Tuesday, January 1, 2019

Oh! Media

Oh! Media


Rosyam Cadang Buka 3 Lagi Cawangan Rosyam Mart

Posted: 31 Dec 2018 03:59 AM PST


Pengalaman bekerja selama lima tahun di kedai runcit, membuka mata penerbit dan pelakon Datuk Rosyam Nor, 51, mengenai potensi perniagaan ini.

Berkongsi suka duka sebelum mampu membuka pasar raya ST Rosyam Mart, Rosyam memberitahu, antara cabaran utama yang dihadapinya ialah meyakinkan pihak bank untuk memberi pinjaman.

"Saya pernah bekerja sebagai pembantu kedai runcit ketika berumur 13 tahun, selama lima tahun itu banyak yang saya lihat antaranya kedai runcit merupakan keperluan masyarakat dalam mendapatkan sumber makanan.

"Antara cabaran untuk membuka ST Rosyam Mart adalah untuk mendapatkan pinjaman bank sebab perniagaan ini memerlukan modal yang besar," katanya.


Jelas Rosyam atau nama sebenarnya, Mohd Nor Shamsuddin, dia juga turut menanam impian perniagaannya itu dibantu rakyat tempatan sahaja.

Bagaimanapun, harapan itu diakuinya agak sukar.

"Selain itu harapan utama saya sewaktu membuka pasar raya ini juga adalah untuk mendapatkan 100 peratus pekerja tempatan.

"Bagaimanapun, baru saya tahu perkara itu mustahil sebab tidak mudah, memandangkan saya memerlukan 400 pekerja dalam menggerakkan pasar raya ini selama 24 jam sehari," katanya ketika ditemui pada majlis pembukaan ST Rosyam Mart di Setiawangsa tadi.

Cukup terkejut dengan sambutan yang diberikan, Rosyan tidak teragak-agak untuk memberitahu ketika ini juga dia sedang merancang membuka tiga lagi cawangan ST Rosyam Mart.

"Saya sudah menetapkan tiga lokasi lain, antaranya di Shah Alam, Bangi dan Melaka.

"Mengapa saya memilih tiga lokasi ini adalah kerana kepadatan orang Melayu di kawasan itu. Saya yakin itu adalah lokasi yang strategik untuk ST Rosyam Mart," katanya panjang lebar.

Selama 36 tahun bergelar sebagai anak seni, ternyata kejayaan dalam bidang peruncitan tidak akan menyebabkan dia lupa akan karier lakonannya.

"Saya tidak akan berhenti berlakon, sebab itu adalah permulaan untuk saya dalam mendapatkan semua ini. Cuma buat masa ini saya akan hadkan sahaja.

"Dalam masa yang saya juga sudah menyiapkan tiga filem dan sedang berbincang untuk satu lagi filem yang akan memulakan penggambaran tidak lama lagi," katanya.



Sumber: Utusan

Israel Persoal Bila Brazil Akan Pindahkan Kedutaan Ke Baitulmaqdis

Posted: 31 Dec 2018 03:42 AM PST


Hasil lawatan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu ke Brazil telah membangkitkan satu isu apabila mempersoalkan hasrat kedutaan Brazil untuk berpindah ke Baitulmaqdis.

"Ia bukan persoalan jadi atau tidak, namun persoalannya bila," kata Netanyahu kepada komuniti Yahudi di Rio de Janeiro, menuirut laman berita UOL.

Israel telah mengadakan perbincangan dengan calon presiden menang berhaluan nasionalis, Jair Bolsonaro yang dijadualkan mengangkat sumpah di Brasilia, esok, dengan Netanyahu sebagai salah seorang temu asing kehormat.

Awal November lalu, Bolsonaro berkata, beliau bercadang mengikut langkah Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump dalam memindahkan kedutaan negara itu dari Tel Aviv ke Baitulmaqdis.

Bagaimanapun, beliau kemudian mengubah pendirian untuk tidak membuat keputusan mengenai pemindahan itu lagi.

Difahamkan, pengeluar daging penting Brazil bimbang bahawa pemindahan kedutaan mungkin mengancam eksport AS$5 bilion (RM20.77 bilion) ke negara Arab.

Pemain Bolasepak Negara Tidak Setuju Laksanakan Harga Siling

Posted: 31 Dec 2018 03:28 AM PST


"Hayat pemain bola sepak tak lama, bila sudah berusia atau mengalami kecederaan tentu dah tak laku," kata kapten skuad Harimau Malaya, Zaquan Adha Abd Radzak yang tidak bersetuju sekiranya harga siling gaji pemain diperkenalkan oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Jelas penyerang kebangsaan itu, selaku pemain profesional sudah tentu setiap pemain akan mencari tawaran lumayan dan ia perkara biasa dalam dunia bola sepak.

"Main bola sepak ini ada jangka hayatnya. Ia bukan pekerjaan macam cikgu, jurutera, doktor yang akan kekal hingga pencen umur 60 tahun. Tapi bola sepak lain.

"Bila dah masuk umur 30 tahun ke atas, itu dah kira penghujung kerjaya sebagai pemain bola. Itu belum kira jika ada yang mengalami kecederaan teruk dan akhirnya terpaksa gantung but lebih awal.

