Thursday, April 4, 2019

Oh! Media

Oh! Media


Malaysia Bakal Menjadi Negara Terawal di Asia Menggunakan Teknologi Generasi Ke-5

Posted: 03 Apr 2019 05:20 AM PDT


Nampaknya Malaysia akan menjadi negara terawal di Asia menerima rangkaian Generasi Ke-5 (5G) setelah beberapa percubaan dan usaha yang dilakukan di Putrajaya membuahkan hasil.

Penawaran internet yang lebih pantas itu diumumkan SKMM di laman rasmi mereka yang dilihat bakal meningkatkan produktiviti pengguna bersesuaian dengan industri revolusi 4.0.

Teknologi 5G ini juga akan terus diuji sehingga 18 April dan akan dibuka kepada umum sekitar Putrajaya pada 20 April 2019.

Beberapa syarikat dan institusi bakal turut menjayakan aturcara ini termasuk Celcom, Digi, Huawei, Maxis, Nokia, TM, UTM dan ZTE.

+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media.

Park Bogum Kini Digelar 'Ahmad Bogum' Selepas Menyanyikan Lagu Belaian Jiwa

Posted: 03 Apr 2019 03:12 AM PDT


Sebelum ini telah trending di media sosial dalam kalangan peminat penyanyi Korea Selatan apabila aktor popular Park Bogum telah menyanyikan lagu dalam bahasa Melayu bertajuk Belaian Jiwa.

Lagu asal dari kumpulan Carefree itu telah mencairkan lagi peminat dengan kelunakan suara Park Bogum yang kini telah digelar 'Ahmad Bogum'.

Park Bogum menyanyikan lagu berkenaan sambil bermain piano yang melakukan persembahannya di Dewan Plenary Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada Sabtu lalu.

"Saya sendiri yang memilih lagu ini kerana sukakan liriknya yang sangat bermakna. Jadi saya cuba sampaikan dalam versi saya, harap anda semua terhibur," katanya.

Di Korea, Bogum cukup terkenal dengan jolokan 'menantu pilihan' dan 'teman lelaki nasional' dek kerana keperibadian dan personalitinya yang baik, bersopan santun dan mempunyai imej yang bersih sebagai seorang artis.



+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media.


Najib Razak Dikatakan Mencuba Sekali Lagi Untuk Menangguhkan Perbicaraan

Posted: 03 Apr 2019 02:30 AM PDT


Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak hari ini dikatakan sekali lagi mencuba untuk melakukan penangguhan perbicaraan kes penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd.

Najib yang mendapatkan khidmat peguam bela Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah itu telah memberitahu Hakim Mahkamah Tinggi, Mohd Nazlan Mohd Ghazali bahawa mereka telahpun memfailkan notis berkenaan hari ini.

Namun, tindakan ini dilihat sengaja dilakukan pada saat akhir dalam usaha untuk melengahkan perbicaraan, kata Peguam Negara, Tommy Thomas.

Najib Razak tiba di perkarangan Kompleks Mahkamah Jalan Duta di sini, kira-kira jam 1.50 tengah hari tadi bagi menghadiri perbicaraan kes, tujuh pertuduhan RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd (SRC International) membabitkan bekas perdana menteri itu yang sepatutnya bermula hari ini.

+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media.

Genting Malaysia Bhd Setuju Beli Equanimity Pada Harga RM514.14 Juta

Posted: 02 Apr 2019 11:40 PM PDT


Akhirnya, setelah beberapa bulan Kerajaan Malaysia terpaksa menanggung kos selenggara kapal mewah Equanimity, kini disahkan pengendali kasino Genting Malaysia Bhd bersetuju untuk membeli kapal berkenaan pada timbangan tunai AS$126 juta atau RM514.14 juta.

Kapal mewah Equanimity yang merupakan salah satu dari skandal berbilion dolar membabitkan dana kerajaan 1MDB itu merupakan antara aset yang didakwa dibeli oleh ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho daripada wang dana itu, kata pegawai Amerika Syarikat dan Malaysia.

