Friday, February 1, 2019

Oh! Media

Oh! Media


Golongan Gelandangan di Kota London Meningkat Sebanyak 300 Peratus

Posted: 31 Jan 2019 06:00 AM PST


Walaupun sudah mencapai status negara maju, namun masalah gelandangan yang semakin meningkat di kota London dilihat semakin meningkat sebanyak 300 peratus hanya dalam tempoh lapan tahun dan jumlah ini dikatakan akan terus meningkat.

Dari jumlah itu, ia dianggarkan sebanyak 1,300 orang masih tidur di jalanan sekitar London setiap malam dan keadaan ini amat merisaukan.

Data kerajaan United Kingdom yang diterbitkan juga telah mendedahkan peningkatan itu sebagai berpunca daripada kekurangan rumah dan kadar sewa yang terlalu tinggi sehingga menyebabkan mereka tidak dapat meneruskan kehidupan.

Tiga Tol di Tiga Kawasan Tawar Diskaun Sempena Tahun Baru Cina

Posted: 31 Jan 2019 03:52 AM PST


Sempena Tahun Baru Cina yang akan disambut minggu hadapan 5 Februari nanti, sebanyak 452,000 pengguna lebuh raya di Lebuh Raya Shah Alam, Lebuh Raya Damansara-Puchong dan Lebuh Raya SMART bakal menikmati harga diskaun.

Perkara ini dimaklumkan oleh Stephen Low Chee Weng (Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan Trans Kota Holdings Bhd) yang akan memberikan 10 dan 30 peratus diskaun bermula pada 12 tengah malam sehingga 11.59 malam pada 5 Februari ini.

"Diskaun ini adalah antara inisiatif pihak kami dalam mengurangkan beban pengguna semasa perayaan Tahun Baru Cina. Secara keseluruhan, jumlah anggaran diskaun kadar tol ini berjumlah RM221,500," katanya pada sidang akhbar pengumuman diskaun berkenaan di sini hari ini.

Stephen berkata, pengguna kenderaan Kelas 1 di Lebuh Raya LSA akan menikmati diskaun 10 peratus (RM0.20) manakala peratus (RM0.70) ditawarkan kepada pengguna LDP.

+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media.

Sultan Pahang Sultan Abdullah Dimasyhur Agong ke-16

Posted: 31 Jan 2019 03:52 AM PST


Hari ni, rakyat Malaysia telah menerima Agong baharu iaitu Al-Sultan Adullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah setelah berlangsung istiadat melafaz sumpah dan menandatangani surat sumpah jawatan Yang di-Pertuan Agong ke-16 di Istana Negara sebentar tadi.

Sultan Abdullah turut berikrar akan melaksanakan pemerintahan dengan adil dan mengaku akan bersungguh-sungguh memelihara dan mempertahankan pada setiap masa kesucian agama Islam, keamanan dan kesejahteraan rakyat.


Sebagai Ketua Utama Negara bagi Persekutuan, Yang di-Pertuan Agong secara undang-undangnya mempunyai kuasa terhadap tiga institusi kerajaan iaitu badan eksekutif, perundangan dan memainkan peranan berkaitan badan kehakiman.

Dalam pada itu, Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah turut melafazkan sumpah jawatan sebagai Timbalan Yang di-Pertuan Agong, melengkapkan lagi sistem raja berperlembagaan yang diamalkan di negara ini.

+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media.

Menteri Pengangkutan Tak Kisah Dimarah, Tiada Lagi Diskaun Saman JPJ

Posted: 31 Jan 2019 05:36 AM PST


Untuk pengetahun korang, selepas ini Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) tidak akan memberikan sebarang tawaran diskaun lagi ke atas mana-mana notis kompaun yang dikeluarkan bagi kesalahan lalu lintas.

 Ini ditegaskan sendiri oleh Menteri Pengangkutan, Anthony Loke yang berkata dasar tiada diskaun itu tidak bermusim dan akan diteruskan sepanjang masa, bukan hanya ketika musim perayaan sahaja seperti sebelum ini bagi menurunkan kadar kemalangan jalan raya.

