Tuesday, April 23, 2019

Oh! Media

Oh! Media


Negeri Sembilan E-Sports Championship 2019 Siap Sedia Gempur Pemilihan Sukan SEA 2019

Posted: 22 Apr 2019 12:04 PM PDT


Akhirnya, program Negeri Sembilan Esports Championship 2019 (NSEC) telah berakhir dengan jayanya apabila pemain-pemain telahpun dipilih bagi mewakili Negeri Sembilan ke peringkat Kebangsaan dalam mencari atlet negara untuk ke kejohanan Sukan SEA 2019 di Filipina.

NSEC telah berlangsung selama 2 hari dan berjaya menarik seramai 500 penyertaan dari kalangan belia yang terdiri dari mereka yang berumur 13 hingga 35 tahun. Acara yang bermula pada 6 dan 7 April itu telah dirasmikan oleh YB Tuan Haji Mohamad Taufek Bin Abd Ghani Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pembangunan Belia Dan Sukan dan juga mendapat kunjungan hormat dari Menteri Besar Negeri Sembilan iaitu YAB Dato' Seri Haji Aminuddin Bin Harun.


Untuk pengetahuan korang, pemilihan pemain esport ini diadakan di setiap negeri dan bagi Negeri Sembilan, ia dianjurkan Persatuan Sukan Elektronik Negeri Sembilan dengan kerjasama Jabatan Belia & Sukan Negeri dan juga mendapat sokongan penuh Kerajaan Negeri. Negeri Sembilan.


496 pemain terlibat dalam saingan NSEC 2019:

Antara permainan yang dipertandingkan di NSEC 2019 adalah Tekken7 seramai 16 pemain, FIFA19 seramai 64 pemain, PES2019 melibatkan 32 pemain dan Mobile Legends dengan jumlah penyertaan terbanyak yang melibatkan 64 pasukan seramai 384 pemain.

Selain itu, orang ramai yang hadir ke NSEC turut tidak ketinggalan untuk merasai sendiri pengalaman bermain sukan elektronik seperti Console Zone, Virtual Reality (VR) dan pameran booth dari pelbagai agensi seperti Axis Esports, Ultima Entertaiment, Unifi, ServerDNA, Kitamen dan juga Blvckbox.




Senarai pemenang NSEC 2019:

Mobile Legends: XPAX-XASSINS 


FIFA 2019: Infinite Leomes


PES 2019: Roku|Fath


Tekken 7: Eddy Seven


Starcraft 2: Rambo Pang


Dota 2: Dota Hero


AOV: M8 Pahlawan



Antara penaja yang turut menjayakan NSEC 2019:



Team Oh! Media juga turut sempat bersama merasai kehangatan NSEC 2019 dan melihat sendiri saingan sengit dikalangan pemain. Tahniah diucapkan kepada semua pemain yang berjaya mewakili Negeri Sembilan ke peringkat Kebangsaan dan seterusnya terus membawa nama Negeri untuk mewakili Negara di Sukan SEA nanti.

Baju rasmi esports Negeri Sembilan
Untuk gamers berdarah Nogori di luar sana, korang wajib dapatkan baju rasmi esports Negeri Sembilan yang osem ini di Facebook Kelab Sukan Elektronik Darul Khusus.




Teknologi 5G Akan Diperluaskan Ke Seluruh Negeri Seawal Tahun Depan

Posted: 22 Apr 2019 05:41 AM PDT


Pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Mulitimedia Malaysia (SKMM) kini sedang giat melakukan percubaan teknologi Generasi Kelima (5G) di Putrajaya dan dalam perkembangan terbaru, meraka  menjangkakan penawaran rangkaian 5G ini, akan dapat ditawarkan seawal tahun depan.

Menurut pengarah SKMM, Al-Ishsal Ishak, industri akan mendapat lebih keutamaan berbanding pengguna, tidak seperti teknologi rangkaian 3G dan 4G sebelum ini.

Sebelum ini, beberapa negeri seperti Pulau Pinang, Terengganu turut telah menyatakan hasrat mereka untuk membawa teknologi ini. Namun, nampaknya ia akan diperluaskan ke seluruh negeri di Malaysia untuk kegunaan semua.


Bayi 2 Bulan Meninggal Dunia Dalam Pesawat AirAsia, Kuala Lumpur - Perth

Posted: 22 Apr 2019 05:11 AM PDT

Gambar: NewsLocker

Seorang bayi 2 bulan didapati meninggal dunia ketika berada di dalam pesawat AirAsia yang dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Perth, Australia hari ini.

Seorang jurucakap AirAsia mengesahkan, pasukan pakar perubatan dan polis Australia Barat (WA) menunggu di Lapangan Terbang Antarabangsa Perth di sini.


