Thursday, February 28, 2019

Oh! Media

Oh! Media


Inkues Adib - Lagi Pendedahan 15 Soalan Yang Sempat Ditanya dan Dijawab Adib

Posted: 27 Feb 2019 05:06 AM PST


Ini merupakan perkembangan terbaru inkues Adib dan ia pendedahan 15 soalan yang diajukan dan sempat dijawab oleh arwah Adib sewaktu sedang dirawat.

Perkara ini didedahkan oleh Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Subang Jaya, Syed Shahril Anuar Syed Sulaiman yang telah menyediakan dokumen mengandungi kesemua soalan yang telah diajukan kepada Muhammad Adib ketika sedang melakukan lawatan di Unit Rawatan Rapi, Institut Jantung Negara pada 12 Disember lalu.

Saksi ke-18 inkues itu berkata, ketika itu pada 12.30 tengah hari, beliau melihat Muhammad Adib yang semakin baik, ceria dan lebih memberangsangkan, baru sahaja selesai menjalankan rawatan fisioterapi.

"Selepas mendapat kebenaran keluarga Muhammad Adib dan pihak hospital, saya bersama dengan pegawai bomba Shafik bertemu dengannya dan kemudiannya bertanya soalan-soalan itu selain ada dua jururawat," katanya.

"Adib memegang dokumen yang mengandungi 15 soalan itu menggunakan tangan kiri disebabkan dirinya memang kidal serta dia sedang bersandar di katil hospital.

"Walaupun dia (Muhammad Adib) boleh membaca sendiri, saya tetap membacakan semula soalan itu kepadanya untuk dia menjawabnya," katanya.

Berikut 15 soalan ditanyakan oleh Syed Sharil Anuar dan jawapan diberikan Muhammad Adib :

Soalan 1: Adakah perusuh cuba buka pintu kenderaan masa kenderaan berundur?

Jawapan : Ya

Soalan 2 : Adakah Adib cuba halang dan tahan pintu daripada terbuka?

Jawapan : Ya

Soalan 3 : Adakah mereka berjaya membuka pintu EMRS?

Jawapan : Ya

Soalan 4 : Apakah perasaan Adib ketika mereka cuba buka pintu kenderaan?

(Ada beberapa pilihan jawapan iaitu takut, cemas, tertekan dan panik)

Jawapan : Tertekan

Soalan 5 : Adakah Adib ditarik keluar dari kenderaan EMRS?

Jawapan : Ya

Soalan 6 : Jika ditarik, adakah mereka tarik Adib bahagian mana? 

Jawapan : Bahu

Soalan 7 : Apakah Adib terjatuh selepas ditarik?

Jawapan : Tidak ingat

Soalan 8: Adakah Adib terjatuh semasa ditarik?

Jawapan : Tidak ingat

Soalan 9 : Semasa Adib dipukul, adakah sedar atau tidak?

Jawapan : Tidak ingat

Soalan 10 : Adakah mereka memukul dengan peralatan?

Jawapan : Ya

Soalan 11 : Jika gunakan peralatan, adakah Adib nampak peralatannya?

Jawapan : Tidak

Soalan 12 : Peralatan apakah yang digunakan semasa dipukul? Kayu, batu, besi atau lain-lain peralatan?

Jawapan : Lain-lain peralatan.

Soalan 13 : Adakah Adib sedar semula di lokasi atau hospital?

Jawapan : Hospital

Soalan 14 : Adakah Adib terasa terancam ketika berada dalam situasi itu?

Jawapan : Ya

Soalan 15 : Adakah Adib cuba bertindak pertahankan diri ketika itu?

Jawapan : Tidak ingat

+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media.

Harga Runcit RON95 Dihadkan Pada Kadar RM2.08 Seliter Berbanding RM2.20

Posted: 27 Feb 2019 04:23 AM PST


Satu lagi berita gembira untuk rakyat Malaysia apabila kerjaan membuat keputusan untuk menurunkan lagi had harga runcit minyak RON95 pada kadar RM2.08 selitar berbanding RM2.20 sebelum ini.

Ia akan berkuat kuasa hari ini dan ini diumumkan oleh Lim Guan Eng, Menteri Kewangan dan ia telah dipersetujui kabinet dalam mesyuarat jemaah menteri selepas mengambil kira trend harga sebenar pasaran produk petroleum yang semakin meningkat.

"Ini bermakna harga runcit RON95 akan dihadkan kepada RM2.08 seliter walaupun harga minyak dunia naik lebih daripada itu.

"Sekiranya harga minyak dunia berada di bawah paras tersebut, harga mingguan petrol RON95 akan berada di bawah paras RM2.08," katanya.

+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media.

Hukuman Terhadap Individu Menghina Agama Akan Masuk Kanun Keseksaan

Posted: 27 Feb 2019 02:20 AM PST


Datuk Seri Dr Mujahid hari ini menegaskan bahawa kesalahan menyebarkan kebencian dan penghinaan terhadap mana-mana agama akan dimasukkan dalam Kanun Keseksaan (Akta 574).

