Wednesday, April 24, 2019

Oh! Media

Oh! Media


Avengers Berjaya Kutip RM10 Juta Bagi Jualan Tiket Awal di Malaysia

Posted: 23 Apr 2019 07:56 AM PDT


Esok merupakan hari yang dinanti-nantikan oleh kami dan semua peminat filem Marvels' Studio di mana filem Avengers: Endgame akan mula ditayangkan di seluruh pawagam.

Endgame merupakan filem keempat Avengers, di mana ia adalah kesinambungan kepada Avengers: Infinity War dan mengumpulkan kesemua watak superhero MCU dalam satu filem.

Untuk pengetahuan korang, penjualan tiket Marvels' Studio Avengers: Endgame di Malaysia telah berjaya mengumpul sebanyak RM10 juta sejak ia mula dijual kepada umum pada 2 April lalu.

Bersempena menyambut kejayaan ini juga, pihak Disney telah melakukan pertunjukan khas buat peminat Malaysia apabila mereka menerbangkan 300 unit Intel Shooting Star Drone dan membentuk logo-logo ikonik Avengers termasuk Iron Man, Captain Amerika, Thor dan Hulk.

Petunjukan yang diadakan di Menara Kuala Lumpur itu disaksikan orang ramai dan bagi mereka yang tidak berkesempatan, jangan risau kerana pertunjukan yang sama akan dilakukan sekali lagi pada 26 April di lokasi yang sama.

Polis Sahkan Serpihan Tulang Yang Ditemui Milik Manusia

Posted: 23 Apr 2019 02:58 AM PDT


Berikutan dengan penemuan serpihan tulang seperti tulang paha oleh orang awam Sabtu lepas, pihak polis mengesahkan bahawa ianya sah milik tulang manusia.

Tulang yang dijumpai di Gua Kandu, Gopeng itu disahkan setelah bedah siasat dilakukan oleh Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh.

Namun, pihak forensik tidak menafikan bahawa keadaan serpihan tulang itu adalah tulang lama. Buat masa sekarang, kita perlu menunggu untuk tempoh dua bulan atau lebih bagi melalu proses asid deoksiribonukleik (DNA).

Dalam pada itu, Hasron Nazri berkata spesimen darah seorang daripada abang Mohammad Ashraf atau dikenali sebagai Acap dilakukan semalam di Hospital Kampar dan telah dihantar ke Jabatan Kimia Petaling Jaya bagi tujuan perbandingan DNA dengan serpihan tulang tersebut.

Mohammad Ashraf, 29, hilang semasa menyertai larian GUT 2019 kategori 25km pada 23 Mac lepas.

Sri Lanka 'Bermandi Darah' - Kematian Meningkat Kepada 290 Orang

Posted: 23 Apr 2019 02:39 AM PDT


Jumlah korban serangan bom di beberapa kawasan Sri Lanka semalam meningkat kepada 290 orang manakala 500 yang lain cedera. Pihak berkuasa turut menemui 87 bahan peledek lain di sebuah stesen bas di Bastian Mawatha.

Terdahulu, pasukan keselamatan turut menemukan bahan letupan yang diubah suai (IED) di jalan raya menuju ke terminal utama lapangan terbang dekat sini lewat malam semalam.

Namun, hal ini menjadi tanda tanya kerana ada dokumen menunjukkan Ketua Polis Sri Landa, Pujuth Jayasundara telahpun mengeluarkan amaran risikan kepada pegawai sejak 10 hari yang lalu, tetapi dilihat gagal mengesan dan menghalang daripada berlaku.

Dokumen itu menyebut mengenai rancangan serangan pengebom bunuh diri di gereja-gereja utama di negara ini.

Perdana Menteri, Ranil Wickremesinghe mengakui 'adanya maklumat' mengenai kemungkinan serangan dan siasatan lanjut akan meneliti 'mengapa tindakan pencegahan yang mencukupi tidak diambil'.

Ekoran itu, kerajaan meng­arahkan perintah berkurung baharu dikuatkuasakan pada pukul 8 malam ini sehingga 4 pagi esok.

+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media.



Tersebar Ura-Ura Huawei P30 Pro Mengambil Data Pengguna Secara Senyap Untuk Kerajaan China

Posted: 22 Apr 2019 11:24 PM PDT


Huawei P30 Pro merupakan smartphones flagship terbaru dari Huawei yang baru sahaja memasuki pasaran Malaysia dan juga dunia.

