Sunday, December 9, 2018

Oh! Media

Oh! Media


Ramai Jadi Mangsa Atas Tindakan Kita - Tun Dr Mahathir Mohamad

Posted: 08 Dec 2018 02:36 AM PST


Tindakan kerajaan menutup beberapa agensi kerajaan telah memberi kesan terhadap pekerja awam yang secara tiba-tiba hilang pekerjaan. Oleh itu, kerajaanakan melihat semula kedudukan sejumlah kakitangan awam yang kehilangan pekerjaan ekoran penutupan agensi kerajaan dalam usaha memberikan keadilan kepada mereka.

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, kerajaan akan melihat sama ada mereka terlibat atau tidak dalam melakukan kerja-kerja bagi parti politik.

"Memang ramai jadi mangsa atas tindakan kita, kita akan ambil perhatian sebab mereka tak terlibat dalam politik tapi hanya menjadi kakitangan kerajaan," katanya.

Kerajaan sekarang dikecam hebat dan ia diakui sendiri oleh Tun Maharthir. Bagaimanapun, menurutnya, tindakan menutup agensi itu terpaksa dilakukan kerana ia telah disalah guna kerajaan terdahulu bagi tujuan politik, selain kerajaan ketika ini tidak mempunyai dana untuk mengekalkan agensi tersebut.

"(Kerajaan) tidak boleh teruskan peranan agensi-agensi ini kerana wang datang dari punca tidak diketahui telah digunakan untuk memberi saraan dan hadiah kepada mereka.

"Kita tidak ada wang dan tidak curi wang, jadi hanya bergantung pada pendapatan kerajaan, jadi tak cukup untuk membiayai apa yang dibuat kerajaan lepas," katanya.

+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media.

Berbasikal Tua Dari Perak Ke Kuala Lumpur Demi Himpunan Kesyukuran Tolak ICERD

Posted: 07 Dec 2018 10:27 PM PST


Sebelum ini, tersebar satu video di mana ada seorang pakcik yang katanya berbasikal tua dari Kampar Perak ke Kuala Lumpur hanya semata-mata demi Himpunan kesyukuran meraikan penolakan ICERD.

Hafizul Arifin, 53 tahun selamat tiba di sini, petang semalam dan ternyata bersemangat mengikut himpunan ini apabila hadir ke himpunan itu di Dataran Merdeka pada tengahari ini, meskipun masih penat.

Katanya, beliau mengayuh basikal pada hari Rabu lalu pada jam 4 pagi dari Kampung Malim Nawar tiba di Kuala Lumpur pada jam 6 petang semalam.

"Alhamdulillah, selamat tiba, terima kasih kepada teman-teman yang memberi kata semangat untuk Pak Long terus mengayuh agar sampai ke himpunan ini," katanya.

Pak Long berkata ada sebab mengapa beliau memilih untuk mengayuh basikal tua dari Kampar untuk ke himpunan ini.

"Pesanan Pak Long bersatu demi Islam... Sebab apa saya naik basikal tua ini mengingatkan perjuangan orang kita dahulu.

"Mereka pertahankan Melayu Islam hingga sekarang bagaimana kesusahan bergerak, jadi Pak Long terpanggil mengayuh basikal itu membawa inspirasi dan buat kekuatan kita semua," katanya yang memberitahu bahawa usia basikal itu sudah 60 tahun.

Dalam pada itu tatkala berkongsi kisah perjalanannya dia mengatakan bahawa dia hanya berhenti berehat di masjid untuk menghilangkan lelahnya mengayuh.

"Cuma alhamdulillah, nasib Pak Long baik apabila sampai di Kuala Lumpur ada hamba ALLAH yang menyediakan hotel buat Pak Long," akhirinya.

Perhimpunan aman yang disertai peserta berbaju putih ini dijangka bermula jam 2 petang.


+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media.

Jom Bantu Syahmi Safari di PUSKAS

Posted: 07 Dec 2018 08:18 PM PST


Rakyat Malaysia diseru untuk membantu Syahmi Safari pula setelah berjaya membantu Faiz Subri memenangi Anugerah Puskas Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) pada tahun 2016 lalu.

