Wednesday, April 10, 2019

Oh! Media

Oh! Media


Saksi Pakar Nyatakan Adib Ditarik dan Dihentak

Posted: 09 Apr 2019 05:57 AM PDT


Anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim mungkin ditarik keluar daripada van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dan terhimpit di daun pintu sebelum dihentak dua atau tiga individu dengan kuat sehingga menyebabkan tujuh tulang rusuk kiri patah.

Bekas Pakar Perunding Kanan Forensik dan Patologi Hospital Canselor Tuanku Muhriz (dulu dikenali sebagai Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM), Prof Dr Shahrom Abd Wahid, berkata berdasarkan video lakonan semula kejadian dan corak kecederaan pada mangsa, kemungkinan besar daya yang menyebabkan mangsa terhimpit antara dua permukaan keras adalah hentaman pintu ke dada kanan Muhammad Adib, 24.

Dr Shahrom berkata, selain itu terdapat individu menghentak mangsa sekuat hati dengan daya lebih 3,000 Newton atau lebih daripada tiga orang sehingga menyebabkan patah pada tulang rusuk.

Saksi pakar itu berkata, rumusan dibuat daripada hasil rekontraksi dan lakonan semula kes Muhammad Adib berdasarkan sumber material yang diberi kepadanya, beliau mencadangkan luka sagat di dada kanan, di belakang pinggang dan patah tulang rusuk mangsa disebabkan beberapa perkara.


"Ia disebabkan mangsa diseret keluar daripada van yang dinaikinya berdasarkan luka sagat melintang pada bahagian belakang badan, selain butang satu, dua dan empat tercabut daripada pakaian seragam bomba.

"Kemudian daun pintu EMRS diterajang sehingga menyebabkan luka sagat dan patah tulang tulang rusuk di dada kanan atas dan lebam paru-paru kanan.

"Daun pintu EMRS sekali lagi diterajang menyebabkan dua lebam pada bahagian depan atas lengan kanan, manakala bahagian belakang kiri badan mangsa ditolak dengan kuat mengenai bahagian sisi menegak daun pintu menyebabkan patah tulang rusuk kiri posterior dan lebam paru-paru kiri," katanya pada prosiding inkues hari ke-23, di Mahkamah Koroner, di sini hari ini.


Beliau berkata, mangsa mati akibat kecederaan parah pada paru-paru kiri dan kanan akibat hentakan trauma tumpul yang mana hentakan trauma tumpul bukan disebabkan perbuatan diri sendiri, tetapi akibat perbuatan dua atau lebih individu lain.

Menjawab soalan peguam Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dan Bomba, Syazlin Mansor, saksi ke-29 itu berkata, tidak mungkin mangsa terhimpit akibat EMRS dan jentera Fire Rescue Team (FRT) atau mana-mana kenderaan.

"Sekiranya terhimpit antara EMRS dan FRT, besar kemungkinan mangsa akan mati di tempat kejadian," katanya.

Beliau turut merumuskan kemungkinan yang diperoleh hasil rekontraksi dan lakon semula adalah berdasarkan sains forensik kerana tidak berada di tempat kejadian.

Sumber penuh: Berita Harian

+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media.

Avengers End Game Akan Ditayangkan Seawal 7 Pagi

Posted: 09 Apr 2019 05:21 AM PDT


Untuk korang yang sebelum ini kononnya ingin menjadi orang terawal meononton filem Avengers Endgame pada 24 April dan telah membeli tiket, nampaknya korang silap kerana akan ada mereka yang lebih awal. Ini selepas GSC telah mengumumkan mereka bakal memulakan tayangan pertama se awal jam 7 pagi pada 24 April ini.

Seperti berlawan-lawan antara satu sama lain, TGV sebelum ini turut telah mengumumkan tayangan awal mereka pada jam 7:30 pagi dan diikuti GSC yang awal 30 minit pada jam 7 pagi.




Korang juga tidak perlu risau jika tidak sempat untuk bersarapan kerana walaupun tiket yang dijual agak mahal berbanding harga biasa, korang turut akan menerima air panas, roti sosej dan juka keychain bertemakan filem Avengers Endgame.


