Saturday, September 29, 2018

Oh! Media

Oh! Media


PASKAL Kutip RM2 Juta Pada Hari Pertama Tayangan

Posted: 28 Sep 2018 02:20 AM PDT


Filem aksi bertemakan ketenteraan Malaysia yang diambil dari kejadian sebenar iaitu PASKAL The Movie telah mencatatkan rekod tersendiri apabila berjaya mencatatkan rekod kutipan RM2 juta pada hari pertama tayangan semalam.

Berita gembira itu dikongsikan sendiri pelakon utamanya, Hairul Azreen di akaun Instagram miliknya.

"Alhamdulillah, kutipan tayangan hari pembukaan RM2 juta! Terima kasih pada semua penyokong Paskal The Movie. The Best Never Rest," tulisnya di Instagram beserta tanda pagar This Is Alpha Leader.

Filem Paskal mengangkat kisah perjuangan anggota elit, Pasukan Khas Laut (Paskal), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

Gaji Pengarah Akademi Mokhtar Dahari RM175,000 Sebulan

Posted: 28 Sep 2018 02:09 AM PDT


Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, menyifatkan gaji yang diberikan kepada Pengarah Akademi Mokhtar Dahari (AMD), Lim Teong Kim berjumlah RM175,000 sebulan dengan pengecualian cukai, perlu dinilai semula.

Justeru, katanya, Teong Kim, selaku ketua jurulatih skuad bola sepak negara bawah 16 tahun (B-16), perlu bertanggungjawab terhadap kegagalan skuad kendaliannya mara ke Piala Dunia B-17 di Peru, tahun depan.

Skuad B-16 yang dibentuk menerusi Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP) gagal melepasi saingan peringkat Kumpulan A apabila tewas 2-0 kepada Jepun pada Kejuaraan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) B-16 di Stadium Nasional, Bukit Jalil, hari ini.

"Saya dimaklumkan bahawa pakej gaji beliau setiap bulan mencecah RM175,000 yang dibiayai sepenuhnya oleh MSN (Majlis Sukan Negara)...kontrak beliau dan pengurusan tertinggi NFDP juga perlu dilihat semula," katanya pada sidang media di pejabatnya di sini hari ini.

Menurutnya, Teong Kim seharusnya bertanggungjawab dengan kekalahan itu kerana beliau sendiri yang menetapkan sasaran layak ke Piala Dunia B-17 pada 2019.

Jumlah Keuntungan Astro Hilang 93% Berbanding Tahun Lalu

Posted: 28 Sep 2018 12:23 AM PDT


Kita memang sudah dapat melihat bahawa Astro sudah mula mengalami penurunan dari segi langganan dan penerimaan pengguna.

Syarikat yang menawarkan penyiaran berbayar ini telah mengalami kejatuhan keuntungan sebanyak 93% menurut laporan kewangan suku tahun kedua.

Difahamkan keuntungan Astro mulai jatuh sebaik tamatnya kempen Piala Dunia 2018. Penurunan kadar untung ini turut dikaitkan dengan matawang Ringgit yang sedikit lemah.

Untuk perbandingan, Astro berjaya mencatat jumlah keuntungan sebanyak RM246.3 juta pada suku tahun kedua tahun lalu sebelum jatuh 93% pada tahun ini dengan jumlah keuntungan sebanyak RM16.58 juta sahaja.


Kerajaan Sedang Mengatur Pelbagai Inisiatif Kurangkan Beban Sara Hidup

Posted: 27 Sep 2018 11:50 PM PDT


Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, mesyuarat hari ini mengambil maklum mengenai beberapa cadangan dikemukakan kementerian membabitkan perumahan dan pengangkutan awam.

Majlis Tindakan Sara Hidup Negara akan terus memainkan peranan dengan melaksanakan pelbagai dasar dan inisiatif baru bagi mengurangkan beban dan keresahan yang dihadapi rakyat.

Beliau berkata, Majlis Tindakan Sara Hidup Negara turut menerima cadangan oleh Kementerian Pengangkutan bagi melaksanakan pas bulanan perjalanan tanpa had Rapid Rail dan Rapis Bus (RRRB) bersepadu dan diskaun untuk perkhidmatan KTM Komuter.

Wan Azizah berkata, mesyuarat juga mengesyorkan untuk mengkaji inisiatif bagi mengurangkan penggunaan gula dalam makanan siap proses, termasuk menurunkan import bahan mentah gula dalam jangka masa panjang.

Saleem Ditidurkan Semula Untuk Cepat Pulih

Posted: 27 Sep 2018 11:14 PM PDT


Penyanyi Saleem Abdul Majid, masih berada dalam keadaan koma, selepas terlibat dalam kemalangan jalan raya pada Khamis lalu. Menurut isterinya, Julia Bachok, suaminya itu sebenarnya sudah sedarkan diri, namun terpaksa ditidurkan bagi membolehkan kecederaan pada paru-paru kanannya pulih selain mengurangkan kesakitan yang terpaksa ditanggung sekiranya dia berada dalam keadaan sedar.

Ketika ini, Saleem masih ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU), Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM), Cheras.

