Wednesday, January 30, 2019

Oh! Media

Oh! Media


Terengganu Kini Miliki Pusat Keselamatan Bertaraf Dunia Pertama di Pantai Timur

Posted: 29 Jan 2019 03:04 AM PST


Terengganu terus bergerak ke hadapan apabila bakal menjadi pusat mencari dan menyelamat bertaraf dunia atau dikenali sebagai Aeronautical Rescue Sub Centre yang berlokasi di Lapangan Terbang Sultan Mahmud yang akan memulakan operasi pada Februari ini.

Dr Mamad Puteh yang merupakan Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Utiliti dan Teknologi Hijau negeri, berkata pusat yang baru dibina oleh Kerajaan Persekutuan itu merupakan satu-satunya pusat bertaraf dunia yang ada di Pantai Timur.

Ini juga akan berfungsi sebagai tempat mencari dan menyelamat sekiranya berlaku sebarang kemalangan laut dan udari di negeri sekitarnya termasuk, Pahang dan Kelantan.

"Aeronautical rescue yang baru ditubuhkan, yang mana kita adalah satu-satunya lokasi (pejabat) yang ada di sini (Terengganu).

"Yang memberi respon awal berkaitan dengan aeronautical rescue sekiranya ada apa-apa kemalangan di sekitar sini, sama ada dari Kelantan ataupun di Pahang dengan secepat mungkin," ujarnya.

Dengan adanya pusat mencari dan menyelamat bertaraf dunia tersebut, sudah tentu ia akan merancakkan lagi pembangunan dan industri pelancongan di negeri Terengganu.

Sumber: TeganuKita


Syed Abdullah Pula Mohon Maaf - Sedia Terima Hukuman dan Harap Jadi Pengajaran Buat Anak Muda

Posted: 29 Jan 2019 10:50 AM PST


Berikutan dengan isu tersebarnya gambar seorang artis wanita Emma Maembong bersama abang kepada Syed Saddiq iaitu Syed Abdullah semalam, kini Syed Abdullah pula tampil secara terbuka meminta maaf kepada semua melalui update terbaru instagram miliknya.

"Ini semua salah Syed dan kecuaian Syed seorang. Janganlah hubung kait kesilapan Syed dengan keluarga Syed dan rakan-rakan Syed. Biar saya berdepan dengan kesilapan saya.

"Kepada rakyat Malaysia, terima kasih atas nasihat anda dan sokongan moral yang saya terima. Saya menerima segala kritikan secara positif dan berjanji memperbaiki diri," tulisnya.

Syed Abdullah juga turut menegaskan bahawa pihak yang menyebarkan perkara ini tidak akan berjaya menggugat hubungan kekeluargannya dan dia sedia untuk dikecam dan berharap insiden berkenaan menjadi teladan bagi anak muda lain.



"Apology is not about saying I'm sorry, but its about the meaning you put behind the apology and admitting that you are the wrong part" Today, has been a tough day for me & my family. The challenges i face today, is but a fraction of accusations i have continuously faced and probably will continue facing being in the position i am in. To those who truly know me, thank you for standing by my side, sending me constant messages and reminding me to be strong. To my fellow Malaysians, I thank you for your advice, I thank you for your moral support. I shall acknowledge your criticism positively and promise to improve myself as a person. I am not perfect, i am but a human and i tend to make mistakes. "Syed mintak maaf ya Rakan-Rakan. Biarlah kesalahan syed dijadikan teladan bagi anak muda, supaya mengelakkan perkara seperti berikut berlaku pada diri masing-masing" I am so Sorry. For the mess i have caused & to those who have been affected. Ini semua salah Syed & kecuaian Syed seorang. Jangan lah hubung kait kesilapan Syed dengan keluarga Syed & rakan2 Syed. Let me face the wrath of my mistakes. Let me take the beating. Let me face the punishment. To those spreading rumors i say this: I am stronger & will learn from my mistakes, the bonding between my family my brothers,sister & true friends remain untouched and undamaged despite accusations. Yours truly, Syed Abdullah
A post shared by Syed Abdullah (@syedabdullah1989) on

Dalam perkembangan lain, Kamal Adli yang juga pernah rapat berkawan dengan Emma Maembong turut meninggalkan kata-kata semangat buat Emma.

"Stay strong ya. ALLAH kan ada". tulis Kamal.


Ahmad Dhani Dipenjara Selama 18 Bulan - Konsert Dewa 19 Reunion Diteruskan

Posted: 29 Jan 2019 01:13 AM PST


Penyanyi terkenal Indonesia dari kumpulan Dewa 19 iaitu Ahmad Dhani Prasetyo kini telah dijatuhkan hukuman penjara selama 18 bulan selepas didapati bersalah setelah menyebarkan kata-kata kebencian di media sosial.

