Tuesday, April 2, 2019

Oh! Media

Oh! Media


LGBT & Penzina Akan di Rejam Hingga Mati

Posted: 01 Apr 2019 07:07 AM PDT

Baru-baru ini gempar di media sosial apabila Brunei menyatakan untuk mengenakan hukuman rejam sampai mati kepada penzina dan pengamal LGBT yang akan dikuatkuasakan bermula pada 3 April 2019. Untuk rekod Brunei merupakan negara ke 10 yang melaksanakan hukuman tersebut selepas Afghanistan, Iran, Mauritania, Sudan, Nigeria, Yaman, Arab Saudi, Qatar dan Somalia.

Umum mengetahui bahawa Islam amat melarang umatnya untuk mengamalkan gaya hidup songsang ini yang jelas terpesong jauh dari akidah dan juga akhlak. Didalam Alquran juga jelas dinyatakan bahawa perkara ini lebih membawa kepada kemudaratan dan azab dari Allah sebagaiman kisah umat Nabi Lud AS, sehingga dinyatakan ianya seburuk-buruk amalan dosa.

Dari sudut kesihatan pula, amalan LGBT ini amat tentang oleh pakar kerana rekod menunjukkan golongan ini lebih terdedah dalam pelbagai jenis penyakit seperti HIV dan penyakit kelamin. Kajian juga mendapati bahawa kebanyakkan golong LGBT ini merupakan dari golongan manusia yang pernah mengalami tekanan jiwa dan sebagainya. Ianya antara faktor mereka ini terjerumus dalam aktiviti LGBT. Jelas penyakit ini akan menyebabkan keruntuhan akhlak didalam masyarakat yang kian menipis pada zaman ini. Menyedari kesan-kesan, ini sekumpulan persatuan ibu bapa di negara barat menyelar tindakan sebuah sekolah yang membenarkan pendedahan LGBT untuk anak-anak mereka.

Jelas tindakan tegas Brunei mendapat kritikan antarabangsa dan beberapa gerakan untuk memboikot syarikat-syarikat Brunei diluar negara sedang giat dijalankan. Sewajarnya pada ketika ini, negara-negara Islam lainnya berdiri teguh bersama Brunei dan mengambilkan langkah proaktif untuk mengikut jejak langkah Brunei yang bukan semata-mata untuk menghukum tetapi dilihat lebih sebagai langkah untuk memelihara masyarakat akan sentiasa berada pada landasan yang betul.

Hamburger Sempena Pertabalan Maharaja Jepun Dijual Pada Harga RM3,684.24

Posted: 01 Apr 2019 06:54 AM PDT


Sebuah restoran di Tokyo, Jepun kini menyediakan satu sajian hamburger daging wagyu bersempena pertabalan maharaja baharu Jepun Mei depan pada harga 100,00 yen atau RM3,684.24.

Hamburger yang dikatakan sebesar sebiji bola sepak itu seberat 3 kilogram, dicipta oleh Chef Patrick Shimada yang bertugas di Oak Door Steakhouse yang mula dijual hari ini.

"Kami mahu melakukan sesuatu sebagai meraikan maharaja dan era baharu untuk Jepun. Ia menjadikan saya lebih dekat dengan darah Jepun yang saya warisi," kata ketua cef yang juga generasi keempat kacukan Jepun/Amerika itu.

"Menyediakan hidangan ini dengan cara Amerika menggunakan bahan-bahan dari Jepun, ia tidak ubah meletakkan diri saya di dalam roti bun," katanya.

Jadi bagi mereka yang ingin mendapatkan hamburger bersaiz 25 sentimeter dan dilapisi kepingan hati itik, hirisan daging lembu dan kulat trufel yang diparut, bolehlah dapatkan sekarang.

+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media.

HS55 Berjaya Perbaiki Kedudukan di Tempat Ke-16 MotoGP Argentina

Posted: 01 Apr 2019 06:13 AM PDT


Pelumba MotoGP negara, Hafizh Syahrin Abdullah berjaya memperbaiki kedudukan di tempat ke-16 setelah menamatkan perlumbaan pusingan kedua MotoGP Argentina pagi tadi.

Namun, Hafizh yang bermula dipetak ke-21 dilihat bernasib baik apabila lima pelumba lain tidak berjaya menamatkan perlumbaan

Tetapi, Hafizh tidak menjadi pelumba tercorot kerana Andrea Iannone pelumba dari Itali menjadi pelumba di belakang Hafizh.

Marc Marquez berjaya mendapatkan tempat psrtama dalam perlumbaan kali ini.

Hafizh juga mengakui prestasinya ada sedikit peningkatan dengan berkata "Saya gembira dengan peningkatan pada perlumbaan semalam! Terima kasih kepada Red Bull KTM Tech3 kerana mereka terus meletakkan kepercayaan terhadap saya.

"Saya amat bermotivasi untuk perlumbaan ini, walaupun menghadapi kesukaran pada permulaan. Tetapi saya cuba untuk bangkit dan berjaya mengejar kelompok pelumba di depan saya.