Untuk pengetahuan korang, Equanimity dilengkapi dengan kemasan dalaman diperbuat daripada marmar dan daun emas, spa dan sauna, kolam renang 20 meter, teater filem dan helipad.





+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media.



Huawei P30 Dilengkapi Dengan Sarung Pelindung Pengecasan Tanpa Wayar

Posted: 02 Apr 2019 10:34 PM PDT


HUAWEI yang kini hadir dengan model HUAWEI P30 telah mencetuskan persaingan yang kuat buat jenama lain yang juga hadir dengan sarung pelindung istimewa, berfungsi bagi pengecasan tanpa wayar.

Penggunaan sarung pelindung istimewa ini juga dikatakan mampu digunakan peranti Huawei P30 untuk menyokong pengecasan pantas tanpa wayar 10W yang sama seperti peranti Huawei P30 Pro.


Keselamatan sentiasa menjadi keutamaan. Untuk memastikan proses pengisian semula tanpa wayar yang lebih cepat dan selamat, sarung telefon HUAWEI P30 mempunyai pensijilan keselamatan TÜV Rheinland dan pensijilan QI.

Untuk menyokong pengecasan tanpa wayar, sarung perlindungan ini turut mempunyai bahan magnet yang tahan lama, sekali gus membolehkan telefon anda mudah dipegang oleh pemegang telefon di dalam kereta untuk mencapai pengalaman navigasi satu sentuhan.


Bagi korang yang ingin mendapatkan sarung bagi peranti Huawei P30 ini, ia dijual pada harga RM268 untuk satu unit.

+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media.

Filem One Two Jaga Akan Menemui Peminat Semula di 8 Pawagam Terpilih

Posted: 02 Apr 2019 10:33 PM PDT


Filem One Two Jaga, yang kini telah menerima anugerah Filem Terbaik pada Festival Filem Malaysia (FFM) Ke-30 kini akan ditayangkan semula di 8 pawagam TGV terpilih bermula pada Khamis ini.

Filem arahan Namron yang turut menerima lima trofi lain juga akan ditayangkan selama seminggu bagi membolehkan peminat dapat menyaksikan sendiri kehebatan filem terbabit selain memberi sokongan terhadap kutipan mereka.

Maklumat mengenai slot tayangan istimewa filem berkenaan menyebut lapan lokasi pawagam dipilih termasuk dua premis TGV di ibu negara iaitu pusat beli-belah, Suria KLCC dan Wangsa Walk, Kuala Lumpur.

Korang juga boleh menonton filem ini di TGV Sunway Pyramid, Petaling Jaya; TGV 1 Utama, Damansara; TGV Tebrau City, Johor Bahru dan TGV Bukit Raja, Klang.

Turut membuka slot tayangan istimewa adalah TGV Dpulze8, Cyberjaya dan TGV Kinta City, Ipoh, Perak.

Tiket bagi tayangan istimewa ini juga adalah serendah RM5 dan korang yang ingin menonton filem ini boleh layari laman web TGV.

+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media.

Manchester United Tewas Lagi - Kini di Tangan Wolves

Posted: 02 Apr 2019 07:31 PM PDT


Nampaknya seperti serba tidak menjadi menimpa pasukan Manchester United apabila tewas sekali lagi ditangan Wolves 2-1 awal pagi tadi dalam Liga Perdana Inggeri.

Ia seperti tidak menjadi apabila Ashley Young dilayangkan kad merah dan Chris Smalling pula memberikan gol sendiri kepada pihak lawan dan ia merupakan aksi yang mengecewakan dari anak buah pengendali Solskjaer di Molineux.

Pengendali United itu meletakkan sasaran untuk mengumpul 15 mata daripada baki tujuh perlawanan sebelum kunjungan ke laman Wolves.

