Monday, April 22, 2019

Oh! Media

Oh! Media


Lebih Dari Seibu Pemain Fortnite World Cup Didapati Menipu

Posted: 21 Apr 2019 07:23 AM PDT


Sedang berlangsung pusingan kelayakan Fortnite World Cup pada minggu ini di mana hadiah mingguan yang ditawarkan oleh pihak penganjur melebihi RM4 juta. Seperti yang dijangkakan terdapat pemain yang cuba untuk menipu di dalam pusingan kelayakan ini.

Untuk pengetahuan korang, lebih dari 1000 akaun sudah diharamkan kerana menipu semasa pusingan kelayakan dijalankan. Akibatnya, 200 akaun pemenang akan ditarik balik hadiah kemenangan dan akaun mereka diharamkan untuk bermain dan digunakan secara kompetitif selama 14 hari.






Pihak penganjur iaitu Epic Games telah mengumumkan akaun yang diharamkan kerana perkongsian akaun sudah mencecah 48 dan 8 di antaranya adalah yang memenangi hadiah. Selain itu, 8 akaun lain turut diharamkan kerana bermain secara berkumpulan semasa perlawanan solo.

Paling mengejutkan 1 akaun pemain telah diharamkan untuk selamanya kerana menipu di atas perisian yang digunakan dan 1 lagi akaun telah diharamkan untuk bermain selama 72 jam kerana sengaja keluar daripada permainan sebelum dibunuh.

Oh! Media: Pertandingan besar sebegini pasti akan mengundang ramai pemain yang tidak jujur dan menipu untuk mendapatkan sesuatu. Syabas diucapkan kepada pihak penganjur iaitu Epic Games kerana berjaya mengawal keadaan dan menangani masalah penipuan ketika pusingan kelayakan Fotnite World Cup ini berlangsung.


+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media.


YotaPhone Diistiharkan Muflis Selepas 2 Tahun Senyap

Posted: 21 Apr 2019 02:16 AM PDT


Untuk pengetahuan korang, antara pengeluar peranti terawal yang menghasilkan Dwi-Skrin adalah dari syarikat YotaPhone yang pertama kali memperkenalkan pada acara MWC 2014.

Kali terakhir Yota hadir dengan sebuah peranti adalah pada tahun 2017 dengan melancarkan YotaPhone 3. Kini selepas dua tahun mendiamkan diri, syarikat ini telah diishtiharkan muflis oleh Cayman Islands Supreme Court. Yota dilihat sudah pun mengalami masalah, apabila tidak berjaya menunaikan perjanjian kontrak dengan Hi-P Electronics – selaku pembekal skrin kepada Yota.

YotaPhone turut difailkan saman $17 juta daripada Hi-P Electronics yang masih belum dilansaikan. Walaubagaimanapun, kini peranti dwi-skrin moden diteruskan oleh pengeluar seperti Vivo dan Nubia.

+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media.

Serangan Bom Bersiri di Colombo Korbankan 42 Mangsa Setakat Ini

Posted: 21 Apr 2019 02:16 AM PDT


Sebentar tadi telah berlaku satu letupan di hotel dan gereja yang sedang ramai dihadiri oleh penganut agama Krisitian sempena perayaan Easter dan kini telah mengorbangkan lebih 42 orang mangsa.

Letupan bersiri terbabit telah berlaku d tiga buah hotel mewah di Colombo dan sebuah gereja.

Menurut polis, dua lagi gereja berhampiran Colombo dan timur negara itu turut menjadi sasaran serangan.

Seorang petugas hotel memberitahu, sekurang-kurangnya seorang mangsa terbunuh di Hotel Cinnamon Grand, Colombo berhampiran kediaman rasmi perdana menteri apabila satu letupan berlaku ke atas sebuah restoran.

Sumber: BH

+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media.

