Friday, November 30, 2018

Oh! Media

Oh! Media


Tidak Kisah Video Dirinya Tular - 'Deyy Challenge'

Posted: 29 Nov 2018 05:15 AM PST


Berhubung satu video yang menjadi tular sehingga mencetuskan parodi di media sosial menggunakan #Deychallenge dan #Theyychallenge, seorang ahli perniagaan, S Kanagarajah berkata 'Kalau itu menggembirakan mereka, biarkanlah,'.

Sambil menyifatkan tindakan netizen yang meniru gayanya adalah melucukan, Kanagarajah berkata, dia tidak sengaja membuat mimik muka seperti itu.

"Saya bukan sengaja, kalau awak tengok kawan awak muka kena potong keluar darah, kita tolong mereka pada masa itu," katanya.

Menurutnya, dia kecewa terhadap insiden yang berlaku.

"Saya buat begitu kerana terlalu kecewa dengan keadaan yang berlaku pada masa itu," katanya.

Menceritakan semula kejadian itu, dia berkata, sekumpulan lelaki memasuki kuil dengan membawa senjata tajam.

"Pada masa itu, kita adakan upacara sembahyang dan dalam kuil semua ada dalam 40 orang termasuk wanita dan orang tua .

"Jadi kami mahu lindungi mereka," katanya.

Kanagarajah berkata, apa yang berlaku tidak melibatkan isu perkauman.

"Saya boleh cakap ini 100 peratus bukan masalah perkauman kerana kita berkawan baik dengan semua orang," katanya.

Bagaimana pun, dia tidak menolak sekumpulan individu yang melakukan rusuhan itu diupah oleh pihak lain.

"Sudah tentu! Tiada orang melakukan perbuatan seperti itu percuma," katanya.

Tambahnya, dia tidak menerima sebarang ugutan dan ancaman daripada mana- mana pihak selepas video itu tular.

Sumber: Sinar Harian

 + Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media.

Peguam Nafi Terlibat Dan Upah RM150,000 Kepada Samseng

Posted: 29 Nov 2018 05:16 AM PST


Lagi penafian berkenaan kejadian rusuhan di Kuil Sri Maha Marimman dan kini datangnya dari peguam bela, Mohamed Hanif Khatri Abdulla dan Muhammad Rafique Rashid Ali yang mewakili kakitangan syarikat pemaju, One City Development Sdn Bhd menafikan bahawa mereka terlibat mengupah samseng hingga mencetuskan insiden kekecohan.

Mohamed Haniff berkata, beliau dan Muhammad Rafique dilantik oleh pihak syarikat selepas berlakunya insiden rusuhan tersebut.

Menurutnya, selain mewakili tiga kakitangan syarikat yang ditahan, pelantikan itu dibuat bagi membolehkan syarikat membantu siasatan pihak polis.

"Kami tidak mewakili mana-mana perusuh.

"Malah, berhubung dengan penularan mesej di media sosial Facebook dan aplikasi WhatsApp mengenai pembabitannya dan Muhammad Rafique dalam memberikan upah kepada samseng dalam rusuhan itu adalah satu tuduhan melulu dan tidak benar," katanya dalam sidang media di pejabat syarikat guamannya, di sini, hari ini.

Katanya, ini tidak benar dan kami berdua juga tidak pernah memberikan wang berjumlah RM150,000 kepada samseng untuk membuat kecoh di kuil.

Selain itu, Mohamed Haniff turut menyatakan bahawa ada kenyataan Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin semasa sidang akhbar adalah kurang tepat kerana siasatan masih belum selesai.

"Saya berharap agar kenyataan yang akan dikeluarkan selepas ini tidak mendedahkan butiran siasatan yang boleh menganggu keselamatan awam," katanya.



Wanita Hamil Meninggal Dunia Apabila Dibedah Doktor Mabuk

Posted: 29 Nov 2018 02:48 AM PST


Dunia, pihak polis India menahan seorang doktor apabila didapati melakukan pembedahan Caesarean ke atas seorang wanita hamil ketika sedang dalam keadaan mabuk.