"Kalau pesalah ini nak marah Menteri Pengangkutan, marahlah. I don't care (saya tidak kisah). Tugas saya adalah mengurangkan kemalangan jalan raya. Ini KPI saya.

"Saya akan tetap tegas dan itu adalah dasar yang saya tetapkan dalam Kementerian Pengangkutan. Jadi selepas ini, kalau kena saman JPJ, jangan tunggu diskaun lagi," katanya.

Anthony juga menjelaskan bahawa langkah ini terpaksa diambil bagi memberi pengajaran kepada pengguna jalan raya dan menyelamatkan nyawa rakyat Malaysia kerana kini sebanyak 6,000 nyawa telah terkorban setiap tahun.

+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media.




Kanak-kanak Lelaki 11 Tahun Tulis Surat Minta Kerajaan Haramkan PUBG Mobile

Posted: 31 Jan 2019 12:29 AM PST


Permainan video PlayerUnknown's Battlegrounds Mobile (PUBG Mobile) kini menjadi kegilaan pemain seluruh dunia termasuk Malaysia, sehingga ada yang menganjurkan pertandingan dengan hadiah yang lumayan sehingga ribuan ringgit.

Walaubagaimanapun, lain pula ceritanya di India, apabila serang kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun telah menulis surat kepadapihak Kerajaan India yang meminta agar permainan itu diharamkan.

Kanak-kanak yang berna Ahad itu telah menulis surat empat muka dan dihantar kepada kerajaan India minggu lalu kerana mendakwa permainan itu mempromosikan keganasan dan buli siber.

Tambah Ahad lagi, PUBG juga memaparkan pembunuhan yang kejam dan kelalaian melampau terhadap pemainnya.

Surat itu juga dikatakan turut dihantar kepada Menteri Pendidikan, Vinod Tawde dan Menteri Elektronik dan iT, Ravi Shankar Prasad.

Namun, sehingga kini masih tiada maklumbalas dari pihak Kerajaan India.

+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media.

Apple Inc Dikatakan Bakal Menurunkan Harga Buat Kali Kedua Dalam Sejarah

Posted: 30 Jan 2019 08:04 PM PST


Apple Inc bercadang menurunkan harga beberapa model iPhone utama untuk kali kedua dalam sejarah 12 tahun peranti itu.

Ia sebaliknya akan menyandarkan nilai runcitnya kepada harga sebelumnya dalam mata wang tempatan bagi jualan di luar Amerika Syarikat (AS) dan bukannya bersandarkan dolar AS yang semakin kukuh nilainya.

Langkah itu adalah percubaan untuk merancakkan jualan iPhone yang lemah, terutamanya di pasaran luar negara seperti China, yang mana peningkatan 10 peratus dalam dolar AS sejak setahun lalu menjadikan produk Apple, yang bersaing bagi pasaran telefon pintar segmen teratas, lebih mahal daripada pesaing.

Apple tidak mengatakan di negara mana ia akan melaksanakan penyesuaian harga iPhone itu. Penjual di China sudah mula mengurangkan harga iPhone awal bulan ini selepas Apple menurunkan ramalan jualannya bagi suku berakhir Disember.

Hukum Makan Daging Arnab

Posted: 30 Jan 2019 04:13 PM PST


Soalan:
Apa hukum memakan daging arnab?

Jawapan:
Sebelum kami menjawab isu ini, alangkah baiknya kita mengenali dahulu dengan lebih terperinci arnab dan habitatnya.

Takrif Arnab dan Habitatnya

Arnab atau kelinci merupakan sejenis haiwan mamalia yang tergolong dalam keluarga Leporidae yang tergolong dalam order Lagomorpha. Arnab mudah dikenali dengan telinganya yang panjang dan tirus, gigi kacip tengah yang ketara dalam mulut, kaki belakangnya yang besar berbanding kaki depan, serta ekornya yang pendek. Arnab boleh hidup secara liar mahupun dijadikan haiwan peliharaan atau ternakan yang memberikan sumber makanan kepada manusia.