"Saya tak setuju jika ia dilaksanakan (gaji siling). Lagipun pemain dibayar mengikut prestasi semasa dan jika pemain itu beraksi baik, kenapa tidak boleh menerima bayaran tinggi," katanya yang meninggalkan pasukan Kuala Lumpur dan menyertai Kedah bagi mengharungi saingan Liga Super musim depan.

Keghairahan pasukan liga tempatan menawarkan tangga gaji yang cukup tinggi tanpa ada had maksimum menyaksikan banyak pasukan gagal melunaskan gaji pemain hingga ada terpaksa menarik diri berikutan masalah kewangan teruk.

Menerusi laporan Sukan NSTP sejak kelmarin, saingan Liga Malaysia (Liga-M) antara saingan paling lumayan di rantau Asia Tenggara dengan gaji pemain bintang tempatan mampu mencecah hampir RM70,000, manakala bagi pemain muda baharu yang meningkat naik, bermula daripada RM10,000.

Pemain import pula mampu mencecah hingga AS$43,000 (RM180,000) sebulan yang disifatkan cukup tinggi jika dibandingkan dengan Liga Thailand yang lebih rendah sedangkan taraf liga mereka berada pada satu tahap lebih berkualiti dari Liga-M.

Lantas, dengan adanya pengenalan harga siling ia dijangka mampu mengatasi masalah gaji pemain serta dapat mewujudkan persaingan secara sihat tanpa adanya dominasi satu-satu pasukan.

Penyerang Johor Darul Ta'zim (JDT), Safawi Rasid berkata, biasanya pemain menerima gaji lumayan selepas ditawarkan sendiri oleh pasukan yang mahukan khidmat mereka.

"Sebagai pemain tugas kami hanya bermain bola dan berusaha mencari kemenangan buat pasukan. Hal gaji biarlah pihak pengurusan yang tentukan.

"Pada saya jika seorang pemain itu dibayar gaji yang besar dengan prestasi bagus, rasanya tak timbul masalah. Malah, gaji yang tinggi juga boleh menaikkan motivasi pemain untuk sentiasa beraksi baik dalam setiap perlawanan," kata tonggak kebangsaan itu yang membawa Harimau Malaya muncul naib juara Piala AFF selepas tewas kepada Vietnam.

Sumber penuh: Berita Harian

Cadang Stesen Minyak Beroperasi Hanya 18 Jam Bagi Mengelakkan Kerugian

Posted: 31 Dec 2018 01:43 AM PST


Dijangkan akan ada sedikit perubahan yang bakal dibuat dimana stesen minyak seluruh Malaysia bakal beroperasi 18 jam sehari berbanding 24 jam.

Cadangan ini dibuat oleh pemilik stesen minyak sebagai langkah untuk mengurangkan kerugian yang bakal diserap melalui penurunan minyak menjelang 1 Januari ini oleh pihak kerajaan.

Selain itu, cadangan ini yang diketuai oleh Datuk Khairul Annuar Abdul Aziz mengatakan pengurangan waktu beroperasi ini membolehkan mereka mengurangkan kos pembayaran gaji minima yang ditetapkan kerajaan. Tambahnya lagi, pihak pemilik stesen minyak rata-rata menolak cadangan apungan minyak secara minggu yang bakal dibuat.

Difahamkan kaedah yang dibuat ini bukan sahaja membuatkan mereka menanggung kerugian malah mereka gagal untuk mengawal penerimaan stok yang ditetapkan rangkaian stesen minyak yang ditetapkan.

Selain itu, pihak pemilik stesen turut memohon pihak kerajaan untuk meningkatkan jumlah komisen yang diterima melalui penjualan diesel dan petrol daripada RM0.12 kepada RM0.15 per litre. Berdasarkan laporan difahamkan sebanyak 50 stesen minyak telah ditutup sepanjang tahun 2017 berikutan kegagalan untuk memperoleh keuntungan berdasarkan sistem yang diimplementasi.

Setakat ini keputusan untuk mengurangkan waktu operasi ini masih belum mendapatkan kata putus. Sama-sama kita nantikan jawapan balas daripada pihak kerajaan.

Gunung Berapi Agung Kembali Meletus Setelah Sekian Lama Tenang

Posted: 31 Dec 2018 01:20 AM PST


Semalam, Indonesia dikejutkan sekali lagi dengan letusan Gunung Berapi Agung yang terletak di Bali. Gunung Berapi Agung yang tenang tanpa sebarang letusan selama ini meletus secara tiba-tiba pada jam 4.09 pagi waktu Indonesia Timur.

Berikutan dengan itu, orang ramai, penduduk sekitar gunung dan pelancong yang membuat aktiviti pendakian diminta untuk menghentikan sebarang aktiviti di linkungan radius 4 kilometer dari kawah gunung berkenaan.

Untuk pengetahuan anda, kali terakhir gunung Berapi Agung ini meletus adalah pada tahun 1963 dan telah menyebabkan lebih 1,000 orang terkorban dan beberapa kampung di cerun gunung turut musnah.

Oleh itu, bagi rakyat Malaysia yang berada di Bali, mereka diminta untuk mematuhi semua arahan yang dikeluarkan oleh pasukan keselamatan Indonesia.