Jika dilihat pada harga tiket awal bagi dua pawagam ini, GSC dilihat dijual lebih murah pada harga RM35 dan korang akan mendapat 1 tiket, 1 roti sosej dan air panas dan 1 keychain. Berbanding TGV yang dijual pada harga RM50 beserta 1 tiket IMAX 2D, 1 roti sosej dan kopi atau cokelat panas dan 1 poster kecil bertemakan Avengers.

Apa korang tunggu lagi, lepas solat subuh nanti bolehlah bergegas pula ke pawagam dan memandangkan 24 April jatuh pada hari rabu, bolehlah ambil MC sekarang, selamat berjaya.


+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media.

Menteri Besar Johor Osman Sapian Sah Letakkan Jawatan

Posted: 09 Apr 2019 04:52 AM PDT


Tanpa didedahkan lagi sebab dan alasan, Menteri Besar Johor, Datuk Osman Sapian kini disahkan telah meletakkan jawatannya di negeri itu.

Ia disahkan oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang telah menerima dua surat peletakan jawatan dalam satu pertemuan di Pejabat Perdana Menteri, Putrajaya semalam dan satu surat lagi akan diserahkan kepada Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar.

"Kita belum menentukan siapakah penggantinya tetapi mengikut perjanjian dalam Pakatan Harapan (PH), Menteri Besar Johor hendaklah terdiri daripada wakil Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU).

"Buat sementara waktu, Johor tidak ada Menteri Besar. Kita (mungkin) akan lantik pemangku," katanya.

Sebelum ini sudah ada suara-suara mengenaik Osman akan meletakkan jawatannya selaku Menteri Besar dan ia dikuatkan lagi apabila pertemuan bersama PM semalam.

+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media.

Rumah Mewah Konsep Minangkabau Bukan Milik Tok Mat

Posted: 09 Apr 2019 03:46 AM PDT


Bagi menghadapi saat-saat akhir proses PRK DUN Rantau, pastinya pihak lawan akan mencari segala sumber bagi menjatuhkan lawannya. Terbaru tersebar gambar yang menunjukkan sebuah rumah mewah berkonsepkan Minangkabau yang dikatakan milik calon Datuk Seri Mohamad Hasan.

Namun, hari ini Tok Mat menjawab bahawa rumah mewah terbabit bukanlah miliknya dan meminta agar pihak yang terbabit untuk memeriksa dengan teliti pemilik sebenar rumah itu.




"Periksalah sama ada itu rumah saya atau tidak. Itu cara mereka burukkan saya dari dulu lagi, saya takkan terganggu.

"Saya juga tidak berhasrat meminta pihak terbabit kemukakan sebarang bukti," katanya.

Tok Mat sebelum ini telah mengatakan bahawa beliau terlupa membeli rumah di Seremban walaupun telah lama berkhidmat di negeri ini walaupun memiliki rumah di London pada nilai RM10 juta.

Tok Mat turut mengakui tidak terjejas dengan pelbagai dakwaan yang dilemparkan terhadapnya di saat akhir proses berkempen.

"Saya yakin ini bukan satu masalah sebab orang tahu apa yang berlaku dan terpulang. Saya yakin orang dapat bezakan mana yang betul dan tidak," katanya

+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media.


Idris Elba Disahkan Berlakon Dalam Suicide Squad 2 Tapi Bukan Sebagai Deadshot

Posted: 08 Apr 2019 11:16 PM PDT


Filem Suicide Squad 2 kini telah mengesahkan akan mendapatkan lakonan hebat Idris Elba namun tidak akan memegang watak Deadshot seperti yang diperkatakan sebelum ini bagi menggantikan ketiadaan Will Smith.

Idris Elba dikatakan akan memegang watak baharu dan mengekalkan watak Deadshot hanya kepada Will Smith.

Ini dinyatakan oleh James Gunn yang hanya mahukan watak Deadshot khas milik Will Smith. Sebelum ini Warner Bros telah menghormati keputusan Will untuk menarik diri dalam projek kali ini kerana jadual penggambaran yang padat dan bukannya akibat perselisihan faham.




Disebabkan lakonan mantap Will Smith ketika filem Suicide Squad yang pertama, seandainya Will Smith mahu membuat kemunculan dalam DCEU, Warner Bros dengan pintu terbuka akan menerima Will Smith kembali walaupun peratusan untuk Will Smith kembali adalah sangat kecil.

