Saturday, April 6, 2019

Oh! Media

Oh! Media


Datin Seri Rosmah Kemukan Sijil Cuti Sakit Ke Mahkamah

Posted: 05 Apr 2019 05:07 AM PDT


Hari ini sepatutnya, Datin Seri Rosmah perlu hadir ke Mahkamah Tinggi bagi menghadapai pertuduhan meminta dan menerima rasuah berhubung projek tenaga solar.

Namun, isteri bekas Perdana Menteri itu tidak hadir kerana sakit dan perbicaraan terpaksa ditangguh selepas pihak pembelaan mengemukakan sijil cuti sakit dan sijil tidak sihat untuk hadir ke mahkamah.

Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Dusuki Mokhtar hadir bagi mewakili pendakwaan, manakala Rosmah diwakili peguam Datuk Akberdin Abdul Kader bersama Datuk Jagjit Singh.

Mahkamah menetapkan 23 April untuk mendengar permohonan berkenaan.

Rosmah didakwa mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta sama yang sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media.

Hibah Tabung Haji 2018 Pada Kadar 1.25 Peratus

Posted: 05 Apr 2019 03:32 AM PDT


Lembaga Tabung Haji hari ini telah mengumumkan hibah sebanyak 1.25 peratus yang memperuntukkan sebanyak RM913 juta kepada semua pendeposit bagi tahun 2018.

Hibahan ini diumumkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof dan ia melibatkan seramai 9.3 juta pendeposit.

"Dalam menzahirkan komitmen ini, kerajaan akan menyediakan peruntukan RM500 juta pada 2020 dan seterusnya sebanyak RM1.73 bilion setahun sehingga semua sukuk ditebus semula.


"Jumlah keseluruhan peruntukan kerajaan selama 10 tahun dianggarkan sebanyak RM17.8 bilion. Ini adalah kesan daripada kelemahan dan salah guna kuasa pentadbiran yang lalu.

"Manipulasi akaun membolehkan hibah diisytihar pada kadar yang tinggi walaupun jurang defisit terus meningkat. Kerajaan terus komited dalam memastikan ketelusan dalam operasi dan kedudukan kewangan TH pada masa depan," katanya ketika Pengumuman Hibah bagi Tahun 2018 di sini, hari ini.

Sumber: Berita Harian

+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media.

Dato Boy Iman Dipersoal Sambung Master Sedangkan Telah Miliki PhD

Posted: 05 Apr 2019 02:19 AM PDT


Nama Boy Iman atau Dato Noruliman Bin A.Rahman kembali menjadi panas apabila dia kembali memuat naik satu gambar di Instagram miliknya yang menunjukkan kad pelajar.

Status berkenaan telah menarik perhatian netizen yang menganggap ia sebagai satu lagi muslihat dan timbul keraguan apabila timbul persoalan mengapa dia perlu mengambil Master sedangkan sebelum ini dia katakan telahpun memiliki PhD.

Dalam gambar berkenaan dapat dilihat sebuah kad pelajar yang ada menunjukkan gambar Boy Iman dan nama penuhnya beserta no pelajar EX1902053 yang turut mengatakan akan menyambung pengajian di peringkat Master dalam jurusan Pentadbiran Perniagaan.

"Dapat kad pelajar membuatkan saya rasa macam satu 'semangat' yang luar biasa pada diri saya.

"Ini juga adalah salah satu azam tahun 2019. Doakan saya habis belajar ya walaupun agak sibuk dengan komitmen yang sedia ada", katanya.


Walaubagaimanapun, tempat atau universiti mana yang dia masuki tidak didedahkan.

Tulisan Dato yang ada pada nama kad pelajar Boy Iman turut dipersoal kerana kebiasaannya kad pelajar hanya menggunakan nama penuh seperti dalam kad pengenalan.

+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media.

Pengganas Kulit Putih Akan Jalani Pemeriksaan Mental

Posted: 05 Apr 2019 12:25 AM PDT


Pengganas kulit putih yang telah menyerang dua buah masjid di Christchurch kini akan menjalani pemeriksaan mental bagi menentukan dia layak atau tidak untuk dibicarakan atas tuduhan membunuh 50 jemaah kata hakim Mahkamah Tinggi, Cameron Mander.