CIMB Tewas Kes Mahkamah Kerana Kontrak Berat Sebelah

Posted: 31 Dec 2018 12:53 AM PST


Perjuangan dalam menegakkan hak pengguna oleh sepasang suami isteri warganegara British terhadap bank terkemuka, CIMB Bank akhirnya berpihak kepada pasangan tersebut secara rasmi minggu lepas. Kes yang telah diperjuangkan hampir 3 tahun lalu mengenai fasal pengecualian yang dikemukakan oleh pihak bank berkenaan terhadap pinjaman rumah oleh pasangan tersebut.

Dalam temubual bersama pihak Free Malaysia Today, Anthony Lawrence Bourke berkata jangan pernah takut untuk mempersoalkan kontrak yang tidak adil dan hak sebagai pengguna. Beliau kini sudah menetap di United Kingdom bersama isterinya memberitahu pengguna perlulah mendapatkan bantuan daripada pihak undang-undang dengan kadar segera untuk menyelesaikan masalah sebegini.

Keputusan kes ini telah dikendalikan oleh 3 panel hakim iaitu Datuk Seri Balia Yusof Wahi, Hakim Besar Malaya Tan Sri Zaharah Ibrahim dan Tan Sri Azahar Mohamed. Hakim Datuk Seri Balia Yusof Wahi memutuskan terdapat kepincangan antara kedua belah pihak dalam perjanjian dan telah mengambil keputusan untuk membatalkan rayuan CIMB Bank.


Pasangan tersebut mengakui sempat berasa penat dengan proses perundangan yang panjang dan rumit tetapi keputusan mahkamah rayuan sedikit sebanyak telah menaikkan semangat mereka dan bertambah yakin akan kreadibiliti badan perundangan Malaysia. Menurut peguam yang mewakili pasangan ini, Ong Yu Jian pasangan ini mula terlibat dalam kes tersebut apabila membuat keputusan untuk membeli rumah di Malaysia dibawah program "Malaysia My Second Home".

Pada tahun 2008, pinjaman sebanyak RM715,000 telah diluluskan untuk pasangan tersebut memiliki rumah yang sedang dalam proses pembinaan daripada pemaju.

Pada tahun 2014, pihak pemaju mengemukakan surat bayaran berjumlah RM25,557.12 untuk tujuan pemeriksaan tapak rumah. Akan tetapi bayaran gagal dijelaskan oleh pihak CIMB menyebabkan pihak pemaju terpaksa membatalkan perjanjian jual beli rumah pasangan tersebut setahun kemudian.

Keadaan ini memaksa Mahkamah Rayuan untuk menetapkan kerugian harus ditanggung oleh pihak bank akibat perlanggaran kontrak dan tort.

Terengganu Perkenal Hotel Pertama Patuh Syariah

Posted: 31 Dec 2018 12:43 AM PST


Kerajaan  Terengganu meneruskan dasar-dasarnya di bawah kepimpinan baharu iaitu PAS, dan kini Terengganu telah memperkenalkan hotel pertama yang berkonsepkan patuh syariah iaitu Hotel Paya Bunga yang akan memulakan operasi awal bulan depan.

Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, Menteri Besar Terengganu berkata, pengenalan hotel ini akan selari dengan keperluan syariah sama ada pemakaian kakitangan, pergaulan, penyediaan makanan mahupun layang terhadap tetamu.


Beliau juga menjelaskan bahawa pematuhan syariah ini bukan memfokuskan hanya pada penyediaan makanan sahaja kerana konsepnya lebih besar dari segi penyediaan suasana keislaman.

"Bagi sesetengah orang, ada yang anggap patuh syariah itu satu konsep negatif dan kita sebagai kerajaan bertanggungjawab memperbetulkan salah fahm itu," jelasnya.

 Hotel Paya Bunga ini juga mempunyai keunikan tersendiri di Terengganu apabila turut mempunyai kolam renang yang tertinggi di Terengganu pada aras 11 dan menawarkan pemandangan 360 darjah bandaraya Kuala Terengganu.


UMNO Perlu Lupakan Hasrat Berkuasa - Tok Mat

Posted: 31 Dec 2018 12:26 AM PST


UMNO perlu melupakan hasrat untuk berkuasa semula buat masa ini, sebaliknya memberi tumpuan membina kembali keyakinan orang Melayu terhadap parti itu, kata Timbalan Presidennya, Datuk Seri Mohamad Hasan.

Beliau yang menjalankan tugas Presiden berkata, UMNO akan lebih menumpukan usaha menjadi wadah gerakan politik, amal dan bakti untuk bangsa Melayu.

"Kita tidak akan berunding dan memeta jalan belakang untuk meraih kuasa secara terdesak atau 'hijack' keputusan Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) dengan kembali membanjiri serta menyibuk dalam pasukan kerajaan.

"Iltizam baharu UMNO ialah menyuburkan demokrasi Malaysia dengan mengukuhkan sistem dwiparti dan politik berprinsip. Rakyat Malaysia yang sudah memilih kerajaan baharu tidak akan dikhianati UMNO," katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan membentangkan lima iltizam baharu UMNO untuk tanah air yang menjadi hala tuju parti itu, di sini, hari ini.

Mohamad berkata, selain itu, pemimpin dan ahli akan membangunkan kewibawaan UMNO sebagai parti pembangkang yang dihormati serta disegani.

Beliau berkata, UMNO juga akan memerangi politik wang yang menjadi punca kejatuhan parti itu.

