Sunday, April 21, 2019

Oh! Media

Oh! Media


Lenovo Z6 Bakal Hadir Dengan Penyejukan Cecair Sehebat PC?

Posted: 20 Apr 2019 12:56 AM PDT


Dalam perkembangan teknologi dan inovasi bagi industri telefon pintar, siapa sangka kini pihak Lenovo bakal bergerak selangkah ke depan lagi apabila  mengumumkan bakal hadir dengan sistem penyejukan cecair setaraf dengan sebuah PC.

Lenovo yang telah mengeluarkan poster Lenovo Z6 Pro itu telah menunjukkan ia bakal hadir dengan empat kamera, lapan-paksi OIS serta mempunyai sistem kecerdasan dan pembesar suara Dolby Panaromic Sound.




Dalam poster itu juga turut dapat dilihat penyejuk cecair dan paip yang dipasang di seluruh bahagian dalam peranti yang dikatakan mampu menjadikan ia sebuah peranti yang paling sejuk walaupun bermain permainan video pada masa yang lama.

Walaubagaimanapun, kita masih tidak boleh memberika kepercayaan penuh kepada pihak Lenovo setelah sebelum ini, mereka juga telah pernah menipu dalam pengeluaran Lenovo Z5. Jadi, sama-samalah kita tunggu hasilnya yang dikatakan akan dilancarkan pada 26 April ini.

+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media.

LIVE: Sekitar KL Zumba Marathon, 12 Jam Zumba Tanpa Henti

Posted: 20 Apr 2019 12:35 AM PDT


Bagi penggemar dan pengikut Zumba, pastinya anda mengetahui tentang berlangsungnya acara terpenting untuk scene Zumba tahun ini di Malaysia iaitu KL Zumba Marathon 2019 yang berlangsung di MAEPS Serdang ketika ini.

Tonton acara berprestij untuk Zumba selama 12 jam tanpa henti ini melalui video di atas dan menjadi sebahagian dari yang terlibat mencatatkan acara Zumba terbesar di Malaysia ini ke dalam buku The Malaysia Book of Records!!

Istiadat Majlis Perkahwinan Tengku Mahkota Kelantan Dijalankan Dengan Penuh Kesederhanaan

Posted: 20 Apr 2019 12:56 AM PDT

Gambar: Istana Kelantan

Tengku Mahkota Kelantan, Dr Tengku Muhammad Fa-Iz Petra akhirnya selamat disatukan bersama Cik Puan Sofie Lousie Johansson malam tadi.

Istiadat majlis perkahwinan yang berlangsung dengan penuh sederhana itu, mengenakan persalinan serba putih ketika upadara akad nikah di Istana Balai Besar.




Gambar: Istana Kelantan

Upacara akad nikah itu disempurnakan oleh Ketua Hakim Syarie Kelantan, Datuk Daud Muhammad kira-kira jam 8.30 malam tadi yang melibatkan lebih 300 ahli keluarga kerabat dan kenalan rapat sahaja.

Untuk pengetahuan korang, Cik Puan Sofie merupakan warga Sweden dan berumur 33 tahun yang merupakan kenalan lama Tengku Muhammad Fa-Iz.

Gambar: Istana Kelantan

+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media.

Apa Sudah Jadi? Skrin Samsung Galaxy Fold Alami Kerosakan Tidak Sampai 24 Jam

Posted: 19 Apr 2019 10:19 PM PDT


Sebelum Samsung Galacy Fold diedarkan kepada pengguna, pihak Samsung telah memberikan kepada beberapa individu popular yang menjadi pengguna awal termasuk YouTuber terkenal seperti Marques Brownlee (MKBHD).

Tapi malangnya, telefon pintar yang menggunakan teknologi skrin boleh lipat telah didapati mengalami masalah kerosakan skrin yang serius dengan hanya 24 jam penggunaan.

Ini turut dialami oleh MKBHD sendiri melalui perkongsiannya di Twitter yang sebelum ini telah berkongsikan video 'Samsung Galaxy Fold Unboxing: Magnets!' dan telah memuat naik satu lagi video menunjukkan skrinnya yang menjadi hitam dan rosak sepenuhnya.