Kini mereka perlu mengutip jumlah itu daripada baki enam perlawanan, dengan Manchester City dan Chelsea akan bertandang ke Old Trafford, sasaran yang diakui Solskjaer tiada ruang untuk kesilapan.


+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media.

Pengeras Bagi Rawatan Sihir

Posted: 02 Apr 2019 05:06 PM PDT


Soalan:
Apakah hukum memberi pengeras dalam rawatan mengubat sihir?

Jawpaan:
Pengeras didefinisikan oleh Kamus Dewan Edisi Keempat sebagai bayaran kepada pawang kerana berubat atau menuntut ilmu daripadanya. Pengeras dalam pengubatan Islam adalah sesuatu bahan atau bayaran yang ditetapkan sebagai syarat untuk rawatan yang dikaitkan dengan amalan yang bertentangan dengan syarak. (Lihat 40 Soal Jawab Pengubatan Islam, m. 123). Ianya boleh sahaja dalam bentuk wang, haiwan, makanan dan lain-lain.

Upah adalah berbeza dengan pengeras. Upah bagi rawatan perubatan ruqyah syar'iyyah adalah diharuskan di sisi syarak. Ini berdasarkan sebuah hadith daripada Abu Sa'id al-Khudir, beliau berkata:

أَنَّ نَاسًا مِنْ أَصْحَابِ رَسُولِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانُوا فِي سَفَرٍ، فَمَرُّوا بِحَيٍّ مِنْ أَحْيَاءِ الْعَرَبِ، فَاسْتَضَافُوهُمْ فَلَمْ يُضِيفُوهُمْ، فَقَالُوا لَهُمْ: هَلْ فِيكُمْ رَاقٍ؟ فَإِنَّ سَيِّدَ الْحَيِّ لَدِيغٌ أَوْ مُصَابٌ، فَقَالَ رَجُلٌ مِنْهُمْ: نَعَمْ، فَأَتَاهُ فَرَقَاهُ بِفَاتِحَةِ الْكِتَابِ، فَبَرَأَ الرَّجُلُ، فَأُعْطِيَ قَطِيعًا مِنْ غَنَمٍ، فَأَبَى أَنْ يَقْبَلَهَا، وَقَالَ: حَتَّى أَذْكُرَ ذَلِكَ لِلنَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فَأَتَى النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَذَكَرَ ذَلِكَ لَهُ، فَقَالَ: يَا رَسُولَ اللهِ وَاللهِ مَا رَقَيْتُ إِلَّا بِفَاتِحَةِ الْكِتَابِ فَتَبَسَّمَ وَقَالَ: «وَمَا أَدْرَاكَ أَنَّهَا رُقْيَةٌ؟» ثُمَّ قَالَ: «خُذُوا مِنْهُمْ، وَاضْرِبُوا لِي بِسَهْمٍ مَعَكُمْ»
"Sesungguhnya beberapa orang daripada kalangan sahabat Rasulullah SAW sedang berada dalam perjalanan. Mereka pergi ke salah sebuah kampung Arab dan mereka berharap agar boleh menjadi tetamu kepada penduduk kampung tersebut. Namun ternyata penduduk kampung itu tidak mahu menerima mereka. Tetapi ada yang bertanya: "Adakah ada antara kamu yang boleh menjampi? Ini kerana penghulu kampung kami terkena sengat." Salah seorang dari para sahabat menjawab: "Ya, ada." Lalu beliau menemui ketua kampung tersebut dan menjampinya dengan surah al-Fatihah. Kemudian ketua kampung tersebut sembuh, maka sahabat tersebut diberi beberapa ekor kambing. Beliau tidak mahu menerimanya dan mengajukan syarat: "Aku akan menyampaikannya kepada Nabi SAW," beliau pun pulang menemui Nabi SAW dan menyatakan pengalaman tersebut. Beliau berkata: "Ya Rasulullah! Demi Allah, aku hanya menjampi dengan surah al-Fatihah." "Bagaimana engkau tahu bahawa al-Fatihah itu memang merupakan jampi?" Kemudian Baginda bersabda lagi: "Ambillah pemberian daripada mereka dan pastikan aku mendapatkan bahagian bersama kamu." (Riwayat Muslim, no. 2201)

