Saturday, April 20, 2019

Oh! Media

Oh! Media


Harga Runcit RON95 dan Diesel Sepatutnya Meningkat Kepada RM2.50 dan RM2.46 Seliter

Posted: 19 Apr 2019 06:46 AM PDT


Sedar mahupun tidak, harga runcit bagi RON97 dilihat terus meningkat dari minggu ke minggu. Apa punca kenaikan ini?

Jika dilihat dari kemaskini harga runcit minyak bagi 20 hingga 26 April ini, RON97 hadapi kenaikan 12 sen kepada RM2.80 seliter dan RON95 dan diesel kekal pada paras maksimum RM2.08 dan RM2.18 seliter.

Penjelasan kepada kanaikan harga minyak ini adalah berikutan dari produk petroleum yang diproses dalam pasaran dunia terus menunjukkan trend peningkatan yang melebihi paras AS$80 setong.

Cuba kita lihat berapa agaknya harga RON95 dan diesel jika tiada nilai maksimum ditetapkan kerajaan. Mengikut kepada trend peningkatan ini, RON95 kini telah mencecah kepada RM2.50 seliter dan diesel meningkat kepada RM2.46 seliter.

Kenaikan ini berlaku akibat kenaikan harga purata minyak Dated Brent kepada AS$70.98 setong bagi tempoh 11 hingga 17 April 2019 dan berikutan dengan itu kerajaan telah memberikan subsidi sebanyak 42 sen kepada RON95 dan 28 sen kepada diesel.

+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media.

Haqiem Tidak Mahu Peminat Leka Dengan Dirinya

Posted: 19 Apr 2019 05:52 AM PDT


Haqiem Rusli berniat untuk memulihkan semula pemikiran segelintir pihak yang mendakwa kerjaya anak seni ini membuatkan pengikut leka sehingga meninggalkan ibadat.

Haqiem memberikan pendapat beliau dan berkongsi dilaman sosialnya. Haqiem menjelaskan bahawa dia menjadi penyanyi adalah kerana untuk membantu keluarganya hasil dari rezeki menyanyi itu.

Hal ini berlaku apabila Haqiem membaca sebuah artikel berkenaan halal atau haram kerjaya sebagai seorang penyanyi sehingga dikatakan melalaikan segelintir pihak.

Pada Haqiem,dia hanya mahu membantu keluarganya dan membuatkan orang yang mendengar lagunya gembira.

Haqiem juga merasa bahawa dia hanya ingin menjalankan tanggungjawab untuk mengingatkan peminat agar tidak leka dan bukannya mahu menidakkan dakwaan pihak terbabit.

Oleh itu, dia terpanggil untuk menasihatkan para peminatnya agar tidak leka ketika mendengar lagu-lagunya atau berada di konsertnya sehingga meninggalkan solat.

Suka diingatkan bahawa Haqiem hanya ingin menjalankan tanggungjawab menasihati para peminat supaya tidak terlalu memuja dirinya.

Katanya iaitu dia tidak mahu disoal diakhirat nanti jika tidak melakukan apa-apa dan berharap dapat diamalkan oleh semua orang dan bukan peminatnya sahaja.

Oh! Media: Bagi kami. semua ini ikut pada niat dan diri kita sendiri. Allah tidak melarang hambanya untuk berhibur selagi hukum-hakam terjaga dan bijak mengatur masa untuk beribadat. So, apa pendapat korang pulak tentang perkara ini?


+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media.


Pengeluar Smartphone Xiaomi Kini Hasilkan SUV Rekaan Sendiri

Posted: 19 Apr 2019 02:21 AM PDT

Gambar: PCauto

Siapa sangka satu jenama yang terkenal dengan pengeluaran telefon pintar kini mula beralih kepada pengeluaran kereta. Xiaomi yamg kini telah mula memperkenalkan model pertama kereta mereka telah berjaya menghasilkan SUV rekaan sendiri dan diberi nama Xiaomi Redmi Car.

SUV Xiaomi Redmi Car ini dihasilkan dengan kerjasama bersama FAW di China yang merupakan pengeluar automotif di sana.


Model ini turut membawa konsep rekaan Bestune T77 dan dikuasai enjin 1,200cc berkuasa turbo yang mampu memberi kuasa 143hp dan 204Nm tork.

