini? Mohon penjelasan. Terima kasih.

Jawapan:
Di dalam Islam, kita disuruh untuk berusaha dengan bersungguh-sungguh dalam mencapai cita-cita atau impian yang di inginkan. Tidak terdapat jalan mudah atau jalan pintas dalam mencapai sesuatu kejayaan tanpa kesungguhan yang gigih. Allah SWT berfirman:

إِنَّ اللَّـهَ لَا يُغَيِّرُ مَا بِقَوْمٍ حَتَّىٰ يُغَيِّرُوا مَا بِأَنفُسِهِمْ
"Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri." (Surah al-Ra'd: 11)

Kecerdikan dan kepandaian dalam sesuatu ilmu pengetahuan adalah diperolehi dengan cara dipelajari. Sesuatu ilmu ini tidak dapat diwarisi serta tidak dapat diperolehi melainkan dengan jalan pembelajaran. Dalam satu hadith yang diriwayatkan oleh Muawiyah Bin Abi Sufyan R.A, bahawa beliau telah mendengar Nabi SAW bersabda:

إِنَّما العلمُ بِالتَّعَلُّمِ
"Sesungguhnya ilmu dengan dipelajari." [Riwayat al-Baihaqi (252)]

Memetik kenyataan akhbar, menurut Dr. Jamnul Azhar, secara saintifiknya, makanan minda tidak memberi maksud secara langsung boleh mencerdaskan tetapi lebih kepada memperbetulkan fungsi badan. Penggunaan pil seperti ini adalah salah satu makanan tambahan atau suplimen yang membantu tubuh badan manusia untuk berfungsi dengan lebih baik.[1]

Menjawab kepada isu ini, penggunaan atau pengambilan pil minda adalah harus serta dibolehkan. Hal ini kerana, perkara ini termasuk dalam perkara-perkara duniawi yang dibenarkan sehinggalah terdapat dalil-dalil yang melarang kepada perkara tersebut. Ini berdasarkan kepada satu kaedah fiqh yang dinyatakan oleh Imam al- Suyuthi:

الأَصْلُ فِي الأَشْيَاءِ الإباحَة حَتَّى يَدُل الدَّلِيل عَلَى التَّحْرِيمِ
"Asal bagi sesuatu perkara adalah harus sehinggalah datangnya dalil yang menunjukkan kepada keharaman (perkara tersebut)". (Lihat al-Asybaah wa al-Nazhair,1/133)




Kesimpulan

Dalam isu ini, kami cenderung mengatakan hukum pengambilan pil minda yang terbukti berkesan menurut kajian saintifik adalah harus dan dibolehkan selagimana pil tersebut tidak mengandungi bahan-bahan terlarang dan diharamkan oleh syarak. Namun demikian, konsep penyampaian maklumat yang digunapakai dalam aktiviti pemasaran perlulah dinyatakan dengan jelas dan jujur serta tidak memanipulasi fakta yang sebenar berkenaan pil genius tersebut. Begitu juga dari sudut penamaan produk, ianya perlulah selari dengan konsep yang dibawakan dan bukanlah sekadar bertujuan melariskan produk semata-mata. Hal ini bertujuan untuk mengelakkan pengguna berterusan dalam kekeliruan serta mendapat maklumat yang tidak tepat. Berlaku jujurlah dalam setiap perkara, pasti akan terdapat keberkatan di kemudian hari.

Semoga dengan apa yang disampaikan ini membuka minda dan memberi kefahaman kepada kita semua dalam melayari kehidupan berlandaskan syariat Islam yang sebenar. Amin.

[1] Lihat Akhbar Sinar Harian bertarikh 2 April 2019, dibawah tajuk "Mujarabkah pil genius?"

+ Ustaz Dr. Zulkifli Mohamad Al Bakri | Mufti Wilayah Persekutuan
+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media

Kepentingan Hafalan Dalam Menuntut Ilmu

Posted: 17 Apr 2019 04:22 PM PDT


Soalan:
Bolehkah berikan nasihat kepada sekalian penuntut ilmu, tentang cara dan tips untuk menguatkan hafalan dan ingatan.

Jawapan:
Sifat pelupa merupakan antara sifat tabi'e seorang manusia. Seorang penyair pernah bermadah:

وما سُمي الإنسان إلا لنسيه ولا القلب إلا أنه يتقلب
"Tidaklah dinamakan insan melainkan kerana sifat pelupanya (nisyan);
Dan tidaklah dinamakan hati (qalb) melainkan kerana ia berbolak-balik."

