Tuesday, April 16, 2019

Oh! Media

Oh! Media


Lelaki Untung RM525 Sehari Jual Air Ketum

Posted: 15 Apr 2019 06:20 AM PDT


Penjual air ketum di Sekendi, Sungai Besar akhirnya tumpas apabila ditahan sepasukan anggota polis di Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sabak Bernam.

Penjualan air ketum yang telah dijalankan selama 2 tahun itu mendapat untung sebanyak RM525 sehari dengan jualan 35 botol bahan larangan terbabit.

Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Nor Azmi Isa, berkata suspek memperoleh bekalan daun ketum pada harga RM8 hingga RM10 di Teluk Intan, Perak.

Katanya, air ketum itu diproses sendiri oleh suspek di dapur rumahnya sebelum diisi dalam tong ikan untuk dijual kepada pelanggan.

Suspek kini direman dan boleh dikenakan dengan RM10,000 atau penjara tidak lebih empat tahun.

+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media.


"Pakcik Yang Kena Bedal Pukul Ini Apa Cerita?" - Akan Kemukakan Saman Malu RM3 Juta

Posted: 15 Apr 2019 05:17 AM PDT


Pelawak Mazlan Ahmad atau lebih dikenali dengan Lan Pet Pet hari ini mengaku bersalah memukul seorang pengawal keselamatan, Yahya Manap di kawasan perumahan, Nilai.

Dengan itu, mahkamah telah mengenakan denda sebanyak RM2,000 mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan telahpun dibayar oleh Lan Pet Pet tengah hari tadi di Mahkamah Seremban.

Namun, bagi pihak Yahya Manap pula, dia terkejut dengan jumlah denda yang dikenakan pihak mahkamah dan menganggap jumlah itu tidak setimpal dengan kecederaan yang dialaminya.





Pakcik yang kena bedal pukul ini apa cerita?

"Denda cuma RM2,000. Pakcik yang kena bedal pukul ini apa cerita. Pinggang masih sakit sampai sekarang akibat ditendang. Maruah pakcik yang tercemar apabila dia cakap persatuan penduduk ambil pengawal bodoh bagaimana pula?" kata Yahya ketika ditanya pemberita Utusan Online.

Saman malu RM3 juta?

Disebabkan ketidakpuasan hati, Yahya Manap dikatakan akan melantik peguam bagi mengemukakan saman malu ke atas apa yang telah dilakukan Lan Pet Pet dan akan meletakkan jumlah sebanyak RM3 juta yang dilihat setimpal.

Yahya juga menyatakan saman malu ini akan diuruskan oleh menantunya yang akan memilih peguam yang terbaik.

+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media.

2 Orang Warga Myanmar Terpelanting Dilanggar Komuter

Posted: 15 Apr 2019 05:16 AM PDT


Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) dalam satu kenyataan hari ini ada memaklumkan bahawa dua orang lelaki warga Myanmar telah maut selepas dilanggar tren komuter sewaktu melintas di Kilometer 371.7 Sungai Buloh-Kepong semalam.

Kedua-dua warga Myanmar itu juga dimaklumkan telah menceroboh landasan di situ yang dijadikan jalan pintas untuk ke kawasan berhampiran.




"Ketika kejadian kira-kira jam 6.03 petang itu, komuter terbabit dalam perjalanan ke Stesen Kepong dari Stesen Sungai Buloh dengan membawa 30 orang penumpang.

"Pemandu komuter terus memberhentikan tren berkenaan sebaik menyedari kelibat mangsa terpelanting di kedua-dua belah bahu landasan," kata kenyataan itu.

+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media.



Sabrina Tolak Lelaki Kaya dan Kacak - Mahu Yang Boleh Bimbing

Posted: 15 Apr 2019 05:02 AM PDT


Pelakon Sabrina Ali yang kini telah lima tahun bergelar ibu tunggal mengatakan dia lebih berminat untuk mencari jejaka yang boleh membimbing dirinya daripada lelaki yang kaya dan kacak.