Namun, ia tidak dipastikan bila akan dibawa masuk ke Malaysia yang akan mula dijual dengan harga permulaan CNY89,000 atau RM55,206.23.


+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media.


Eksklusif - Apa Yang Menarik Bakal Muncul Dalam PlayStation 5?

Posted: 19 Apr 2019 02:25 AM PDT


Telah banyak laporan dan buah mulut dari ramai orang dan akhirnya pihak Sony sendiri telah mendedahkan tentang beberapa perkara berkaitan PlayStation 5.

Mark Cerny iaitu seorang Lead System Architect untuk PS5 telah ditemuramah secara eksklusif bersama Wired lalu menyatakan dengan lebih jelas berkenaan beberapa info mengenai konsol itu sendiri.

Di dalam temuramah itu, terdapat beberapa info yang telah dinyatakan. Antaranya, PS5 telah berada didalam pembanggunan selama  empat tahun.




Beberapa studio telah berkerjasama dengan Sony baru-baru ini dan mereka telah mempercepat penyebaran sehingga pencipta permainan akan memiliki waktu yang mereka perlukan agar bersesuian dengan keupayaan mereka.

Untuk pengetahuan korang, permainan video dari PS4 juga dikatakan boleh dimainkan di PS5 dimana Backward Compatibility telah disahkan dan ia akan menggunakan drive untuk memasukkan disk dan belum lagi ke arah degital sepenuhnya.

Antara ciri menarik lain adalah, ia mampu menampung resolusi 8k dan memiliki Storage Custom SSD yang sangat pantas dimana lebih kurang 19 kali ganda lebih pantas dari PS4 Pro.CPU pula berdasarkan AMD Ryzen generasi ketiga yang mana mengandungi 8 core AMD 7nm Zen 2. Sokongan ray-tracing dengan custom daripada AMD Navi GPU dan 3D audio.

Agaknya dapatkah PS5 ini menarik minat para gamer berbanding konsol Sony yang lain? Apa pendapat korang?

577 Kawasan Akan Hadapi Gangguan Bekalan Air Selama 86 Jam

Posted: 19 Apr 2019 01:34 AM PDT


Gangguan bekalan air hingga 86 jam dijangka berlaku di Klang, Shah Alam, Petaling, Gombak, Kuala Lumpur, Kuala Langat dan Kuala Selangor susulan kerja-kerja penambahbaikan perkakasan kritikal sistem bekalan elektrik di Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 2 (LRA SSP2) pada 24 April.

Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), Charles Santiago, berkata pelaksanaan kerja-kerja penambahbaikan oleh Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) itu perlu dibuat dengan segera untuk mencegah sebarang kerosakan atau risiko kegagalan sistem elektrik bagi mengelakkan gangguan bekalan air yang tidak terancang kepada pengguna.




Santiago berkata, Air Selangor akan mengambil langkah yang berkenaan dan berusaha untuk mengurangkan impak dan memendekkan tempoh gangguan bekalan air kepada semua pengguna yang terbabit.

"Antaranya adalah memberikan bantuan bekalan air melalui tangki lori air, tangki statik, pili awam, stesen pengisian air setempat dan agihan botol air minuman selain memastikan bantuan bekalan air dibekalkan ke premis kritikal seperti hospital, pusat dialisis dan sebagainya," katanya.

"Air Selangor menjangka bahawa hampir 50 peratus daripada kawasan yang terjejas akan menerima bekalan air melalui paip dalam tempoh 24 jam," katanya.

+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media.

Bagaimana Mengkafan Jenazah Jika Tiada Kain Putih?

Posted: 18 Apr 2019 04:55 PM PDT


Soalan:
Bagaimanakah kita ingin mengkafankan jenazah di kawasan yang tiada padanya kain kafan berwarna putih?