Ini setelah Ahamad Dhani terbukti bersalah menimbulkan kebencian terhadap suatu golongan dan melakukan kesalahan itu ketika proses pemilihan gabenor Jakarta mengikut laporan CNN Indonesia.

Walaubagaimanapun, hukuman ke atas dirinya diringankan kerana Ahmad Dhani tidak pernah dihukum selain berkelakuan baik selam dibicarakan.

Berikutan dengan konsert Dewa 19 Reunion Live yang akan diadakan di Malaysia pada 2 Feb ini pula , ia akan tetap diteruskan menurut siara media NIZRA Production.

+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media.

Chelsea Bakal Terima Kunjungan United Bagi Memburu Slot Suku Akhir Piala FA

Posted: 28 Jan 2019 11:32 PM PST


Dalam peringkat 16 terbaik Piala FA, juara bertahan Chelas dijadualkan akan menerima kunjungan Manchester United bagi memburu slot ke pentas suku akhir bulan depan.

Perlawanan pada peringkat kalah mati ini dijadualkan berlangsung pada 15 hingga 18 Februari ini. Walaubagaimanapun, bagi pasuan Manchester City pula, bakal menghadapi laluan mudah apabila diundi bersama Middlesbrough atau Newport County.

United sebelum ini telah berjaya menewaskan Arsenal 3-1 dan ia merupakan kemenangan 8 kali berturut-turut di bawah kendalian pengurus sementara Ole Gunnar Solskjaer.

Hanya tujuh pasukan utama masih kekal dalam perebutan ini, yang menyaksikan Crystal Palace akan melayan Doncaster, manakala Watford bakal berkunjung ke Portsmouth atau QPR.

+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media.


Jurulatih Renang Dari Poland Kizierowski Tarik Diri Untuk Ke Malaysia

Posted: 28 Jan 2019 10:42 PM PST


Seorang jurulatih renang dari Poland iaitu Kizierowski membuat pusingan U apabila menarik diri untuk menjadi ketua jurulatih renang Malaysia yang bakal memulakan tugas selepas raya cina ini.

Keputusan ini dibuat selepas Kizierowski yang berpengalaman melatih skuad renang Sepanyol telah memuat naik status Facebook miliknya dan mengesahka keputusan untuk tidak menerima pelawaan Kesatuan Renang Amatur Malaysia, ASUM atas alasan polisi Malaysia berhubung larangan atlet Israel memasuki negara ini.

"Semalam (23 Januari) saya menerima tawaran menarik untuk menjadi jurulatih renang Malaysia. Antara alasan peribadi, saya menolaknya adalah kerana kenyataan terbaru dibuat ahli politik Malaysia berhubung tindakan tidak membenarkan atlet Israel memasuki negara itu bagi menyertai Kejohanan Renang Para Dunia 2019.

"Tiada tempat dalam sukan untuk perkara sebegitu. Saya juga ingin berterima kasih kepada komuniti Malaysia yang menunjukkan kepercayaan dan memberi peluang kepada saya," katanya.

Ini bermakna, badan induk itu mungkin terpaksa membuat rombakan dengan menaikkan pangkat Chris Martin yang awalnya akan dibawa masuk sebagai jurulatih pembangunan kepada posisi utama selaku ketua jurulatih skuad senior.

Dalam masa yang sama, kebanyakan rakyat Malaysia yang digelar 'tentera bawang' telah menyerang facecook milik Kizierowski dan mununjukkan sokongan terhadap Plaestin.


+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media.

Tiga Chef Wakil Malaysia Juara Piala Dunia Pastri 2019 di Perancis

Posted: 28 Jan 2019 09:21 PM PST


Piala Dunia Pastri 2019 yang diadakan di Lyon, Perancis pada 27 hingga 28 Januari telah meletakkan tiga nama chef Malaysia yang berjaya mendapat tempat pertama dan mengharumkan nama Malaysia.

Kejayaan yang dirangkul oleh ketiga-tiga chef pastri, Wei Loon Tan, Otto Tay dan Ming Ai Loi lebih manis selepas berjaya mengatasi wakil tuan rumah yang sebelum ini bergelar juara untuk edisi 2017.

Wakil Malaysia berjaya mengalahkan wakil dari Jepun yang berada di tempat kedua dan wakil Itali yang berada di kedudukan ketiga.


Dalam saingan kali ini, sebanyak 21 wakil turut serta mewakili negara berbeza bagi merebut trofi paling berprestij dalam dunia pastri.

Setiap negara yang diwakili 3 peserta mempunyai masa selama 10 jam untuk menyediakan beberapa juadah antaranya 3 pencuci mulut coklat cara Valrhona, 19 jenis pencucui mulut dihidang diatas pinggan dan 3 pencuci mulut jenis buah beku daripada variasi capfruit.

