Saturday, March 30, 2019

Oh! Media

Oh! Media


MIC Setuju Untuk Jalinkan Kerjasama Bersama PAS

Posted: 29 Mar 2019 06:13 AM PDT


Selepas UMNO setuju menjalinkan kerjasama bersama PAS, kini MIC juga telah bersetuju untuk bersama dan menjadi parti kompenen kedua selepas UMNO.

Ini diumumkan oleh Presiden MIC, Tan Sri SA Vigneswaran yang menyatakan keputusan itu dibuat bagi memperkukuhkan blok pembangkang khususnya bagi menghadapi PRK Rantau pada 13 April ini.

Bagi PAS pula, Dato' Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi juga berkata kerjasama itu akan membawa perubahan baharu dalam politik PAS selain sebagai persediaan PRK Rantau yang bermula selepas penamaan calon pada Sabtu ini.

"PAS amat menyanjungi MIC sejak dahulu lagi. Kita percaya kerjasama ini membuka tekad baharu dalam menghadapi cabaran politik masa hadapan," katanya.

+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media.


Sultan Johor Berhasrat Bina Pasar Raya Harga Murah

Posted: 29 Mar 2019 05:48 AM PDT


Pasar raya besar dengan jualan barangan pada harga yang rendah kini sedang dalam perancangan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar.

Bagi mengurangkan kos sara hidup rakyat, Sultan Ibrahim Iskandar kini sedang merancang untuk menjalinkan kerjasama strategik dengan sebuah pasar raya besar.

"Pasar raya ini memberi jaminan bahawa mereka boleh menjual barang pada kadar 10 peratus lebih rendah, pada masa sama turut memberi jaminan pada kualitinya.

"Ini akan memudahkan rakyat khususnya mereka yang berpendapatan rendah mendapatkan barang keperluan asas dan harian pada harga yang murah," titah baginda.

Walaubagaimanapun, perkembangan selanjutnya akan diumumkan Sultan Ibrahim dalam tempoh terdekat.

+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media.

RON95 dan Diesel Kekal Pada Paras Maksimum, RON97 Naik 2 Sen

Posted: 29 Mar 2019 04:13 AM PDT


Seperti biasa, setiap hari minggu (Jumaat) pasti ramai yang ingin mengetahui harga runcit terbaru bagi minyak petrol.

Bagi minggu ini, harga runcit Petrol RON97 sahaja menghadapi kenaikan dengan nilai RM2.63 seliter, naik 2 sen. Manakal RON95 dan Diesel seperti biasa kekal pada paras maksimum RM2.08 dan RM2.18 seliter.

"Berdasarkan pengiraan di bawah formula APM, harga runcit produk petrol RON95 dan diesel bagi tempoh 30 Mac hingga 5 April itu masing-masing sepatutnya RM2.33 seliter dan RM2.36 seliter.

"Namun, kedua-dua produk dikekalkan harga runcitnya selaras keputusan kerajaan untuk menstabilkan harga produk petroleum dan mengurangkan kos sara hidup rakyat," katanya.

+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media.

Semua 111 Sekolah Yang Diberi Cuti Tidak Perlu Sekolah Ganti

Posted: 29 Mar 2019 01:33 AM PDT


Susulan dengan pemberian cuti sekolah di 111 sekolah di sekitara kawasan Pasir Gudang Johor akibat pencemaran udara pembuangan sisa toksik tempoh hari, kini dimaklumkan semua sekolah yang terlibat tidak perlu mengganti cuti berkenaan.

Ia tidak perlu digantik kerana cuti yang diberikan adalah akibat bencana jelas Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Agama Johor, Aminolhuda Hassan.

Walaubagaimanapun, semua guru di sekolah yang terbabit dapat menghabiskan silibus pembelajaran dan mengejar hari cuti yang berlalu.

Ini bagi memastikan setiap pelajar dapat bersiap sedia untuk menghadapi peperiksaan. Sebagai tambahan, pakar dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof Abdull Rahim Mohd Yusoff turut menasihatkan agar setiap kipas dan tingkap di semua bahagian blok yang terjejas perlu dibuka bagi peredaraan udara yang baik.

