Sunday, March 31, 2019

Oh! Media

Oh! Media


60,000 Pekerja Malaysia di Singapura Bakal Terjejas Untuk Masuk Singapura

Posted: 30 Mar 2019 06:07 AM PDT


Bermula pada Isnin ini, Kerajaan Singapura tidak akan membenarkan kenderaan yang memiliki denda tertunggak dari memasuki negara republik berkenaan.

Kesan dari itu, ia akan menjejaskan kira-kira 60,000 pekerja Malaysia dari memasuki negara berkenaan.

Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim turut ada menyuarakan agar kerajaan melakukan rundingan bersama kerajaan Singapura agar peraturan baharu itu tidak menjejaskan nasib pekerja Malaysia

Sebelum ini, beberapa agensi kerajaan Singapura dalam satu kenyataan bersama menyebut tidak akan membenarkan kenderaan asing yang mempunyai sejumlah denda yang belum dijelaskan bagi kesalahan trafik, parkir atau pelepasan asap kenderaan daripada memasuki republik itu mulai 1 April.

+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media.




Penyamar di Media Sosial Akan Dikenakan Tindakan Tegas

Posted: 30 Mar 2019 04:21 AM PDT


Ini amaran buat mereka yang ada melakukan akaun palsu di media sosial. Pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) memaklumkan pihaknya akan mengambil tindakan ke atas 2,823 akaun media sosial yang terlibat dalam aktiviti penyamaran.

Langkah ini adalah bagi melindungi pengguna daripada sebarang aktiviti penyamaran oleh pihak tidak bertanggungjawab di dalam media sosial.

Jadi, bagi mereka yang menjadi mangsa dari sebarang aktiviti ini, diminta untuk membuat laporan terus kepada pihak MCMC bagi membolehkan pesalah dikesan.

Sumber: Bernama

+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media.

Operasi Mencari Acap Dihentikan Sehingga Mendapat Petunjuk Baharu

Posted: 30 Mar 2019 02:14 AM PDT


Selepas 7 hari usaha mencari Mohammad Ashraf Hassan dilakukan, kini operasi mencari terpaksa dihentikan secara rasmi .

Operasi mencari Ashraf yang merupakan peserta larian Gopeng Ultra Trail itu melibatkan lbih 700 pasukan mencari dan menyelamat serta orang awam yang merangkumi keluasan 35km persegi, kata Ketua Polis Daerah Kampar, Superintendan Hasron Nazri Hashim.


Pihak polis juga telah melakukan pemeriksaan di semua lokasi penginapan di pekan Gopeng dan melakukan semakan di hospital berhampiran termasuk Ipoh.

Namun, operasi pencarian akan diteruskan sekiranya pusat kawalan yang akan terus diaktifkan menerima petunjuk baharu.

+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media.

Facebook Akan Memperketatkan Peraturan FB Live Selepas Tragedi Christchurch

Posted: 30 Mar 2019 01:22 AM PDT


Selepas kejadian serangan pengganas di Chirstchruch, New Zealand yang mengorbankan 50 orang tidak bersalah di dua buah masjid, Facebook merupakan salah satu platform yang teruk dikecam apabila melepaskan penyebaran video siaran langsung pengganas sewaktu menyerang.

Ketua Pegawai Operasi, Sheryl Sandberg dalam satu kenyataan berkata, orang ramai mempersoalkan bagaimana media sosial seperti Facebook boleh digunakan untuk menyiarkan kejadian dahsyat seperti itu.

"Serentak dengan tragedi itu, kami mengambil tiga langkah utama iaitu mengetatkan peraturan untuk siaran langsung, mengambil tindakan lanjut ke atas hantaran berunsur kebencian dan menyokong komuniti masyarakat di New Zealand," katanya.

Facebook juga dikatakan akan menyenarai hitam lebih ramai pengguna yang sebelum ini pernah melanggar standard jaringan sosial dan akan membuat pelaburan bagi menambah baik perisian mereka bagi mengenal pasti video dan gambar yang mempunyai unsur keganansan.

+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media.

Azmin Tinjau Penduduk Tanah Rizab Yang Terjejas

Posted: 30 Mar 2019 01:21 AM PDT


Selepas melawat kawasan tanah rizab di Gombak Utara, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menasihatkan agat penduduk yang mendirikan kediaman atau bangunan di tanah berkenaan untuk berpindah.