Imam al-Nawawi berkata: "Ini merupakan ucapan yang jelas sekali tentang keharusan mengambil upah daripada ruqyah dengan Al Fatihah dan zikir. Sesungguhnya ianya adalah halal tanpa kemakruhan di dalamnya. Demikian juga upah daripada mengajarkan al-Quran. Ini adalah mazhab al-Syafie, Malik, Ahmad, Ishaq, Abu Thaur dan yang lainnya dalam kalangan Salaf dan ulama yang setelah mereka. Abu Hanifah melarang mengambil upah dalam pengajaran Al Qur'an, dan membolehkannya dalam ruqyah." (Lihat Syarh al-Nawawi 'ala Muslim, 14/188)

Larangan memberi pengeras kepada pawang atau bomoh disebutkan dengan jelas dalam hadith sebagaimana yang dinyatakan oleh Abu Mas'ud al-Ansar:

أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ نَهَى عَنْ ثَمَنِ الكَلْبِ، وَمَهْرِ البَغِيِّ، وَحُلْوَانِ الكَاهِنِ
"Sesungguhnya Rasullullah SAW melarang jual beli anjing, wang hasil pelacuran dan memberi pengeras (habuan) untuk bomoh (atas tilikan dan ramalannya)." (Riwayat al-Bukhari, no. 2237)

Ibn Battal mendefinisikan (حُلْوَانِ الكَاهِنِ) sebagai upah daripada usaha perbomohannya. (Lihat Syarh Sahih al-Bukhari, 6/364)

Justeru, hukum memberi pengeras adalah haram dan boleh membawa kepada syirik kerana meletakkan syarat pengeras bagi penentu kesembuhan. Ini sekaligus menafikan kekuasaan Allah SWT sebagai Maha Penyembuh. Firman Allah SWT:

وَإِنْ يَمْسَسْكَ اللَّهُ بِضُرٍّ فَلَا كَاشِفَ لَهُ إِلَّا هُوَ وَإِنْ يَمْسَسْكَ بِخَيْرٍ فَهُوَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ
"Dan jika Allah mengenakan (menimpakan) engkau dengan bahaya bencana, maka tidak ada sesiapa pun yang dapat menghapuskannya melainkan Dia sendiri; dan jika Dia mengenakan (melimpahkan) engkau dengan kebaikan, maka Dia adalah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu." (Surah al-An'am: 17)

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman kepada kita dalam mengamalkan agamanya dengan cara yang sahih dan tidak bercanggah dengan syariat-Nya.

+ Ustaz Dr. Zulkifli Mohamad Al Bakri | Mufti Wilayah Persekutuan
+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media

Dalil Wujudnya Munkar Dan Nakir

Posted: 02 Apr 2019 04:45 PM PDT


Soalan:
Benarkah di sana ada malaikat yang dikenali dengan Munkar dan Nakir. Jika ada apakah dalilnya dan apa sifat serta peranan mereka? Mohon penjelasan.

Jawapan:
Pertama, berkenaan keadaan mayat yang akan didatangi oleh dua malaikat di dalam kubur dan kemudian mereka menyoalnya, maka ia adalah sabit dalam hadis sepertimana diriwayatkan dalam Sahih al-Bukhari dan Muslim daripada Anas R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