Untuk kali ini, dikatakan penganjur menampilkan sedikit kelainan apabila setiap hidangan perlu mencerminkan gaya hidup vegetarian.


+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media.



Seorang Ibu Dipenjara Kerana Merokok Di Tempat Letak Kereta 2 Tahun Lepas

Posted: 28 Jan 2019 08:39 PM PST


Mahkamah Majistret Kota Bharu telah memutuskan untuk menjatuhkan hukuman penjara selam sebulan kepada seorang wanita selepas gagal membayar denda bagi kesalahan merokok di kawasan larangan merokok di tempat parkir di sebuah pasar raya pada dua tahun yang lalu.

Majistret Izzudin Mohd Shukri mengenakan hukuman itu selepas Nor Faezah Hamzah, 34, mengaku bersalah terhadap tuduhan.

Sebelum itu, tertuduh dikenakan denda sebnayak RM1,000 atau penjara sebulan sekiranya gagal membayar denda.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa merokok di kawasan dilarang merokok iaitu di tempat letak kereta di sebuah pasar raya di sini pada jam 9.15 malam, 17 Mac 2017.

Tertuduh didakwa mengikut Peraturan 11(1)(n) Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004 dan dihukum di bawah subperaturan 11(3) peraturan sama yang membawa hukuman denda tidak lebih RM10,000 atau penjara tidak lebih dua tahun.

Walaubagaimanapun, tertuduh meminta hukuman penjara minimum bermula dari tarikh ditangkap kerana dia perlu menyara seorang anak berusia 16 tahun.

Tetapi, Pegawai Pendakwa daripada Jabatan Kesihatan Kelantan Mohd Nor Hussin memohon hukuman setimpal untuk memberi pengajaran kepada tertuduh dan orang ramai supaya tidak mengulangi kesalahan sama.

+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media.



Jiran Yang Suka Mencela Dan Mencaci

Posted: 28 Jan 2019 04:14 PM PST


Soalan:
Apakah terdapat panduan daripada hadith berkaitan jiran yang suka mencela dan mengeji keluarga saya atau adakah saya perlu berpindah atau bersabar dengan perbuatan tersebut?

Jawapan:
Agama Islam amat menitikberatkan perkara-perkara berkaitan dengan kejiranan. Hal ini banyak diingatkan oleh junjungan besar Nabi Muhammad SAW melalui hadith-hadithnya yang menyeru agar berbuat baik kepada jiran tanpa mengira agama, bangsa dan warna kulit. Antara firman Allah SWT yang menuntut agar berlaku kepada jiran adalah:

وَاعْبُدُوا اللَّـهَ وَلَا تُشْرِكُوا بِهِ شَيْئًا ۖ وَبِالْوَالِدَيْنِ إِحْسَانًا وَبِذِي الْقُرْبَىٰ وَالْيَتَامَىٰ وَالْمَسَاكِينِ وَالْجَارِ ذِي الْقُرْبَىٰ وَالْجَارِ الْجُنُبِ وَالصَّاحِبِ بِالْجَنبِ وَابْنِ السَّبِيلِ وَمَا مَلَكَتْ أَيْمَانُكُمْ ۗ إِنَّ اللَّـهَ لَا يُحِبُّ مَن كَانَ مُخْتَالًا فَخُورًا
"Dan hendaklah kamu beribadah kepada Allah dan janganlah kamu sekutukan Dia dengan sesuatu apa jua. Dan hendaklah kamu berbuat baik kepada kedua ibu bapa, kaum kerabat, anak-anak yatim, orang-orang miskin, jiran tetangga yang dekat dan jiran tetangga yang jauh, rakan sejawat, orang musafir yang terlantar dan juga hamba yang kamu miliki. Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang sombong dan membangga-banggakan diri." (al-Nisa':36)

Para ulama menyatakan di dalam ayat ini, Allah SWT mengikat ayat tuntutan untuk berlaku baik kepada jiran dengan ayat tuntutan agar menyembah Allah SWT tanpa melakukan syirik kepada-Nya. Ini menunjukkan tuntutan agar berlaku baik kepada jiran merupakan satu tuntutan yang besar sepertimana tuntutan agar menyembah Allah SWT. Untuk itu, Allah SWT menyediakan azab yang pedih buat orang yang suka menyakiti jirannya sepertimana yang akan jelaskan di bawah nanti.

