Saturday, December 15, 2018

Oh! Media

Oh! Media


Skuad Harimau Malaya Dinasihatkan Agar Tidak Buat Kesilapan Esok

Posted: 14 Dec 2018 05:08 AM PST


Ketua Jurulatih pasukan Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe melihat aksi final kedua yang akan berlangsung esok di Stadium My Dinh jelas menunjukkan tugas berat menanti anak buah Cheng Hoe yang turut perlu mencari sekurang-kurangnya dua jaringan di Hanoi serta bolos tidak melebihi dua jaringan sekiranya gagal mencapai kemenangan dalam 90 minit masa permainan pada perlawanan malam esok.

Pada sidang media pra-perlawanan hari ini, Cheng Hoe yang berbaju kelabu kelihatan tenang dan tidak panik dalam menjawab satu per satu soalan daripada media Vietnam dan Malaysia serta menyuarakan keyakinan bahawa pemainnya dalam keadaan bersedia jika diturunkan kecuali pertahanan kiri Nazirul Naim Che Hashim yang mengalami kecederaan pangkal peha

"Saya yakin dengan semua pemain, mereka sangat bermotivasi untuk menghadapi perlawanan malam esok.

"Bermain di hadapan penyokong lawan adalah perkara yang sangat berbeza. Namun, kami mempunyai pengalaman bermain di luar negara serta mempunyai keputusan yang baik," katanya pada sidang media berkenaan.

Tan Cheng Hoe turut menggesa barisan pemainnya agar tidak mengulangi kesilapan yang melepaskan gol awal kepada Vietnam seperti yang terjadi dalam dua perlawanan sebelum ini di peringkat kumpulan dan dalam aksi final pertama.

"Kami perlu lebih berhati-hati setiap gerakan serangan yang dimulakan oleh Vietnam.

"Apa yang penting, semua pemain harus "enjoy" dan menikmati suasana perlawanan akhir itu dan bermain dengan tanpa tekanan," katanya.

Malaysia berpeluang merangkul kejuaraan kali kedua Piala AFF Suzuki sekiranya berjaya menundukkan Vietnam, malam esok.

Ustaz Don Daniyal Dipilih Menjadi Ikon CBP

Posted: 14 Dec 2018 04:38 AM PST


Ustaz Don Daniyal Don Biyajid kini telah dilantik sebagai Ikon Co-opbank Pertama, CBP melalui kerjasama mereka bersama KUISCELL Sdn Bhd yang baru sahaja bermula Disember ini.

Don Daniyal atau lebih dikenali sebagai Ustaz Don berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Takhassus Qiraat dari Maahad Qiraat Shoubra, Mesir terkenal sebagai pendakwah muda, penceramah dan muncul di program televisyen selain sering mendapatkan respon yang positif dari segenap lapisan masyarakat di Malaysia.

CBP dalam kenyataannya memaklumkan, pemilihan Ustaz Don sebagai ikon CBP bertepatan dengan hasrat CBP dalam meningkatkan capaian segmen pelanggan baharu CBP.

Menurutnya, di samping itu ia sebagai usaha mempertingkatkan imej CBP sebagai sebuah co-opbank syariah terunggul di Malaysia.


"Sebagai ikon CBP, beliau bakal menyertai kempen dan program yang dianjurkan oleh CBP di seluruh negara bagi mempromosikan produk-produk kewangan berlandaskan syariah yang ditawarkan kepada orang ramai.

"CBP sedang menjalankan promosi keanggotaannya di seluruh negara melalui Kempen labur dan maju bersama CBP dengan tawaran hadiah menarik yang bernilai lebih RM50,000 untuk dimenangi sehingga 31 Disember 2018," katanya CBP.

+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media.

Tan Sri Zainuddin Maidin Meninggal Dunia

Posted: 14 Dec 2018 04:39 AM PST


Bekas Menteri Penerangan, Tan Sri Zainuddin Maidin disahkan meninggal dunia pada jam 6.25 petang semalam.

Perkara itu disahkan adiknya, Abdul Lazam Maidin sewaktu dihubungi. Menurut laporan FMT, Zainuddin disahkan meninggal dunia di Hospital Serdang akibat paru-paru berair.

Tokoh Wartawan itu sebelum ini pernah dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Putrajaya akibat masalah paru-paru berair.