Nasihat ini diberikan Azmin kerana ia bagi memberikan laluan kepada kerjaan bagi menggunakan tanah rizab itu bagi tujuan menjalankan projek pelebaran jalan dan sungai.

Azmin merupakan Ahli Parlimen Gombak telah meminta Pegawai Daerah Gombak dan ADUN Gombak Setia bagi mencari jalan penyelesaian terbaik dengan kerajaan negeri dan pihak PKNS.

Azmin juga ada menyatakan bahawa pihaknya telah berhubung dengan PKNS bagi membina penempatan kepada mangsa terjejas sebelum pemindahan keluarga-keluarga lain yang tinggal di tebing sungai secara berperingkat.
Pihaknya turut akan mencuba mendapatkan unit-unit berdekatan dalam mencari penyelesaian segera bagi menempatkan 21 keluarga yang terjejas.

Dalam masa yang sama, Azmin turut kecewa dengan pihak yang mengambil kesempatan membina rumah di atas tebing sungai dan disewakan pula kepada penduduk setempat yang akhirnya menyukarkan mereka.

"Penduduk tidak berkemampuan, tapi perlu membayar sewa antara RM300 hingga RM400 untuk tinggal di rumah berisiko, sedangkan jika tinggal di rumah mampu milik, bayarannya hanya RM124 sebulan dan keselamatan juga terjamin," jelas Azmin.

+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media.

Fasha dan Aidil Selamat Disatukan Dengan Sekali Lafaz

Posted: 29 Mar 2019 10:47 PM PDT


Akhirnya, pasangan sensasi pelakon Fasha Sandha dan Aidil Aziz selamat disatukan dengan sekali lafaz dan kini bergelar suami isteri.

Mereka yang melakukan majlis pernikahan di Perlis itu dikongsi Fasha di laman Instagramnya. Bagi majlis resepsi di sebelah lelaki pula, akan diadakan di Rembau, Negeri Sembilan bulan hadapan.

Ia perkahwinan pertama buat Aidil dan kedua untuk Fasha. Fasha sebelum ini pernah berkahwin dengan ahli perniagaan, Rizal Ashram Ramli, pada 27 April 2012 dan bercerai pada 20 Januari 2016.

+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media.

Pasukan Kedah Berjaya Mengikat JDT 1-1 di Liga Super

Posted: 29 Mar 2019 08:09 PM PDT


Malam tadi, pasukan Kedah berjaya mengikat pendahulu liga, JDT 1-1 dalam saingan Liga Super di Stadium Darul Aman, Kedah.

Namun, JDT masih berada di takhta liga dengan kutipan 17 mata dan Kedah pula kini di tangga ketiga dengan ketinggalan 5 mata di belakang JDT.

Kedua-dua pasukan mempamerkan aksi seimbang dan JDT berjaya menjaringkan gol pada awal permainan dengan Safawi Rasid berjaya menyempurnakan sepakan percuma.

Walaubagaimanapun, 20 minit kemudian Kedah berjaya menyamakan kedudukan selepas Fernando Rodriguez menanduk masuk bola hantaran Khairul Helmi Johari ketika pertahanan JDT sedikit kelam kabut.

Serangan tanpa henti diberikan kedua-dua pasukan tetapi tiada jaringan hingga ke akhir perlawanan.


+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media.

Menegur Pakaian Imam Yang Terdapat Najis Ketika Solat

Posted: 29 Mar 2019 04:55 PM PDT


Soalan:
Ketika imam sedang solat jemaah, makmum terlihat pakaian imam terkena najis. Bagaimanakah caranya makmum hendak menegur imam?

