Sunday, April 14, 2019

Oh! Media

Oh! Media


Keputusan Tidak Rasmi - Tok Mat Mendahului PRK DUN Rantau

Posted: 13 Apr 2019 05:04 AM PDT


Keputusan tidak rasmi dari pengiraan terkini PRK DUN Rantau hari ini telah menunjukkan calon dari Barisan Nasional, Datuk Seri Mohamad Hasan berada di hadapan dengan sangat selesa.

Setakat ini, 46 daripada 56 peti undi telah dikira dan Tok Mat kini memperoleh 8,442 undi dan calon PH Dr S Streram mendapat 4,642 jauh ketinggalan di belakang lawannya.




Dua calon Bebas, Mohd Nor Yassin, memperoleh 66 undi manakala R Malar meraih 67 undi.

Berdasarkan peraturan keluar mengundi yang difahamkan mencecah 78 peratus, majoriti mudah untuk calon memenangi PRK ini adalah 8,200 undi.

Jadi adakah keputusan rasmi nanti akan membolehkan Tok Mat mengekalkan kerusi yang disandang sejak tiga penggal lalu? Sama-sama kita nantikan.

+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media.



60 Faedah Dan Hukum Dari Sebuah Hadith Ringkas

Posted: 12 Apr 2019 04:51 PM PDT


Soalan:
Saya pernah mendengar terdapat satu hadith yang ringkas, namun para ulama mampu mengeluarkan sehingga 60 hukum hakam dan faedah daripada hadith tersebut. Boleh nyatakan hadith tersebut dan hukum-hakam yang diistibatkan daripadanya?

Jawapan:
Hadith yang dimaksudkan ialah hadith yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik RA:

كَانَ النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم أَحْسَنَ النَّاسِ خُلُقًا، وَكَانَ لِي أَخٌ يُقَالُ لَهُ أَبُو عُمَيْرٍ ـ قَالَ أَحْسِبُهُ فَطِيمٌ ـ وَكَانَ إِذَا جَاءَ قَالَ ‏ "‏ يَا أَبَا عُمَيْرٍ مَا فَعَلَ النُّغَيْرُ ‏" نُغَرٌ كَانَ يَلْعَبُ بِهِ، فَرُبَّمَا حَضَرَ الصَّلاَةَ وَهُوَ فِي بَيْتِنَا، فَيَأْمُرُ بِالْبِسَاطِ الَّذِي تَحْتَهُ فَيُكْنَسُ وَيُنْضَحُ، ثُمَّ يَقُومُ وَنَقُومُ خَلْفَهُ فَيُصَلِّي بِنَا‏.‏
Nabi Muhammad SAW merupakan orang yang terbaik akhlaknya. Aku mempunyai seorang adik yang dipanggil Abu 'Umair, yang aku rasa baru sahaja berhenti menyusu dengan ibunya. Setiap kali adikku itu dibawa kepada Baginda akan bertanya kepadanya: "Wahai Abu 'Umair, apa yang burung pipit kamu sedang lakukan (burung pipit belaan yang selalu dia bermain dengannya)?" Kadang-kala waktu solat tiba sedang Baginda masih di rumah kami, maka Baginda mengarahkan kami untuk menghamparkan tikar dibawahnya, dibersihkan dan direnjis air. Kemudian Baginda berdiri dan kami mengikut Baginda, dan solat di belakang Baginda. [Sahih al-Bukhari (6203)]

Terdapat juga riwayat lain yang menyebut:

كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم يَدْخُلُ عَلَيْنَا وَلِي أَخٌ صَغِيرٌ يُكْنَى أَبَا عُمَيْرٍ وَكَانَ لَهُ نُغَرٌ يَلْعَبُ بِهِ فَمَاتَ فَدَخَلَ عَلَيْهِ النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم ذَاتَ يَوْمٍ فَرَآهُ حَزِينًا فَقَالَ ‏"‏ مَا شَأْنُهُ ‏"‏ ‏.‏ قَالُوا مَاتَ نُغَرُهُ فَقَالَ ‏"‏ يَا أَبَا عُمَيْرٍ مَا فَعَلَ النُّغَيْرُ
Nabi Muhammad SAW pernah datang melawat kami. Aku mempunyai seorang adik yang diberi kuniyah (gelaran) Abu 'Umair yang mempunyai seekor burung pipit yang dia selalu bermain dengannya, namun ia telah mati. Maka suatu hari Baginda SAW datang berjumpa dengannya dan melihatnya bersedih, lalu Baginda SAW bertanya akan hal Abu 'Umair, lalu dijawab: "Burung pipitnya telah mati." Maka Baginda SAW bertanya kepadanya: "Wahai Abu 'Umair, apa yang telah terjadi kepada burung pipit itu?" [Sunan Abi Daud (4969)]

Abu 'Umair merupakan anak hasil perkahwinan antara Ummu Sulaim dengan Abu Tolhah R.'Anhum, dan beliau meninggal dunia sewaktu masih lagi kecil. (Rujuk Fath al-Bari Syarh Sahih al-Bukhari 3/170 dan 10/586)

Ibn al-Qaas -seorang faqih mazhab al-Syafi'e- telah menulis satu kitab yang berjudul Fawa'id Hadith Ibnu 'Umair yang menghimpunkan lebih enam puluh istinbat hukum, hikmah dan sunnah Rasulullah SAW, antaranya kami kemukakan di bawah:

1- Sunnah berjalan menurut Nabi SAW ialah tidak berjalan dengan gaya takabbur dan meninggi diri, dan tidak terlalu lambat dan menunduk. Nabi SAW berjalan dengan sedikit menunduk seolah-olah sedang turun daripada bukit yang curam.
2- Ziarah itu merupakan satu sunnah.
3- Rukhsah untuk menziarahi wanita yang bukan mahram.
4- Ziarah pemimpin kepada rakyatnya.
5- Harus bagi seorang pemimpin untuk mengkhususkan ziarah kepada sebahagian rakyatnya, dan ia tidak boleh dianggap sebagai berat sebelah (bias), meskipun sebahagian ulama memakruhkan perbuatan ini.
6- Menunjukkan sikap tawadhu seorang pemimpin dengan rakyatnya.
7- Hadith ini juga menjadi dalil makruhnya meletakkan penghalang antara pemimpin dengan rakyat.
8- Keharusan seorang pemimpin untuk berjalan seorang diri.
9- Hadith ini menunjukkan kekerapan ziarah Nabi SAW kepada keluarga Anas bin Malik R.A
10- Kekerapan ziarah pada kebiasannya tidak membuahkan kasih-sayang, kecuali apabila disertakan dengan keinginan yang bersungguh-sungguh. Ini berdasarkan kata-kata 'Aisyah R.Anha:
زر غبا تزدد حبا
"Ziarahlah dengan kadar yang tidak terlalu kerap, nescaya kasih-sayang antara kamu akan bertambah."