Beliau juga bergiat cergas dalam beberapa pertubuhan kewartawanan dan pernah menjadi Presiden Kesatuan Wartawan Kebangsaan Malaysia (NUJ) dan Presiden Kelab Kebangsaan Wartawan Malaysia.

Sebagai mengenang jasa dan sumbangan beliau kepada negara, Zainuddin telah dianugerahkan beberapa darjah kebesaran.

Semoga roh beliau dicucuri rahmat. Al-Fatihah…

Sumber: Sinar

+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media.

Apa Sudah Jadi? Enam Ahli Parlimen UMNO Keluar Parti

Posted: 14 Dec 2018 04:39 AM PST


Enam lagi Ahli Parlimen UMNO mengumumkan keluar parti berkuat kuasa hari ini.

Mereka ialah Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Datuk Rosol Wahid; Ahli Parlimen Mersing, Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad dan Ahli Parlimen Tasik Gelugor, Datuk Shabudin Yahaya.

Ahli Parlimen Larut, Datuk Seri Hamzah Zainudin; Ahli Parlimen Sabak Bernam, Datuk Mohamad Fasiah Mohd Fakeh dan Ahli Parlimen Tanah Merah, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz.

Perkembangan terbaru ini menyebabkan Umno kini memiliki 38 kerusi parlimen berbanding 54 yang dimenangi PRU lalu.

+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media.

Seramai 345 Penyokong Tegar Harimau Malaya Terbang Ke Hanoi

Posted: 14 Dec 2018 02:49 AM PST


AirAsia hari ini telah meneruskan kesinambungan menghadapi kehangatan Final Piala AFF Suzuki di antara Malaysia menentang Vietnam dengan memberikan penerbangan khas buat penyokong Harimau Malaya ke Hanoi.

AirAsia mengambil inisiatif bagi membolehkan penyokong tegar negara, Ultras Malaya 'menggegar' Stadium My Dinh Hanoi malam esok agar pemain ke-12 negara dapat terus memberikan suntikan semangat bagi menghadapi Naga Emas.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia (Perniagaan Penerbangan), Bo Lingam berkata, "Inisiatif ini berdasarkan semangat kepada pasukan negara dan kami membantu mereka melontarkan sokongan memandangkan kita memiliki sumber yang boleh digunakan.

"AirAsia dan sukan sememangnya tidak dipisahkan jadi atas dasar ini juga kita gembira untuk memberi peluang ini khususnya kepada penyokong di belakang tabir yang tidak pernah berhenti memberi sokongan kepada pasukan kebangsaan," katanya ketika ditemui selepas Majlis Pelepasan Penerbangan Khas Ultras Malaya bersama AirAsia di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2), hari ini.

Untuk rekod, penerbangan khas kali ini menerbangkan seramai 345 penyokong tegar Harimau Malaya.

+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media.





Petugas Viral Campak Air Zam-Zam Digantung Tugas

Posted: 14 Dec 2018 02:50 AM PST


Baru-baru ini telah tersebar satu video yang menunjukkan seorang petugas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) menguruskan bagasi penumpang dipercayai air zam-zam secara kasar.

Kesan dari video itu, ia telah menaikkan kemarahan netizen dan ia tidak sepatutnya dilakukan sebegitu walau apa alasan sekalipun.

Walaubagaimanapun, satu kenyataan media telah dibuat dan Pos Malaysia telah mengesahkan bahawa petugas yang terlibat dalam insiden berkenaan merupakan stafnya daripada Pos Aviation.

"Siasatan awal mendapati bahawa punca utama insiden tersebut adalah disebabkan kesesakkan teruk di bahagian karusel bagasi dan perlakuan tersebut sebenarnya dibuat bagi mempercepatkan proses muat turun kotak tersebut," kata Pos Malaysia.

Bagaimanapun, Pos Malaysia memaklumkan bahawa stafnya yang terlibat dalam insiden berkenaan sudahpun digantung tugas yang tidak dinyatakan tempohnya.

"Kami amat mengambil berat tentang pengendalian barangan pelanggan dan tindakan susulan akan diambil setelah siasatan selesai dijalankan.

"Pos Aviation bertekad untuk memastikan kualiti perkhidmatan kami berada di tahap tertinggi dari segi kerja, etika profesional dan khidmat pelanggan yang dituntut dalam industri," kata kenyataan itu lagi.

Pos Malaysia turut memohon maaf kepada semua pihak yang terjejas akibat insiden terpencil tersebut.