Walaupun telah diberikan rawatan awal atau "kecemasan perubatan" namun tetap tidak dapat diselamatkan dan pihak polis turut masih melakukan sisasatan.

Seorang jurucakap media polis WA berkata, tidak wujud situasi mencurigakan berhubung kematian bayi terbabit.

Jurucakap AirAsia memohon maaf atas sebarang kesulitan dan berkata syarikat akan membantu pengguna membuat tempahan tiket baharu.

Sumber: Berita Harian

Juara Tilawah Al-Quran Peringkat Antarabangsa Cik Nor Farhatul Ingin Bawa Ibu Tunai Umrah

Posted: 22 Apr 2019 01:46 AM PDT


Tahniah diucapkan kepada adik Nor Farhatul Fairuzah Panut, Qariah Malaysia yang berjaya menjuarai Kategori Tilawah (Wanita) pada Majlis Tilawah dan Menghafaz Al-Quran Peringkat Antarabangsa (MTHQA) Ke-61.

Farhatul yang kini baru sahaja berusia 19 tahun, mendapatkan 87.05 peratus markah dan membawa pulang kepingan emas bernilai RM70,000, piala iringan dan wang tunai RM40,000.

Pelajar Tingkatan Enam dalam bidang syariah di Sekolah Menengah Agama Persekutuan (SMAP) Labu, Negeri Sembilan itu berkata, ibunya, Jaliah Simin, 63, pernah menyatakan keinginan menunaikan umrah, justeru beliau mahu merealisasikan hasrat berkenaan sebagai tanda terima kasih atas segala pengorbanan orang tua.





Qari Malaysia, Abdul Khair Jalil, 40, yang mengungguli Kategori Tilawah (Lelaki) MTHQA61 dan menerima hadiah sama pula mahu membawa isteri, Halimatun Samsori, mengerjakan ibadat haji menggunakan wang kemenangan itu.

Bagi Kategori Hafazan (Lelaki), peserta dari Sweden, Mohamed Abdi dinobatkan sebagai juara, manakala kategori wanita dimenangi Fatouma Ousseni Moussa dari Niger.

+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media.

Negeri Kelantan Bakal Menerima 5 Projek Dari Kerajaan Persekutuan

Posted: 22 Apr 2019 01:46 AM PDT


Negeri Kelantan bakal menerima beberapa projek yang akan diteruskan Kerajaan Persekutuan yang dikatakan bakal memberi pembangunan baharu kepada Kelantan.

Antara projek yang bakal diterukan adalah pembikinan Lebuhraya Pantai Timur Fasa 3, menarik taraf Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, membuka laluan baharu Pasir Puteh - Machang - Jeli, Leburhraya Kota Bharu- Kuala Krai dan Jambatan Palekbang - Kota Bharu.




Kementerian Hal Ehwal Ekonomi berkata, kajian bagi pelaksanaan LPT3 sedang dilaksanakan dan KKR juga mempertimbangkan mengenai kajian terkini berhubung lebuh raya bertol, manakala JKR Kelantan pula memuktamadkan penjajaran serta skop kerja untuk Fasa 1 cadangan laluan baharu Pasir Puteh - Machang - Jeli.

Keputusan kerajaan Persekutuan meluluskan lima projek berkenaan adalah selaras dengan Tonggak Ketiga Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-11 (RMKe-11), iaitu 'mewujudkan pembangunan wilayah yang seimbang.

+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media.

Manchester United Tempah Laluan Lebih Sukar

Posted: 21 Apr 2019 11:23 PM PDT


Pasukan Manchester United nampaknya sekali lagi menempah laluan yang sukar apabila membenarkan Everton untuk menang bergaya 4-0 di Goodison Park malam tadi.

Kekalahan ini juga telah menyebabkan skuad kendalian Ole Gunnar Solskjaerberdepan tamparan untuk layak beraksi di Liga Juara-Juara musim hadapan. United kini kekal ditangga keenam dengan baki empat perlawanan di belakang Chelsea.


Dua gol masing-masing daripada Richarlison dan Gylfi Sigurdsson pada babak pertama membuktikan dominasi tuan rumah ke atas United dan Lucas Digne meledak jaringan menarik yang juga jaringan ketiga Everton sebelum bekas pemain Arsenal, Theo Walcott melengkapkan jumlah gol kemenangan.

Keputusan meninggalkan United ketinggalan dua mata daripada kedudukan empat terbaik berbaki empat perlawanan dengan Manchester City dan Chelsea dijadual menjadi lawan mereka minggu depan. Everton pula melangkah ke tangga ketujuh.





+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media.