"Saya dan rakan akan membersihkan parti sebersih-bersihnya. Sesiapa tidak ingin bersama-sama dalam perang ini, berpindahlah ke parti seberang sana atau pihak yang boleh memberi habuan diharapkan.

"UMNO baharu hanya untuk mereka yang bersih, berjuang dan mengasihi bangsanya. Kita akan menghentikan politik wang sebelum ia menghentikan UMNO," katanya.

Beliau berkata, UMNO juga akan menjadikan idea sebagai modal politik, bermakna tumpuan diberi terhadap hujah berdasarkan data, kajian, ilmu baharu dan pendekatan moden, malah UMNO juga tidak menjadikan usia sebagai kelebihan mana-mana pemimpin.

Katanya, UMNO turut beriltizam menyemak kembali agenda Melayu untuk diberi lonjakan baharu dalam usaha memperjuangkan bangsa tanpa meminggirkan kaum lain.

Mohamad turut menekankan dua perkara penting berhubung hala tuju baharu parti, termasuk hakikat bahawa pembangunan semula UMNO akan mengambil masa, justeru semua ahli dan pemimpin diminta bersedia menghadapi perjalanan sukar bersama-sama.

"Janganlah sesekali mengharapkan kejayaan pantas. Namun, yakinlah bahawa sabar dan tabah itu jodohnya bahagia. Semoga dengan muafakat ini, tugas kita untuk memulihkan UMNO akan menjadi amal soleh dan berjaya," katanya.

Beliau berkata, UMNO juga perlu mencari kelaziman baharu yang tidak lagi menjadi retorik dan slogan kosong, serta terbuka menerima kritikan rakyat walaupun berat didengari.

Sumber: Berita Harian

Bilangan Pelajar Sekolah Terlibat Dengan Najis Dadah Membimbangkan

Posted: 30 Dec 2018 11:01 PM PST


Seramai 1,709 pelajar sekolah menengah di 178 kawasan berisiko tinggi seluruh Malaysia didapati positif dadah jenis Methamphetamin.

Ketua Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan ( AADK), Datuk Seri Zulkifli Abdullah berkata, jumlah itu diperoleh selepas pihaknya membuat ujian saringan terhadap 41,741 pelajar di kawasan berkenaan.

Rata-rata mereka yang disahkan positif dadah itu berusia lingkungan 13 hingga 17 tahun.

"Sarawak merupakan negeri paling tinggi yang merekodkan penyalahgunaan dadah dalam kalangan pelajar diikuti dengan Kedah dan Kelantan," katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Pelancaran Hotline AADK di Ibu Pejabat AADK di Jalan Maktab di sini hari ini.

Mengulas mengenai talian Hotline AADK, Zulkifli memberitahu talian berkenaan beroperasi 24 jam dan ia merupakan satu medium awal bagi orang awam melaporkan setiap isu berkaitan penyalah gunaan dadah di kawasan masing-masing.

Sumber: Kosmo

Larangan Merokok Di Restoran Terbuka Akan Bermula 12 Tengah Malam Ini

Posted: 30 Dec 2018 09:23 PM PST


Semua premis makanan diwartakan sebagai tempat larangan merokok bermula 12 tengah malam nanti, selari dengan Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (Pindaan) 2018.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata pindaan pewartaan itu dilaksanakan mengikut Peraturan 11, Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (PPKHT 2004).

"Ia bertujuan melindungi orang awam daripada terdedah kepada asap rokok.

"Premis itu membabitkan semua kaedah perniagaan tidak kira bertutup, berhawa dingin, atau berkonsep terbuka (open air).

"Pihak Kementerian Kesihatan sentiasa komited bagi memastikan orang awam terutama kanak-kanak, wanita mengandung dan orang tua sentiasa dilindungi daripada bahaya asap rokok," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sumber: Bernama

Manchester United Kembali Mengganas, Yakin Tampil Aksi Lebih Hebat - Pogba

Posted: 30 Dec 2018 07:18 PM PST


Sejak Manchester United berada di bawah kendalian Ole Gunnar Solskjaer,Man Utd telah berjaya mendapatkan 3 kemenangan berturut-turut dan 12 gol terhasil untuk penyokong Old Trafford kembali menikmati bola sepak sama seperti barisan pemainnya.

Pogba meledak dua jaringan ketika mengatasi Bournemouth 4-1 awal pagi tadi, selepas turut menyumbat dua gol menentang Huddersfield, keyakinan dan aksi positifnya sepanjang perlawanan sudah tentu amat menggembirakan selepas dia sering menjadi mangsa kritikan Mourinho.

"Kami adalah Manchester United dan kami perlu berada di persada liga, itu hanya sebahagian daripada tindak balas pemain dan kami semua menikmatinya," kata Pogba.

"Ia amat berbeza, kami juga memenangi aksi ketika di bawah bekas pengurus, tetapi dengan gaya permainan berbeza, kami lebih menyerang sekarang ini dan mencipta lebih banyak peluang," katanya.

"Kami memerlukan kemenangan dan kami bermain hebat. Kami kembali, dan perjalanan ini masih jauh untuk tamat, tetapi untuk mengakhirinya dengan cara begini adalah amat baik," kata Pogba.

Lagi Gempa Bumi Berlaku di Bengkulu Indonesia

Posted: 30 Dec 2018 06:44 PM PST


Lagi gempa bumi bermagnitud 5.7 pada Skala Richter menggegarkan provinsi Bengkulu di Pulau Sumatera hari semalam.