Melalui penjelasan MKBHD, Samsung Galaxy Fold ini akan hadir dengan lapisan yang dilihat seakan plastik 'screen protector' dimana model ini akan mengalami kerosakan skrin sepenuhnya jika lapisan ini dibuka.

Selain MKBHD, pengguna-pengguna awal lain turut berkongsikan yang mereka turut mengalami masalah yang sama. Pihak Samsung juga telah mengambil tindakan pantas dengan menggantikannya dengan set yang baharu kepada pengguna terawal untuk mereka terus memberikan komen terhadap model ini.



Masalah yang berlaku ini pastinya menggugat penjualan Samsung Galaxy Fold yang bakal ditawarkan tidak lama lagi setelah model ini ditawarkan dengan harga mencecah RM8,135. Di Amerika Syarikat, Samsung Galaxy Fold telah habis dijual pada pertama penjualan sebelum berita mengenai masalah skrin ini mulai tular.





+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media.


Ronaldo Akan Terus Bersama Juventus

Posted: 19 Apr 2019 10:18 PM PDT


Walaupun gagal meneruskan kemenangan dalam saingan Liga Juara-Juara, Cristiano Ronaldo dikatakan akan terus memberikan khidmatnya untuk pasukan Juventus, kata jurulatih Maasimiliano Allegri.

Pasukan gergasi Itali itu juga kini hanya memerlukan satu mata sahaja lagi untuk memastikan pasukan mereka merangkul kejuaraan kelapan berturut-turut dalam Serie A.




"Cristiano ialah masa depan Juventus. Dia beraksi dengan sangat baik tahun ini dan akan melakukan perkara sama musim depan, sudah pasti dia kecewa sama seperti kami semua tetapi dia tenang menghadapinya," kata Allegri.

"Cristiano melalui musim yang menakjubkan dan akan bermain esok."

Dalam saingan Liga Juara-Juara, Ronaldo telah berjaya menjaringkan sebanyak 14 gol dan 19 gol dalam Serie A, empat di belakang penjaring terbanyak Fabio Quagliarella.

+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media.

Pelajar Malaysia Berkumpul di Rumah Malaysia Susulan Pergolakan di Sudan

Posted: 19 Apr 2019 08:30 PM PDT


Pelajar Malaysia yang kini berada di Sudan terus diingatkan untuk berlindung di Rumah Malaysia berikutan pergolakan yang berlaku di negara itu.

Sehingga kini, seramai 95 orang pelajar Malaysia masih berada Rumah Malaysia, kediaman rasmi Duta Besar Malaysia di Syarik Riyard, Sudan.




Jumlah pelajar Malaysia di Sudan adalah seramai 101 pelajar dengan 95 orang daripada mereka berada di Khartoum dan selebihnya berada di Malaysia berikutan universiti mereka masih tutup.

Pada 12 April 2019, Kerajaan Sudan mengisytiharkan perintah darurat selama tiga bulan susulan pergolakan di negara tersebut.

+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media.

Lebih Afdhal Berjalan Kaki Atau Menaiki Kenderaan Ke Masjid?

Posted: 19 Apr 2019 04:51 PM PDT


Soalan:
Yang manakah lebih utama bagi seseorang itu sama ada hadir ke masjid dengan berjalan kaki ataupun dengan menaiki kenderaan?

Jawapan:
Dalam isu ini, terdapat beberapa dalil yang menjadi sumber perbahasan hukum. Antaranya adalah sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.A bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:

إِذَا أُقِيمَتِ الصَّلَاةُ فَلَا تَأْتُوهَا تَسْعَوْنَ، وَأْتُوهَا تَمْشُونَ وَعَلَيْكُمُ السَّكِينَةُ، فَمَا أَدْرَكْتُمْ فَصَلُّوا، وَمَا فَاتَكُمْ فَأَتِمُّوا
"Apabila solat telah bermula, maka janganlah kamu mendatanginya dalam keadaan berlari. Datangilah (solat) dalam keadaan berjalan dengan tenang. Solatlah (dengan apa) yang kamu sempat, dan (rakaat yang tertinggal itu) maka sempurnakanlah." [Riwayat al-Bukhari (908)]

Hadis di atas jelas menunjukkan kepada kita tentang perintah dan galakan untuk menghadiri solat dalam keadaan berjalan dan juga tenang. Dalam masa yang sama juga menunjukkan bahawa kita tidak digalakkan untuk bergopoh-gapah dalam menghadiri solat.