Kamini Chachi yang sakit hendak bersalin dikejarkan ke sebuah hospital kerajaan pada Isnin lalu, namun selepas beberapa jam, keluarga mangsa diberitahu bahawa bayi Kamini telah meninggal dunia, manakala wanita itu mengalami pendarahan teruk.

Ahli keluarga Kamini kemudian mengambil keputusan untuk memindahkannya ke sebuah hospital swasta, namun mangsa meninggal dunia ketika dalam perjalanan.

Dr Lakhani menghubungi pihaknya kerana bimbang diserang keluarga mangsa setelah mengetahui tentang kematian itu.

"Ketika tiba di hospital, kami mendapati suspek berada dalam keadaan mabuk, dan kami menahannya," kata seorang anggota polis.

Ujian 'breathalyser' terhadap doktor senior berkenaan mengesahkan beliau mabuk.

 + Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media.


Paskal The Movie Sumbang RM100,000 Kepada TLDM

Posted: 29 Nov 2018 02:20 AM PST


Filem PASKAL The Movie yang telah berjaya mencipta sejarah tersendiri kini menyumbangkan wang tunai sebanyak RM100,000 kepada Tabung Kebajikan TLDM bagi menghargai Tentera Laut Diraja Malaysia.

Sumbangan itu diserahkan bersempena Malam Penghargaan Paskal yang diadakan di Hotel Majestic, Kuala Lumpur malam tadi.

Sumbangan itu disampaikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Golden Screen Cinemas, Koh Mei Lee kepada Panglima TLDM, Laksamana Tan Sri Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin.

Adrian Teh berkata, "Sumbangan ini disalurkan sebagai tanda terima kasih Paskal The Movie kepada TLDM yang memberikan sokongan penuh sepanjang penggambaran filem ini dijalankan.

"Ia juga sebagai satu tanda penghargaan kerana memberikan kepercayaan kepada kami menghasilkan filem penuh aksi ini.

"Diharapkan sumbangan ini dapat meringankan beban dan kebajikan anggota TLDM serta keluarga mereka yang memerlukan," katanya.

 + Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media.

Muhammad Adib Sudah Mula Beri Tindak Balas

Posted: 29 Nov 2018 12:38 AM PST


Muhammad Adib yang merupakan seorang anggota bomba yang dipukul semasa rusuhan tempoh hari dilaporkan sudah mula berikan respon dan sedarkan diri.

Adib yang dipindahkan ke IJN kini menunjukkan tindak balas terhadap suara, namun masih berada dalam keadaan kritikal.

"Beliau sudah kurang bergantung kepada ubat-ubatan untuk hatinya dan kebergantungan kepada mesin Extracorporeal Membrane Oxygenation (ECMO) juga dikurangkan.

"Bagaimanapun, masih memerlukan rawatan penuh untuk buah pinggangya dan masih diletakkan dalam keadaan koma," katanya.

Menurutnya, IJN juga sudah memulakan sokongan fisioterapi pasif sebagai sebahagian daripada pemulihan 'cardiopulmonary' Muhammad Adib.

Tun Dr Mahathir melawat anggota Bomba dan Penyelamat Malaysia (JPBM) dari Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya Muhammad Adib di Institut Jantung Negara semalam.

 + Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media.

Apple Akan Menjual Semula iPhone X Setelah Model XS Kurang Mendapat Sambutan

Posted: 28 Nov 2018 11:33 PM PST


Sebelum ini, Apple mengumumkan bakal menamatkan penjualan iPhone  X kerana akan melancarkan Apple iPhone XS. Tetapi lain pula ceritanya sekarang, apabila memilih untuk menawarkan semua model iPhone X buat para pengguna.

Penjualan semula Apple iPhone X dibuat bagi menampung semula penjualan iPhone XS dan XS Max yang rendah. Selain itu, memandangkan Apple masih lagi mempunyai kerjasama bersama pencabar terdekat iaitu Samsung maka pengeluaran paparan OLED bakal diteruskan.