11- Anjuran untuk berinteraksi dengan orang ramai. Adapun hadith yang menyuruh agar kita menjauhi interaksi dan pergaulan dengan dengan orang ramai, maka ia terkecuali jika dengan perbuatan itu kita dapat merapatkan ukhuwwah dan membina kasih sayang sesama orang Islam.
12- Anjuran untuk bersalam dengan tetamu yang datang berziarah.
13- Dalil keharusan bagi tetamu untuk solat di rumah tuan punya rumah.
14- Hukum asal sesuatu adalah suci sehinggalah diyakini adanya najis, dimana Nabi dan sahabat Baginda SAW menggunakan tikar yang didapati untuk solat tanpa menyucikannya terlebih dahulu.
15- Harus bagi pemilik ilmu untuk mendatangi penimba ilmu, dengan syarat keadaan itu tidak menyebabkan kehinaan kepada ilmu itu sendiri.
16- Solat Nabi SAW di rumah keluarga Abi Tolhah menjadi dalil akan keistimewaan keluarganya tersebut.
17- Keharusan bergurau-senda dengan kanak-kanak.
18- Gurauan Nabi SAW dengan kanak-kanak juga menjadi dalil perintah supaya meninggalkan sifat takabbur dan meninggi diri.
19- Hadith ini juga menjadi dalil akan ketinggian dan kemuliaan akhlak Nabi SAW.
20- Keharusan bagi seorang mu'min untuk memiliki dua personaliti berbeza di ruang awam dan di ruang peribadi, di mana sikap di ruang awam adalah lebih tenang, manakala di rumah pula lebih banyak gurau-senda.
21- Sikap ini pula tidak menafikan perintah untuk kita menjauhi sifat munafiq.
22- Anjuran untuk kita bertanya khabar berkenaan saudara kita apabila kita bertemu dengannya.
23- Hadith ini juga menjadi dalil akan tsabitnya khabar ahad, di mana Nabi SAW bergantung kepada jawapan daripada satu pihak kepada soalan Baginda.
24- Diharuskan untuk memberi kuniyah (gelaran 'Abu' atau 'Ummu') kepada kanak-kanak yang belum mempunyai anak.
25- Harus untuk membelanjakan harta untuk membeli permainan kanak-kanak, selagimana ia bukan daripada perkara yang diharamkan.
26- Dalil keharusan untuk meletakkan burung di dalam sangkar.
27- Dalil akan keharuskan memberi lafaz 'tasghir' dalam penamaan.
28- Seorang yang bijak mestilah bermuamalah dan berinteraksi dengan orang ramai menurut kadar akal dan pemikiran mereka.
29- Dalil akan sunatnya qailulah (tidur sebentar sebelum Zohor).
30- Hadith ini menafikan pandangan sesetengah pihak yang menyatakan perbuatan seorang pemimpin yang tidur di rumah rakyatnya akan menyebabkan jatuhnya maruah pemimpin tersebut.
31- Harus untuk menikmati nikmat pemberian Allah SWT, dan ia tidak menyanggi sunnah.
32- Duduknya Nabi SAW di atas tikar dan tilam menunjukkan penghormatan yang tinggi kepada tetamu yang datang berziarah.

Imam Ibn Hajar al-'Asqalani juga menyatakan bahawa gurauan Nabi SAW bersama Abu 'Umair ini juga sebagai satu bentuk perbuatan baik Baginda dengan khadam Baginda iaitu Anas bin Malik R.A. (Rujuk Fath al-Bari Syarh Sahih al-Bukhari 10/586)

Selain itu, hadith ini juga menjadi dalil bagi Imam Abu Hanifah yang berpandangan bahawa berburu di Madinah ketika dalam keadaan ihram tidaklah diharamkan. Namun mazhab yang mengharamkannya memberikan jawapan dengan dua kemungkinan: sama ada hadith ini berlaku sebelum penetapan Madinah sebagai kawasan haram berburu ketika ihram, atau haiwan itu diburu dan ditangkap di luar kawasan haram. (Rujuk Syarh al-Nawawi 'ala Muslim 9/134)

Kami nukilkan sebahagian sahaja faedah yang didapati daripada hadith ini kerana kekurangan waktu dan kesempatan.

Kesimpulan

Tuntasnya, banyaknya faedah dan hikmah yang diperoleh daripada hadith yang ringkas ini membenarkan sabda Baginda SAW:

بُعِثْتُ بِجَوَامِعِ الْكَلِمِ
"Aku diutuskan oleh Allah SWT sebagai seorang yang mampu menuturkan makna yang paling luas dengan lafaz yang paling ringkas." [Sahih al-Bukhari (2977) dan Sahih Muslim (523)]

Ia juga menzahirkan kecerdasan akal dan kehebatan para ulama dalam mengambil manfaat dan mengeluarkan hukum-hakam daripada satu hadith. Lantaran itu, wajib bagi kita melahirkan setinggi-tinggi penghormatan ke atas mereka, mendoakan agar Allah SWT mencucuri rahmat ke atas mereka dan berazam untuk mencontohi usaha mereka dalam berkhidmat kepada ilmu.