Pengganas terbabit yang akan berdepan dengan 50 pendakwaan bunuh dan 39 cubaan membunuh akibat serangan 15 Mac lalu dan kini dipantau oleh dua pegawai kesihatan untuk dipantau.

Sepanjang prosiding, suspek yang mengakui dirinya adalah pelampau ketuanan kulit putih hanya mendengar dan berdiam diri.

Beberapa waris mangsa turut berada di mahkamah untuk melihat sendiri buat kali pertama lelaki yang didakwa melakukan pembunuhan beramai-ramai itu.

+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media.



EU Hadapi Kesukaran Eksport Minuman Keras Ke Indonesia

Posted: 05 Apr 2019 12:25 AM PDT


Indonesia kini telah memberi tindakbalas selepas keputusan Kesatuan Eropah (EU) yang berpandangan minyak sawit tidak patut dianggap bahan bakar hijau.

Kesan dari itu, pengeluar minuman keras Eropah sedang menghadapi kesukaran untuk mengeksport minuman mereka ke Indonesia.

SpiritsEurope, yang mewakili pengeluar minuman keras utama Eropah, berkata ia difahamkan daripada ahlinya yang berniaga di Indonesia bahawa mereka mengalami kelewatan dalam mendapatkan kelulusan bagi mengimport produk EU ke negara itu.

Pengeluar minuman keras mendapati bahawa produk bukan EU, seperti tequila, mendapat kelulusan, tetapi produk asal EU tidak, kata sumber industri.

Perdana menteri, Tun Mahathir sebelum ini turut memberitahu minggu lalu bahawa EU berdepan risiko perang perdagangan berhubung minyak sawit.

+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media.

Orang Yang Dihalau Dari Kolam Kautsar Rasulullah SAW

Posted: 04 Apr 2019 04:55 PM PDT


Soalan:
Di akhirat nanti semua umat Nabi saw akan dipanggil oleh Nabi saw ke kolam kautsarnya sebelum masuk ke dalam syurga tetapi ada sebahagian umat Nabi yang dihalau tidak dibenarkan minum pada kolam tersebut. Siapakah mereka ini?

Jawapan:
Diriwayatkan daripada Sahal bin Sa'ad r.a katanya Nabi saw telah bersabda:

 إِنِّي فَرَطُكُمْ عَلَى الْحَوْضِ مَنْ مَرَّ عَلَيَّ شَرِبَ ، وَمَنْ شَرِبَ لَمْ يَظْمَأْ أَبَدًا ، لَيَرِدَنَّ عَلَيَّ أَقْوَامٌ أَعْرِفُهُمْ وَيَعْرِفُونِي ، ثُمَّ يُحَالُ بَيْنِي وَبَيْنَهُمْ ، فَأَقُولُ : إِنَّهُمْ مِنِّي ، فَيُقَالُ : إِنَّكَ لَا تَدْرِي مَا أَحْدَثُوا بَعْدَكَ ، فَأَقُولُ : سُحْقًا ، سُحْقًا ، لِمَنْ غَيَّرَ بَعْدِي
Sungguhnya aku akan menunggu kamu sekalian di kolam Kautsar. Barangsiapa yang datang padaku akan minum, dan siapa yang minum nescaya tidak akan dahaga selama-lamanya. Sungguh akan datang atasku beberapa kaum yang aku kenali mereka dan mereka mengenaliku kemudian dihalang antaraku dan antara mereka. Maka kataku: "Sungguhnya mereka itu dari umatku." Lalu dikatakan: "Sungguhnya kamu tidak tahu apa yang telah mereka perbuat kemudian dari ketiadaanmu." Lalu aku berkata: "Pergi dari sini. Pergi dari sini bagi barangsiapa yang membuat perubahan selepas ketiadaanku." (Hadith Bukhari & Muslim)

Dan pada riwayat Abu Hurairah r.a:

فَيُقَالُ : إِنَّهُمْ قَدْ بَدَّلُوا بَعْدَكَ . فَأَقُولُ : سُحْقًا سُحْقًا )
Maka dikatakan: "Sungguhnya mereka telah menggantikan syariatmu kemudian dari ketiadaanmu." Maka aku berkata: "Pergi! Pergi dari sini." (Hadith Muslim)

Jwapan siapakah orang-orang dari umat Nabi yang dihalau tidak dibenarkan minum pada kolam Kautsarnya ada tersebut pada kitab Az-Tazkirah Al-Qurtubi.