Untuk model iPhone XR pula, ia mula diperkenalkan sebagai iPhone 'mampu milik'. Sejak model ini dijual, para pengguna nampaknya lebih tertarik untuk mendapatkan iPhone 8 yang melihat kepada peningkatan jualan. Harga penjualannya yang lebih rendah serta masih mengekalkan trademark home button antara yang membuatkan para pengguna tertarik.


Oh! Media: Bagi kami, pihak Apple perlu membuat sesuatu yang berlainan sekirannya mahu terus bersaing dengan syarikat lain seperti Samsung dan mungkin sudah tiba masanya untuk Apple menurunkan harga produknya kerana pengguna sudah semakin bijak untuk memilih peranti yang murah dan berguna untuk kerja-kerja seharian.

Pembinaan Rumah Ibadat Baharu Perlu Ada Kebenaran PBT

Posted: 28 Nov 2018 10:55 PM PST


Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dalam satu sidang media berkata, kerajaan telah memutuskan agar pembinaan rumah ibadat baharu perlu mendapat kebenaran pihak berkuasa tempatan, PBT.

Perkara itu dilihat penting bagi mengelak sebarang masalah yang timbul pada masa hadapan, terutama apabila pemilik tanah menuntut semula hak mereka.

"Masalah yang timbul ketika ini ialah banyak kuil dibina di atas tanah milik pihak lain. Itu masalah yang sering kita hadapi sekarang.

"Jadi kerajaan meluluskan resolusi dan menetapkan syarat bahawa mana-mana rumah ibadat baharu yang akan dibina selepas ini, perlu mendapatkan kebenaran PBT," katanya.

Mengulas lanjut, Dr Mahathir berkata, dengan penetapan resolusi itu, mana-mana rumah ibadat tidak lagi boleh dibina di atas tanah yang bukan milik mereka.

"Masalah sekarang ialah kuil dibina tanpa mengambil kira siapa pemilik tanah dan apabila pemilik ingin mengambil semula tanah mereka, masalah mula timbul," katanya.

 + Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media.

Durian Terpilih Sebagai Makanan Paling Menjijikkan Dari Seluruh Dunia

Posted: 28 Nov 2018 10:46 PM PST


Raja segala buah-buahan di Asia iaitu Durian telah terpilih untuk dipamerkan di sebuah Muzium Makanan Menjijikkan di Sweden.

Buah Durian terpilih dan termasuk dalam 80 makanan menjijikkan dari seluruh dunia seperti kepala arnab pedas, keju Su Callu Sardu dan sebagainya. Menurut pegawai kajian muzium, faktor pemilihan makanan atau minuman tersebut dipilih dari segi rupa bentuk, bau dan rasa.


Untuk pengetahuan anda, kita boleh mencuba sendiri 3 hidangan 'jijik' iaitu Surströmming (ikan yang diperam selama 6 bulan dalam tin), icelandic shark dan durian sekiranya anda melawat muzium ini.

Perkara ini pastinya sesuatu yang tidak akan boleh diterima bagi penggemar durian kerana nikmat memakan buah durian adalah satu nikmat yang tidak akan dapat pada buah lain. Bagaimanapun, buah durian tetap pilihan orang-orang asia dan akan tetap menjadi raja segala buah.



 + Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media.

Penetapan Pakaian Patuh Syariah Bagi Bidang Sukan Diterima Baik Atlet

Posted: 28 Nov 2018 09:58 PM PST


Penetapan syarat pakaian patuh syariah dalam bidang sukan di Kelantan dilihat mudah diterima oleh atlet mahupun penduduk Kelantan sendiri.

Wan Roslan Wan Hamat yang merupakan Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan NGO berkata, menerusi Enakmen Kawalan Hiburan dan Tempat-tempat Hiburan 1998, penduduk menyambut baik syarat yang diperkenalkan.

Walaupun syarat pakaian menutup aurat dikenakan sejak sekian lama, namun beliau berkata, pihaknya tidak menerima sebarang bantahan berhubung isu tersebut.