Malangnya, selepas pusingan ke-15, Hafizh merasakan sesuatu yang kurang menyenangkan pada kondisi tayar belakang yang berasa kurang cengkaman.

+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media.

Malaysia Menjadi Tuan Rumah Dialog Belia Komenwel

Posted: 01 Apr 2019 01:58 AM PDT


Persidangan Dialog Belia Komanwel bagi tahun ini akan diadakan di Kuala Lumpur setelah Malaysia terpilih sebagai tuan rumah pada 2 hingga 5 April.

Persidangan ini dikatakan bakal melibatkan penceramah tempatan dan antarabangsa yang dianjurkan hasil kerjasama bersama Unit Countering Violent Extremism, Sekretarian Komanwel dan Royal Commonwealth Society.

Seramai 60 orang belia juga akan turut terlibat yang hadir dari negara Bangladesh, Brunei, India, Pakistan, Singapura dan Sri Lanka.

Tema yang dipilih bagi persidangan belia kali ini adalah berkenaan pencegahan kefahaman pelampau keganasan yang dilihat amat baik untuk dibincangkan dikalangan belia.

+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media.

Penyanyi Rap Nipsey Hussle Mati Ditembak

Posted: 01 Apr 2019 01:01 AM PDT


Penyanyi rap, Nipsey Hussle yang merupakan calong bagi anugerah Grammy dilaporkan mati ditembak petang semalam.

Namun jabatan polis Los Angeles tidak dapat mengesahkan identiti mangsa tetapi dilaprkan seorang mati dan dua lagi cedera dalam tembakan yang berlaku dan pihak polis masih giat melakukan pencarian penembak.

Untuk pengetahuan anda, Hussle pernah menyertai kumpulan samseng di Los Angeles di satu waktu dulu dan dia sempat memuat naik laman Twitternya dengan tulisan, "Mempunyai musuh yang kuat adalah rahmat".

Penyanyi rap popula seperti Snoop Dogg turut berasa terkejut dan sedih dengan tulisan "Pergi terlalu cepat. Saya sangat sedih ketika ini dan teringat kenangan kami bersama" di laman Instagramnya.



+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media.

Lewis Hamilton Berjaya Memastikan Kemenangannya di Grand Prix Bahrain

Posted: 31 Mar 2019 11:27 PM PDT


Nampaknya Lewis Hamilton yang merupakan juara dunia lima kali F1 berjaya memenangi perlumbaan di Grand Prix Bahrain, Litar Sakhir, Manama pagi tadi.

Hamilton yang mewakili Mercedes itu berjaya memastikan dia dihadapan pada 10 pusingan terakhir apabila memintas Valtteri Bottas, pemenang perlumbaan di terbuka Australia.


Perlumbaan itu turut menyaksikan kerosakan enjin kenderaan yang dialami Charles Leclerc sekali gus menafikan peluang untuk kejayaan pertama Formula Satu pada perlumbaan kedua pelumba itu bersama Ferrari.

+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media.


Elton John Sokong Boikot Hotel Sultan Brunei

Posted: 31 Mar 2019 10:23 PM PDT


Sembilan hotel yang dikatakan milik Sultan Brunei yang berada di beberapa negara seperti Britain, Perancis, Itali dan  Amerika Syarikat nampaknya terus mendapat sokongan dari pelbagai pihak selepas pelakon hollywood George Clooney menyatakan seruannya kepada orang ramai untuk memulaukan atau boikot hotel berkenaan.

Ia disokong bintang pop Britain, Elton John yang kini berusia 72 tahun dan merupakan pejuang hak assasi golongan gay yang juga menggesa orang ramai memulaukan sembilan hotel milik Brunei, selepas negara itu mengumumkan bakal menguatkuasa hukuman mati terhadap golongan gay dan pesalah zina.

"Saya memuji rakan saya, #GeorgeClooney kerana mengambil pendirian tegas mengenai diskriminasi anti gay dan ketaksuban yang berlaku di #Brunei, iaitu sebuah tempat yang bertindak kejam ke atas golongan gay atau lebih teruk lagi, dengan memboikot hotel milik Sultan (Brunei)," kata penyanyi itu di akaun Twitternya, semalam.


Liverpool Menang Cara 'Kotor'? "Ada Siapa Kisah?" Jurgen Klopp

Posted: 31 Mar 2019 10:11 PM PDT


Nampaknya pengendali pasukan Liverpool, Jurgen Klopp tidak kisah digelar menang dengan cara 'kotor' asalkan pasukannya dapat mencuri tiga mata berharga.

Ini apabila Liverpool berjaya mendapatkan kemenangan dramatik 2-1 menentang Tottenham yang berjaya membawa pasukan itu kembali ke persada Liga Perdana.

Gol pertama berjaya dicipta pasukan Liverpool menerusi jaringan Roberto Firmino pada babak pertama dan Lucas Moura berjaya menyamakan kedudukan selepas waktu rehat.

Namun, tandukan dramatik penyerang sensasi Mohamed Salah memastikan kemenangan Liverpool apabila bola yang ditanduk ditepis penjaga gol dan terkena Toby Alderweireld untuk gol sendiri.