Andi Lebih Berhati-Hati - Risau Kes Gambar Bogel Artis Menimpa Dirinya

Posted: 21 Apr 2019 10:37 PM PDT


Sekarang telah banyak tersebar rakaman video dan gambar artis tanpa pakaian yang semakin menular di laman sosial. Hal ini telah membuatkan penyanyi, Andi Bernadee berkongsian kerisauannya terhadap perkara ini.

Andi berkata bahawa dia akan membuat pemeriksaan rapi apabila menginap dimana-mana tempat yang disediakan penganjur kerana bimbang kejadian yang sama akan menimpanya.




Beberapa teman artis pernah dilaporkan terbabit dalam kes sedemikian menyebabkan Andi berasa bimbang dan tidak rela termasuk dalam perangkap sama seperti itu. Oleh sebab itu, tiap kai sebelum masuk ke bilik yang disediakan, Andi akan memeriksa dahulu bilik itu dengan teliti.

Andi yang kini baru sahaja selesai melancarkan single dan video muzik lagu terbarunya itu juga mengakui bahawa ada babak di dalam muzik video Donde yang menunjukkan dia separuh tubuh.

"Bagi saya, ia tidak nampak seksi pun. Kebetulan, babak itu memerlukan saya mandi dalam tab, jadi penampilan tidak berbaju itu memang sesuailah dengan situasi.

Sejak dikongsi menerusi laman YouTube pada 10 April lalu, video muzik rasmi single terkininya itu sudah meraih lebih 2.7 juta tontonan.

+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media.




'Train to Marvel' - Ma Dong-Seok Bakal Bintangi Filem The Eternals

Posted: 21 Apr 2019 08:27 PM PDT


Korang mesti kenal dengan pelakon lelaki Ma Dong-Seok yang sentiasa memberikan lakonan yang terbaiknya dari beberapa filem lakonannya yang popular menerusi filem Train to Busan, Along with The Gods: The Last 49 Days dan Wonderful Ghost.

Oleh itu, kini namanya telah mula naik dan kini dikatakan bakal membintangi filem bersama Marvel Studios, 'The Eternals' yang akan bergandingan bersama Angelina Jolie.




Filem The Eternals yang ditayangkan pada tahun 2025 akan diarahkan oleh Chloe Zhao dan mereka semakin sedang giat mencari dan mendapatkan pelakon-pelakon hebat.



+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media.

Adakah Orang Yang Mendengar Al-Quran Mendapat Fadhilat Yang Sama Seperti Pembacanya?

Posted: 21 Apr 2019 05:23 PM PDT


Soalan:
Saya sedia maklum fadhilat membaca Surah al-Mulk pada setiap malam dan Surah al-Kahfi pada setiap hari Jumaat. Cuma persoalannya, bolehkah isteri dan anak-anak saya mendapat fadhilat yang sama jika saya membacanya di tepi isteri dan anak-anak? Ini kerana isteri saya sangat sibuk menjaga anak-anak menyebabkan dia tidak sempat untuk membacanya. Terima kasih.

Jawapan:
Rasulullah SAW ada menyebutkan tentang kelebihan orang yang membaca Surah al-Mulk pada setiap malam dan Surah al-Kahfi pada setiap hari Jumaat. Antara hadith-hadith berkenaan adalah seperti berikut:

1) Daripada Ibn Abbas RA, beliau berkata, beberapa orang sahabat Nabi menggali tanah tanpa menyangka itu adalah kubur. Lalu didapati di dalamnya ada seorang lelaki yang membaca Surah al-Mulk hingga tamat. Lantas beliau menemui Nabi SAW lalu berkata:

يَا رَسُولَ اللهِ إِنِّي ضَرَبْتُ خِبَائِي عَلَى قَبْرٍ وَأَنَا لاَ أَحْسِبُ أَنَّهُ قَبْرٌ ، فَإِذَا فِيهِ إِنْسَانٌ يَقْرَأُ سُورَةَ تَبَارَكَ الْمُلْكِ حَتَّى خَتَمَهَا. فَقَالَ رَسُولُ الله صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : هِيَ الْمَانِعَةُ ، هِيَ الْمُنْجِيَةُ ، تُنْجِيهِ مِنْ عَذَابِ القَبْرِ.
"Ya Rasulullah, sesungguhnya aku menggali tanah tanpa aku menyangka itu adalah kubur, dan aku dapati seorang lelaki membaca surah al-Mulk sehingga khatam." Maka jawab Baginda SAW: "Surah tersebut adalah penegah, penyelamat yang menyelamatkan tuannya daripada azab kubur." [Riwayat al-Tirmidzi : 2890]

2) Dari Abu Sa'id al-Khudri RA bahawa Nabi SAW bersabda:

مَنْ َقَرَأَ سُوْرَةَ الْكَهْفِ لَيْلَةَ الْجُمْعَةِ أَضَاءَ لَهُ مِنَ النُّوْرِ فِيْمَا بَيْنَهُ وَبَيْنَ الْبَيْتِ الْعَتِيْقِ
"Barangsiapa membaca surah al-Kahfi pada malam Jumaat, maka dipancarkan cahaya untuknya sejauh antara dirinya dia dan Baitul 'atiq." [Sunan Ad-Darimi: 3273]

3) Di dalam sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Imam Muslim, daripada Abu Darda' RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

مَنْ حَفِظَ عَشْرَ آيَاتٍ مِنْ أَوَّلِ سُورَةِ الْكَهْف عُصِمَ مِنَ الدَّجَّالِ
"Sesiapa yang menghafal 10 ayat daripada awal surah al-Kahfi akan terselamat daripada fitnah Dajjal." [Riwayat Muslim: 1342]

Sesungguhnya al-Quran memberi manfaat kepada orang yang membaca dan mendengarnya. Justeru itu, Allah SWT memerintahkan orang yang beriman untuk mendengar al-Quran dengan baik apabila ia dibacakan. Firman Allah SWT:

وَإِذَا قُرِئَ الْقُرْآنُ فَاسْتَمِعُوا لَهُ وَأَنْصِتُوا لَعَلَّكُمْ تُرْحَمُونَ
"Dan apabila Al-Quran itu dibacakan, maka dengarlah akan dia serta diamlah (dengan sebulat-bulat ingatan untuk mendengarnya), supaya kamu beroleh rahmat." [Surah al-A'raf: 204]




Rasulullah SAW sendiri meminta para Sahabat RA supaya memperdengarkan al-Quran al-Karim kepada Baginda SAW. Dalam satu hadith yang diriwayatkan bahawa Rasulullah SAW meminta Abdullah Ibn Mas'ud RA membacakan al-Quran:

"‏ "اقْرَأْ عَلَىَّ ‏"‏‏.‏ قُلْتُ يَا رَسُولَ اللَّهِ آقْرَأُ عَلَيْكَ وَعَلَيْكَ أُنْزِلَ قَالَ ‏"‏ نَعَمْ ‏"‏‏.‏ فَقَرَأْتُ سُورَةَ النِّسَاءِ حَتَّى أَتَيْتُ إِلَى هَذِهِ الآيَةِ ‏{‏فَكَيْفَ إِذَا جِئْنَا مِنْ كُلِّ أُمَّةٍ بِشَهِيدٍ وَجِئْنَا بِكَ عَلَى هَؤُلاَءِ شَهِيدًا‏}‏ قَالَ ‏"‏ حَسْبُكَ الآنَ ‏"‏‏.‏ فَالْتَفَتُّ إِلَيْهِ فَإِذَا عَيْنَاهُ تَذْرِفَانِ‏.‏
(Rasulullah SAW bersabda): "Bacakanlah kepadaku al-Quran." Aku (Abdullah Ibn Mas'ud RA) bertanya: "Wahai Rasulullah SAW, aku membacakan al-Quran kepada kamu padahal al-Quran diturunkan kepada kamu?" Jawab Nabi SAW: "Sesungguhnya aku suka untuk mendengarnya dari bacaan orang lain." Kemudian aku membaca Surah al-Nisa sehingga ayat 41 dan Baginda SAW bersabda: "Cukuplah untuk sekarang." Lalu aku berpaling kepada Baginda SAW dan aku mendapati kedua-dua mata Baginda SAW bercucuran air mata. [Riwayat al-Bukhari: 4583]

Orang yang mendengar al-Quran juga mendapat pahala jika disertai dengan adab-adabnya dan menghayati bacaan al-Quran tersebut. Walau bagaimanapun, pahala orang yang mendengar al-Quran tidak sama dengan orang yang membacanya. Ini kerana orang yang membaca al-Quran akan mendapat pahala yang lebih besar dan fadhilat daripada bacaannya tersebut. Daripada Abdullah Ibn Mas`ud RA katanya, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ قَرَأَ حَرْفًا مِنْ كِتَابِ اللَّهِ فَلَهُ بِهِ حَسَنَةٌ وَالْحَسَنَةُ بِعَشْرِ أَمْثَالِهَا لاَ أَقُولُ الم حَرْفٌ وَلَكِنْ أَلِفٌ حَرْفٌ وَلاَمٌ حَرْفٌ وَمِيمٌ حَرْفٌ
"Barangsiapa yang membaca satu huruf dari kitabullah (al-Quran), maka untuknya satu kebaikan, sedang satu kebaikan itu akan dibalas dengan sepuluh kali ganda seperti itu. Aku tidak mengatakan bahwa 'alif lam mim' itu satu huruf, tetapi 'alif' adalah satu huruf, 'lam' satu huruf dan 'mim' juga satu huruf." [Riwayat al-Tirmidzi]