"Ia tidak hanya terhad kepada aktiviti hiburan seperti dikir barat sebaliknya diperluaskan kepada sukan Awang Selamat (bina badan), muay thai, boxing, sukan p dan bola sepak Liga Dun.

"Walaupun susah untuk dilaksanakan, tapi menutup aurat wajib dipatuhi walau apa jua bidang kita," katanya.

Selain Kelantan, kerajaan Negeri Terengganu turut memutuskan untuk melaksanakan konsep pemakaian patuh syariah kepada atlet sukan yang akan bermula tahun hadapan dan akan dilakukan secara berperingkat.


 + Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media.

Drogba Teruja Untuk Melawat Selangor

Posted: 28 Nov 2018 09:13 PM PST


Setelah pengumuman persaraan bintang popular pasukan Chelsea iaitu, Didier Drogba, kini penyokong kelab Liga Perdana Inggeris, Chelsea berpeluang bertemu dengan pemain legenda The Blues apabila bekas penyerang itu dijadualkan menghadiri sesi bertemu peminat di sebuah pusat membeli-belah ternama di Petaling Jaya pada 8 Disember ini.

Peminat berpeluang menyertai sesi soal-jawab eksklusif bersama Drogba yang dihoskan penyampai Astro SuperSport, Amanda Chaang serta disajikan dengan persembahan freestyle bola sepak, peluang bergambar dan berkongsi pengalaman mereka di media sosial.

"Saya sangat teruja untuk melawat Selangor bersama Chelsea dan rakan mereka, Yokohama. Saya benar-benar berharap dapat berjumpa ramai peminat Chelsea di Selangor," kata Drogba, dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Yokohama Malaysia (Yokohama).

Yokohama Rubber Co. adalah Rakan Rasmi kepada Chelsea, juara lima kali Liga Perdana Inggeris dan juara semasa Piala FA.

 + Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media.

Perkara Yang Boleh Dilakukan Selepas Tawaf Wada’

Posted: 28 Nov 2018 04:49 PM PST


Soalan:
Adakah Tawaf Wada' wajib dan apakah perkara yang boleh dilakukan selepas Tawaf Wada'?

Jawapan:
Kami mulakan hal ini dengan nas daripada Ibn 'Abbas R.Anhuma, beliau berkata:

أُمِرَ النَّاسُ أَنْ يَكُونَ آخِرُ عَهْدِهِمْ بِالْبَيْتِ إِلَّا أَنَّهُ خُفِّفَ عَنْ الْحَائِضِ
"Orang ramai diperintahkan menjadikan perkara terakhir mereka (ketika melakukan haji dan umrah) adalah dengan tawaf di Kaabah, melainkan diberi keringanan kepada wanita berhaid." [Riwayat al-Bukhari (1755) dan Muslim (3284)]

Al-Hafiz Ibnu Hajar al-Asqalani berkata: Hadis ini mengandungi dalil tentang kewajipan Tawaf Wada' kerana ada perintah yang dikuatkan dan kerana ungkapan adanya keringanan bagi wanita haid.
[Lihat Fath al-Bari, 3/747]

Hadis di atas menunjukkan Tawaf Wada' hukumnya wajib dan ia dikecualikan bagi wanita yang sedang mengalami haid. Perintah wajib ini disebabkan 'arahan perintah' (فعل الأمر) dalam hadis ini bersifat 'mutlak', tiada qarinah menunjukkkan ia hanya menunjukkan sunat atau harus. Kaedah menjelaskan "الأمر المطلق" menunjukkan wajib (الأمر المطلق يفيد الوجوب).
[Lihat Syarh al-Kaukab al-Munir, 3/3 dan Syarh Zad al-Mustaqni' oleh Muhammad al-Mukhtar al-Syanqithi, 13/127]

Dalam hadis yang lain, daripada Ibn Abbas R.Anhuma, beliau berkata:

كَانَ النَّاسُ يَنْصَرِفُونَ فِى كُلِّ وَجْهٍ فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ -صلى الله عليه وسلم- « لاَ يَنْفِرَنَّ أَحَدٌ حَتَّى يَكُونَ آخِرُ عَهْدِهِ بِالْبَيْتِ
"Dahulunya orang ramai beredar mengikut haluan masing-masing (untuk meninggalkan Mekah). Lalu Rasulullah SAW bersabda: Jangan sekali-kali seseorang daripada kamu meninggalkan Mekah sehinggalah akhir keberadaannya (di Mekah) al-Bait (Tawaf al-Wada')." [Riwayat Muslim (3283), Ibn Majah (3070)]

Imam al-Nawawi berkata: "Hadis ini mengandungi dalil bagi pendapat yang mewajibkan Tawaf Wada' dan apabila ditinggalkan maka harus membayar Dam. Inilah pendapat yang sahih menurut mazhab kami dan inilah pendapat majoriti Ulama."
[Lihat Syarh Sahih Muslim, 9/79]

Imam al-Nawawi juga berkata: "Ashab kami mengatakan, "Sesiapa yang telah selesai dari manasiknya dan dia ingin bermukim di Mekah, maka tidak ada ke atasnya Tawaf al-Wada'. Perkara ini tidak ada khilaf padanya. Sama ada dia termasuk penduduknya atau bukan. Sekiranya dia ingin keluar dari Mekah menuju ke negaranya atau ke lainnya, maka dia mesti melakukan Tawaf al-Wada'."
[Lihat al-Majmu', 8/254]

Imam al-Zarkasyi berkata: Larangan ke atas sesuatu perkara menunjukkan perintah melakukan lawannya (ضده). Berdasarkan kaedah ini lawan kepada larangan meninggalkan Mekah sebelum Tawaf Wada' ialah melakukan Tawaf Wada' sebelum meninggalkan Makkah. Oleh itu melakukan Tawaf Wada' sebelum meninggalkan Makkah adalah wajib.
[Lihat al-Bahr al-Muhit, 2/421]

Imam al-Syaukani ketika menerangkan maksud hadis di atas berkata: "Perkataan Baginda: "Jangan seseorang daripada kamu terus bergerak pulang.." sehingga ke akhirnya, ia merupakan bukti wajibnya Tawaf al-Wada'.
[Lihat Nail al-Autar, 5/106]

Berkenaan perkara-perkara yang boleh dilakukan selepas Tawaf Wada', Muzakarah Haji Peringkat Kebangsaan ke-35 Musim Haji 1440H yang bersidang pada 9-11 November 2018 bersamaan 1-3 Rabi'ul Awwal 1440 Hijrah telah memutuskan berkenaan dengan Perkara-perkara Yang Diharuskan Selepas Tawaf Wada', iaitu:

Pertama: Sejurus Selepas Tawaf Wada'

  • Menunaikan solat sunat tawaf dan berdoa selepasnya di Masjidil Haram.
  • Berdoa di Multazam.
  • Mengucup Al-Hajar al-Aswad.
  • Menunaikan solat sunat safar.
  • Menunaikan solat fardhu sekiranya bilal telah melaungkan azan atau bilal sedang melaungkan azan.
  • Begitu juga apabila sudah sampai di hotel yang berhampiran dengan Masjidil Haram untuk beliau solat fardhu bersama imam di Masjidil Haram.
  • Bergambar atau mengambil gambar dalam kadar yang cepat. Walaupun begitu, tidak digalakkan.

Kedua: Selepas Tawaf (di Penginapan atau Hotel)

  • Makan dan minum di hotel.
  • Qadha hajat.
  • Menyalin dan menukar pakaian.
  • Zikir dan membaca al-Quran sementara menunggu.
  • Mengambil beg atau barang yang diletakkan / ditinggalkan di bilik penginapan.
  • Mencari isteri, saudara, waris dan rakan yang hilang.
  • Mengangkat barang-barang yang hendak dibawa bersama.
  • Tidur dalam bilik hotel sementara menunggu bas atau kenderaan datang.
  • Melawat isteri, saudara, waris, rakan yang sakit di hospital/klinik (bagi kes kecemasan dan hajat).
  • Sebarang urusan yang berkaitan dengan perjalanan sama ada ke Jeddah atau Madinah seperti membeli makanan dan minuman untuk kegunaan dalam perjalanan dan sebagainya.
  • Menunggu kenderaan (lewat tiba kerana kesesakan dan sebagainya).
  • Bersedekah ketika menunggu kedatangan kenderaan di penginapan.
  • Membayar dam. Walaupun begitu, digalakkan untuk membayar sebelum Tawaf Wada'.