Ini kerana berjalan kaki dengan tenang-tenang dan tidak tergopoh-gapah dalam berjalan atau dengan cara berlari akan memberi kesan negatif terhadap kekhusyukan di dalam solat. Sebahagian ulama mengatakan: "Sesungguhnya dilarang untuk berlari-lari menuju solat adalah kerana ia akan menghilangkan kekhusyukan (di dalam solat) disebabkan kepenatan dan juga terputus nafas yang disebabkan perbuatan berlari tersebut." [Rujuk al-Jami' Li Ahkam al-Quran, Al-Qurthubi (1/165)]

Selain itu terdapat juga sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.A bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:

مَنْ تَطَهَّرَ فِي بَيْتِهِ ثُمَّ مَشَى إِلَى بَيْتٍ مِنْ بُيُوتِ اللَّهِ لِيَقْضِيَ فَرِيضَةً مِنْ فَرَائِضِ اللَّهِ كَانَتْ خَطْوَتَاهُ إِحْدَاهُمَا تَحُطُّ خَطِيئَةً وَالأُخْرَى تَرْفَعُ دَرَجَةً
"Sesiapa yang membersihkan dirinya (berwuduk) di rumahnya kemudian dia berjalan kaki menuju ke satu rumah dari rumah-rumah Allah untuk dia menunaikan satu kefardhuan dari kefardhuan-kefardhuan kepada Allah, maka setiap langkahnya itu salah satunya memadamkan dosa dan selangkah lagi mengangkat darjatnya." [Riwayat Muslim (666)]

Imam al-Nawawi menyatakan kelebihan berjalan kaki menuju ke masjid dengan menyatakan bahawa ia akan menghapuskan dosa-dosa kecil seseorang itu dan juga mengangkat darjatnya di sisi Allah S.W.T.




Dalam sebuah riwayat daripada Ubai bin Ka'ab R.A beliau berkata:

كَانَ رَجُلٌ لاَ أَعْلَمُ أَحَدًا مِنَ النَّاسِ مِمَّنْ يُصَلِّي الْقِبْلَةَ مِنْ أَهْلِ الْمَدِينَةِ أَبْعَدَ مَنْزِلاً مِنَ الْمَسْجِدِ مِنْ ذَلِكَ الرَّجُلِ وَكَانَ لاَ تُخْطِئُهُ صَلاَةٌ فِي الْمَسْجِدِ فَقُلْتُ لَوِ اشْتَرَيْتَ حِمَارًا تَرْكَبُهُ فِي الرَّمْضَاءِ وَالظُّلْمَةِ فَقَالَ مَا أُحِبُّ أَنَّ مَنْزِلِي إِلَى جَنْبِ الْمَسْجِدِ فَنُمِيَ الْحَدِيثُ إِلَى رَسُولِ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم فَسَأَلَهُ عَنْ قَوْلِهِ ذَلِكَ فَقَالَ أَرَدْتُ يَا رَسُولَ اللَّهِ أَنْ يُكْتَبَ لِي إِقْبَالِي إِلَى الْمَسْجِدِ وَرُجُوعِي إِلَى أَهْلِي إِذَا رَجَعْتُ فَقَالَ ‏أَعْطَاكَ اللَّهُ ذَلِكَ كُلَّهُ
Ada seorang lelaki yang mana aku tidak ketahui seorang pun dari kalangan manusia yang menunaikan solat menghadap ke arah kiblat dari kalangan penduduk Madinah yang lebih jauh rumahnya dengan masjid berbanding lelaki tersebut. Meskipun begitu dia tidak pernah terlepas menunaikan solat berjamaah di masjid. Aku berkata kepadanya: "Alangkah baiknya jika kamu membeli seekor himar (keldai) yang dapat kamu naikinya pada musim panas dan juga pada waktu gelap." Lalu beliau berkata: "Aku tidak suka rumahku bersebelahan dengan masjid." Lalu hal tersebut diketahui oleh Rasulullah S.A.W maka baginda pun bertanya kepada lelaki tesebut terhadap kenyataannya itu. Maka lelaki itu menjawab: "Yang aku mahukan wahai Rasulullah adalah dituliskan ganjaran pahala terhadap datangnya aku ke masjid dan pulangnya aku kepada keluargaku." Maka Rasulullah S.A.W menjawab: "Semoga Allah memberikan kepada kamu kesemua perkara tersebut." [Riwayat Abu Daud (557)]