Ini secara dasarnya telah mendapat persetujuan dan akan dibentangkan di Kabinet sebelum usul pindaannya dibawa ke sidang Dewan Rakyat, kata Mujahid.

Pindaan ini turut akan memberikan hukuman yang lebih berat dan akan mengetatkan lagi beberapa proses pendakwaan termasuk operasi prosedur standard, pembuktian di mahkamah.

"Secara dasarnya, kita bersetuju menangani isu kebencian kaum dan agama, termasuk menghina Islam serta Rasulullah dengan niat, dimasukkan dalam Kanun Keseksaan untuk pindaan.

"Ia bagi memastikan hukuman lebih tegas terhadap penghina agama termasuk Islam. Kita buat dalam Kanun Keseksaan kerana sudah ada peruntukan, cuma nak bagi ketat dan 'ummphh' (padu) lagi.

"Kita mengharapkan dapat dibentang (di Parlimen) pada Mac ini, sebelum itu ia perlu dibawa ke Kabinet. Selepas itu, ia akan dimasukkan dalam Aturan Urusan Mesyuarat (AUM)," katanya kepada pemberita, hari ini.

+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media.

Penghina Nabi Muhammad Dihadapkan Ke Mahkamah Sesyen Atas Dua Pertuduhan

Posted: 27 Feb 2019 12:47 AM PST


Seorang warga emas yang sebelum ini dibebaskan atas jaminan polis kini didakwa di Mahkamah Sesyen akibat penghinaan ke atas Nabi Muhammad SAW dan Saidatina Aishah serta telah memuat naik karikatur berunsur penghinaan.

Penghinaan yang dimuat naik di Facebooknya itu telah mencetuskan kemarahan umat Islam Malaysia dan hari ini, Wai Foo Sing mengaku tidak bersalah dan memohon dibicarakan sebaik pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa dalam bahasa Inggeris di hadapan Hakim M Edwin Paramjothy.

Lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 298A(1)(a) Kanun Keseksaan, yang boleh dihukum penjara maksimum lima tahun, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan terhadapnya dibuat mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998(Akta 588), yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM20,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 5 April ini untuk sebutan semula kes.

+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media.


Seorang Individu India Diberi Anugerah Khas Kerana Tidak Menekan Hon Selama 18 Tahun

Posted: 26 Feb 2019 11:37 PM PST


Seorang pemandu lelaki di India kini telah menerima satu anugerah khas kerana tidak pernah menekan hon pada sesiapa sepanjang pemanduannya selama 18 tahun.

Manush Sanman mendapat penghargaan itu kerana situasi atau masalah memunyikan hon sering menjadi isu di India kerana kesesakan lalu lintas dan lambakkan kenderaan yang tidak dapat dikawal lagi.

Oleh itu, pemberian anugerah ini dilihat sebagai usaha dalam mengurangkan masalah pencemaran bunti di jalanraya India.



+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media.


Jepun Mengesahkan Kapal Angkasa Hayabusa-2 Berjaya Menembak Peluru ke Dalam Asteroid

Posted: 26 Feb 2019 11:23 PM PST


Jepun dalam satu laporan telah mengatakan bahawa kapal angkasa mereka telah menembak sebutir peluru ke dalam sebuah asteroid untuk mengambil sampel debu yang ada di permukaannya.

Asteroid yang berada pada jarak 299 juta kilometer dari Bumi itu dikatakan telah berjaya dicapai apabila berjaya membuat pendaratan dan menembak sebutir peluru ke dalam asteroid yang diberi nama Ryugu.

Penyelia kapal angkasa Hayabusa-2 iaitu Yuichi Tsuda berkata, pelurus sebesar hujung jari manusia dan diperbuat daripada logam istimewa dipanggil tantalum dan mencapai kelajuan lebih 1,000 kilometer sejam ketika ditembak menggunakan senapang angkasa lepas bertekanan tinggi.

Hayabusa-2 mengumpul debu serta batu angkasa di permukaan asteroid Ryugu pada Rabu lalu dan saintis berharap ia dapat membawa sampel itu pulang ke Bumi apabila misinya tamat pada tahun 2020.

+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media.

Individu Hina Nabi Muhammad SAW Dihadapkan Ke Mahkamah Majistret

Posted: 26 Feb 2019 11:22 PM PST


Seorang lagi individu yang telah menghina Nabi Muhammad SAW melalui facebook, kini dihadapkan ke Mahkamah Majistret.

Lelaki yang bernama, A Taneson dan dikatakan hanya seorang operator kilang itu tidak mengaku bersalah dihadapan Majistret Rini Triany Munamad Ali.

Tertuduh sebelum ini telah menaikkan ayat penghinaan ke atas Nabi Muhammad SAW melalui faceboom 'Sarkar Tanesan'.

Hukuman berat sewajarnya harus dikenakan terjadap mereka kerana ia boleh menyebabkan suasana tidak harmoni, perpecahan, perasaan permusuhan, benci membenci antara kumpulan agama Islam dengan kumpulan bukan agama Islam.