"Saya melihat tandukan itu. Saya tidak tahu bagaimana ia masuk.

"Ia hanya sesuatu yang positif. Saya pernah katakan ada 500 cara menang bola sepak dan hari ini agak kotor. Siapa kisah?"


+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media.

Maksud Perkataan ‘هَمّ’ Dalam Surah Yusuf

Posted: 31 Mar 2019 05:22 PM PDT


Soalan:
Saya terbaca satu ayat dalam Surah Yusuf berkenaan kisah Nabi Yusuf dan wanita yang tertarik kepadanya. Saya ingin tahu lebih lanjut, apakah maksud perkataan "هَمّ" yang disebut dalam surah Yusuf ayat 24 dan apa tafsiran atas perkataan tersebut?

Jawapan:
Firman Allah SWT:

وَلَقَدْ هَمَّتْ بِهِ ۖ وَهَمَّ بِهَا لَوْلَا أَن رَّأَىٰ بُرْهَانَ رَبِّهِ ۚ كَذَٰلِكَ لِنَصْرِفَ عَنْهُ السُّوءَ وَالْفَحْشَاءَ ۚ إِنَّهُ مِنْ عِبَادِنَا الْمُخْلَصِينَ
"Dan sebenarnya perempuan itu telah berkeinginan sangat kepadanya, dan Yusuf pula (mungkin timbul) keinginannya kepada perempuan itu kalaulah ia tidak menyedari kenyataan Tuhannya (tentang kejinya perbuatan zina itu). Demikianlah (takdir Kami) untuk menjauhkan dari Yusuf perkara-perkara yang tidak baik dan perbuatan-perbuatan yang keji, kerana sesungguhnya ia dari hamba-hamba Kami yang dibersihkan dari segala dosa." [Surah Yusuf (24)]

Ibn Kathir dalam Tafsir al-Quran al-'Azim (4/381) berkata, maksud keinginan (هَمّ) di sini seperti yang disebut oleh al-Baghawi dalam Ma'alim al-Tanzil (4/231) ialah gelora yang tercetus oleh kata-kata nafsu. Keinginan yang ingin ditampilkan Allah SWT di sini memuncak dalam jiwa dan diri Nabi Yusuf AS serta wanita tersebut. Ataupun secara literalnya kedua-dua mereka bersyahwat. Akan tetapi terdapat beberapa ulama' tafsir yang menyangkal pentafsiran sebegini, antaranya Ibn Hazm al-Andalusi yang memberi maksud al-Hamm (الهمّ) dengan berdendam untuk memukul. Maksudnya di sini ialah disebabkan kehendak syahwat wanita itu tidak dituruti oleh Nabi Yusuf AS, dia menjadi marah dan tertekan kerana merasakan dirinya lebih berkuasa dari Nabi Yusuf AS, lalu dikejarnya Nabi Yusuf AS untuk dipukul. Nabi Yusuf AS juga menjadi marah dan ingin memukulnya juga.

Syeikh Rasyid Ridha dalam Tafsir al-Manar (12/223) juga menyokong pendapat Ibn Hazm dan ulama'-ulama' yang sependapat dengannya. Hal ini kerana terdapat kalimah al-Hamm (الهمّ) yang membawa maksud hendak memukul atau berniat jahat, antaranya dalam ayat 11 Surah Ali Imran, ayat 122 Surah al-Nisa', ayat 13 dan 73 surah al-Taubah serta beberapa ayat lain lagi.

Syeikh al-Maraghi dalam mentafsirkan ayat di atas menyebut: "Nabi Yusuf AS pun semakin hebat dan gah terhadap wanita itu kerana keteguhan dirinya berpegang dengan agama dan amanah, menghindari pengkhianatan dan mencegah kehormatan tuannya dan tuan wanita itu kecuali dengan menghina Nabi Yusuf AS melalui balas dendam. Inilah yang mungkin direncanakan oleh wanita tersebut untuk segera dilaksanakan atau hampir sahaja dia bermaksud untuk mengajarnya." (Lihat Tafsir al-Maraghi, 6/3326)

Dr. Wahbah al-Zuhaili dalam al-Tafsir al-Munir (12/240) menyebut, pentafsiran ayat ini perlu dilihat secara keseluruhan ayat. Apabila ditafsirkan secara menyeluruh, tiada unsur keinginan dikemukakan di dalam ayat di atas. Hal ini kerana konsep ta'lik (لو لا) yang digunakan di sini. Maksudnya keinginan tersebut tertegah dengan pertandaan Allah SWT. Menurut beliau lagi, sekiranya dimaksudkan dengan keinginan di sini ialah gelora yang dicetuskan kata-kata nafsu serta keinginan melakukan zina berdasarkan ciri manusiawi, ia tidak dipersalahkan dalam syarak. Buktinya tindakan diambil apabila keinginan disertakan dengan keazaman dan tekad melakukannya. Perkara ini dinyatakan oleh Rasulullah SAW dalam hadis Qudsi yang menyebut:

فَمَنْ هَمّ بِحَسَنَةٍ فَلَمْ يَعْمَلْهَا كَتَبَهَا الله عِنْدَهُ حَسَنَةً كَامِلَةً وَإِنْ هَمّ بِهَا فَعَمِلَهَا كَتَبَهَا الله عَزّ وَجَلّ عِنْدَهُ عَشْرَ حَسَنَاتٍ إِلَى سَبْعِمِائَةِ ضِعْفٍ إِلَى أَضْعَافٍ كَثِيرَةٍ. وَإِنْ هَمّ بِسَيّئَةٍ فَلَمْ يَعْمَلْهَا كَتَبَهَا الله عِنْدَهُ حَسَنَةً كَامِلَةً... وَإِنْ هَمّ بِهَا فَعَمِلَهَا، كَتَبَهَا الله سَيّئَةً وَاحِدَةً
"Sesiapa yang bercita-cita untuk melakukan satu kebajikan sedangkan dia tidak melakukannya, nescaya Allah tulis baginya dengan satu kebaikan penuh. Sebaliknya, jika dia bercita-cita untuk melakukan satu kebajikan, kemudian dia melakukannya, nescaya Allah menulis pahalanya sepuluh kebajikan sehingga digandakan 700 dan kepada gandaan-gandaan yang banyak. Sedangkan sesiapa yang bercita-cita untuk melakukan satu kejahatan, kemudian tidak melakukannya, nescaya Allah tulis baginya satu kebajikan yang penuh. Sebaliknya jika dia bercita-cita untuk melakukan satu kejahatan kemudian dilakukannya, maka Allah akan tulis satu dosa." [Riwayat Muslim (355)]

Daripada perbincangan di atas, difahami bahawa perbezaan kalimah al-Hamm yang terbit daripada Nabi Yusuf AS dan wanita tersebut bahawa al-Hamm yang terbit daripada wanita tersebut berdasarkan dendam yang membara disebabkan keinginannya ditolak oleh Nabi Yusuf AS dan berasaskan maksiat. Manakala al-Hamm Nabi Yusuf pula ialah mempertahan dan melepaskan diri daripada godaan wanita itu seperti yang dijelaskan oleh Allah SWT dalam firman-Nya:

كَذَٰلِكَ لِنَصْرِفَ عَنْهُ السُّوءَ وَالْفَحْشَاءَ
"Demikianlah (takdir Kami) untuk menjauhkan dari Yusuf perkara-perkara yang tidak baik dan perbuatan-perbuatan yang keji." [Surah Yusuf (24)]

Di hujung ayat ini, Allah SWT membersihkan Nabi Yusuf AS daripada dosa tersebut serta menggolongkannya dalam kalangan hamba-hamba-Nya yang ikhlas.

+ Ustaz Dr. Zulkifli Mohamad Al Bakri | Mufti Wilayah Persekutuan
+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media

Kecerdasan Iyas bin Mu’awiyah Al-Muzani

Posted: 31 Mar 2019 05:13 PM PDT


Soalan:
Saya pernah mendengar kisah berkenaan seorang tabi'in yang dilantik sebagai sebagai Hakim pada zaman Khalifah Umar bin Abdul Aziz. Kalau tak salah saya, beliau ialah Iyas bin Mu'awiyah al-Muzani. Saya pernah membaca tentang kecerdasan dan bijaknya dalam memutuskan hukum. Boleh terangkan kisah biodata dan kelebihan beliau?

Jawapan:
Beliau ialah Iyas bin Mu'awiyah bin Qurrah al-Muzani dilahirkan pada tahun 46 Hijrah di daerah Yamamah, Najd. Beliau ialah seorang tabi'in yang pernah bertemu dengan beberapa orang sahabat, antaranya Anas bin Malik R.A. (Lihat Wafayat al-A'yan, 1/247; al-Bidayah wa al-Nihayah, 9/365 dan Suwar min Hayat al-Tabi'in, hlm. 69)

Kecerdikan Iyas bin Mu'awiyah Terserlah Sejak Kecil

Iyas bin Mu'awiyah berpindah bersama keluarganya ke Basrah. Kemudian di sanalah beliau membesar dan menuntut ilmu. Pada zaman kanak-kanak lagi, beliau telah menunjukkan kecerdasannya sejak kecil lagi. Antara kisah yang dicatatkan yang menunjukkan kecerdasan beliau ialah ketika mana beliau belajar Matematik di sebuah sekolah yang dikelolakan oleh orang Yahudi dari golongan zimmi. Suatu ketika, murid-murid Yahudi di sekolah tersebut berkumpul bersama seorang guru Yahudi. Guru tersebut berkata: "Tidakkah kamu semua pelik terhadap orang-orang Islam? Mereka berkata bahawa mereka akan makan di dalam syurga, tetapi tidak akan buang air besar/kecil?"