+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media.

Kekurangan Bekalan Menjadi Alasan Harga Telur Terus Meningkat

Posted: 14 Dec 2018 02:51 AM PST


Eksport ke negara jiran secara berlebihan menyebabkan bekalan telur ayam berkurangan menjadi punca harga dinaikkan setiap minggu sehingga mencecah 43 sen hingga 46 sen sebiji bersamaan RM13 hingga RM13.80 sepapan untuk gred A.

Pekerja pasar mini di Kluang yang hanya dikenali Latif, 30, berkata, alasan itu digunakan pembekal setiap kali menghantar bekalan telur ke kedainya setiap minggu menyebabkan pihaknya tiada pilihan sehingga terpaksa menaikkan harga jualan.

"Minggu lepas, harga telur ayam dapat dijual sekitar RM12.90 hingga RM13.50 untuk 30 biji (satu papan), tetapi pada minggu ini harganya semakin naik di antara satu atau dua sen sebiji dan alasan diberikan adalah sama iaitu tidak cukup bekalan.

"Kenaikan ini tidak terhad kepada telur ayam gred A semata-mata, malah turut melibatkan gred B hingga D dengar kadar yang hampir sama menyebabkan ada kedai hanya menjual gred A sahaja," katanya kepada Sinar Harian.

Kesan dari itu, ramai peruncit kecil tidak dapat menjual kerana terpaksa menjual dengan harga yang agak tinggi dan ia menyebabkan pengguna akan memilih untuk membeli di pasaraya kerana ia jauh lebih murah walaupun masih menghadapi sedikit kenaikan.

Sementara itu, Pengurus Operasi Pasaraya Econsave Wilayah Selatan, Mas Imran Adam ketika dihubungi berkata, pihaknya masih mengekalkan harga jualan telur pada kadar RM12.20 sepapan berbanding RM11.60 sebelum ini.

+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media.

Malaysia Tersenarai Tempat Ke-3 Terbaik Asia Pasifik Bagi Perkhidmatan Kereta Api

Posted: 14 Dec 2018 02:51 AM PST


Perkhidmatan pengangkutan awam iaitu kereta api Malaysia berada di tangga ke-3 terbaik Asia Pasifik dan berjaya mengalahkan 7 buah negara lain termasuk Indonesia.

Malaysia yang berjaya mengutip 5.2 mata itu berada di bawah Jepun yang mengutip 6.6 mata dan Korea Selatan yang mengutip 5.9 mata.

Data yang dikumpul melalui kaedah kaji selidik ini dikeluarkan oleh World Economic Forum (WEF) telah mengambil kira empat aspek iaitu kekerapan, ketepatan masa, kelajuan kereta api dan harga tiket dengan skor 1 (yang paling buruk) dan 7 (paling terbaik).


Oleh itu, tidak sia-sialah usaha pihak kerajaan yang menyediakan pelbagai jenis kemudahan perkhidmatan kereta api seperti monorail, LRT, MRT, KLIA Ekspress, komuter dan ETS setelah dinobatkan sebagai 3 terbaik di Asia Pasifik.

Namun begitu, mutu perkhidmatan ini perlulah dikekalkan dan ditambah baik lagi supaya Malaysia akan terus ke depan seiring dengan negara-negara maju yang lain.

+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media.

Malaysia Disaran Lakukan Solat Hajat Untuk Etnik Islam Uighur China

Posted: 14 Dec 2018 02:52 AM PST


Pas mengajak umat Islam di Malaysia melakukan solat hajat selepas Solat Jumaat hari ini bagi memohon bantuan ALLAH menyelamatkan umat Islam Uighur di China dan seluruh dunia amnya.

Ketua Penerangan Pas, Nasruddin Hassan berkata, pemimpin negara China melancarkan dakyah propaganda 'membanteras keganasan' untuk menghukum umat Islam Uighur di Xinjiang, China.

"Jumlah populasi umat Islam Uighur menjangkau 10 juta orang berbanding 22 juta rakyat di Xinjiang. Mereka etnik minoriti Cina berbahasa 'Turkic' (lebih hampir dengan Uzbekistan).

"Segelintir penganalisis geopolitik merujuk Xinjiang sebagai negara Turkistan Timur.