Syahmi yang baru sahaja berusia 20 tahun dan merupakan pemain pertanan kanan telah berjaya melakukan jaringan menarik itu pada separuh akhir kedua bertemu Thailand, Selasa lalu dicalonkan bagi Anugerah Gol Terbaik Separuh Akhir Piala AFF 2018. 

Jaringan itu dihasilkan menerusi beberapa siri hantaran antara pemain negara tanpa sebarang gangguan daripada pemain Thailand sebelum pemain Selangor itu melepaskan rembatan dari hujung kotak penalti untuk menewaskan penjaga gol Thailand, Chatchai Budprom pada minit ke-28.

Setakat jam 10 pagi ini, sebanyak 108,580 undian sudah dilakukan dengan jaringan Syahmi mendahului kedudukan sebanyak 67.83 peratus selepas menerima 73,651 undian.

Jaringan Quang Hai berada di tempat kedua dengan 31.76 peratus menerusi 34,483 undian sementara Reichelt sebanyak 0.27 peratus (294 undian) dan Thithipan sebanyak 0.14 peratus (152 undian).

Penyokong boleh melakukan undian di pautan AFF Suzuki Cup 2018 bagi memilih jaringan yang terbaik.



+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media.

KFA Tidak Berpuas Hati Dengan Nilai Pampasan Untuk Akhyar Rashid

Posted: 07 Dec 2018 07:18 PM PST


FAM telah menetapkan nilai pampasan sebanyak RM75,000 kepada pihak Persatuan Bolasepak Kedah, KFA berikutan ingin mendapatkan khidmat pemain muda Kedah, Akhyar Rashid. Walaubagaimanapan, pihak KFA tidak berpuas hati dengan nilai pampasan itu.

Melahirkan rasa terkejut dan kecewa, Setiausaha Kehormat Persatuan Bolasepak Kedah (KFA), Mohd Asmirul Anuar Aris hairan bagaimana jumlah berkenaan dipersetujui sedangkan FAM tidak membuat rundingan secara profesional atau 'menang menang' sebelum ini.

"Bab ini kami kurang berpuas hati, adakah logik pasukan lain yang ingin mengambil pemain kami sekadar diletakkan harga RM75,000? Jumlah yang dinyatakan itu nampak tidak sepadan dengan usaha kami dan FAM seolah-olah tidak profesional dalam hal ini.

"Dan kami minta FAM kaji semula jumlah berkenaan yang kami anggap tidak patut. Kami tidak menyentuh bab pampasan individu Akhyar iaitu nilai tebus kontrak sebanyak RM210,000 kerana ia nilai pampasan individu dan antara Akhyar dengan kami sebagai majikan serta kontrak sehingga musim 2019.

"Yang kami pertikaikan adalah jumlah ditetapkan itu dan sepatutnya kami diberi ruang sebagai majikan dalam hal ini seadilnya, namun sebaliknya berlaku apabila FAM sendiri menetapkan jumlah RM75,000 dan bukan kami," katanya.

"Kami akan hubungi FAM dengan segara bagi menyelesaikan isu harga pampasan ini dan kami mahukan rundingan segera diadakan antara FAM dan KFA bagi membincangkan semula berkaitan isu ini.

"Bagi KFA, kami rela melepaskan Akhyar seandainya pihak kami mendapat jumlah bayaran pampasan sepadan selepas rundingan diadakan," katanya.

Sebelum ini, Jawatankuasa Status FAM telah sebulat suara untuk meletakkan jumlah berkenaan kepada pasatuan yang menandatangani kontrak bersama Akhyar.

+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media.


Chef Malaysia Tidak Mahu Bersubahat - Dedah Restoran Halal Popular Jepun Hidang Daging Khinzir

Posted: 07 Dec 2018 06:06 PM PST


Terdapat sebuah restoran di Osaka, Jepun yang mempromosikan makanan halal untuk umat Islam dikatakan menggunakan sijil halal palsu. Perkara ini diketahui setelah empat orang bekas chef restoran asal Malaysia mendedahkan bahawa tempat restoran mereka bekerja menyediakan daging yang tidak halal.