Sabrina yang dikurniakan seorang anak perempuan dan 2 orang anak lelaki itu mengakui kini rapat dengan seorang jejaka yang dikenali setahun lalu.




"Dia hanya lelaki biasa, bukan dalam kalangan artis. Dia juga bukan juga ahli perniagaan," katanya.

"Dengan status sekarang, saya mahu lelaki yang boleh membimbing. Soal lain, saya anggap bonus. Entahlah, mungkin niat saya selama ini bukan mahu mencari lelaki kaya atau berupa.

"Saya selalu pegang prinsip jika kamu melayan diri sendiri seperti ratu, pasti kamu dapat menambat hati seorang raja," katanya berkias.

Sabrina juga mengakui lebih ceria dan menjaga kesihatan tubuhnya sejak hidup sendiri demi kepuasan diri.

"Saya selalu mahu memberi motivasi kepada wanita lain yang hidup berdikari agar menjaga penampilan.

"Pada akhirnya, bukan kaum lelaki yang menentukan itu dan ini, sebaliknya diri kita sendiri," katanya.

Sumber: Berita Harian

+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media.

Pesawat Terbesar Di Dunia Bersaiz Padang Bola Sepak Lakukan Penerbangan Pertama

Posted: 15 Apr 2019 12:34 AM PDT


Pesawat Karbon-komposit yang merupakan pesawat terbesar di dunia kini telah berjaya melakukan penerbangan pertamanya yang merentasi Gurun Mojave di California.

Pesawat terbesar di dunia ini dibina oleh Stratolaunch System Corp yang diasaskan oleh mendiang bersama Microsoft, Paul Allen.

Diberi nama Roc dengan sayap yang sama panjang dengan ukuran sebuah padang bola sepak Amerika dan enam enjin pada fiuslaj berkembar, berlepas pada kira-kira jam 7 pagi waktu Pasifik (waktu tempatan) dan berada di udara lebih dua jam sebelum mendarat semula di Mojave Air and Space Port.


Roc berkemampuan untuk membawa roket dan kenderaan angkasa lain dan mampu membawa berat sehingga 226,796 kilogram pada ketinggian 10,668 meter.

Syarikat itu menyasar untuk melabur dalam sektor penghasilan pesawat berprestasi tinggi yang mampu meletakkan satelit di orbit, bersaing di AS dengan usahawan ruang angkasa lain seperti SpaceX milik Elon Musk dan United Launch Alliance, perkongsian antara Boeing dan Lockheed Martin.


+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media.

Mane, Salah Bawa Liverpool Kembali Ke Takhta Liga

Posted: 15 Apr 2019 12:33 AM PDT


Mohamed Salah dan Sadio Mane nampaknya sekali lagi menghancurkan harapan 'haters' pasukan Liverpool apabila berjaya menjaringkan gol untuk menewaskan Chelsea 2-1 malam tadi.

Ini menjadikan Liverpool kembali di takhta Liga Perdana Inggeris dengan kelebihan dua mata di hadapan Manchester City. Namun perlu diingat, City boleh memintas semula kedudukan itu dengan kelebihan satu perlawanan.




Pada aksi lebih awal, City menewaskan Crystal Palace 3-1 dengan pengendalinya, Pep Guardiola mengakui pasukannya perlu memenangi kesemua baki perlawanan untuk menamatkan cabaran Liverpool.

Kekalahan menyaksikan pemburuan Chelsea untuk menduduki carta empat terbaik liga berdepan tamparan dengan kedudukan mereka boleh dirampas Manchester United dan Arsenal yang beraksi lebih lewat.



+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media.



Malaysia Kini Tersenarai Sebagai Negara 'K' - Kementerian Luar Bantah Tindakan AS

Posted: 14 Apr 2019 09:23 PM PDT


Amerika Syarikat nampaknya telah menyenaraikan Malaysia sebagai negara 'K' yang bermaksud mempunyai risiko pencuikan dan dijadikan tebusan.