Wallahu a'lam.

+ Ustaz Dr. Zulkifli Mohamad Al Bakri | Mufti Wilayah Persekutuan
+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media

Hukum Isteri Mempelawa Lelaki Asing Masuk Ke Rumah Ketika Ketiadaan Suami

Posted: 12 Apr 2019 04:48 PM PDT


Soalan:
Bolehkah seorang wanita mempelawa lelaki asing datang ke rumah ketika ketiadaan suami dan tanpa keizinan suami atas alasan sekadar untuk melakukan tugasan bersama?

Jawapan:
Islam merupakan agama yang mengangkat nilai wanita pada martabat yang tinggi. Seawal permulaan dakwah Nabi SAW hinggalah ke akhir hayat Baginda Nabi SAW, sangat jelas bagaimana Nabi SAW sentiasa mengajak manusia untuk mengangkat kemuliaan kaum wanita. Sehinggakan Rasulullah SAW ketika ditanya kepada Baginda SAW oleh seorang sahabat seperti mana yang diriwayatkan Anas RA:

يَا رَسُولَ اللَّهِ أَىُّ النَّاسِ أَحَبُّ إِلَيْكَ قَالَ ‏"‏ عَائِشَةُ ‏"
"Wahai Rasulullah, siapakah di antara manusia yang paling kamu cintai?" Maka Baginda SAW bersabda: "Aisyah." [Riwayat al-Bukhari 4358]

Selain itu, dalam hadis yang lain, yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA bahawa, Baginda Nabi SAW bersabda:

وَاسْتَوْصُوا بِالنِّسَاءِ فَإِنَّ الْمَرْأَةَ خُلِقَتْ مِنْ ضِلَعٍ وَإِنَّ أَعْوَجَ شَىْءٍ فِي الضِّلَعِ أَعْلاَهُ إِنْ ذَهَبْتَ تُقِيمُهُ كَسَرْتَهُ وَإِنْ تَرَكْتَهُ لَمْ يَزَلْ أَعْوَجَ اسْتَوْصُوا بِالنِّسَاءِ خَيْرًا
"Nasihatilah kaum wanita, kerana wanita itu diciptakan dari tulang rusuk. Sesungguhnya tulang rusuk yang paling bengkok adalah pada bahagian paling atas. Maka jika kamu berusaha untuk meluruskannya, kamu akan mematahkannya, dan jika kamu membiarkan sebagaimana adanya maka ia akan tetap dalam keadaan bengkok. Maka nasihatilah dengan perkara yang baik kepada kaum perempuan." [Riwayat Muslim (1468)]

Berdasarkan dua hadith ini jelaslah bahawa Islam tidak sesekali merendahkan kaum wanita seperti mana yang dilakukan oleh sebahagian agama dan masyarakat lain di dunia. Lihat sahaja pada hadith yang pertama, betapa tingginya cinta Nabi kepada Aisyah sehingga meletakkannya di tempat orang yang paling Nabi cintai. Ini jelas menunjukkan bahawa isteri itu bukanlah seperti hamba yang dihalalkan untuk melakukan apa sahaja, tetapi isteri adalah tanggungjawab kepada seorang suami untuk dicintai.

Pada hadith yang kedua pula jelas memaparkan bahawa peranan untuk membimbing wanita dengan penuh kelembutan adalah suatu tanggungjawab yang Baginda SAW syariatkan.