Tertuduh melakukan kesalahan itu di Jalan Cekak Musang 10/2, Seksyen 10, Shah Alam, Selangor.
Kes didakwa mengikut Seksyen 298A (1)(a) Kanun Keseksaan, yang boleh dihukum mengikut Seksyen 298A (1) kanun yang sama dan jika sabit kesalahan, boleh dikenakan hukuman penjara tidak lebih lima tahun.

Sumber: Berita Harian

+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media.

Maksud Al-Ruwaibidhah Dalam Hadith

Posted: 26 Feb 2019 04:27 PM PST


Soalan:
Apakah maksud Ruwaibidhah di dalam hadis Nabi SAW?

Jawapan:
Kami mulakan dengan hadith Nabi SAW yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

سَيأتي على الناسِ سَنَوَاتٌ خَدَّاعَاتُ ، يُصَدَّقُ فيها الكَاذِبُ ، و يُكَذَّبُ فيها الصَّادِقُ ، و يُؤْتَمَنُ فيها الخَائِنُ ، وَيُخَوَّنُ فيها الأَمِينُ ، ويَنْطِقُ فيها الرُّوَيْبِضَةُ . قيل : وما الرُّوَيْبِضَةُ ؟ قال : الرجلُ التَّافَهُ ، يتكلَّمُ في أَمْرِ العَامَّةِ
"Akan datang kepada manusia tahun-tahun yang penuh dengan penipuan dan tipu daya, kata-kata pendusta dibenarkan (dipercayai) dan didustakan percakapan orang yang benar, diberi amanah kepada pengkhianat dan dikhianati orang-orang yang amanah. Kemudian akan berkata-katalah golongan al-Ruwaibidhah." Baginda SAW ditanya: "Siapakah golongan al-Ruwaibidhah?" Maka baginda SAW menjawab: "Orang yang bodoh lagi fasik berbicara (mengurus) berkaitan perkara umum yang besar."

[Riwayat Ibn Majah, kitab al-Fitan, bab zaman yang dahsyat, no. 4026. Imam Ahmad, Sahabat yang banyak meriwayatkan hadith, musnad Abu Hurairah, no. 7571. Al-Hakim, Mustadrak 'ala al-Sahihayn, (5:659)]

Makna al-Ruwaibidah berdasarkan tafsiran ulama'

Para ulama' telah menafsirkan beberapa makna bagi al-Ruwaibhidah, antaranya ialah:

  • Al-Ruwaibidhah adalah sighah tasghir bagi Rabidhah (رابضة) dan ta' marbuthah di akhirnya bagi menunjukkan mubalaghah. Al-Rabidhah ialah seseorang yang lemah dan tenggelam di dalam hal-hal keduniaan dan sentiasa menginginkannya. [Lihat: Hasyiah al-Sindi 'ala Ibn Majah, 2:494]
  • Riwayat di dalam Musnad Ahmad mengatakan: Orang yang bodoh bercakap perkara umum. [Musnad Ahmad, no. 7912]
  • Riwayat di dalam Syarh Musyhkil al-Athar: Orang yang fasiq bercakap perkara umum. [Syarh Musyhkil al-Athar, no. 13299]
  • Imam al-Syatibi di dalam al-'Itisham: Orang yang bodoh dan keji bercakap berkaitan perkara umum sedangkan dia bukan ahli dalam perkara tersebut tetapi masih ingin bercakap. [Al-'Itisham, 3:100]

Fiqh al-Hadith

Antara yang dapat diambil kesimpulannya daripada hadith ini ialah:

  • Baginda Nabi SAW memberi amaran kepada umatnya agar berhati-hati ketika menghadapi hari-hari yang penuh dengan tipu daya dan pada waktu itu, kebenaran dan amanah akan terletak pada orang-orang yang bodoh dan keji lagi fasik. Mereka ini digelar sebagai al-Ruwaibidhah.
  • Nabi SAW menyifatkan al-Ruwaibidhah dengan dua sifat iaitu sebagai orang yang keji atau kurang ilmunya dan dalam masa yang sama bercakap berkaitan perkara-perkara umum yang besar sedangkan dia tidak mempunyai ilmu padanya.

Akhirnya, semoga Allah SWT jadikan kita dalam kalangan hamba-hamba-Nya yang berilmu, soleh serta sentiasa beramal dengan ilmunya.

Wallahu a'lam.

+ Ustaz Dr. Zulkifli Mohamad Al Bakri | Mufti Wilayah Persekutuan

Bahaya Mu’tazilah

Posted: 26 Feb 2019 04:13 PM PST


Salah Faham

Muncul kebelakangan ini golongan yang menyeru agar umat Islam kembali berpegang dengan pemikiran Mu'tazilah jika ingin lebih maju dan progresif. Pemikiran ini dikatakan mampu merungkaikan kejumudan berfikir umat Islam terutama dalam menerima cabaran-cabaran baharu dalam era masakini. Apakah kenyataan ini tepat?