+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media.

'We Are One' - Himpunan Memperingati Mangsa Christchurch Diadakan

Posted: 28 Mar 2019 11:21 PM PDT


Setelah dua minggu berlalu tragedi hitam serangan pengganas di Christchurch yang mengorbankan 50 nyawa tidak bersalah, hari ini upacara memperingati semua mangsa diadakan dan suasana pilu dengan rintihan mengikut tradisi masyarakat Maori turut dilaungkan di bandar South Island.

Majlis dihadiri wakil dari 59 buah negara dan Perdana Menteri, Jacinda Ardern turut hadir.

Majlis yang bertemakan 'Kita Adalah Satu' turut dikeluarkan secara langsung di televisyen tempatan New Zealand dan Penyanyi British yang sudah memeluk Islam, Cat Stevens atau Yusuf Islam diberi kepercayaan memimpin bacaan doa pada majlis berkenaan.

Sumber: NST

+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media.

Taiwan Cadang Hukuman Mati Terhadap Pemandu Mabuk

Posted: 29 Mar 2019 01:34 AM PDT


Kemalangan yang disebabkan dari sikap pemandu yang mabuk memang sering berlaku di seluruh dunia termasuk di Malaysia.

Oleh itu, kerajaan Taiwan kini sedang bercadang untuk menjatuhkan hukuman mati terhadap pesalah yang yang menyebabkan kemalangan maut akibat memandu dalam keadaan mabuk.

Kabinet negara itu, semalam, meluluskan satu draf pindaan terhadap Kanun Keseksaan yang akan menjadikan kesalahan menyebabkan kematian ketika memandu dalam keadaan mabuk sebagai kesalahan bunuh.

Ketika ini, hukuman maksimum menyebabkan kematian, ketika memandu dalam keadaan mabuk di Taiwan hanya 10 tahun.

Walaubagaimanapun, cadangan ini mendapat tentangan hebat dari kumpulan hak asasi.

+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media.

Atlet Lompat Kijang Negara Berjaya Lakukan Lompatan Emas

Posted: 28 Mar 2019 11:20 PM PDT


Muhammad Hakimi Ismail, atlet lompat kijang negara nampaknya berjaya mempamerkan aksi cemerlang apabila mendapat pingat emas di Kejohanan Balapan dan Padang Singapura 2019.

Dengan catatan lompatan sejauh 16.01 meter itu membolehkan Hakimi mendapat pingat emas lompat kijang lelaki.

Pingat perak acara ini milik seteru utama dari Filipina, Mark Harry Diones (15.96m) sementara gangsa dibawa pulang Pratcha Tepparak dari Thailand, 15.85m.

+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media.

Solat Jamak & Qasar Semasa Musafir Tanpa Bermalam

Posted: 28 Mar 2019 04:44 PM PDT


Soalan:
Saya menghantar anak balik ke university di Alor Gajah dari Subang Jaya yang mana perjalanannya melebihi 2 marhalah dan keluar daripada kawasan mukim saya. Adakah boleh saya jamak solat sebelum tiba di rumah walaupun saya tak bermalam?

Jawapan:
Ada tiga syarat sah solat musafir yakni jamak dan qasar berkaitan dengan perjalanan:

  • Perjalanan yang jaraknya hingga 81 km dan lebih. Oleh itu, tidak diambil kira perjalanan yang kurang daripada jarak tersebut. Dia juga hendaklah tidak berniat menetap selama empat hari di tempat yang dituju selain pada hari mula sampai dan pada hari akan keluar. Apabila berniat menetap selama empat hari jadilah tempat yang dituju itu seolah-olah negerinya atau tempat tinggalnya yang tetap. Oleh itu dia tidak harus bersolat qasar lagi di situ dan haknya untuk bersolat qasar kekal semasa dalam perjalanan sahaja.
  • Perjalanan yang tentu tempat tujuannya. Oleh itu, orang yang merayau-rayau tanpa tujuan ke tempat yang tertentu, dan orang yang mengikut ketuanya tanpa mengetahui ke mana hendak di bawanya, perjalanan mereka tidak mengharuskan qasar kecuali setelah menjangkau jarak perjalanan yang jauh. Ini kerana telah diyakini jauh perjalanannya.
  • Perjalanan tersebut tidak bertujuan maksiat. Justeru, tidak diambil kira perjalanan musafir untuk berniaga arak, mengamalkan riba' atau menyamun. Ini kerana qasar merupakan keringanan yang disyariatkan untuk menunaikan sesuatu tanggungjawab, dan ia tidak boleh terkait dengan sebarang maksiat.