Demikian juga berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abd al-Rahman bin Jabr R.A bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:

مَا اغْبَرَّتْ قَدَمَا عَبْدٍ فِي سَبِيلِ اللَّهِ فَتَمَسَّهُ النَّارُ
"Tidak akan disentuh oleh api neraka kedua kaki hamba yang berdebu menuju ke jalan Allah." [Riwayat al-Bukhari (2811)]

Kesimpulan

Sebagai penutup, kami menyatakan bahawa dengan melihat kepada dalil-dalil yang disebutkan jelas menunjukkan bahawa berjalan kaki menuju ke masjid adalah lebih afdhal berbanding menaiki kenderaan sama ada motor ataupun kereta.

Ini lebih-lebih lagi apabila seseorang itu dapat memastikan berjalan kakinya dia menuju ke masjid membolehkan dia mendapat saf yang pertama, muwafiq dalam solat berjemaah, dan selainnya.

Meskipun begitu kami menyatakan bahawa antara maqasid dan roh solat adalah untuk mendapatkan kekhusyukan di dalam solat. Justeru sekiranya dengan berjalan kaki dalam jarak yang jauh akan menyebabkan keletihan dan kepenatan atau menghasilkan bau-bauan yang tidak enak pada anggota badan, yang mana hal-hal sebegini akan mengganggu kekhusyukan di dalam solat, adalah lebih utama untuk hadir ke masjid dengan menaiki kenderaan berbanding berjalan kaki.

Akhir kalam, semoga pencerahan ini memberikan kefahaman yang tepat kepada kita semua dalam beragama. Ameen.

+ Ustaz Dr. Zulkifli Mohamad Al Bakri | Mufti Wilayah Persekutuan
+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media

Hukum Mewasiatkan Sebahagian Harta Kepada Anak

Posted: 19 Apr 2019 05:37 PM PDT


Soalan:
Saya mempunyai tiga orang adik-beradik. Ayah saya telah mewasiatkan sebahagian daripada hartanya kepada abang sulung kami kerana dia banyak berkorban selama ini. Kami adik-beradik tiada masalah dengan wasiat tersebut, cuma kami ingin tahu adakah ia dibenarkan dalam Islam.

Jawapan:
Amalan meninggalkan wasiat merupakan amalan yang dilakukan sejak zaman berzaman. Pada kebiasaannya, wasiat yang ditinggalkan adalah berkaitan dengan harta milik pemberi wasiat. Umat Islam diharuskan untuk meninggalkan wasiat dengan cara dan syarat yang tertentu sepertimana yang telah digariskan oleh syariat Islam.

Di antara syarat dalam berwasiat adalah tidak meninggalkan wasiat lebih satu pertiga daripada jumlah harta yang ditinggalkan, ini adalah sebagaimana sabda Nabi SAW daripada kisah Saad bin Abi Waqqas RA:

عن سعاد بن أبي وقاص رضي الله عنه, قُلتُ: يا رَسولَ اللَّهِ، أُوصِي بمالِي كُلِّهِ؟ قالَ: لا، قُلتُ: فالشَّطْرُ، قالَ: لا، قُلتُ: الثُّلُثُ، قالَ: فالثُّلُثُ، والثُّلُثُ كَثِيرٌ، إنَّكَ أنْ تَدَعَ ورَثَتَكَ أغْنِياءَ خَيْرٌ مِن أنْ تَدَعَهُمْ عالَةً يَتَكَفَّفُونَ النَّاسَ في أيْدِيهِمْ
Daripada Saad bin Abi Waqqas RA, aku telah berkata: "Ya Rasulullah, Bolehkah aku mewasiatkan kesemua hartaku?" Rasulullah SAW menjawab: "Tidak boleh." Aku bertanya lagi: "Bagaimana dengan saparuh daripadanya?" Rasulullah SAW menjawab: "Tidak boleh." Aku bertanya lagi: "Bagaimana dengan satu pertiga daripadanya?" Rasulullah SAW menjawab: "Maka (boleh berwasiat) satu pertiga (daripada harta), sedangkan satu pertiga itu pun banyak. Sesungguhnya jika kamu meninggalkan warismu dalam keadaan kaya atau mencukupi, ia lebih baik daripada kamu meninggalkan mereka dalam keadaan tidak cukup, dengan menadah-nadah tangan meminta daripada tangan-tangan (bantuan) manusia." [Riwayat al-Bukhari (2742)]