Iyas bin Mu'awiyah yang mendengar hal tersebut lalu meminta izin untuk menyertai perbincangan tersebut dan memberikan hujah. Beliau lantas berkata: "Guru, apakah semua yang dimakan di dunia ini akan keluar menjadi kotoran?" Guru tersebut menjawab: "Tidak." Iyas berkata lagi: "Jadi, ke mana perginya makanan yang tidak keluar itu?" Guru menjawab: "Diserap ke dalam badan (sebagai nutrisi)." Iyas lalu berkata: "Jadi, atas alasan apa kamu semua mengingkari? Sedangkan makanan yang kita makan di dunia sahaja sebahagiannya hilang diserap oleh tubuh badan. Bukanlah satu yang mustahil jika di syurga nanti semua makanan akan diserap oleh tubuh badan menjadi makanan badan (nutrisi)!" (Lihat Suwar min Hayat al-Tabi'in, hlm. 67-68)

Pelantikan Iyas sebagai Qadhi di Basrah

Iyas bin Mu'awiyah telah dilantik oleh Khalifah Umar bin Abdul Aziz sebagai Qadhi di Basrah. (Lihat Wafayat al-A'yan, 1/248)

Dicatatkan bahawa Khalifah Umar bin Abdul Aziz telah mengutuskan 'Adi bin Arthah untuk berjumpa dengan Iyas dan al-Qasim dalam urusan pelantikan salah seorang daripada mereka sebagai Qadhi di Basrah. Lalu 'Adi mempertemukan mereka berdua dan berkata: "Amirul Mukminin memintaku untuk melantik salah seorang daripada kamu sebagai Qadhi di Basrah. Bagaimana pendapat kamu berdua?" Masing-masing mengatakan bahawa sahabatnyalah yang lebih utama (Iyas menganggap al-Qasim lebih utama sedangkan al-Qasim memandang bahawa Iyas lebih utama darinya) sambil menyebutkan keutamaan, ilmu dan kefaqihannya. 'Adi berkata: "Kamu berdua tidak boleh keluar dari sini sebelum kamu memutuskannya." Iyas berkata: "Wahai Amir, engkau boleh bertanya tentang diriku dan al-Qasim kepada dua fuqaha' Iraq terkenal, iaitu Hasan al-Basri dan Muhammad bin Sirin, kerana kedua merekalah yang paling mampu membezakan antara kami berdua." Iyas berkata seperti itu kerana al-Qasim adalah murid dari kedua ulama' tersebut, sedangkan Iyas sendiri tidak mempunyai hubungan rapat dengan mereka.

Al-Qasim menyedari bahawa sekiranya pemimpin Iraq itu bermusyawarah dengan kedua ulama tersebut, tentulah mereka akan memilih dia dan bukan Iyas. Maka dia segera menoleh kepada 'Adi dan berkata: "Wahai Amir, janganlah anda bertanya perihalku kepada sesiapa pun. Demi Allah yang tiada Tuhan selain Dia, Iyas lebih faham tentang agama Allah SWT daripada aku dan lebih layak untuk menjadi hakim. Apabila aku berbohong dalam sumpahku ini, maka tidak patut anda memilihku kerana itu bermaksud memberikan jawatan kepada orang yang ada kurangnya. Apabila aku jujur, anda tidak boleh mengutamakan orang yang lebih rendah, sedangkan di sini ada yang lebih utama."

Iyas berpaling kepada Amir dan berkata: "Wahai Amir, anda memanggil orang untuk dijadikan hakim. Ibaratnya anda letakkan dia di tepi Jahannam, lalu orang itu (yakni al-Qasim) hendak menyelamatkan dirinya dengan sumpah palsu, yang dia boleh meminta ampun kepada Allah SWT dengan beristighfar kepada-Nya, dan selamatlah dia dari apa yang ditakutinya." Lalu 'Adi berkata kepada Iyas: "Orang yang berpandangan seperti dirimu inilah yang layak untuk menjadi hakim." Lalu dilantiklah Iyas sebagai Qadhi di Bashrah. (Lihat al-Bidayah wa al-Nihayah, 9/368; Wafayat al-A'yan, 1/249 dan al-'Iqd al-Farid, 1/20 )

Isu Arak Haram dan Jawapan Iyas

Beliau menjadi Qadhi pada zaman pemerintahan Khalifah Umar bin Abdul Aziz dan sangat terkenal sebagai seorang hakim yang bijak dan cerdas. Perkara ini tersebar ke merata-rata sehingga ramai yang datang berjumpanya untuk bertanya berkenaan ilmu dan agama. Sebahagiannya ingin menguji dan ada juga yang ingin berdebat. Seorang lelaki datang ke majlis beliau lalu mengemukakan soalan. Tanya lelaki tersebut: "Wahai Abu Wathilah, apa pendapatmu berkenaan minuman yang memabukkan?" Jawab Iyas: "Haram." Tanya beliau lagi: "Dari sisi mana yang dikatakan haram sedangkan ia tidak lebih daripada buah dan air yang diolah, dan kedua-duanya adalah halal."