Penyenaraian Malaysia sebagai negara 'K' itu dilakukan oleh Travel Advisory (Nasihat Perjalanan) dan dikeluarkan oleh Jabatan Negara AS.

Mereka turut memberi peringatan kepada rakyat mereka supaya berjaga-jaga sekiranya mahu melancong ke Malaysia dan ini diutamakan di sebelah pantai timur Sabah yang sebelum ini dilihat berlaku beberapa kes penculikan pelancong.

Namun, perkara ini ditentang sekerasnya kerajaan Malaysia dan menganggap ia tidak menyatakan fakta sebenar apa yang berlaku di Sabah.





"Keadaan keselamatan di Sabah adalah terjamin dan ia selamat untuk dikunjungi oleh pelancong.

"Buktinya, jumlah pelancong yang mengunjungi Sabah pada tahun lalu meningkat sebanyak 5.5 peratus mencecah 3.87 juta orang.

"Dalam pada itu, kes penculikan (pelancong) juga menurun serta boleh dianggap tidak lagi berlaku, dan timur Sabah terus menarik kunjungan penyelam bertaraf dunia," kata Kementerian Luar.

Sekarang, negara kita boleh dilihat bersama negara-negara dengan tanda 'K' seperti Afghanistan, Bangladesh, Cameroon, Afrika Tengah, Colombia, Ethiopia, Haiti, Iran, Iraq, Kenya, Mexico, Nigeria, Pakistan, Filipina, Syria, Trinidad dan Tobago, Turki, Uganda, Ukraine (di timur Ukraine yang dikuasai Russia) dan Yaman.

+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media.

Hukum Tidur Selepas Masuknya Waktu Solat

Posted: 14 Apr 2019 05:27 PM PDT


Soalan:
Apakah hukum seseorang itu tidur selepas masuknya waktu solat? Contohnya seseorang itu tidur pada pukul 2.30 petang tanpa menunaikan solat zohor terlebih dahulu.

Jawapan:
Tidur merupakan satu perkara lumrah bagi seorang manusia yang normal. Tidur yang cukup diperlukan oleh manusia untuk menjalankan aktiviti harian selain daripada makan dan minum. Tidur juga tidak lari daripada hukum taklif yang lima, iaitu harus, wajib, sunat, haram dan makruh. Ia bergantung kepada situasi dan keadaan tertentu. [Rujuk Mausu'ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyah (42/17)]

Mengenai hukum tidur selepas masuknya waktu solat fardhu dan sebelum menunaikan solat tersebut, suka untuk kami nukilkan perkara ini daripada Imam Ibn Hajar al-Haitami Rahimahullah:

وَإِنْ نَامَ بَعْدَ دُخُولِ الْوَقْتِ، فَإِنْ غَلَبَ عَلَى ظَنِّهِ الِاسْتِيقَاظُ قَبْلَ خُرُوجِ الْوَقْتِ فَلَا إثْمَ عَلَيْهِ أَيْضًا وَإِنْ خَرَجَ الْوَقْتُ لَكِنَّهُ يُكْرَهُ لَهُ ذَلِكَ إلَّا إنْ غَلَبَهُ النَّوْمُ بِحَيْثُ لَا يَسْتَطِيعُ دَفْعَهُ، وَإِنْ لَمْ يَغْلِبْ عَلَى ظَنِّهِ الِاسْتِيقَاظُ أَثِمَ وَيَجِبُ عَلَى مَنْ عَلِمَ بِحَالِهِ إيقَاظُهُ حِينَئِذٍ
"Jika seseorang itu tidur selepas masuknya waktu solat dan kuat sangkaanya bahawa dia akan bangun sebelum keluarnya waktu solat, maka tidak berdosa baginya walaupun terkeluar daripada waktu solat disebabkan tidur (yang dibina atas sangkaan bahawa dia mampu untuk bangun sebelum keluarnya waktu solat), tetapi hukumnya adalah makruh kecuali jika seseorang itu sangat mengantuk dan dia tidak dapat mengatasi rasa mengantuknya itu. Jika seseorang itu tidak mempunyai sangkaan yang kuat bahawa dia mampu bangun untuk menunaikan solat (jika tidur selepas masuknya waktu solat), maka dia berdosa dan wajib bagi sesiapa yang mengetahui keadaannya untuk mengejutnya pada waktu itu." [Rujuk Tuhfat al-Muhtaj (2/407)]