إِنَّ الْعَبْدَ إذا وُضِعَ في قَبْرِهِ وَتَوَلَّى عنه أَصْحَابُهُ، وَإِنَّهُ لَيَسْمَعُ قَرْعَ نِعَالِهِمْ، أَتَاهُ مَلَكَانِ، فَيُقْعِدَانِهِ فَيَقُولَانِ: ما كُنْتَ تَقُولُ في هذا الرَّجُلِ؟ لِمُحَمَّدٍ صلى الله عليه وسلم. فَأَمَّا الْمُؤْمِنُ فيقول: أَشْهَدُ أَنَّهُ عبد اللَّهِ وَرَسُولُهُ…
"Sesungguhnya hamba yang mati apabila diletakkan dalam kuburnya dan rakan taulannya berpaling pulang darinya sedangkan ketika itu, dia masih mendengar bunyi tapak sepatu atau selipar mereka. Ketika itu datanglah dua malaikat kepadanya lantas mendudukkannya seraya bertanya apakah yang kamu katakan tentang lelaki ini yakni Muhammad SAW? Adapun orang yang beriman nescaya menjawab aku bersaksi bahawa dia adalah hamba Allah dan rasul-Nya.." [Riwayat al-Bukhari (1338) dan Muslim (2870)]

Kedua, berkenaan dengan sifat malaikat tersebut, dalam sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah R.A, Rasulullah SAW bersabda:

إِذَا قُبِرَ الْمَيِّتُ أَوْ قَالَ أَحَدُكُمْ أَتَاهُ مَلَكَانِ أَسْوَدَانِ أَزْرَقَانِ يُقَالُ لأَحَدِهِمَا الْمُنْكَرُ وَالآخَرُ النَّكِيرُ ، فَيَقُولَانِ : مَا كُنْتَ تَقُولُ فِي هَذَا الرَّجُلِ ؟ فَيَقُولُ مَا كَانَ يَقُولُ : هُوَ عَبْدُ اللَّهِ وَرَسُولُهُ ، أَشْهَدُ أَنْ لا إِلَهَ إِلا اللَّهُ ، وَأَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ . فَيَقُولانِ : قَدْ كُنَّا نَعْلَمُ أَنَّكَ تَقُولُ هَذَا ، ثُمَّ يُفْسَحُ لَهُ فِي قَبْرِهِ سَبْعُونَ ذِرَاعًا فِي سَبْعِينَ ، ثُمَّ يُنَوَّرُ لَهُ فِيهِ ، ثُمَّ يُقَالُ لَهُ : نَمْ ، فَيَقُولُ : أَرْجِعُ إِلَى أَهْلِي فَأُخْبِرُهُمْ ، فَيَقُولَانِ : نَمْ كَنَوْمَةِ الْعَرُوسِ الَّذِي لا يُوقِظُهُ إِلا أَحَبُّ أَهْلِهِ إِلَيْهِ حَتَّى يَبْعَثَهُ اللَّهُ مِنْ مَضْجَعِهِ ذَلِكَ . وَإِنْ كَانَ مُنَافِقًا قَالَ : سَمِعْتُ النَّاسَ يَقُولُونَ فَقُلْتُ مِثْلَهُ لا أَدْرِي . فَيَقُولَانِ : قَدْ كُنَّا نَعْلَمُ أَنَّكَ تَقُولُ ذَلِكَ ، فَيُقَالُ لِلأَرْضِ : الْتَئِمِي عَلَيْهِ ، فَتَلْتَئِمُ عَلَيْهِ ، فَتَخْتَلِفُ فِيهَا أَضْلاعُهُ ، فَلا يَزَالُ فِيهَا مُعَذَّبًا حَتَّى يَبْعَثَهُ اللَّهُ مِنْ مَضْجَعِهِ ذَلِكَ )

Apabila mayat (atau seseorang daripada kamu) telah dikuburkan, datanglah kepadanya dua malaikat hitam kebiru-biruan, seorang daripada keduanya dikenali dengan Malaikat Munkar dan seorang lagi dengan Malaikat Nakir. Keduanya berkata: "Apakah yang hendak engkau katakan mengenai lelaki ini (Rasulullah)?" Dia berkata: "Dia adalah hamba Allah dan utusan-Nya. Aku bersaksi bahawa tiada Tuhan yang layak disembah selain Allah, dan aku bersaksi bahawa Muhammad itu adalah hamba-Nya dan utusan-Nya." Keduanya berkata: "Sungguh, kami telah tahu bahawa engkau akan mengatakan demikian itu." Kemudian dilapangkan baginya di dalam kuburnya sepanjang 70 hasta kali 70 hasta. Kemudian diberi cahaya baginya di dalamnya.

