Thursday, April 18, 2019

Oh! Media

Oh! Media


JDT Pasukan Paling Bernilai Dalam Liga Malaysia Dengan Jumlah RM30 Juta

Posted: 17 Apr 2019 06:19 AM PDT


Mengikut nilai anggaran yang dikeluarkan oleh transfermarkt, pasukan Johor Darul Ta'zim, JDT menjadi antara pasukan yang paling bernilai di dalam Liga Malaysia dengan harga pasaran mencecah RM30 juta.

Pengiraan nilai yang merangkumi jumlah keseluruhan pasaran pemain bagi sesebuah pasukan itu dibantu dengan penguasaan beberapa pemain JDT iaitu Diogo Luis Santo yang juga merupakan pemain termahal bagi Liga Malaysia pada nilai RM4.8 juta.

Pemain kedua termahal pula milik Leandro Velazquez dengan nilai RM3.8 juta, sementara Mauricio Nascimento dan Gonzalo Cabrera di kedudukan ketiga selepas kedua-duanya dinilai pada harga RM3.6 juta.




Dua pemain berdarah campuran mereka Natxo Insa dan La'Vere Corbin-Ong juga dilihat turut menyumbang kepada status pasukan paling bernilai JDT selepas masing-masing diletakkan nilai pasaran RM3.8 juta dan RM1.3 juta.


Bagi pasukan kedua termahal di Liga Malaysia pula menjadi milik pasukan Pahang, tetapi masih jauh ketinggalan dibandingkan dengan JDT, apabila bernilai dengan nilai pasaran keseluruhan RM14.2 juta.

Melaka United yang mengikat tiga bekas kapten Harimau Malaya musim ini pula memiliki tanda harga RM13 juta untuk berada di kedudukan ketiga.

+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media.

Jambatan Angkat Terengganu Akan Mula Dibuka Sebelum Aidilfitri

Posted: 17 Apr 2019 06:19 AM PDT


Nampaknya, jambatan angkat yang akan menjadi satu ikon terbaru buat negeri Terengganu dikatakan akan mula dibuka sebulum Hari Raya Aidilfitri.

Pembukaan ini juga bagi memastikan masalah kesesakan jalan raya terutama pada musim perayaan akan dapat ditangani dengan jambatan ini.

Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) yang mengendalikan projek itu dijangka menyerahkannya kepada kerajaan negeri pada 30 Mei ini.






"Jika sebelum ini pengguna hanya boleh menggunakan Jambatan Sultan Mahmud atau jalan alternatif di Durian Burung, Manir, jambatan ini satu lagi pilihan yang akan mengurangkan kesesakan terutama pada musim perayaan dan cuti panjang," katanya.

Untuk pengetahuan korang, jambatan sepanjang 638 meter dengan ketinggian 12.5 meter dari aras laut akan menghubungkan muara selatan di pusat bandar Kuala Terengganu (Tanjung) dan muara utara di Seberang Takir.

Jambatan angkat ini juga akan menjadi yang terpanjang di dunia dan disokong dua menara setinggi 15 tingkat di bahagian kiri dan kanan dan boleh diangkat di bahagian tengah untuk laluan kapal bakal menjadi satu lagi tarikan pelancongan dari dalam dan luar negara.

+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media.

Ahli Politik Anti Islam Bersikap Biadap Melempar Al-Quran

Posted: 17 Apr 2019 06:19 AM PDT


Sikap biadap ahli politik berhaluan kanan Denmark dilihat sengaja ingin menimbulkan kemarahan orang Islam apabila dengan sengaja melemparkan al-Quran.

Atas tindakannya itu juga, telah berlaku beberapa keganasan pada akhir minggu lalu yang melibatkan perhimpunan orang Islam di Denmark.

Bagaimanapun, keadaan huru hara berjaya dikawal pihak berkuasa dan 23 individu turut dilaporkan ditahan selepas gas pemedih mata dilepaskan.

Dalam laporan lain, Perdana Menteri Denmark, Loekke Rasmussen turut menyifatkan tindakan ahli politik Rasmus Paludan sebagai provokasi tidak bermakna dan menggesa rakyat agar tidak bertindah ganas.


"Bersemuka dengan dia, bukan dengan keganasan. Lindungi demokrasi dan kebebasan bersuara. Jangan biarkan tindakan provokasi seumpama itu memusnahkan perpaduan kita," katanya menerusi Twitter.