Dalam bahasa Melayu, perkataan "arnab" berasal daripada bahasa Arab, iaitu arnab (أرنب). Perkataan "kelinci" pula lebih banyak digunakan dalam bahasa Indonesia, dan berasal daripada bahasa Belanda, yakni istilah konijntje yang bererti "anak arnab". Apapun, ini jelas menunjukkan bahawa masyarakat Nusantara mula mengenali arnab atau kelinci daripada perdagangan antarabangsa pada zaman silam, padahal di Pulau Sumatera ada satu spesies arnab asli (Nesolagus netscheri) yang baru ditemui pada tahun 1972.

Habitat Arnab

Bermacam-macam jenis arnab tinggal di kawasan padang rumput, hutan, gurun dan tanah lembap mengikut kesesuaian dengan spesiesnya. Kebanyakan spesies arnab tinggal dalam sarang bawah tanah yang dimasuki melalui lubang, tetapi berbeza pula dengan arnab dalam genus Lepus yang bertempat tinggal di atas tanah dengan kawasan rumput yang rata sebagai sarang. Kebanyakan spesies arnab tinggal secara berkelompok.

Lebih separuh jumlah populasi arnab di dunia tinggal di Amerika Utara. Arnab juga merupakan haiwan asli di Eropah, Asia Tenggara, Asia Timur, Afrika dan Amerika Selatan. Arnab mula-mula memasuki Amerika Selatan kesan peristiwa Pertukaran Besar Amerika. Sebahagian besar benua itu cuma ada satu spesies arnab, iaitu tapeti, manakala di kawasan kerucut selatan benua itu pula tiada spesies arnab yang asli.

Hukum Makan Daging Arnab

Hukum memakannya adalah halal di sisi jumhur. Ini berdasarkan hadis Anas R.A yang berkata:

أَنْفَجْنَا أَرْنَبًا فَسَعَى الْقَوْمُ فَلَغَبُوا ، فَأَخَذْتُهَا وَجِئْتُ بِهَا أَبَا طَلْحَةَ ، فَذَبَحَهَا وَبَعَثَ بِوَرِكِهَا - أَوْ قَال : بِفَخِذِهَا إِلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَبِلَهُ
Kami terserempak dengan arnab lalu mengejarnya. Dan aku dapat menangkapnya serta membawa kepada Abu Talhah. Beliau sembelih dan memberi sebahagiannya kaki atau pehanya kepada Rasulullah SAW dan Rasulullah menerimanya. [Riwayat al-Bukhari (2572)]

Muhammad bin Safwan (atau Safwan bin Muhammad) berkata:

اصَّدْتُ أَرْنَبَيْنِ فَذَبَحْتُهُمَا بِمَرْوَةٍ ، فَسَأَلْتُ رَسُولَ اللهِ صلى الله عليه وسلم عَنْهُمَا فَأَمَرَنِي بِأَكْلِهِمَا
Aku memburu dua ekor arnab dan aku sembelihnya di Marwah. Maka aku bertanya Rasulullah SAW lantas beliau memerintahkan aku makan kedua-duanya. [Riwayat Abu Daud (2822), Ibn Majah (3175) dan al-Nasa'ie (4239)]

Arnab juga haiwan yang tiada bertaring dan tiada nas yang menunjukkan haramnya. Dengan sebab itu, dinukilkan bahawa Sa'ad bin Abi Waqqas telah memakannya. Begitu juga diberi kelonggaran oleh ulama' dalam kalangan sahabat dan selepasnya. Antaranya Abu Said al-Khudri, Atha', Ibn al-Musayyib, al-Laith, Abu Thaur dan Ibn al-Munzir.

Semoga Allah memberi kefahaman kepada kita untuk melaksanakan agama Islam dengan sebaik mungkin. Amin.

+ Mufti Wilayah Persekutuan

Merokok Di Dalam Tandas

Posted: 30 Jan 2019 04:07 PM PST

Soalan:
Terdapat sesetengah lelaki ketika membuang air besar di dalam tandas, mereka juga merokok. Apa pendapat ustaz tentang perkara ini? Dan bagaimana cara untuk kita mengelakkan diri kita dari melakukan perkara-perkara yang tidak baik di dalam tandas seperti merokok dan lain-lain? Mohon penjelasan.