Pencerahan

Mu'tazilah merupakan kumpulan yang pernah wujud dalam sejarah Islam seawal kurun kedua hijrah. Para ulama berkhilaf bagaimana asal munculnya nama Mu'tazilah. Terdapat beberapa pendapat yang dikemukakan, antaranya seperti berikut:

Ketika al-Hasan al-Basri ditanya mengenai kedudukan pelaku dosa besar, adakah ia jatuh kufur? Sedang beliau berfikir untuk menjawabnya, Wasil bin 'Ata' tiba-tiba menjawab dengan mengatakan pelaku dosa besar itu tidak mukmin secara mutlak, tidak juga kafir secara mutlak. Tetapi ia berada antara dua kedudukan, bukan mukmin dan bukan kafir. Lalu Wasil telah mengasingkan dirinya pada salah satu tiang masjid sambil mempertahankan pendiriannya. Al-Hasan al-Basri kemudian mengatakan Wasil telah mengasingkan diri daripada kita (اعتزل واصل عنا). Turut bersetuju dengan pendapatnya adalah 'Amru bin 'Ubayd. Setelah itu pengikut Wasil dan 'Ubayd dikenali sebagai Mu'tazilah.
(Lihat al-Milal wa al-Nihal, 1/42; Syarh al-Usul al-Khamsah, 138)

Istilah Mu'tazilah pada peringkat awal tidak merujuk kepada mana-mana doktrin. Ia tidak bersifat pujian ataupun celaan. Namun begitu, selepas golongan ini mula mengeluarkan pendapat-pendapat yang berlainan, penamaan ini menjadi lebih bermakna celaan. Lebih-lebih lagi apabila ia terbit daripada seorang imam seperti al-Hasan al-Basri yang memiliki kedudukan sangat tinggi, khususnya dalam kalangan murid-murid beliau dan umumnya dalam kalangan umat Islam. Di samping itu, perkataan seorang tokoh besar kebiasaannya akan menarik perhatian.
(Lihat Tarikh al-Firaq al-Islamiyyah, 51) 

Berdasarkan latar belakang ringkas yang dikemukakan di atas, ia menjelaskan kepada kita bahawa Mu'tazilah itu merupakan suatu aliran pemikiran yang terbentuk hasil daripada pegangan pengasasnya yang berbeza dengan majoriti umat Islam. Bagi memperincikan lagi pemikiran mereka, dikemukakan di sini beberapa perkara yang wajib diketahui meliputi objektif dan metodologi pemikiran mereka dalam beragama.

Terpengaruh dengan Falsafah Yunani

Mu'tazilah adalah golongan yang terperangkap dengan pemikiran logik dan falsafah Yunani, falsafah India dan falsafah Parsi. Majoriti mereka memiliki dasar pemikiran keparsian. Kesudahannya, mereka cuba mengadaptasikan al-Quran dengan ajaran-ajaran falsafah tersebut. Di samping mereka juga tidak mempercayai hadis-hadis yang didakwa bertentangan dengan logika Paganisme Yunani.
(Lihat al-Sunnah wa Makanatuha fi al-Tasyri' al-Islami, hlm. 7)

Menurut Syeikh Muhammad Abu Zahrah, pelbagai faktor yang menyebabkan golongan Mu'tazilah terjerumus ke dalam pengaruh falsafah.

Pertama, menerusi ilmu falsafah, mereka menemui keanjalan dalam penggunaan akal sehingga mampu untuk memperkukuhkan hujah-hujah mereka.

Kedua, ketika golongan falsafah menggempur prinsip-prinsip pemikiran Islam, golongan Mu'tazilah menawarkan kepada mereka perdebatan. Akibatnya, Mu'tazilah terpaksa menggunakan sebahagian metodologi golongan falsafah dalam berdebat dan menyampaikan argumentasi.
(Lihat Tarikh al-Mazahib al-Islamiyyah, 1/145)

Akal Sebagai Sumber Pengetahuan Mu'tazilah

Secara ringkas, sumber pengetahuan yang dimaksudkan Mu'tazilah adalah proses bagaimana golongan ini mengutamakan akal berbanding nas-nas syarak. Dengan kata lain menjadikan akal sebagai pemutus dan tidak tunduk kepada hukum. Metodologi logik yang digagaskan oleh Mu'tazilah ini terdiri daripada dua objektif:

Pertama: Bertujuan membersihkan akal fikiran daripada sebarang ikatan dan kebiasaan. Dalam konteks ini, memang metode ini berjaya menghapuskan cara berfikir taqlid buta.