Di antara hadith-hadith yang menceritakan akan kepentingan berlaku baik kepada jiran adalah:

Daripada Abi Syuraih RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ كَانَ يُؤْمِنُ بِاللهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ فَلْيُحْسِنْ إِلَى جَارِهِ
"Barangsiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, maka hendaklah dia berbuat baik kepada jirannya." [Riwayat Muslim (77)]

Daripada Abdillah bin 'Amr RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

خَيْرُ الأَصْحَابِ عِنْدَ اللَّهِ خَيْرُهُمْ لِصَاحِبِهِ، وَخَيْرُ الجِيرَانِ عِنْدَ اللَّهِ خَيْرُهُمْ لِجَارِهِ
"Sebaik-baik teman di sisi Allah adalah seseorang yang terbaik terhadap temannya. Manakala sebaik-baik jiran di sisi Allah adalah seorang yang paling baik dengan jirannya. [Riwayat al-Tirmizi (1944), Imam al-Tirmizi menilai hadith ini sebagai hasan gharib]

Daripada Ibn Umar R.anhuma, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَا زَالَ جِبْرِيلُ يُوصِينِي بِالْجَارِ، حَتَّى ظَنَنْتُ أَنَّهُ سَيُوَرِّثُهُ
"Jibril sentiasa berwasiat kepadaku agar berlaku baik kepada jiran sehingga aku menyangka bahawa jiran itu akan mewarisi hartaku." [Riwayat al-Bukhari (6015)]

Imam al-Nawawi menukilkan kata-kata daripada al-Qadhi 'Iyadh bahawa makna hadith ini adalah sesiapa yang beriltizam dengan syariat Islam maka wajib ke atasnya untuk memuliakan atau berlaku baik kepada jiran dan tetamunya. Semua ini menunjukkan akan kepentingan hak berjiran serta galakan memeliharanya. Ini kerana, Allah SWT telah berpesan atau mewasiatkan agar berlaku baik kepada mereka melalui firman-Nya di dalam al-Quran dan juga hadith Nabi SAW. [Lihat: al-Minhaj 'ala Syarh Sahih Muslim, 18/2]

Demikian itu adalah beberapa buah hadith yang membicarakan berkaitan tuntutan agar berlaku baik kepada jiran kerana kedudukan jiran itu amat tinggi di dalam agama. Berdasarkan soalan di atas, kami ingin menukilkan sebuah kisah yang berlaku di zaman Rasulullah SAW apabila seorang lelaki datang kepadanya dan mengadu akan perihal jirannya yang suka menyakitinya:

Daripada Abu Hurairah RA berkata:

جَاءَ رَجُلٌ إِلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَشْكُو جَارَهُ، فَقَالَ: اذْهَبْ فَاصْبِرْ. فَأَتَاهُ مَرَّتَيْنِ أَوْ ثَلَاثًا، فَقَالَ: اذْهَبْ فَاطْرَحْ مَتَاعَكَ فِي الطَّرِيقِ. فَطَرَحَ مَتَاعَهُ فِي الطَّرِيقِ، فَجَعَلَ النَّاسُ يَسْأَلُونَهُ فَيُخْبِرُهُمْ خَبَرَهُ، فَجَعَلَ النَّاسُ يَلْعَنُونَهُ: فَعَلَ اللَّهُ بِهِ، وَفَعَلَ، وَفَعَلَ، فَجَاءَ إِلَيْهِ جَارُهُ فَقَالَ لَهُ: ارْجِعْ لَا تَرَى مِنِّي شَيْئًا تَكْرَهُهُ
"Telah datang seorang lelaki kepada Nabi SAW mengadu perihal jirannya. Maka Nabi SAW bersabda: "Pergilah serta bersabarlah." Setelah itu, lelaki itu datang lagi kepada Rasulullah SAW sebanyak dua atau tiga kali. Lalu Nabi SAW bersabda: "Pergilah dan campakkanlah barang-barang di rumah kamu ke jalan." Lelaki tersebut kemudiannya mencampakkan barang-barang rumahnya ke jalan hingga menyebabkan orang-orang bertanya kepadanya. Lalu lelaki tersebut menceritakan apa yang berlaku kepada dirinya yang menyebabkan manusia (yang mendengar cerita tersebut) melaknat jiran tersebut dengan mengatakan: "Allah akan membalas perbuatannya (mendoakan keburukan), Allah akan balas dan Allah akan balas." Selepas itu, lelaki tersebut didatangi oleh jiran tersebut dan jiran itu berkata: "Pulanglah, kamu tidak akan melihat (mendapati) sesuatu yang kamu benci itu lagi." [Riwayat Abu Daud (5153), sanadnya adalah baik menurut Syeikh Syu'aib al-Arna'outh]