Semoga pencerahan ini dapat merungkai pelbagai isu berkaitan Tawaf Wada', apa yang boleh dan apa yang tidak dibolehkan.

+ Mufti Wilayah Persekutuan

Isteri Menolak Ajakan Suami

Posted: 28 Nov 2018 04:33 PM PST


Soalan:
Apakah terdapat hadith berkaitan hukuman bagi isteri yang menolak ajakan suami untuk bersama?

Jawapan:
Di dalam hidup berumah tangga, seorang isteri itu wajib untuk mentaati suaminya pada perkara yang ma'ruf (baik). Ini kerana, dengan ketaatan tersebut akan memudahkannya jalan untuk ke syurga berdasarkan sebuah hadith yang disahihkan oleh Imam Ibn Hibban:

Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

إِذَا صَلَّتِ الْمَرْأَةُ خُمُسَهَا، وَصَامَتْ شَهْرَهَا، وَحَصَّنَتْ فَرْجَهَا، وَأَطَاعَتْ بَعْلَهَا دَخَلَتْ مِنْ أَيِّ أَبْوَابِ الْجَنَّةِ شَاءَتْ
"Jika seorang wanita menunaikan solat lima waktu, berpuasa pada bulannya (Ramadhan), mengawal kemaluannya (maruahnya) dan taat kepada suaminya. Masuklah dia ke dalam Syurga dari mana-mana pintu yang dia kehendaki." [Riwayat Ibn Hibban (4163)]

Berdasarkan soalan di atas, terdapat beberapa buah hadith yang menceritakan akibat atau hukuman yang akan diterima oleh isteri apabila menolak ajakan suaminya untuk bersama. Antaranya adalah:

Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

إِذَا دَعَا الرَّجُلُ امْرَأَتَهُ إِلَى فِرَاشِهِ فَأَبَتْ فَبَاتَ غَضْبَانَ عَلَيْهَا لَعَنَتْهَا المَلاَئِكَةُ حَتَّى تُصْبِحَ
"Apabila seorang suami mengajak isterinya ke katil (dengan tujuan untuk bersama), lalu isteri itu menolaknya. Maka suami tersebut tidur dalam keadaan marah dengan isterinya. Dengan itu, para malaikat akan melaknatnya (isteri) sehinggalah dia bangun (daripada tidurnya) pada waktu pagi." [Riwayat al-Bukhari (3237), (5193)]

Imam al-Nawawi menyatakan bahawa hadith ini menjadi dalil bahawa haramnya seorang isteri itu menolak ajakan suaminya tanpa keuzuran yang syarak dan haid juga bukanlah satu keuzuran yang boleh menghalang ajakan suami kerana suami mempunyai hak untuk istimta' (berseronok) dengan apa yang terdapat di atas kain (selain daripada faraj). Hadith ini juga bermaksud laknat daripada malaikat akan berterusan sehingga hilangnya maksiat dengan terbitnya fajar dan dengan suami itu merasa memadai atau dengan taubat si isteri apabila menerima ajakan suami tersebut untuk bersama. [Lihat: al-Minhaj, 7-8/10]

Justeru itu, kami katakan bahawa seorang isteri wajib mentaati suaminya pada perkara yang ma'ruf. Tambahan pula, bersetubuh merupakan hak bersama di antara isteri dan suami dan ia perlu dibincang dan disepakati secara bersama dengan baik. Antara perkara yang penting dalam bersetubuh ini perlu dilihat adalah adab-adab dan hukum-hakam yang perlu diraikan supaya tidak berlaku sebarang kezaliman.