Untuk filem kali ini, James Gunn juga ada memberi sedikit bayangan bahawa ia bukanlah sekuel daripada filem pertama dan perjalanan cerita akan sedikit berbeza.




+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media.

Thailand Jatuhkan Hukuman Mati Kepada Individu Ambil Gambar Berhampiran Airport

Posted: 08 Apr 2019 10:37 PM PDT


Hukuman mati boleh dikenakan kepada individu atau pelancong yang mengambil gambar di kawasan pantai sekitar lapangan terbang di Thailand.

Untuk pengetahuan korang, Lapangan Terbang Antarabangsa Phuket memang sangat popular kerana lokasinya yang berhampiran pantai dan membuatkan ramai pelancong akan memilih untuk mengambil gambar membelakangkan pesawat yang sedang berlepas.

Timbalan Pengurus Besar Lapangan Terbang memberitahu media bahawa tindakan itu secara tidak langsung boleh mengalihkan fokus juruterbang.




"Kami sedang menubuhkan zon keselamatan yang akan dikategorikan sebagai kawasan larangan orang ramai mengambil gambar."

"Selain dari kawasan ini, penduduk tempatan dan pelancong masih boleh mengambil gambar seperti biasa."

"Penalti maksimum adalah hukuman mati."

"Penalti bagi sesiapa yang tidak mematuhi peraturan ini termasuk hukuman mati atau hukuman penjara antara lima hingga 20 tahun, mengikut Akta Penerbangan Udara 1978."

Sumber: Mirror UK

+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media.

Bayi Sembilan Bulan Meninggal Dunia Akibat Tercekik Epal Lenyek

Posted: 08 Apr 2019 08:28 PM PDT

Gambar sekadar hiasan

Akibat tercekek ketika makan, seorang bayi lelaki yang baru sahaja berusia sembilan bulan telah meninggal dunia ketika sedang dijaga pengasuhnya di sebuah taska di Kupang semalam.

Makanan yang diberikan merupakan epal lenyek dan bayi berkenaan sedang diberi makan dan secara tiba-tiba menangis dengan kuat kerana mahu mengikut pengasuhnya.




Namun selepas itu, bayi Muhammad Fawwaz Mohd Fadlan terus senyap dan tidak sedarkan diri akibat tercekik, kata Ketua Polis Daerah Baling, Superintendan Shariffuddin Yusof.

Penyelia taska terbabit kemudian terus membawa mangsa yang masih bernafas ke Klinik Kupang sebelum dirujuk ke Hospital Baling.

"Bagaimanapun sebaik tiba di hospital, mangsa disahkan meninggal dunia dan pemeriksaan mendapati tiada kesan luka atau lebam di badannya.

+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media.

Bolehkah Akad Nikah Tanpa Menyebut Mahar?

Posted: 08 Apr 2019 05:20 PM PDT


Soalan:
Adakah wajib menyebut mahar ketika akad nikah? Dan adakah boleh akad nikah tanpa sebut mahar? Mohon penjelasan.

Jawapan:
Pada asasnya, mahar adalah tidaklah termasuk daripada rukun nikah. Imam al-Nawawi berkata:

قَالَ الأَصْحَابُ : لَيْسَ الْمَهْرُ رُكْنًا فِي النِّكَاحِ بِخِلافِ الْمَبِيعِ وَالثَّمَنِ فِي الْبَيْعِ
Al-Ashab berkata: "Mahar itu bukanlah satu rukun dalam pernikahan, berbeza dengan barang dan harga dalam jual-beli." (Lihat Raudhah al-Talibin, 7/247)

Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Uqbah bin Amir R.A, menyebut:

أَنَّ النَّبِيَّ صلى الله عليه وسلم قَالَ لِرَجُلٍ : أَتَرْضَى أَنْ أُزَوِّجَكَ فُلاَنَةَ ؟ قَالَ : نَعَمْ ، وَقَالَ لِلْمَرْأَةِ : أَتَرْضَيْنَ أَنْ أُزَوِّجَكِ فُلاَنًا ؟ قَالَتْ : نَعَمْ ، فَزَوَّجَ أَحَدَهُمَا صَاحِبَهُ فَدَخَلَ بِهَا الرَّجُلُ وَلَمْ يَفْرِضْ لَهَا صَدَاقًا ، وَلَمْ يُعْطِهَا شَيْئًا وَكَانَ مِمَّنْ شَهِدَ الْحُدَيْبِيَةَ وَكَانَ مَنْ شَهِدَ الْحُدَيْبِيَةَ لَهُ سَهْمٌ بِخَيْبَرَ فَلَمَّا حَضَرَتْهُ الْوَفَاةُ قَالَ : إِنَّ رَسُولَ اللهِ صلى الله عليه وسلم زَوَّجَنِي فُلاَنَةَ ، وَلَمْ أَفْرِضْ لَهَا صَدَاقًا ، وَلَمْ أُعْطِهَا شَيْئًا ، وَإِنِّي أُشْهِدُكُمْ أَنِّي أَعْطَيْتُهَا مِنْ صَدَاقِهَا سَهْمِي بِخَيْبَرَ ، فَأَخَذَتْ سَهْمًا فَبَاعَتْهُ بِمِائَةِ أَلْفٍ.
Bahawa Nabi SAW pernah berkata kepada seorang lelaki: "Apakah kamu bersedia aku nikahkan dengan wanita ini?" Jawab dia: "Ya." Kemudian Baginda berkata pula kepada si wanita: "Apakah kamu bersedia aku nikahkan dengan lelaki itu?" Wanita tersebut menjawab: "Ya."

Kemudian Baginda pun menikahkan mereka berdua. Lelaki tersebut kemudian bercampur dengannya (menggaulinya) dalam keadaan belum menentukan mahar dan belum memberikan sesuatu pun kepadanya. Lelaki ini termasuk orang yang menyaksikan peristiwa Hudaibiyah, dan orang yang sempat menyaksikan peristiwa Hudaibiyah mempunyai bahagian (tanah) di Khaibar.

Kemudian tatkala kematian hampir menjemputnya, dia berkata: "Sesungguhnya Rasulullah SAW menikahkanku dengan fulanah, dan aku belum sebutkan maharnya, dan aku belum beri apa-apa pun (sebagai mahar). Aku jadikan kamu semua sebagai saksi, bahawa aku telah memberi si fulanah tanahku di Khaibar sebagai mahar untuknya." Wanita itu pun mengambil bahagian tanah suaminya di Khaibar dan menjualnya dengan harga 100,000. [Riwayat Abu Daud (2117) dan al-Baihaqi dalam al-Sunan al-Kubra (14110)]

Ibn Ruslan berkata: "Hadis ini menunjukkan dalil bahawa sah akad nikah tanpa menamakan jumlah mahar atau mas kahwin. Ia dikenali sebagai nikah tafwidh. Keharusan ini bukanlah membawa kepada makruh. Akan tetapi al-Mutawalli menyatakan hukumnya makruh." (Lihat Syarh Sunan Abi Daud oleh Ibn Ruslan, 9/419)

Allah SWT berfirman:

لَّا جُنَاحَ عَلَيْكُمْ إِن طَلَّقْتُمُ النِّسَاءَ مَا لَمْ تَمَسُّوهُنَّ أَوْ تَفْرِضُوا لَهُنَّ فَرِيضَةً
"Tidaklah kamu bersalah dan tidaklah kamu menanggung bayaran mas kahwin) jika kamu menceraikan isteri-isteri kamu sebelum kamu sentuh (bercampur) dengan mereka atau (sebelum) kamu menetapkan mas kahwin untuk mereka." (Surah al-Baqarah: 236)




Berdasarkan ayat di atas, Imam al-Nawawi berkata bahawa dibolehkan akad nikah tanpa menentukan mahar. Ayat tersebut menunjukkan, Allah SWT menilai sah talak tanpa menentukan mahar. (Lihat al-Majmu', 16/322)

Imam al-Baghawi berkata, ayat di atas turun berkenaan dengan lelaki Ansar yang menikahi wanita daripada Bani Hanifah dan tidak menyebut atau menentukan mahar ketika akad nikah. Kemudian lelaki tersebut menceraikannya sebelum terjadinya hubungan intim. Maka turunlah ayat ini. (Lihat Ma'alim al-Tanzil, 1/283. Lihat juga al-Jami' li Ahkam al-Quran, 3/202)