Berkata Imam Qurtubi :

قال علماؤنا رحمة الله عليهم أجمعين : فكلُّ مَن ارتد عن دين الله ، أو أحدث فيه ما لا يرضاه الله ، ولم يأذن به الله : فهو من المطرودين عن الحوض ، المبعدين عنه ، وأشدهم طرداً : مَن خالف جماعة المسلمين ، وفارق سبيلهم ، كالخوارج على اختلاف فرقها ، والروافض على تباين ضلالها ، والمعتزلة على أصناف أهوائها ، فهؤلاء كلهم مبدِّلون ، وكذلك الظلمة المسرفون في الجور ، والظلم ، وتطميس الحق ، وقتل أهله ، وإذلالهم ، والمعلنون بالكبائر ، المستخفون بالمعاصي ، وجماعة أهل الزيغ ، والأهواء ، والبدع .

ثم البعد قد يكون في حال ، ويقربون بعد المغفرة إن كان التبديل في الأعمال ، ولم يكن في العقائد ، وعلى هذا التقدير يكون نور الوضوء ، يُعرفون به ، ثم يقال لهم ( سحقاً ) ، وإن كانوا من المنافقين الذين كانوا على عهد رسول الله صلى الله عليه وسلم يُظهرون الإيمان ، ويُسرون الكفر : فيأخذهم بالظاهر ، ثم يكشف له الغطاء فيقول لهم : ( سحقاً سحقاً ) ، ولا يخلد في النار إلا كافر ، جاحد ، مبطل ، ليس في قلبه مثقال حبة من خردل من إيمان .

"التذكرة في أحوال الموتى والدار الآخرة " ( ص 352 )

Telah Berkata ulama-ulama kami rahimahumullah: "Maka setiap orang yang murtad dari agama Allah atau mengadakan pada agama hukum yang tidak diredhai olih Allah dan tidak mengizinkannya oleh Allah maka ialah segala orang yang dihalau dan dijauhkan dari kolam Kautsar.

Terlebih sangat mereka itu ialah golongan yang menentang jemaah Islam dan berpisah dari kaum muslimin seperti kaum khawarij dari pelbagai puak dan syiah rafidhi yang sesat dan muktazilah pengikut hawa nafsu maka sekelian mereka ini adalah orang yang telah membuat pengubahan.

Dan begitu juga orang yang zalim yang melampau pada kejahatan dan yang menolak kebenaran dan membunuh ahli kebenaran dan menghina mereka dan orang yang terang-terang melakukan dosa besar dan orang yang meringankan perkara maksiat dan orang-orang yang tergelincir dari agama dan ahli hawa nafsu dan ahli bidaah.

Kemudian maksud jauh dari kolam Nabi itu terkadang ialah pada satu ketika dan didekatkan kemudian dari mendapat keampunan jika adalah perubahan yang dilakukan hanya pada amalan bukan pada iktikad. Dan atas inilah takdir ada cahaya wuduk yang dikenali dengannya kemudian dikatakan: "Pergi! Pergi!"

Dan jika ada mereka itu orang munafiq yang adalah mereka itu pada zaman Nabi saw menzahirkan iman dan menyembunyikan kekafiran maka akan diambil akan mereka itu menurut apa yang zahir kemudian akan dibukakan baginya tutupan nifaq mereka itu lalu dikatakan bagi mereka: "Pergi! Pergi dari sini!"

Dan tiadalah dikekalkan di dalam neraka melainkan orang yang kafir yang ingkar yang menolak yang benar yang tiada pada hatinya seberat zarah sekalipun daripada iman."

(Kitab Tazkirah Al-Qurtubi m.s.352)

Wallahua'lam.

+ Ustaz Azhar Idrus (Original)
+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media

Aliran Sesat Jabariyyah

Posted: 04 Apr 2019 04:43 PM PDT


Soalan:
Apakah yang dimaksudkan dengan aliran Jabariyyah?