Dalam meneliti isu ini, kami bawakan sebuah kisah yang pernah berlaku di zaman Rasulullah SAW. Hal ini seperti mana yang diriwayatkan oleh Abdullah Ibn Amr RA:

أَنَّ نَفَرًا مِنْ بَنِي هَاشِمٍ دَخَلُوا عَلَى أَسْمَاءَ بِنْتِ عُمَيْسٍ فَدَخَلَ أَبُو بَكْرٍ الصِّدِّيقُ وَهِيَ تَحْتَهُ يَوْمَئِذٍ فَرَآهُمْ فَكَرِهَ ذَلِكَ فَذَكَرَ ذَلِكَ لِرَسُولِ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم وَقَالَ لَمْ أَرَ إِلاَّ خَيْرًا ‏.‏ فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم ‏"‏ إِنَّ اللَّهَ قَدْ بَرَّأَهَا مِنْ ذَلِكَ ‏"‏ ‏.‏ ثُمَّ قَامَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم عَلَى الْمِنْبَرِ فَقَالَ ‏"‏ لاَ يَدْخُلَنَّ رَجُلٌ بَعْدَ يَوْمِي هَذَا عَلَى مُغِيبَةٍ إِلاَّ وَمَعَهُ رَجُلٌ أَوِ اثْنَانِ
Suatu ketika beberapa lelaki Bani Hasyim masuk ke rumah Asma binti 'Umais. Tidak lama kemudian Abu Bakar al-Siddiq juga memasuki rumah tersebut ketika itu Asma binti Umais telah menjadi isteri Abu Bakar. Di dalam rumah Asma, Abu Bakar melihat para lelaki Bani Hasyim tersebut, dan beliau tidak menyukai perkara itu. lalu beliau menceritakan kepada Rasulullah SAW, kemudian berkata: "Saya tidak melihat apa-apapun melainkan perkara yang baik sahaja!" Rasulullah SAW lalu bersabda: "Allah telah membebaskan Asma dari hal-hal buruk itu." Kemudian Rasulullah SAW naik mimbar dan bersabda: "Semenjak hari ini, jangan sekali-kali seorang lelaki menemui wanita yang menyendiri (saat suaminya tidak ada) kecuali dia disertai oleh satu atau dua lelaki lainnya." [Riwayat Muslim (2173)]

Imam al-Nawawi dalam mensyarahkan hadith ini, menyebutkan wanita yang menyendiri ketika ketiadaan suami itu termasuk sama ada suami itu bermusafir ke luar negara atau hanya meninggalkan rumah untuk sementara. [Lihat kitab Sahih Muslim bi Syarhi al-Nawawi (4/21)]




Selain itu,terdapat juga tegahan-tegahan yang disebutkan Baginda SAW melalui hadith yang diriwayatkan oleh Uqbah bin Amir RA bahawa Nabi SAW bersabda:

لاَ يَخْلُوَنَّ رَجُلٌ بِامْرَأَةٍ إِلاَّ كَانَ ثَالِثَهُمَا الشَّيْطَانُ
"Tidak berdua-duaan seorang lelaki dan perempuan (yang bukan mahram) melainkan ada yang ketiga iaitu syaitan." [Riwayat al-Tirmidzi (1171)]

AKTA KESALAHAN JENAYAH SYARIAH (WILAYAH-WILAYAH PERSEKUTUAN) 1997

Menurut Akta ini, di bawah Seksyen 27 kesalahan Khalwat menyatakan bahawa:

Mana-mana-
(a) orang lelaki yang didapati berada bersama dengan seorang atau lebih daripada seorang perempuan yang bukan isteri atau mahramnya; atau
(b) orang perempuan yang didapati berada bersama dengan seorang atau lebih daripada seorang lelaki yang bukan suami atau mahramnya,

di mana-mana tempat yang terselindung atau di dalam rumah atau bilik dalam keadaan yang boleh menimbulkan syak bahawa mereka sedang melakukan perbuatan yang tidak bermoral adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi tiga ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya.

Kesimpulan

Berdasarkan nas dan hujah di atas, kami melihat bahawa hukum lelaki ajnabi atau yang asing tidak mempunyai hubungan kekeluargaan dan mahram adalah dilarang sama sekali untuk masuk ke rumah wanita yang ketiadaan suami. Ini jelas seperti mana yang disebutkan di dalam hadith yang disebutkan melalui khutbah Baginda SAW di atas.