Rasmus Paludan yang sebelum ini mengatakan bahawa dia mahu Islam dilarang di Denmark telah melempar kitab suci al-Quran di Noerrebro.




Dalam kejadian itu, penunjuk perasaan berasa marah dan membaling batu kepadanya dan protes ini merebak ke bandar Copenhagen di mana orang ramai membakar tong sampah dan basikal.

Kini difahamkan, Paludan telah dikenakan hukuman berat atas sifat perkauman dan parti pimpinannya turut tiada kerusi di Parlimen dan tempatan.


+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media.

Pembangkang Dilihat Yakin Mencabar Presiden Joko Widodo

Posted: 17 Apr 2019 01:36 AM PDT


Hari ini merupakan hari mengundi bagi memilih Presiden di Indonesia dan kini semua pusat mengundi di seluruh Indonesia telah ditutup yang dibuka pada jam 7 pagi tadi.

Presiden Joko 'Jokowi' Widodo dalam misi untuk mengekalkan pemerintahannya di Indonesia yang dilihat banyak memberikan kesan yang positif kepada negara itu.




Untuk pengetahuan korang, Jokowi merupakan ahli perniagaan perabot dan telah memasuki dunia politik sejak 14 tahun yang lalu sebagai datuk bandar.

Pada pilihan raya kali ini, Jokowi berdepan dengan bekas jeneral Prabowo Subianto yang begitu hampir menewaskannya pada tahun 2014.

Keputusan kiraan awal undi tidak rasmi PEMILU akan diumumkan dua jam selepas pusat mengundi ditutup. Calon presiden yang menang akan diketahui lewat hari ini.

Bagaimanapun, keputusan rasmi hanya akan diketahui Mei nanti.

+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media.

Pelawak Shamsul Ghau Ghau Terima Kad Tauliah MAIS

Posted: 17 Apr 2019 01:37 AM PDT


Shamsul Ghau-Ghau yang merupakan pelakon dan pelawak semalam telah berkongsikan hari gembira dalam dirinya apabila kini telah diberikan kad tauliah oleh Majlis Agama Islam Selangor (MAIS).

Untuk pengetahuan korang, pemberian Kad Tauliah Kategori D3 ini adalah pentauliahan bagi Tauliah Mengajar Al-Quran dan diberikan kepada mereka yang telah menguasai dengan baik. Dengan itu, Shamsul kini dibenarkan untuk mengajar mengaji di sekitar Selangor.




"Alhamdulillah. Dah dapat kad tauliah. Ucapan terima kasih kepada semua guru-guru yang telah mengajar dan mendidik Pak Su. Jazakallah.

"Ini bukti kepada kawan-kawan untuk kembali belajar dan membaca al-Quran. Bacahlah al-Quran," kongsinya di Instagram.

Oh! Media: Semoga abang Shamsul Ghau-Ghau diberikan kemudahan dalam mengajar mengaji dan terus berjuang di dalam panduanNya.


+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media.

TM Unifi Tawarkan Kelajuan 300Mbps Hanya Pada Harga RM199

Posted: 17 Apr 2019 01:37 AM PDT


Telekom Malaysia melalui Unifi telah menyambut baik seruan kerajaan yang seblum ini telah memastikan kelajuan internet bagi penawaran sedia ada ditingkatkan.

Kini melalui pakej Unifi juga mereka telah membuka pakej baharu bagi kelajuan 300Mbps yang hadir dengan langganan hanya RM199 sebulan dan kontrak selama 24 bulan.




Namun, penawaran internet pantas ini masih terhad kepada beberapa kawasan sahaja. Jadi ini mungkin berita baik untuk korang yang merancang untuk memasang unifi di rumah dan harapnya kelajuan ini akan terus ditingkatkan dari semasa ke semasa merangkumi setiap kawasan.

+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media.

Messi Tunjukkan Kemampuan Sebenar - Singkirkan United Dengan Agregat 4-0

Posted: 17 Apr 2019 01:37 AM PDT


Lionel Messi seperti melepaskan geram selepas berjaya menjaringkan dua gol dengan sentuhan berbisanya untuk membantu Barcelona mara ke peringkat separuh akhir dalam Liga Juara-Juara.

