Wednesday, February 27, 2019

Oh! Media

Oh! Media


Penggiat Industri Kesihatan Cadang Agar Tiada Sesi Persekolahan Anak Jika Tidak Mengambil Suntikan Vaksin

Posted: 26 Feb 2019 03:10 AM PST


Berikutan dengan kes kematian kanak-kanak akibat tidak pernah mengambil suntikan vaksin, kini penggiat industri kesihatan telah mencadangkan agar menghalang sesi persekolahan kepada anak-anak bagi ibu bapa yang tidak mahu mengambil suntikan berkenaan.

Cadangan ini disampaikan penggiat industri kesihatan setelah Kementerian Kesihatan telah membuka sebarang cadangan dan dasar yang perlu bagi mengatasi masalah ini.

Presiden Persatuan Doktor Islam Malaysia (PERDIM), Datuk Dr Ahmad Shukri Ismail, berkata suntikan vaksin imunisasi ini perlu diwajibkan kepada anak-anak sebelum mereka masuk ke sesi persekolahan kerana penyakit seperti difteria boleh berjangkit jika ia tersebar.

"Suntikan vaksin imunisasi ini perlu mandatori. Ia membabitkan kematian dan ia perkara serius kerana penyakit seperti difteria, ia boleh berjangkit jika tersebar," kata Dr Ahmad Shukri kepada Bernama.

Sumber: Berita Harian

+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media.

Proton Persona Baharu Akan Dikeluarkan Tahun Ini

Posted: 25 Feb 2019 11:10 PM PST


Proton kini memperkenalkan wajah baharu Proton Persona mereka bagi segmen B yang sebelum ini telah memenangi anugerah.

Persona baharu ini akan dikeluarkan bersama satu lagi model mereka  iaitu Proton Iriz yang dijangka akan diperkenalkan pada tahun ini. Ini juga merupakan model pertama Proton yang diubah suai selepas menjalinkan kerjasama bersama Geely.

Dalam satu kenyataan Proton "Bahagian luaran baharu itu akan memaparkan imej sambungan pintar ditambah dengan estetika elegen dengan buatan kemas yang menjadikan Persona lebih menonjol berbanding pesaingnya".

Sumber: Bernama

+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media.

Afiq Harumkan Nama Malaysia di Grand Prix Dubai - Bawa Pulang Pingat Emas

Posted: 25 Feb 2019 09:28 PM PST



Nampaknya seorang lagi atlet Para Negara kian menyinar setelah jaguh pecut para negara Afiq Ali Hanafiah berjaya memenangi pingat emas 100 meter di Kejohanan Olahraga Para Dunia, Grand Prix Dubai di Emiriah Arab Bersatu.

Afiq berjaya menyerlah dalam acara T11/12 iaitu mengalami masalah penglihatan dan berjaya mencatat rekod kemenangan pada 11.48 saat.


Walaupun tidak berjaya memintas rekod terbaiknya iaitu pada kepantasan 11.20 saat, namun Afiq tetap berjaya meninggalkan pelari pilihan dari Jepun, Shunya Yamaji yang memenangi perak dengan kelebihan 0.15s.

Ini kali pertama dalam sejarah yang menyaksikan pelari pecut dari Malaysia memenangi emas dalam acara berkenaan.

+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media.



Rami Malek Memenangi Oscar dan Diangkat Sebagai 'Firaun' Baru Mesir

Posted: 25 Feb 2019 10:59 PM PST


Rami Malek yang merupakan seorang pelakon yang berasal dari AS dan berdarah Mesir kini diangkat sebagai 'Firaun' baru setelah berjaya mendapatkan Oscar untuk Aktor Terbaik dalam lakonannya dalam filem Bohemian Rhadsody.

Rami Malek yang turut pernah menjadi watak utama dalam sebuah game Until Down sebagai Joshua itu menerima anugerah terbabit bagi peranannya sebagai penyanyi utama kumpulan Britain, Queen.


Keluarga Malek ialah penganut Kristian Koptic yang berasal dari wilayah Minya.

Menteri Imigresen Mesir, Nabila Makram, turut mengucapkan tahniah di atas kemenangan Malek.