Jawapan:
Kafan bermaksud suatu yang membalut atau menutup badan jenazah yang meninggal dunia. Secara umumnya, mengkafankan jenazah dengan kain putih adalah dituntut di sisi syarak. Ini berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Ibn Abbas R.A bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:

الْبَسُوا مِنْ ثِيَابِكُمُ الْبَيَاضَ فَإِنَّهَا خَيْرُ ثِيَابِكُمْ وَكَفِّنُوا فِيهَا مَوْتَاكُمْ
"Pakailah dari pakaian kamu yang berwarna putih, sesungguhnya ia merupakan pakaian terbaik kamu dan kafankanlah orang yang meninggal dunia dari kalangan kamu dengan warna putih." [Riwayat Abu Daud (4061)]

Kata perintah dalam ayat tersebut membawa kepada hukum sunat. Ini kerana, Rasulullah S.A.W ada memakai pakaian-pakaian yang tidak berwarna putih dalam keadaan yang banyak bagi menjelaskan keharusannya.

Imam al-Nawawi menyatakan bahawa proses mengkafankan jenazah ini disunatkan padanya untuk menggunakan kain kafan yang berwarna putih. Jenis (kainnya) pula bagi hak si mati adalah apa yang dibolehkan untuk dia memakainya semasa masih hidup. Maka dibolehkan untuk dikafankan orang perempuan menggunakan kain sutera, namun makruh hukumnya. Manakala bagi orang lelaki haram dikafankan dengan kain sutera. [Lihat Raudhah al-Thalibin, Al-Nawawi (2/110)]

Justeru, jika tiada kain kafan dalam pemahaman masyarakat iaitu kain yang berwarna putih, maka boleh untuk jenazah dikafankan dengan apa sahaja kain yang dibolehkan untuk si mati memakainya semasa hayatnya.




Sekiranya tidak mencukupi tiga helai kain, memadailah dengan sekadar satu helai kain sahaja untuk menjadi kain kafan kepada si mati. Kata Imam al-Nawawi:

أقل الكفن ثوب ، وأكمله للرجال ثلاثة ، وفي قدر الثوب الواجب ، وجهان . أحدهما : ما يستر العورة ، ويختلف باختلاف عورة المكفن في الذكورة والأنوثة . والثاني : ما يستر جميع بدنه إلا رأس المحرم ، ووجه المحرمة
"Sekurang-kurang kain kafan adalah sehelai pakaian. Yang paling lengkap adalah tiga helai pakaian. Kadar pakaian yang wajib (sebagai kain kafan) ada dua pandangan (di sisi ulama mazhab):

  • Pertama: (Pakaian) yang menutup aurat, dan ia berbeza dengan perbezaan aurat individu yang dikafankan antara jenazah lelaki dan jenazah wanita.
  • Kedua: Pakaian yang menutup kesemua tubuh badan jenazah melainkan kepada jenazah yang dalam keadaan berihram dan wajah jenazah perempuan yang dalam keadaan berihram."

[Rujuk Raudhah al-Thalibin, Al-Nawawi (2/110)]

Kesimpulan

Sebagai penutup, kami menyatakan bahawa sekiranya tidak terdapat kain kafan yang berwarna putih keseluruhannya itu untuk digunakan dalam proses mengkafankan jenazah, adalah dibolehkan untuk dikafankan jenazah dengan pakaian yang menutup seluruh aurat jenazah dengan jenis kain yang dibolehkan kepada dirinya untuk dipakai semasa hayatnya di dunia.

Kami juga mencadangkan agar para pendakwah yang berdakwah kepada masyarakat-masyarakat di pedalaman agar turut membawa bersama bahan-bahan pengebumian masyarakat bagi memudahkan urusan masyarakat tersebut.

Akhir kalam, semoga Allah S.W.T memberikan kefahaman yang tepat kepada kita dalam beragama. Ameen.

+ Ustaz Dr. Zulkifli Mohamad Al Bakri | Mufti Wilayah Persekutuan
+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media

Hukum Perempuan Membuang Bulu Di Wajah Kerana Malu

Posted: 18 Apr 2019 04:41 PM PDT


Soalan:
Berdosakah seorang perempuan membuang bulu di muka seperti misai kerana terlalu lebat. Ini kerana ia selalu menjadi punca yang menyebabkan malu untuk berhadapan dengan orang lain.

Jawapan:
Berkenaan isu ini kami sudah menjawab sedikit berkaitannya. Kami ada menerangkan tentang:

  • bulu yang ada perintah untuk mencukurnya,
  • bulu-bulu yang dilarang mencukurnya,
  • dan bulu-bulu yang didiamkan oleh syarak.