Mengenai hukum mewasiatkan harta kepada ahli waris sepertimana soalan yang diajukan kepada kami, ulama' berbeza pandangan mengenai masalah ini kepada dua pendapat:

Pendapat pertama: Wasiat yang ditinggalkan kepada ahli waris adalah batil secara mutlak walaupun mendapat kebenaran daripada seluruh ahli waris. Ini adalah pendapat dalam mazhab Imam Malik, pendapat kedua dalam mazhab Imam asy-Syafi'e dan satu riwayat dalam mazhab Imam Ahmad. [Rujuk Hasyiyah ad-Dusuki (4/427), Nihayah al-Muhtaj (6/48), al-Mughni ma'a Syarh al-Kabir (6/419)]

Mereka berhujah dengan beberapa hujahan, antaranya ialah:

1. Zahir makna hadith:

أنَّ اللهَ قد أعطَى كلَّ ذي حقِّ حقَّهُ, فلا وصيَّةَ لوارثٍ
"Sessungguhnya Allah SWT telah menentukan setiap yang mempunyai hak (ahli waris) akan mendapat hak mereka. Maka, tidak ada wasiat kepada ahli waris." [Riwayat Abu Daud (2870), Ibn Majah (2210), dan Ahmad (286)]

2. Ini kerana pemberian wasiat kepada sebahagian ahli waris akan memberi kemudharatan kepada ahli waris yang lain. Allah telah melarang perbuatan ini dalam firman-Nya:

مِنْ بَعْدِ وَصِيَّةٍ يُوصَى بِهَا أَوْ دَيْنٍ غَيْرَ مُضَارٍّ
"Sesudah ditunaikan wasiat yang diwasiatkan oleh si mati, dan sesudah dibayarkan hutangnya; wasiat-wasiat yang tersebut hendaknya tidak mendatangkan mudarat (kepada waris-waris)." [Surah an-Nisa': 12]

Pendapat Kedua: Wasiat yang ditinggalkan kepada ahli waris adalah sah jika mendapat persetujuan daripada ahli waris lain selepas kematian orang yang meninggalkan wasiat. Jika mendapat persetujuan hanya sebahagian daripada ahli waris, maka wasiat yang ditinggalkan hanya sah mengikut kadar ahli waris yang membenarkannya. Ini adalah pendapat muktamad dalam mazhab Imam asy-Syafi'e, mazhab Imam Ahmad dan satu pendapat dalam mazhab Imam Malik. [Rujuk al-Mu'tamad fi al-Fiqh asy-Syafi'e (4/561), al-Fiqh al-Manhaji (2/258), Hasyiyah ad-Dusuki (4/427), al-Mughni (6/419)]

Hujah para fuqaha' yang membenarkan wasiat kepada waris dengan syarat seperti di atas adalah seperti berikut:




1. Hadith Nabi SAW:

أنَّ اللهَ قد أعطَى كلَّ ذي حقِّ حقَّهُ, فلا وصيَّةَ لوارثٍ
"Sessungguhnya Allah SWT telah menentukan setiap yang mempunyai hak (ahli waris) akan mendapat hak mereka. Maka, tidak ada wasiat kepada ahli waris." [Riwayat Abu Daud (2870), Ibn Majah (2210), dan Ahmad (286)]

Hadith ini dapat difahami bahawa tidak boleh meninggalkan wasiat kepad ahli waris jika ahli waris tidak mendapat haknya dan tidak redha akan pembahagian harta yang mengurangkan haknya. Namun, jika ahli waris redha dengan bahagian yang diperolehinya dan membenarkan wasiat kepada ahli waris lain ditunaikan, maka harus meninggalkan wasiat kepada ahli waris lain.