Dalam hal ini, selain daripada tanggungjawab seorang isteri untuk menjaga amanah suami iaitu, menjaga rumah daripada dimasuki lelaki asing, perlu diingatkan sebagaimana kami sebutkan pada awal, bahawa Islam sangat menjaga kehormatan wanita. Oleh itu, janganlah sesekali para wanita sekalian mengoyakkan kemuliaan yang diangkat oleh Islam.

Kesalahan ini juga termaktub dalam undang-undang Syariah seperti yang disebutkan di atas. Semoga kita semua mendapat hidayah dalam mempraktikkan syariat-Nya.

+ Ustaz Dr. Zulkifli Mohamad Al Bakri | Mufti Wilayah Persekutuan
+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media

Bacaan Ketika Seseorang Terlupa

Posted: 12 Apr 2019 04:31 PM PDT


Soalan:
Apakah yang sepatutnya dibaca oleh seseorang itu apabila dia terlupa akan sesuatu?

Jawapan:
Tidak dinafikan bahawa setiap manusia itu tidak dapat lari dari sifat pelupa. Sehinggakan disebut dalam sebuah ungkapan yang masyhur:

وَمَا سُمِّيَ الإنسَانُ إِلَّا لِنَسيِهِ
"Dan tidaklah dinamakan manusia itu melainkan kerana sifat pelupanya."

Sebahagian ulama menyebutkan berkenaan dua perkara yang bermanfaat untuk dibaca oleh seseorang itu apabila dia terlupa. Kami kongsikan kedua cara tersebut seperti berikut:

Pertama: Menyebut Nama Allah S.W.T

Seseorang yang terlupa akan sesuatu perkara dituntut untuk memperbanyakkan mengingati Allah supaya Allah S.W.T membantu dirinya mengingati semula perkara tersebut. Hal ini adalah berdasarkan firman Allah S.W.T:

وَاذْكُرْ رَبَّكَ إِذَا نَسِيتَ
"Dan sebutlah nama Tuhan kamu apabila kamu terlupa." [Surah al-Kahf (24)]

Syeikh Muhammad bin Al-Amin al-Syanqithi dalam tafsiran beliau ke atas ayat ini menyebutkan: "Para ulama tafsir mempunyai dua pendapat yang makruf terhadap ayat ini. Iaitu:

  • Ayat ini berkaitan dengan ayat sebelumnya. Makna ayatnya: "Sekiranya kamu mengatakan bahawa kamu akan melakukan sesuatu perkara pada esok hari, kemudian kamu terlupa untuk mengucapkan 'InsyaAllah' kemudian kamu mengingatnya semula maka ucapkanlah InsyaAllah.

Ini adalah pendapat yang zahir dan ia juga merupakan pandangan jumhur ulama. Antara yang menyebutkan tentangnya adalah Ibn Abbas, Hasan al-Basri, Abu al-'Aaliyah, dan selain mereka.

  • Pandangan kedua pula menyatakan bahawa ayat ini tidak berkaitan dengan ayat sebelumnya. Makna ayat menjadi: 'Apabila terjadi pada diri kamu terlupa akan sesuatu perkara maka sebutlah nama Allah. Ini kerana kelupaan itu disebabkan oleh syaitan dan zikrullah akan dapat menolak syaitan'. [Rujuk Adhwa' al-Bayan, al-Syanqithi (4/61-62)]

Manakala Syeikh Abd al-Rahman bin Nasir al-Sa'di dalam tafsirannya ke atas ayat ini berkata: "Dan diambil dari keumuman firman Allah ini, perintah untuk zikrullah ketika terlupa. Ini kerana ia dapat menghilangkan kelupaan serta akan mengingatkan seorang hamba itu perkara yang dia terlupa." [Rujuk Taisir al-Karim al-Rahman, Al-Sa'di (5/956)]




Kedua: Berselawat Ke Atas Nabi S.A.W

Sebahagian ulama menyatakan bahawa antara cara yang dilakukan oleh seseorang itu apabila dia terlupa akan sesuatu adalah dengan berselawat ke atas Nabi S.A.W. Ini seperti yang disebutkan oleh Imam al-Sakhawi dengan katanya:

وأما الصلاة عليه لمن نسي شيئاً وأراد تذكره وكذا لمن خاف النسيان
"Adapun selawat ke atas baginda S.A.W bagi mereka yang terlupa akan sesuatu atau hendak mengingatinya semula dan demikian juga bagi mereka yang takut terlupa."