Jumlah 'Like' di Akaun Instagram Akan Ditutup Untuk Tontonan Umum

Posted: 20 Apr 2019 09:42 PM PDT

Gambar: @wongmjane

Butang like yang ada di mana-mana medium sosial media sememangnya mampu membuatkan ramai dari kita tersenyum dan teruja apabila menerima like yang tinggi dari rakan dan pengguna sosial media lain.

Ini juga telah membuatkan kita lebih bersemangat untuk berkongsi gambar-gambar yang menarik untuk dilihat orang.

Namun, lain pula pandangan dari pihak Instagram apabila mereka melihat butang like ini hanya menjadi alat perlumbaan untuk megumpul like yang tinggi, terutama golongan muda.




Berdasarkan apa yang dirancang pihak Instagram, mereka bakal menutup jumlah like yang diterima pengguna untuk dilihat orang ramai dan hanya boleh dilihat pengguna sahaja dalam usaha mengajar pengguna untuk fokus kepada perkongsian gambar dan bukan hanya like semata-mata.

Pelan ini juga secara tidak langsung salah satu cara Instagram menangani masalah tekanan sosial yang menjadi mangsa kepada orang ramai. Namun, masa bila ia akan dilaksnaakan belum diketahui kerana ia masih dalam fasa perbincangan dan percubaan.



+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media.


Pasukan Kelantan Dimalukan Negeri Sembilan Tewas 2-5

Posted: 20 Apr 2019 09:42 PM PDT


Pasukan Kelantan dimalukan digelanggang sendiri apabila Negeri Sembilan berpesta gol 2-5 pada saingan Liga Premier di Stadium Muhammad IV, Kota Bharu malam tadi.




Jaringan hatrik Muhamad Ferrris Danial Mat Nasir selain satu gol masing-masing sumbangan Jose Barros Neto dan Mohd Ridzuan Abdunloh Pula memastikan skuad kendalian Mohd Zan Mat Aris ceria membawa pulang tiga mata berharga, pada pertemuan tersebut.

Tuan rumah yang turun dengan misi memburu kemenangan hampir di depan ketika permainan baharu memasuki minit ketujuh namun rembatan David Rowley hasil sepakan percuma Flavio Beck Junior ditampan pertahanan lawan.

+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media.

Mencontohi Rasulullah SAW Dalam Pemberian Nafkah Kepada Isteri

Posted: 20 Apr 2019 04:54 PM PDT


Soalan:
Nabi SAW merupakan contoh teladan buat manusia dalam semua perkara. Mengikut kefahaman saya, Baginda SAW mempunyai lebih daripada satu isteri pada masa yang sama setelah kewafatan isteri Baginda SAW, Sayyidatina Khadijah RA. Soalan saya, bagaimana Baginda SAW mencari nafkah untuk kesemua isterinya untuk dicontohi? Terima kasih.

Jawapan:
Para ulama telah menetapkan bahawa pemberian nafkah adalah wajib ke atas golongan tertentu yang berada di dalam tanggungannya seperti isteri, anak, hamba dan ibu bapa yang fakir. Ini berdasarkan firman Allah SWT:

وَعَلَى الْمَوْلُودِ لَهُ رِزْقُهُنَّ وَكِسْوَتُهُنَّ بِالْمَعْرُوفِ ۚ لَا تُكَلَّفُ نَفْسٌ إِلَّا وُسْعَهَا
"Dan kewajipan bapa pula ialah memberi makan dan pakaian kepada ibu itu menurut cara yang sepatutnya. Tidaklah diberatkan seseorang melainkan menurut kemampuannya." (Surah al-Baqarah, 2:233)

Berkenaan ini, Rasulullah SAW menyatakan bahawa harta yang paling baik dinafkahkan ialah kepada ahli keluarga. Daripada Tsauban RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:

أَفْضَلُ دِينَارٍ يُنْفِقُهُ الرَّجُلُ دِينَارٌ يُنْفِقُهُ عَلَى عِيَالِهِ وَدِينَارٌ يُنْفِقُهُ الرَّجُلُ عَلَى دَابَّتِهِ فِي سَبِيلِ اللَّهِ وَدِينَارٌ يُنْفِقُهُ عَلَى أَصْحَابِهِ فِي سَبِيلِ اللَّهِ
"Sebaik-baik dinar (wang atau harta) yang dinafkahkan seseorang ialah dinar yang dinafkahkan untuk keluarganya, dan dinar yang dinafkahkan untuk ternakan tunggangannya (kenderaan) yang digunakan di jalan Allah dan dinar yang dinafkahkan untuk para sahabatnya yang berjuang di jalan Allah." [Riwayat Muslim: 994]

Islam telah menetapkan bahawa kadar nafkah itu hendaklah diberi dengan cukup (kifayah) dan baik (ma'ruf). Kadar kifayah dan ma'ruf itu berdasarkan kepada kemampuan si suami dan bapa untuk menanggungnya. Ini berdasarkan sabda Nabi SAW kepada Hindun RA apabila dia mengadu kepada Nabi SAW bahawa suaminya tidak memberikan nafkah kepadanya. Rasulullah SAW bersabda:

خُذِي مَا يَكْفِيكِ وَبَنِيكِ بِالْمَعْرُوفِ
"Ambillah (daripada harta Abu Sufyan) apa yang mencukupkan kamu dan anak kamu secara baik." [Riwayat Bukhari dan Muslim]

Para ulama menetapkan bahawa nafkah yang wajib diberikan kepada sesiapa yang berada dibawah tanggungannya itu ialah seperti:

  • Makanan / Barang-barang dapur
  • Pakaian
  • Tempat tinggal
  • Alat-alat untuk membersihkan diri
  • Pembantu bagi isteri jika sekiranya kebiasaannya isteri mempunyai pembantu (bagi suami yang mampu sahaja). 

(Rujuk Mughni Muhtaj, 4:542)

Rasulullah SAW merupakan contoh teladan yang baik dalam semua perkara, termasuklah juga dalam hal ini. Baginda SAW bersabda dalam hadith yang diriwayat oleh Ibn 'Abbas:

خَيْرُكُمْ خَيْرُكُمْ لأَهْلِهِ وَأَنَا خَيْرُكُمْ لأَهْلِي
"Sebaik-baik daripada kalangan kamu ialah yang paling baik terhadap isterinya. Dan aku adalah yang terbaik terhadap isterinya." [Riwayat Ibn Majah, 9:2053]

Rasulullah SAW memberi nafkah dan keperluan secukupnya kepada ahli keluarganya mengikut kemampuan Baginda SAW. Rasulullah SAW menyediakan untuk isteri-isteri Baginda SAW tempat tinggal, makanan, pakaian dan semua keperluan dengan mencukupi dengan tidak berlebihan. Ini bersesuaian dengan kehidupan Rasulullah SAW yang memilih zuhud dan tidak bermewah-mewah. Dalam pemberian nafkah, Rasulullah SAW memberikan 20 wasaq gandum dan 80 wasaq kurma kepada isteri-isterinya pada setiap tahun. (Rujuk Nail al-Awthar, 5:221)

Rasulullah SAW mempunyai sumber pendapatan yang pelbagai untuk memberi nafkah kepada isteri-isteri dan ahli keluarga Baginda SAW. Antara sumber pendapatan Nabi Muhammad SAW ialah:

1. Harta fay'i, iaitu harta yang didapati daripada golongan-golongan musyrik yang menentang Islam tanpa melalui peperangan. Ini seperti kurma-kurma yang mereka dapati daripada Peperangan Bani Nadir dan Fadak. Firman Allah SWT:

مَّا أَفَاءَ اللَّـهُ عَلَىٰ رَسُولِهِ مِنْ أَهْلِ الْقُرَىٰ فَلِلَّـهِ وَلِلرَّسُولِ وَلِذِي الْقُرْبَىٰ وَالْيَتَامَىٰ وَالْمَسَاكِينِ وَابْنِ السَّبِيلِ
"Apa yang Allah kurniakan kepada Rasul-Nya (Muhammad) dari harta penduduk negeri, bandar atau desa dengan tidak berperang, maka adalah ia tertentu bagi Allah, dan bagi Rasulullah, dan bagi kaum kerabat (Rasulullah), dan anak-anak yatim, dan orang-orang miskin, serta orang-orang musafir (yang keputusan)." (Surah al-Hasyr: 7)

Diriwayatkan dari Umar Ibn al-Khattab RA bahawa beliau berkata: "Sesungguhnya Allah telah memberikan harta Bani Nadhir kepada Rasulullah SAW dan harta itu adalah khusus untuk baginda. Harta itu baginda nafkahkan kepada keluarganya untuk keperluan satu tahun. Selebihnya dibahagikan untuk membiayai kuda dan persenjataan sebagai persiapan peperangan." [Riwayat Bukhari: 4033 dan Muslim: 1757]




2. Ghanimah, iaitu harta rampasan perang yang didapatkan dari perang antara kaum Muslimin bersama dengan musuh-musuhnya. Al-Imam al-Thabari menyebutkan dalam tafsirnya: "Perang Badar adalah perang yang untuk kali pertama (dalam Islam). Dalam Islam, Rasululah SAW akan mendapatkan bahagian satu perlima daripada harta ghanimah tersebut. Dalam perang itu, Nabi SAW mengambil bahagiannya, sementara bahagian empat perlima diberikan kepada sahabat-sahabatnya." (Rujuk Tafsir al-Thabari, 6:250)

3. Hadiah yang diterima oleh Rasulullah SAW. Rasulullah SAW tidak menerima sedekah tetapi hanya menerima hadiah daripada pelbagai pihak, antaranya raja-raja, para Sahabat RA dan lain-lain.

Disamping itu, sifat-sifat mulia pada Ummahat al-Mukminin yang memilih akhirat yang kekal abadi berbanding harta dunia yang sementara juga perlu dijadikan teladan. Ketika para isteri-isteri Nabi SAW diberi pilihan untuk samada harta perhiasan dunia atau mereka menginginkan bersama Rasulullah SAW dan mendapat ganjaran di akhirat, mereka memilih Rasulullah SAW dan ganjaran di akhirat. Firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا النَّبِيُّ قُل لِّأَزْوَاجِكَ إِن كُنتُنَّ تُرِدْنَ الْحَيَاةَ الدُّنْيَا وَزِينَتَهَا فَتَعَالَيْنَ أُمَتِّعْكُنَّ وَأُسَرِّحْكُنَّ سَرَاحًا جَمِيلًا وَإِن كُنتُنَّ تُرِدْنَ اللَّهَ وَرَسُولَهُ وَالدَّارَ الْآخِرَةَ فَإِنَّ اللَّهَ أَعَدَّ لِلْمُحْسِنَاتِ مِنكُنَّ أَجْرًا عَظِيمًا
Wahai Nabi, katakanlah kepada isteri-isterimu: "Sekiranya kamu semua mahukan kehidupan dunia (yang mewah) dan perhiasannya (yang indah), maka marilah supaya aku berikan kepada kamu pemberian mut'ah (sagu hati), dan aku lepaskan kamu dengan cara yang sebaik-baiknya. Dan sekiranya kamu semua mahukan (keredaan) Allah dan Rasul-Nya serta (nikmat kemewahan) di negeri akhirat maka sesungguhnya Allah menyediakan bagi orang-orang yang berbuat baik di antara kamu pahala yang besar." (Surah al-Ahzab: 28-29)