Hadith ini menceritakan akan petunjuk Nabi SAW kepada lelaki ini apabila sentiasa disakiti oleh jirannya. Akan tetapi, berkemungkinan perbuatan atau cara tersebut biasa dilakukan oleh bangsa Arab pada zaman itu tetapi ia tidak lagi sesuai untuk dilakukan pada zaman ini. Tambahan pula, Imam Ibn Ruslan ketika mensyarahkan hadith ini menyatakan bahawa di dalam hadith ini menunjukkan kelebihan bersabar dengan perihal jiran walaupun perkara tersebut berulang-ulang kali berlaku, di samping berusaha untuk mencegahnya mengikut kemampuan yang ada. Selain itu, hadith ini juga menunjukkan keharusan berdoa kepada orang yang menyakiti orang lain secara kuat (terang-terangan) sebagai pengajaran kepada orang tersebut serta meninggalkan perbuatan tersebut. [Lihat: Syarah Abi Daud, 440/19]

Kami berpandangan dalam isu ini, seseorang yang disakiti oleh jirannya sama ada dengan perbuatan atau ucapan perlulah bersabar terlebih dahulu. Ini berdasarkan kepada petunjuk atau hadyu nabawi di dalam hadith di atas. Sabar merupakan sifat yang sangat hebat dan ia merupakan sifat yang dikasihi oleh Allah SWT. Di samping itu juga, seseorang yang disakiti itu perlulah berusaha dan berikhtiar dengan sehabis-baik untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi seperti menasihatinya dengan penuh hikmah, berbuat ihsan (baik) kepadanya walaupun dibalas dengan kejahatan, membantu mereka di dalam kesusahan, menggunakan saluran yang tepat dalam menegur dan lain-lain lagi. Mudah-mudahan dengan cara sebegini akan melembut hatinya dan tidak lagi akan menyakiti orang tersebut. Selain itu, doa juga merupakan salah satu elemen yang penting dan tidak patut diabaikan kerana hanya Allah SWT sahaja yang mampu membaca dan mengubah hati seseorang itu. Sekiranya, seseorang itu telah berusaha dan berikhtiar, berpindah dari tempat tersebut merupakan langkah yang terakhir bagi seseorang yang mampu melakukan sedemikian.

Hukuman Bagi Orang Yang Menyakiti Jirannya

Di sana terdapat hadith yang menceritakan akan akibat dan balasan yang akan diterima bagi orang yang suka menyakiti jirannya:

Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

لَا يَدْخُلُ الْجَنَّةَ مَنْ لَا يَأْمَنُ جَارُهُ بَوَائِقَهُ
"Tidak akan masuk syurga, orang yang membuat jirannya tidak merasa aman daripada gangguannya." [Riwayat Muslim (73)]

Di dalam hadith yang lain pula, juga daripada Abu Hurairah RA berkata:

قَالَ رَجُلٌ: يَا رَسُولَ اللهِ، إِنَّ فُلَانَةَ يُذْكَرُ مِنْ كَثْرَةِ صَلَاتِهَا، وَصِيَامِهَا، وَصَدَقَتِهَا، غَيْرَ أَنَّهَا تُؤْذِي جِيرَانَهَا بِلِسَانِهَا، قَالَ: هِيَ فِي النَّارِ
Telah berkata seorang lelaki kepada Rasulullah SAW: "Wahai Rasulullah SAW, sesungguhnya wanita ini terkenal dengan banyaknya solat, berpuasa dan bersedekah tetapi dia sentiasa menyakiti jirannya dengan lidahnya." Lalu Nabi SAW bersabda: "Dia akan masuk ke dalam neraka." [Riwayat Ahmad (9675), sanadnya adalah hasan berdasarkan penilaian daripada Syeikh Syu'aib al-Arna'outh]

Berdasarkan kedua hadith ini, orang yang suka menyakiti jirannya sama ada dengan perbuatannya atau lisannya (ucapannya) maka orang seperti ini akan dicampakkan ke dalam api neraka di akhirat kelak walaupun dia merupakan seorang yang banyak melakukan ibadah.

Penutup

Kesimpulannya, kita dituntut untuk berlaku baik kepada jiran kerana tuntutan tersebut datang daripada al-Quran dan juga hadith Nabi SAW. Selain itu juga, Allah SWT menyediakan hukuman yang berat kepada orang-orang suka menyakiti jirannya. Tambahan pula, Islam mengajar umatnya agar sentiasa bersabar dalam setiap perkara yang menimpa serta berusaha untuk menyelesaikannya dengan sebaik mungkin. Akhirnya, semoga Allah SWT menjadikan dalam kalangan hamba-hamba-Nya yang sentiasa berlaku baik kepada jiran serta memasukkan kita ke dalam syurga di akhirat nanti. Amin.

Wallahua'lam.

+ Mufti Wilayah Persekutuan

Guna Selimut Berjahit Ketika Ihram Dalam Pesawat

Posted: 28 Jan 2019 03:54 PM PST


Soalan:
Saya dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Jeddah. Ihram di Qarnul Manazil. Dalam pesawat, saya dibekalkan kain selimut yang berjahit. Bolehkah saya menggunakan selimut itu?