Jawapan:
Pertama, kami tekankan di sini, hukum merokok itu adalah haram.

Kami telah mengulas berkenaan isu ini dengan panjang lebar dalam beberapa artikel yang telah kami terbitkan sebelum ini. Justeru, hukum menghisap rokok walaupun dimana sahaja kita berada, di dalam tandas ataupun diluar pada tandas hukumnya tetap haram.

Kedua, adab-adab berkaitan tandas.

Nabi SAW telah mengajarkan kepada kita adab-adab yang berkaitan dengan tandas. Antaranya membaca doa sebelum memasuki tandas. Ini sepertimana yang diriwayatkan daripada Anas Bin Malik R.A katanya, Nabi SAW akan membacakan doa:

اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنَ الْخُبُثِ وَالْخَبَائِثِ
"Ya Allah, aku berlindung denganMu daripada syaitan jantan dan syaitan betina." [Riwayat al-Bukhari (6322) dan Muslim (375)]

Menurut al-Khattabi, al-Khubuth (الْخُبث) ialah perkataan jamak (bilangan ramai) kepada kata al-khabith (خَبِيث) yang bermakna jin lelaki. Manakala al-khaba'ith (الْخَبَائِث) pula adalah perkataan jamak kepada al-khabithah (خبيثة) yang bermaksud jin perempuan. (Lihat Fath al-Bari, 1/243)

Berdasarkan hadis di atas, kita disuruh untuk berlindung dengan Allah SWT setiap kali hendak memasuki tandas. Ulama telah menyatakan bahawa, antara sebab utama kita dianjurkan untuk meminta perlindungan kepada Allah SWT ketika memasuki tandas adalah agar kita terlindung daripada syaitan-syaitan yang mendiami tempat-tempat najis dan tempat-tempat terbukanya aurat. Perkara ini adalah sabit dari hadis yang diriwayatkan oleh Zaid bin Arqam R.A, Nabi SAW telah bersabda:

إِنَّ هَذِهِ الْحُشُوشَ مُحْتَضَرَةٌ فَإِذَا أَتَى أَحَدُكُمُ الْخَلاَءَ فَلْيَقُلْ أَعُوذُ بِاللَّهِ مِنَ الْخُبُثِ وَالْخَبَائِثِ
"Sesungguhnya tempat membuang hajat didiami oleh syaitan, jika salah seorang di antara kalian ingin memasuki tandas, maka ucapkanlah: أَعُوذُ بِاللَّهِ مِنَ الْخُبُثِ وَالْخَبَائِثِ". [Riwayat Abu Daud (6) Ibn Majah (296) dan al-Nasa'ie (9903)]

Ini menunjukkan supaya kita tidak berlama-lamaan dalam tandas. Dengan merokok, maka ia akan menambahkan lagi agenda untuk berlamaan dan berkhayalan.

Begitu juga, ketika keluar dari tandas, kita diajarkan untuk membacakan doa:

غُفْرَانَكَ رَبَّنَا الحَمْدُ للهِ الَّذِي اَذْهَبُ عَنِّي الأَذَى وَعَافَانِي الْحَمْدُ للهِ الَّذِي أَذَاقَنِي لَذَّتَهُ وَأَبْقَى فِي قُوَّتِهِ وَدَفْعِ عَنِّي أَذَاهُ
"Kami mengharap keampunan-Mu. Segala puji bagi Allah SWT yang menghilangkan perkara yang menyakitkan daripadaku dan menyihatkan diriku. Segala puji bagi Allah SWT yang telah merasakan kelazatan-Nya dan mengekalkan kekuatan-Nya kepadaku serta menolak gangguannya daripada aku." [Riwayat Abu Daud (30), al-Tirmizi (7) dan Ibn Majah (301)]

Selain itu, kita juga dianjurkan untuk mengetahui adab-adab di dalam tandas seperti:

  • Membaca doa sebelum masuk tandas.
  • Masuk dengan kaki kiri dan keluar dengan kaki kanan.
  • Menutup kepala.
  • Memakai selipar.
  • Tidak berlama-lama di dalam tandas.
  • Jangan menyanyi di dalam tandas.
  • Tidak makan dan minum.
  • Membaca doa keluar tandas.
(Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/201)

Kesimpulan

Sebagai kesimpulan, sekali lagi kami tegaskan, jauhilah merokok kerana tiada padanya kecuali mudarat semata-mata.