Iyas menjawab: "Apakah engkau sudah selesai bercakap atau ada yang masih hendak engkau utarakan?" Beliau menjawab: "Sudah, silakan bercakap." Iyas lalu berkata: "Seandainya aku ambil air dan kusiramkan ke mukamu, apakah engkau merasa sakit?" Jawab beliau: "Tidak." Iyas berkata lagi: "Jika aku ambil segenggam pasir lalu kulempar kepadamu, apakah terasa sakit?" Beliau menjawab: "Tidak." Iyas menyambung: "Jika aku ambil segenggam lumpur dan kulemparkan kepadamu, apakah terasa sakit?" Jawab beliau: "Tidak." Iyas lantas berkata: "Sekarang jika aku ambil pasir, aku campur dengan segenggam lumpur, lalu aku tuangkan air di atasnya dan kuaduk, kemudian aku jemur sehingga kering, setelah itu aku pukul ke kepalamu, apakah engkau merasa sakit?" Beliau menjawab: "Ya benar, malah ia boleh membunuhku!" Iyas lalu berkata: "Begitulah halnya dengan khamar. Di saat engkau kumpulkan bahagian-bahagiannya, engkau olah menjadi minuman memabukkan, maka ia menjadi haram." (Lihat Suwar min Hayat al-Tabi'in, hlm. 69-70. Lihat juga al-Bidayah wa al-Nihayah, 9/368)

Kebijaksanaan Iyas Dalam Menghukum Sebagai Qadhi

Kami titipkan dua kisah betapa bijaknya Iyas dalam memutuskan hukum semasa menjalankan tugas sebagai hakim dan kecerdasannya dalam menyelesaikan masalah. Antaranya:

Pertama: Suatu ketika telah berlaku pertelingkahan antara dua orang. Seorang mendakwa bahawa dia telah menyimpan sejumlah harta kepada rakannya. Namun ketika dia memintanya kembali, rakannya tersebut mengelak (dengan menyangkal bahawa rakannya tidak pernah menyimpan harta kepadanya). Iyas lalu menyoal tertuduh dan dia terus menyangkalnya sambil berkata: "Sekiranya rakanku ini mempunyai bukti, sila datangkan. Jika tidak, maka tiada cara baginya untuk menjatuhkan aku kecuali dengan sumpah." Iyas khuatir sekiranya orang tersebut akan memakan harta yang bukan haknya dengan sumpahnya. Beliau lantas berpaling kepada penuduh dan bertanya: "Di manakah engkau serahkan harta itu kepadanya?" Dia menjawab: "Di suatu tempat sekian sekian." Iyas bertanya lagi: "Bagaimana ciri-ciri tempat tersebut?" Dia menjawab: "Di sana ada sebatang pohon besar. Kami duduk dan makan bersama dan ketika kami hendak berganjak pulang, kuserahkan harta tersebut kepadanya." Iyas berkata kepadanya: "Pergilah ke tempat yang terdapat pohon tersebut kerana apabila engkau datang ke sana, boleh jadi akan mengingatkanmu di mana engkau telah letakkan barang tersebut. Setelah itu segeralah kembali ke sini untuk mengkhabarkan apa yang engkau dapatkan di sana."

Kemudian dia pun pergi sementara Iyas berkata kepada si tertuduh yang masih di hadapannya: "Tunggulah di sini sehingga rakanmu kembali." Dia pun duduk menanti. Iyas pun terus menguruskan perkara-perkara lain sambil terus memerhati tertuduh secara diam-diam. Setelah dilihatnya agak tenang, Iyas bertanya: "Apakah kiranya rakanmu itu sudah sampai di tempat di mana dia serahkan hartanya kepadamu?" Tanpa menyedari perangkap Iyas tersebut, dia menjawab: "Belum, kerana tempatnya jauh dari sini." Mendengar jawapan tersebut, Iyas sudah mengetahui apa yang terjadi. Lantas beliau berkata: "Wahai musuh Allah, engkau hendak menyangkal harta tersebut sedangkan engkau tahu di mana tempat engkau menerimanya." Orang tersebut tidak mampu menjawab lagi lalu mengakui pengkhianatannya. Setelah rakannnya tiba, Iyas lalu memerintahkan dia untuk mengembalikan harta kepada rakannya. (Lihat Suwar min Hayat al-Tabi'in, hlm. 67-70)

Kedua: Sebuah kisah yang lain, di mana terdapat seorang lelaki yang cuba menzahirkan sifat baik, warak, takwa dalam masyarakat sedangkan beliau bukan begitu. Ini bertujuan untuk menjadikan helah bagi mengaut keuntungan dan melakukan penipuan kepada orang ramai. Ramai orang memuji dan beliau diberi kepercayaan untuk menjaga barangan apabila seseorang ingin bermusafir. Begitu juga mewasiatkan kepadanya untuk penyelesaian ketika hampir meninggal.