Justeru, kami menyatakan bahawa pada asasnya membuang bulu di muka selain bulu kening termasuk dalam bulu yang diharuskan untuk mencukurnya. Ini kerana ia antara yang didiamkan oleh syarak.

Walau bagaimanapun ada dalam kalangan ulama mazhab-mazhab yang menjadikan hukumnya sebagai sunat dan wajib. Pandangan-pandangan tersebut adalah seperti berikut:

  • Imam al-Nawawi dalam al-Majmu' Syarh al-Muhazzab menyatakan bahawa sunat untuk seorang perempuan mencukur bulu-bulu yang ada di mukanya. (Rujuk al-Majmu' Syarh al-Muhazzab, 1:290)
  • Para ulama' Malikiyyah jelas menyatakan bahawa wajib bagi seorang perempuan mencukur misai, janggut dan bulu yang tumbuh di badan. (Rujuk Mawahib al-Jalil al-Hattab, 1:314)

Jika sekiranya bulu tersebut menimbul rasa malu, aib dan masalah yang akan menimbulkan mudarat bagi seseorang itu seperti keadaan disebutkan saudari yang bertanya, maka wajib untuk mencukurnya. Ini berdasarkan hadith Nabi SAW dan kaedah fiqh:

الضَرَرُ يُزَالُ
"Sesuatu yang memudaratkan itu harus dihilangkan." [Hadith Ibn Majah: 2341]

Ini kerana sesuatu yang bertujuan untuk mengembalikan sesuatu itu pada keadaan yang asal dan bukan bertujuan untuk kecantikan semata-mata, maka hukumnya adalah harus. Ini sepertimana yang disebut oleh kaedah fiqh berkaitan mengubah ciptaan Allah SWT:

ما كان للتجميل فحرام وما كان لإزالة العيب فحلال
"Apa sahaja yang bertujuan untuk kecantikan semata-mata maka hukumnya adalah haram. Manakala apa yang bertujuan untuk menghilangkan aib pada dirinya maka hukumnya adalah halal."




Begitu juga, kewajipan mencukur bulu di muka seperti janggut dan misai adalah berdasarkan larangan perempuan menyerupai lelaki. Ini kerana bukanlah sesuatu yang normal dan adat kebiasaan manusia seseorang perempuan mempunyai misai dan janggut yang jelas dilihat. Jika sekiranya bulu tersebut lebat yang tidak normal bagi seorang perempuan sehingga menyerupai lelaki, maka wajib untuk dia mencukurnya. Sifat keperempuanan tidak mempunyai bulu-bulu lebat di muka, jika terdapat perkara tersebut maka ia menyalahi sifat fitrah bagi perempuan. Ibn 'Abbas meriwayatkan satu hadith:

لعن رسول اللّه صلى الله عليه وسلم المتشبهين من الرجال بالنساء، والمتشبهات من النساء بالرجال
"Sesungguhnya Rasulullah SAW melaknat golongan yang menyerupai perempuan daripada kalangan lelaki, dan golongan yang menyerupai lelaki daripada kalangan perempuan." [Hadith al-Bukhari]

Kesimpulan

Berdasarkan perbincangan di atas, kami menyatakan bahawa pada asasnya harus untuk perempuan membuang bulu di muka , selain daripada bulu yang terdapat larangan untuk mencukurnya iaitu bulu kening.

Namun, jika sekiranya bulu tersebut memudaratkan dan tidak normal sehingga menyerupai lelaki, maka hukum wajib ke atasnya untuk mencukur dan menghilangkannya. Semoga Allah SWT memberikan kita kefahaman yang sahih terhadap agama-Nya dan taufiq dalam melaksanakan ketaatan kepada-Nya. Amin. Wallahua'lam.

+ Ustaz Dr. Zulkifli Mohamad Al Bakri | Mufti Wilayah Persekutuan
+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media

Nisbah Nama Kepada Datuk

Posted: 18 Apr 2019 04:33 PM PDT


Soalan:
Apakah dibenarkan menisbahkan nama kepada datuk?

Jawapan:
Sebelum kami menjawab persoalan di atas, suka bagi kami untuk menjelaskan berkaitan kaedah menggunakan nisbah ini. Di dalam matan Alfiyah, Imam Malik ade menyebut berkaitan makna nisbah ini iaitu menyandarkan sesuatu kepada sesuatu. Sama ada sandaran itu kepada kabilah, negeri, ilmu, pekerjaan atau seumpama dengannya.