Sepupu Malek iaitu Fady Essam turut mengatakan keluarga akan membawa Malek balik ke Mesir untuk mengadakan sambutan besar-besaran ke atas kejayaan 'Firaun' baru itu.


+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media.

Solat Dengan Mengikat Rambut

Posted: 25 Feb 2019 04:04 PM PST


Soalan:
Apa hukumnya jemaah mengikat rambutnya ketika menunaikan solat?

Jawapan:
Dalam sebuah hadis daripada Ibn Abbas R.Anhuma menyebut:

أَنَّهُ رَأَى عَبْدَ اللَّهِ بْنَ الْحَارِثِ يُصَلِّي وَرَأْسُهُ مَعْقُوصٌ مِنْ وَرَائِهِ ، فَقَامَ فَجَعَلَ يَحُلُّهُ ، فَلَمَّا انْصَرَفَ أَقْبَلَ إِلَى ابْنِ عَبَّاسٍ فَقَالَ : مَا لَكَ وَرَأْسِي ؟ فَقَالَ : إِنِّي سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ : إِنَّمَا مَثَلُ هَذَا مَثَلُ الَّذِي يُصَلِّي وَهُوَ مَكْتُوفٌ
Bahawa beliau melihat Abdullah bin al-Harith solat dalam keadaan rambutnya diikat di belakang. Beliau (Ibn Abbas) lantas bangkit dan melepaskan ikatan tersebut. Apabila dia selesai (solat), lantas dia menghadap Ibn Abbas dan berkata: "Mengapa kamu lakukan pada rambutku demikian?" Lalu Ibn Abbas menjawab: Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda: "Perumpamaan orang ini (yang solat dengan mengikat rambutnya) seperti orang yang solat sedangkan kedua tangannya diikat ke belakang." [Riwayat Muslim (1129)]

Imam al-Munawi Rahimahullah dalam Faidh al-Qadir (7/185) berkata: "Perkataan (معقوص) ialah himpunan rambutnya seperti orang yang solat dalam keadaan tangannya terikat kepada dua bahunya, hukumnya adalah makruh. Ini kerana rambutnya jika tidak dibiarkan bebas, tidak jatuh pada lantai atau bumi. Justeru, tidaklah jadi dalam makna syahid dengan semua juzuknya. Samalah seperti kedua tangan yang terikat pada bahunya, tidak terkena bumi ketika sujud. Abu Syamah berkata: Ini ditanggung pada makna 'العقص' selepas pintal sebagaimana dilakukan oleh ramai wanita."

Ibn al-Athir Rahimahullah berkata: "Makna hadis ini adalah apabila orang yang solat rambutnya diuraikan (tidak diikat), maka rambut tersebut akan jatuh ke tanah ketika sujud sehingga pemiliknya akan diberikan pahala sujud dengan rambutnya. Namun, apabila rambutnya diikat, jadilah ia termasuk dalam makna orang yang tidak sujud. Ia diumpamakan dengan orang yang terikat kedua tangannya, kerana kedua tangan tersebut tidak dapat menyentuh tanah ketika sujud (sepertimana rambut yang diikat ke belakang tidak dapat menyentuh tanah ketika sujud)." (Lihat al-Nihayah fi Gharib al-Hadith, 3/275)

Di dalam kitab Nail al-Authar disebut: "Hukum ini (larangan mengikat rambut ketika solat) adalah khusus bagi lelaki, tidak bagi wanita. Kerana rambut mereka (para wanita) adalah aurat, wajib ditutup di dalam solat. Apabila mereka melepaskan ikatan rambut, boleh jadi rambutnya terurai dan sukar untuk menutupnya sehingga membatalkan solat. Dan juga, ia akan menyulitkannya apabila perlu melepaskan rambut ketika hendak solat. Nabi SAW sendiri telah memberikan keringanan kepada kaum wanita untuk tidak melepaskan ikatan rambut mereka ketika mandi wajib, sedangkan (hal ini) sangat perlu untuk membasahkan seluruh rambut mereka ketika mandi tersebut." (Lihat Nail al-Authar, 2/440)

Oleh itu, jika jemaah perempuan mengikatnya dalam sanggul, maka dibolehkan. Dalam permasalahan lelaki mengikat rambut, perlu dilihat, adakah sampai kepada tahap tasyabbuh (penyerupaan) kepada wanita atau tidak. Jika tasyabbuh dengan perempuan, maka seeloknya, hendaklah ditinggalkan. Panjang yang dihadkan yang tidak sampai kepada had keperempuanan.