Barcelonan menewaskan pasukan Manchester Uniter 3-0 pagi tadi dengan agregat 4-0 dan kini hanya menantikan lawan seterusnya antara Porto atau Liverpool.




Messi kali ini berjaya menyumbat gol pertama tuan rumah pada minit ke-16 selepas menyambar hantaran lemah Ashley Young dan meledak gol kedua empat minit kemudian dari luar kotak penalti menewaskan penjaga gol, David de Gea.



Philippe Coutinho melengkapkan malam gemilang Barca pada babak kedua menerusi sepakan lencong yang singgah ke bucu gawang United.

"Ini adalah persembahan paling menakjubkan, inilah persembahan kami sebenar," kata Messi kepada wartawan.

"Lima minit pertama kami agak perlahan dan gemuruh sedikit, kemudian kami berjaya menguasai permainan."

Pada hujung saingan, penjaga gol Barca, Marc-Andre Ter Stegen menyelamatkan tandukan Alexis Sanchez bagi memastikan pelawat pulang hampa.



+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media.

Istinjak Menggunakan Tisu Tandas Apabila Ketiadaan Air

Posted: 16 Apr 2019 04:51 PM PDT


Soalan:
Di tempat saya bekerja, tandasnya tiada air yang boleh digunakan untuk istinjak, jadi saya terpaksa menggunakan tisu tandas. Apa yang saya buat ialah, pertama menggunakan tisu tandas yang kering. Kedua saya menggunakan tisu tandas yang saya basahkan dengan air. Selepas itu, barulah saya melakukan istinjak yang sebenar iaitu menyapu tiga kali atau lebih menggunakan tisu tandas sehingga bersih. Adakah sah istinjak yang saya lakukan ini?

Jawapan:
Islam merupakan agama yang sangat mementingkan kebersihan. Allah SWT memerintahkan hamba-Nya supaya menyucikan diri daripada semua hadas, samada hadas kecil mahupun hadas besar sebelum menunaikan sebahagian ibadah seperti menunaikan solat, memegang mushaf al-Quran, tawaf dan lain-lain. Firman Allah SWT:

إِنَّ اللَّـهَ يُحِبُّ التَّوَّابِينَ وَيُحِبُّ الْمُتَطَهِّرِينَ
"Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang banyak bertaubat dan mengasihi orang-orang yang sentiasa mensucikan diri." (Surah al-Baqarah: 222)

Oleh itu, Allah SWT memerintahkan hamba-Nya untuk beristinjak bagi membersihkan diri daripada najis dan kekotoran yang keluar daripada qubul dan dubur dengan menggunakan air dan apa yang boleh menggantinya. Penggunaan air dalam beristinjak bukanlah suatu perkara yang wajib. Imam al-Nawawi menyebut bahawa para ulama' Syafie bersepakat harus untuk beristinjak menggunakan batu dan benda-benda lain seumpamanya yang menepati syarat-syarat alat istinjak yang ditetapkan oleh para ulama'. (Rujuk al-Majmu' Syarh al-Muhazzab, 2:130)

Syarat-syarat sesuatu yang selain air untuk boleh dijadikan alat istinjak ialah:
  • Pertama, hendaklah benda tersebut sesuatu yang suci dan bukan najis. Jika sekiranya seseorang itu beristinjak dengan sesuatu yang najis maka hendaklah dia membersihkannya sekali lagi dengan air.
  • Kedua, hendaklah benda tersebut kering dan kesat. Oleh itu, tidak sah benda yang bersifat licin dan basah.
  • Ketiga, hendaklah benda tersebut bukan sesuatu yang dihormati seperti makanan, tulang binatang dan lain-lain. (Rujuk Raudah al-Tolibin al-Nawawi, 1 : 68-69)




Antara bahan-bahan kesat dan kering yang boleh menggantikan air bagi istinjak ialah tisu tandas. Ini memandangkan tisu tandas itu mampu untuk menghilangkan najis dan membersihkan anggota badan. Walaubagaimanapun, jika sekiranya mampu untuk dia mendapatkan air bagi beristinjak, maka hendaklah dia melakukan demikian. Begitu jika sekiranya dia mampu untuk menghimpun kedua-duanya, iaitu dengan menghilangkan najis terlebih dahulu dengan benda kesat dan disudahi dengan membasuh dengan air, maka itu lebih afdhal. (Rujuk Kasyifat al-Saja, 266)

Justeru itu, cara yang terbaik untuk melakukan istinjak ialah dengan menggabungkan kedua-duanya tersebut iaitu bahan kesat dan air. Jika sekiranya ketiadaan air, maka hendaklah menggunakan bahan kesat sahaja tanpa membasahkan seperti yang dilakukan oleh saudara yang bertanya. Ini kerana jika ia dibasahkan dengan air dibimbingi bahawa najis tersebut akan merebak kepada tempat yang lain, sekaligus menyebabkan wajib untuk membersihkannya dengan air pula.