Jawapan:
Perkataan Jabariyyah berasal dari kata jabara yang bererti memaksa dan mewajibkannya melakukan sesuatu. (Lihat al-Munjid, m. 78)

Dari sudut istilah, Al-Jabr adalah penafian hakikat perbuatan kepada hamba dan menyandarkannya kepada Allah SWT. Aliran Jabariyyah mempunyai beberapa kelompok antaranya Jabariyyah Khalisah (Tulen) dan Jabariyyah Mutawassitah (Pertengahan/Sederhana).

Jabariyyah Khalisah adalah kelompok yang tidak menetapkan perbuatan bagi hamba, begitu juga kekuasaan bagi perbuatan tersebut secara hakikatnya. Jabariyyah Mutawassitah pula menetapkan kekuasaan bagi hamba namun ianya tidak memberi kesan. Mereka menamakan usaha (kasb) tersebut sebagai al-qudrah al-hadithah. (Lihat al-Milal wa al-Nihal, 1/85)

Mereka adalah golongan yang berlebih-lebihan dalam masalah takdir sehingga menganggap bahawa manusia tidak memiliki kehendak dan tidak memiliki pilihan untuk berbuat. Semua serba dipaksa oleh Allah SWT, sepertimana gerakan getar tubuh yang tidak dapat dikawal oleh pemiliknya.

Menurut Syeikh Hassan Ayyub, pemimpin bagi Jabariyyah adalah Jahm bin Safwan daripada Khurasan. Jahn adalah Muslim bukan Arab (mawali) yang lahir di Kufah. Pengikutnya dikenali dengan nama Jabariyyah, mereka yang berpegang dengan manusia itu dipaksa dalam tindakannya seperti bulu yang ditiup angin. (Lihat Tabsit al-'Aqa'id al-Islamiyyah, m. 297).

Dalil mereka adalah firman Allah SWT:

فَلَمْ تَقْتُلُوهُمْ وَلَـٰكِنَّ اللَّـهَ قَتَلَهُمْ ۚ وَمَا رَمَيْتَ إِذْ رَمَيْتَ وَلَـٰكِنَّ اللَّـهَ رَمَىٰ ۚ وَلِيُبْلِيَ الْمُؤْمِنِينَ مِنْهُ بَلَاءً حَسَنًا ۚ إِنَّ اللَّـهَ سَمِيعٌ عَلِيمٌ
"Maka bukanlah kamu yang membunuh mereka, akan tetapi Allah jualah yang menyebabkan pembunuhan mereka. Dan bukanlah engkau (wahai Muhammad) yang melempar ketika engkau melempar, akan tetapi Allah jualah yang melempar (untuk membinasakan orang-orang kafir), dan untuk mengurniakan orang-orang yang beriman dengan pengurniaan yang baik (kemenangan) daripada-Nya. Sesungguhnya Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui." (Surah al-Anfal: 17)

Dalam perbahasan falsafah, terdapat sebuah aliran yang dinamakan fatalism. Aliran fatalism dapat difahami sebagai satu falsafah yang berpegang bahawa manusia tidak berkuasa untuk melakukan apa-apa selain daripada apa yang kita biasa lakukan. Nietzche menggambarkan sikap menyerahkan sebarang urusan masa hadapan atau urusan yang tidak dapat dielakkan sebagai Turkish fatalism. Manusia dan takdir dianggap sesuatu yang berlawanan. Manusia boleh berusaha untuk "mengalahkan" takdir tetapi akhirnya takdir tetap "menang". Justeru, tindakan yang paling bijak adalah berserah sepenuhnya kepada takdir.

Fahaman Di Bawah Aliran Jabariyyah

Jahmiyyah: Mereka adalah pengikut Jahm bin Safwan daripada Jabariyyah Khalisah. Pemikirannya mula berkembang di Turmuz. Dia dibunuh oleh Salim bin Ahwaz al-Mazini pada akhir pemerintahan Bani Umayyah. Mereka berpegang bahawa manusia tidaklah mempunyai kebebasan, kehendak, kemampuan mahupun daya usaha sendiri. Di samping itu manusia juga dikatakan tidak mempunyai ikhtiar atau pilihan. Maka segala apa yang dilakukakan oleh manusia adalah dipaksa dengan tiada kemahuan dan pilihan baginya . Segala perilaku dalam sesuatu yang berlaku adalah telah ditetapkan oleh Allah SWT. Maka segala perilaku manusia itu hanyalah simbolik semata-mata atau kiasan seperti mana peredaran bumi, terbit dan terbenamnya matahari serta pasang dan surutnya air laut yang semua itu di dalam kawalan dan ketentuan Allah. Selain itu ia juga termasuk dalam melaksanakan kewajipan, menerima pahala dan dosa.