Hari ini, tersebarnya ura-ura yang Huawei turut turut meletakkan sesuatu 'script' pada smartphones P30 Pro mereka yang menghubungkan smartphones tersebut terus kepada kerajaan China. Ini sebenarnya bukanlah suatu perkara yang baru kerana pada smartphones mereka yang lain juga pernah dikaitkan dengan hal seperti ini dan tiada jawapan yang kukuh dari pihak mereka kepada pengguna.


Jelas pada gambar di atas, ianya menghubungkan smartphones dengan beberapa domain kerajaan China. Hal seperti ini antara sebab yang telah menyebabkan semua produk Huawei disekat dari memasuki pasaran US. Adakah anda pengguna Huawei? Adakah perkara berkaitan privacy seperti ini merisaukan kalian?

Sumber: https://github.com/pe3zx/huawei-block-list & AndroidMalaya

Potongan Cukai Jalan Sehingga 50% Bagi Kenderaan Hibrid dan Elektrik

Posted: 22 Apr 2019 11:17 PM PDT


Datuk Kaaruddin Jaffa, Timbalan Menteri Pengangkutan hari ini mengumumkan pengurangan cukai 50 peratus bagi kenderaan jenis elektrik dan 'hybrid plug in charging' dan usaha ini bagi menggalakkan penggunaan kenderaan teknologi hijau ini.

Untuk pengetahuan korang, setakat ini sebanyak 5,403 kereta elektrik dan 46,981 kereta jenis hibrid telah berdaftar dan ini dilihat bakal menerima lebih banyak lagi pendaftaran untuk masa depan.

Selangor mendapat jumlah penggunaan tertinggi dengan 2,791 buah bagi kenderaan elektrik dan 25,360 bagi kenderaan jenis hibrid.

+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media.

Tenaga Pengajar Kelas Memandu Didapati Tidur dan Merokok

Posted: 22 Apr 2019 08:54 PM PDT


Pihak JPJ hari ini telah menjalan pemeriksaan ke atas tenaga pengajar dan didapati ada diantara mereka yang tidur, tidak memakai tali pinggang, merokok ketika mengajar dan membiarkan pelatih memandu tanpa pengawasan.

Itu antara kesalahan yang dikesan dalam Ops Khas Institut Memandu (OKIM) yang dijalankan di sebuah institut memandu di Kapar tempoh hari.




Timbalan Ketua Pengarah (Operasi), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Zamakshari Hanipah, berkata kesalahan itu dikesan hasil risikan serta penyamaran beberapa anggota JPJ sebagai pemandu pelatih.

Terdapat juga kesalahan lain dimana lesen memandu tenaga pengajar tamat tempoh dan insuran kenderaan juga didapati telah tamat.

Dalam pada itu, beliau berkata, sebanyak 38 institut memandu di seluruh negara di periksa antara 2016 sehingga 2018, dengan 721 notis saman dikeluarkan.

+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media.

Memakai Kasut Ketika Solat

Posted: 22 Apr 2019 04:58 PM PDT


Soalan:
Bolehkah memakai kasut ketika solat?

Jawapan:
Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, kasut ditakrifkan sebagai alas kaki seperti sepatu, selipar, dan lain-lain.

Di dalam sebuah hadis daripada Syaddad bin Aus R.A, Nabi SAW bersabda:

خَالِفُوا الْيَهُودَ فَإِنَّهُمْ لاَ يُصَلُّونَ فِي نِعَالِهِمْ ، وَلاَ خِفَافِهِمْ
"Berbezalah dengan orang Yahudi. Sesungguhnya mereka tidak bersolat sambil memakai kasut atau khuf." [Riwayat Abu Daud (652)]

Imam al-Munawi dalam Faidh al-Qadir berkata: "Sesungguhnya mereka tidak solat dalam keadaan memakai selipar, maka solatlah kamu jika sekiranya bersih tanpa najis. Diambil dengan zahirnya bahawa sebahagian ulama salaf berkata, sesiapa yang terkena najis pada seliparnya dan apabila bertempuh dengan tanah atau bumi, maka jadilah ia suci dan harus solat padanya. Inilah qaul qadim bagi Imam Syafie manakala qaul jadid menyalahinya." (Lihat Faidh al-Qadir, 3/431)