Menurut Badan Meteorologi, Klimatologi, dan Geofisika Indonesia (BMKG), gempa yang berlaku 3.39 petang waktu Indonesia Barat itu berpusat di 42 kilometer Timur Laut Lebong, Provinsi Bengkulu.

Gegaran gempa itu dirasakan di Kota Bengkulu, Kepahiang, Bengkulu Tengah, Manna, Mukomuko, Lebong, Pesisir Selatan, Kepulauan Mentawai, Pariaman dan Padang.

Setakat ini belum terdapat sebarang laporan kemusnahan harta benda atau kemalangan jiwa.

Bagaimanapun, BMKG melaporkan gempa itu tidak mencetuskan tsunami.

Protege Siti Nordiana Dinobatkan Juara Mentor 7

Posted: 30 Dec 2018 06:36 PM PST


Mentor 7 akhirnya telah melabuhkan tirai dengan menobatkan, Zaaim Abdullah sebagai juara pada pentas akhir yang berlangsung di Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral, di sini, malam tadi.

Ramai yang telah menjangkakan kemenangan Zaaim dan ini sekali gus melayakkan protege kepada Siti Nordiana itu membawa pulang wang tunai RM80,000 dan sebuah kereta bernilai RM70,000.

Berbekalkan dua persembahan menerusi lagu duet, Gemuruh bersama Lan Solo dan Bukan Rayuan Gombal nyanyian asal Judika, Zaaim menghampakan tiga protege lain untuk menjulang gelaran itu.

Menerima komen positif juri tetap, Datuk Wah Idris dan Mas Idayu, persembahan Zaaim yang penuh bertenaga itu turut mendapat penghormatan daripada mereka.

Sementara itu, tempat kedua diraih Faizul Ashraf Fauzi, 24, atau Pasya. Protege kepada Aizat Amdan itu memberi cabaran apabila menerima pujian ketika membawakan lagu Bohemian Rhapsody bersama Jaclyn Victor.

Tempat ketiga pula diungguli Muhammad Azmirul Hafiz Azman, 24, yang memilih lagu Bagaikan Sakti, berduet dengan Ernie Zakri dan Laksamana Raja Di Laut.

Beza Al-Masih Pada Nabi Isa Dan Dajjal

Posted: 30 Dec 2018 05:20 PM PST


Soalan:
Apa beza perkataan al-Masih yang digunakan pada Nabi Isa AS dan al-Masih pada Dajjal? Mohon penjelasan. Terima kasih.

Jawapan:
Maksud al-Masih pada Nabi Isa AS

Allah SWT berfirman:

إِذْ قَالَتِ الْمَلَائِكَةُ يَا مَرْيَمُ إِنَّ اللَّـهَ يُبَشِّرُكِ بِكَلِمَةٍ مِّنْهُ اسْمُهُ الْمَسِيحُ عِيسَى ابْنُ مَرْيَمَ وَجِيهًا فِي الدُّنْيَا وَالْآخِرَةِ وَمِنَ الْمُقَرَّبِينَ
(Ingatlah) ketika malaikat berkata: "Wahai Maryam! Bahawasanya Allah memberikan khabar yang mengembirakanmu, dengan (mengurniakan seorang anak yang engkau akan kandungkan semata-mata dengan) Kalimah daripada Allah, nama anak itu: Al-Masih, Isa Ibni Maryam, seorang yang terkemuka di dunia dan di akhirat, dan ia juga dari orang-orang yang didampingkan (diberi kemuliaan di sisi Allah). (Surah Ali Imran: 45)

Ibn Kathir dalam mentafsirkan firman Allah SWT: "اسْمُهُ الْمَسِيحُ عِيسَى ابْنُ مَرْيَمَ" (nama anak itu: Al-Masih, Isa Ibni Maryam), menjelaskan maksudnya nama tersebut masyhur di dunia dan dikenal oleh orang-orang yang beriman. Dinamakan al-Masih, menurut sebahagian ulama salaf kerana Baginda AS banyak melakukan perjalanan. Ada juga yang berkata, kerana Baginda mempunyai tapak kaki yang rata tidak berlekuk. Dikatakan juga, kerana jika Baginda mengusap seseorang yang menghidapi penyakit kronik, maka dengan izin Allah orang tersebut akan sembuh. (Lihat Tafsir al-Quran al-'Azim, 2/60)

Ibn Manzur dalam kitabnya Lisan al-'Arab berkata:

وَقِيلَ: سُمِّيَ بِهِ لأَنه كَانَ سَائِحًا فِي الأَرض لَا يَسْتَقِرُّ،
Dinamakan Nabi Isa AS dengan al-Masih kerana Baginda banyak mengembara di atas muka bumi serta Baginda tidak menetap pada satu tempat. (Lihat Lisan al-'Arab, 2/593)

Dalam pendapat lain disebut:

سُمِّيَ بِذَلِكَ لأَنه كَانَ يَمْسَحُ بِيَدِهِ عَلَى الْعَلِيلِ والأَكمه والأَبرص فَيُبْرِئُهُ بإِذن اللَّهِ؛
Nabi Isa AS disebut dengan al-Masih kerana Baginda mengusap dengan tangannya pada orang yang sakit, orang yang buta sejak lahir, orang yang menderita sakit kusta, kemudian mereka sembuh dengan izin Allah SWT. (Lihat Lisan al-'Arab, 2/593)