Manakala, tiada syarat sah yang mewajibkan bermalam. Sebaliknya, Hukum Syarak hanya menetapkan waktu maksimum iaitu 3 hari tidak termasuk hari pergi dan hari keluar. Ini berdasarkan hadis al-Ala` bin al-Hadhrami RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

ثَلاَثٌ لِلْمُهَاجِرِ بَعْدَ الصَّدَرِ
"Tiga hari bagi orang Muhajirin (boleh menetap di Makkah) selepas al-sadar (yakni selesai manasik Haji)." [Riwayat al-Bukhari (3933) dan Muslim (1352)]

Berkata Imam Abu Ishak al-Syairazi sebelum berdalilkan hadis ini: "Jika seorang musafir itu berniat muqim (menetap) empat hari selain hari masuk dan hari keluar maka jadilah sebagai seorang mukim (semata-mata dengan niat itu), dan terpotonglah (yakni terhentilah) rukhsah musafirnya kerana berniat menetap tiga hari tidak menjadikan musafir itu seorang mukim." [Rujuk al-Majmu' Syarh al-Muhadzdzab (4/359)]

Berkenan dalil solat jamak ketika musafir, daripada Ibn Abbas R.Anhuma, katanya:

كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَجْمَعُ بَيْنَ صَلاَةِ الظُّهْرِ وَالْعَصْرِ إِذَا كَانَ عَلَى ظَهْرِ سَيْرٍ، وَيَجْمَعُ بَيْنَ الْمَغْرِبِ وَالْعِشَاءِ
"Rasulullah SAW menjamakkan solat Zohor dengan Asar ketika perjalanan (yakni bermusafir) dan menjamakkan solat Maghrib dengan Isyak." [Riwayat al-Bukhari (1056)]

Hadith seterusnya, daripada Ibn Abbas R.Anhuma:

أَنَّ النَّبِي صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ جَمَعَ بَيْنَ الصَّلاَةِ فِى سَفْرَةٍ سَافَرْنَاهَا فِى غَزْوَةِ تَبُوكَ فَجَمَعَ بَيْنَ الظُّهْرِ وَالْعَصْرِ وَالْمَغْرِبِ وَالْعِشَاءِ قَالَ سَعِيدٌ بِنْ جُبَيْرٍ فَقُلْتُ لاِبْنِ عَبَّاسٍ: مَا حَمَلَهُ عَلَى ذَلِكَ؟ قَالَ: أَرَادَ أَنْ لاَ يُحْرِجَ أُمَّتَهُ
"Nabi SAW menjamakkan solat dalam perjalanan yang kami lakukan ketika peperangan Tabuk. Baginda menjamakkan solat Zohor dengan solat Asar dan solat Maghrib dengan Isyak." Said bin Jubair berkata: Aku bertanya kepada Ibn Abbas: "Apakah yang mendorong Baginda berbuat begitu?" Jawabnya: "Baginda tidak mahu menyusahkan umatnya." [Riwayat Muslim (705)]

Berdasarkan keterangan di atas, dibenarkan bagi seseorang yang musafir ke suatu destinasi yang melebihi 2 marhalah untuk melakukan solat musafir seperti jamak dan qasar, sekalipun dia hanya balik hari dan tidak bermalam. Semoga penjelasan ini memberikan manfaat kepada pihak yang bertanya. Wallahua'lam.