Imam Badruddin al-`Aini dalam 'Umdah al-Qari menyebut: "Maka jadilah ia sunat dari segi qasad untuk mukhalafah (menyelisihi) perbuatan orang Yahudi dan bukanlah sunnah. Ini kerana, solat dengan bersepatu atau memakai selipar bukanlah mempunyai maksud itu sahaja." (Lihat 'Umdah al-Qari, 4/119)

Syeikh Syams al-Haq al-'Azim Abadi dalam 'Aun al-Ma'bud menyebut: Hadis ini sekurang-kurangnya menunjukkan hukumnya sunat. Begitu juga hadis Abi Said al-Khudri dan beberapa hadis yang lain yang menunjukkan sunat solat dengan bersepatu. Istidlal dengan tidak harus pula adalah berdasarkan hadis Amru bin Syu'aib daripada bapanya, daripada datuknya dan hadis daripada Abi Hurairah. Justeru, Abd al-Rahman bin Abi Laila pernah berkata: "Rasulullah SAW telah solat dengan dua sepatunya. Maka orang ramai pun bersolat dengan sepatu masing-masing. Kemudian Baginda menanggalkannya, dan orang ramai pun menanggalkannya. Maka sesiapa yang mahu untuk solat dengan dua sepatunya, maka solatlah dan siapa yang mahu menanggalkannya, maka tanggalkanlah." (Lihat 'Aun al-Ma'bud, 2/354)

Walaubagaimanapun, kasut yang dipakai tersebut hendaklah bersih dan suci daripada najis. Nabi SAW bersabda:

إِذَا جَاءَ أَحَدُكُمْ إِلَى الْمَسْجِدِ فَلْيَنْظُرْ : فَإِنْ رَأَى فِي نَعْلَيْهِ قَذَرًا أَوْ أَذًى فَلْيَمْسَحْهُ وَلْيُصَلِّ فِيهِمَا
"Apabila seseorang daripada kamu datang ke masjid, maka lihatlah jika ada kotoran atau najis pada kasutnya. Jika ada, maka hendaklah disapunya (dibersihkannya) dan dibolehkan bersolat dengan memakai kasut itu." [Riwayat Abu Daud (650) dan al-Baihaqi dalam al-Sunan al-Kubra (3889)]




Ibn Ruslan berkata: "Perkataan 'الْأَذَى' pada bahasa iaitu yang keji dan kotor sama ada ia bersih atau najis." (Lihat Syarh Sunan Abi Daud, 3/72)

Disebut dalam kitab Subul al-Salam: "Hadis tersebut menunjukkan pensyariatan solat dengan memakai selipar atau sepatu. Begitu juga sapuan selipar atau sepatu pada tanah boleh menyucikannya daripada kotoran. Dan yang zahir pada kedua-duanya adalah dengan maksud najis, sama ada najis bersifat basah atau kering." (Lihat Subul al-Salam, 1/137)

Kesimpulan

Kami berpandangan dengan melihat kepada suasana dan uruf di Malaysia, keadaannya adalah berbeza. Justeru, tidak memakai kasut semasa berada di dalam masjid dan untuk solat adalah perkara yang biasa bahkan di rumah sendiri pun ditanggalkan kasut ketika mahu memasukinya. Inilah yang lebih aula dan utama daripada memakai kasut yang dibawa masuk ke dalam masjid untuk solat dengannya.

Perkara seperti ini sudah makruf hatta di Masjidil Haram dan Masjid al-Nabawi kecuali bagi mereka yang memakai khuf. Adapun khuf, maka tiada khilaf berkenaan kebolehannya dan telah diterima pakai berdasarkan nas yang sahih serta amalan salafussoleh sehingga ke zaman kini.