Sebahagian fuqaha' daripada kalangan mazhab Syafi'e menyebut bahawa menyebut kadar mahar ketika akad ialah sunat. Mereka berpendapat sedemikian kerana Rasulullah SAW tidak pernah berkahwin atau mengahwinkan anaknya dan orang lain tanpa menyebutkan kadar mahar. Sebahagiannya pula berpendapat bahawa tidak menyebut jumlah mahar dalam akad adalah makruh. (Lihat al-Mufassal fi Ahkam al-Mar'ah, 7/53. Lihat juga al-Fiqh al-Islami wa-Adillatuh, 7/251)

Sekiranya mahar tidak disebutkan dalam akad, pernikahan tetap sah di sisi syarak. Walau bagaimanapun mahar tetap wajib ditunaikan dan akan menjadi hutang suami. (Lihat al-Mufassal, 7/88)

Kesimpulan

Menjawab persoalan di atas, menyebut dan memperjelaskan mahar ketika akad bukanlah menjadi satu kewajipan, namun ia amat digalakkan dan amat baik supaya dapat mengelakkan pertikaian pada masa akan datang. Ini juga sebagai tanda memuliakan isteri.

Justeru, kami tegaskan di sini, sebutlah mahar sekalipun hukumnya sunat pada pendapat sebahagian ulama'.

Kami akhiri dengan doa kepada Allah SWT:

رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا
"Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa." (Surah al-Furqan: 74)

Semoga Allah SWT mengurniakan kefahaman yang tepat kepada kita dalam mengamalkan titah perintah-Nya. Amin.

+ Ustaz Dr. Zulkifli Mohamad Al Bakri | Mufti Wilayah Persekutuan
+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media

Tuntut Ilmu: Hafal Atau Faham Dahulu?

Posted: 08 Apr 2019 05:11 PM PDT


Soalan:
Yang manakah lebih berkesan dalam menuntut ilmu, antara hafal dahulu baru faham, atau faham dahulu baru hafal?

Jawapan:
Menurut Kamus Dewan, maksud hafaz ialah terpelihara dan kekal dalam ingatan khususnya tentang bacaan ayat suci al-Quran. Maksud menghafaz pula ialah membaca atau mempelajari ayat suci berulang kali supaya ingat dalam ingatan. (Lihat Kamus Dewan Edisi Keempat)

Selain daripada hafaz, dalam Bahasa Melayu juga disebut sebagai hafal iaitu sudah benar-benar masuk dalam ingatan tanpa perlu melihat buku atau catatan. Dalam Bahasa Arab pula disebut sebagai al-zakirah. Orang yang mempunyai ingatan yang kuat digelar sebagai quwwatu al-zakirah.

Hafazan adalah perkara penting bagi penuntut ilmu. Disebabkan itulah Imam al-Rahabi dalam Matan al-Rahabiah (hlm. 4) menyebut:

فاحْفَظْ فَكُلُّ حَافِظٍ إِمامٌ
"Maka hafazlah kerana setiap orang yang menghafaz layak menjadi imam."

Menjawab persoalan di atas, kedua-duanya mempunyai asas. Ada yang menghafal dahulu, kemudian baru memahamkannya. Ini sepertimana yang dilakukan oleh kanak-kanak yang menghafal al-Quran, walaupun makna-makna dan maksudnya belum diketahui. Tetapi bagi orang dewasa atau yang sudah berusia, memahami terlebih dahulu lebih mudah untuk membawa kepada ingatan.

Dalam masalah ini, kami lebih cenderung kepada menghafal dahulu berdasarkan satu kaedah yang masyhur:

الْحِفْظُ فِي الصِّغَرِ كَالنَّقْشِ فِي الْحَجَرِ
"Hafazan semasa kecil adalah sama seperti memahat di atas batu."




Dalam sejarah salafus soleh juga, mereka menghafal terlebih dahulu, kemudian baru mereka mempelajarinya. Sebagai contoh dan buktinya, Imam al-Syafie Rahimahullah, dimana beliau telah menghafal kitab al-Muwatta' terlebih dahulu sebelum datang mempelajarinya dengan Imam Malik. Akhirnya Imam Malik merasa kagum dan menyebut:

يَا غُلَام اتَّقِ اللهَ وَلَا تُطْفِئ هَذَا النُّور الَّذِي أَعْطَاكه اللهُ بِالمعَاصِي
"Wahai anak! Bertakwalah kamu kepada Allah. Jangan kamu padamkan cahaya (ilmu) yang Allah kurniakan kepadamu ini dengan maksiat." (Lihat Tarikh Dimasyq, 6/399)

Kami nukilkan daripada kitab Jami' Bayan al-'Ilmi (1/82), antara lain menyebut: Ibrahim bin 'Alqamah berkata: "Apa yang aku hafaz ketika kecil atau muda seolah-olah aku melihat pada kertas."