Begitu juga, kita hendaklah mengamalkan adab-adab berkaitan tandas iaitu sebelum, semasa dan selepas memasukinya sepertimana yang telah diajar oleh Baginda Nabi SAW. Menjadi keperluan kepada kita untuk sentiasa memohon pertolongan dan perlindungan kepada Allah SWT sebagaimana sabit dalam hadis-hadis Nabi SAW.

Akhir sekali, semoga Allah SWT memberi kita taufik dan hidayah terhadap apa jua perkara yang kita lakukan dalam kehidupan kita. Amin.

+ Mufti Wilayah Persekutuan

Suami Berkata “Menyesal Bernikah Dengan Isteri”

Posted: 30 Jan 2019 03:57 PM PST


Soalan:
Apakah hukum suami berkata menyesal bernikah tetapi suami tiada niat untuk menceraikan isteri? Adakah ia termasuk dalam lafaz talaq?

Jawapan:
Sebelum menjawab persoalan di atas, perlu difahami terlebih dahulu berkenaan hukum talaq menggunakan lafaz yang jelas dan talaq menggunakan lafaz yang tidak jelas (kiasan). Pengarang kitab al-Fiqh al-Manhaji menyebut:

Pertama: Talaq Menggunakan Lafaz yang Jelas

Lafaz talaq yang jelas (صريح) ialah lafaz yang digunakan, yang menunjukkan maksud talaq secara jelas dan tidak dapat diandaikan kepada maksud lain. Ia merupakan talaq yang jelas menggunakan lafaz yang tidak membawa makna lain kecuali talaq.

Lafaz yang jelas juga termasuk terjemahan lafaz talaq dalam bahasa lain selain daripada bahasa Arab berdasarkan penggunaannya yang lumrah dalam masyarakat sebagaimana lafaz talaq yang biasa digunakan oleh orang Arab.

Hukum Talaq Menggunakan Lafaz yang Jelas: Penceraian dengan lafaz yang jelas menyebabkan jatuh talaq sama ada berniat talaq ataupun tidak. Hal ini kerana lafaz yang jelas dan maksud yang muktamad menunjukkan talaq tidak perlu kepada niat ketika melafazkannya.

Kedua: Talaq Menggunakan Lafaz yang Tidak Jelas (Kiasan)

Sementara lafaz talaq yang tidak jelas atau kiasan (كناية) ialah yang tidak menunjukkan maksud talaq secara jelas dan boleh diandaikan dengan maksud yang lain selain talaq.

Terdapat banyak lafaz talaq secara kiasan, antaranya:

  • Engkau tiada apa-apa lagi denganku.
  • Engkau berasingan daripadaku.
  • Engkau terputus hubungan denganku.
  • Kembalilah kepada keluargamu.
  • Pergilah ke mana engkau mahu.
  • Pergi jauh daripadaku.
  • Asingkanlah diri daripadaku.
  • Aku biarkan kamu dengan caramu.
  • Engkau haram bagiku.

Semua lafaz ini dianggap sebagai lafaz kiasan yang menunjukkan talaq kerana ia membawa maksud talaq dan maksud yang lain.

Hukum Talaq Menggunakan Lafaz Tidak Jelas (Kiasan): Lafaz talaq kiasan walaupun selalu digunakan untuk maksud talaq, seperti: "Engkau haram atasku" tidak menyebabkan jatuh talaq melainkan apabila suami berniat menceraikannya. Jika suami berniat yang lain selain talaq atau bermaksud apa-apa pun, maka tidak jatuh. (Lihat kitab al-Fiqh al-Manhaji, 3/14-18).