"Laporan PBB juga mendedahkan kira-kira sejuta umat Islam Uighur telah ditahan di sebuah kem tahanan rahsia dan masjid-masjid di Xinjiang telah dimusnahkan, katanya

Tambahnya, satu laporan disiarkan oleh Wisconsin Muslim Journal mendakwa kem tahanan umat Islam Uighur disifatkan sebagai 'horrific sites where fear and physical violence, pyschological trauma and emotional abuse are all available tool'.

"Tidak sekadar itu, mereka juga dianggap sebagai pesakit mental, dipaksa murtad dan didoktrin dengan ideologi komunis.

"Lanjutan itu, Pas mengajak seluruh umat Islam di Malaysia bermunajat dan melakukan solat hajat esok selepas Solat Jumaat di seluruh negara.

"Ia untuk memohon bantuan ALLAH bagi menyelamatkan umat Islam Uighur di China khususnya dan di seluruh dunia amnya," ujarnya.

+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media.

Info Banjir Terengganu - 950 Orang Mangsa Banjir Setakat Ini

Posted: 13 Dec 2018 06:02 PM PST


Mangsa banjir di Terengganu terus meningkat kepada 950 orang daripada 327 keluarga setakat jam 11 malam ini, berbanding 749 mangsa daripada 258 keluarga, jam 6 petang tadi.

Ketua Sekretariat Jabatan Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Terengganu, Leftenan Kolonel (PA) Che Adam A Rahman, berkata jumlah paling ramai dicatatkan di Hulu Terengganu membabitkan 645 orang daripada 257 keluarga yang ditempatkan di 10 PPS berbanding 479 orang daripada 194 keluarga jam 6 petang tadi.

"Jalan yang ditutup kepada semua kenderaan adalah di Hulu Terengganu membabitkan Jalan Simpang Gaung - Simpang Sungai Tong di Kampung Kepoh dan Kampung Kuala Ping serta Jalan Bukit Diman - Tersat (Kampung Pengkalan Ajal).

"Di Setiu membabitkan Jalan Permaisuri/Hulu Seladang (Kampung Besut), Jalang Pengkalan Merbau/Pelong (Kampung Seri Kenangan) dan Jalan Kampung Bukit/Alor Lik (Kampung Bukit) manakala di Kemaman pula di Teladas Air Putih (Jambatan Lama Teladas)," katanya.

Menurutnya, jalan yang ditutup kepada kenderaan ringan pula membabitkan Jalan Simpang Gaung - Simpang Sungai Tong (Kampung Matang), Jalan Matang/Nibong/Kuala Telemong (Kampung Matang) dan Jalan Batu 24/Pengkalan Ajal (Kampung Pasir Pelata) di Hulu Terengganu.

"Di Kemaman pula membabitkan Jalan Felda Neram 2 (Ladang Sawit), dua seksyen di Jalan Pelantoh (Kampung Tebak) dan Jalan Ibok (Darat Ibok)," katanya.

Lalat: Penyakit dan Penawar di Sayapnya

Posted: 13 Dec 2018 04:26 PM PST


Soalan:
Apakah hukum minuman yang dimasuki lalat?

Jawapan:
Lalat adalah satu makhluk istimewa yang diciptakan oleh Allah SWT. Lalat merupakan sejenis serangga yang boleh terbang. Lalat makan dengan memuntahkan air liurnya keluar dan menyerap kembali makanan yang separuh hadam masuk kedalam perutnya melalui belalainya. Ini kerana, jika lalat bukanlah makhluk yang mulia, mana mungkin ia disebut di dalam al-Quran kerana al-Quran adalah mulia dan sudah tentu setiap yang difirmankan bersifat dengan sifat yang mulia juga. Berikut adalah firman Allah SWT berkaitan lalat di dalam al-Qur'an:

يَا أَيُّهَا النَّاسُ ضُرِبَ مَثَلٌ فَاسْتَمِعُوا لَهُ ۚ إِنَّ الَّذِينَ تَدْعُونَ مِن دُونِ اللَّـهِ لَن يَخْلُقُوا ذُبَابًا وَلَوِ اجْتَمَعُوا لَهُ ۖ وَإِن يَسْلُبْهُمُ الذُّبَابُ شَيْئًا لَّا يَسْتَنقِذُوهُ مِنْهُ ۚ ضَعُفَ الطَّالِبُ وَالْمَطْلُوبُ
"Wahai manusia, diberikan satu contoh perbandingan, maka dengarlah mengenainya dengan bersungguh-sungguh. Sebenarnya mereka yang kamu seru dan sembah, yang lain daripada Allah, tidak sesekali akan dapat mencipta seekor lalat walaupun mereka berhimpun beramai-ramai untuk membuatnya. Dan jika lalat itu mengambil sesuatu daripada mereka, nescaya mereka tidak dapat mengambilnya kembali daripadanya (kedua-duanya lemah belaka). Lemah yang meminta (daripada mendapat hajatnya) dan lemah juga yang diminta (daripada menunaikannya)." [al-Haj:75]