2. Hadith Nabi SAW:

لاَ تَجُوزُ الْوَصِيَّةُ لِوَارِثٍ إِلاَّ أَنْ يَشَاءَ الْوَرَثَةُ
"Tidak harus meninggalkan wasiat kepada waris kecuali dengan keizinan waris." [Riwayat ad-Daruqutni (4295)]

Imam as-Suyuti, Imam al-Baihaqi dan Imam ibn Mulaqqin Rahimahumullah menghukum hadith ini sebagai lemah, manakala Imam adz-Zahabi Rahimahullah pula mengatakan sanad hadith ini baik dan Atho' seorang yang soduq.

3. Qias wasiat kepada ahli waris ke atas wasiat kepada bukan ahli waris yang melebihi daripada satu pertiga daripada harta tinggalan si mati. Wasiat kepada bukan ahli waris melebihi satu pertiga daripada harta tinggalan si mati adalah harus jika mendapat kebenaran daripada ahli waris, begitulah juga hukumnya harus untuk mewasiatkan kepada ahli waris jika mendapat kebenaran daripada ahli waris lain.

Kesimpulan

Kami berpandangan bahawa harus untuk mewasiatkan sebahagian harta kepada ahli waris jika mendapat persetujuan dan kebenaran daripada ahli waris lain.

Namun begitu, kami ingin berpesan bahawa jika tiada keperluan yang mendesak untuk meninggalkan wasiat kepada sebahagian daripada ahli waris, maka adalah lebih baik tidak berbuat demikian. Ini bagi mengelakkan pertengkaran yang tidak diingini berlaku di antara ahli waris selepas kematian orang yang meninggalkan wasiat.

Kami juga ingin berpesan bahawa apa-apa wasiat yang ingin ditinggalkan hendaklah didokumentasikan sebaiknya. Ini bagi mengelakkan berlakunya pertikaian di kemudian hari.

Semoga Allah SWT memberikan kita kebaikan dan kefahaman yang sahih dalam memahami syariat-Nya seterusnya memberikan kekuatan kepada kita untuk mengamalkannya. Amiin.

+ Ustaz Dr. Zulkifli Mohamad Al Bakri | Mufti Wilayah Persekutuan
+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media

Hukum Pegawai Kerajaan Beragama Islam Menyelia Urusan Berkaitan Arak

Posted: 19 Apr 2019 04:34 PM PDT


Soalan:
Apakah hukum jika saya terlibat dalam meluluskan lesen premis menjual minuman keras? Saya bekerja di Jabatan Kesihatan yang melakukan pemeriksaan premis bagi memastikan arak yang dijual mematuhi peraturan-peraturan makanan. Proses ini melibatkan pemeriksaan label pada botol arak, tanda larangan menjual arak kepada orang berumur bawah 21 tahun, tanda amaran meminum arak membahayakan kesihatan perlu ditampal di premis yang terlibat. Bagaimana pula dengan seorang pegawai Kastam yang mengurusan keluar masuk minuman beralkohol? Adakah kedua-dua pekerjaan ini termasuk dalam 10 golongan yang dilaknat oleh Allah SWT seperti yang disebut dalam hadith Nabi SAW?

Jawapan:
Arak merupakan satu perkara yang diharamkan secara jelas dalam al-Quran dan al-Sunnah. Betapa besarnya mudarat arak sehingga Islam mengharamkan kita daripada melibatkan diri dengan sebarang urusan yang melibatkan arak.

Diriwayatkan oleh Anas bin Malik RA:

لَعَنَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي الخَمْرِ عَشَرَةً: عَاصِرَهَا، وَمُعْتَصِرَهَا، وَشَارِبَهَا، وَحَامِلَهَا، وَالمَحْمُولَةُ إِلَيْهِ، وَسَاقِيَهَا، وَبَائِعَهَا، وَآكِلَ ثَمَنِهَا، وَالمُشْتَرِي لَهَا، وَالمُشْتَرَاةُ لَهُ
"Rasulullah SAW melaknat dalam isu arak ini 10 golongan; pemerah (anggur untuk arak), orang yang minta diperahkan, peminumnya, pembawanya, orang yang meminta bawa kepadanya, orang yang menuangkan arak, penjualnya, orang yang makan hasil jualannya, orang yang membelinya dan orang yang meminta dibelikan untuknya." [Riwayat Imam al-Tirmidzi (1295) dalam Sunan]

Pengurusan Perkara Berkaitan Arak, Adakah Kesemuanya Haram?