Solat mereka tetap sah tetapi hukumnya makruh tanzihi bagi lelaki. Semoga Allah memberi kefahaman kepada kita dalam melaksanakan agama-Nya. Amin.

+ Ustaz Dr. Zulkifli Mohamad Al Bakri | Mufti Wilayah Persekutuan

Mengasihi Dan Berbuat Baik Terhadap Warga Emas

Posted: 25 Feb 2019 03:54 PM PST


Soalan:
Apakah cara yang terbaik untuk berbuat baik pada warga emas?

Jawapan:

Menghormati Dan Mengasihi Mereka

Islam mengajar umatnya untuk berbuat baik kepada orang yang lebih dewasa. Ini seperti hadis yang diriwayatkan daripada Anas bin Malik R.A. bahawa telah datang seorang tua kepada Nabi S.A.W, dan orang ramai melambatkan pergerakan untuk memberikan ruang kepadanya. Lalu Baginda S.A.W bersabda:

لَيْسَ مِنَّا مَنْ لَمْ يَرْحَمْ صَغِيرَنَا وَيُوَقِّرْ كَبِيرَنَا ‏
"Bukanlah daripada golongan kami barangsiapa yang tidak mengasihi kanak-kanak dan tidak menghormati orang dewasa." (Riwayat Tirmidzi: 1919)

Al-Munawi dalam mensyarahkan hadis di atas menyatakan: "Sesungguhnya kedua-duanya perbuatan itu merupakan satu perintah yang wajib diletakkan pada hak dan tempatnya. Ini seperti yang dewasa mengasihi dan menyayangi yang muda begitu juga sebaliknya yang muda menghormati dan memuliakan yang dewasa." (Rujuk: Faid Al-Qadir Syarah Al-Jamie' Al-Soghir:5/388)

Mubarakfuri di dalam kitabnya menyatakan (وَيُوَقِّرْ) iaitu menghormati dan ini termasuk juga para pemuda dan juga orang tua. (Rujuk: Tuhfatul Al-Ahwazi: 6/40)

Ibnu Abi Dunya menceritakan di dalam karyanya berkenaan kisah tabi'in bahawa mereka saling menghormati di antara satu sama lain. Diceritakan daripada Talhah bin Musharrif, ketika beliau berjalan bersama Malik bin Mighwal, sewaktu sampainya di satu laluan yang sempit, maka beliau mendahuluiku, lalu beliau berkata:

لَوْ كُنْتُ أَعْلَمُ أَنَّكَ أَكْبَرُ مِنِّيِ بِيَوْمٍ مَا تَقَدَّمْتُك
"Sekiranya aku tahu bahawa kamu lebih tua satu hari daripadaku maka aku tidak akan mendahuluimu." (Rujuk: Makarimal Al-Akhlak Li Ibnu Abi Dunya: 1/93)

Membantu Dan Memudahkan Kerja Mereka

Membantu di dalam perkara kebaikan merupakan satu perkara yang dituntut oleh syariat ini seperti firman Allah S.W.T di dalam Al-Quran:

وَتَعَاوَنُوا عَلَى الْبِرِّ وَالتَّقْوَىٰ ۖ وَلَا تَعَاوَنُوا عَلَى الْإِثْمِ وَالْعُدْوَانِ
"Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan." (Surah Al-Maidah: 2)

Baginda S.A.W dalam menyeru agar umatnya sentiasa mambantu dan memudahkan urusan orang lain agar dipermudahkan urusan di hari akhirat kelak. Ini seperti hadis daripada Abi Hurairah R.A sabda Nabi S.A.W:

مَنْ نَفَّسَ عَنْ مُؤْمِنٍ كُرْبَةً مِنْ كُرَبِ الدُّنْيَا نَفَّسَ اللَّهُ عَنْهُ كُرْبَةً مِنْ كُرَبِ يَوْمِ الْقِيَامَةِ
"Sesiapa yang melepaskan saudara mukmin daripada kesusahan di dunia maka Allah akan melepaskan kesusahannya pada hari kiamat." (Rujuk: 40 Hadis Imam Nawawi: 36)