Kedua: Menjadikan akal sebagai pemutus segala perkara secara mutlak. Ini kerana, golongan Mu'tazilah amat percaya kepada akal, menempatkannya pada posisi yang amat tinggi sehingga akal menjadi hukum bagi memutuskan segala perkara. Ia ibarat cahaya yang menerangi setiap kegelapan. Lalu akal dipaterikan dengan iman sehingga menjadi rujukan dalam segala aspek kehidupan umum mahupun khusus.
(Lihat al-Fikr al-Islami bayn al-Ams wa al-Yawm Mahjub bayn al-Milad, 114)

Walhasil, golongan Mu'tazilah telah meletakkan akal jauh lebih tinggi daripada syariat yang diturunkan Allah SWT itu sendiri. Mereka menjadikan dalil logik lebih utama berbanding dalil syariat. Harus bagi mereka menolak dalil syariat jika didapati ia bertentangan dengan akal manusia meskipun itu merupakan hadith Nabi SAW yang sahih. Ayat-ayat al-Quran juga akan ditakwilkan sesuai dengan akal sekalipun ia merupakan nas yang jelas maknanya. Apa yang penting adalah nas-nas syarak tersebut diinterpretasikan relevan dengan prinsip-prinsip pemikiran mereka.
(Lihat al-Tafsir wa al-Mufassirun, 1/372-373)

Memperleceh Para Sahabat R.Anhum

Dalam tradisi Mu'tazilah, didapati mereka langsung tidak menghormati dan menghargai kedudukan para sahabat Rasulullah SAW. Tokoh-tokoh Mu'tazilah sering mengecam para sahabat, merendah-rendah bahkan menuduh mereka sebagai golongan yang bermuka-muka. Ibrahim al-Nazzam, salah seorang tokoh Mu'tazilah menuduh Abu Bakar al-Siddiq, 'Ali bin Abi Talib dan Abdullah bin Mas'ud sebagai munafiq. Di samping amat memusuhi Abu Hurairah R.A sebagai seorang sahabat yang mulia dan banyak meriwayatkan hadith.
(Lihat Ta'wil Mukhtalaf al-Hadith, 17)

Dengan sikap prejudis tersebut, Mu'tazilah mengambil kesempatan di atas peristiwa perang Jamal dan Siffin untuk menjatuhkan kehormatan para sahabat. Dua tokoh Mu'tazilah iaitu Wasil bin 'Ata' dan 'Amru bin 'Ubayd pernah mengatakan: "Salah satu daripada dua golongan yang berselisih dalam perang Jamal adalah fasiq, persaksian mereka tidak diterima."
(Lihat al-Farq bayn al-Firaq, 120)

Sedangkan para ulama Ahli Sunnah Wal-Jamaah telah bersepakat bahawa keseluruhan para sahabat adalah adil (kredibel). Sekalipun terjadi perselisihan dalam kalangan mereka yang membawa kepada peperangan, Ahli Sunnah tetap berkeyakinan bahawa ia berlaku atas dasar ijtihad, jika benar maka mendapat dua pahala, jika tersilap maka mendapat satu pahala.

Abu Mansur al-Baghdadi ketika menjelaskan pendirian Mu'tazilah terhadap sahabat menyimpulkan: "Kalangan Mu'tazilah ada yang merasa ragu-ragu terhadap kredibiliti para sahabat semenjak terjadinya pertikaian di antara mereka seperti Wasil bin 'Ata'. Ada juga yang berkeyakinan bahawa para sahabat itu adalah fasiq seperti 'Amru bin 'Ubayd. Ada juga yang mengecam pemuka para sahabat, menuduh mereka pendusta, jahil bahkan munafiq seperti al-Nazzam. Dengan demikian mereka terpaksa menolak pelbagai hadith yang diriwayatkan menerusi para sahabat tersebut. Bahkan al-Nazzam menolak ijma' dan qiyas serta hadis-hadis mutawatir sebagai hujah."
(Lihat al-Farq bayn al-Firaq, 120)

Sikap Mu'tazilah ini akhirnya membuka ruang kepada pihak yang berniat jahat terhadap Islam seperti golongan orientalis untuk menembusi kehormatan para sahabat, memfitnah mereka dan mempermainkan agama Allah SWT. Ia kemudiannya diikuti pula oleh beberapa penulis Islam seperti Ahmad Amin dan Mahmud Abu Rayyah yang terpengaruh dengan penulisan orientalis.

Prinsip keadilan menurut Mu'tazilah

Salah satu prinsip pemikiran yang terpenting di sisi Mu'tazilah adalah mengenai konsep keadilan. Mereka percaya dengan keadilan-Nya, Allah SWT membiarkan manusia menciptakan amal perbuatan mereka sendiri, sama ada baik atau buruk. Dengan keyakinan tersebut, mereka menolak keberadaan taqdir. Kewujudan taqdir dikatakan akan mencampuri perbuatan seseorang hamba, maka ini sudah tentu akan bercanggah dengan keadilan Allah SWT.
(Lihat Syarh al-Usul al-Khamsah, 345)

Mu'tazilah mengatakan bahawa Allah SWT tidak menciptakan kecuali perkara yang baik sahaja. Dia tidak sekali-kali menciptakan perkara yang buruk dan Dia tidak akan mengabaikan apa yang wajib dilakukan oleh-Nya. (Lihat Syarh al-Usul al-Khamsah, 132) Ini bermakna, di sisi Mu'tazilah, Allah SWT tidak sekali-kali akan melakukan perkara yang buruk dan Dia juga tidak menghendakinya.
(Lihat Syarh Usul al-Khamsah, 459-462)