Berikutan rasa bersalah yang menyelubungi mereka, mereka mengambil keputusan untuk berhenti kerja dan pulang ke Malaysia kerana tidak mahu bersekongkol dengan pemilik restoran terbabit.

Mereka meminta maaf kepada rakyat Malaysia beragama Islam yang pernah makan di restoran tersebut. Malah, mereka berharap tiada lagi orang Islam tertipu dengan promosi halal disitu kerana mereka telah melihat sendiri dan pasti bahan yang diproses dari kilang bercampur daging babi.

Sebelum ini, mereka dimaklumkan restoran tersebut menyediakan menu halal dan menawarkannya kepada pelawat khususnya dari Malaysia untuk mendapat makanan halal tanpa was-was. Akan tetapi, mereka mendapati daging yang dikatakan halal dicampur dengan daging babi dan dipotong menggunakan mesin yang sama ketika mereka mengambil stok bahan mentah dari kilang di Kobe bulan lalu.

Terkejut dengan keadaan itu, mereka berjumpa pemilik restoran berbangsa Arab dan dia berjanji memastikan perkara berkenaan tidak berulang serta akan sertu mesin berkenaan untuk kegunaan restorannya. Malangnya, perkara tersebut masih tidak diambil tindakan dan ini membuatkan mereka mendedahkan perkara terbabit kepada Ketua Aktivis PPIM Datuk Nadzim Johan.


+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media.

Saranan Memohon Syurga Firdaus

Posted: 07 Dec 2018 04:30 PM PST


Soalan:
Apakah sumber doa ini?

إِلَهِي لَسْتُ لِلْفِرْدَوْسِ أَهْلَا
وَلَا أَقوَى عَلَى النَّارِ الْجَحِيمِ
فَهَبْ لِي تَوْبَةً وَاغْفِرْ ذُنُوبِي
فَإِنَّكَ غَافِرُ الذَّنبِ الْعَظِيمِ
"Wahai Tuhan ku tak layak ke Syurga-Mu, Namun aku tidak sanggup ke nerakaMu, Terimalah taubatku dan ampuni segala dosaku, Sesungguhnya Engkaulah pengampun dosa-dosa besar."

Jawapan:
Kita dituntut agar sentiasa berdoa memohon untuk masuk ke dalam syurga Allah SWT. Akan tetapi, Allah SWT telah menetapkan bahawa syurga ini hanya akan didiami oleh hamba-hamba-Nya yang beriman dan beramal soleh sahaja. Hal ini, dinyatakan sendiri oleh Allah SWT di dalam al-Quran:

وَالَّذِينَ آمَنُوا وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ أُولَـٰئِكَ أَصْحَابُ الْجَنَّةِ ۖ هُمْ فِيهَا خَالِدُونَ
"Dan orang-orang yang beriman serta beramal soleh, merekalah ahli syurga, mereka kekal di dalamnya." [Al-Baqarah:82]

Syeikh al-Maraghi di dalam tafsirnya menyatakan bahawa ayat ini menunjukkan orang-orang yang membenarkan Allah dan rasul-Nya, beriman dengan hari akhirat, melakukan amal soleh, menunaikan kewajipan, meninggalkan segala maksiat adalah orang-orang yang layak untuk memasuki syurga sebagai ganjaran di atas ketaatannya, pergantungannya serta keikhlasannya kepada Allah di waktu sembunyi dan terang-terangan. Ini juga merupakan dalil bahawa iman yang sahih bersama amal soleh merupakan syarat untuk masuk ke dalam syurga.
[Lihat: Tafsir al-Maraghi, 154/1]

Melihat kepada soalan di atas, kami menyatakan bahawa doa atau zikir tersebut tidak terdapat di dalam kitab-kitab hadith yang muktabar. Namun, Imam Abd al-Wahab al-Sya'rani pernah menyatakan bahawa sesiapa yang mengamalkannya dan membacanya pada setiap hari Jumaat, maka dia akan dimatikan di dalam Islam tanpa syak lagi. Hal ini, dinukilkan oleh Imam al-Dimyathi di dalam kitabnya.
[Lihat: 'Iaanah al-Tholibin, 106/2]