Berdasarkan hadith di atas, adakah boleh untuk diqiyaskan sepuluh golongan yang tersebut dengan kesemua aktiviti menguruskan arak, seperti pegawai kastam yang menguruskan keluar masuk minuman beralkohol, atau pegawai kesihatan yang menyelia premis-premis yang menjualnya?

Menurut pandangan kami, kedua-dua pekerjaan yang disebut oleh penanya di atas tidak termasuk di dalam kalangan yang dilaknat Allah SWT. Berikut kami kemukakan kaedah-kaedah fiqhiyyah yang kami jadikan sandaran:

الأمور بمقاصدها
"Setiap perkara dan perbuatan itu dinilai berdasarkan niat."

Pegawai kastam yang menyelia kemasukan arak bukanlah berniat untuk bersubahat dalam aktiviti meminum arak, tapi hanya melakukan tugasan yang telah dipertanggungjawabkan ke atasnya, iaitu untuk meneliti dan memeriksa segala keluar masuk barangan ke dalam atau ke luar negara. Begitu juga pegawai jabatan kesihatan bertanggungjawab menyelia premis yang menjual arak bagi memastikan arak tidak dijual kepada individu di bawah umur 21 tahun, dan arak tersebut tidak mempunyai kandungan yang dilarang. Kaedah lain menyebut:

ما لا يدرك كله لا يترك جله
"Apa-apa perintah syara' yang tidak boleh dilakukan kesemuanya, maka janganlah pula ia ditinggalkan semuanya."

Larangan menjual arak kepada individu di bawah umur 21 tahun merupakan salah satu cabang menghindari bahaya arak, meskipun ia tidak sepenuhnya menepati kehendak syaria'ah iaitu pengharaman arak secara total.




Begitu juga dengan kaedah yang berbunyi:

إذا ضاق الأمر اتسع
"Suatu perkara itu apabila ia menjadi sempit, maka ia diperluaskan."

Jika staf-staf dan pegawai Muslim diharamkan daripada terlibat dalam urusan seperti ini, maka berkemungkinan ia akan mengganggu kelancaran proses pengurusan kerajaan dan membawa kepada mudarat yang lain, seperti penjualan arak kepada individu bawah umur dan kemasukan arak yang tidak dicukai. Maka dalam hal ini, salah satu prinsip syariah iaitu raf'ul haraj (mengelakkan kesukaran) perlu diambil kira.

Kesimpulan

Tuntasnya, kami berpandangan bahawa pegawai kastam yang menguruskan keluar masuk minuman beralkohol dan pegawai kesihatan yang menyelia premis-premis yang menjualnya adalah tidak berdosa dan tidak dianggap sebagai bersubahat dalam aktiviti meminum arak. Begitu juga dengan pekerjaan-pekerjaan lain yang mempunyai persamaan dengan pekerjaan yang kami bahaskan ini.

Allah SWT juga berfirman:

فَاتَّقُوا اللَّهَ مَا اسْتَطَعْتُمْ
"Bertaqwalah kamu kepada Allah SWT (dengan melaksanakan segala arahan-Nya dan menjauhi segala larangan-Nya) semampu yang boleh." [Surah al-Taghabun (16)]

Namun demikian, adalah diharapkan bahawa pihak kerajaan dan pihak berkuasa akan mengambil tindakan segera bagi merangka polisi khas dalam urusan-urusan yang melibatkan arak, bagi memastikan hanya pekerja non-Muslim sahaja yang menguruskan segala perkara teknikal berkaitan arak.

Sementara polisi yang demikian masih belum dirangka, adalah dinasihatkan agar pegawai yang terlibat mengadakan perbincangan dengan rakan sekerjanya dan pegawai-pegawai atasan untuk memilih pekerja-pekerja non-Muslim bagi menguruskan segala perkara teknikal berkaitan arak. Kami percaya ruang untuk fleksibiliti hasil perbincangan secara harmoni merupakan jalan yang terbaik.

Wallahua'lam.

+ Ustaz Dr. Zulkifli Mohamad Al Bakri | Mufti Wilayah Persekutuan
+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media