Antara implikasi prinsip keadilan ini, mereka berpendapat bahawa baik dan buruk sesuatu adalah ditentukan dan dinilai dengan akal. Maka apa sahaja yang diperintahkan oleh syarak mesti disebabkan kebaikan zat sesuatu perkara itu, demikian juga larangan syarak mesti disebabkan oleh keburukan zat sesuatu perkara itu.
(Lihat Fajr al-Islam, 298)

Secara tidak langsung, Mu'tazilah menerusi prinsip keadilan mereka, telah memberikan suatu fungsi yang amat tinggi kepada akal sehingga boleh menetapkan setiap apa yang ditentukan oleh Allah SWT wajib bertepatan dengan penilaian baik dan buruk pada akal.

Pelaku dosa besar

Dalam membahaskan isu pelaku dosa besar, Mu'tazilah berpegang dengan prinsip manzilah bayn manzilatayn (posisi tengah antara iman dan kufur). Menurut Mu'tazilah, pelaku dosa besar tidak boleh dihukum beriman sebagaimana mereka juga tidak boleh dihukumkan kafir. Sebaliknya mereka itu digelar fasiq dan akan kelak akan kekal di dalam neraka walaupun mereka beriman kepada Allah SWT dan Rasul-Nya. Mu'tazilah bersandarkan firman Allah SWT:

وَمَن يَقْتُلْ مُؤْمِنًا مُّتَعَمِّدًا فَجَزَاؤُهُ جَهَنَّمُ خَالِدًا فِيهَا وَغَضِبَ اللَّـهُ عَلَيْهِ وَلَعَنَهُ وَأَعَدَّ لَهُ عَذَابًا عَظِيمًا
"Dan sesiapa yang membunuh seorang mukmin dengan sengaja, maka balasannya ialah neraka jahanam, kekal ia di dalamnya, dan Allah murka kepadanya, dan melakanatkannya serta menyediakan baginya azab seksa yang besar." [Surah al-Nisa': 93]

Namun begitu, Mu'tazilah berpendapat azab yang dikenakan ke atas pelaku dosa besar di akhirat lebih ringan berbanding seksaan terhadap orang-orang kafir.
(Lihat Manhaj al-Madrasah al-'Aqliyyah fi al-Tafsir, 44-52)

Pendirian terhadap hadith Nabi SAW

Hadith Nabi SAW adalah sumber ajaran Islam kedua selepas al-Qur'an. Hadith berfungsi sebagai pentafsir dan penjelas kepada al-Qur'an sebagai sumber pertama. Oleh sebab itu, para ulama sangat mengambil berat terhadap disiplin ilmu hadith bagi memastikan kesuciannya sentiasa terpelihara. Namun demikian, golongan Mu'tazilah tidak menerima hadith ahad sebagai hujah dalam penetapan hukum. Bagi mereka, hadith ahad tidak boleh memberikan ilmu yang pasti dan meyakinkan sementara justifikusi hukum berdasarkan logik itu lebih pasti dan boleh dijadikan hukum syariat.

Dengan alasan tersebut, hukum logik harus didahulukan daripada hadith ahad secara mutlak, sama ada dalam persoalan aqidah mahupun ibadah. Bahkan mereka menolak semua hadith ahad secara total dengan alasan persoalan aqidah hendaklah tertegak dengan metodologi bersifat absolut dan pasti. Bukan berdasarkan metodologi yang bersifat spekulatif seperti hadith ahad. Ini kerana, hadith ahad bagi mereka langsung tidak layak dikategorikan sebagai sunnah kecuali jika ia relevan dengan akal logik. Justeru, hadith ahad tidak boleh disebut, "Rasulullah SAW bersabda.." tetapi disebut, "Diriwayatkan daripada Rasulullah SAW".
(Lihat Fadhl al-I'tizal, 185-186)

Implikasinya daripada pendirian tersebut, Mu'tazilah menolak banyak persoalan aqidah yang pasti daripada Rasulullah SAW seperti seksa kubur, telaga (al-haudh) Rasulullah SAW, titian sirath , timbangan amalan (al-mizan), syafaat dan isu melihat Allah di akhirat. Mereka juga menolak hukum-hakam syariat yang sah dengan alasan bertentangan dengan logik atau kontradiktif dengan al-Qur'an dan hadith-hadith lain.

