Monday, December 3, 2018

Oh! Media

Oh! Media


Kecederaan Organ Dalaman Adib Semakin Baik

Posted: 02 Dec 2018 04:07 AM PST


Kecederaan organ dalaman Muhammad Adib Mohd Kassim, 24, yang parah diserang perusuh di hadapan Kuil Sr Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya, menunjukkan perkembangan yang semakin baik.

Datuk Mohamad Hamdan Wahid, Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), berkata pihak Institut Jantung Negara (IJN) baru sahaja selesai menjalankan proses bronchoscopy iaitu memasukkan kamera melalui mulut untuk melihat keadaan paru-paru Muhammad Adib.

"Proses itu mendapati paru-paru Muhammad Adib semakin baik. Pihak IJN juga memaklumkan tahap oksigen juga memuaskan selain keadaan buah pinggang Adib menunjukkan perkembangan positif.

"Secara keseluruhannya keadaan beliau semakin baik dan kami mendoakannya agar cepat sembuh," katanya lagi.

Walaubagaimanapun, keadaan Muhammad Adib masih dikategorikan sebagai kritikal namun stabil.

 + Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media.

Pencemaran Plastik Ancam Hidupan Laut

Posted: 01 Dec 2018 11:40 PM PST


Bila berbincang soal hidupan laut, tahukah anda banyak hidupan laut yang kini semakin terancam oleh kerana tangan-tangan manusia? Ini kerana, pencemaran plastik di lautan menjadi suatu isu besar yang membahayakan hidupan laut serta kesannya kepada kesihatan manusia.

Pencemaran plastik memang sudah menjadi seperti wabak yang berbahaya kepada hidupan laut dan manusia. Amat sukar untuk melawan pencemaran plastik kerana ia digunakan dalam semua kegunaan harian sebagai perabot, kenderaan dan yang paling aktif penggunaannya berkaitan pembungkusan makanan.

Setiap hari, berjuta-juta plastik digunakan manusia dan akhirnya akan dibuang ke tapak pelupusan sampah atau hanyut ke laut.


Mengikut UNEP, 50 peratus plastik digunakan hanya sekali sahaja dan plastik ialah 10 peratus daripada sisa yang dihasilkan. Pada 2016, 480 bilion botol minuman dijual seluruh dunia dan 17 juta tong minyak digunakan untuk menghasilkan botol plastik setahun.

Setiap tahun, 13 juta tan plastik masuk ke laut. Kanada, Mexico, Amerika Syarikat dan Eropah ialah pengeluar plastik dunia dan 39.9 peratus plastik digunakan dalam pembungkusan. UNEP menyeru semua pihak menolak barang plastik pakai buang dan memilih plastik yang boleh diguna semula.

Malaysia kini berada di tempat kelapan pencemaran plastik di lautan, mestilah bersungguh-sungguh mendidik masyarakat tentang pencemaran plastik, termasuk isu berkaitan alam sekitar lain seperti perubahan cuaca, ancaman kepelbagaian biologi dan pencemaran bahan kimia.

 + Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media.















Thailand Belum Tunjuk Aksi Sebenar

Posted: 01 Dec 2018 09:16 PM PST


Semalam telah selesai perlawanan separuh akhir pertama di antara Malaysia menentang Thailand di Stadium Nasional Bukit Jalil.Jurulatih Thailand, Milovan Rajevac menegaskan anak buah tidak beraksi pada prestasi sebenar ketika terikat tanpa jaringan dengan Malaysia pada aksi separuh akhir pertama Piala AFF di Stadium Nasional Bukit Jalil, sebentar tadi.

Sokongan 80,000 penyokong Malaysia yang hadir semalam nampaknya tidak dapat membolos jaring lawan apabila Thailand dilihat lebih banyak bertahan pada perlawanan itu.

"Ia bukan seperti perancangan awal kami (untuk bermain bertahan). Malaysia beraksi sangat baik dan agresif," katanya pada sidang media selepas perlawanan.

"Kami beraksi di bawah prestasi sebenar, tapi saya yakin kami akan beraksi lebih baik pada perlawanan seterusnya di Bangkok.

"Ini perlawanan yang sukar, kami mahu menjaringkan gol dan memiliki beberapa peluang. Namun, apa yang penting kami tidak tewas."