Seorang lelaki telah datang kepada lelaki tersebut dan menyimpankan barang padanya. Namun apabila dituntut, dia tidak mahu mengembalikan semula. Akhirnya lelaki tersebut mengadu kepada Iyas. Lantas Iyas bertanya kepadanya: "Apakah kawanmu itu tahu bahawa engkau mengadu kepadaku?" Dia menjawab: "Tidak." Iyas berkata: "Kalau begitu pulanglah dan esok saya minta anda kembali semula ke sini." Kemudian Iyas memanggil orang yang menguruskan harta itu (sekaligus sebagai tertuduh) dan bertanya kepadanya: "Ada banyak simpanan harta milik anak yatim di tanganku dan tidak ada yang mengurusnya. Aku fikir, sebaiknya kuserahkan saja kepada kamu. Kujadikan engkau sebagai wali atas mereka. Apakah rumahmu cukup selamat dan kamu mempunyai masa untuk menguruskannya?" Orang itu menjawab: "Saya bersedia wahai Qadhi." Iyas berkata: "Kalau begitu, datanglah ke mari esok atau lusa dan siapkan tempat untuk menyimpan harta itu. Bawalah orang-orang untuk membantu membawanya."

Keesokan harinya, datanglah orang yang teraniaya itu kembali. Iyas berkata kepadanya: "Sekarang pergilah kepada kawanmu itu dan mintalah hartamu kembali. Jika dia mengingkari katakan kepadanya: "Saya akan adukan kamu kepada Qadhi." Orang itu pun datang kepada kawannya untuk meminta hartanya, tetapi dia tetap mengelak dan tidak mahu mengakuinya. Maka berkatalah lelaki itu: "Kalau begitu, sekarang akan aku adukan engkau kepada Qadhi." Mendengar sahaja ancaman itu, orang yang khianat tersebut segera mengembalikan harta yang diamanahkan kepadanya lalu berdalih bahawa dia lupa dan sebagainya. Setelah menerima kembali hartanya, dia pergi menjumpai Iyas sambil berkata: "Kawanku itu telah mengembalikan hartaku, semoga Allah membalas kebaikan kamu atas jasa dan budi baikmu, wahai Qadhi." Keesokan harinya, sesuai dengan perancangan, datanglah si pengkhianat itu kepada Iyas dengan membawa orangnya untuk mengangkut harta yang dikatakan Iyas. Iyas lalu mencelanya dan mengisytiharkan penipuannya. Beliau berkata: "Celakalah engkau musuh Allah! Kau jadikan agamamu untuk menipu." (Lihat Suwar min Hayat al-Tabi'in, hlm. 67-70)

Pujian Terhadap Iyas, Ungkapannya dan Kewafatannya

Muhammad bin Sirin pernah memuji Iyas dengan katanya:

إِنَّهُ لفهمٌ إِنَّهُ لفهمٌ
"Sesungguhnya dia seorang yang amat faham. Sesungguhnya dia seorang yang amat faham." (Lihat al-Bidayah wa al-Nihayah, 9/366)

Antara ungkapan Iyas bin Mu'awiyah, beliau pernah menyebut:

كُلُّ رَجُلٍ لَا يَعْرِفُ عَيْبَهُ فَهُوَ أَحْمَقُ، قَالُوا: يَا أَبَا وَاثِلَةَ، مَا عَيْبُكَ؟ قَالَ: كَثْرَةُ الْكَلَامِ
"Setiap lelaki yang tidak mengenal aibnya maka dia adalah sebodoh-bodoh manusia." Mereka bertanya: "Wahai Aba Wathilah, apakah aibmu?" Jawab beliau: "Banyak bercakap." (Lihat Hilyah al-Auliya', 3/124)

Ketika usianya menginjak 76 tahun, Iyas bin Mu'awiyah telah bermimpi bertemu ayahnya yang telah wafat. Keduanya berlumba kuda dan tiada seorang pun yang mendahului antara satu sama lain. Ayahnya meninggal ketika usia 76 tahun. Pada malam terakhir saat meninggalnya Iyas, beliau berkata kepada keluarganya: "Tahukah kamu ini malam apa? Malam ini genaplah sepertimana umur ayahku." Beliau pun tidur dan pada keesokan harinya, didapati bahawa beliau telah meninggal dunia. (Lihat Wafayat al-A'yan, 1/250)

Semoga Allah merahmati Iyas, hakim yang terkenal sangat bijak dan cerdas pada zamannya.

+ Ustaz Dr. Zulkifli Mohamad Al Bakri | Mufti Wilayah Persekutuan
+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media

Perlukah Ganti Solat Setelah Koma Terlalu Lama?

Posted: 31 Mar 2019 04:57 PM PDT


Soalan:
Orang koma berbulan-bulan. Apabila dia sedar dari komanya, adakah dia perlu qadha solatnya?

Jawapan:
Istilah koma membawa maksud keadaan tidak sedarkan diri untuk beberapa lama (biasanya akibat kemalangan atau sesuatu penyakit). (Lihat Kamus Dewan Edisi Keempat)

Berdasarkan isu di atas, kami mulakan dengan firman Allah SWT:

لَا يُكَلِّفُ اللَّـهُ نَفْسًا إِلَّا وُسْعَهَا
"Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya. Ia mendapat pahala kebaikan yang diusahakannya." (Surah al-Baqarah: 286)

Syeikh al-Maraghi berkata: "Allah SWT tidak membebankan hamba-hamba-Nya dengan sesuatu yang tidak mampu mereka kerjakan. Bahkan sifat kemurahan-Nya memberikan kemudahan kepada mereka." (Lihat Tafsir al-Maraghi, 2/672)

Menjawab persoalan di atas, orang yang koma dalam tempoh yang lama, tidak perlu qadha kerana dalam tempoh tersebut akalnya dikira tiada. Ini kerana salah satu daripada perkara yang mewajibkan solat adalah berakal. Untuk itu, tidak wajib solat bagi orang yang gila, pengsan, mabuk dan seumpamanya kerana pada waktu itu akal mereka telah hilang.