Ibn Qutaibah dalam Ta'wil Mukhtalaf al-Hadtih mengemukakan beberapa contoh mengenai penyimpangan Mu'tazilah dalam berinteraksi dengan hadith-hadith Rasulullah SAW. Antaranya, al-Nazzam mengatakan kemungkinan terjadi pendustaan dalam hadith mutawatir. Hujah logik menurutnya cukup kuat untuk menafikan kredibiliti hadith mutawatir. Al-Nazzam lalu menolak pelbagai riwayat tentang mukjizat Nabi SAW seperti terbelahnya bulan, batu-batu kerikil yang bertasbih di tangan baginda, yang akhirnya penolakan itu menjadi hujah untuk menolak kenabian baginda.
(Lihat al-Sunnah wa Makanatuha fi al-Tasyri' al-Islami, hlm. 138)

Al-Baghdadi mengatakan, akidah al-Nazzam telah dirasuki oleh kerosakan akibat berinteraksi dengan puak zindiq dan filosof serta yang lain. Bahkan al-Nazzam akhirnya menolak penghujahan ijma' dan qiyas dalam pelbagai persoalan amali syariat.
(Lihat al-Farq bayn al-Firaq, hlm. 127-143)

Al-Baghdadi juga menukilkan ungkapan Abu al-Huzail al-'Allaf yang mengatakan, "Sesungguhnya hujah melalui jalur hadith yang tidak dapat ditangkap oleh panca indera seperti tanda-tanda kekuasaan Allah pada para nabi atau dalam wujud lain, tidak mungkin ditetapkan oleh kurang daripada dua puluh orang, salah satunya atau lebih adalah ahli syurga." Ertinya, dia beranggapan bahawa riwayat kurang daripada empat orang tidak boleh mengeluarkan sebarang hukum.
(Lihat al-Farq bayn al-Firaq, 127-143)

Kesimpulan

Berdasarkan pembentangan ringkas mengenai latar belakang dan pemikiran Mu'tazilah di atas, dapat difahami bahawa Mu'tazilah merupakan suatu pemikiran yang terpengaruh dengan tradisi luar daripada Islam. Golongan ini jelas mendewakan akal dan mengutamakannya berbanding nas-nas al-Qur'an dan al-Sunnah. Pemikiran sebegini secara langsung dan tidak langsung bersesuaian dengan seruan sesetengah kelompok Islam modernis-progresif masa kini yang kononnya mahu mereformasikan ajaran Islam yang didakwa jumud. 

Golongan ini berusaha sehabis mungkin menceduk dan menggali metodologi puak Mu'tazilah untuk diaplikasikan dalam masyarakat Islam pada hari ini. Mereka cuba melakukan modernisasi terhadap syariat Islam sesuai dengan metodologi golongan modernis Barat. Dengan kata lain, modernisme dalam agama adalah suatu bentuk pemikiran yang ditegakkan bersandarkan keyakinan bahawa kemajuan akademik dan wawasan moden mengharuskan reinterpretasi terhadap pelbagai doktrin agama tradisional berasaskan sistematika ajaran falsafah Barat yang diagung-agungkan.
(Lihat Mafhum Tajdid al-Din, 96-97)

Justeru, dakwaan bahawa umat Islam perlu kembali mengamalkan fahaman Mu'tazilah demi mengangkat agama ini daripada kejumudan dan kemunduran adalah tertolak sama sekali. Sejarah Islam telah membuktikan, tanpa berpegang dengan fahaman Mu'tazilah, umat Islam telah berjaya berada di kemuncak ketamadunan seperti yang ditunjukkan pada era Andalusia. Akhirnya, semoga Allah SWT memimpin kita semua agar dikurniakan kefahaman Islam yang benar dan dilindungi daripada aliran yang menyeleweng demi keselamatan di dunia dan di akhirat.

Kami akhiri dengan berdoa kepada Allah:

اللَّهُمَّ أَرِنَا الْحَقَّ حَقًّا، وَارْزُقْنَا اتِّبَاعَهُ، وَأَرِنَا الْبَاطِلَ بَاطِلًا، وَارْزُقْنَا اجْتنِاَبَهُ، وَلَا تَجْعَلْهُ مُلْتَبِسًا عَلَيْنَا فَنَضِلَّ، وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا
"Ya Allah, tunjukkanlah kepada kami kebenaran itu sebagai kebenaran, dan rezekikanlah kepada kami untuk mengikutinya. Dan tunjukkanlah kepada kami kebatilan itu sebagai kebatilan dan rezekikanlah kepada kami untuk menjauhinya, dan jangan jadikannya terkeliru atas kami sehingga kami sesat. Dan jadikanlah kami bagi orang yang bertaqwa sebagai pemimpin." 

+ Ustaz Dr. Zulkifli Mohamad Al Bakri | Mufti Wilayah Persekutuan

Mohon Fasakh Kerana Suami Hidap HIV

Posted: 26 Feb 2019 04:03 PM PST


Soalan:
Kami pasangan yang sudah lama berkahwin, saya tidak tahu bagaimana, tiba-tiba suami saya menghidap HIV, apa yang patut saya lakukan? Bolehkah saya memohon fasakh? Atau sekadar menjauhkan diri sahaja?