Matan Hadith

Matan hadith yang menceritakan berkaitan minuman yang dimasuki lalat adalah, daripada Abu Hurairah RA, beliau mendengar bahawa Nabi SAW bersabda:

إِذَا وَقَعَ الذُّبَابُ فِي شَرَابِ أَحَدِكُمْ فَلْيَغْمِسْهُ ثُمَّ لِيَنْزِعْهُ، فَإِنَّ فِي إِحْدَى جَنَاحَيْهِ دَاءً وَالأُخْرَى شِفَاءً
"Apabila lalat termasuk ke dalam minuman salah seorang daripada kamu, maka rendamkanlah ia (lalat) kemudian buangnya. Ini kerana, salah satu daripada sayapnya adalah penyakit dan sebelah lagi adalah penawar." [Riwayat al-Bukhari (3320)]

Daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:

إِذَا وَقَعَ الذُّبَابُ فِي إِنَاءِ أَحَدِكُمْ فَلْيَغْمِسْهُ كُلَّهُ، ثُمَّ لِيَطْرَحْهُ، فَإِنَّ فِي أَحَدِ جَنَاحَيْهِ شِفَاءً، وَفِي الآخَرِ دَاءً
"Apabila lalat termasuk ke dalam bekas salah seorang daripada kamu, maka rendamkanlah kesemuanya (lalat) kemudian buanglah ia. Ini kerana, salah satu daripada sayapnya adalah penawar dan sebelah lagi adalah penyakit." [Riwayat al-Bukhari (5782)]

Makna Hadith

Menurut para ulama', lalat tidak termasuk di dalam perkara yang najis. Ini kerana, telah ijma' ahli ilmu bahawa setiap yang tidak berdarah itu apabila terjatuh di dalam minuman atau makanan tidak menjadi najis. Walaupun begitu, terdapat juga sebahagian ulama' yang mengatakan sebaliknya.

Tambahan pula, walaupun di dalam hadith menyebut minuman tetapi yang dimaksudkan adalah lebih umum iaitu termasuk juga makanan. Berdasarkan matan hadith di atas, suruhan merendam lalat ke dalam minuman atau makanan adalah wajib apabila dilihat secara zahirnya. Ini kerana. hal ini merupakan arahan atau wahyu daripada Allah SWT kepada Nabi-Nya. Jika kita katakan bahawa lalat itu najis, sudah tentu Nabi SAW tidak akan meminta kita untuk merendamnya ke dalam makanan atau minuman kita. Ini juga menunjukkan bahawa setiap perkara yang dilakukan itu kadang-kadang ia tidak boleh difikir atau diterima oleh akal manusia. Akan tetapi, ini adalah wahyu daripada Allah SWT dan akal tidak layak untuk mempertikaikan apa yang dikehendaki oleh-Nya. Daripada sini kita memahami bahawa setiap apa yang diucapkan, dilakukan dan diikrar oleh Nabi SAW adalah syariat dan agama melainkan apa yang menunjukkan bahawa ianya adalah adat bukannya syariat.

Fiqh al-Hadith

Antara fiqh al-Hadith yang boleh difahami daripada hadith di atas: [Lihat: Taudhih al-Ahkam, 148/1]

  1. Lalat ini suci ketika ia hidup dan mati dan ia juga tidak najis jika terjatuh ke dalam sesuatu yang berair (cecair) atau keras.
  2. Digalakkan merendam keseluruhannya di dalam sesuatu yang berair (cecair) dan kemudian dikeluarkannya berdasarkan nas hadith di atas.
  3. Pada hadith tersebut terdapat I'jaz Ilmi (إعجاز العلمي) kerana ilmu moden telah membuktikan bahawa wujudnya penyakit di salah satu daripada sayap lalat dan wujud juga penawar di sebelah lagi sayap yang lain.
  4. Para ulama' mengqiyaskan kesucian lalat dengan setiap nyawa yang mengalir (darah) daripada serangga hukumnya adalah suci. Ia juga tidak menjadi najis apabila ia terjatuh ke dalam makanan dan minuman samada ia sedikit atau banyak. Ini kerana, sebab najisnya sesuatu itu adalah darah yang terkurung di dalam haiwan selepas kematiannya. Oleh itu, sebab ini tidak wujud pada lalat atau lebah maka ia dihukum suci oleh para ulama'.