Selain itu juga, sememangnya kita dituntut untuk sentiasa memohon kepada Allah SWT agar dimasukkan ke dalam syurga yang paling tinggi. Ini berdasarkan kepada sebuah hadith yang sahih:

Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

فَإِذَا سَأَلْتُمُ اللَّهَ فَسَلُوهُ الفِرْدَوْسَ
"Apabila kamu memohon syurga kepada Allah, maka mohonlah al-Firdaus." [Riwayat al-Bukhari (7423)]

Tambahan pula, doa merupakan ibadah yang hebat kerana ia berhubung terus kepada Allah SWT. Di samping itu, di dalam bab berdoa ini terdapat keluasan yang mana kita tidak semestinya perlu berdoa dengan doa yang diajar oleh Allah SWT di dalam al-Quran dan juga yang diajar oleh Nabi SAW di dalam hadith sahaja walaupun sebaik-baik doa atau lafaz doa adalah yang datang daripada al-Quran dan hadith Nabi SAW. Kita juga dibolehkan untuk berdoa dengan apa jua doa sekalipun, selagimana makna atau maksud doa tersebut adalah baik dan tidak bercanggah dengan agama. Selain itu juga, antara perkara yang penting adalah perlu meraikan beberapa adab-adab, syarat-syarat dan garis panduan di dalam berdoa agar doa yang dipanjatkan itu merupakan satu doa yang berkualiti.

Penutup

Kesimpulannya, seorang muslim itu seharusnya melazimi dirinya dan lisannya dengan zikir-zikir yang boleh mengingatnya kepada Allah SWT walaupun di mana sahaja dia berada. Ini kerana, banyak kelebihan dan fadhilat yang akan diperolehi bagi orang yang sentiasa melazimi zikir ini sebagaimana yang dinyatakan di dalam al-Quran dan sunnah Nabi SAW. Antaranya firman Allah SWT:

وَالذَّاكِرِينَ اللَّـهَ كَثِيرًا وَالذَّاكِرَاتِ أَعَدَّ اللَّـهُ لَهُم مَّغْفِرَةً وَأَجْرًا عَظِيمًا
"Dan orang-orang lelaki yang banyak berzikir dengan nama Allah serta orang-orang perempuan yang banyak berzikir dengan nama Allah, maka Allah telah menyediakan bagi mereka keampunan dan pahala yang besar." [Al-Ahzab:35]

Di samping itu juga, di dalam hadith juga terdapat anjuran agar sentiasa melazimi zikir ini berdasarkan kepada riwayat Abi Musa RA bahawa Nabi SAW bersabda:

مَثَلُ الَّذِي يَذْكُرُ رَبَّهُ وَالَّذِي لاَ يَذْكُرُ رَبَّهُ، مَثَلُ الحَيِّ وَالمَيِّتِ
"Perumpamaan orang yang berzikir kepada Tuhannya dan orang yang tidak berzikir kepada Tuhannya seperti orang yang hidup dan mati." [Riwayat al-Bukhari (6407)]

Akhirnya, marilah sama-sama kita sentiasa membasahkan lidah kita dengan berzikir kepada Allah SWT agar kita digolongkan dalam kalangan hamba-hamba-Nya yang sentiasa mendapat keampunan dan pahala daripada Allah SWT. Amin.

Wallahua'lam.


+ Mufti Wilayah Persekutuan

Ucapan Terakhir Nabi ‎ﷺ Ketika Wafat

Posted: 07 Dec 2018 04:15 PM PST


Soalan:
Apakah ucapan terakhir Nabi SAW sebelum Baginda SAW wafat?