Jawapan:
Syarat sah solat adalah mereka yang bersih daripada najis. Ia merangkumi kebersihan badan, kebersihan tempat dan kebersihan pakaian bagi menunaikan solat. Firman Allah SWT:

وَثِيَابَكَ فَطَهِّرْ
"Dan pakaianmu, maka hendaklah engkau bersihkan." (Surah Al-Muddatthir: 4)

Mengikut pandangan daripada Ulama' Syafieyah, kalangan mereka amat mementingkan kebersihan pakaian dalam menunaikan solat. Bahkan jika pakaian yang tercemar dengan najis dan tidak ada cara untuk mencuci kerana tidak ada air atau berada dalam keadaan darurat, maka dia perlu menunaikan solat tanpa memakai pakaian tersebut. Hal ini sebagaimana yang dinukilkan di dalam kitab Al-Mu'tamad yang ditulis oleh Sheikh Dr. Muhammad Al-Zuhaili:

وَإِنْ كَانَ عَلَى الثَّوَابِ نَجَاسَةً غَيْرَ مُعَفَّوْ عَنْهَا, وَلَمْ يَجِدْ مَا يَغْسِلُهُ بِهِ , فَيَجِبُ أَنْ يُصَلِّيَ عَرِّيَانًا فِي الأَصَحِّ
"Dan sekiranya pakaian bernajis maka tidak ada pengecualian, dan tidak ada air untuk dibasuhnya, maka wajib dan sah untuk menunaikan solat secara bertelanjang." (Rujuk kitab Al-Mu'tamad fi Fiqh al-Syafie, m/s 203)

Dalam mengulas isu ini, kami menukilkan sebuah hadis yang menceritakan hal yang mirip kepada soalan yang ditanya. Daripada Abu Sa'id al-Khudri, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

بَيْنَمَا رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم يُصَلِّي بِأَصْحَابِهِ إِذْ خَلَعَ نَعْلَيْهِ فَوَضَعَهُمَا عَنْ يَسَارِهِ فَلَمَّا رَأَى ذَلِكَ الْقَوْمُ أَلْقَوْا نِعَالَهُمْ فَلَمَّا قَضَى رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم صَلاَتَهُ قَالَ ‏"‏ مَا حَمَلَكُمْ عَلَى إِلْقَائِكُمْ نِعَالَكُمْ ‏"‏ ‏.‏ قَالُوا رَأَيْنَاكَ أَلْقَيْتَ نَعْلَيْكَ فَأَلْقَيْنَا نِعَالَنَا ‏.‏ فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم ‏"‏ إِنَّ جِبْرِيلَ صلى الله عليه وسلم أَتَانِي فَأَخْبَرَنِي أَنَّ فِيهِمَا قَذَرًا ‏"‏ ‏.‏ وَقَالَ ‏"‏ إِذَا جَاءَ أَحَدُكُمْ إِلَى الْمَسْجِدِ فَلْيَنْظُرْ فَإِنْ رَأَى فِي نَعْلَيْهِ قَذَرًا أَوْ أَذًى فَلْيَمْسَحْهُ وَلْيُصَلِّ فِيهِمَا
Ketika Rasulullah SAW menjadi imam kepada para sahabat di dalam solat, Baginda membuka selipar dan meletakkan disisi kirinya; maka apabila jemaah melihat keadaan tersebut, mereka juga turut membuka selipar. Selepas selasai menunaikan solat, Baginda bertanya: "Apa yang menyebabkan kamu semua membuka selipar?" Maka para jemaah menjawab: "Kami melihat kamu membuka selipar, maka kami membuka selipar kami." Rasulullah SAW berkata: "Sesungguhnya, malaikat Jibrail a.s. telah datang kepadaku dan memberitahu bahawa terdapat kekotoran di selipar tersebut. Jika sesiapa yang datang ke masjid, dia perlu melihat, jika ada kekotoran terdapat pada seliparnya, maka dia perlu membersihkannya sebelum mendirikan solat." (Hadis riwayat Abu Daud, No. 650)

Maka daripada hadis tersebut jelas dinyatakan bahawa imam yang memakai pakaian yang terkena najis perlu ditanggalkan dengan kadar segera jika ditegur atau menyedari sendiri. Nabi SAW pernah menyatakan di dalam sebuah hadis:

إِذَا نَابَكُمْ شَىْءٌ فِي الصَّلاَةِ فَلْيُسَبِّحِ الرِّجَالُ وَلْيُصَفِّحِ النِّسَاءُ
"Jika terjadi sesuatu di dalam solat maka tegurlah, bagi lelaki dengan bertasbih dan wanita dengan tepukan." (Hadis riwayat Abu Daud, No. 941)

Menerusi pandangan Mazhab Maliki diantara ulama'nya Imam al-Hattab menyatakan terdapat 2 cara makmum untuk menegur imam yang terdapat najis pada pakaiannya ketika solat jemaah:

اذا رأى المأموم نجاسة في ثواب الإمام أراه اياها إن قرب فإن بعد كلمة
"Jika makmum melihat najis pada pakaian imam, maka tunjukkan ke arah najis atau memberi isyarat kepada imam jika makmum tersebut berdekatan, sekiranya jauh maka ditegur dengan perkataan." (Rujuk Mawahib al-Jalil li Syarah Mukhtasar Khalil, m/s 2/481)

Kesimpulan berkenaan isu ini, sebagaimana yang dinyatakan oleh Imam Nawawi:

وَلَا تَجُوزُ الصَّلَاةُ خَلْفَ الْمُحْدِثِ لِأَنَّهُ لَيْسَ مِنْ أَهْلِ الصَّلَاةِ
"Dan tidak boleh bersolat di belakang orang yang berhadas kerana ia bukan daripada kalangan ahli solat." (Rujuk Al-Majmu' Syarh Al-Muhazzab, m/s 4/256)

Adalah satu keperluan kepada makmum untuk menegur imam jika terdapat najis pada pakaian imam. Jika imam tersebut tidak maklum dengan teguran daripada makmum tersebut maka diwajibkan kepada makmum tersebut untuk berniat mufaraqah dan solat secara bersendirian.

Wallahua'lam.

+ Ustaz Dr. Zulkifli Mohamad Al Bakri | Mufti Wilayah Persekutuan
+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media

Waktu Terbaik Memberi Nama Kepada Bayi Yang Baru Lahir

Posted: 29 Mar 2019 04:45 PM PDT


Soalan:
Saya baru sahaja dikurniakan cahaya mata. Bilakah waktu yang sesuai untuk saya menamakan anak saya yang baru lahir ini? Saya ada terdengar, elok dinamakan pada hari yang hendak dilaksanakan aqiqah, ada juga yang mengatakan selepas seminggu. Mohon penjelasan.

Jawapan:
Mengenai waktu yang sesuai untuk memberikan nama kepada anak, para ulama' bersepakat bahawa harus diberikan nama kepada bayi yang baru lahir pada bila-bila masa sahaja selepas bayi tersebut dilahirkan. Tiada waktu tertentu yang dilarang untuk memberikan nama kepada bayi yang telah dilahirkan. [Rujuk Mughni al-Muhtaj (4/294), al-Majmuk Syarh al-Muhazzab (8/435), Hasyiyah ibn 'Abidin (5/213), Mawahib al-Jalil fi Syarh Mukhtasar al-Khalil (3/256), Kasyaf al-Qina' (3/25), Tuhfat al-Maudud bi Ahkam al-Maulud (hlm.71)]

Namun begitu, para ulama' berbeza pandangan mengenai waktu yang disunatkan untuk memberikan nama kepada anak yang baru dilahirkan kepada tiga pendapat, iaitu:

Pendapat Pertama

Sunat diberikan nama kepada anak yang baru dilahirkan pada hari ketujuh daripada hari kelahirannya. Ini adalah pendapat jumhur (majoriti) ulama'-ulama' dalam mazhab asy-Syafi'e, Hanafi, Maliki dan Hanbali. [Rujuk Mughni al-Muhtaj (4/294), Hasyiyah ibn 'Abidin (5/213), al-Tamhid (4/320), Hasyiyah ar-Raudh al-Murbi' Syarh Zad al-Mustaqni' (4/245-246)]

Mereka berhujah dengan beberapa hadith Nabi SAW, antaranya:

أنَّ النبيَّ صلَّى اللهُ عليهِ وسلَّم أَمَر بِتَسمِيةِ المَولودِ يومَ سابِعِه
"Sesungguhnya Nabi SAW memerintahkan untuk memberikan nama kepada bayi yang baru dilahirkan pada hari ketujuh daripada hari kelahirannya." [Riwayat al-Tirmidzi (2832)]

قالت عائشة رضي الله عنها: عقَّ رسولُ اللهِ صلَّى اللهُ عليه وسلَّم عن حسَن وحُسين يومَ السَّابعِ وسمَّاهما
Aisyah RA telah berkata: "Nabi SAW telah melakukan aqiqah untuk Hasan dan Husain pada hari ketujuh daripada hari kelahiran mereka dan memberi nama kepada mereka berdua." [Riwayat ibn Hibban (5311)]