Pendapat

Setelah melihat perbahasan berkaitan hadith di atas, kami ingin merumuskannya dengan beberapa noktah:

  • Hadith tersebut adalah sahih kerana ia terdapat di dalam sahih al-Bukhari iaitu kitab yang paling sahih selepas daripada al-Qur'an secara ijma' umat Islam. Untuk itu, kita tidak boleh sewenang-wenangnya menolak hadith tersebut.
  • Hadith ini juga terkandung di dalamnya I'jaz al-Nabawi (إعجاز النبوي) atau Irsyad al-Nabawi (إرشاد النبوي) iaitu petunjuk daripada Nabi SAW.
  • Ilmu Sains juga telah membuktikan bahawa pada sebelah sayap lalat itu terkandung penyakit atau kuman (bakteria) dan sebelah lagi merupakan penawar bagi penyakit tersebut.
  • Lalat merupakan serangga yang tidak najis. Ini berdasarkan pendapat para ulama' bahawa setiap nyawa yang tidak mempunyai darah hukumnya adalah tidak najis.
  • Di dalam hadith ini, Nabi SAW memerintahkan kita untuk merendam lalat apabila masuk ke dalam minuman atau bekas kita.
  • Berdasarkan huruf fa' (ف) pada perkataan "فَلْيَغْمِسْه", kita memahami bahawa Nabi SAW memerintahkan kita agar bersegera merendam lalat ke dalam minuman atau makanan. Untuk itu, Nabi SAW tidak menggunakan perkataan thumma (ثُمَّ) dalam hadith tersebut.
  • Perbuatan merendam lalat adalah mustahab atau sunnah berdasarkan nas hadith di atas dan juga petunjuk daripada Nabi SAW.

Penutup

Kesimpulannya, walaupun secara zahirnya hadith ini dilihat tidak bersesuaian dengan fitrah manusia yang suka pada kebersihan dan lalat pula tabiaatnya adalah di tempat-tempat yang kotor. Namun Allah SWT lebih mengetahui apa yang terbaik untuk hamba-hamba-Nya kerana Dia yang menciptakan kita dan juga makhluk-makhluk yang lain. Nabi SAW hanyalah utusan daripada Allah SWT bagi menyampaikan risalah ini kepada kita. Akhirnya, semoga Allah SWT mengurniakan kita kekuatan dalam mengikuti sunnah-sunnah Nabi SAW dalam kehidupan seharian kita. Amin.

Wallahua'lam.

+ Mufti Wilayah Persekutuan

Kewafatan Imam al-Syafi’e

Posted: 13 Dec 2018 04:03 PM PST


Soalan:
Boleh jelaskan tentang saat kematian Imam al-Syafi'e?

Jawapan:
Imam al-Syafi'e atau nama penuhnya Muhammad bin Idris bin al-Abbas bin Uthman bin Syafie bin Ubaid bin Abdu Yazid bin Hasyim bin al-Muttalib bin Abdi Manaf lahir di sebuah tempat bernama Ghazzah di kota 'Asqalan. Ketika umurnya dua tahun, beliau dibawa oleh ibunya ke Hijaz dan hidup bersama orang-orang keturunan Yaman disebabkan ibunya adalah daripada suku Azdiyah. Apabila umurnya mencecah 10 tahun, ibunya membawanya ke Mekah kerana khuatir nasabnya yang mulia akan lenyap. [Lihat Manaqib al-Syafi'e oleh Imam al-Baihaqi, 1/472 dan Tawali al-Ta'sis li Ma'ali Muhammad ibn Idris, hlm. 51]

Kewafatan Imam Al-Syafie

Sifat Imam al-Syafi'e yang begitu tekun dengan ilmu pengetahuan menjadikan dirinya kurang rehat dan menghidap penyakit yang berat. Muhammad bin Abdullah bin Abdul Hakam menceritakan keadaan Imam al-Syafie yang menderita kesakitan: "Al-Syafie menderita penyakit buasir yang sangat parah dan membimbangkan. Dia menyedari, sakitnya itu kerana kurang penjagaan dan tidak mempedulikan pantang-larang."