Jawapan:
Berkenaan persoalan di atas, boleh menggunakan selimut itu selagi belum sampai di Qarnul Manazil (miqat). Akan tetapi sejurus selepas berihram dan melepasi Qarnul Manazil, maka hanya boleh menggunakan dengan menutup sekadar leher sahaja tanpa menutup muka bagi jemaah perempuan dan kepala bagi jemaah lelaki. Ini kerana ia termasuk dalam larangan ihram.

Nabi SAW melarang lelaki yang di dalam ihram daripada menutup kepala. Para sahabat pernah bertanya berkenaan aturan pemakaian ketika dalam ihram, lalu Baginda SAW bersabda:

لَا يَلْبَسُ الْقَمِيصَ وَلَا الْعِمَامَةَ وَلَا السَّرَاوِيلَ وَلَا الْبُرْنُسَ وَلَا ثَوْبًا مَسَّهُ الْوَرْسُ أَوْ الزَّعْفَرَانُ
"(Orang yang dalam ihram) tidak boleh memakai baju, imamah (penutup kepala), seluar, burnus (baju yang ada penutup kepala), atau baju yang dicelup wars (tanaman yang digunakan untuk mewarnakan kain menjadi kekuningan), atau yang dicelup za'faran (tanaman yang digunakan untuk mewarnakan dan memberikan bau khas pada kain)." [Riwayat al-Bukhari (134), Ahmad (4482)]

Dalam sebuah hadis yang lain berkenaan orang yang mati ketika dalam ihram, Nabi SAW lalu memberikan arahan tentang cara untuk mengkafannya dan menyuruh agar tidak menutup kepalanya. Diriwayatkan daripada Ibn Abbas R.Anhuma, beliau menceritakan bahawa ada orang yang terpelanting daripada unta ketika dalam ihram, lalu Baginda SAW bersabda:

اغْسِلُوهُ بِمَاءٍ وَسِدْرٍ ، وَكَفِّنُوهُ فِى ثَوْبَيْنِ ، وَلاَ تُحَنِّطُوهُ وَلاَ تُخَمِّرُوا رَأْسَهُ ، فَإِنَّهُ يُبْعَثُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ مُلَبِّيًا
"Mandikan dia dengan air dan bidara, kafankan dia dengan dua helai kain, jangan diberi wangian, dan jangan ditutup kepalanya. Sesungguhnya dia akan dibangkitkan sambil melantunkan talbiyah." [Riwayat al-Bukhari (1265) dan Muslim (2948)]

Selain itu, Baginda SAW juga melarang wanita yang dalam ihram daripada menutup muka. Sabda Baginda SAW:

وَلَا تَنْتَقِبْ الْمَرْأَةُ الْمُحْرِمَةُ وَلَا تَلْبَسْ الْقُفَّازَيْنِ
"Janganlah wanita yang berada di dalam ihram memakai niqab (penutup muka) dan jangan juga memakai sarung dua tangannya." [Riwayat al-Bukhari (1838)]

Oleh itu, jelas apabila sudah berihram, maka selimut hanya boleh digunakan dengan menutup sekadar leher sahaja tanpa menutup muka bagi jemaah perempuan dan kepala bagi jemaah lelaki. Hal ini kerana ia termasuk dalam larangan ihram. Akan tetapi, jika sebelum daripada Qarnul Manazil, seperti di KLIA, maka dibolehkan.

Semoga Allah mengurniakan ilmu dan kefahaman kepada kita dalam melaksanakan Syariat-Nya. Amin.

+ Mufti Wilayah Persekutuan

Adakah Solat Berjemaah Selain Di Masjid Dapat Ganjaran 27 Kali Ganda?

Posted: 28 Jan 2019 03:44 PM PST


Soalan:
Adakah solat jemaah selain dari masjid tidak mendapat 27 kali ganda pahala?

Jawapan:
Solat jemaah dari segi syara' bermaksud menyambungkan solat yang dilakukan dengan mengikut perbuatan imam. Ia merupakan satu syiar yang perlu dipertahankan dan ditunaikan oleh umat islam. Ia juga merupakan satu wasilah dan cara untuk memupuk mahabbah dan kasih sayang serta semangat tolong menolong antara sesama muslim.Ia adalah sunnah muakkadah dan makruh hukumnya meninggalkan solat berjemaah. Pensyariatan solat jemaah boleh dilihat melalui beberapa dalil daripada Al-Quran, hadis dan ijmak.