+ Ustaz Dr. Zulkifli Mohamad Al Bakri | Mufti Wilayah Persekutuan
+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media

Sakit Kanser Dan Mendapat Giliran Haji

Posted: 28 Mar 2019 04:36 PM PDT


Soalan:
Apakah yang perlu dilakukan bagi pesakit kanser yang telah mendapat giliran bagi mengerjakan haji. Adakah dia perlu tangguhkan dahulu sehingga sudah sembuh atau meneruskan rukun Islam tersebut. Seperti yang diketahui, imun sistem pesakit kanser sangat lemah dan boleh mengakibatkan kematian sekiranya terdedah di tempat awam semasa mengerjakan haji. Terima kasih.

Jawapan:
Menurut Kementerian Kesihatan Malaysia, kanser atau barah adalah sejenis penyakit yang berkaitan dengan ketidak seimbangan replikasi dan tindak balas sel dalam badan. Biasanya, sel ini akan bertambah (replikasi) mengikut aturannya bagi membolehkan tumbesaran badan dan pemulihan selepas berlakunya kecederaan. Namun ada kalanya sel ini bertambah secara tidak normal menyebabkan berlakunya ketumbuhan tidak normal atau juga dikenali sebagai tumor.

Tumor boleh dikategorikan sebagai bukan barah (benign) ataupun barah (malignant). Tumor bukan barah tidak merebak ke bahagian tubuh badan atau organ yang lain. Barah pula terdiri daripada sel-sel barah yang sekiranya tidak dirawat boleh merebak ke bahagian tubuh badan yang lain. Sel barah boleh merebak ke organ yang lain menyebabkan komplikasi sistemik. Komplikasi dan kehilangan fungsi multi organ akan menyebabkan kematian.

Apabila sel ini sampai ke bahagian tubuh badan yang lain, ketumbuhan baru boleh terjadi di organ tersebut. Keadaan barah merebak ini adalah dikenali sebagai barah sekunder atau metastasis. Perkataan barah juga boleh digunakan dalam keadaan pertambahan sel yang tidak normal tetapi tidak diikuti dengan ketumbuhan atau tumor. Ini adalah seperti yang berlaku dalam penyakit yang melibatkan sel penghasilan darah iaitu penyakit leukimia. (Lihat Apa Itu Kanser di portal Kementerian Kesihatan Malaysia, http://www.myhealth.gov.my/apa-itu-kanser/)

Menjawab persoalan di atas, kami nukilkan nas Ilahi di mana Allah SWT berfirman:

وَلِلَّـهِ عَلَى النَّاسِ حِجُّ الْبَيْتِ مَنِ اسْتَطَاعَ إِلَيْهِ سَبِيلًا
"Dan Allah mewajibkan manusia mengerjakan ibadat Haji dengan mengunjungi Baitullah iaitu sesiapa yang mampu sampai kepadanya." (Surah Ali Imran: 97)

Imam al-Qurtubi ketika menafsirkan ayat ini, menaqalkan kata-kata Imam al-Syafie berkenaan istito'ah: "Kemampuan mempunyai dua jenis:

  1. Seseorang itu mampu dari segi kesihatan di samping mempunyai perbelanjaan untuk menunaikan haji.
  2. Seseorang itu tidak mampu dari segi kesihatan akan tetapi dia mampu untuk mengupah orang lain untuk menunaikan haji bagi pihak dirinya." (Lihat al-Jami' li Ahkam al-Quran, 4/95)

Perkataan istito'ah pada bahasa bermaksud: "Kemampuan untuk melakukan sesuatu perkara." (Lihat Mu'jam Lughah al-Fuqaha', hlm. 62)

Di dalam kitab al-Fiqh al-Manhaji disebut: "Kemampuan mempunyai dua jenis, iaitu kemampuan secara langsung dan secara tidak langsung:

  1. Kemampuan secara langsung bermaksud seseorang itu mampu melakukan sendiri ibadah haji dan umrah disebabkan masih berupaya, iaitu badan yang sihat, sanggup menempuh perjalanan dan melakukan kerja-kerja ibadah tersebut tanpa mengalami kemudaratan yang berat dan kesulitan yang tidak mampu ditanggungnya.
  2. Kemampuan secara tidak langsung bermaksud seseorang mukallaf yang memiliki harta yang mencukupi untuk mengupah orang lain mengerjakan haji bagi pihaknya sama ada semasa dia masih hidup atau selepas dia meninggal dunia. Hal ini adalah kerana dia sendiri tidak berupaya melakukannya disebabkan tua, berpenyakit dan seumpamanya. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 2/155)

Dr. Usamah bin Ibrahim Filali dalam kertas kerjanya bertajuk "Istito'ah fi al-Haj wa al-Mutaghayyirat al-Mu'asirah" berkata: "Jika (seseorang mukallaf) lemah dengan sebab tua, atau sakit yang tiada peluang untuk sembuh, hendaklah dia mewakilkan kepada orang lain untuk melakukan haji untuknya."