Imam al-Sa'adiy dalam mentafsirkan ayat ini menyatakan bahawa isteri-isteri Nabi SAW telah berkumpul dan menuntut nafkah dan pakaian perhiasan tambahan daripada Rasulullah SAW. Mereka meminta sesuatu yang tidak mampu untuk ditunaikan oleh Baginda SAW sampai bila-bila. Lalu kesemua mereka memilih kemuliaan di akhirat dengan memilih Allah SWT dan Rasulullah SAW. (Rujuk Tafsir al-Saadiy, ayat al-Ahzab: 28-29)

Kesimpulan

Berdasarkan perbincangan dan perbahasan di atas, kami menyimpulkan bahawa Rasulullah SAW memberikan nafkah dengan kadar yang mencukupi (kifayah) dan baik (ma'ruf) kepada ahli keluarga Baginda SAW daripada segala apa yang diwajibkan dengan tidak kurang dan tidak pula berlebihan kecuali sesetengah waktu. Ini berdasarkan kemampuan dari sumber pendapatan Baginda SAW dan sikap Rasulullah SAW yang memilih kehidupan yang sederhana dan zuhud.

Disamping itu, kita juga perlu juga mengambil iktibar daripada sikap qana'ah dan toleransi para isteri-isteri Nabi SAW. Mereka memilih untuk tidak meminta kemewahan dunia yang berlebihan, bahkan memilih Allah SWT dan Rasulullah SAW serta kenikmatan yang abadi di akhirat kelak.

Pada akhirnya, kami akhiri dengan doa yang diajarkan kepada kita di dalam al-Quran al-Karim:

وَالَّذِينَ يَقُولُونَ رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا
Dan juga mereka (yang diredhai Allah itu ialah orang-orang) yang berdoa dengan berkata: "Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami; perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa." (Surah al-Furqan: 74)

+ Ustaz Dr. Zulkifli Mohamad Al Bakri | Mufti Wilayah Persekutuan
+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media

Perasaan Kasihan Kepada Haiwan Yang Akan Disembelih

Posted: 20 Apr 2019 04:42 PM PDT


Soalan:
Adakah benar jika seseorang yang mengasihani haiwan yang ingin disembelih haram baginya untuk memakan haiwan tersebut? Walaupun cukup syarat-syarat sembelihan. Kekeliruan ini sering kali saya dengar dikalangan masyarakat kita dari dahulu lagi. Semoga mendapat penjelasan daripada Ustaz. Terima kasih.

Jawapan:

Hukum dan Pensyariatan Sembelihan

Islam sangat menitik berat tentang pemakanan dari segi halal dan haram. Oleh itu, Allah SWT telah menjelaskan tentang hal ini di dalam firmanNya:

حُرِّمَتْ عَلَيْكُمُ الْمَيْتَةُ وَالدَّمُ وَلَحْمُ الْخِنزِيرِ وَمَا أُهِلَّ لِغَيْرِ اللَّـهِ بِهِ وَالْمُنْخَنِقَةُ وَالْمَوْقُوذَةُ وَالْمُتَرَدِّيَةُ وَالنَّطِيحَةُ وَمَا أَكَلَ السَّبُعُ إِلَّا مَا ذَكَّيْتُمْ وَمَا ذُبِحَ عَلَى النُّصُبِ
"Diharamkan kepada kamu (memakan) bangkai (binatang yang tidak disembelih), dan darah (yang keluar mengalir), dan daging babi (termasuk semuanya), dan binatang-binatang yang disembelih kerana yang lain dari Allah, dan yang mati tercekik, dan yang mati dipukul, dan yang mati jatuh dari tempat yang tinggi, dan yang mati ditanduk, dan yang mati dimakan binatang buas, kecuali yang sempat kamu sembelih (sebelum habis nyawanya), dan yang disembelih atas nama berhala." (Surah al-Maidah: 3)

Syarat-syarat Sembelihan

Untuk menjadikan haiwan itu halal untuk dimakan, maka Allah SWT memerintahkan supaya ianya disembelih. Para ulama menggariskan panduan untuk penyembelihan binatang dan meletak syarat-syarat ke atasnya iaitu:

1. Penyembelih itu mestilah berakal. Sama ada lelaki, perempuan, baligh atau mumaiyyiz dan ini merupakan pendapat jumhur.