Al-Quran

Firman Allah SWT :

وَإِذَا كُنتَ فِيهِمْ فَأَقَمْتَ لَهُمُ ٱلصَّلَوٰةَ
"Dan apabila engkau (wahai Muhammad) berada dalam kalangan mereka (semasa perang), lalu engkau mendirikan sembahyang dengan (menjadi imam) mereka." (Surah Al-Nisa': 102)

Al-Khatib Al-Syarbini menyatakan: "Perintah ini diturunkan ketika waktu perang, maka sudah semestinya lebih utama dilakukan ketika dalam keadaan aman." [Rujuk Mughni Al-Muhtaj Ila Ma'rifah Alfaz Al-Minhaj (1/350)]

Hadis

Daripada Abu Hurairah bahawa Nabi SAW bersabda :

صَلاَةُ الْجَمَاعَةِ أَفْضَلُ مِنْ صَلاَةِ الْفَذِّ بِسَبْعٍ وَعِشْرِينَ دَرَجَةً
"Solat secara berjemaah lebih baik daripada solat bersendirian sebanyak 27 darjat." [Riwayat Muslim (1509)]

Di dalam riwayat lain menyatakan :

صَلاَةُ الْجَمَاعَةِ أَفْضَلُ مِنْ صَلاَةِ أَحَدِكُمْ وَحْدَهُ بِخَمْسَةٍ وَعِشْرِينَ جُزْءًا
"Solat secara berjemaah lebih baik daripada solat kalian yang secara bersendirian sebanyak 25 bahagian." [Riwayat Muslim (1504)]

Imam Al-Nawawi menyebut bahawa sama ada 25 atau 27 bahagian adalah berdasarkan keadaan solat dan orang yang menunaikannya. Ada yang dapat 25 darjat dan ada yang dapat 27 berdasarkan kesempurnaan solatnya dan sejauh mana dia menjaga solat secara berjemaah. [Rujuk Al-Majmu' Syarh Al-Muhazzab, 4/183]

Ijmak

Telah berlaku ijmak di kalangan para sahabat bahawa solat secara berjemaah adalah sangat dituntut. Khususnya setelah Nabi dan para sahabat berhijrah ke Madinah. [Rujuk Mughni Al-Muhtaj Ila Ma'rifah Alfaz Al-Minhaj, 1/350]

Jika ada yang mendirikan solat secara berjemaah yang paling kurang mempunyai sorang imam dan makmum, maka dia tetap akan mendapat ganjaran berdasarkan hadis. Ini termasuklah solat jemaah yang dilakukan suami bersama isteri, ketika di R&R dan lain-lain.

Namun begitu, solat berjemaah yang paling baik dan afdal adalah yang didirikan di masjid. Ini berdasarkan beberapa hadis Nabi SAW yang sangat mengambil berat akan solat berjemaah yang dilakukan di masjid. Antaranya :

1. Daripada Abu Hurairah :

مَنْ غَدَا إِلَى الْمَسْجِدِ أَوْ رَاحَ أَعَدَّ اللَّهُ لَهُ فِى الْجَنَّةِ نُزُلاً كُلَّمَا غَدَا أَوْ رَاحَ
"Sesiapa yang pergi dan balik dari masjid, maka Allah akan menyediakan baginya tempat di syurga setiap kali dia pergi dan balik." [Riwayat Muslim (1556)]

2. Nabi SAW bersabda lagi di dalam sebuah hadis yang lain :

مَنْ تَطَهَّرَ فِى بَيْتِهِ ثُمَّ مَشَى إِلَى بَيْتٍ مِنْ بُيُوتِ اللَّهِ لِيَقْضِىَ فَرِيضَةً مِنْ فَرَائِضِ اللَّهِ كَانَتْ خَطْوَتَاهُ إِحْدَاهُمَا تَحُطُّ خَطِيئَةً وَالأُخْرَى تَرْفَعُ دَرَجَةً
"Sesiapa yang bersuci di rumahnya kemudian berjalan menuju ke salah satu dari rumah-rumah Allah (masjid) untuk menunaikan solat yang telah difardhukan oleh Allah, maka kedua-dua langkah kakinya itu salah satunya menghapuskan dosa dan yang lain mengangkat darjat." [Riwayat Muslim (1553)]

3. Nabi SAW secara terang menyebut bahawa solat fardu secara berjemaah di masjid lebih baik dari solat berjemaah di rumah. Nabi SAW bersabda :

فَصَلُّوا أَيُّهَا النَّاسُ فِي بُيُوتِكُمْ فَإِنَّ أَفْضَلَ الصَّلَاةِ صَلَاةُ الْمَرْءِ فِي بَيْتِهِ إِلَّا الْمَكْتُوبَةَ
"Wahai manusia solatlah (solat nafilah) di rumah kalian.Sesungguhnya sebaik-baik solat sunat bagi seseorang adalah di rumahnya kecuali solat fardhu." [Riwayat Al-Bukhari (731)]