Doa Yang Dituntut Ketika Bermusafir

Posted: 27 Sep 2018 05:47 PM PDT


Sebelum musafir, bacalah doa seperti yang dibacakan oleh Rasulullah shallallahu 'alahi wasallam: "Ya Allah, aku berlindung dengan-Mu supaya aku tidak sesat atau disesatkan, aku menyeleweng atau diselewengkan, berbuat aniaya atau dianiayakan, bodoh atau diperbodohkan ke atas diriku." (Sunan Abu Daud)

Ketika berada di atas kenderaan dan sebelum memulakan perjalanan, maka bacalah: "Dengan nama Allah, segala puji bagi Allah, Maha Suci Tuhan yang telah mempermudah kenderaan ini untuk kami, sedang kami sebelum ini tidak terdaya menguasainya. Sesungguhnya kepada Tuhan kamilah kami akan kembali." (Sahih Muslim)

Apabila sudah mula bergerak keluar dari tempat tinggal, bacalah: "Allah Maha Besar, Allah Maha Besar, Allah Maha Besar. Ya Allah, kami memohon kepada-Mu dalam perjalanan kami ini kebaikan, ketaqwaan dan amalan yang Engkau redhai. Ya Allah, permudahkanlah perjalanan kami ini dan pendekkanlah jaraknya. Ya Allah, Engkaulah teman dalam permusafiran dan pemelihara bagi ahli keluarga (yang ditinggalkan). Ya Allah, aku bermohon perlindungan-Mu daripada kesulitan perjalanan, pandangan yang menyedihkan dan sebarang kejahatan yang boleh menimpa harta dan ahli keluarga." (Sahih Muslim)


Ketika memasuki bandar atau kampung yang dituju, bacalah: "Ya Allah, Tuhan tujuh petala langit dan segala yang dinaunginya dan tujuh lapis bumi dan segala yang berada di atasnya, Tuhan menguasai syaitan-syaitan dan segala yang mereka sesatkan, Tuhan yang menguasai angin dan segala yang diterbangkannya. Aku bermohon kepada-Mu kebaikan tempat (bandar atau kampung) ini, penduduknya dan segala yang berada di dalamnya. Aku berlindung dengan-Mu daripada kejahatan tempat (bandar atau kampung) ini, penduduknya dan segala yang berada di dalamnya." (Mustadrak Al-Hakim)

Perlihatkan Kekuatan-Mu Kepadanya!

Posted: 27 Sep 2018 05:39 PM PDT


Suatu pagi, seorang lelaki pergi memburu mencari rezeki yang halal. Namun, sudah hampir malam, dia belum mendapatkan satu pun binatang buruan. Lalu dia berdoa sepenuh hati: "Ya Allah, anak-anakku menunggu dengan kelaparan di rumah, berilah aku seekor binatang buruan."

Tidak lama setelah berdoa, Allah memberikannya rezeki, jala yang dibawa pemburu itu mengenai seekor ikan yang sangat besar. Dia pun bersyukur kepada Allah dan pulang ke rumah dengan penuh bahagia dan gembira. Di tengah perjalanan pulang, dia bertemu dengan kelompok raja yang hendak berburu juga. Raja hairan dan takjub luar biasa apabila melihat ikan sebegitu besar yang dibawa pemburu itu. Lalu, dia menyuruh pengawal untuk mengambil ikan itu secara paksa dari tangan pemburu itu.

Dibawanya ikan itu pulang dengan bahagia. Ketika sampai di istana, Raja menyuruh pembantunya mengeluarkan ikan itu sambil ketawa ria. Tiba-tiba, ikan itu menggigit jari Raja dan mengakibatkan badannya jadi panas dan dingin sehinggakan malam itu Raja tidak dapat tidur. Dikumpulkan seluruh doktor untuk mengubati sakitnya. Semua doktor menyarankan agar jarinya itu dipotong untuk mengelakkan tersebarnya racun ke anggota badan lainnya. Raja pun bersetuju dengan nasihat mereka. Namun, setelah jarinya dipotong, Raja tetap tidak dapat rehat kerana racun itu semakin menular ke bahagian tangannya.

Para doktor pun menyarankan agar pergelangan tangan raja dipotong dan Raja pun menyetujuinya. Namun, setelah pergelangan tangannya dipotong, Raja masih lagi tidak dapat memejamkan matanya, bahkan rasa sakitnya makin bertambah. Raja berteriak dan menangis dengan kuat kerana racun itu telah merasuk dan menyebar ke anggota tubuh lainnya. Seluruh doktor akhirnya menyarankan agar tangan Raja sampai siku dipotong, Raja pun menyetujuinya. Setelah lengannya dipotong, sakit jasmaninya kini telah hilang, tetapi diri dan jiwanya tetap belum tenang. Akhirnya doktor menyarankan agar Raja dibawa ke seorang doktor jiwa (ahli hikmah).

Dibawalah Raja menemui seorang doktor jiwa dan diceritakan seluruh kejadian mengenai ikan yang dirampas dari pemburu itu. Mendengar itu, ahli hikmah berkata: "Jiwa Tuan tetap tidak akan tenang selamanya sehinggalah pemburu itu memaafkan dosa dan kesalahan yang telah Tuan lakukan."

Dicarinya pemburu itu dan setelah didapatkan, Raja menceritakan kejadian yang dialaminya dan Raja memohon agar si pemburu itu memaafkan semua kesalahannya. Si Pemburu pun memaafkannya. Raja sangat ingin mengetahui apa yang dikatakan si Pemburu ketika Raja merampas ikannya dahulu, maka Raja bertanya: "Wahai pemburu, apa yang kau katakan ketika panglimaku merampas ikanmu itu?"


Pemburu itu menjawab: "Tidak ada lain kecuali aku hanya mengatakan, 'Ya Allah, sesungguhnya dia telah menampakkan kekuatannya kepadaku, maka perlihatkanlah kekuatan-Mu kepadanya'."

+ Kisah-kisah Teladan