Najjariyyah: Pengasas bagi aliran ini adalah al-Husain bin Muhammad al-Najjar. Aliran ini juga dikenali sebagai al-Husainiyyah sempena nama beliau. Ia dimasukkan di bawah kelompok Jabariyyah Mutawassitah. Dalam isu perbuatan Allah (af'al Allah) dan perbuatan hamba (af'al al-'ibad), Najjariyyah menyatakan bahawa Allah berkuasa sepenuhnya mencipta setiap perbuatan manusia sama ada baik atau pun buruk iaitu sama sebagaimana pemikiran yang dibawa oleh Jahm bin Safwan. Tetapi yang membezakan di antara kedua-duanya ialah berkenaan persoalan usaha (kasb). Ini bermaksud manusia mempunyai pengaruh kepada kekuasaan baru dalam kewujudan perbuatan-perbuatan mereka. Walaubagaimanapun setiap apa yang berlaku masih lagi di atas kehendak Allah SWT.

Dirariyyah: Aliran ini dipelopori oleh Dirar bin 'Amru al-Kufi yang wujud di akhir pemerintahan Bani Umayyah. Pemikiran yang dibawa oleh Dirar ini juga dikatakan aliran yang sederhana sebagaimana aliran Najjariyyah mengenai konsep usaha (kasb). Menurut fahaman ini Tuhan dan manusia bekerjasama dalam mewujudkan perbuatan-perbuatan manusia. Manusia tidak semata-mata dipaksa melakukan perbuatan mereka. Walaubagaimanapun, pada hakikatnya setiap perbuatan manusia itu adalah diciptakan oleh Allah SWT.

Islam memberi penekanan yang serius dalam isu takdir. Salah faham dalam memahami isu Qada' dan Qadar akan membawa kepada ketergelinciran akidah.

Pegangan Jabariyyah

Para ulama' bangkit menentang mereka kerana beberapa isu. Antaranya adalah masalah keterpaksaan, kerana mereka meninggalkan perbuatan serta pra-syarat yang membawa kepada takdir kerana manusia tidak mampu berbuat apa-apa jua tiada kekuasaan baginya. (Lihat Tabsit al-'Aqa'id al-Islamiyyah, m. 298)

Semoga artikel ini dapat memberi kita pemahaman untuk mengikut aliran yang tepat dalam memahami isu takdir Allah SWT.

+ Ustaz Dr. Zulkifli Mohamad Al Bakri | Mufti Wilayah Persekutuan
+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media

Definisi Jahil Dan Pembahagiannya

Posted: 04 Apr 2019 04:30 PM PDT


Soalan:
Apakah maksud jahil basit dan jahil murakkab?

Jawapan:
Dari sudut definisi, jahil (menurut istilah ahli kalam) adalah beriktikad kepada sesuatu berbeza dengan keadaannya yang sebenar. [Rujuk Al-Mu'jam al-Wasith]

Di dalam nas-nas al-Quran dan juga hadis-hadis yang sahih, terdapat banyak celaan yang ditujukan kepada kejahilan. Antaranya adalah firman Allah S.W.T:

وَأَعْرِضْ عَنِ الْجَاهِلِينَ
"Dan berpalinglah kamu dari orang-orang yang jahil." [Surah Al-A'raaf (199)]

Imam al-Qurthubi dalam tafsiran beliau ke atas ayat ini berkata: "Pada ayat ini terdapat gesaan untuk seseorang itu mengikat dirinya dengan ilmu, berpaling dari golongan yang dalam kezaliman, mengelakkan diri dari berbantahan dengan golongan sufaha', serta menjauhkan diri dari menyamai golongan yang jahil lagi tidak cerdik." [Rujuk Al-Jami' Li Ahkam al-Quran, Al-Qurthubi (7/309)]

Namun ayat ini bukanlah bermaksud seseorang yang berilmu itu perlu menjauhi golongan yang jahil dari sudut tidak mahu mengajar ilmu dan kebenaran kepada mereka. Sebaliknya, golongan jahil dalam ayat tersebut merujuk kepada mereka yang zalim lagi melampaui batas serta menolak kebenaran yang disampaikan.