Ini dinyatakan di dalam sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Ali bin Abi Thalib RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

رُفِعَ القَلَمُ عَنْ ثَلَاثَةٍ: عَنِ النَّائِمِ حَتَّى يَسْتَيْقِظَ، وَعَنِ الصَّبِيِّ حَتَّى يَشِبَّ، وَعَنِ المعْتُوهِ حَتَّى يَعْقِلَ
"Diangkat pena daripada tiga golongan; orang yang tidur sehingga dia bangun, daripada bayi sehingga dia remaja (baligh) dan daripada orang yang cacat mental sehingga dia berakal." [Riwayat al-Tirmizi (1423) dan Ahmad (956)]

Menurut Syeikh al-Mubarakfuri, ungkapan "المَعْتُوهِ" ialah dengan maksud gila atau yang seumpama dengannya. (Lihat Tuhfah al-Ahwazi, 4/570)

Para ulama' mengqiyaskan bagi setiap orang yang hilang akal dengan orang yang gila sama ada dalam tempoh masa yang sekejap atau lama. Jika dia sembuh dan berbaki masa untuknya solat (bertakbir) maka wajib baginya solat. Akan tetapi, tidak wajib dia mengqadhakan solat dalam tempoh tersebut (hilang akal). (Lihat al-Mu'tamad fi al-Fiqh al-Shafi'i, 1/155)

Imam al-Nawawi menjelaskan dalam kitabnya al-Majmu': "Sesiapa yang hilang akalnya dengan sebab yang tidak diharamkan (syarak) seperti menjadi gila atau koma/pengsan atau hilang akal dengan sebab sakit atau meminum suatu ubat kerana keperluan atau dipaksa meminum suatu minuman yang memabukkan hingga hilang akalnya, tidak wajib solat atasnya dan bila dia tersedar, tidak diwajibkan qadha solat atasnya sama ada singkat atau lama tempoh gila dan pengsannya itu. Inilah yang menjadi mazhab kami (mazhab Syafi'ie)." (Lihat al-Majmu' Syarh al-Muhazzab, 3/6)

Secara umumnya, kami nukilkan pelbagai pandangan fuqaha' dan mazhab untuk memberikan lebih pencerahan dan kefahaman. Para ulama' telah berkhilaf kepada beberapa pendapat:

  • Mazhab Maliki dan Syafi'i berpendapat, tidak perlu qadha kerana ia tidak termasuk dalam mukallaf, dalam keadaan pengsan atau koma.
  • Mazhab Hanbali berpendapat, perlu qadha'.
  • Mazhab Hanafi berpendapat, perlu qadha' jika tidak melebihi enam waktu solat. (Lihat al-Mausu'ah al-Fiqhiyyah, 11/110)

Jika sekiranya keadaan tersebut bukan dalam tempoh yang panjang, maka dia perlu qadha. Ini berdasarkan apa yang diriwayatkan:

أَنَّ عَمَّارًا أُغْمِيَ عَلَيْهِ ثَلَاثًا ، ثُمَّ أَفَاقَ فَقَالَ : هَلْ صَلَّيْتُ ؟ قَالُوا : مَا صَلَّيْتَ مُنْذُ ثَلَاثٍ ، ثُمَّ تَوَضَّأَ وَصَلَّى تِلْكَ الثَّلَاثَ
Bahawa 'Ammar pernah pengsan selama tiga malam. Apabila terjaga, beliau bertanya: "Adakah aku telah solat?" Mereka menjawab: "Kamu tidak solat sejak tiga malam." Kemudian beliau berwuduk dan sembahyang qadha tiga malam tersebut. [Riwayat Ibn Abi Syaibah dalam al-Musannaf (2/268)]

Daripada Imran bin Husain dan Samurah bin Jundub R.Anhuma, juga diriwayatkan seumpamanya. Dan tiada sebarang khilaf, maka ia seolah-olah ijma'. (Lihat al-Mughni, 1/240 dan al-Majmu', 3/8)

Kesimpulan

Setelah meneliti hujahan dan pendapat para ulama' dan fuqaha', kami lebih cenderung kepada qadha solat jika sekiranya tempoh pengsan adalah pendek seperti kurang dari tiga hari dan tidak perlu qadha jika tempoh koma atau pengsan adalah lama, yang lebih dari tiga hari. Inilah amalan sahabat Rasulullah SAW.

Semoga Allah SWT kurniakan kepada kita kefahaman untuk mengamalkan agama Islam ini dengan neraca Syariah yang sebenar. Amin.

+ Ustaz Dr. Zulkifli Mohamad Al Bakri | Mufti Wilayah Persekutuan
+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media