Telah berkata Imam Ibn Qudamah Rahimahullah: "Jumhur (majoriti) ulama berpendapat bahawa waktu yang terbaik untuk menamakan anak adalah pada hari yang ketujuh, manakala hadith Anas bin Malik RA (وُلِدَ لي اللَّيْلَةَ غُلَامٌ، فَسَمَّيْتُهُ باسْمِ أَبِي إِبْرَاهِيمَ) pula menunjukkan bahawa harus memberikan nama pada hari kelahiran bayi, dan bukannya sunat untuk memberikan nama pada hari kelahiran bayi tersenut." [Rujuk al-Mughni (9/356)]

Pendapat Kedua

Sunat diberikan nama kepada anak yang baru dilahirkan pada hari kelahiran anak tersebut. Ini adalah pendapat sebahagian ulama'-ulama' dalam mazhab asy-Syafi'e dan Hanbali. [Rujuk Mughni al-Muhtaj (4/294), Fath al-Wahhab bi Syarh Minhaj at-Tullab (2/190), Kasyaf al-Qina' (3/25)]

Mereka berhujahkan dengan dalil-dalil daripada al-Qur'an dan hadith SAW. Di antaranya ialah:

وَإِنِّي سَمَّيْتُهَا مَرْيَمَ
"Dan Aku (Allah) telah menamakannya Maryam." [Surah Ali Imran: 36]

Dalam menafsirkan ayat ini, Imam Ibn Kathir Rahimahullah telah berkata: "Ayat ini menjadi dalil bahawa diharuskan untuk memberi nama kepada bayi yang baru dilahirkan pada hari kelahiran bayi tersebut seperti mana yang terzahir daripada konteks ayat ini." [Lihat Tafsir al-Qur'an al-'Azim (2/33)]

عَنْ أَنَسِ بْنِ مَالِكٍ رضي الله عنه, قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى الله عليه وسلم: وُلِدَ لي اللَّيْلَةَ غُلَامٌ، فَسَمَّيْتُهُ باسْمِ أَبِي إِبْرَاهِيمَ 
Daripada Anas bin Malik RA, Nabi SAW telah bersabda: "Aku telah dikurniakan seorang anak lelaki pada satu malam, maka aku menamakannya dengan nama bapaku, Ibrahim." [Riwayat Muslim (2315)]

قال أبو موسى الأشعري رضي الله عنه: وُلِدَ لي غُلَامٌ فأتَيْتُ به النبيَّ صَلَّى اللَّهُ عليه وسلَّمَ فَسَمَّاهُ إبْرَاهِيمَ وَحَنَّكَهُ بتَمْرَةٍ
Abu Musa al-Ash'ari RA telah berkata: "Aku telah dikurniakan seorang anak lelaki, maka aku membawanya kepada Rasulullah SAW. Maka Baginda SAW menamakannya Ibrahim dan mentahniknya dengan sebiji kurma." [Riwayat al-Bukhari (5467) dan Muslim (2145)]

Al-Hafiz Ibn Hajar al-'Asqalani Rahimahullah telah berkata: "Pada hadith ini terdapat padanya petunjuk bahawa tahnik dilakukan selepas diberikan nama kepada bayi tersebut, maka hendaklah dipercepatkan pemberian nama kepada bayi yang baru lahir dan tidak perlu menunggu sehingga hari yang ketujuh." [Rujuk Fath al-Bari Syarh Sahih al-Bukhari (9/588-589)]

Terdapat kisah bayi-bayi lain seperti al-Munzir bin Abu Usaid, Abdullah bin Abu Tolhah, dan Abdullah bin az-Zubair yang telah dibawakan kepada Nabi SAW dan diberikan nama pada hari kelahiran mereka.