Kami juga menukilkan perkara seumpama ini daripada Imam Zainuddin Ahmad al-Malibari Rahimahullah mengenai masalah tidur selepas masuknya waktu solat:

يكره النوم بعد دخول وقت الصلاة وقبل فعلها حيث ظن الاستيقاظ قبل ضيقه لعادة أو لإيقاظ غيره له وإلا حرم النوم الذي لم يغلب في الوقت
"Makruh untuk tidur selepas masuknya waktu solat dan sebelum menunaikan solat tersebut jika dia mempunyai sangkaan pada kebiasaanya dia akan bangun sebelum habisnya waktu atau dikejutkan oleh orang lain. Jika tidak, haram baginya untuk tidur (tidur yang menyebabkannya terlepas waktu solat)." [Rujuk Fath al-Mu'in bi Syarh Qurrat al-'Ain bi Muhimmat al-Din (1/89)]




Imam Muhammad Nawawi al-Jawi Rahimahullah juga ada membincangkan mengenai hukum tidur selepas masuknya waktu solat. Kami nukilkan sebahagian daripadanya di sini:

"Adapun tidur selepas masuknya waktu solat, jika dia mengetahui akan terlepas waktu solat disebabkan tidur tersebut, maka haram baginya untuk tidur dan dia melakukan dua dosa, iaitu dosa disebabkan meninggalkan solat dan dosa disebabkan tidur. Jika dia bangun sebelum habisnya waktu solat yang mana berbeza dengan sangkaan awalnya, maka dia tidak berdosa disebabkan meninggalkan solat, namun dia tetap berdosa kerana tidur, maka dosa tidur tadi tidak terangkat melainkan dengan beristighfar.

Jika kuat sangkaanya bahawa dia akan bangun sebelum keluarnya waktu solat, maka tidak berdosa baginya walaupun terkeluar daripada waktu solat disebabkan tidur (yang dibina atas sangkaan bahawa dia mampu untuk bangun sebelum keluarnya waktu solat), tetapi hukumnya adalah makruh kecuali jika seseorang itu sangat mengantuk dan dia tidak dapat mengatasi rasa mengantuknya itu." [Rujuk Kasyifah as-Saja Syarh Safinah an-Naja (hlm. 191)]

Asas kepada hukum ini adalah berdasarkan hadith Nabi SAW:

ليس في النَّومِ تفريطٌ إنَّما التَّفريطُ على مَن لم يُصَلِّ الصَّلاةَ حتَّى يجيءَ وقتُ صلاةٍ أخرى
"Tidaklah tidur itu sia-sia, sesungguhnya yang sia-sia itu adalah sesiapa yang tidak menunaikan solat sehingga datangnya waktu solat lain." [Riwayat ibn Hibban (1460), Syeikh Syuaib al-Arnout menghukumnya sahih atas syarat Imam Muslim]

Kesimpulan

Makruh untuk tidur selepas masuknya waktu solat sebelum menunaikan solat tersebut jika dia yakin mampu untuk bangun sebelum habisnya waktu solat tersebut. Jika dia tidak yakin mampu untuk bangun sebelum habisnya waktu solat tersebut, maka haram baginya untuk tidur sehinggalah menunaikan solat tersebut.

Jika seseorang itu mahu tidur sebentar disebabkan keadaan tertentu seperti terlalu letih dan mengantuk, maka diharuskan untuknya tidur sebentar tetapi dengan syarat berusaha untuk bangun selepas itu seperti mengunci jam loceng di telefon bimbit dan sebagainya, atau meminta ahli keluarga dan rakan-rakan mengejutkannya pada waktu tertentu selepas seseorang itu masuk tidur.