Kata Al-Hafiz Ibnu Hajar Al-Asqalani yang dimaksudkan adalah solat lima waktu perlu didirikan di masjid. [Rujuk Fath Al-Bari Syarh Sohih al-Bukhari, 2/214]

Al-Khatib Al-Syarbini menyatakan yang paling baik adalah solat lima waktu di masjid. [Rujuk Mughni Al-Muhtaj Ila Ma'rifah Alfaz Al-Minhaj,1/351]

4. Nabi SAW pernah menyebut :

وَإِنَّ صَلاَةَ الرَّجُلِ مَعَ الرَّجُلِ أَزْكَى مِنْ صَلاَتِهِ وَحْدَهُ ، وَصَلاَتُهُ مَعَ الرَّجُلَيْنِ أَزْكَى مِنْ صَلاَتِهِ مَعَ الرَّجُلِ ، وَمَا كَثُرَ فَهُوَ أَحَبُّ إِلَى اللهِ تَعَالَى
"Solat seorang lelaki bersama lelaki yang lain lebih elok dari solat secara bersendirian. Dan solatnya bersama dua orang lelaki lebih elok dari solat bersama seorang lelaki. Dan lebih banyak itulah yang paling disukai oleh Allah SWT." [Riwayat Abu Daud (554)]

5. Nabi SAW memberikan amaran keras bagi sesiapa yang tidak hadir solat berjemaah di masjid. Sabda Nabi SAW :

لَقَدْ هَمَمْتُ أَنْ آمُرَ بِالصَّلَاةِ فَتُقَامَ ثُمَّ أُخَالِفَ إِلَى مَنَازِلِ قَوْمٍ لَا يَشْهَدُونَ الصَّلَاةَ فَأُحَرِّقَ عَلَيْهِمْ
"Sesungguhnya aku bertekad supaya solat didirikan kemudian aku akan pergi kepada setiap rumah seseorang yang tidak hadir solat berjemaah lalu akan aku perintahkan agar dibakar rumah mereka." [Riwayat Al-Bukhari (2420)]

6. Ibnu Mas'ud menyebut :

مَنْ سَمِعَ الْمُنَادِي ، ثُمَّ لَمْ يُجِبْ مِنْ غَيْرِ عُذْرٍ ، فَلاَ صَلاَةَ لَهُ
"Siapa yang mendengar azan akan tetapi tidak menyahutnya (pergi solat di masjid) tanpa uzur maka tiada solat baginya." [Riwayat Ibn Abi Syaibah (3486) di dalam Al-Musannaf]

Berdasarkan hadis-hadis dan athar yang telah dibentangkan, kami menyatakan bahawa solat berjemaah yang dilakukan di masjid adalah lebih baik. Ia juga lebih menetapi tujuan solat jemaahnya itu diperintahkan iaitu memupuk kasih sayang dan penyatuan antara muslim. Begitu juga mereka yang hadir menunaikan solat jemaah termasuk di dalam mereka yang sentiasa memakmurkan rumah Allah. Firman Allah SWT:

إِنَّمَا يَعْمُرُ مَسَـٰجِدَ ٱللَّـهِ مَنْ ءَامَنَ بِٱللَّـهِ وَٱلْيَوْمِ ٱلْـَٔاخِرِ وَأَقَامَ ٱلصَّلَوٰةَ وَءَاتَى ٱلزَّكَوٰةَ وَلَمْ يَخْشَ إِلَّا ٱللَّـهَ ۖ فَعَسَىٰٓ أُو۟لَـٰٓئِكَ أَن يَكُونُوا۟ مِنَ ٱلْمُهْتَدِينَ
"Hanyasanya yang layak memakmurkan (menghidupkan) masjid-masjid Allah itu ialah orang-orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat serta mendirikan sembahyang dan menunaikan zakat dan tidak takut melainkan kepada Allah, (dengan adanya sifat-sifat yang tersebut) maka adalah diharapkan mereka menjadi dari golongan yang mendapat petunjuk." (Surah Al-Taubah : 18)

Kesimpulannya, jika solat jemaah didirikan selain daripada masjid maka ia tetap mendapat pahala berjemaah berdasarkan hadis. Ini kerana solat jemaah paling kurang ada seorang imam dan seorang makmum. Tidak kiralah di mana ia dilakukan. Namun begitu, paling baik dan lebih afdal untuk hadir solat berjemaah di masjid. Itu lebih menepati tujuan solat jemaah itu didirikan iaitu memupuk kasih sayang dan penyatuan antara muslim. Di samping memakmurkan rumah Allah SWT.

Semoga Allah memberi kita kekuatan untuk sentiasa hadir menunaikan solat berjemaah di masjid. Wallahu'alam.

+ Mufti Wilayah Persekutuan