Pendapat Ketiga

Sunat diberikan nama kepada anak yang baru dilahirkan pada hari ketujuh daripada hari kelahirannya jika anak tersebut hendak dilaksanakan aqiqah untuknya pada hari ketujuh. Jika tidak, disunatkan anak tersebut diberikan nama sebelum hari yang ketujuh. Ini adalah pendapat sebahagian daripada ulama-ulama' yang bermazhab asy-Syafi'e, Maliki dan pendapat yang dipilih oleh Imam al-Bukhari Rahimullah. [Rujuk Mawahib al-Jalil fi Syarh Mukhtasar Khalil (5/362), Hasyiyah Qalyubi dan 'Umairah (4/256)]

Mereka berhujah bahawa hadith-hadith yang menyebut berkenaan dengan pemberian nama pada hari yang ketujuh, ia memberi makna bahawa tidak boleh melewatkannya lebih daripada hari yang ketujuh dari hari kelahiran bayi tersebut. Ini kerana jika dinamakan sebelum hari yang ketujuh, ia masih dinamakan hari yang ketujuh (مسمى يوم السابع), maka ia menepati makna hadith. Adapun selepas hari ketujuh, ia tidak lagi dinamakan sebagai hari ketujuh.

Al-Hafiz Ibn Hajar al-'Asqalani Rahimahullah telah berkata: "Jika tidak berhasrat untuk melaksanakan aqiqah ke atas bayi yang dilahirkan pada hari ketujuh kelahirannya, maka tidak boleh melewatkan pemberian nama kepadanya sehingga hari ketujuh sepertimana dalam kisah Ibrahim bin Abu Musa, Abdullah bin Abu Talhah, Ibrahim anak kepada Nabi SAW dan Abdullah bin az-Zubair. Tidak ada riwayat yang mengatakan bahawa aqiqah telah dilaksanakan untuk mereka pada hari ketujuh kelahiran mereka. Oleh sebab itu, mereka diberikan nama sebelum hari yang ketujuh." [Rujuk Fath al-Bari Syarh Sahih al-Bukhari (9/588)]

Kesimpulan

Secara umumnya, harus untuk memberikan nama kepada bayi yang baru dilahirkan pada bila-bila masa sahaja selepas kelahirannya. Tiada waktu tertentu yang dilarang untuk memberikan nama kepada bayi yang telah dilahirkan.

Imam Ibn al-Qayyim al-Jauziah Rahimahullah telah berkata: "Sesungguhnya pemberian nama pada hakikatnya adalah untuk mengenali sesuatu yang dinamakan ke atasnya. Ini kerana jika terdapat seseorang yang tidak diketahui namanya, maka tiada siapa yang dapat mengenalinya. Maka, harus untuk memberikan nama pada hari kelahirannya, atau diberikan nama pada hari ketiga daripada hari kelahirannya, atau diberikan nama pada hari aqiqahnya, atau sebelum daripada itu mahupun selepasnya. Perkara ini terdapat keluasan padanya." [Rujuk Tuhfat al-Maudud bi Ahkam al-Maulud (hlm.111)]

Berkenaan dengan waktu yang terbaik untuk memberikan nama kepada bayi, kami cenderung untuk memilih pendapat bahawa bayi yang baru dilahirkan adalah sebaiknya diberikan nama pada hari kelahirannya. Hari ketujuh pula boleh dijadikan hari pengisytiharan nama bayi tersebut kepada sanak-saudara dan orang lain, dan ia sangat bersesuaian jika pada hari tersebut juga diadakan majlis aqiqah untuk bayi tersebut.

Kami menyeru agar dapat dihidupkan sunnah-sunnah Nabi SAW yang berkaitan dengan bayi yang baru dilahirkan. Bermula dengan adab menyambut kelahiran bayi, memberi nama, mentahnik, membuang kotoran (mencukur rambut), bersedekah sehinggalah mengadakan aqiqah. Semua sunnah ini sangatlah dituntut untuk diamalkan dan dihidupkan dalam masyarakat.

Semoga Allah SWT memberikan kita kebaikan dan kefahaman yang sahih dalam memahami syariat-Nya seterusnya memberikan kekuatan kepada kita untuk mengamalkannya. Amiin.

+ Ustaz Dr. Zulkifli Mohamad Al Bakri | Mufti Wilayah Persekutuan
+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media

Orang Buta Menjadi Imam Solat

Posted: 29 Mar 2019 04:30 PM PDT


Soalan:
Apakah hukumnya seorang yang buta menjadi imam solat dan bagaimana pula dengan kebersihan pakaian mereka dari najis?