Kesimpulan

Berdasarkan perbincangan dan perbahasan di atas, kami menyimpulkan boleh untuk kita menggunakan bahan kesat yang lain bagi menggantikan air. Kami menyatakan bahawa tisu tandas menepati syarat-syarat yang diletakkan para ulama' terhadap bahan-bahan kesat bagi menggantikan air.

Justeru menggunakan tisu sebagai gantian kepada air adalah sah. Namun kami juga menyatakan bahawa jika mempunyai air dan mudah untuk didapati, sebaiknya hendaklah mendahulukan penggunaan air terlebih dahulu atau mengabungkan kedua-duanya. Semoga Allah SWT memberikan kita taufiq dan hidayah untuk memahami agamaNya mengamalkan syariahnya dengan sebaik mungkin. Amin. Wallahua'lam.

+ Ustaz Dr. Zulkifli Mohamad Al Bakri | Mufti Wilayah Persekutuan
+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media

Hukum Membakar Sarang Kerengga

Posted: 16 Apr 2019 04:40 PM PDT


Soalan:
Apakah boleh dibunuh kerengga-kerengga di sarangnya dengan cara membakar sarang tersebut?

Jawapan:
Sebagai umat Islam kita dituntut untuk melakukan kebaikan kepada kesemua makhluk. Ia merangkumi berbuat baik kepada manusia sama ada orang Islam atau bukan Islam, demikian juga kita dituntut untuk berbuat baik kepada haiwan. Ini seperti yang diriwayatkan oleh Syaddad bin Aus R.A bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:

‏ إِنَّ اللَّهَ كَتَبَ الإِحْسَانَ عَلَى كُلِّ شَىْءٍ
"Sesungguhnya Allah telah mewajibkan berbuat ihsan kepada setiap sesuatu." [Riwayat Muslim (1955)]

Hadis ini jelas dalam menyatakan kewajiban berlaku ihsan kepada setiap makhluk. Kata Syeikh Abd al-Rahman bin Nasir al-Sa'di: "Maka termasuklah antaranya berbuat ihsan kepada kesemua kategori manusia, dan juga kepada haiwan-haiwan. Sehinggakan pada saat ingin menyembelih haiwan juga dituntut (untuk berlaku ihsan)." [Rujuk Bahjah Qulub Al-Abrar, Al-Sa'di (1/127)]

Dari sudut hukum fekah, perkataan كَتَبَ menunjukkan kepada hukum wajib. Ini seperti yang dikatakan oleh Imam Ibn Rajab al-Hanbali: "Lafaz Al-Kitabah membawa hukum wajib di sisi para fuqaha danusuliyyun, (dan pendapat ini) diperselisihkan oleh sebahagian mereka. Sesungguhnya diketahui pengunaan lafaz al-Kitabah ini di dalam al-Quran terhadap perkara yang wajib dan mesti dibuat." [Rujuk Tafsir Ibn Rajab (1/617)]

Justeru apabila kita menyatakan bahawa hukum berbuat ihsan dengan haiwan adalah wajib, maka menyakiti dan berbuat kezaliman kepada haiwan-haiwan tanpa sebarang yang dibenarkan oleh syarak adalah haram hukumnya. Bahkan pengabaian dalam hal ini boleh menyebabkan seseorang itu ditempatkan ke dalam neraka. Ini berdasarkan sebuah riwayat daripada Abdullah bin 'Umar R.A. bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:

عُذِّبَتِ امْرَأَةٌ فِي هِرَّةٍ حَبَسَتْهَا، حَتَّى مَاتَتْ جُوعًا، فَدَخَلَتْ فِيهَا النَّارَ
"Seorang perempuan diazab disebabkan seekor kucing yang dia kurung sehingga ia mati kelaparan. Maka wanita tersebut masuk ke dalam neraka disebabkannya."