Begitu juga Luqman al-Hakim pernah menasihati anaknya: "Hai anakku, raih dan tuntutlah ilmu semasa kecil kerana ia sukar ketika dewasa." (Lihat Jami' Bayan al-'Ilmi, 1/369)

Justeru, yang sebaik-baiknya adalah menghafal dan memahami supaya kita faham. Akan tetapi sepertimana yang kami nyatakan, memahami terlebih dahulu supaya memudahkan ingatan boleh dilakukan oleh mereka yang sudah dewasa. Jadi, daripada situ ia akan membantu memudahkan dari segi hafalan.

Kami mengakhiri dengan berdoa:

الّلَهُمَ ذَكِّرْنَا مِنْهُ مَا نُسِّيْنَا، وَعَلِّمْنَا مِنْهُ مَا جَهِلْنَا، وَارْزُقْنَا تِلَاوَتَهُ آنَاءَ اللَّيْلِ وَأطْرَافَ الْنَهَار، واجْعَلهُ لَنَا حُجَّةٌ يَا ربَّ الْعَالَمِيْن

Semoga Allah SWT kurniakan kepada kita kegigihan dan kesungguhan dalam menekuni ilmu seterusnya berkhidmat menyebarkannya kepada segenap lapisan masyarakat. Amin.

+ Ustaz Dr. Zulkifli Mohamad Al Bakri | Mufti Wilayah Persekutuan
+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media

Hukum Menghadiri Majlis Keraian Yang Mengandungi Maksiat

Posted: 08 Apr 2019 04:50 PM PDT


Soalan:
Apakah hukum hadir majlis kenduri atau majlis keraian yang mengandungi maksiat?

Jawapan:
Bagi menjawab persoalan ini, adalah amat baik jika kita menekuni hukum menghadiri sesebuah majlis perkahwinan sebagai asas dalam perbincangan. Setelah itu, majlis-majlis lain boleh diqiyaskan kepadanya.

Hukum asal menghadiri majlis perkahwinan sekiranya dijemput secara khusus adalah wajib menurut majoriti ulama dalam mazhab Maliki, Syafie dan Hanbali. Ia berdalilkan dengan sebuah hadis daripada Ibn Umar R.A bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:

إِذَا دُعِيَ أَحَدُكُمْ إِلَى الْوَلِيمَةِ فَلْيَأْتِهَا
"Apabila salah seorang kamu dijemput ke majlis perkahwinan (walimah), maka hadirlah ia." [Riwayat Muslim 1053]


Hukum wajib tersebut diambil daripada perkataan Nabi S.A.W فَلْيَأْتِهَا yang merupakan kata perintah yang membawa hukum wajib secara asasnya di sisi kaedah fekah.

Berikut merupakan ringkasan perbincangan ulama mengenai hukum asal menghadiri majlis perkahwinan. Mazhab Hanafi dan juga satu pendapat dalam mazhab Syafie dan Maliki mengatakan bahawa hukumnya sunat. Manakala terdapat pendapat lain dalam mazhab Hanbali dan Syafie yang mengatakan ia fardhu kifayah dan memadai jika dihadiri oleh sebahagian daripada masyarakat. [Rujuk Al-Mausu'ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah (45/235-236)]

Hukum Menerima Jemputan Majlis Yang Diisi Dengan Perkara Mungkar

Para ulama bersepakat bahawa sesiapa yang dijemput ke majlis perkahwinan dalam keadaan dia mengetahui bahawa di dalam majlis tersebut terdapat perkara yang haram seperti hidangan arak sedangkan dia tidak mampu memungkirinya, maka gugur kewajipannya menghadiri majlis tersebut. [Lihat Hashiyah al-Dusuqi: 2/377, Sharh al-Zurqani: 4/53, al-Hawi al-Kabir: 12/199, Raudhah al-Talibin: 7/334)]

Ini berdasarkan firman Allah S.W.T:

قَدْ نَزَّلَ عَلَيْكُمْ فِي الْكِتَابِ أَنْ إِذَا سَمِعْتُمْ آيَاتِ اللَّهِ يُكْفَرُ بِهَا وَيُسْتَهْزَأُ بِهَا فَلَا تَقْعُدُوا مَعَهُمْ حَتَّىٰ يَخُوضُوا فِي حَدِيثٍ غَيْرِهِ
"Dan sungguh Allah telah menurunkan kekuatan kepada kamu di dalam Al-Quran bahwa apabila kamu mendengar ayat-ayat Allah diingkari dan diperolok-olokkan (oleh orang-orang kafir), maka janganlah kamu duduk beserta mereka, sehingga mereka memasuki pembicaraan yang lain." [Surah Al-Nisa' (140)]


Berdasarkan kepada mafhum ayat di atas, perbuatan duduk di dalam sesebuah majlis yang terdapat di dalamnya pengingkaran dan penghinaan kepada ayat-ayat Allah adalah ditegah dan dilarang. Ini jelas ditunjukkan oleh frasa بِهَا فَلَا تَقْعُدُوا مَعَهُمْ yang datang dengan 'La al-Naahiyah' yang membawa hukum haram.

Imam Abu Ja'far al-Thabari Rahimahullah dalam tafsiran beliau ke atas ayat ini berkata:

وفي هذه الآية، الدلالة الواضحة على النهي عن مجالسة أهل الباطل من كل نوع، من المبتدعة والفسَقة، عند خوضهم في باطلهم
"Ayat ini menunjukkan kepada dalalah yang jelas ke atas larangan duduk bermajlis bersama ahli kebatilan dari segenap jenis lapisan. Dari kalangan ahli bid'ah dan juga golongan yang fasiq, semasa mereka melakukan kebatilan tersebut." [Lihat Al-Jaami' al-Bayan, al-Thabari (9/320)]

Selain itu, terdapat juga sebuah riwayat yang jelas dari Nabi S.A.W akan larangan duduk di dalam majlis yang dihidangkan padanya arak. Ini berdasarkan sebuah riwayat daripada Ibn Abbas R.Anhuma bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:

من كان يؤمنُ باللهِ واليومِ الآخرِ فلا يشربِ الخمرَ من كان يؤمنُ باللهِ واليومِ الآخرِ فلا يجلسْ على مائدةٍ يشربُ عليها الخمرَ
"Sesiapa yang beriman dengan Allah dan juga hari akhirat, janganlah dia meminum arak. Dan sesiapa yang beriman dengan Allah dan hari akhirat, maka janganlah dia duduk pada hidangan yang diminum padanya arak." [Riwayat al-Haithami (1/283)]


Siyaq ataupun konteks hadis di atas jelas menunjukkan kepada pengharaman duduk di majlis yang dihidangkan padanya arak. Ini kerana, lafaz sebelum itu menunjukkan bahawa sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat hendaklah dia jangan meminum arak. Larangan meminum arak tidak menunjukkan kepada kemakruhan bahkan kepada keharamannya. Justeru, larangan seterusnya ke atas perbuatan duduk di hidangan yang terdapat padanya arak juga menunjukkan kepada hukum yang sama.




Fatwa Badan-Badan Berautoriti

Pertama: Dar al-Ifta' al-Misriyyah

Dalam fatwa yang dikeluarkan oleh Syeikh al-Allamah Jaad al-Haq Ali Jaad al-Haq pada tahun 1979 M, beliau menyatakan berkaitan dengan majlis yang berlangsung padanya pemberian dan penerimaan dadah dengan katanya: Allah memuji hamba-hamba-Nya yang menjauhi majlis-majlis yang melalaikan lagi lagha. Maka Dia berfirman:

وَالَّذِينَ هُمْ عَنِ اللَّغْوِ مُعْرِضُونَ
"(Ciri orang beriman) adalah mereka yang memalingkan diri dari perkara yang lagha." [Surah al-Mu'minun (3)]


Dan Abu Daud meriwayatkan di dalam sunannya dari Ibn Umar R.Anh tentang katanya:

نَهَى رسُولُ الله صلَّى الله عليه وسَلَّم عَنِ الجُلُوسِ عَلَى مَائِدَةٍ يُشربُ عَلَيهَا الخَمْرُ
"Rasulullah S.A.W melarang duduk pada hidangan yang diminum arak di dalamnya."