Apa Hukum Suami Berkata "Menyesal Bernikah dengan Isteri"?

Berdasarkan persoalan yang timbul, kami dapati ucapan yang dilafazkan tersebut bukanlah lafaz talak. Ia tidak termasuk sama ada di dalam lafaz talaq yang jelas atau tidak jelas. Ia hanyalah sekadar satu kata-kata meluahkan perasaan kekesalan yang tidak ada kaitan dengan konsep talaq yang dibincangkan. Oleh itu, talaq tidak jatuh terhadap isteri tersebut.

Kami berpendapat, amat perlu belajar serta mendalami hukum-hakam berkaitan perkahwinan terlebih dahulu sebelum berlangsungnya perkahwinan. Begitu juga, kami mengambil peluang di sini untuk menasihati agar berbincanglah dengan baik setiap permasalahan yang timbul dan mohonlah kepada Allah SWT agar diberi pertolongan dalam menyelesaikan konflik yang berlaku.

Sekiranya memerlukan orang tengah untuk mendamaikan pertelingkahan, maka lakukanlah sebagaimana firman Allah SWT:

وَإِنْ خِفْتُمْ شِقَاقَ بَيْنِهِمَا فَابْعَثُوا حَكَمًا مِّنْ أَهْلِهِ وَحَكَمًا مِّنْ أَهْلِهَا إِن يُرِيدَا إِصْلَاحًا يُوَفِّقِ اللَّـهُ بَيْنَهُمَا ۗ إِنَّ اللَّـهَ كَانَ عَلِيمًا خَبِيرًا
"Dan jika kamu bimbangkan perpecahan di antara mereka berdua (suami isteri) maka lantiklah "orang tengah" (untuk mendamaikan mereka, iaitu), seorang dari keluarga lelaki dan seorang dari keluarga perempuan. Jika kedua-dua "orang tengah" itu (dengan ikhlas) bertujuan hendak mendamaikan, nescaya Allah akan menjadikan kedua (suami isteri itu) berpakat baik. Sesungguhnya Allah sentiasa Mengetahui, lagi amat mendalam Pengetahuan-Nya." (Surah al-Nisa: 34-35)

Ibn Kathir berkata: "Ali bin Abi Talhah mengatakan daripada Ibnu Abbas R.Anhuma: Allah SWT memerintahkan mereka untuk mengutus seorang lelaki yang soleh (dipercayai) daripada pihak keluarga lelaki dan seorang yang sama daripada pihak keluarga wanita. Hal ini untuk meneliti siapa di antara keduanya yang melakukan perkara buruk. Jika suami yang melakukan keburukan, maka mereka dapat melindungi isteri dan membataskan kewajipannya dalam memberi nafkah. Jika isteri yang melakukan keburukan, mereka dapat mengurangkan haknya dari suami dan menahan nafkah yang diberikan kepadanya." (Lihat Tafsir al-Quran al-'Azim, 2/302)

Selain itu, boleh meminta pandangan dan nasihat daripada para ulama', ibu dan ayah, saudara mara yang amanah, rakan-rakan yang dipercayai dan adil yakni yang baik agamanya. Jika tidak, maka rujuklah kepada peguam, hakam dan sebagainya.

Sekiranya di Wilayah Persekutuan, boleh mendapatkan nasihat daripada Bahagian Perkahwinan dan Pembangunan Keluarga (BPPK) yang merupakan salah satu bahagian di Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) yang bersedia membantu pada bila-bila masa. Ini bagi mendapatkan mendapatkan khidmat runding keluarga (kaunseling) dan sebagainya. Atau sekiranya menetap di negeri lain, boleh juga merujuk kepada badan yang menjalankan khidmat nasihat di negeri-negeri berkaitan.

Mudah-mudahan Allah memberikan ketenangan dan kebahagiaan kepada kita dalam melayari kehidupan rumahtangga dan tercapai apa yang dimaksudkan dengan Baiti Jannati. Amin.

Wallahua'lam.

+ Mufti Wilayah Persekutuan