Beberapa perbuatan zalim yang dilakukan oleh perempuan ini kepada kucing tersebut disebutkan di dalam sambungan hadis di atas iaitu dikatakan kepadanya:

لاَ أَنْتِ أَطْعَمْتِهَا وَلاَ سَقَيْتِهَا حِينَ حَبَسْتِيهَا، وَلاَ أَنْتِ أَرْسَلْتِيهَا فَأَكَلَتْ مِنْ خَشَاشِ الأَرْضِ
"Kamu tidak memberi makan dan minum kepadanya ketika kamu mengurungnya. Begitu juga kamu tidak melepaskannya sehingga dia boleh makan serangga yang berada di tanah." [Riwayat Al-Bukhari (2365)]




Berbalik kepada persoalan yang dikemukakan, kami kongsikan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Hamzah al-Aslami bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:

فَإِنَّهُ لاَ يُعَذِّبُ بِالنَّارِ إِلاَّ رَبُّ النَّارِ
"Sesungguhnya tidaklah mengazab seseorang itu dengan api melainkan Tuhan api itu sendiri.‏" [Riwayat Abu Daud (2673)]

Daripada hadis di atas ini dapatlah kita fahami bahawa seseorang itu tidak boleh mengazab sesuatu itu dengan api yang mana ia merupakan perbuatan yang dilakukan oleh Allah S.W.T. Justeru tidak boleh untuk membunuh atau mengazab mana-mana haiwan dengan menggunakan api dan pembakaran.

Namun, di sana terdapat pengecualian terhadap haiwan-haiwan yang memberikan gangguan atau memudaratkan seseorang itu dan tidak ada cara lain untuk membunuhnya melainkan dengan cara menggunakan api. Ini berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.A. bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:

نَزَلَ نَبِيٌّ مِنَ الأَنْبِيَاءِ تَحْتَ شَجَرَةٍ فَلَدَغَتْهُ نَمْلَةٌ، فَأَمَرَ بِجَهَازِهِ فَأُخْرِجَ مِنْ تَحْتِهَا، ثُمَّ أَمَرَ بِبَيْتِهَا فَأُحْرِقَ بِالنَّارِ، فَأَوْحَى اللَّهُ إِلَيْهِ فَهَلاَّ نَمْلَةً وَاحِدَةً
Seorang Nabi dari kalangan para Nabi telah berehat di bawah sebatang pokok, kemudian dia digigit oleh seekor semut. Beliau kemudiannya mengarahkan supaya barang-barangnya dialih dari bawah pokok tersebut, kemudian beliau mengarahkan agar sarang semut tersebut dibakar dengan api. Maka Allah memberikan wahyu kepada beliau dengan kata-Nya: "Tidakkah sepatutnya (dibunuh) seekor semut sahaja (iaitu yang menggigit kamu)?" [Riwayat al-Bukhari (3319)]

Para ulama mengambil faedah daripada hadis ini dengan berkata: "Sesungguhnya seekor semut yang menyakiti Nabi tersebut boleh untuk dikecualikan dari keumuman larangan membakar dengan menggunakan api. Dari sudut boleh untuk ia dibunuh dan diazab dengan api, sekiranya sudah tidak ada cara yang lain bagi menghalang kemudaratan darinya."

Kesimpulan

Sebagai penutup, kami menyatakan bahawa adalah tidak dibolehkan untuk membakar kerengga-kerengga di sarang mereka tanpa sebarang sebab. Lebih-lebih lagi apabila kerengga tersebut tidak mendatangkan mudarat kepada sesiapa pun. Ini dalam menggambarkan sifat rahmat Allah S.W.T kepada keseluruhan makhluk, serta menzahirkan sifat ihsan kepada kesemua makhluk seperti yang diwajibkan oleh Allah S.W.T kepada setiap manusia.

Akhir kalam, semoga Allah S.W.T memberikan kefahaman yang tepat kepada kita dalam beragama. Ameen.