Maksud al-Masih pada Dajjal

Perkataan al-Masih pada Dajjal pula adalah berdasarkan kepada hadis Nabi SAW yang menyebut berkenaan bacaan untuk berlindung daripada empat perkara ketika bertasyahhud akhir. Daripada Abu Hurairah R.A, Rasulullah SAW bersabda:

إِذَا تَشَهَّدَ أَحَدُكُمْ فَلْيَسْتَعِذْ بِاللَّهِ مِنْ أَرْبَعٍ يَقُولُ اللَّهُمَّ إِنِّى أَعُوذُ بِكَ مِنْ عَذَابِ جَهَنَّمَ وَمِنْ عَذَابِ الْقَبْرِ وَمِنْ فِتْنَةِ الْمَحْيَا وَالْمَمَاتِ وَمِنْ شَرِّ فِتْنَةِ الْمَسِيحِ الدَّجَّالِ
"Apabila salah seorang daripada kamu bertasyahhud, hendaklah dia meminta perlindungan kepada Allah daripada empat perkara dengan membaca:

اللَّهُمَّ إِنِّى أَعُوذُ بِكَ مِنْ عَذَابِ جَهَنَّمَ وَمِنْ عَذَابِ الْقَبْرِ وَمِنْ فِتْنَةِ الْمَحْيَا وَالْمَمَاتِ وَمِنْ شَرِّ فِتْنَةِ الْمَسِيحِ الدَّجَّالِ
Ya Allah, sesungguhnya aku berlindung kepada-Mu daripada seksa neraka Jahannam, daripada seksa kubur, daripada fitnah kehidupan dan kematian, dan daripada kejahatan fitnah al-Masih al-Dajjal." [Riwayat Muslim (1352)]

Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Anas bin Malik R.A, Rasulullah SAW bersabda:

الدَّجَّالُ مَمْسُوحُ الْعَيْنِ مَكْتُوبٌ بَيْنَ عَيْنَيْهِ كَافِرٌ...
"Dajjal itu sebelah matanya terhapus (seolah-olah tidak bermata), tertulis di antara kedua matanya kafir…" [Riwayat Muslim (7550)]

Ibn al-Athir Rahimahullah berkata:

سمي الدجال مسيحاً، لأن عينه الواحدة ممسوحة، والمسيح: الذي أحد شقي وجهه ممسوح، لا عين له ولا حاجب
"Dajjal disebut Masih, kerana salah satu matanya terhapus. Dan al-Masih: ialah orang yang salah satu sisi wajahnya mansuh (terhapus), tidak ada matanya dan tidak ada kening." (Lihat Jami' al-Usul fi Ahadith al-Rasul, 4/203)

Oleh itu, berdasarkan kenyataan di atas, jelaslah perbezaan perkataan al-Masih pada kedua-duanya tersebut.

Kami cuba mengamati betapa kalimah al-Masih digunakan kepada pembawa kebaikan dan kebenaran. Sedangkan yang satu lagi digunakan al-Masih juga untuk membawa kejahatan dan kebatilan serta kesesatan. Ini banyak kali Allah ungkapkan dalam al-Quran dan juga terdapat hadith sebagaimana raja yang adil, hakim bijaksana dan amat berkuasa seperti Nabi Sulaiman. Begitu juga terdapatnya pemerintah yang zalim bahkan mendakwa dirinya tuhan serta menguasai sebahagian besar tanah seperti firaun. Ini semua mengajar kita untuk memilih yang baik dan menjarakkan serta menjauhkan daripada yang tidak baik.

Sesungguhnya dan menariknya, kedua-dua al-Masih akan muncul di akhir zaman. Al-Masih Isa dengan kemuliaannya yang dikurniakan Allah bersifat turun dari langit seperti nas hadis sahih. Sedangkan al-Masih al-Dajjal pula akan muncul dan keluar yang bersifat kebumian dan bukan dari atas yang membawa pelbagai sihir dan kesesatan dan akhirnya al-Masih membunuh al-Masih, yakni al-Masih Isa akan membasmi dan membunuh al-Masih al-Dajjal seperti yang dinaskan. Itulah tanda kebesaran Allah bahawa kebenaran akan mengalahkan kebatilan.

Semoga Allah SWT menyelamatkan kita daripada kejahatan fitnah al-Masih al-Dajjal. Amin.


+ Mufti Wilayah Persekutuan

Ketika Solat Datang Syak Tentang Niat Solat

Posted: 30 Dec 2018 05:04 PM PST


Soalan:
Kalau seseorang solat Zohor, sampai rakaat kedua, timbul syak sama ada Zohor atau Asar yang dia niatkan. Dan kemudian datang pula yakin bahawa dia niat Zohor. Adakah sah solatnya?