Muzakarah Haji Peringkat Kebangsaan kali ke-25, di dalam resolusinya menyebut: "Pesakit yang mengidap penyakit kronik yang tidak ada harapan sembuh seperti sakit buah pingggang yang menjalani rawatan hemodialisis dan seumpamanya tidak wajib menunaikan ibadat haji. Pesakit kronik adalah wajib melaksanakan badal haji sekiranya berkemampuan daripada sudut kewangan; dan sekiranya telah sembuh daripada sakit kronik, individu tersebut wajib menunaikan ibadat haji jika berkemampuan."

Manakala Resolusi Muzakarah Haji Peringkat Kebangsaan Kali Ke-21 menyebut: "Kewajipan menunaikan ibadat haji tidak akan gugur bagi golongan berikut: (a) Terlalu tua; (b) Penyakit yang tidak ada harapan sembuh; (c) Penyakit yang teruk. Oleh itu wajib ke atas mereka menggantikan dengan badal haji jika mereka mampu membiayai kos mengerjakan haji semasa hayatnya."

Kesimpulan

Dalam kes seperti di atas, kanser tersebut perlulah dilihat sudah sampai ke tahap berapa. Sekiranya telah mencapai tahap yang parah dan menyusahkan serta menyukarkan, maka kebiasaannya doktor akan memberi rekomendasi supaya tidak pergi. Disebabkan itulah, pesakit yang seperti ini perlu dilihat secara case by case tahap keadaannya.

Kami lebih cenderung kepada seseorang pesakit seperti ini berbincang dengan pakar perubatan terlebih dahulu bagi menentukan status kebolehan untuk melaksanakan ibadat haji dan ia termasuk dalam maksud istito'ah. Justeru, itu menjadi neraca tentang boleh atau tidak seseorang itu menunaikan ibadat haji.

Niat yang baik untuk melaksanakan ibadat haji adalah amat baik dan diharap diberi pahala. Ini berdasarkan hadis Nabi SAW:

نِيَّةُ الْمُؤْمِنِ خَيْرٌ مِنْ عَمَلِهِ
"Niat seorang mukmin lebih baik berbanding amalannya." [Riwayat al-Tabarani dalam al-Mu'jam al-Kabir (5942)]

Maksud niat lebih baik berbanding amalan adalah kerana niat tidak akan dimasuki kerosakan, manakala amalan pula boleh dimasuki oleh kerosakan. Adapun yang dimaksudkan dengan kerosakan itu adalah seperti riya'. Perkara ini boleh dilihat daripada kata-kata Abu Sahl dan dikatakan juga bahawa niat tanpa amal boleh menjadi ketaatan. Ini berdasarkan sebuah hadith, bahawa Nabi SAW bersabda:

مَنْ هَمَّ بِحَسَنَةٍ فَلَمْ يَعْمَلْهَا، كُتِبَتْ لَهُ حَسَنَةً
"Barangsiapa yang berazam untuk lakukan kebaikan tetapi dia tidak sempat melakukannya. Maka akan ditulis baginya satu kebaikan." [Riwayat Muslim (206)]

Untuk itu, mereka mengatakan bahawa amalan yang dilakukan tanpa niat tidaklah menjadi satu ketaatan. (Lihat Syu'ab al-Iman, 176/9)

Semoga Allah memberi kesembuhan kepada orang yang sakit dari kalangan kita. Saya akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ اشْفِ مَرْضَانَا وَعَافِ مُبْتَلَانَا وَارْحَمْ مَوْتَانَا
"Ya Allah! Sembuhlah orang sakit di kalangan kami. Afiatkanlah orang yang diuji di kalangan kami dan rahmatilah orang yang telah mati dari kalangan kami."