Jawapan:
Dalam isu menjadi imam, terdapat beberapa petunjuk dari Nabi S.A.W dalam menjelaskan kriteria atau ciri-ciri yang perlu ada kepada seseorang itu. Antaranya adalah seperti yang disebutkan dalam sebuah riwayat daripada Abu Mas'ud al-Ansari bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:

يَؤُمُّ الْقَوْمَ أَقْرَؤُهُمْ لِكِتَابِ اللَّهِ فَإِنْ كَانُوا فِي الْقِرَاءَةِ سَوَاءً فَأَعْلَمُهُمْ بِالسُّنَّةِ فَإِنْ كَانُوا فِي السُّنَّةِ سَوَاءً فَأَقْدَمُهُمْ هِجْرَةً فَإِنْ كَانُوا فِي الْهِجْرَةِ سَوَاءً فَأَقْدَمُهُمْ سِلْمًا
"Yang menjadi imam kepada sesebuah kaum itu adalah mereka yang paling mahir terhadap Kitab Allah (al-Quran). Sekiranya mereka setanding dalam bacaan maka (dahulukan) yang paling berilmu tentang al-Sunnah (untuk menjadi imam). Sekiranya pengetahuan mereka terhadap Sunnah itu sama maka yang menjadi imam adalah mereka yang paling awal berhijrah. Sekiranya mereka sama dalam berhijrah pula dahulukanlah mereka yang paling awal memeluk agama Islam." [Riwayat Muslim (673)]

Dalam hadis di atas, baginda S.A.W memberikan beberapa kriteria utama yang menjadikan seseorang itu didahulukan untuk menjadi imam solat. Kami ringkaskan beberapa ciri tersebut seperti berikut:

  • Yang paling mahir terhadap al-Quran

Maksud perkataan أَقْرَؤُهُمْ itu boleh difahami dengan dua pengertian. Iaitu maksud yang pertama ia merupakan individu yang paling banyak menghafal al-Quran. Ini berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abdullah Ibn Umar beliau berkata:

لَمَّا قَدِمَ الْمُهَاجِرُونَ الْأَوَّلُونَ الْعُصْبَةَ -مَوْضِعٌ بِقُبَاءٍ - قَبْلَ مَقْدَمِ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّم ، كَانَ يَؤُمُّهُمْ سَالِمٌ مَوْلَى أَبِي حُذَيْفَةَ ، وَكَانَ أَكْثَرَهُمْ قُرْآنًا
"Ketika mana golongan Muhajirun yang terawal sampai di 'Ushbah -iaitu sebuah kawasan di Quba'- sebelum ketibaan Rasulullah S.A.W, yang menjadi imam kepada mereka pada ketika itu adalah Salim yang merupakan maula kepada Abu Huzaifah, dan beliau merupakan individu yang paling banyak menghafal al-Quran dari kalangan mereka." [Riwayat al-Bukhari (692)]

Ini merupakan antara dalil paling jelas dalam menyebut bahawa kelayakan paling utama yang menjadikan seseorang itu berhak didahulukan menjadi imam dalam solat adalah hafalan al-Quran yang banyak.

Manakala maksud yang kedua dari perkataan أَقْرَؤُهُمْ adalah individu yang paling baik bacaan al-Qurannya. Dari sudut dia merupakan seorang yang meraikan tajwid yang betul serta makhraj huruf dalam pembacaan al-Quran.

Manakala beberapa ciri lain yang disebutkan adalah:

  • Yang paling berilmu tentang Sunnah Nabi S.A.W.
  • Yang paling awal berhijrah.
  • Yang paling awal memeluk Islam.

Manakala dalam hadis riwayat Imam al-Tirmizi, Nabi S.A.W menyebut:

فَأَكْبَرُهُمْ سِنًّا
"Yang paling tua umurnya." [Riwayat al-Tirmizi (235)]

Manakala Imam al-Nawawi dalam syarahan beliau ke atas hadis Abu Mas'ud al-Ansari menambah satu lagi ciri yang menjadi keutamaan dalam menjadi imam solat iatu faktor kewarakan seseorang. Kata beliau:

ولنا وجه اختاره جماعة من أصحابنا : أن الأورع مقدم على الأفقه والأقرأ لأن مقصود الإمامة يحصل من الأورع أكثر من غيره
"Dan kami mempunyai suatu pendapat yang dipilih oleh sekumpulan dari kalangan ashab kami (al-Syafi'eyyah) yang menyebut bahawa individu yang paling warak didahulukan ke atas orang yang faqih dan lebih mahir tentang al-Quran. Ini kerana tujuan dari menjadi imam itu akan terhasil lebih banyak dari orang yang warak berbanding selainnya." [Rujuk Al-Majmu' Syarah al-Muhazzab, Al-Nawawi (5/300)]