Penutup

Kesimpulannya, dalam berdepan dengan isu ini ia perlulah terdapat kesefahaman yang baik di antara suami dan isteri supaya tidak timbul isu seperti ini. Akhirnya, semoga Allah SWT mengurniakan kita suami yang soleh dan isteri yang solehah agar rumahtangga yang dibina itu mendapat keberkatan dan keredhaan daripada Allah SWT. Amin.

Wallahua'lam.

+ Mufti Wilayah Persekutuan

Hukum Makan & Minum Sambil Berdiri

Posted: 28 Nov 2018 04:25 PM PST


Soalan:
Apakah hukum makan dan minum sambil berdiri?

Jawapan:
Terdapat banyak hadith yang secara zahirnya melarang daripada makan dan minum sambil berdiri. Contohnya hadith Nabi SAW:

لا يَشْرَبَنَّ أَحَدٌ مِنْكُمْ قَائِمًا فَمَنْ نَسِيَ فَلْيَسْتَقِئْ
Jangan sekali-kali kalian minum sambil berdiri; siapa yang terminum sambil berdiri dalam keadaan terlupa hendaklah dia memuntahkannya kembali. [Sahih Muslim (2026)]

Diriwayatkan bahawa Anas bin Malik R.A menyatakan:

عَنِ النَّبِيِّ صلى الله عليه وسلم أَنَّهُ نَهَى أَنْ يَشْرَبَ الرَّجُلُ قَائِمًا ‏.‏ قَالَ قَتَادَةُ فَقُلْنَا فَالأَكْلُ فَقَالَ ذَاكَ أَشَرُّ أَوْ أَخْبَثُ
Sesungguhnya Nabi SAW melarang daripada meminum sambil berdiri. Qatadah bertanya bagaimana pula dengan makan (sambil berdiri)? Anas menjawab: Yang demikian itu adalah lebih buruk dan tercela. [Sahih Muslim (2024)]

Namun demikian, terdapat juga beberapa riwayat yang menunjukkan bahawa Nabi SAW sendiri pernah minum sambil berdiri, dan sahabat sendiri pernah makan dan minum sambil berdiri atau berjalan.

Diriwayatkan daripada Ibn Abbas R.Anhuma, katanya:

سَقَيْتُ رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم مِنْ زَمْزَمَ فَشَرِبَ وَهُوَ قَائِمٌ
Aku pernah menghidangkan air zam-zam kepada Rasulullah SAW dan Baginda SAW minum dalam keadaan berdiri. [Sahih Muslim (2027)]

Diriwayatkan bahawa Ibn Umar R.Anhuma:

كُنَّا نَأْكُلُ عَلَى عَهْدِ رَسُولِ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم وَنَحْنُ نَمْشِي وَنَشْرَبُ وَنَحْنُ قِيَامٌ
Pada zaman Nabi SAW, kami biasa makan sambil berjalan dan minum sambil berdiri. [Sunan Tirmidzi (1880)]

Imam Al-Mubarakfuri telah meletakkan hadith ini di bawah bab 'Rukhsah dalam Minum sambil Berdiri'. Menurut beliau, hadith ini menjadi dalil akan keharusan makan sambil berjalan. Adapun hadith riwayat Anas bin Malik di atas yang menunjukkan larangan, ditakwil sebagai makruh tanzih dan bukannya haram. [Rujuk Tuhfah al-Ahwazi bi Syarh Jami' al-Tirmizi, 6/3]

Dalam satu hadith yang lain, diriwayatkan bahawa:

أَتَى عَلِيٌّ ـ رضى الله عنه ـ عَلَى باب الرَّحَبَةِ، فَشَرِبَ قَائِمًا فَقَالَ إِنَّ نَاسًا يَكْرَهُ أَحَدُهُمْ أَنْ يَشْرَبَ وَهْوَ قَائِمٌ، وَإِنِّي رَأَيْتُ النَّبِيَّ صلى الله عليه وسلم فَعَلَ كَمَا رَأَيْتُمُونِي فَعَلْتُ
Ali R.A tiba di pagar perkarangan masjid, dan minum sambil berdiri lalu berkata: "Ramai orang yang benci apabila ada dalam kalangan mereka yang minum sambil berdiri, sedangkan aku melihat Nabi SAW melakukan apa yang kami lihat aku lakukan." [Sahih Bukhari (5615)]

Perbahasan Ulama

Para ulama sebenarnya berbeza pandangan dalam isu ini:

  • Haram: Ibn Hazm dan para ulama mazhab Zahiri yang lain berpandangan makan dan minum sambil berdiri adalah haram, dan hadith-hadith yang mengharuskan telah dimansukhkan oleh hadith-hadith yang melarangBegitu juga Ibn Taimiyyah yang mengharamkannya kecuali dalam keadaan-keadaan darurat yang memerlukan. [Rujuk Al-Muhalla 7/519-520 dan Majmu' al-Fatawa 32/209]
  • Makruh Tanzihi: Jumhur ulama pula berpandangan hukumnya makruh tanzihi yang tidak sampai ke tahap haram. Hal ini berdasarkan penjelasan oleh para ulama muhaqqiqun yang menjelaskan maksud hadith-hadith yang dinyatakan di atas.

Menurut Imam al-Nawawi, larangan daripada makan dan minum sambil berdiri ini menunjukkan kepada makruh tanzih, dan Rasulullah SAW melakukan hal tersebut semata-mata untuk menunjukkan keharusannya ketika ada keperluan. [Rujuk Syarh Sahih Muslim 13/195 dan Zad al-Ma'ad 2/257]

Ini juga dipersetujui oleh Ibnu Hajar Al-'Asqalani yang turut berkata larangan minum berdiri adalah berbentuk makruh tanzihi, dan perbuatan Nabi SAW sendiri yang minum sambil berdiri menunjukkan bahawa ia tidak haram. Beliau juga menyebut hadith yang memerintahkan supaya memuntahkan kembali air yang diminum sambil berdiri perlu difahami sebagai arahan berbentuk sunat dan bukannya wajib. [Rujuk Fath al-Bari 10/82]

  • Harus dan tidak makruh: Ini merupakan pandangan pendapat jumhur tabi'in seperti Sa'id bin Jubair, Thaawus, Zaadzaan Abu 'Umar Al-Kindi, dan Ibrahim bin Yaziid An-Nakha'iy, salah satu pendapat masyhur Imam Ahmad bin Hanbal dan jumhur Malikiyyah. [Rujuk Al-Muntaqa Syarh Al-Muwaththa' 7/237, 'Aaridhatul Ahwadziy 8/72-73, Syarh Al-Bukhari oleh Ibnu Baththaal 6/72, Al-Mufhim 5/285-286, Hasyiyyah Al-'Adawiy 2/609, Fawaakih al-Dawaani 2/319]

Begitu juga Syeikh Zakariyya al-Ansari menegaskan bahawa makan dan minum sambil berdiri tanpa sebarang keperluan tidaklah makruh, cuma ia menyanggahi adab yang lebih utama iaitu duduk (khilaf al-aula). [Rujuk Al-Ghurar al-Bahiyyah 4/214]

Kesimpulan

Kesimpulannya, kami berpandangan hukum makan dan minum sambil berdiri hukumnya adalah makruh tanzihi, yang tidak sampai ke tahap haram. Ini berdasarkan kepada tarjih Imam al-Nawawi yang menganggapnya sebagai makruh tanzihi.

Namun begitu, mengambil kira banyaknya hadith yang melarang, dan sebahagian ulama yang mengharamkannya, maka kami menasihati agar menjauhi amalan makan dan minum sambil berdiri ini semampu yang mungkin. Makan dan minum dalam keadaan duduk secara tertib juga merupakan satu adab Islami yang perlu dipelihara.

Wallahu a'lam.

+ Mufti Wilayah Persekutuan