+ Ustaz Dr. Zulkifli Mohamad Al Bakri | Mufti Wilayah Persekutuan
+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media

Pelajar Ingin Berkahwin Namun Ekonomi Masih Lemah

Posted: 28 Mar 2019 04:30 PM PDT


Soalan:
Apa petua untuk lelaki yang sedang sibuk belajar tetapi pada masa yang sama suka dengan seorang perempuan. Kalau nak kahwin, kekuatan ekonomi masih lagi lemah.

Jawapan:
Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Abdullah bin Mas'ud R.A, Nabi SAW bersabda:

يَا مَعْشَرَ الشَّبَابِ مَنِ اسْتَطَاعَ مِنْكُمُ الْبَاءَةَ فَلْيَتَزَوَّجْ فَإِنَّهُ أَغَضُّ لِلْبَصَرِ وَأَحْصَنُ لِلْفَرْجِ وَمَنْ لَمْ يَسْتَطِعْ فَعَلَيْهِ بِالصَّوْمِ فَإِنَّهُ لَهُ وِجَاءٌ
"Wahai para pemuda! Sesiapa di antara kamu telah mampu (pembiayaan) berkahwin, maka bernikahlah. Kerana nikah itu dapat menundukkan mata dan memelihara faraj (kelamin). Dan sesiapa yang belum mampu, maka hendaklah berpuasa kerana puasa itu dapat menjadi perisai baginya (dalam membendung syahwat)." [Riwayat al-Bukhari (5065) dan Muslim (3466)]

Imam Nawawi menjelaskan: "Adapun pengertian al-ba'ah (الْبَاءَةَ) sendiri adalah jimak (hubungan intim), inilah makna al-ba'ah (الْبَاءَةَ) pada bahasa. Namun yang dimaksudkan adalah mampu untuk berjimak disertai dengan kemampuan memberi nafkah terlebih dahulu. Sesiapa yang tidak mampu berjimak lantaran belum mampu dari segi nafkah, maka hendaklah dia rajin berpuasa untuk mengekang syahwatnya yang menggelora. Gejolak maninya dapat ditahan dengan rajin berpuasa sunat seperti itu. Itulah maksud hadis yang dikemukakan di atas. Hadis tersebut ditujukan kepada para pemuda yang syahwatnya sudah menggelora namun belum mampu untuk memberi nafkah." (Lihat Syarh al-Nawawi 'ala Sahih Muslim, 9/154)

Imam al-San'ani pula menyebut: "Para ulama' berselisih pendapat pada maksud al-Ba'ah (الباءة). Pendapat yang paling sahih (qaul al-asah), maksud al-Ba'ah ialah jimak atau mampu bersetubuh. Maka hadis tersebut dibaca dengan: Barangsiapa yang mampu daripada kalangan kamu bersetubuh kerana kemampuannya untuk menanggung perkahwinan, maka berkahwinlah. Sesiapa yang tidak mampu bersetubuh kerana lemah untuk menanggung perkahwinan, maka dia hendaklah berpuasa untuk mengekang syahwatnya." (Lihat Subul al-Salam Syarh Bulugh al-Maram oleh al-San'ani, 2/159)

Dalam kitab Taudhih al-Ahkam menyebut: "Al-Ba'ah (الْبَاءَة) pada bahasa bermaksud jimak (bersetubuh). Akan tetapi maksud di sini ialah kemampuan untuk menanggung segala keperluan perkahwinan merangkumi mahar dan nafkah. Dan maksudnya: Sesiapa yang telah mampu dari kalangan kamu dengan memiliki kesemuanya itu, maka berkahwinlah." (Lihat Taudhih al-Ahkam min Bulugh al-Maram, hlm. 214)

Hadis di atas juga menunjukkan bahawa yang belum mampu menikah dianjurkan menyibukkan diri dengan berpuasa. Ini kerana ia dapat melemahkan syahwat dan mempersempit jalan masuk syaitan dan perkara tersebut merupakan di antara sebab iffah (menjaga diri) dan menundukkan pandangan. (Lihat Majmu' Fatawa, 3/329)