Oleh kerana itu Imam al-Thabari berkata: "Ini adalah didikan daripada Allah kepada sekalian ciptaan-Nya (untuk berpaling) dari golongan yang menzalimi dan melampaui batas kepada mereka, dan bukannya berpaling dari golongan yang tidak mengetahui apa yang wajib ke atas dirinya dari hak-hak Allah." [Rujuk Al-Jami' al-Bayan, Al-Thabari (13/327)]

Oleh kerana itu Imam Ahmad ketika menjelaskan niat sebenar yang perlu ada pada diri seseorang dalam proses menuntut ilmu beliau berkata: "Tidak ada yang setanding dengan ilmu bagi mereka yang telah betul niatnya." Lalu ditanyakan: "Bagaimanakah seseorang itu dapat membetulkan niatnya?" Kata Imam Ahmad:

يَنْـوِي أَنْ يَرْفَعَ الجَهْلَ عَنْ نَفْسِهِ وَعَن غَيرِه
"Dia berniat untuk mengangkat kejahilan ke atas dirinya dan juga ke atas selainnya."

Justeru, para ulama kebiasaannya membahagikan jahil kepada dua bahagian:

Pertama: Jahil Basit (الجَهْلُ البسيط)

Menurut para penulis kitab Al-Mu'jam Al-Wasith, jahil basit adalah suatu ibarat yang diletakkan kepada sesiapa yang kita selamat dari kejahilannya (iaitu kejahilannya tidak membawa kemudaratan kepada orang lain).

Manakala Imam Ibn al-Qayyim menyatakan bahawa maksud jahil basit ini adalah: "(Seseorang itu) tidak mempunyai makrifah (pengetahuan) namun dia tidaklah menimbulkan keraguan kepada hal sebaliknya." [Rujuk Badai' Al-Fawaid, Ibn Al-Qayyim (4/209)]

Ia bermakna, seseorang yang jahil dalam kategori ini tidak mempunyai pengetahuan sebenar terhadap sesuatu isu. Namun dalam masa yang sama dia tidak menimbulkan dakwaan bahawa dia berada di pihak yang benar dan pihak yang berlawanan dengannya itu salah. Iaitu dia tidak menimbulkan keraguan kepada orang lain dalam hal tersebut.

Kedua: Jahil Murakkab (الجَهْلُ المرَكَّب)

Definisi jahil murakkab adalah: "Suatu ibarat yang diletakkan kepada seseorang yang kita tidak selamat dari kejahilannya (iaitu kejahilannya memberi mudarat kepada orang lain)." [Rujuk Al-Mu'jam Al-Wasith]

Di sisi Ibn Al-Qayyim pula jahil murakkab pula adalah kejahilan tokoh-tokoh pegangan yang batil. [Rujuk Badai' Al-Fawaid, Ibn Al-Qayyim (4/209)]

Penutup

Sebagai kesimpulan, kami menyatakan bahawa jahil basit tidaklah dianggap sebagai suatu yang tercela selama mana seseorang itu tidak menyebabkan kemudaratan terhadap orang lain dari kejahilannya itu.

Manakala jahil murakkab adalah suatu sifat yang tercela. Ini kerana, bukan sekadar dirinya jahil bahkan dia mempertahankan kebatilan tersebut dengan menganggap ia sebagai suatu kebenaran. Justeru, kemudaratan darinya lebih banyak dan berganda terhadap orang lain.

Akhir kalam, kami berdoa semoga Allah S.W.T sentiasa memuliakan kita semua dengan ilmu dan menjauhkan diri kita dari bersikap sombong terhadap kebenaran. Ameen.

+ Ustaz Dr. Zulkifli Mohamad Al Bakri | Mufti Wilayah Persekutuan
+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media