Kata Syeikh Rahimahullah: "Yang diambil faedah dari beberapa nas ini adalah keharaman bermajlis dengan mereka yang melakukan maksiat dalam apa sahaja bentuknya. Ini kerana dalam bermajlis dengan mereka akan berlaku kerosakan terhadap perkara yang Allah haramkan. Dan sesiapa yang bermajlis bersama dengan pelaku maksiat yang melakukan kemungkaran pastilah akan berakhlak dengan akhlak mereka yang buruk (mengikut peribadi mereka). Dan akan mengikut kebiasaan apa yang mereka lakukan daripada dosa seperti minum sesuatu yang memabukkan serta mengkhayalkan."

Kedua: Para ulama khilaf mengenai hukum menghadiri majlis sedemikian. Pendapat yang azhar dan sahih dalam mazhab Syafie dan mazhab Hanbali adalah haram berdasarkan hadis Jabir bin Abdullah bahawa Rasulullah S.A.W melarang duduk dalam majlis yang terdapat hidangan arak. Ini kerana, pemergiannya ke majlis tersebut dalam keadaan dia mengetahui kemaksiatan di dalamnya seolah-olah dia pergi untuk tujuan mendengar atau melihat kemaksiatan. [Rujuk Al-Hawi al-Kabir, Al-Mawardi 12/199, Raudhah al-Talibin, Al-Nawawi 7/334]

Dalam mazhab Hanafi secara jelas menyatakan sesiapa yang dijemput menghadiri majlis perkahwinan sedangkan dia mengetahui terdapat kemaksiatan di dalamnya sebelum ia hadir, maka tidak perlu dihadiri jemputan tersebut. [Lihat Hashiyah Ibn 'Abidin (5/222)]

Namun terdapat satu pendapat dalam mazhab Syafie kalangan ulama Iraq yang mengharuskan, dengan syarat memungkiri kemungkaran tersebut di dalam hatinya. Keharusan itu dengan alasan kehadiran mereka mungkin akan menyebabkan penganjur majlis merasa malu lalu menghentikan atau mengurangkan kemungkaran yang dilakukan dalam majlis tersebut.

Dihikayatkan bagaimana Imam al-Hasan al-Basri dan Muhammad bin Ka'ab telah dijemput menghadiri satu majlis perkahwinan. Dalam majlis tersebut mereka terdengar konsert nyanyian, lalu Muhammad bangun untuk meninggalkan majlis, namun ditarik oleh al-Hasan sambil berkata: "Duduklah, kemaksiatan mereka tidak menghalang ketaatanmu."

Kesimpulan

Sebagai kesimpulan, kami menyatakan bahawa hukum menghadiri majlis perkahwinan atau keraian yang terdapat di dalamnya maksiat dan kemungkaran perlulah diperincikan dari dua sudut yang berikut:

Pertama: Bagi masyarakat awam, yang mana kehadirannya ke majlis tersebut tidak memberi sebarang kesan dan perubahan kepada acara majlis, maka adalah tidak perlu untuk dia menghadirinya bahkan tidak wajib untuk hadir ke majlis itu sekiranya dia mengetahui ada maksiat di dalamnya.

Kedua: Bagi tokoh-tokoh ulama seperti para agamawan, sekiranya kehadiran mereka ke majlis tersebut akan menyebabkan pihak penganjur berasa malu dan segan serta boleh jadi memberhentikan acara maksiat atau paling tidak mengurangkannya, maka kehadiran mereka pada majlis sebegitu adalah dibolehkan.

Dalam suasana masyarakat Islam di Malaysia dan juga keadaan pihak kerajaan yang menjunjung tinggi nilai-nilai mulia dan adab yang murni, maka kami mencadangkan supaya sebarang bentuk sambutan keraian di majlis perpisahan dan selainnya, hendaklah dielakkan sebarang unsur maksiat di dalamnya. Inilah yang sepatutnya.

Akhir kalam, semoga Allah S.W.T memberikan kefahaman yang tepat kepada kita dalam beragama. Ameen.

+ Ustaz Dr. Zulkifli Mohamad Al Bakri | Mufti Wilayah Persekutuan
+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media