Jawapan:
Saya mulakan dengan hadis daripada Umar bin al-Khattab R.A katanya, aku mendengar Nabi SAW bersabda:

إنَّمَا الْأَعْمَالُ بِالنِّيَّاتِ، وَإِنَّمَا لِكُلِّ امْرِئٍ مَا نَوَى، فَمَنْ كَانَتْ هِجْرَتُهُ إلَى اللَّهِ وَرَسُولِهِ فَهِجْرَتُهُ إلَى اللَّهِ وَرَسُولِهِ، وَمَنْ كَانَتْ هِجْرَتُهُ لِدُنْيَا يُصِيبُهَا أَوْ امْرَأَةٍ يَنْكِحُهَا فَهِجْرَتُهُ إلَى مَا هَاجَرَ إلَيْهِ".
"Sesungguhnya setiap amalan berdasarkan niat dan sesungguhnya setiap orang mengikut yang dia niat. Maka sesiapa yang hijrahnya kepada Allah dan Rasul-Nya maka hijrahnya kepada Allah dan Rasul-Nya, dan siapa yang hijrahnya kerana dunia untuk dia dapatinya atau perempuan untuk dikahwininya, maka hijrahnya mengikut apa yang dia hijrah kepadanya." [Riwayat al-Bukhari (1) dan Muslim (1907)]

Antara faedah hadis ini ialah:

Ulama telah bersepakat mengatakan bahawa setiap amalan yang dilakukan oleh mukmin yang mukallaf tidak dikira daripada sudut syara' dan tidak diberi pahala dengan hanya melakukannya kecuali disertai dengan niat. Hal ini juga sepakat oleh Ibn Hajar alAsqalani yang berkata: "Amalan menepati syara'."

Niat adalah salah satu daripada rukun di dalam ibadat langsung (العبادة المقصودة) seperti solat, haji dan puasa. Ibadat-ibadat tersebut tidak dikira sah kecuali apabila dilakukan dengan niat. Manakala ibadat yang tidak langsung yang hanya menjadi wasilah seperti wudhu' dan mandi, maka ulama mazhab Hanafi berpendapat bahawa niat adalah syarat sempurna sahaja bagi menghasilkan pahala. Manakala ulama mazhab Syafie dan lain-lain menyatakan bahawa niat juga merupakan syarat sah. Oleh itu, ibadat-ibadat tidak langsung tidak sah kecuali dengan niat.

Maksud niat di sini seperti kata Syeikh al-Sa'di adalah melakukan amalan dengan sengaja untuk mendekatkan diri kepada Allah, meraih redha dan pahala daripada-Nya. Kenyataan Baginda SAW "Sesungguhnya setiap amalan bergantung dengan niat" memberi maksud amalan yang berkenaan dengan ketaatan bukan amalan yang bersifat harus apatah lagi yang makruh dan haram.

Imam al-Ghazali berkata: "Niat yang lurus dan hati yang ikhlas semata-mata kerana Allah Rabb al-Alamin lebih tinggi martabat dan kedudukannya daripada pekerjaan yang semata-mata hanya berdasarkan pada niat untuk memperoleh keduniaan. Niat lurus dan hati ikhlas itulah yang membuat amal seseorang diterima oleh Allah SWT. Sedangkan niat buruk lambat laun nescaya akan menghilangkan rasa taat kepada Allah dan akhirnya akan mengubah menjadi kesukaan membuat maksiat. Daripada perbuatan maksiat, orang tidak akan memperolehi apapun selain kekecewaan dan kerugian. Justeru, keikhlasan merupakan kemuncak dalam penerimaan amalan walau apa jua sekalipun bidang yang diceburi kerana ia akan menentukan dan menjadi neraca sama ada diterima atau tidak di sisi Allah." (Lihat al-Kafi Syarah Hadis 40, 8)

Menjawab persoalan di atas, keyakinan yang sudah wujud sebelum itu tidak mungkin dihapuskan dengan syak yang datang kemudian. Ini berbetulan dengan kaedah:

الْيَقِينُ لَا يَزُولُ بِالشَّكِّ
Keyakinan tidak hilang dengan syak.

Ibn Nujaim berkata: "Syak tidak mungkin mengangkat keyakinan yang sebelumnya." (Lihat al-Asybah wa al-Naza'ir oleh Ibn Nujaim, hlm 56)

Justeru, sembahyang yang datang kemudiannya syak adalah tidak dikira dan solatnya sah.

Syeikh Daud al-Fatani dalam kitabnya menyebut: "Tidak memudarat terhadap solatnya apabila timbul syak di pertengahan solat dan datang pula yakin selepasnya. (Lihat Furu' al-Masa'il tahqiq oleh Datuk Seri Abu Hasan Din al-Hafiz, hlm. 321)

Kami mengharapkan agar solat kita diterima Allah dengan menepati syariat dan juga mengikhlaskan hanya kepada Allah sebagaimana firman Allah SWT:

وَمَا أُمِرُوا إِلَّا لِيَعْبُدُوا اللَّـهَ مُخْلِصِينَ لَهُ الدِّينَ
Pada hal mereka tidak diperintahkan melainkan supaya menyembah Allah dengan mengikhlaskan ibadat kepadaNya. (Surah al-Bayyinah: 5)

Imam Nawawi Rahimahullah dalam keterangannya mengenai amal yang disertai dengan niat yang baik berkata: Sesungguhnya amal ini ada tiga bahagian, iaitu:

• Amal yang dikerjakan kerana takut kepada Allah SWT. Amal ini dinamakan ibadat hamba.

• Amal yang dikerjakan kerana mendapatkan syurga dan pahala. Amal ini dinamakan ibadat saudagar.