Kemudian, dikatakan kepadanya: "Tidurlah engkau." Dia berkata: "Bolehkah aku kembali kepada keluargaku untuk memberi khabar kepada mereka?" Kedua malaikat tersebut menjawab: "Tidurlah engkau seperti tidurnya pengantin, yang tidak dapat membangunkannya kecuali orang yang paling dicintainya dari kalangan keluarganya sehingga Allah membangkitkannya daripada pembaringannya itu.

Dan sekiranya mayat tersebut adalah seorang munafik, dia berkata: "Aku mendengar orang-orang mengatakan (suatu perkataan) lalu aku pun mengatakan seperti mereka, aku tidak tahu." Kedua malaikat tersebut berkata: "Sesungguhnya kami telah mengetahui bahawa engkau akan berkata sedemikian." Lalu dikatakan kepada bumi: "Himpitlah orang munafik itu." Lalu bumi pun menghimpitnya. Maka dia terus diseksa di dalamnya sehingga Allah SWT membangkitkannya dari pembaringannya itu. [Riwayat al-Tirmidzi (1071)]

Al-Munawi dan al-Mubarakfuri berkata: "Sesungguhnya Munkar dan Nakir merupakan malaikat yang menyoal hamba-hamba apabila mereka keluar daripada dunia (sesudah mati). Sebab dinamakannya kerana dia mengingkari hamba yang ditanya kedua-duanya dalam bentuk tidak mengenalinya serta tidak melihatnya sebelum itu seperti bentuknya." (Lihat Tuhfah al-Ahwazi, 8/187; Mirqat al-Mafatih, 1/210)

Adapun sifat kedua-duanya adalah berwarna hitam, kebiru-biruan sebagaimana sabit dalam banyak hadis demikian itu. Ibn Hajar menyebut dalam Fath al-Bari satu riwayat daripada al-Tabarani dalam al-Ausat pada menyatakan sifat kedua-duanya. Katanya, mata kedua-duanya seperti cairan tembaga dan taringnya seperti duri atau tanduk lembu yang tajam, sedangkan suaranya seperti guruh. Pendapat seumpamanya oleh Abdul Razzaq daripada Mursal Amr ibn Dinar dan ditambah dengan kedua-duanya menggali dengan menggunakan taring dan memijak pada bulu kedua-duanya. (Lihat Fath al-Bari, 3/237. Lihat juga al-Mu'jam al-Ausat, 5/44)

Kami akhiri dengan berdoa kepada-Nya:

اللهم يا مُقَلِّبَ الْقُلُوبِ ثَبِّتْ قَلْبِي على دِينِكَ
"Wahai Allah Tuhan yang membolak-balikkan hati, tetapkanlah hatiku atas agama-Mu."

+ Ustaz Dr. Zulkifli Mohamad Al Bakri | Mufti Wilayah Persekutuan
+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media

Bernafas Ketika Minum

Posted: 02 Apr 2019 04:31 PM PDT


Soalan:
Apakah terdapat hadith berkaitan larangan meminum air dengan satu nafas?     

Jawapan:
Islam merupakan agama yang cukup sempurna kerana ia mengajar manusia daripada sekecil-kecil perkara sehingga kepada sebesar-besar perkara. Selain itu juga, Nabi SAW merupakan insan yang cukup istimewa kerana Baginda SAW telah mengajarkan kepada umatnya setiap yang telah diwahyukan oleh Allah kepadanya.