Keputusan itu menyaksikan Thailand gagal mencapai sasaran awal Rajevac yang mengharapkan bekalan gol tempat lawan dapat diraih di Bukit Jalil.

 + Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media.

Istighfar Anak Untuk Orang Tuanya

Posted: 01 Dec 2018 04:53 PM PST


Soalan:
Adakah terdapat hadith berkaitan istighfar anak kepada ibubapanya?

Jawapan :
Anak merupakan satu anugerah yang terindah dikurniakan oleh Allah SWT kepada hamba-Nya. Ini kerana, tidak semua orang direzekikan oleh Allah SWT untuk merasa nikmat mempunyai zuriat ini. Untuk itu, kita perlu dan wajib bersyukur kepada Allah SWT dengan nikmat yang agung ini.

Berdasarkan soalan di atas, memang terdapat hadith yang menceritakan berkaitan istighfar seorang anak kepada ibubapanya. Tambahan pula, disebabkan istighfar ini akan mengangkat darjat atau kedudukan seseorang hamba itu jika dia seorang yang soleh. Hadith tersebut adalah:

Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

إِنَّ اللهَ عَزَّ وَجَلَّ لَيَرْفَعُ الدَّرَجَةَ لِلْعَبْدِ الصَّالِحِ فِي الْجَنَّةِ، فَيَقُولُ: يَا رَبِّ، أَنَّى لِي هَذِهِ؟ فَيَقُولُ: بِاسْتِغْفَارِ وَلَدِكَ لَكَ
"Sesungguhnya Allah akan mengangkat darjat bagi seseorang hamba yang soleh di syurga. Maka dia berkata: Wahai Tuhan, dari mana yang aku dapat ini? Allah berfirman: dengan istighfar anak kamu kepadamu".
[Riwayat Ahmad (10610), Syeikh Syuaib al-Arnaouth menghukum sanad hadith ini sebagai hasan disebabkan Asim bin Abi al-Najud. Selain daripadanya adalah perawi yang thiqah dan sahih]

Hadith ini menunjukkan kepada kita bahawa seorang anak itu mampu mengangkat darjat seseorang yang soleh walaupun orang tersebut daripada ahli keluarganya di syurga. Selain itu, terdapat sebuah lagi hadith yang masyhur berkaitan doa seorang anak yang soleh kepada ibubapanya merupakan satu amalan yang tidak akan terputus walaupun ibubapanya sudah tiada di dunia lagi.

Di dalam hadith ini juga ada menyatakan bahawa istighfar seorang anak itu yang akan meningkatkan kedudukan ibubapanya di syurga. Istighfar yang dimaksudkan di dalam hadith ini adalah memohon ampun kepada ibubapanya  supaya diampunkan dosa-dosa mereka yang telah lalu ketika hidup di dunia ini.

Penutup

Kesimpulannya, sudah menjadi tanggungjawab seorang anak untuk sentiasa memohon ampun dan berdoa kepada ibubapanya yang masih hidup ataupun yang sudah meninggal dunia. Akhirnya, semoga kita dan ibubapa kita diampunkan dosa oleh Allah SWT serta ditempatkan di dalam syurga yang tinggi kedudukannya di akhirat kelak. Amin.

Wallahua'lam.


+ Mufti Wilayah Persekutuan

Manusia Pertama Dibangkitkan Dari Kubur

Posted: 01 Dec 2018 04:41 PM PST


Soalan:
Benarkah Nabi SAW orang pertama yang dibangkitkan di akhirat?

Jawapan :
Telah menjadi satu kewajipan atau salah satu rukun di dalam rukun-rukun iman adalah beriman kepada hari Akhirat dan  rukun ini juga menjadi salah satu asas utama atau tunjang di dalam aqidah Islam. Ini kerana. Terdapat golongan-golongan atau aliran-aliran yang menolak hari Akhirat ini. Selain itu juga, antara nama lain bagi  hari Akhirat ini adalah hari Kebangkitan sebagaimana yang difirman oleh Allah SWT di dalam kitab-Nya:

ثُمَّ إِنَّكُمْ يَوْمَ الْقِيَامَةِ تُبْعَثُونَ
"Kemudian sesungguhnya kamu akan dibangkitkan hidup semula pada hari kiamat." (Al-Mu'minun:16)