Walaubagaimanapun, bagi mereka yang sudah mempunyai kemampuan sama ada secara fizikal atau ekonomi, maka hendaklah segera bernikah. Ini kerana terdapat padanya banyak faedah dan kebaikan. Disebut dalam kitab Syarh Bulugh al-Maram: "Ramai dari kalangan ulama' yang menyebut bahawa seseorang yang sudah mampu (secara fizikal dan ekonomi) untuk berkahwin, maka wajib baginya untuk berkahwin. Ini kerana pada dasarnya, perintah tersebut (فَلْيَتَزَوَّجْ) menunjukkan kewajiban, dan di dalam pernikahan itu terdapat maslahat yang agung." (Lihat Syarh Bulugh al-Maram, 3/179)

Kesimpulan

Dalam kes pelajar ini, saya titipkan beberapa nasihat:

1. Sekiranya mampu mengekang kehendak seumpama ini, maka cubalah kerana disebut oleh pujangga arab:

ذُبِحَ العِلْمُ عَلَى أَفْخَاذِ النِّسَاءِ
"Ilmu disembelih di celah-celah peha wanita."

Ia memberi maksud hendaklah menahan daripada perkahwinan demi menumpukan sepenuh masa dan tenaga untuk menuntut ilmu. Inilah resepi kejayaan tokoh-tokoh yang hebat pada zaman dahulu dan kini.

2. Cuba tingkatkan himmah untuk mencapai kejayaan yang cemerlang terlebih dahulu. Perkara ini akan membawa kepada kemanisan hidup di usia tua.

3. Jauhi rakan-rakan yang banyak berbual berkenaan dengan perkahwinan kerana menfaat ketika belajar adalah kurang ketika itu.

4. Pilihlah rakan-rakan yang menumpukan sepenuh perhatian dalam berusaha memahat kejayaan yang gemilang.

5. Sibukkan diri dengan buku, assignment, muzakarah dan kajian-kajian agar kejayaan dan kecemerlangan dapat dicapai.

6. Bacalah kisah para ulama' yang menekuni ilmu dan kadang-kadang mereka tidak sempat mengecapi perkahwinan kerana cinta dan tamaknya mereka kepada ilmu. Antara buku tersebut ialah yang menceritakan berkenaan ulama' yang tidak berkahwin kerana sibuk dengan ilmu yang dikaryakan oleh Syeikh Abdul Fattah Abu Ghuddah.

Saya menutup perbincangan ini dengan menukilkan kenyataan yang menyebut: Antara racun yang paling bahaya bagi penuntut ilmu ialah apabila hilangnya semangat dan datangnya pula semangat dunia yang terbuka. Ini amat banyak memberi kesan kepada pelajar yang akhirnya mereka gagal dalam memperolehi ilmu. Antara contoh-contohnya ialah:

  • Apabila sudah nampak mata pencarian hidup.
  • Apabila sudah merasa lazat untuk menerima gaji dan sedikit habuan.
  • Apabila sudah mabuk cinta dan mahu kahwin.
  • Apabila terpengaruh dengan kawan-kawan yang tidak bersemangat.
  • Apabila sentiasa mahu kesenangan dan berehat yang panjang.

Inilah racun yang berbahaya sebagai virus dalam kamus pelajar yang akhirnya membuatkannya meninggalkan cita-cita dan semangatnya. (Lihat Tinta Nasihat untuk Penuntut Ilmu, hlm. 142)

Kami menutup dengan berdoa agar kita memperolehi ilmu bermanfaat:

اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا ، وَرِزْقًا طَيِّبًا ، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً
"Ya Allah, aku memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima." [Riwayat Ibn Majah (925)]

Semoga Allah SWT kurniakan kepada kita kegigihan, kesungguhan dan kesabaran dalam menekuni ilmu seterusnya berkhidmat menyebarkannya kepada segenap lapisan masyarakat. Amin.

+ Ustaz Dr. Zulkifli Mohamad Al Bakri | Mufti Wilayah Persekutuan
+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media