+ Ustaz Dr. Zulkifli Mohamad Al Bakri | Mufti Wilayah Persekutuan
+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media

Kaedah Menegur Aurat Saudara Mara Ketika Beraya Di Kampung

Posted: 16 Apr 2019 04:29 PM PDT


Soalan:
Insyaallah tidak lama lagi kita akan menyambut Ramadan dan seterusnya Syawal bakal menjelma. Setiap kali Syawal tiba, saya mesti rasa serba salah setiap kali keluarga berkumpul dengan sanak-saudara ketika beraya di kampung. Ini kerana tiada yang menegur berkaitan batas aurat yang perlu dijaga di antara sesama sepupu, ipar dan biras. Apakah kaedah yang perlu saya lakukan untuk menegur dan menasihati mereka untuk menjaga aurat dan dalam masa yang sama menjaga hati golongan-golongan yang lebih berusia daripada kita?

Jawapan:
Allah SWT telah menetapkan batas aurat bagi lelaki dan perempuan. Setiap umat Islam wajib menjaga aurat dan kehormatan di mana sahaja dia berada. Aurat adalah suatu angggota badan yang tidak boleh ditunjukkan dan diperlihatkan oleh lelaki atau perempuan kepada orang lain. (Rujuk al-Mausû'ah al Fiqhiyah al Kuwaitiyah, 31:44)

Firman Allah SWT:

وَقُل لِّلْمُؤْمِنَاتِ يَغْضُضْنَ مِنْ أَبْصَارِهِنَّ وَيَحْفَظْنَ فُرُوجَهُنَّ وَلَا يُبْدِينَ زِينَتَهُنَّ إِلَّا مَا ظَهَرَ مِنْهَا ۖ وَلْيَضْرِبْنَ بِخُمُرِهِنَّ عَلَىٰ جُيُوبِهِنَّ ۖ وَلَا يُبْدِينَ زِينَتَهُنَّ إِلَّا لِبُعُولَتِهِنَّ أَوْ آبَائِهِنَّ أَوْ آبَاءِ بُعُولَتِهِنَّ أَوْ أَبْنَائِهِنَّ أَوْ أَبْنَاءِ بُعُولَتِهِنَّ أَوْ إِخْوَانِهِنَّ أَوْ بَنِي إِخْوَانِهِنَّ أَوْ بَنِي أَخَوَاتِهِنَّ أَوْ نِسَائِهِنَّ أَوْ مَا مَلَكَتْ أَيْمَانُهُنَّ أَوِ التَّابِعِينَ غَيْرِ أُولِي الْإِرْبَةِ مِنَ الرِّجَالِ أَوِ الطِّفْلِ الَّذِينَ لَمْ يَظْهَرُوا عَلَىٰ عَوْرَاتِ النِّسَاءِ ۖ وَلَا يَضْرِبْنَ بِأَرْجُلِهِنَّ لِيُعْلَمَ مَا يُخْفِينَ مِن زِينَتِهِنَّ ۚ وَتُوبُوا إِلَى اللَّـهِ جَمِيعًا أَيُّهَ الْمُؤْمِنُونَ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ
"Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka, atau bapa mereka atau bapa mertua mereka atau anak-anak mereka, atau anak-anak tiri mereka, atau saudara-saudara mereka, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang lelaki, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang perempuan, atau perempuan-perempuan Islam, atau hamba-hamba mereka, atau orang gaji dari orang-orang lelaki yang telah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan, atau kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan; dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka; dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya." (Surah al-Nur: 31)

Berdasarkan ayat al-Quran ini, para ulama' menetapkan hukum wajib bagi menutup aurat bagi orang lelaki dan perempuan. Begitu juga dalam hadith Rasulullah SAW menegur Asma' Binti Abu Bakar RA:

يَا أَسْمَاءُ إِنَّ الْمَرْأَةَ إِذَا بَلَغَتِ الْمَحِيضَ لَمْ يَصْلُحْ أَنْ يُرَى مِنْهَا إِلَّا هَذَا وَهَذَا
"Wahai Asma ! Sesungguhnya wanita jika sudah baligh maka tidak boleh nampak dari anggota badannya kecuali ini dan ini (beliau mengisyaratkan ke muka dan telapak tangan)." [Hadith Abu Daud: 4104, al-Baihaqi: 3218]

Selain itu, melihat dan memandang aurat orang lain secara sengaja juga diharamkan oleh Islam. Rasulullah SAW melarang orang yang beriman supaya tidak melihat aurat antara satu sama lain, Baginda SAW bersabda:

لاَ يَنْظُرُ الرَّجُلُ إِلَى عَوْرَةِ الرَّجُلِ وَلاَ الْمَرْأَةُ إِلَى عَوْرَةِ الْمَرْأَةِ، وَلاَ يُفْضِي الرَّجُلُ إِلَى الرَّجُلِ فِي ثَوْبٍ وَاحِدٍ، وَلاَ تُفْضِي الْمَرْأَةُ إِلَى الْمَرْأَةِ فِي الثَّوْبِ الْوَاحِدِ
"Janganlah seorang lelaki melihat aurat lelaki (lainnya), dan janganlah pula seorang wanita melihat aurat wanita (lainnya). Seorang lelaki tidak boleh bersama lelaki lain dalam satu kain, dan tidak boleh pula seorang wanita bersama wanita lainnya dalam satu kain." [Hadith Muslim: 38]




Justeru, aurat wajiblah dijaga daripada dilihat dan dipandang oleh orang lain walaupun dalam apa jua keadaan, disamping itu perlu juga untuk kita menjaga pandangan daripada melihat aurat orang lain.

Adat masyarakat kita menyambut Hari Raya Aidilfitri ialah dengan pulang ke kampung untuk berkumpul bersama ibu bapa, adik-beradik dan sanak-saudara. Namun apa yang menyedihkan, apabila berkumpul dan di satu bumbung yang sama, persoalan berkaitan aurat kurang dititik-beratkan.

Dalam hal saudari yang bertanya, situasi yang berlaku tersebut hendaklah dicegah dengan hikmah dan mengikut kemampuan yang ada. Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ رَأَى مِنْكُمْ مُنْكَرًا فَلْيُغَيِّرْهُ بِيَدِهِ، فَإِنْ لَمْ يَسْتَطِعْ فَبِلِسَانِهِ، فَإِنْ لَمْ يَسْتَطِعْ فَبِقَلْبِهِ، وَذَلِكَ أَضْعَفُ الْإِيمَانِ
"Barangsiapa di antara kalian melihat kemungkaran maka hendaklah dia mengubahnya dengan tangannya, jika dia tidak mampu maka dengan lisannya, jika dia tidak mampu maka dengan hatinya dan itu adalah selemah-lemah iman." [Hadith Muslim: no.49]

Kemungkaran seperti mendedahkan aurat dengan sengaja sesama sepupu, ipar dan biras hendaklah ditegur dan diingatkan berkaitan hukumnya. Ini berdasarkan kemampuan yang ada pada saudari yang bertanya, samada mencegahnya dengan kuasa yang ada seperti kepada adik-beradik dan anak-anak saudara yang lebih muda, dan menegur dengan lisan kepada sanak-saudara yang lebih kurang sebaya umurnya.

Kesimpulan

Oleh itu, pada akhirnya kami menasihatkan dan mencadang juga beberapa kaedah lain yang difikirkan sesuai berdasarkan situasi saudari. Kaedah tersebut ialah seperti berikut:

  • Menyampaikan pesanan kepada ahli keluarga yang paling berpengaruh seperti bapa atau anak sulung dalam keluarga agar menasihati dan mengambil cakna tentang hal ini.
  • Mengasingkan tempat dan membuat penghadang antara lelaki dan perempuan dalam kalangan sepupu, ipar-duai dan dan biras bagi menjaga aurat masing-masing khususnya ketika menukar pakaian, tidur atau selainnya.
  • Menghantar tazkirah berkaitan aurat yang perlu dijaga di dalam group whatapps keluarga dan saudara-mara.
  • Membuka topik perbualan sesama sanak-saudara berkaitan aurat serta menimbulkan kesedaran mereka untuk menjaganya.
  • Menghadiahkan kepada saudara-mara yang tidak menutup aurat dengan pakaian menutup aurat yang berjenama agar dia terdorong untuk memakainya.

Kami doakan supaya saudari mampu mengubah dan mencegahnya daripada berlaku untuk masa yang akan datang. Semoga Allah SWT sentiasa memberi taufiq dan hidayah kepada kita untuk terus melaksanakan amal soleh dan ketaatan kepada-Nya. Amin. Wallahua'lam.

+ Ustaz Dr. Zulkifli Mohamad Al Bakri | Mufti Wilayah Persekutuan
+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media