Imam Syafi'e juga pernah mengadu kepada guru beliau, Waki' akan lemahnya hafalan beliau, dan ia dirakamkan dalam syair beliau:

شكوت إلى وكيع سوء حفظي فأرشدني إلى ترك المعاصي
وقــال إن علم الله نــورٌ ونور الله لا يعطى لعاصي
"Aku mengadu kepada Waki' akan lemahnya ingatanku;
Maka dia menyuruhku agar meninggalkan maksiat;
Beliau juga berkata sesungguhnya ilmu Allah itu cahaya;
Dan cahaya Allah tidak akan dikurniakan kepada seorang pelaku maksiat."

Maka difahami daripada nasihat Waki' ini bahawa sesungguhnya maksiat itu melemahkan ingatan dan merupakan penghalang daripada meresapnya ilmu ke dalam dada manusia.

Allah SWT juga memberikan pesan agar manusia berzikir nama-Nya apabila mereka terlupa melalui firman-Nya:

وَاذْكُر رَّبَّكَ إِذَا نَسِيتَ
"Dan ingatilah Tuhanmu tatkala kamu terlupa." [Surah al-Kahfi (24)]

Menghafal Ilmu

Para ulama amat mementingkan hafazan ilmu, selain daripada memahami dan menghafalnya. Muhammad bin Yasir pernah bermadah:

إذا لم تكن حافظا واعيا - فجمعك للكتب لا ينفع
"Jika kamu tidak mempunyai sifat menjaga dan menghafal ilmu, maka kitab-kitab yang yang kumpul tidak akan memberi manfaat walau sedikitpun." (Rujuk Al-Jami' fi Bayan al-Ilm wa Fadhlihi oleh Imam Ibn Abd al-Barr, 1/139)

Yunus bin Habib pernah mendengar seorang yang berkata:

وبئس مستودع العلم قراطيس
"Seburuk-buruk orang yang meninggalkan ilmu, ialah yang meninggalkannya pada lembaran-lembaran kertas (yakni tidak dihafal)."




Kerana itulah ada ulama yang menyatakan bahawa ilmu itu adalah apa yang dihafaz, dan hafazan tidak dapat dicapai melainkan dengan usaha keras, banyaknya ulangkaji dan perbincangan yang intensif. Perbincangan dan muzakarah merupakan nyawa bagi ilmu, dan tanpa ulangkaji, tiadalah hafalan. Benarlah kata-kata seorang hukama':

وَلَيْسَ عِلْمًا مَا وَعَى الْقِمَطْرُ مَا الْعِلْمُ إِلا مَا وَعَاهُ الصَّدْرُ
"Ilmu itu bukanlah apa yang terbuku di dalam kitab, namun ilmu itu adalah apa yang terpelihara di dada dan ingatan." (Rujuk Al-Hassu 'ala Tolab al-'Ilm wa al-Ijtihad fi Jam'ihi, hal. 1/67)

Diriwayatkan pula bahawa Abd al-Razzaq berkata: "Setiap ilmu yang tidak dibawa oleh pemiliknya ke dalam tandas (dengan erti kata tidak dihafal dan diingati), maka ia tidak dikira sebagai ilmu." (Rujuk al-Dalil ila al-Mutun al-'Ilmiyyah oleh Abd al-Aziz ibn Qasim, 1/53)

Kesimpulan

Ibn Abbas R.Anhuma pernah berkata:

الْعِلْمُ أَكْثَرُ مِنْ أَنْ يُحْصَى فَخُذُوا مِنْ كُلِّ شَيْءٍ أَحْسَنَهُ
"Ilmu itu amat banyak daripada yang termampu untuk dihitung, maka ambillah setiap sesuatu itu yang terbaik."

Kemampuan akal manusia adalah terbatas, dan kapasiti memori manusia juga mempunyai hadnya. Sifat pelupa merupakan satu kelemahan yang amat sinonim dalam diri manusia. Firman Allah SWT:

وَخُلِقَ الْإِنسَانُ ضَعِيفًا
"Dan sesungguhnya manusia itu diciptakan dengan fitrah sifat pelupa." [Surah al-Nisaa' (28)]

Maka dengan demikian, para pelajar hendaklah bijak dalam menapis dan menyaring segala maklumat yang diperoleh, dan memilih ilmu-ilmu yang benar-benar bermanfaat sahaja untuk dihafal, seterusnya disampaikan kepada orang ramai.

Kami mengambil kesempatan disini untuk menasihatkan kepada pelajar agar membudayakan hafazan dan mempelajari teknik hafalan yang berkesan serta mudah untuk dipraktikkan. Wallahu a'lam.

+ Ustaz Dr. Zulkifli Mohamad Al Bakri | Mufti Wilayah Persekutuan
+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media