Berdasarkan beberapa ciri di atas, jelas menunjukkan bahawa tidak ditetapkan ciri-ciri fizikal seseorang itu untuk menjadi imam seperti ciri berbadan besar atau kecil, celik atau buta, berkulit putih atau gelap, sebaliknya Nabi S.A.W menitik beratkan ciri-ciri yang telah disebutkan di atas.

Bahkan terdapat beberapa riwayat yang secara jelas menunjukkan keharusan orang buta untuk menjadi imam, tambahan pula dia mempunyai kemahiran dan hafalan al-Quran yang lebih banyak berbanding orang yang celik. Antaranya adalah sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik R.A beliau berkata:

أَنَّ النَّبِيَّ صلى الله عليه وسلم اسْتَخْلَفَ ابْنَ أُمِّ مَكْتُومٍ يَؤُمُّ النَّاسَ وَهُوَ أَعْمَى
"Sesungguhnya Nabi S.A.W pernah menggantikan Ibn Ummi Maktum menjadi imam kepada orang ramai dalam keadaan dia merupakan seorang yang buta." [Riwayat Abu Daud (595)]

Justeru ini merupakan petunjuk yang jelas bahawa Nabi S.A.W memberikan kebenaran untuk seorang yang buta itu menjadi imam di dalam solat. Bahkan boleh dikatakan bahawa para ulama mazhab bersepakat akan sahnya orang buta menjadi imam dalam solat.

Kata Imam Ibn Qudamah: "Adapun orang buta maka kami tidak mengetahui terdapatnya khilaf (perbezaan pandangan) terhadap sahnya dia mengimamkan solat. Melainkan apa yang dihikayatkan daripada Anas bin Malik beliau berkata: "Tidak ada keperluan kepada mereka (untuk menjadi imam)." Daripada Ibn Abbas beliau berkata: "Bagaimana aku ingin menjadi imam pada mereka (orang-orang yang celik) sedangkan mereka yang membetulkan kedudukan aku untuk menghadap ke arah kiblat?" Yang sahihnya, Ibn Abbas pernah mengimamkan solat dalam keadaan beliau buta." [Rujuk Al-Mughni, Ibn Qudamah (2/13)]

Manakala Imam al-Nawawi pula berkata: "Pendapat yang sahih di sisi ashab (ulama al-Syafi'eyyah) menyatakan bahawa orang yang celik dan orang yang buta adalah sama (dari sudut dibolehkan menjadi imam solat) sebagaimana yang telah dinaskan oleh Imam al-Syafi'e. Dan mereka telah bersepakat bahawa tidak dimakruhkan terhadap perbuatan orang buta menjadi imam kepada orang yang celik." [Rujuk al-Majmu' Syarah al-Muhazzab, Al-Nawawi (4/181)]

Penutup

Sebagai kesimpulan, kami menyatakan bahawa hukum orang buta menjadi imam kepada orang-orang yang celik adalah dibolehkan dan solatnya adalah sah. Lebih-lebih lagi sekiranya orang buta tersebut merupakan individu yang lebih banyak menghafal al-Quran serta elok tajwid dan makhraj hurufnya.

Berkenaan dengan isu kebersihan pakaian dari najis pula, seperti yang kita ketahui dalam perbahasan fekah ada menyebutkan bahawa 'ain najis itu dapat dikenalpasti dengan tiga perkara iaitu, warna, rasa, atau bau. Meskipun orang buta tidak dapat melihat warna najis, namun deria bau masih boleh mengesan najis yang ada pada pakaian, badan atau tempat solat. Sekiranya ketiga perkara ini tidak didapati pada dirinya, maka ia kembali kepada hukum bersih dan sucinya diri orang buta tersebut daripada najis. Wallahua'lam.

Akhir kalam, kami berdoa kepada Allah S.W.T agar memberikan kepada kita semua kefahaman yang tepat dalam beragama. Ameen.

+ Ustaz Dr. Zulkifli Mohamad Al Bakri | Mufti Wilayah Persekutuan
+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media