Selain itu juga, terdapat dua kaedah atau cara dalam penisbahan ini iaitu:
  • Menukarkan penisbahan tersebut kepada sighah al-Mubalaghah seperti Haddad (حَدَّاد) iaitu tukang besi.
  • Menambahkan huruf Ya' nisbah di akhir penisbahan tersebut seperti Makki (مَكِّيّ) iaitu dari Makkah atau Qurashiy (قُرَشِيّ) iaitu daripada kabilah Quraish. [Lihat: Syarah Alfiyah, 576]
Berdasarkan kepada soalan di atas, kami cuba untuk menghimpunkan beberapa hadith berkaitan menisbahkan nama kepada datuk. Di antara hadith yang menceritakan berkaitan bab ini adalah:

1. Daripada Ibn Abbas R.anhuma, bahawa Nabi SAW bersabda:

مَنِ انْتَسَبَ إِلَى غَيْرِ أَبِيهِ أَوْ تَوَلَّى غَيْرَ مَوَالِيهِ، فَعَلَيْهِ لَعْنَةُ اللَّهِ وَالْمَلَائِكَةِ وَالنَّاسِ أَجْمَعِينَ
"Barangsiapa yang menasabkan kepada selain daripada bapanya atau menisbahkan mawla selain daripada mawlanya, maka ke atasnya laknat Allah, para malaikat dan juga manusia keseluruhannya." [Riwayat Ibn Majah (2609), Syeikh Syu'aib al-Arna'outh menilai hadith ini sebagai sahih]

2. Daripada Anas bin Malik RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَنِ ادَّعَى إِلَى غَيْرِ أَبِيهِ، أَوِ انْتَمَى إِلَى غَيْرِ مَوَالِيهِ، فَعَلَيْهِ لَعْنَةُ اللَّهِ الْمُتَتَابِعَةُ، إِلَى يَوْمِ الْقِيَامَةِ
"Barangsiapa yang mendakwa kepada selain daripada bapanya atau menyandarkan kepada selain daripada mawlanya. Maka ke atasnya laknat Allah secara berterusan sehingga hari akhirat." [Riwayat Abu Daud (5115), Syeikh Syu'aib al-Arna'outh menilai sanad hadith ini sebagai sahih]

Hadith ini jelas menunjukkan kepada pengharaman seseorang itu menasabkan kepada bukan ayahnya (ayah kandung) atau seseorang itu menyandarkan kepada bukan kepada tuannya. Ini kerana, ia seakan-akan mengkufuri nikmat dan menghilangkan hak-hak perwarisan, ketaatan kepada tuan, akal dan sebagainya. Tambahan pula, padanya terdapat memutuskan pertalian silahturrahim dan ia juga salah satu bentuk penderhakaan. [Lihat: Aun Ma'bud, 14/15]

3. Daripada Sa'ad bin Abi Bakrah R.anhuma, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَنِ ادَّعَى إِلَى غَيْرِ أَبِيهِ، وَهُوَ يَعْلَمُ أَنَّهُ غَيْرُ أَبِيهِ فَالْجَنَّةُ عَلَيْهِ حَرَامٌ
"Barangsiapa yang mendakwa kepada selain daripada bapanya dalam keadaan dia mengetahuinya bahawa itu bukan bapanya. Maka telah haram syurga ke atas dirinya." [Riwayat Muslim (115)]

4. Daripada Abi Zar RA berkata, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

لَيْسَ مِنْ رَجُلٍ ادَّعَى لِغَيْرِ أَبِيهِ وَهُوَ يَعْلَمُهُ إِلَّا كَفَرَ
"Bukan daripada kalangan orang lelaki yang mendakwa orang lain adalah bapanya dalam keadaan dia mengetahuinya melainkan dia telah kufur (menjadi kafir)." [Riwayat Muslim (112)]

Menurut Imam al-Nawawi, kedua hadith Imam Muslim di atas boleh difahami dengan terdapat padanya dua takwilan bagi perkataan atau makna kufur bagi orang yang melakukan perkara seperti ini:
  • Orang yang menghalalkan perbuatan ini akan menjadi kafir (terkeluar daripada Islam).
  • Orang yang melakukan perbuatan sama seperti orang yang kufur terhadap nikmat, ihsan, hak Allah dan juga hak ayahnya. [Lihat: al-Minhaj, 2/52]