Justeru, mencemburui dan iri hati terhadap orang yang dapat membaca al-Quran adalah sesuatu yang dibenarkan dalam Islam. Rasulullah SAW bersabda:

لاَ حَسَدَ إِلاَّ فِي اثْنَتَيْنِ رَجُلٌ آتَاهُ اللَّهُ الْقُرْآنَ فَهْوَ يَتْلُوهُ آنَاءَ اللَّيْلِ وَآنَاءَ النَّهَارِ، وَرَجُلٌ آتَاهُ اللَّهُ مَالاً فَهْوَ يُنْفِقُهُ آنَاءَ اللَّيْلِ وَآنَاءَ النَّهَارِ
"Tidak dibenarkan iri hati melainkan terhadap dua macam orang iaitu; orang yang diberi kepandaian oleh Allah SWT dalam hal al-Quran, lalu dia membacanya pada waktu malam dan waktu siang. Juga seorang yang dikurniakan Allah SWT akan harta lalu ia menginfaqkannya pada waktu malam dan siang." [Riwayat al-Bukhari dan Muslim]

Kesimpulan

Berdasarkan perbincangan dan perbahasan di atas, dapat disimpulkan bahawa fadhilat membaca sesuatu ayat atau surah dalam al-Quran tidak didapati dengan hanya mendengarnya sahaja.

Oleh itu, kami mencadangkan supaya orang yang mendengar turut mengikuti bacaan dengan menyebut ayat-ayat yang didengarnya walaupun tidak menghafal dan tidak melihat kepada mushaf al-Quran. Dalam situasi ini, maka orang yang mendengarnya pun turut mendapat pahala yang sama dan fadhilatnya. Semoga Allah SWT sentiasa memberi taufiq dan hidayah kepada kita untuk terus melaksanakan amal soleh dan ketaatan kepada-Nya.

Wallahua'lam.

+ Ustaz Dr. Zulkifli Mohamad Al Bakri | Mufti Wilayah Persekutuan
+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media

Maksud Rezeki Yang Baik Dan Cara Mendapatkannya

Posted: 21 Apr 2019 05:10 PM PDT


Soalan:
Apakah yang dimaksudkan dengan rezeki yang baik? Dan apakah cara mendapatkan rezeki yang baik? Mohon penjelasan.

Jawapan:
Dalam menjawab persoalan ini, kami mulakan dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا ، وَرِزْقًا طَيِّبًا ، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً
"Ya Allah, aku memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima." [Riwayat Ibn Majah (925)]

Syeikh Sa'id bin Ali bin Wahf al-Qahtani menyebut: "Rezeki yang baik adalah rezeki yang halal." (Lihat Syarh Hisn al-Muslim min Azkar al-Kitab wa al-Sunnah, hlm. 129)

Kita diajar supaya mencari rezeki dan memakan dari sumber yang halal. Hal ini berbetulan dengan sebuah hadis yang masyhur, daripada Abi Hurairah R.A, beliau berkata, Rasulullah SAW bersabda:

إنَّ اللَّهَ طَيِّبٌ لَا يَقْبَلُ إلَّا طَيِّبًا، وَإِنَّ اللَّهَ أَمَرَ الْمُؤْمِنِينَ بِمَا أَمَرَ بِهِ الْمُرْسَلِينَ فَقَالَ تَعَالَى: "يَا أَيُّهَا الرُّسُلُ كُلُوا مِنْ الطَّيِّبَاتِ وَاعْمَلُوا صَالِحًا"، وَقَالَ تَعَالَى: "يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُلُوا مِنْ طَيِّبَاتِ مَا رَزَقْنَاكُمْ" ثُمَّ ذَكَرَ الرَّجُلَ يُطِيلُ السَّفَرَ أَشْعَثَ أَغْبَرَ يَمُدُّ يَدَيْهِ إلَى السَّمَاءِ: يَا رَبِّ! يَا رَبِّ! وَمَطْعَمُهُ حَرَامٌ، وَمَشْرَبُهُ حَرَامٌ، وَمَلْبَسُهُ حَرَامٌ، وَغُذِّيَ بِالْحَرَامِ، فَأَنَّى يُسْتَجَابُ لَهُ؟".
"Sesungguhnya Allah Taala Maha Baik dan hanya menerima yang baik. Sesungguhnya Allah telah memerintahkan orang-orang yang beriman untuk (melakukan) perintah yang disampaikan kepada para Nabi. Kemudian beliau membaca firman Allah: 'Wahai rasul-rasul, makanlah dari makanan yang baik-baik dan kerjakanlah amalan yang soleh.' Dan firman-Nya: 'Wahai orang-orang yang beriman, makanlah dari makanan yang baik baik yang telah Kami anugerahkan kepadamu.' Kemudian beliau menceritakan seorang lelaki yang melakukan perjalanan jauh (lama), tubuhnya diliputi debu lagi kusut, dia menadah tangannya ke langit dan berdoa: 'Ya Rabbku, ya Rabbku.' Akan tetapi makanannya haram, minumannya haram, dan ia diberi makan dengan yang haram. Maka bagaimana mungkin doanya dikabulkan?" [Riwayat Muslim (1015)]