Namun begitu, kami ingin menegaskan bahawa yang terbaik adalah menunaikan kewajipan solat terlebih dahulu sebelum melaksanakan perkara-perkara lain, termasuk tidur dan sebagainya.

سُئلَ رسولُ اللهِ صلَّى اللهُ عليه وسلَّمَ: أيُّ الأعمالِ أفضَلُ؟ قال: الصلاةُ في أوَّلِ وَقتِها
Rasulullah SAW telah ditanya: "Apakah amalan yang paling utama?" Nabi SAW bersabda: "Solat di awal waktu." [Riwayat Abu Daud (426), Syeikh Syuaib al-Arnout mengatakan sanadnya lemah]

Semoga Allah SWT memberikan kita kebaikan dan kefahaman yang sahih dalam memahami syariat-Nya seterusnya memberikan kekuatan kepada kita untuk mengamalkannya. Amiin.

+ Ustaz Dr. Zulkifli Mohamad Al Bakri | Mufti Wilayah Persekutuan
+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media

Hukum Ilzaq (إلزاق) Ketika Solat Berjemaah

Posted: 14 Apr 2019 05:20 PM PDT


Soalan:
Apa Hukum Ilzaq (إلزاق) ketika solat berjemaah? Adakah ia sunnah Nabi Muhammad SAW?

Jawapan:
Solat adalah ibadah yang disyariatkan kepada setiap Muslim untuk dilakukan sama ada berseorangan atau secara berjemaah sepertimana yang dianjurkan oleh agama Islam. Sungguhpun begitu, melakukan solat secara berjemaah adalah lebih baik dan mendapat ganjaran yang berganda berbanding melakukannya secara bersendirian. Berdasarkan pengalaman ketika menunaikan solat secara berjemaah terutama di masjid dan surau, seringkali kita mendengar nasihat dari Imam untuk mendirikan saf dan merapat-rapatkannya lalu membacakan sebuah hadis:

سَوُّوا صُفُوفَكُمْ فَإِنَّ تَسْوِيَةَ الصُّفُوفِ مِنْ إِقَامَةِ الصَّلَاةِ
"Luruskan saf-saf kalian, kerana meluruskan saf termasuk dalam sebahagian menegakkan solat (berjemaah)." (Hadis Bukhari, No. 690)

Namun begitu, adakah dengan meluruskan saf itu memerlukan seseorang itu melakukan Ilzaq bersama jemaah yang berada bersebelahan?

Ilzaq (إلزاق) dari sudut bahasa memberi maksud menempel atau mencantumkan. Manakala dari sudut istilah, Ilzaq di dalam solat memberi maksud menempelkan atau merapatkan sehingga bersentuhan bahu bertemu bahu, lutut bertemu lutut, kaki bertemu kaki sehingga tidak ada ruang kosong dalam saf yang didirikan.

Terdapat beberapa hadis sahih yang menyatakan berkenaan Ilzaq ini. Nu'man bin Basyir berkata:

أَقْبَلَ رَسُولُ اللهِ بِوَجْهِهِ عَلَى النَّاسِ فَقَالَ: " أَقِيمُوا صُفُوفَكُمْ , ثَلَاثًا وَاللهِ لَتُقِيمُنَّ صُفُوفَكُمْ أَوْ لَيُخَالِفَنَّ اللهُ بَيْنَ قُلُوبِكُمْ " قَالَ : فَرَأَيْتُ الرَّجُلَ يُلْزِقُ كَعْبَهُ بِكَعْبِ صَاحِبِهِ, وَرُكْبَتَهُ بِرُكْبَتِهِ وَمَنْكِبَهُ بِمَنْكِبِهِ
Rasulullah SAW menghadap kepada manusia, lalu bersabda: "Dirikanlah saf (tiga kali). Demi Allah SWT, dirikanlah saf atau Allah SWT akan membuat perselisihan di antara hati kalian." Lalu An-Nu'man bin Basyir berkata: "Saya melihat seorang lelaki menempelkan kakinya dengan kaki orang disebelahnya, lutut dengan lutut dan bahu dengan bahu." (Hadis Abu Daud, 1/178)