Ini adalah berdasarkan sebuah hadis daripada Anas beliau berkata bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:

إذا نسيتم شيئاً فصلوا علي تذكروه إن شاء الله تعالى
"Apabila kamu terlupa akan sesuatu maka berselawatlah ke atasku nescaya kamu akan mengingati perkara tersebut. InsyaAllah."

Hadis ini dikeluarkan oleh Abu Musa al-Madini dengan sanad yang dhaif. Manakala daripada Utsman bin Abi Harb al-Bahili beliau meriwayatkan bahawa Nabi S.A.W bersabda:

من أراد أن يحدث بحديث فنسيه فليصل علي فإن في صلاته علي خلفاً من حديثه وعسى أن يذكره
"Sesiapa yang hendak membacakan suatu hadis lalu dia terlupa akannya maka hendaklah dia berselawat ke atasku. Sesungguhnya selawatnya ke atasku adalah sebagai ganti dari hadisnya dan mudah-mudahan (dengan berselawat) dia akan mengingatinya semula."

Hadis ini dikeluarkan oleh Al-Dailami sebegini dengan sanad yang dhaif. Demikian juga daripada Abu Hurairah R.A beliau berkata:

من خاف على نفسه النسيان فليكثر الصلاة على النبي - صلى الله عليه وسلم
"Sesiapa yang takutkan ke atas dirinya sifat pelupa maka hendaklah dia berselawat ke atas Nabi S.A.W."

Riwayat ini juga datang dengan sanad yang terputus. [Rujuk Al-Qaul al-Badi', Al-Sakhawi (1/227)]

Demikian juga Imam Ibn Qayyim al-Jauziyyah ada menyebutkan bahawa antara tempat yang dianjurkan untuk berselawat ke atas Nabi S.A.W adalah apabila seseorang itu terlupa akan sesuatu perkara atau dia mahu untuk mengingati suatu perkara. Beliau menyatakan bahawa perkara ini disebutkan oleh Abu Musa al-Madini dalam sebuah riwayat daripada Anas bin Malik R.A bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:

إذا نسيتم شيئا فصلوا علي تذكروه إن شاء الله
"Apabila kamu terlupa akan sesuatu maka berselawatlah ke atasku nescaya kamu akan mengingati perkara tersebut. InsyaAllah." [Rujuk Jala' al-Afham, Ibn Al-Qayyim (1/429)]

Kesimpulan

Sebagai penutup, kami menyatakan bahawa pada asasnya seseorang yang terlupa itu hendaklah memperbanyakkan zikrullah berdasarkan keumuman ayat yang ke-24 dari surah al-Kahfi di atas. Ini seperti dia membaca doa:

اللهم ذكرني ما نسيت وعلمني ما جهلت
"Ya Allah, ingatkanlah aku terhadap apa yang aku lupa dan ajarkanlah aku apa yang aku jahil."

Demikian juga boleh untuk seseorang yang lupa itu berselawat ke atas Nabi S.A.W disebabkan terdapatnya hadis yang menunjukkan kepada hal tersebut sekalipun ia merupakan hadis dhaif. Sebagaimana yang masyhur menjadi pegangan jumhur, hadis-hadis dhaif boleh diamalkan di dalam bab fadhilat-fadhilat amalan dengan beberapa syarat yang telah disebutkan oleh beberapa ulama seperti Ibn Hajar al-Asqalani dan selainnya.

Akhir kalam, semoga Allah S.W.T memberikan kefahaman yang tepat kepada kita semua dalam beragama. Ameen.

+ Ustaz Dr. Zulkifli Mohamad Al Bakri | Mufti Wilayah Persekutuan
+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media