Berdasarkan kepada soalan di atas, di sini kami nukilkan sebuah hadith yang sahih daripada Imam Muslim yang menceritakan berkaitan di antara adab-adab ketika meminum air walaupun di sana terdapat banyak lagi hadith yang menceritakan berkaitan hal ini. Antaranya:

Daripada Anas bin Malik RA berkata:

كَانَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَتَنَفَّسُ فِي الشَّرَابِ ثَلَاثًا، وَيَقُولُ: إِنَّهُ أَرْوَى وَأَبْرَأُ وَأَمْرَأُ، قَالَ أَنَسٌ: فَأَنَا أَتَنَفَّسُ فِي الشَّرَابِ ثَلَاثًا
Adapun Rasulullah SAW bernafas sebanyak tiga kali ketika minum. Baginda SAW bersabda: "Itu lebih melegakan, bersih dan bermanfaat." Anas berkata: "Aku bernafas sebanyak tiga kali ketika minum." [Riwayat Muslim (2028)]

Imam al-Nawawi meletakkan hadith ini di dalam bab kemakruhan bernafas di dalam bekas dan sunat bernafas di luar bekas minuman sebanyak tiga kali. Hadith ini juga menunjukkan larangan bernafas di dalam bekas minuman. Tambahan pula hadith ini bermaksud dengan mengikuti cara Nabi SAW ini akan menyelamatkan kita daripada penyakit dahaga dan dikatakan juga terselamat daripada penyakit yang datang disebabkan meminum dengan satu nafas. [Lihat: al-Minhaj Syarah Sahih Muslim, 198-199/13]

Adapun hukum meminum air dengan satu nafas bukanlah satu perkara yang dilarang kerana hadith ini menceritakan kepada kita berkaitan larangan bernafas di dalam bekas minuman. Imam al-Hafiz Ibn Hajar ada menukilkan pandangan daripada Khalifah Umar bin Abdul Aziz iaitu:

إِنَّمَا نَهَى عَنِ التَّنَفُّسِ دَاخِلَ الْإِنَاءِ فَأَمَّا مَنْ لَمْ يَتَنَفَّسْ فَإِنْ شَاءَ فَلْيَشْرَبْ بِنَفَسٍ وَاحِدٍ
"Sesungguhnya larangan yang dimaksudkan adalah larangan bernafas di dalam bekas minuman. Adapun bagi orang yang tidak bernafas (di dalam bekas), dia boleh meminumnya dengan satu nafas sekiranya dia mahu." [Lihat: Fath al-Bari, 93/10]

Tambahan pula, antara hikmah larangan tersebut adalah sebagaimana yang disebut oleh Imam al-Qurthubi:

النَّهْيِ عَنِ التَّنَفُّسِ فِي الْإِنَاءِ لِئَلَّا يُتَقَذَّرَ بِهِ مِنْ بُزَاقٍ أَوْ رَائِحَةٍ كَرِيهَةٍ تَتَعَلَّقُ بِالْمَاءِ
"Larangan bernafas di dalam bekas agar bekas air atau air tersebut tidak tercemar dengan air ludah ataupun bau yang tidak sedap berkaitan dengan air." [Lihat: Fath al-Bari, 94/10]

Di samping itu juga, melihat kepada kajian para ahli Sains ada membuktikan bahawa perbuatan tersebut adalah tidak baik dan tidak sihat.

Penutup

Kesimpulannya, kita sebagai umat Islam perlulah menjaga dan mengikuti panduan yang telah diberikan oleh Rasulullah SAW kerana ia amat dituntut di dalam agama ini. Semoga Allah SWT memberi kita kekuatan dalam mengamalkan sunnah Nabi SAW serta memelihara kita daripada sifat-sifat yang dikeji oleh Allah SWT dan Rasulullah SAW. Amin.

Wallahua'lam.

+ Ustaz Dr. Zulkifli Mohamad Al Bakri | Mufti Wilayah Persekutuan
+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media