Tayyib bermaksud suci bersih dari segala kekurangan. Dikatakan tayyib sebagai salah satu sifat Allah. (Lihat Ikmal al-Mu'lim, 3/535)

Allah SWT berfirman:

يَا أَيُّهَا الرُّسُلُ كُلُوا مِنَ الطَّيِّبَاتِ وَاعْمَلُوا صَالِحًا
"Wahai Rasul-rasul, makanlah dari benda-benda yang baik lagi halal dan kerjakanlah amal-amal soleh." [Surah al-Mukminun (51)]

Syeikh al-Maraghi berkata: "Di sini perintah memakan makanan yang baik didahulukan berbanding dengan perintah mengerjakan amalan soleh, bagi menunjukkan bahawa amalan soleh tidak akan diterima jika tidak didahului dengan memakan makanan yang halal." (Lihat Tafsir al-Maraghi, 6/289)

Untuk mendapatkan rezeki yang halal dan baik, hendaklah kita berusaha dan bekerja dengan tangan kita seperti hadis daripada Sa'id bin 'Umair al-Ansari, katanya:

سُئِلَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَيُّ الْكَسْبِ أَطْيَبُ؟ قَالَ: عَمَلُ الرَّجُلِ بِيَدِهِ، وَكُلُّ بَيْعٍ مَبْرُورٍ
Ditanya kepada Rasulullah SAW: "Apakah pekerjaan yang paling baik?" Jawab Baginda: "Amalan seorang lelaki dengan tangannya dan setiap jualan yang baik." [Riwayat Ahmad (17265), al-Baihaqi dalam Syu'ab al-Iman (1171) dan al-Tabarani dalam al-Mu'jam al-Kabir (13939)]




Begitu juga, salah satunya dengan melaksanakan aktiviti perniagaan, namun ia hendaklah dilakukan dengan jujur dan amanah. Bekerja sebagai penjawat awam dalam agensi kerajaan juga adalah baik dengan syarat mestilah menunaikan segala kehendak, syarat dan termanya yang telah ditetapkan. Di samping itu, hendaklah menghasilkan pekerjaan yang kreatif, produktif dan inovatif dalam meningkatkan perkhidmatan yang ditaklifkan dan diamanahkan.

Pada saat yang sama, hendaklah kita menghindari segala cara untuk mendapatkan rezeki secara haram seperti menipu, merasuah, makan riba, makan harta anak yatim, pecah amanah, mengurangkan timbangan, mencuri, merompak, menyamun dan sebagainya. Ingatlah bahawa rezeki yang kita perolehi dan cara kita belanjakannya akan dipersoalkan di hadapan Allah SWT pada hari Akhirat kelak. Hal ini berdasarkan hadis daripada Ibn Mas'ud R.Anhuma, Rasulullah SAW bersabda:

لاَ تَزُولُ قَدَمَا ابْنِ آدَمَ يَوْمَ الْقِيَامَةِ مِنْ عِنْدِ رَبِّهِ حَتَّى يُسْأَلَ عَنْ خَمْسٍ عَنْ عُمْرِهِ فِيمَا أَفْنَاهُ وَعَنْ شَبَابِهِ فِيمَا أَبْلاَهُ وَمَالِهِ مِنْ أَيْنَ اكْتَسَبَهُ وَفِيمَ أَنْفَقَهُ وَمَاذَا عَمِلَ فِيمَا عَلِمَ
"Kaki anak Adam akan tetap tegak berdiri di sisi Tuhannya pada hari Kiamat, hingga dia ditanya tentang lima perkara (iaitu); tentang umurnya untuk apa dia habiskan, tentang masa mudanya untuk apa dia gunakan, tentang hartanya dari mana dia dapatkan, dan dalam hal apa (hartanya tersebut) dia belanjakan dan apa sahaja yang telah dia lakukan dari ilmu yang dimilikinya." [Riwayat al-Tirmidzi (2416)]