Anas bin Malik berkata, sabda Rasulullah SAW:

أَقِيمُوا صُفُوفَكُمْ فَإِنِّي أَرَاكُمْ مِنْ وَرَاءِ ظَهْرِي وَكَانَ أَحَدُنَا يُلْزِقُ مَنْكِبَهُ بِمَنْكِبِ صَاحِبِهِ وَقَدَمَهُ بِقَدَمِهِ
"Luruskanlah saf kamu, kerana saya melihat kalian dari belakang bahuku." Terdapat seorang di antara kami yang menempelkan bahunya dengan bahu temannya dan telapak kaki dengan telapak kakinya." (Hadis Bukhari, No. 692)

Dalam membahaskan hadis ini, para fuqaha' telah berbeza pendapat dalam memberi pandangan seterusnya menyimpulkan hukum ke atasnya:

Ibnu Rajab Al-Hanbali (w.795H) menyatakan di dalam kitab karangannya Fathul Bari, (Jld. 6, hlm. 282):

حَدِيْثُ أَنَسٍ هَذَا: يَدُلُّ عَلَى أَنَّ تَسْوِيَةَ الصُّفُوفِ: مُحَاذَاةُ الْمَنَاكِبِ وَالْأَقْدَامِ
"Hadis Anas ini menunjukkan tentang meluruskan saf, menyelaraskan bahu dan telapak kaki."

Justeru apabila melakukan solat jemaah, Ilzaq dan Muhazah adalah perbuatan yang terkait. Hal ini kerana, jemaah bukan sahaja perlu merapatkan saf dengan cara Ilzaq iaitu (menempelkan) bahkan ia perlu Muhazah iaitu menyelaraskan barisan sehingga kelihatan lurus dan sempurna.




Ibnu Hajar al-Asqalani (w.852 H) menyatakan sepertimana yang terdapat di dalam kitab Fathul Bari, (Jld. 2, hlm. 211):

الْمُرَادُ بِذَلِكَ الْمُبَالَغَةُ فِي تَعْدِيلِ الصَّفِّ وَسَدِّ خَلَلِهِ ، وَقَدْ وَرَدَ الْأَمْرُ بِسَدِّ خَلَلِ الصَّفِّ وَالتَّرْغِيبِ فِيهِ فِي أَحَادِيثَ كَثِيرَةٍ أَجْمَعُهَا حَدِيثُ ابْنِ عُمَرَ عِنْدَ أَبِي دَاوُدَ وَصَحَّحَهُ ابْنُ خُزَيْمَةَ وَالْحَاكِمُ وَلَفْظُهُ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ : أَقِيمُوا الصُّفُوفَ وَحَاذُوا بَيْنَ الْمَنَاكِبِ وَسُدُّوا الْخَلَلَ وَلَا تَذَرُوا فُرُجَاتٍ لِلشَّيْطَانِ ، وَمَنْ وَصَلَ صَفًا وَصَلَهُ اللَّهُ ، وَمَنْ قَطَعَ صَفًّا قَطَعَهُ اللَّهُ
Yang dikehendaki (hadis tersebut) adalah penegasan dalam meluruskan saf dan menutup ruang kosong, dan telah dinukilkan dari Al-Amru berkenaan menutup ruang kosong di dalam saf dan galakan kepadanya, banyak hadis yang telah terkumpul, hadis Ibnu Umar di sisi Abu Daud dan disahihkan oleh Ibnu Huzaimah dan lafaznya bahawa Rasulullah SAW berkata: "Dirikanlah saf dan selaraskanlah di antara bahu-bahu kamu dan jangan membiarkan ruang-ruang kosong saf terdedah kepada syaitan, dan barangsiapa yang menyambungkan saf, Allah SAW akan menyambungkan rahmatnya dan barangsiapa yang memotong saf maka ia terputus dari rahmat Allah SWT."