Berdasarkan persoalan di atas, terdapat sebuah hadith yang menyatakan berkaitan hal sedemikian, antaranya:

Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

أَنَا سَيِّدُ وَلَدِ آدَمَ يَوْمَ الْقِيَامَةِ، وَأَوَّلُ مَنْ يَنْشَقُّ عَنْهُ الْقَبْرُ، وَأَوَّلُ شَافِعٍ وَأَوَّلُ مُشَفَّعٍ
"Aku adalah pemimpin anak Adam pada hari Kiamat. Aku adalah orang yang pertama akan dibangkitkan daripada kubur. Aku adalah orang pertama yang akan memberi syafaat dan dibenarkan memberi syafaat." [Riwayat Muslim (2278)]

Imam al-Nawawi mengatakan hadith ini menunjukkan bahawa kelebihan atau kemuliaan Nabi SAW berbanding makhluk-makhluk yang lain. Ini kerana, mengikut mazhab ahli sunnah anak-anak Adam lebih mulia daripada malaikat dan Nabi SAW adalah yang paling mulia di antara anak-anak Adam yang lain dan juga selain daripada anak Adam. [Lihat: al-Minhaj: 38/15]

Penutup

Kesimpulannya, Nabi SAW merupakan insan yang paling mulia di antara semua makhluk dan kerana itulah Nabi SAW diberikan keistimewaan untuk memberi syafaat kepada umatnya di Akhirat kelak. Akhirnya, semoga Allah SWT menjadikan kita orang yang cintakan ilmu serta memberi kita kefahaman di dalam agama ini dan mengurniakan kita syafaat Nabi SAW di Akhirat kelak. Amin.

Wallahua'lam.


+ Mufti Wilayah Persekutuan

Solat Dhuha Dapat Istana Emas?

Posted: 01 Dec 2018 04:32 PM PST


Soalan:
Benarkah hadith yang menceritakan bahawa solat sunat Dhuha dua belas rakaat akan mendapatkan istana daripada emas di syurga?

Jawapan:
Solat Dhuha merupakan salah satu solat sunat yang amat dituntut untuk dilakukan oleh setiap muslim. Ia juga dikenali dengan nama solat al-Awwabin dan waktunya bermula setelah terbitnya matahari. Tambahan pula, Nabi SAW telah mewasiatkan kepada Abu Hurairah RA agar tidak meninggalkan solat Dhuha ini:

أَوْصَانِيْ خَلِيلِي صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِثَلاَثٍ: صِيَامِ ثَلاَثَةِ أَيَّامٍ مِنْ كُلِّ شَهْرٍ، وَرَكْعَتَي الضُّحَى، وَأَنْ أُوتِرَ قَبْلَ أَنْ أَنَامَ
"Kekasihku (Muhammad SAW) mengingatkan akan daku supaya melakukan tiga perkara iaitu: berpuasa tiga hari pada setiap bulan, melaksanakan solat Dhuha sebanyak dua rakaat dan melakukan solat Witir sebelum tidur." [Riwayat al-Bukhari (1880) dan Muslim (721)]

Berdasarkan soalan di atas, terdapat sebuah hadith yang menceritakan akan kelebihan orang yang melakukan solat Dhuha sebanyak 12 rakaat akan mendapat sebuah istana emas di dalam syurga. Hadith ini diriwayatkan oleh:

Daripada Anas bin Malik RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ صَلَّى الضُّحَى ثِنْتَيْ عَشْرَةَ رَكْعَةً بَنَى اللَّهُ لَهُ قَصْرًا مِنْ ذَهَبٍ فِي الجَنَّةِ
"Barangsiapa yang solat dhuha sebanyak 12 rakaat, maka Allah akan membina baginya sebuah istana daripada emas di syurga." [Riwayat al-Tirmidzi (473) dan Ibn Majah (1380)]

Hukum Hadith

Berikut adalah beberapa pendapat ulama' berkaitan hadith ini:

• Imam al-Tirmidzi menilai hadith Anas ini sebagai gharib (ganjil) kerana tidak diketahui. [Lihat: Sunan al-Tirmidzi, 337/2]
• Imam Ibn Mulaqqin mengatakan bahawa hadith ini telah dimuatkan oleh Ibn al-Sakan di dalam kitab sunannya yang sahih. [Lihat: Tuhfah al-Muhtaj, 416/1]
• Imam al-Nawawi menghukum hadith ini sebagai dhaif. [Lihat: Khulasah al-Ahkam, 571/1]
• Imam Ibn Hajar al-Asqalani mengatakan di dalam sanad ini tidak terdapat perawi yang dikatakan lemah. [Lihat: Fath al-Bari, 54/3]

Di sini kami nyatakan bahawa kami lebih cenderung untuk mengatakan bahawa hadith ini adalah dhaif, akan tetapi ia boleh terangkat ke tahap hasan apabila ia disokong oleh beberapa riwayat lain. Hal yang sama juga dinyatakan oleh al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani bahawa:

لَكِنْ إِذَا ضُمَّ إِلَيْهِ حَدِيثُ أَبِي ذَرٍّ وَأَبِي الدَّرْدَاءِ قَوِيَ وَصَلُحَ لِلِاحْتِجَاجِ بِهِ
"Tetapi jika digabungkannya dengan hadith Abi Dzar RA dan Abi Darda' RA maka ia kuat dan juga boleh digunakan dalam berhujah dengannya." [Lihat: Fath al-Bari, 54/3]

Kelebihan Solat Dhuha

Antara kelebihan solat Dhuha yang lain adalah dua rakaat solat Dhuha menyamai kita telah melaksanakan sedekah terhadap 360 sendi di dalam badan kita. Hadith ini diriwayatkan oleh Imam Muslim:

Daripada Abi Zar RA, bahawa Nabi SAW bersabda:
يُصْبِحُ عَلَى كُلِّ سُلَامَى مِنْ أَحَدِكُمْ صَدَقَةٌ، فَكُلُّ تَسْبِيحَةٍ صَدَقَةٌ، وَكُلُّ تَحْمِيدَةٍ صَدَقَةٌ، وَكُلُّ تَهْلِيلَةٍ صَدَقَةٌ، وَكُلُّ تَكْبِيرَةٍ صَدَقَةٌ، وَأَمْرٌ بِالْمَعْرُوفِ صَدَقَةٌ، وَنَهْيٌ عَنِ الْمُنْكَرِ صَدَقَةٌ، وَيُجْزِئُ مِنْ ذَلِكَ رَكْعَتَانِ يَرْكَعُهُمَا مِنَ الضُّحَى
"Pada pagi hari, setiap sendi salah seorang daripada kamu memerlukan kepada sedekah. Maka setiap tasbih (subhanallah) itu adalah sedekah, setiap tahmid (alhamdulillah) itu adalah sedekah, setiap takbir (allahuakbar) itu adalah sedekah, menyuruh berbuat perkara yang baik adalah sedekah, melarang daripada perkara yang mungkar adalah sedekah. Dan semua itu cukup (bersedekah kepada semua sendi itu) dengan dua rakaat yang telah didirikan oleh seseorang itu daripada solat Dhuha." [Riwayat Muslim (720)]

Penutup

Kesimpulannya, menjadi satu kemestian bagi setiap insan yang mengaku beriman kepada Allah agar melaksanakan solat sunat Dhuha pada setiap hari. Ini kerana, ia merupakan sebagai satu tanda kesyukuran kita kepada Allah SWT terhadap segala nikmat-nikmat yang telah Allah kurniakan kepada kita termasuklah nikmat sendi-sendi di dalam badan kita ini. Akhirnya, marilah sama-sama kita cuba mengamalkan dan beristiqamah dalam melaksanakan solat sunat Dhuha ini di dalam kehidupan seharian kita walaupun cuma dua rakaat kerana itu lebih dikasihi oleh Allah SWT sebagaimana diriwayatkan oleh Aisyah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

أَحَبُّ الْعَمَل إِلَى اللَّهِ تَعَالَى مَا دَاوَمَ عَلَيْهِ صَاحِبُهُ وَإِنْ قَل
"Amalan yang paling disukai oleh Allah SWT adalah yang berterusan dilakukan oleh pelakunya walaupun ia sedikit." [Riwayat Muslim (783)]

Wallahua'lam.


+ Mufti Wilayah Persekutuan