Jawapan:
Sebelum kami menjawab pertanyaan di atas, suka bagi kami untuk mendatangkan kisah detik terakhir Rasulullah SAW sebelum Baginda SAW bertemu Penciptanya berdasarkan kepada karangan Syeikh Safiy al-Rahman al-Mubarakfuri yang terkenal al-Rahiq al-Makhtum:

"Setelah waktu Dhuha semakin meninggi, Nabi SAW memanggil Fatimah lalu membisikkan sesuatu kepadanya, lantas Fatimah pun menangis. Kemudian baginda memanggilnya sekali lagi lalu membisikkan sesuatu sehingga Fatimah tertawa. Aisyah R.anha bertanya tentang hal itu, lalu Fatimah menjawab: "Rasulullah SAW membisikkan kepadaku bahawa Baginda SAW akan wafat dengan sakit yang sedang dihadapinya, lantas aku menangis. Kemudian Baginda SAW membisikkan kepadaku bahawa aku adalah ahli keluarganya yang pertama akan menyusul selepas daripada Baginda SAW." Nabi SAW juga turut menghiburkan Fatimah bahawa dia adalah ketua atau penghulu wanita sekalian alam. Tatkala Fatimah melihat penderitaan hebat yang ditanggung oleh Rasulullah SAW, lalu dia berkata: "Alangkah deritanya ayahanda." Lalu Rasullah SAW berkata kepadanya: "Selepas hari ini tidak ada lagi penderitaan ke atas ayahandamu."

Setelah itu, Baginda SAW memanggil Hasan dan Husain lalu berpesan kepada mereka dengan kebaikan. Kemudian, Baginda SAW memanggil para isterinya lalu memberi nasihat dan peringatan kepada mereka. Sakit Baginda SAW bertambah kuat akibat daripada kesan racun daging kambing yang dikunyahnya di Khaibar sehingga Baginda SAW bersabda: "Wahai Aisyah, aku masih lagi terasa bias makanan yang aku makan di Khaibar, maka sekarang tibalah masanya aku merasai bagaikan hendak terputus urat leherku disebabkan oleh racun ini."

Tibalah saat terakhir kehidupan Rasulullah SAW dengan Aisyah menyandarkan Baginda SAW ke ribaannya. Dalam hal ini, Aisyah berkata: "Antara nikmat-nikmat yang Allah kurniakan kepadaku ialah Rasulullah SAW wafat di dalam rumahku semasa giliranku dan dirangkulanku antara leher dan dadaku. Dan Allah SWT telah mengumpulkan air liurku dan air liur Baginda SAW ketika kewafatan Baginda SAW." Abdulrahman bin Abu Bakar pun masuk dengan ditangannya kayu sugi dan ketika aku sedang meriba Rasulullah SAW. Baginda SAW memandang ke arah Abdulrahman dan aku menyedari bahawa Baginda SAW ingin kayu sugi tersebut. Aku pun bertanya kepada Baginda SAW: "Mahukah aku ambilkan kayu sugi untukmu?." Baginda SAW mengisyaratkan dengan kepalanya tanda setuju. Lalu aku hulurkankayu sugi tersebut tetapi ia kelihatan keras. Aku pun berkata: "Mahukah aku lembutkannya untukmu?." Baginda SAW mengisyaratkan dengan kepalanya tanda setuju, lalu aku melembutkannya dan Baginda memerintahkan untuk disugi. Di dalam satu riwayat yang lain menyatakan bahawa Baginda SAW bersugi dengan cara yang lebih baik berbanding sebelum daripada ini. Ketika itu, dihadapan Baginda SAW ada sebekas kecil berisi air. Baginda SAW mencelupkan tangannya di dalam bekas air tersebut, lalu menyapunya di muka sambil berkata: "Tidak ada Tuhan selain daripada Allah, sesungguhnya bagi kematian itu kesakitan-kesakitan."