Semoga pencerahan ini memberi manfaat kepada kita semua dalam berinteraksi dengan nas dan hadis Nabi SAW. Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ أَرِنَا الْحَقَّ حَقًّا، وَارْزُقْنَا اتِّبَاعَهُ، وَأَرِنَا الْبَاطِلَ بَاطِلًا، وَارْزُقْنَا اجْتنِاَبَهُ، وَلَا تَجْعَلْهُ مُلْتَبِسًا عَلَيْنَا فَنَضِلَّ، وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا
"Ya Allah, tunjukkanlah kepada kami kebenaran itu sebagai kebenaran, dan rezekikanlah kepada kami untuk mengikutinya. Dan tunjukkanlah kepada kami kebatilan itu sebagai kebatilan dan rezekikanlah kepada kami untuk menjauhinya, dan jangan jadikannya terkeliru atas kami sehingga kami sesat. Dan jadikanlah kami bagi orang yang bertaqwa sebagai pemimpin."

+ Ustaz Dr. Zulkifli Mohamad Al Bakri | Mufti Wilayah Persekutuan
+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media

Adakah Doa Perempuan Hamil Itu Mustajab?

Posted: 22 Apr 2019 04:43 PM PDT


Soalan:
Adakah doa seorang ibu yang sedang mengandung itu mustajab?

Jawapan:
Secara asasnya, sesiapa sahaja yang berdoa telah diberikan jaminan oleh Allah S.W.T akan kemustajaban doa tersebut. Ini seperti yang dinyatakan oleh Allah S.W.T melalui firman-Nya yang berikut:

وَقَالَ رَبُّكُمُ ادْعُونِي أَسْتَجِبْ لَكُمْ
"Berdoalah kamu semua kepada-Ku nescaya Aku akan mustajab kan doa kamu semua." [Surah Ghafir (60)]

Berdasarkan ayat di atas kita dapat menyimpulkan bahawa berdoa itu merupakan suatu ibadah kepada Allah. Ini kerana, setiap suruhan daripada Allah S.W.T kepada para hamba-Nya untuk melakukan sesuatu perkara itu menunjukkan bahawa ia merupakan perbuatan ibadah.

Demikian juga ayat di atas menunjukkan bahawa Allah S.W.T bukan sahaja memerintahkan kepada para hamba-Nya untuk beribadah bahkan Dia juga memberikan jaminan bahawa doa tersebut akan dimustajabkan. Kata Khalid Al-Rib'ie: "Sangat ajaib buat umat ini, dikatakan kepada mereka: Berdoalah kepada-Ku nescaya Aku akan mustajabkan. Allah memerintahkan kepada mereka untuk berdoa, serta menjanjikan kepada mereka kemustajaban tanpa ada sebarang syarat antara keduanya." [Rujuk Al-Jami' li Ahkam al-Quran, Al-Qurthubi (15/292)]

Meskipun begitu, seseorang yang berdoa itu hendaklah sentiasa optimis dan yakin dalam berdoa. Dari sudut dia berdoa dalam jiwa yang penuh hadir, khusyuk, serta tunduk kepada Allah S.W.T. Ini berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.A bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:

ادْعُوا اللَّهَ وَأَنْتُمْ مُوقِنُونَ بِالإِجَابَةِ وَاعْلَمُوا أَنَّ اللَّهَ لاَ يَسْتَجِيبُ دُعَاءً مِنْ قَلْبٍ غَافِلٍ لاَهٍ
"Berdoalah kamu semua kepada Allah dalam keadaan kamu yakin ia akan dimustajabkan. Dan ketahuilah bahawa sesungguhnya Allah tidak akan memustajabkan doa dari jiwa yang lalai lagi alpa." [Riwayat al-Tirmizi (3479)]

Manakala berbalik kepada persoalan yang dikemukakan, kami menyatakan bahawa setelah kami mengadakan pencarian terhadap riwayat-riwayat yang menceritakan tentang sebab-sebab kemustajaban doa, kami tidak menjumpai riwayat yang menyebutkan tentang kemustajaban doa wanita yang hamil secara khusus.