Beliau menyatakan bahawa meluruskan saf dengan cara Ilzaq (إلزاق) adalah satu penegasan dalam merapatkan dan menutup ruang ketika membina saf untuk bersolat. Hal ini kerana, kesempurnaan saf adalah amat dititik beratkan sehingga Rasulullah SAW menyatakan pentingnya dalam membina satu saf yang sempurna kerana ia berhubung kait dengan rahmat diantara hamba dan penciptanya.

Kesimpulan

Berdasarkan hujah dan dalil yang disertakan, didapati bahawa Ilzaq (إلزاق) merupakan Sunnah yang dianjurkan oleh Rasulullah SAW dalam mendirikan saf. Iaitu dengan cara merapatkan kaki dan bahu serta meluruskan barisan. Namun ia perlu dilakukan secara berhemah agar ia tidak menyakiti jemaah yang berada di bersebelahan. Kepentingannya adalah merapatkan saf kerana Ibnu Hajar menyatakan bahawa mereka yang memutuskan saf adalah tergolong mereka yang berdosa besar.

Nasihat kami, daripada hasil pemerhatian dalam kalangan masyarakat, kebanyakan kita mengambil mudah dalam isu meluruskan saf ini. Walhal, membina saf secara lurus dan sempurna adalah amat dituntut kerana disitu lahirnya kesatuan hati.

Bahkan, Khalifah Sayyidina Umar Al-Khattab tidak memulakan solat sehingga barisan atau saf yang didirikan tidak lurus dan sempurna;

مَا رَأَيْت أَحَدًا كَانَ أَشَدَّ تَعَاهُدًا لِلصَّفِّ مِنْ عُمَرَ أَنْ كَانَ يَسْتَقْبِلَ الْقِبْلَةَ حَتَّى إذَا قُلْنَا قَدْ كَبَّرَ الْتَفَتَ فَنَظَرَ إلَى الْمَنَاكِبِ وَالْأَقْدَامِ وَإِنْ كَانَ يَبْعَثُ رِجَالًا يَطْرُدُونَ النَّاسَ حَتَّى يُلْحِقُوهُمْ بِالصُّفُوفِ
"Aku tidak pernah melihat seseorang yang begitu besar perhatiannya terhadap saf melainkan Sayyidina Umar ibn Al Khattab. Ketika kami semua telah menghadap kiblat dan mula untuk bertakbir, beliau masih menoleh ke belakang dan melihat bahu-bahu dan kaki-kaki kami. Terkadang beliau mengutus seseorang untuk menertibkan jemaah hingga mereka semua saling menempel dalam saf solat." (Rujuk kitab Al-Musannaf karangan Ibn Abi Syaibah, jld. 1 m/s 369)

Marilah bersama-sama mengamalkan sunnah Rasulullah SAW ini kerana ia makin ditinggalkan. Cubalah merapatkan dengan serapat mungkin dengan makmum bersebelahan secara istiqamah, mudah-mudahan ia menjadi kebiasaan daripada adat yang selalu diamalkan. Wallahua'lam.

+ Ustaz Dr. Zulkifli Mohamad Al Bakri | Mufti Wilayah Persekutuan
+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media

Solat Tahiyatul Masjid Ketika Majlis Ilmu Berlangsung

Posted: 14 Apr 2019 05:03 PM PDT


Soalan:
Jika seseorang masuk ke dalam masjid kemudian ada majlis ilmu atau kuliyah, yang mana patut didahulukan? Solat sunat tahiyatul masjid atau duduk mendengar kuliah? Mohon pencerahan ustaz. Terima kasih.