• Amal yang dikerjakan kerana malu kepada Allah SWT dan kerana dilaksanakan hak kehambaan dan membuktikan kesyukuran serta merasakan diri sebagai seseorang yang masih dalam kecuaian dan kebimbangan yang penuh ketakutan kerana tidak tahu adakah amalnya diterima atau tidak. Amal ini dinamakan ibadat yang merdeka. (Lihat Soal Jawab A – Z tentang Tasawwuf, hlm. 98)

Semoga dengan pencerahan ini membawa kepada kita untuk menekuni fiqah sebelum solat agar ia menepati syariat. Amin.


+ Mufti Wilayah Persekutuan

Kirim Salam Kepada Ahli Kubur

Posted: 30 Dec 2018 04:32 PM PST


Soalan:
Apakah hukum seseorang yang tidak dapat hadir ke kubur dan berpesan kepada kawannya untuk mengirimkan salamnya kepada ahli kubur iaitu salah seorang rakan mereka.

Jawapan:
Biasanya orang mengirim salam kepada Rasulullah SAW sebagaimana berlaku kepada sebahagian salafus soleh apabila ingin menziarahi kota Madinah, maka dikatakan, "Sampaikan salamku kepada Rasulullah SAW."

Dikatakan bahawa Umar bin Abdul Aziz pernah menyampaikan salam yang dikirimkan kepadanya untuk Rasulullah SAW. Hal ini diriwayatkan oleh Taqiyyuddin al-Subki dalam kitabnya Syifa' al-Siqam (hlm. 58) dan dinukilkan daripada Ibn Abi 'Asim tentang pengisbatannya. Sebahagian ulama menyatakan terdapat dua jalur daripada al-Baihaqi dalam kitabnya Syu'ab al-Iman (3870), (3869). Mereka yang mengisyaratkan kenyataan ini juga ialah Ibn al-'Arabi dalam al-Qabas (1/423). Yang demikian itu kerana beliau merupakan khalifah yang cukup istimewa dalam kalangan ahli ilmu pada dua perkara:

• Terdapat qarinah yang kuat sekalipun tiada yang diketahui daripada ulama' sezaman dengannya yang menyalahinya bahkan dengan sebab tersebar, ia termasuk dalam kalangan hukum ijma' sukuti.

• Adanya perbincangan atau syura sebagai salah seorang khalifah yang mempunyai ramai ahli syura. Bahkan sebahagian daripada ulama' mengkhususkan pendapat Umar Abdul Aziz berbanding ulama lain sebagai hujah.

Adapun kepada yang lain, perbuatan tersebut tidak masyhur.

Berkenaan dengan ruh orang yang beriman antara satu sama lain apabila berada di alam Barzakh, maka keadaan mereka boleh bertemu.

Ibn al-Jauzi telah menyebut dalam Bustan al-Wa'izin bahawa ruh orang yang beriman itu saling bertemu. Ini berdasarkan hadis:

إِذا عرج بِروح الْمُؤمن تَلَقَّتْهُ أَرْوَاح الْمُؤمنِينَ بِالرَّحْمَةِ والبشرى كَمَا يتلَقَّى الْغَائِب فِي الدُّنْيَا ثمَّ يقبلُونَ عَلَيْهِ فيسألونه فَيَقُولُونَ مَا فعل فلَان وَمَا حَاله
Apabila diangkat ruh orang yang beriman, nescaya ia bertemu dengan ruh-ruh orang beriman dengan rahmat dan berita gembira sebagaimana bertemu orang yang asing dengan keluarganya di dunia. Kemudian, mereka menyambutnya dan bertanya kepadanya, dengan berkata: Apa yang dilakukan oleh si fulan dan apa yang berlaku kepadanya. [Riwayat al-Nasa'ie (1959)]

Ini menunjukkan bahawa orang-orang beriman bertemu ruh mereka dan mereka berbicara sesama mereka. Mereka bertanya khabar berkenaan dengan rakan taulan yang masih hidup di dunia.

Berkenaan dengan salam kepada Rasulullah SAW, dikatakan bahawa dengan jarak jauh sekalipun akan sampai kepada Rasulullah SAW. Ini berdasarkan kepada banyak nas, antaranya:

إِنَّ لِلَّهِ مَلَائِكَةً سَيَّاحِينَ فِي الْأَرْضِ يُبَلِّغُونِي مِنْ أُمَّتِي السَّلَامَ
"Sesungguhnya Allah mempunyai malaikat yang berjalan-jalan di bumi, yang akan menyampaikan kepadaku salam dari umatku." [Riwayat al-Nasa'ie (1282) dan al-Tirmizi (3600) dan al-Baihaqi dalam Syu'ab al-Iman (1480)]

Dengan sebab itu, sebahagian ulama' menganggap tidak perlu menyampaikan salam kepada Rasulullah SAW kerana seseorang yang mengucapkan salam dan berselawat ke atas Junjungan Nabi SAW sudah pasti sampai kepada Baginda SAW.

Oleh kerana persoalan di atas adalah masalah khilafiyyah, maka kami lebih cenderung kepada tidak perlu mengirim salam kepada seseorang yang ingin menziarahi si mati untuk sampaikan salam kepadanya (si mati) kerana tiada nas yang sahih serta amalan yang dilakukan oleh salafus soleh kecuali kepada Rasulullah SAW.

Semoga Allah jadikan kita di kalangan hamba-hamba-Nya yang sentiasa berkasih sayang sehingga membawa ke Syurga.


+ Mufti Wilayah Persekutuan