Meskipun begitu, secara umumnya Allah S.W.T menyatakan bahawa antara sebab kemustajaban doa seseorang itu adalah apabila dia berada dalam keadaan yang penuh kesukaran dan kesulitan. Ini berdasarkan firman Allah S.W.T:

أَمَّنْ يُجِيبُ الْمُضْطَرَّ إِذَا دَعَاهُ
"Atau siapakah yang memperkenankan (doa) orang yang dalam kesulitan apabila dia berdoa kepada-Nya (melainkan Allah)." [Surah Al-Naml (62)]




Imam al-Hafiz Ibn Katsir dalam tafsiran beliau ke atas ayat ini berkata: "Siapakah lagi yang menjadi fokus dan tumpuan bagi mereka yang berada dalam kesulitan melainkan kepada-Nya (Allah). Serta siapakah lagi yang menghilangkan kemudaratan dari mereka yang tertimpa mudarat selain Allah?" [Rujuk Tafsir al-Quran Al-'Azhim, Ibn Katsir (6/206)]

Beliau juga menukilkan sebuah kisah yang berlaku kepada para salafussoleh terdahulu seperti yang disebutkan oleh 'Ubaidullah bin Abi Soleh beliau berkata: Suatu hari Thawus (Ibn Kaisan) datang menziarahi aku yang sedang sakit di rumahku. Lalu aku berkata kepadanya: "Berdoalah kepada Allah untuk aku wahai Abu Abd al-Rahman." Maka beliau membalas: "Berdoalah kamu sendiri untuk diri kamu, kerana Allah menjawab mereka yang dalam kesulitan apabila dia berdoa kepada-Nya." [Rujuk Tafsir al-Quran Al-'Azhim, Ibn Katsir (6/206)]

Kesimpulan

Sebagai penutup, kami menyatakan bahawa menjadi lumrah wanita yang sedang hamil itu untuk berhadapan dengan kesukaran dan kesulitan, dari sudut kesakitan mengandungkan bayi selama beberapa bulan dan juga kesakitan dalam proses melahirkan bayi. Maka doa wanita hamil yang sedang berada dalam kesukaran ini adalah mustajab kerana termasuk dalam kategori الْمُضْطَرَّ iaitu mereka yang berada dalam kesulitan.

Akhir kalam, kami berdoa kepada Allah S.W.T agar pencerahan ini dapat memberikan kefahaman yang baik kepada kita semua dalam beragama. Ameen.

+ Ustaz Dr. Zulkifli Mohamad Al Bakri | Mufti Wilayah Persekutuan
+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media

Hukum Solat Tanpa Menutup Kepala Bagi Lelaki

Posted: 22 Apr 2019 04:31 PM PDT


Soalan:
Benarkah solat tanpa memakai kopiah, songkok atau serban itu makruh bagi orang lelaki? Mohon penjelasan.

Jawapan:
Menurut hukum asal, sah solat seorang lelaki yang tidak menutup kepalanya sebagaimana yang disebut oleh para ulama seperti Imam al-Nawawi. (Rujuk Al-Majmu' Syarh al-Muhazzab 2/51)

Namun tidak dinafikan, memang terdapat ulama yang memakruhkan solat orang lelaki tanpa menutup kepala. Menurut Syeikh Abu Bakar al-Dimyathi -salah seorang ulama mazhab Syafi'e-, mendedahkan kepala dan bahu ketika solat bagi lelaki adalah makruh, kerana ia bertentangan dengan anjuran sunnah agar memperelokkan pakaian sewaktu dalam solat dengan menutup kepala dan bahu. (Rujuk I'anatu al-Tolibin 1/194).

Begitu juga dengan al-Imam Ibn Nujaim al-Hanafi dan al-Imam Burhanuddin ibn Mazzah yang menghukumkan makruh solat tanpa menutup kepala kerana malas, sedangkan ada padanya penutup kepala. (Rujuk Al-Bahr al-Ra'iq 2/27, Al-Muhith al-Burhani 5/137)

Namun demikian, pandangan beliau ini perlu juga dilihat dan diperhalusi menurut konteks zaman dan juga konteks setempat.

Menurut majlis fatwa negara Jordan, tiada satupun hadith yang sahih yang boleh dijadikan sandaran untuk menghukumkan sunat menutup kepala ketika solat, mahupun ketika keluar dari rumah bagi orang lelaki. Namun di sebahagian negara, menutup kepala ketika solat merupakan satu adat kebiasaan yang dianggap baik dan dianjurkan, maka ia boleh menjadi satu perkara sunat menurut syara', berdasarkan keumuman firman Allah SWT:

يَا بَنِي آدَمَ خُذُوا زِينَتَكُمْ عِندَ كُلِّ مَسْجِدٍ وَكُلُوا وَاشْرَبُوا وَلَا تُسْرِفُوا ۚ إِنَّهُ لَا يُحِبُّ الْمُسْرِفِينَ
"Wahai anak-anak Adam! Pakailah pakaian kamu yang indah berhias pada tiap-tiap kali kamu ke tempat ibadat (atau mengerjakan sembahyang), dan makanlah serta minumlah, dan jangan pula kamu melampau; sesungguhnya Allah tidak suka akan orang-orang yang melampaui batas." [Surah al-A'raf (31)]

Maka hukum dalam isu ini kembali kepada perbezaan adat masyarakat dan cara pemakaian mereka. Jika masyarakat tersebut menganggap menutup kepala merupakan satu bentuk perhiasan, maka ia menjadi sunat. (Rujuk laman rasmi majlis fatwa Jordan pada pautan https://bit.ly/2FTDfdq)

Al-Imam Abu Ishaq al-Syatibi juga turut menyebut bahawa menutup kepala berbeza dari satu tempat dengan tempat yang lain. Di sesetengah negara, tidak menutup kepala merupakan satu perkara yang mencacatkan maruah dan air muka serta menjejaskan 'adalah (kredibiliti sebagai muslim yang soleh), sedangkan di sebahagian negara lain, ia tidak demikian. (Rujuk Al-Muwafaqat 2/489)




Kesimpulan

Tuntasnya, kami nyatakan bahawa kopiah, serban dan songkok merupakan antara contoh pakaian yang baik yang sering dilazimi oleh umat Islam ketika solat, dan ia merupakan satu perkara sunat.

Satu qaedah fiqhiyyah yang masyhur ada menyebut:

العادَةُ مُحَكَّمَةٌ
"Adat dan uruf itu boleh dijadikan sandaran hukum (pada perkara yang tiada dalil padanya)."

Banyak hadis yang menunjukkan keadaan Nabi SAW memakai serban atau berimamah sehingga riwayat yang masyhur, Rasulullah SAW memakai 'imamah hitam ketika pembukaan Kota Mekah. Begitu juga, ada yang menisbahkan serban Rasulullah SAW yang dipamerkan di muzium Topkapi di Turki. Justeru, kami nyatakan bahawa serban tanpa khilaf sebagai sunnah al-'adah, tetapi dalam isu ibadah, jika ada pun hadisnya adalah amat dhaif. Antaranya hadis daripada Ibn 'Umar R.Anhuma, Rasulullah SAW bersabda:

عَلَيْكُمْ بِالْعَمَائِمِ ، فَإِنَّهَا سِيمَا الْمَلَائِكَةِ ، وَأَرْخُوهَا خَلْفَ ظُهْورِكُمْ
"Hendaklah kamu memakai 'imamah kerana ia merupakan tanda para malaikat dan labuhkannya di belakang kamu." [Riwayat al-Tabarani dalam al-Mu'jam al-Kabir (13248)]

Maka kami nyatakan bahawa berdasarkan adat setempat, solat dengan tidak menutup kepala dengan songkok, serban atau kopiah hanyalah bersifat khilaf al-aula (menyelisihi perkara yang lebih utama), dan tidaklah dihukumkan sebagai haram atau makruh.

Semoga pencerahan ini memberikan kita kefahaman dalam agama kita terutamanya dalam isu-isu yang menjadi pakaian harian kita. Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ أَرِنَا الْحَقَّ حَقًّا، وَارْزُقْنَا اتِّبَاعَهُ، وَأَرِنَا الْبَاطِلَ بَاطِلًا، وَارْزُقْنَا اجْتنِاَبَهُ، وَلَا تَجْعَلْهُ مُلْتَبِسًا عَلَيْنَا فَنَضِلَّ، وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا
"Ya Allah, tunjukkanlah kepada kami kebenaran itu sebagai kebenaran, dan rezekikanlah kepada kami untuk mengikutinya. Dan tunjukkanlah kepada kami kebatilan itu sebagai kebatilan dan rezekikanlah kepada kami untuk menjauhinya, dan jangan jadikannya terkeliru atas kami sehingga kami sesat. Dan jadikanlah kami bagi orang yang bertaqwa sebagai pemimpin."

+ Ustaz Dr. Zulkifli Mohamad Al Bakri | Mufti Wilayah Persekutuan
+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media