Sebaik sahaja selesai bersugi Baginda SAW mengangkat tangannya atau jarinya serta mendongak ke bumbung sambil bibirnya bergerak. Aisyah R.anha merapatkan telinganya kerana ingin mendengar apa yang diucapkan oleh Baginda SAW:

مَعَ الَّذِينَ أَنْعَمَ اللَّهُ عَلَيْهِمْ مِنَ النَّبِيِّينَ وَالصِّدِّيقِينَ وَالشُّهَدَاءِ وَالصَّالِحِينَ اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِي وَارْحَمْنِي، وَأَلْحِقْنِي بِالرَّفِيقِ الأَعْلَى اللَّهُمَّ الرَّفِيقَ الأَعْلَى
"Bersama orang-orang yang Engkau beri nikmat kepada mereka daripada kalangan para nabi, orang-orang benar (orang yang beriman), orang-orang syahid dan orang-orang soleh. Ya Allah, ampunilah aku dan rahmatilah aku serta pertemukan aku dengan Teman Yang Tertinggi, Ya Allah, Kekasih Yang Tertinggi."

Baginda SAW mengulangi kalimah akhir tersebut sebanyak tiga kali, kemudian tangan Baginda SAW terkulai layu dan Baginda SAW pun pergi mengadap Kekasih Yang Tertinggi."
[Lihat: al-Rahiq al-Makhtum, 430-432]

Berdasarkan soalan di atas, di sini kami datangkan beberapa teks atau matan hadith yang menceritakan ucapan Nabi SAW sebelum Baginda SAW pergi buat selamanya. Antaranya:

Daripada Aisyah dan Abdullah bin Abbas R.anhuma berkata:

لَمَّا نَزَلَ بِرَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، طَفِقَ يَطْرَحُ خَمِيصَةً لَهُ عَلَى وَجْهِهِ، فَإِذَا اغْتَمَّ كَشَفَهَا عَنْ وَجْهِهِ، وَهُوَ كَذَلِكَ يَقُولُ: لَعْنَةُ اللَّهِ عَلَى اليَهُودِ، وَالنَّصَارَى اتَّخَذُوا قُبُورَ أَنْبِيَائِهِمْ مَسَاجِدَ
"Apabila turun wahyu kepada Rasulullah SAW, Baginda SAW memegang bajunya sambil menutup secarik kain ke wajahnya dan saat beliau beliau mula merasa sesak, kami pun membukanya. Lalu Rasulullah SAW bersabda: Laknat Allah ke atas orang Yahudi dan al-Nasrani yang mana mereka menjadikan kubur para Nabi mereka sebagai masjid." [Riwayat al-Bukhari (4443)]

Hadith ini diletakkan oleh Imam al-Bukhari di dalam bab sakit dan kewafatan Nabi SAW.

Daripada Aisyah R.anha berkata:

فَكَانَتْ آخِرَ كَلِمَةٍ تَكَلَّمَ بِهَا: اللَّهُمَّ الرَّفِيقَ الأَعْلَى
"Adapun ucapan terakhir yang diucapkan oleh Baginda SAW: اللَّهُمَّ الرَّفِيقَ الأَعْلَى (Ya Allah, Kekasih Yang Tertinggi)." [Riwayat al-Bukhari (4463)(6348)(6509) dan Muslim (2444)]

Tambahan pula, di antara wasiat Nabi SAW sebelum Baginda SAW wafat adalah berkaitan solat sebagaimana yang disebutkan di dalam kitab-kitab sirah iaitu:

وَأَوْصَىْ النَّاسَ، فَقَالَ: الصَّلَاةُ الصَّلَاة ُوَمَا مَلَكَتْ أَيْمَانَكُمْ
"Peliharalah solat, peliharalah solat dan hamba-hamba yang kamu miliki."

Di dalam perkara ini, kami cenderung kepada hadith Aisyah R.anha iaitu ucapan Nabi SAW yang terakhir sebelum Baginda SAW wafat adalah "اللَّهُمَّ الرَّفِيقَ الأَعْلَى (Ya Allah, Kekasih Yang Tertinggi)". Ini kerana, hadith atau riwayat tersebut disepakati oleh Imam al-bukhari dan Imam Muslim bahawa itu adalah ucapan Nabi SAW. Tambahan pula, ucapan tersebut diceritakan oleh Aisyah R.anha yang mana Nabi SAW wafat di rumah dan di pangkuannya. Justeru itu, beliaulah yang lebih layak untuk menceritakan perkara seperti ini. Selain itu, dikatakan ucapan Nabi SAW yang terakhir adalah "umatku, umatku", perkara ini adalah tidak benar sama sekali kerana kami tidak menemui sumbernya yang sahih. Adapun ucapan Nabi SAW berkaitan laknat Allah ke atas Yahudi dan Nasrani, dan juga ucapan Nabi SAW berkaitan solat adalah diucapkan sebelum daripada Baginda SAW mengucapkan "اللَّهُمَّ الرَّفِيقَ الأَعْلَى (Ya Allah, Kekasih Yang Tertinggi)."