Imam Ibnu Daqiq Al-A'id mensyarahkan hadis ini di dalam kitabnya menyatakan: "Pelbagai jenis ilmu dan kaedah yang terdapat di dalam hadis ini tentang kelebihan menunaikan hajat seseorang. Ia juga termasuk di dalam mempermudahkan urusan dalam menuntut ilmu, harta, nasihat dan lain-lain." (Rujuk: Syarah Al-Arbain Al-Nawawi Li Ibnu Daqiq Al-A'id: 1/119)

Kesimpulan

Kesimpulan bagi persoalan di atas terdapat pelbagai cara untuk kita berbuat baik kepada golongan warga emas, di antara perkara yang boleh dilakukan seperti berikut:

1. Memudahkan segala urusan harian seperti mambantu mereka dalam melakukan amal ibadat, ini termasuk di dalam hadis Baginda S.A.W seperti yang di atas.

2. Menghormati dan mengasihi mereka seperti menjaga adab dan tingkah laku ketika bersama mereka.

3. Sentiasa mengutamakan mereka dari segala urusan duniawi ini seperti hadis daripada Ibnu Umar R.A sabda Nabi S.A.W

أَمَرَنِي جِبْرِيلُ أَنْ أُقَدِّمَ الأَكَابِرَ
"Jibril A.S memerintahkan kepadaku supaya mengutamakan yang dewasa." (Riwayat Ahmad: 6226)

4. Sentiasa mendoakan kebaikan terhadap mereka dan ini seperti saranan Baginda S.A.W hadis daripada Abi Darda' R.A bahawa Rasullullah S.A.W bersabda:

مَا مِنْ عَبْدٍ مُسْلِمٍ يَدْعُو لِأَخِيهِ بِظَهْرِ الْغَيْبِ، إِلَّا قَالَ الْمَلَكُ: وَلَكَ بِمِثْلٍ
"Tidak ada seorang hamba yang muslim apabila berdoa kepada saudaranya yang berjauhan (tanpa pengetahuannya), melainkan malaikat berkata kepadanya: dan bagi kamu sepertinya (seperti yang didoakan)." (Riwayat Muslim: 4912)

5. Menjaga kebajikan mereka ketika mereka sakit terutamanya perkara yang bersangkut dengan ibadah.

Berbuat baik dan berakhlak mulia terhadap warga emas merupakan satu tuntutan agama kepada kita dan patut berada di dalam diri untuk dijadikan sebagai tauladan kepada semua masyarakat. Di dalam Al-Quran, Allah S.W.T telah mengakui bahawa Baginda S.A.W adalah merupakan contoh teladan yang terbaik untuk diikuti sebagaimana firman-Nya:

لَّقَدْ كَانَ لَكُمْ فِي رَسُولِ اللَّـهِ أُسْوَةٌ حَسَنَةٌ
"Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik." (Surah Al-Ahzab: 21)

Wallahua'lam.

+ Ustaz Dr. Zulkifli Mohamad Al Bakri | Mufti Wilayah Persekutuan

Mengumpat Yang Dibenarkan

Posted: 25 Feb 2019 03:38 PM PST


Soalan:
Adakah terdapat mengumpat yang dibenarkan oleh syarak?

Jawapan:
Islam merupakan sebuah agama yang amat menjaga kehormatan dan kemuliaan seseorang insan sama ada insan itu muslim atau bukan muslim. Justeru itu, agama ini mengharamkan perkara-perkara yang boleh mencalarkan atau merosakkan maruah seseorang seperti mengumpat sehingga Allah SWT membuat satu perumpaan yang dahsyat kepada golongan seperti ini.

Firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اجْتَنِبُوا كَثِيرًا مِّنَ الظَّنِّ إِنَّ بَعْضَ الظَّنِّ إِثْمٌ ۖ وَلَا تَجَسَّسُوا وَلَا يَغْتَب بَّعْضُكُم بَعْضًا ۚ أَيُحِبُّ أَحَدُكُمْ أَن يَأْكُلَ لَحْمَ أَخِيهِ مَيْتًا فَكَرِهْتُمُوهُ ۚ وَاتَّقُوا اللَّـهَ ۚ إِنَّ اللَّـهَ تَوَّابٌ رَّحِيمٌ
"Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa; dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang; dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (Jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu, patuhilah larangan-larangan yang tersebut) dan bertaqwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah penerima taubat, lagi Maha Mengasihani." (al-Hujurat:12)

Di dalam ayat ini jelas berkaitan pengharaman mengumpat sehingga diumpamakan seperti memakan daging saudaranya. Imam al-Maraghi di dalam tafsirnya menyatakan ghibah (mengumpat) diumpamakan seperti memakan daging kerana mengumpat itu bererti menyiat-nyiat kehormatan seperti memakan dan menyiat-nyiat daging. Perumpamaan seperti ini sesuai dengan cara orang Arab berkomunikasi. [Lihat: Tafsir al-Maraghi, 139-140/26]

Definisi al-Ghibah (mengumpat)

Sebelum kami menjawab persoalan di atas, maka suka bagi kami untuk menyatakan terlebih dahulu definisi bagi mengumpat ini sebagaimana yang diberikan oleh Rasulullah SAW:

أَتَدْرُونَ مَا الْغِيبَةُ؟ قَالُوا: اللهُ وَرَسُولُهُ أَعْلَمُ، قَالَ: ذِكْرُكَ أَخَاكَ بِمَا يَكْرَهُ
"Adakah kamu tahu apakah itu mengumpat?" Para sahabat berkata: "Hanya Allah dan Rasul-Nya yang mengetahuinya." Nabi SAW bersabda: "Kamu menyebut perihal saudaramu yang tidak disukainya." [Riwayat Muslim (2589)]

Berdasarkan soalan di atas, di sini kami ingin nukilkan pandangan Imam al-Nawawi sebagaimana yang dinyatakan di dalam kitabnya. Mengumpat yang dibenarkan dengan tujuan yang sahih dan syar'i yang mana tidak akan dikecapi melainkan dengannya, terdapat enam jenis:

  • Membuat aduan apabila dizalimi kepada sultan atau hakim.
  • Membantu dalam menentang perkara yang munkar dengan tujuan mengembalikan pelaku maksiat ke jalan yang benar.
  • Menceritakan kepada mufti bagi tujuan fatwa.
  • Mencegah umat Islam daripada sesuatu keburukan serta menasihati mereka seperti mereka mengambil ilmu daripada bukan ahlinya.
  • Menceritakan perihal orang yang melakukan dosa secara terang-terangan.
  • Menyebut sesuatu sifat yang telah makruf (diketahui) kepada diri seseorang itu seperti bisu atau buta dan sebagainya. Akan tetapi, jika mampu memanggilnya dengan panggilan yang lain adalah lebih baik dan haram memanggil panggilan-panggilan tersebut dengan niat menghina.

Untuk itu, keenam perkara ini dinyatakan oleh para ulama dan sebahagian besarnya disepakati akannya. Adapun, kesemua ini datang daripada dalil-dalil atau hadith-hadith yang sahih lagi masyhur. [Lihat: Riyadh al-Solihin, 432-433]

Imam Ibn Qudamah al-Maqdisi di dalam kitabnya ada juga menyebut jenis-jenis mengumpat yang dibenarkan oleh syarak sama seperti yang dinyatakan oleh Imam al-Nawawi di atas. [Lihat: Mukhtasar Minhaj al-Qasidin, 172-173]

Penutup

Kesimpulannya, mengumpat adalah satu perbuatan yang haram melainkan dengan sebab-sebab yang diizinkan syara' sepertimana yang telah kami jelaskan di atas. Selain itu, sebagai seorang muslim yang mengaku beriman kepada Allah SWT perlulah menjaga lidah daripada perkara-perkara yang haram dan sia-sia. Ini kerana, ciri atau sifat orang yang beriman adalah sentiasa bercakap perkara yang baik atau mendiamkan diri daripada bercakap perkara-perkara yang sia-sia. Amin.

Wallahua'lam.

+ Ustaz Dr. Zulkifli Mohamad Al Bakri | Mufti Wilayah Persekutuan