Imam al-Muzani berkata, beliau masuk menemui Imam al-Syafie Rahimahullah ketika sakit yang membawa kematiannya seraya bertanya: "Bagaimana keadaanmu tuan guru?"

Lantas beliau menjawab:

أصبحت من الدنيا راحلاً، وللإخوان مفارقا، وعلى الله وَارِداً، وبكأس المنية شاربا، ولسوء أعمالي ملاقيا، فلا أدري نفسي إلى الجنة تصير فأهنّيها، أو إلى النار فأعزيها
Keadaanku pada pagi ini dari dunia akan berkelana, dari sahabat-sahabat akan berpisah, kepada Allah aku akan menemui, segelas kematian akan kuhirup dan buruk amalanku akan ku tempuhi. Aku tidak tahu adakah diriku menuju ke syurga, maka aku ucapkan tahniahnya atau ke neraka maka aku ucapkan takziahnya. [Lihat Manaqib al-Syafi'e oleh Imam al-Baihaqi, 2/294]

Kemudian, Imam al-Syafi'e menangis dan mengalunkan sya'ir seperti berikut:

وَلَمّا قَسا قَلبي وَضاقَت مَذاهِبي          جَعَلتُ الرَجا مِنّي لِعَفوِكَ سُلَّما
تَعاظَمَني ذَنبي فَلَمّا قَرَنتُهُ                بِعَفوِكَ رَبّي كانَ عَفوُكَ أَعظَما
فَما زِلتَ ذا عَفوٍ عَنِ الذَنبِ            لَم تَزَل تَجودُ وَتَعفو مِنَّةً وَتَكَرُّما

Tatkala kerasnya hatiku dan sempitnya jalan-jalanku
Aku jadikan harapanku untuk ampun-Mu sebagai tangga
Maka besarlah dosaku tapi tatkala aku bandingkannya
Dengan ampun-Mu Tuhanku, adalah ampun-Mu itu lebih besar
Maka sentiasalah Kamu ampunkan dosa
Dan sentiasalah-Mu Pemurah, Pengampun, kurniaan dan kemuliaan

Imam al-Syafie Rahimahullah meninggal dunia di Mesir pada hari Khamis, awal bulan Sya'ban tahun 204 H dalam usia sekitar 54 tahun. [Lihat Siyar A'lam al-Nubala', 10/76]

Beliau menghembuskan nafasnya yang terakhir di sisi muridnya yang setia, iaitu Imam al-Rabi' bin Sulaiman al-Muradi Rahimahullah. Beliau meninggal dunia di kediaman Abdullah bin Abdul Hakam dan meninggalkan wasiat terakhir kepada Abdullah bin Abdul Hakam.

Jenazah Imam al-Syafie dikebumikan pada hari Jumaat selepas Asar pada keesokan harinya. Anak-anak Abdul Hakam mengebumikannya di tanah perkuburan mereka, iaitu di sebelah Barat al-Khandak. Di sekelilingnya ialah kubur-kubur anak Zahrah. Yakut berkata: "Kuburnya sangat masyhur di sana sebagai dalil bagi kebenarannya."

Selepas Imam al-Syafie Meninggal Dunia

Ibn Farhun menceritakan di dalam kitab al-Dibaj al-Mazhab bahawa sekumpulan manusia duduk di dalam majlis ilmu Imam al-Syafie selepas beliau meninggal dunia. Tiba-tiba, datanglah seorang Arab mengucapkan salam dan bertanya: "Di manakah Imam al-Syafie? Di manakah bulan dan matahari bagi majlis ini? Mereka menjawab kepadanya: "Beliau telah meninggal dunia!"

Lalu orang itu pun menangis dengan kuat dan berkata: "Semoga Allah mengasihaninya dan mengampunkan dosa-dosanya." Katanya lagi: "Beliau adalah pembuka kepada pintu-pintu hujah yang tertutup, juga penutup lawannya dengan hujah yang terang. Beliau juga menyucikan air muka yang hitam. Beliau pembuka pintu fikiran-fikiran yang tertutup rapat. Semoga Allah meredhainya!"