Timbul sedikit persoalan, bahawa ucapan terakhir Nabi SAW adalah tidak selari dengan sebuah hadith yang diajarkan oleh Baginda SAW kepada kita semua untuk diucapkan sebelum kita meninggalkan dunia ini, iaitu:

Daripada Mu'az bin Jabal, bahawa Nabi SAW bersabda:

مَنْ كَانَ آخِرُ كَلَامِهِ لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ دَخَلَ الْجَنَّةَ
"Barangsiapa yang ucapan terakhirnya "لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ (Tidak ada Tuhan melainkan daripada Allah) akan masuk syurga." [Riwayat Abu Daud (3116), sanadnya adalah hasan menurut Imam al-Nawawi]

Di dalam hadith di atas, Nabi SAW menyuruh kita agar menjadikan kalimah tauhid iaitu "لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ (Tidak ada Tuhan melainkan daripada Allah)" sebagai kalimah atau ucapan yang terakhir buat kita di dunia ini. Ini kerana, barangsiapa yang berjaya mengucapkannya, maka baginya atau dia berhak untuk dimasukkan ke dalam syurga.

Untuk menjawab percanggahan ini, maka kami ingin nukilkan pendapat daripada al-Hafiz Imam Ibn Hajar al-Asqalani yang mana beliau menukilkannya daripada al-Suhaili bahawa di antara hikmah Nabi SAW mengucapkan kalimah " اللَّهُمَّ الرَّفِيقَ الأَعْلَى (Ya Allah, KekasihYang Tertinggi)" sebelum Baginda SAW menghembuskan nafasnya yang terakhir adalah kerana kalimah tersebut mengandungi tauhid (iaitu mengesakan Allah) dan ia (tauhid) diucapkan di dalam hati. Ini menunjukkan rukhsah (keringanan) kepada orang lain bahawa tidak disyaratkan untuk mengucapkannya (kalimah tauhid) dengan lisan (lidah). Kadang-kadang, sebahagian manusia tidak mampu atau terhalang daripada mengucapnya dengan lidah dan ini sebenarnya tidaklah memudharatkannya sekira hatinya terkandung kalimah tauhid tersebut.
[Lihat: Fath al-Bari, 138/8]

Justeru itu, kita memahami bahawa tidak disyaratkan untuk menyebut kalimah tauhid dengan lidah ketika seseorang itu ingin meninggal dunia, bahkan yang paling penting adalah kalimah tersebut perlulah tersemat di dalam hatinya kerana iman adalah di dalam hati. Lidah atau lisan hanya sebagai perantara untuk menterjemahkan apa yang ada di dalam hati.

Penutup

Kesimpulannya, kami tegaskan sekali lagi bahawa ucapan terakhir Nabi SAW adalah "اللَّهُمَّ الرَّفِيقَ الأَعْلَى (Ya Allah, Kekasih Yang Tertinggi)" sebagaimana yang telah jelaskan di atas. Selain itu, tidak terdapat percanggahan sama sekali di antara ucapan Nabi SAW yang terakhir ini dengan hadith yang menuntut agar dijadikan ucapan terakhirnya "لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ (Tidak ada Tuhan melainkan daripada Allah)." Ini kerana, ucapan Nabi SAW telah mengandungi kalimah tauhid iaitu mengesakan Allah SWT. Akhirnya, semoga Allah SWT mengurniakan kepada kita pengakhiran hidup yang baik serta memasukkan ke dalam syurga yang tertinggi bersama para anbiya' dan orang-orang yang soleh. Amin.

Wallahua'lam. 


+ Mufti Wilayah Persekutuan