Akhir kalam, kami nukilkan di sini beberapa mutiara hikmah berkenaan dengan rezeki:

  • Hamzah al-'Abdi berkata: Kami datang mengunjungi Murrah bin Syarahil lalu dia berkata: "Ketahuilah sesungguhnya Allah SWT tidak menulis ke atas hamba-Nya sebarang bala, kecuali pasti berlaku sekalipun seorang hamba mentaati-Nya. Dan Allah tidak menulis bagi seorang hamba sebarang rezeki kecuali pasti ditunaikannya sekalipun seorang itu menderhakai-Nya." (Lihat Hilyah al-Auliya', 4/163)
  • Ubaidullah bin Muhammad bin Yazid berkata: Aku mendengar ayahku menyebut bahawa mereka telah mengunjungi Abu Hazim lalu berkata: "Wahai Abu Hazim, tidakkah kamu melihat harga barang sekarang ini mahal?" Lantas dijawabnya: "Apakah yang merunsingkan kamu demikian itu? Sesungguhnya Yang Memberi Rezeki pada kita pada masa barang murah, Dia-lah juga yang memberi rezeki pada kita pada masa barang mahal." (Lihat Hilyah al-Auliya', 3/239)

Semoga Allah SWT kurniakan kita rezeki yang halal dan diberkati. Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ اهْدِنَا فِيمَنْ هَدَيْتَ ، وَعَافِنَا فِيمَنْ عَافَيْتَ ، وَتَوَلَّنَا فِيمَنْ تَوَلَّيْتَ ، وَبَارِكْ لَنَا فِيمَا أَعْطَيْتَ ، وَقِنَا شَرَّ مَا قَضَيْتَ ، إِنَّكَ تَقْضِي وَلا يُقْضَى عَلَيْكَ ، وَإِنَّهُ لا يَذِلُّ مَنْ وَالَيْتَ تَبَارَكْتَ وَتَعَالَيْتَ

+ Ustaz Dr. Zulkifli Mohamad Al Bakri | Mufti Wilayah Persekutuan
+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media

Kelebihan Manusia Berbanding Makhluk Lain

Posted: 21 Apr 2019 04:59 PM PDT


Soalan:
Boleh terangkan antara kelebihan besar yang diberikan oleh Allah SWT kepada manusia? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:
Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

لَقَدْ خَلَقْنَا الْإِنسَانَ فِي أَحْسَنِ تَقْوِيمٍ
"Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya (dan berkelengkapan sesuai dengan keadaannya)." (Surah al-Tin: 4)

Allah SWT selaku Pencipta yang Maha Mengetahui segala-galanya telah menjadikan manusia sebagai makhluk yang paling dimuliakan berbanding dengan makhluk-makhluk yang lain. Firman Allah SWT:

وَلَقَدْ كَرَّمْنَا بَنِي آدَمَ وَحَمَلْنَاهُمْ فِي الْبَرِّ وَالْبَحْرِ وَرَزَقْنَاهُم مِّنَ الطَّيِّبَاتِ وَفَضَّلْنَاهُمْ عَلَىٰ كَثِيرٍ مِّمَّنْ خَلَقْنَا تَفْضِيلًا
"Dan sesungguhnya Kami telah memuliakan anak-anak Adam; dan Kami telah beri mereka menggunakan berbagai-bagai kenderaan di darat dan di laut; dan Kami telah memberikan rezeki kepada mereka dari benda-benda yang baik-baik serta Kami telah lebihkan mereka dengan selebih-lebihnya atas banyak makhluk-makhluk yang telah Kami ciptakan." (Surah al-Isra': 70)

Syeikh al-Maraghi menyatakan Allah SWT telah memuliakan anak cucu Adam dengan rupa yang indah, bertubuh tinggi dan berakal sederhana sehingga mereka mengetahui pelbagai kepakaran dan mengetahui pelbagai bahasa, dapat berfikir dengan baik tentang cara-cara mencari penghidupan dan mengeksploitasi segala yang ada di bumi serta menundukkan segala yang ada di alam atas mahupun alam bawah. Kami mengangkat mereka di atas haiwan, kereta, kapal terbang, belon dan kapal. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 8/3996-3997)

Tuntasnya, kemuliaan yang dikurniakan oleh Allah SWT ini adalah lantaran akal fikiran yang diberikan oleh Allah SWT supaya manusia dapat berfikir tentang sesuatu perkara, mampu membezakan antara yang hak dan batil dan antara yang sesat dan hidayah. Ayat ini juga menuntut manusia agar bersyukur dan tidak menyekutukan Allah SWT dengan suatu apapun. Hal ini kerana, Allah SWT telah menundukkan bagi manusia segala yang ada di darat mahupun di laut, bahkan memeliharanya dalam perhatianNya yang baik. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 8/3997)