Semoga Allah SWT merahmati Imam al-Syafi'e dan meletakkannya bersama para anbiya', siddiqin, syuhada' dan para solehin. Amin.

+ Mufti Wilayah Persekutuan

Bersedekah Sebelum Mati

Posted: 13 Dec 2018 03:50 PM PST


Al-Quran menyebutkan angan-angan manusia yang suka menunda-nunda amal soleh di dunia sehingga datang kematiannya seandainya diberi kesempatan hidup kembali dirinya akan bersedekah dan menjadi orang soleh. Allah berfirman:

وَأَنْفِقُوا مِنْ مَا رَزَقْنَاكُمْ مِنْ قَبْلِ أَنْ يَأْتِيَ أَحَدَكُمُ الْمَوْتُ فَيَقُولَ رَبِّ لَوْلَا أَخَّرْتَنِي إِلَى أَجَلٍ قَرِيبٍ فَأَصَّدَّقَ وَأَكُنْ مِنَ الصَّالِحِينَ
Dan belanjalah sebagian dari apa yang telah Kami berikan kepadamu sebelum kematian datang kepada salah seorang di antara kamu lalu dia berkata: "Ya Tuhanku, sekiranya Engkau mahu menunda (kematian)ku sedikit waktu lagi maka aku akan bersedekah dan aku akan termasuk orang-orang yang soleh." (Al-Munafiqun: 10)

Kenapa mayat menyebut tentang mahu bersedekah dan tidak pula amal yang lain?

Berkata para ulama: "Tidaklah seorang mayat menyebutkan 'sedekah" kecuali kerana dia melihat besarnya pahala dan balasan baiknya setelah dia meninggal dunia.."

Perkara yang paling menyelamatkan seseorang di akhirat adalah iman. Dan sedekah adalah bukti kebenaran iman. Rasulullah saw bersabda:

والصدقة برهان
"Sedekah adalah bukti." (Hadith Muslim)

Imam Nawawi menjelaskan: "Yakni bukti kebenaran imannya. Oleh kerana itu sedekah dinamakan demikian kerana ia merupakan bukti dari kebenaran imannya."

Sedekah dapat membebaskan pelakunya dari siksa kubur. Rasulullah saw bersabda :

‏إن الصدقة لتطفىء عن أهلها حر القبور
"Sedekah akan memadamkan api siksaan di dalam kubur." (Hadith Tabarani)

Pahala sedekah yang dikeluarkan seseorang akan terus mengalir kepadanya walau ia sudah berada di liang kuburnya. Rasulullah saw bersabda:

"Apabila anak Adam meninggal dunia, maka terputuslah pahala amalnya kecuali tiga perkara; salah satunya, sedekah jariyah." (Hadith Muslim)

Sedekah juga boleh menyelamatkan pelakunya dari jilatan api neraka. Rasulullah saw bersabda :

اتَّقُوا النَّارَ وَلَوْ بِشِقِّ تَمْرَةٍ فَإِنْ لَمْ تَجِدْ فَبِكَلِمَةٍ طَيِّبَةٍ
"Pelihara dirimu dari api neraka walaupun hanya dengan setengah buah kurma, jika tidak ada maka dengan berkata yang baik." (Hadith Bukhari)

Sedekah itu walaupun sedikit merupakan perisai untuk menjauhkan kita dari api neraka. Semakin banyak sedekah, semakin jauh kita darinya.

Sedekah yang dikeluarkan seseorang akan menaunginya di akhirat. Rasulullah saw menceritakan tentang 7 jenis manusia yang mendapat naungan di hari kiamat yang tidak ada naungan lain selain dari naungan Allah di hari itu. Salah satunya adalah:

رجل تصدق بصدقة فأخفاها، حتى لا تعلم شماله ما تنفق يمينه
"Seorang yang bersedekah dengan tangan kanannya, ia menyembunyikan amalnya itu hingga tangan kirinya tidak mengetahui apa yang disedekahkan oleh tangan kanannya." (Hadith Bukhari)

Dalam hadith lain :

كل امرء في ظل صدقته حتى يقضى بين الناس
"Setiap orang berada dibawah naungan sedekahnya hingga diputuskan hukum di antara manusia." (Hadith Hakim)

Marilah kita perbanyakkan bersedekah sebelum kematian datang kepada kita. Wallahu a'lam.

+ Ustaz Azhar Idrus (Original)