2. Penyembelih itu mestilah Orang Islam atau Ahli Kitab. Begitu juga tidak sah sembelihan orang yang murtad. Ini kerana sembelihan mereka itu bukanlah bertujuan kerana Allah SWT. Ini seperti firman Allah SWT dalam surah al-Maidah ayat 3 seperti yang di atas. Dan ulama meletakkan syarat ke atas Ahli kitab di antaranya mestilah beriman dan menyebut nama Allah SWT ketika sembelih.

3. Binatang buruan yang halal dan bukan daripada jenis binatang buas dan ganas ini seperti firman Allah SWT:

أُحِل لَكُمْ صَيْدُ الْبَحْرِ وَطَعَامُهُ مَتَاعًا لَكُمْ وَلِلسَّيَّارَةِ وَحُرِّمَ عَلَيْكُمْ صَيْدُ الْبَرِّ مَا دُمْتُمْ حُرُمًا
"Dihalalkan bagi kamu binatang buruan laut, dan makanan yang didapati dari laut, sebagai bekalan bagi kamu (untuk dinikmati kelazatannya) dan juga bagi orang-orang yang dalam pelayaran; tetapi diharamkan atas kamu memburu binatang buruan darat selama kamu sedang berihram. Oleh itu, bertaqwalah kepada Allah, yang kepada-Nya kamu akan dihimpunkan." (Surah al-Maidah: 96)

Dan selain daripada kategori binatang buas diharuskan untuk sembelih dan memakannya. Begitu juga binatang buas tidak termasuk binatang ternakan dan binatang korban.




4. Disyaratkan menyebut nama Allah SWT ketika sembelih sama ada dari kalangan orang Islam atau ahli kitab. Sekiranya ia terlupa atau bisu dibolehkan untuk memakannya. Ini seperti firman Allah SWT:

وَلَا تَأْكُلُوا مِمَّا لَمْ يُذْكَرِ اسْمُ اللَّـهِ عَلَيْهِ وَإِنَّهُ لَفِسْقٌ
"Dan janganlah kamu makan dari (sembelihan binatang-binatang halal) yang tidak disebut nama Allah ketika menyembelihnya, kerana sesungguhnya yang sedemikian itu adalah perbuatan fasik (berdosa)." (Surah al-An'am: 121)

5. Tidak mencampur adukkan di antara membesarkan nama Allah SWT dengan selainnya. Sama ada dengan menyebut secara jelas ataupun tidak.

6. Mestilah dengan memutuskan Halkum dan urat Marih untuk mempercepatkan kematiannya.

7. Selain itu, syarat peralatan sembelihan ialah dengan menggunakan peralatan yang tajam dan bukan diperbuat daripada tulang, kuku dan gigi.

(Lihat: al-Mausuah al-Fiqhiyah al-Kuwaitiyah: 21/184)

Kesimpulan

Berdasarkan kepada persoalan di atas, rasa belas kasihan terhadap haiwan yang disembelih tidak mempengaruhi halal dan haram sekiranya ia cukup syarat sah sembelihan seperti yang didatangkan di atas.