Hukum Menisbahkan Nama Kepada Datuk

Di sini kami nukilkan pandangan daripada Syeikh al-Sarakhsi, beliau berkata:

لِأَنَّ النَّسَبَ إلَى الْجَدِّ بِمَنْزِلَةِ النَّسَبِ إلَى الْأَبِ فِي الْحَقِيقَةِ؛ لِأَنَّ أَكْثَرَ النَّاسِ يُنْسَبُ إلَى الْجَدِّ لِيُعْرَفَ دُونَ الْأَبِ
(أَلَا تَرَى) أَنَّ ابْنَ أَبِي لَيْلَى يُنْسَبُ إلَى جَدِّهِ، وَكَذَلِكَ أَبُو نَصْرِ بْنُ سَلَامَةَ يُنْسَبُ إلَى جَدِّهِ؛ لِأَنَّ سَلَامَةَ جَدُّهُ لَا أَبُوهُ، وَإِذَا كَانَ يُنْسَبُ إلَى الْجَدِّ صَارَ الْحُكْمُ أَنَّ الصُّلْبَ وَالْجَدَّ سَوَاءٌ
"Nasab kepada datuk sama kedudukannya dengan nasab kepada bapa secara hakikatnya. Ini kerana, kebanyakan manusia menasabkan kepada datuknya dengan tujuan untuk dikenali tanpa menyatakan nama ayah. Tidak kamu melihat bahawa Ibn Abi Laila menasabkan namanya kepada datuknya. Begitu juga, Abu Nasr bin Salamah menasabkan kepada datuknya kerana Salamah adalah datuknya dan bukan bapanya. Sekiranya dinasabkan kepada datuknya maka hukum ayah dan datuk adalah sama." [Lihat: al-Mabsuth, 158/27]

Tambahan pula, di sana terdapat ulama yang menisbahkan diri mereka kepada datuknya dan bukan ayahnya. Antaranya ialah:
  • Ahmad bin Muhammad bin Musa tetapi masyhur dengan Ahmad bin Musa.
  • Ishaq bin Ibrahim bin Suwaid tetapi masyhur dengan Ishaq bin Suwaid.
  • Said bin Kathir bin 'Ufair tetapi masyhur dengan Said bin 'Ufair.
  • Uthman bin Abdullah bin Mawhib tetapi masyhur dengan Uthman bin Mawhib.
  • 'Amr bin Muaz bin Sa'ad bin Mu'az tetapi masyhur dengan 'Amr bin Sa'ad bin Muaz.
Selain itu juga, sekiranya dilihat daripada nasab Imam al-Syafie, kita akan mendapati bahawa al-Syafie itu adalah datuknya. Nama sebenar Imam al-Syafie ialah Muhammad bin Idris bin al-Abbas bin Uthman bin Syafi' bin al-Sa'ib bin Ubaid bin Abd Yazid bin Hasyim bin Abd al-Muthalib bin Abd Manaf.

Begitu juga seorang sahabat yang masyhur iaitu Abu Ubaidah al-Jarrah juga tidak terkecuali menisbahkan namanya kepada datuknya dan bukan ayahnya. Nama sebenar Abu Ubaidah ialah Abu Ubaidah Amir bin Abdullah bin al-Jarrah

Penutup

Kesimpulannya, jelas menunjukkan kepada kita tentang pengharaman penisbahan kepada sesuatu yang bukan haknya sama ada nisbah kepada bukan ayah atau nisbah kepada bukan tuannya. Walaupun begitu, terdapat sebahagian ulama yang membenarkan tetapi dengan syarat-syarat atau dhawabit yang tertentu seperti kami telah nyatakan di atas. Justeru itu, terdapat ramai ulama yang menisbahkan nama mereka kepada datuknya termasuklah Imam al-Syafie. Akhirnya, semoga Allah SWT memberi kita semua kefahaman di dalam agama ini. Amin. Wallahua'lam.

+ Ustaz Dr. Zulkifli Mohamad Al Bakri | Mufti Wilayah Persekutuan
+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media