Justeru, nikmat akal fikiran yang dikurniakan oleh Allah SWT ini wajib digunakan untuk memikirkan sesuatu kebesaran Allah SWT dalam mentaati setiap suruhan dan perintahnya. Dalam al-Quran Allah SWT berfirman:

قُلِ انظُرُوا مَاذَا فِي السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ
Katakanlah (wahai Muhammad): "Perhatikan dan fikirkanlah apa yang ada di langit dan di bumi dari segala kejadian yang menakjubkan, yang membuktikan keesaan Allah dan kekuasaanNya." (Surah Yunus: 101)

Ayat ini menjelaskan, lihatlah dengan mata dan mata hatimu, apa yang terdapat di langit dan di bumi seperti bintang-bintang yang bersinar, sama ada bintang-bintang tetap atau bintang-bintang pelayar, matahari dan bulan, awan dan hujan, angin dan air, malam dan siang, serta masuknya salah satu antara kedua-duanya pada yang lain, sehingga yang satu lebih panjang sedangkan yang lain lebih pendek. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 6/3121)




Betapa hinanya manusia apabila dicela oleh Penciptanya sendiri sebanyak sebelas kali di dalam al-Quran dengan ungkapan "أَفَلَا تَعْقِلُونَ" disebabkan tidak mahu menggunakan akalnya untuk berfikir. Celaan itu sampai kepada tahap menurunkan kedudukan mereka lebih rendah dan lebih hina dari binatang ternak.

أَمْ تَحْسَبُ أَنَّ أَكْثَرَهُمْ يَسْمَعُونَ أَوْ يَعْقِلُونَ ۚ إِنْ هُمْ إِلَّا كَالْأَنْعَامِ ۖ بَلْ هُمْ أَضَلُّ سَبِيلًا
"Atau adakah engkau menyangka bahawa kebanyakan mereka mendengar atau memahami (apa yang engkau sampaikan kepada mereka)? Mereka hanyalah seperti binatang ternak, bahkan (bawaan) mereka lebih sesat lagi." (Surah al-Furqan: 44)

Kesimpulan

Dalam isu ini, kami nyatakan bahawa manusia itu dimuliakan oleh Allah SWT dengan diberikan akal fikiran yang mampu untuk berfikir mengatasi setiap ciptaan makhluk-Nya yang lain. Sekalipun mempunyai anggota tubuh kecil dan lemah berbanding ciptaan Allah yang lain, namun dengan akal fikiran yang diberikan ini menjadikan manusia mampu untuk mengawal selia serta terkehadapan berbanding yang lain. Sebagai contoh, kekuatan menghidu yang dimiliki oleh anjing jauh mengatasi kekuatan menghidu pada deria hidu manusia sehingga anjing ini digunakan dalam operasi mengesan dadah dan lain-lain. Namun begitu, haiwan seperti ini adalah bertindak di bawah penyeliaan serta arahan daripada manusia. Begitu juga, dengan kebijaksanaan manusia dan akalan yang dikurniakan, maka mereka dapat merekacipta alatan yang canggih sehingga menemukan sesuatu jauh lebih baik daripada anjing.

Semoga apa yang disampaikan ini memberi kesedaran dan kefahaman kepada manusia secara umumnya untuk sentiasa bersyukur dengan segala nikmat yang telah dikuriakan oleh Allah SWT. Amin.

Kami menutup perbincangan ini dengan berdoa kepada Allah SWT atas kurniaan nikmat kepad kita:

رَبِّ أَوْزِعْنِي أَنْ أَشْكُرَ نِعْمَتَكَ الَّتِي أَنْعَمْتَ عَلَيَّ وَعَلَىٰ وَالِدَيَّ وَأَنْ أَعْمَلَ صَالِحًا تَرْضَاهُ وَأَدْخِلْنِي بِرَحْمَتِكَ فِي عِبَادِكَ الصَّالِحِينَ
"Wahai Tuhanku, ilhamkanlah daku supaya tetap bersyukur akan nikmat-Mu yang Engkau kurniakan kepadaku dan kepada ibu bapaku, dan supaya aku tetap mengerjakan amal soleh yang Engkau redai; dan masukkanlah daku -dengan limpah rahmat-Mu- dalam kumpulan hamba-hamba-Mu yang soleh." (Surah al-Naml: 19)

+ Ustaz Dr. Zulkifli Mohamad Al Bakri | Mufti Wilayah Persekutuan
+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media