Sifat belas kasihan terhadap haiwan merupakan fitrah manusia. Oleh itu, kita digalakkan mengikut adab-adab dan sunat-sunat ketika penyembelihan. Dengan tujuan memudahkan dan mengurangkan kesakitan haiwan sembelihan. Ini seperti yang di ajar Baginda SAW di dalam hadis yang diriwayatkan oleh Abi Ya'la bin A'us RA, sabda Nabi SAW:

فَإِذَا قَتَلْتُمْ فَأَحْسِنُوا الْقِتْلَةَ، وَإِذَا ذَبَحْتُمْ فَأَحْسِنُوا الذِّبْحَةَ
"Apabila kamu membunuh maka bunuhlah dengan baik, dan apabila kamu menyembelih maka sembelihlah dengan baik." [Riwayat Muslim (1955)]

Oleh itu kita dapat mengaplikasikan hadis ini dalam kehidupan. Hadis ini juga merupakan salah satu daripada prinsip penting dalam islam kerana ia merupakan seruan kemuliaan daripada Nabi SAW supaya berihsan dalam setiap amalan. Cukuplah dibuktikan hal ini dalam banyak tindakan Rasullullah SAW sama ada perkara kecil atau besar. (Lihat: al-Kafi Syarah Hadis 40 oleh Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri, hlm 175)

Wallahua'lam.

+ Ustaz Dr. Zulkifli Mohamad Al Bakri | Mufti Wilayah Persekutuan
+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media

Status Perkahwinan Pasangan Mualaf Apabila Telah Memeluk Islam

Posted: 20 Apr 2019 04:31 PM PDT


Soalan:
Bagaimanakah status perkahwinan pasangan bukan Islam yang mana kedua-duanya telah memeluk agama Islam dan bagaimanakah pula dengan status nasab anak-anak mereka?

Jawapan:
Sejarah umat Islam pada zaman Rasulullah S.A.W dahulu menunjukkan bahawa telah masuk ke dalam Islam begitu ramai individu dari kalangan lelaki dan perempuan. Ada dari kalangan mereka itu yang telah berkahwin dalam erti kata kedua-dua suami dan isteri telah masuk ke dalam Islam secara bersama. Riwayat-riwayat menunjukkan bahawa Rasulullah S.A.W tidak pernah memberi arahan kepada pasangan suami isteri yang baru memeluk Islam untuk memperbaharui akad nikah mereka.

Bahkan majoriti fuqaha mazhab turut menyatakan bahawa pernikahan orang-orang kafir adalah sah. Mereka berdalilkan firman Allah S.W.T:

وَامْرَأَتُهُ حَمَّالَةَ الْحَطَبِ
"Dan isterinya (Abu Lahab) adalah pemikul kayu api neraka." [Surah Al-Masad (4)]

Demikian juga firman Allah S.W.T:

اِمْرَأَةَ فِرْعَوْنَ
"Isteri kepada Fir'aun." [Surah al-Tahrim (11)]

Justeru hakikat kepada penyandaran isteri kepada Abu Lahab dan Fir'aun jelas menunjukkan kepada pernikahan yang sah antara mereka.




Kata Imam Ibn Qudamah:

وقد أسلم خلق على عهد رسول الله صلى الله عليه وسلم وأسلم نساؤهم وأُقِرّوا على أنكحتهم ، ولم يسألهم رسول الله عن شروط النكاح ولا كيفيته
"Telah memeluk Islam ramai individu pada zaman Nabi S.A.W dan begitu juga isteri mereka turut serta memeluk Islam Bersama mereka. Baginda memperakukan pernikahan-pernikahan mereka dan baginda tidak bertanya kepada mereka tentang syarat-syarat dan kaifiat pernikahan mereka." [Rujuk Al-Mughni, Ibn Qudamah (7/115)]

Kesimpulan

Sebagai penutup, kami menyatakan bahawa perkahwinan kedua pasangan bukan Islam setelah mereka memeluk Islam adalah sah. Justeru, implikasi dari hal ini adalah sahnya nasab anak-anak mereka yang diperoleh sepanjang pernikahan tersebut.

Akhir kalam, semoga Allah S.W.T memberikan kefahaman yang tepat kepada kita dalam beragama. Ameen.

+ Ustaz Dr. Zulkifli Mohamad Al Bakri | Mufti Wilayah Persekutuan
+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media