Jawapan:
Perkahwinan adalah suatu yang disyariatkan untuk merealisasikan kasih-sayang di antara lelaki dan perempuan. Ia bukan sahaja untuk kebahagiaan satu pihak iaitu pihak lelaki sahaja, namun Islam sesekali tidak melupakan hak wanita untuk menikmati kebahagiaan dalam perkahwinan. Ini bertepatan dengan firman Allah SWT di dalam al-Quran:

وَمِنْ آيَاتِهِ أَنْ خَلَقَ لَكُم مِّنْ أَنفُسِكُمْ أَزْوَاجًا لِّتَسْكُنُوا إِلَيْهَا وَجَعَلَ بَيْنَكُم مَّوَدَّةً وَرَحْمَةً ۚ إِنَّ فِي ذَٰلِكَ لَآيَاتٍ لِّقَوْمٍ يَتَفَكَّرُونَ 
"Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaannya dan rahmat-Nya, bahawa Dia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikanNya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir." (Surah al-Rum: 21)

Maka, jelaslah perkahwinan itu bukan sahaja untuk memberi kebahagian kepada satu pihak sahaja seperti mana yang disebutkan dalam ayat di atas. Begitu juga sekiranya kita melihat hukum asal bagi pernikahan yang terbahagi kepada beberapa hukum, yang antaranya adalah makruh untuk berkahwin sekiranya akan membawa kepada mafsadah atau keburukan kepada pasangan seperti mempunyai penyakit, keuzuran atau lanjut usia. [Lihat kitab al-Mu'tamad (4/18)]

Maka disebabkan hal ini, untuk orang lelaki dan perempuan yang sudah melangsungkan perkahwinan, Islam memberikan jalan keluar apabila berlaku sesuatu yang tidak diduga.

Sebelum kita membincangkan hukum bagi soalan di atas, perlu untuk kita fahami terlebih dahulu beberapa persoalan penting berkenaan fasakh. Fasakh adalah jalan keluar daripada pernikahan apabila terdapat aib-aib yang telah ditentukan syarak, dan ia memberi kesan kepada tujuan pernikahan itu. Antaranya ialah aib-aib yang menyebabkan terhalang untuk istimta' atau "berseronok" di antara suami dan isteri.

Secara asasnya, para fuqaha' telah menyenaraikan beberapa aib-aib yang dibolehkan untuk membawa kepada tuntutan fasakh. Antaranya:

وَعُيُوبُ النِّكَاحِ سَبْعَةٌ وَهِيَ الجُنُونُ وَالجُذَامُ وَالبَرَصُ وَالرَّتْقُ وَالقَرْنُ وَالعُنَّةُ وَالجُبُّ
Aib-aib dalam pernikahan itu ada tujuh, iaitu gila, kusta, sopak, faraj tersumbat dengan daging, faraj terhalang dengan tulang, zakar tidak boleh membesar, hasyafah terpotong. [Lihat al-Mu'tamad (4/96)]

Dalam perbahasan ini Dr. Muhammad al-Zuhaili menyebutkan secara jelas lagi terang bahawa:

وَيُقَاسُ عَلَيْهَا الأمرض المُعَدِّيَةُ وَالمُنَفِّرَةُ كَمَرَضِ نَقْصِ المَنَاعَةِ المُكْتَسَبِ (الإِيدِزْ) وَغَيْرَهُ, لفوات الاِسْتِمْتَاعُ المَقْصُودُ مِنْ النِّكَاحِ
Diqiyaskan ke atas hal-hal ini penyakit-penyakit berjangkit dan merebak seperti penyakit HIV/AIDS, dan lain-lain, kerana menghilangkan keseronokan dari maksud pernikahan. [Lihat al-Mu'tamad fi al-Fiqh al-Syafi'ei (4/96)]

Hal ini turut disebutkan di dalam al-Majmu':

وَالقِيَاسُ أَنَّ كُلَّ عَيْبٍ يُنْفِرُ أَحَدَ الزَّوْجَيْنِ مِنْهُ وَلَا يُحَصِّلُ بِهِ مَقْصُودَ النِّكَاحُ مِنْ المَوَدَّةِ وَالرَّحْمَةِ يُوجِبُ الخِيَارَ
Dan diqiyaskan bahawa setiap aib yang menimpa salah seorang dari pasangan sehingga tidak tercapai kerananya tujuan pernikahan untuk mencapai mawaddah dan kasih sayang, maka wajib khiyar. [Lihat al-Majmu' (16/271)]

Kesimpulan

Berdasarkan nas dan penghujahan di atas, apabila suami terkena penyakit HIV/AIDS selepas pernikahan, maka boleh untuk perempuan menuntut fasakh kerana ia adalah hak bagi isteri untuk keluar daripada perkahwinan. Hal ini seperti yang disebutkan dalam perbincangan di atas, bahawa apabila telah terkena penyakit yang menghalang hubungan suami isteri, maka sudah hilanglah salah satu daripada tujuan pernikahan yang menghalalkan hubungan ranjang lelaki dan perempuan. Maka, tidaklah menjadi kesalahan kepada yang bertanya dan mereka di luar sana yang mempunyai masalah yang sama untuk menuntut fasakh.

Semoga Allah SWT memberikan kita hidayah dalam memahami dan mempraktikkan syariat-Nya.

+ Ustaz Dr. Zulkifli Mohamad Al Bakri | Mufti Wilayah Persekutuan