Jawapan:
Solat sunat Tahiyatul Masjid ialah solat sunat yang dilakukan ketika mana masuk ke dalam masjid. Ia adalah solat yang sentiasa dilazimi oleh Nabi SAW. Daripada Abu Qatadah bahawa Rasulullah SAW bersabda:

إِذَا دَخَلَ أَحَدُكُمُ الْمَسْجِدَ فَلْيَرْكَعْ رَكْعَتَيْنِ قَبْلَ أَنْ يَجْلِسَ
"Jika salah seorang daripada kalian masuk ke dalam masjid maka solatlah sebanyak dua rakaat sebelum dia duduk." [Riwayat Al-Bukhari (444) & Muslim (1687)]

Imam Al-San'ani di dalam penjelasannya terhadap hadis ini, beliau menyebut bahawa hadis ini merupakan satu larangan untuk duduk ketika masuk ke dalam masjid sebelum menunaikan solat dua rakaat. (Rujuk Subul Al-Salam Syarh Bulugh Al-Maram Min Adillah Al-Ahkam, 2/62)

Imam Al-Nawawi menyebut bahawa para ulama sepakat bahawa solat sunat tahiyatul masjid adalah sunnah dan jika tiada keuzuran maka makruh hukumnya untuk duduk sebelum dilakukan solat dua rakaat. (Rujuk Al-Majmu' Syarh Al-Muhazzab, 4/52)

Kembali kepada persoalan yang dikemukakan, jika seseorang masuk ke dalam masjid dan dalam pada masa yang ada majlis ilmu sedang berlangsung maka sunat baginya untuk melakukan solat sunat tahiyatul masjid terlebih dahulu sebelum mendegar majlis ilmu yang sedang diadakan. Ini dikiaskan dengan keadaan seseorang yang masuk ke dalam masjid ketika imam sedang berkhutbah. Ianya berdasarkan hadis daripada Abu Jabir Bin Abdullah. Beliau berkata:




جَاءَ سُلَيْكٌ الْغَطَفَانِىُّ يَوْمَ الْجُمُعَةِ وَرَسُولُ اللَّهِ -صلى الله عليه وسلم- يَخْطُبُ فَجَلَسَ فَقَالَ لَهُ يَا سُلَيْكُ قُمْ فَارْكَعْ رَكْعَتَيْنِ وَتَجَوَّزْ فِيهِمَا - ثُمَّ قَالَ - إِذَا جَاءَ أَحَدُكُمْ يَوْمَ الْجُمُعَةِ وَالإِمَامُ يَخْطُبُ فَلْيَرْكَعْ رَكْعَتَيْنِ وَلْيَتَجَوَّزْ فِيهِمَا
Sulaik Al-Ghatafani datang pada hari Jumaat dan pada ketika itu Rasulullah SAW sedang berkhutbah. Lalu Sulaik terus duduk. Maka Rasulullah SAW bersabda: "Wahai Sulaik bangunlah dan solatlah dua rakaat serta segerakan solat tersebut." Kemudian Baginda bersabda lagi: "Jika salah seorang dari kalian datang (ke masjid) pada hari Jumaat dalam keadaan imam sedang berkhutbah maka solatlah dua rakaat dan ringkaskanlah solat tersebut." [Riwayat Muslim (2061)]

Imam Al-Nawawi berkata bahawa jika seseorang masuk ke dalam masjid dan Imam sedang berkhutbah maka dia tidak boleh duduk melainkan setelah solat dua rakaat yang dilakukan secara ringkas. (Rujuk Al-Majmu' Syarh Al-Muhazzab, 4/53)

Jika khutbah Jumaat yang menjadi syarat sah solat Jumaat pun Nabi perintahkan untuk dilakukan solat tahiyatul masjid sebelum mendengar khutbah apatahlagi majlis ilmu yang mana ia bukan syarat sah bagi mana-mana solat. Lagilah disunatkan untuk melakukan solat tahiyatul masjid.

Kesimpulannya, sunat bagi seseorang untuk melakukan solat tahiyatul masjid terlebih dahulu sebelum duduk mendengar majlis ilmu. Semoga Allah memberikan kita kefahaman di dalam agama-Nya. Wallahu'alam.

+ Ustaz Dr. Zulkifli Mohamad Al Bakri | Mufti Wilayah Persekutuan
+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media